Monday, September 30, 2013

Vs Kelantan


Suku Akhir Piala Malaysia Pusingan Pertama
28hb September 2013

Johor Darul Takzim 4  Kelantan 2
(Jaszarin 4',Norshahrul 20',Safiq 39', Nunez 80')


Mintak maaf pada yang suruh aku buat report untuk game ni. Aku tak dapat pergi walaupun aku dah dipayungkan tiket grandstand. Sayang sungguh. Tapi nak buat macamana. Hal-hal keluarga perlu lebih diutamakan. Aku berada di Kajang untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu.

Dapat tengok WhatsApp gambo tiker ajer la..

Tak dapatlah aku nak cerita kes suspek bookie yang kena pukul tu atau pesta snowball di Larkin. Rugi jugak tak pergi game best macam ni. Nampaknya dah sampai suku akhir, satu game pun Piala Malaysia pun aku pergi lagi. Kalau ada rezeki masuk separuh akhir InsyaAllah aku pergi. Kalau tak maknanya kita jumpa musim depan ajer la. Konpem lagi sesak Larkin nanti...ramai nak nengok Pablo Aimar.



"LUASKAN KUASAMU"






Friday, September 27, 2013

So Far So Good

Lagi album kompilasi kegemaran yang dah 20 tahun.


Bryan Adams -  So Far So Good (1993)

So Far So Good...takder So What. Ini bukan Megadeth dan ini bukan metal. Ketika zaman cd mula mengantikan kaset. Satu-satunya penyanyi yang bukan metal yang saya ingin upgradekan kasetnya ke cd adalah Bryan Adams. Ini kerana saya memang peminat Bryan Adams. Kalau tak silap cd ini dibeli di Muzika Records, Plaza Kotaraya, JB. Tempat yang sama beberapa tahun sebelumnya kasetnya dibeli.

Ketika budak-budak dulu zaman terpengaruh dengan Duran Duran, belum rock, ada beberapa lagu yang saya dengar di radio yang saya rasakan lagu-lagu mereka lebih kena dengan jiwa. Lagu-lagu yang jenis guitar oriented. Lagu-lagu tersebut terutamanya lagu-lagu dari Rick Springfield dan Bryan Adams.

Bermula dari lagu "Straight from the Heart" dan "Cuts Like a Knife". Kemudian bila munculnya album Reckless (antara all time fav pop rock album) dengan lagu-lagu seperti "Summer of '69", "Somebody", "Run to You","One Night Love Affair"  dan "Heaven"  memang saya dah jadi peminat dia dah.


Tapi saya stop follow dia selepas album Waking Up the Neighbours. Rasanya selepas kejayaan besar dia dengan lagu balada meleweh filem Robin Hood, "(Everything I Do) I Do It for You", Dia dah mula menumpukan lagu-lagu yang jenis macam tu. Lagu-lagu hits dia selepas tu macam "Please Forgive Me" "All for Love" "Have You Ever Really Loved a Woman?" tu semua jenis balada meleweh yang saya kurang nak masuk dah.

Zaman Bryan Adams terbaik pada saya adalah zaman Cuts Like a Knife (1983) hinggalah Waking Up the Neighbours (1991). Selepas dari itu memang saya tak follow dah. Maka kompilasi ini memang tepat bagi sesiapa yang nak mula dengar Bryan Adams. Ianya menghimpunkan lagu-lagu terbaik beliau di zaman tersebut. Zaman Hard Rock. Walaupun ada beberapa lagu rancak beliau tiada.




Thursday, September 26, 2013

Red

Ni entri bukan pasal Liverpool bungkus dengan Manchester United league cup pagi tadi...(hahaha)...tapi pasal buku yang baru habis dibaca.


Red: My Autobiography - Gary Neville


‪"Gary Neville is a red! He hates scousers"

Ini kisah Gary Neville. Seorang budak biasa yang berjaya mencapai cita-citanya untuk bermain dengan kelab yang menjadi idolanya sejak kecil. Tak sangka dia juga berbakat menjadi penulis.

Dah banyak buku autobiography Manchester United yang aku baca. Tapi rasanya yang ini paling aku suka. Sebabnya Gary adalah die-hard fan Manchester United. Peminat sejak dari kecil. Tak seperti pemain lainnya yang hanya dibayar gaji untuk bermain bersama United. Peminat yang bermain dengan kelab diminatinya sejak kecil, passion dan semangatnya memang lain. Gaya penulisannya pun seolah-olah dari kacamata seorang peminat. Membacanya pun aku jadi bersemangat. 2 hari dah khatam.

Seperti banner kat Old Trafford yang tertulis "United, Kids, Wife", buku ini turutannya juga begitu. Tiada langsung cerita hal-hal peribadi luar padang. Tiada kisah cinta. Kalau tak silap hanya sekali sahaja kot nama isterinya disebut. Sedari awal ceritanya hanya berkisar hal-hal bolasepak yang dilaluinya bersama-sama lagenda bolasepak sezaman dengannya tak kira England mahupun Manchester United. Ada Fergie's Fledglings,Cantona,Ronaldo,Rooney lain-lain dan tak lupa juga The Boss (SAF).

Gary memang true.

Rekomended untuk peminat United. Tapi kalau anda Liverpool pun apa salahnya....mungkin nanti kot-kot terbuka pintu hati...hahaha...




Tuesday, September 24, 2013

Retro Active

Lagi album best yang dah 20 tahun


Def Leppard - Retro Active (1993)

Retro Active bolehlah dikatakan sebagai penutup bagi era Steve Clark. Selepas dari ini tiada lagi lagu-lagu ciptaan beliau untuk Def Leppard. Kematiannya bagi sesetengah peminat adalah juga merupakan kematian untuk Def Leppard. Saya termasuk dalam golongan tersebut. Susah untuk menerima hala tuju Def Leppard yang baru.

Retro Active adalah merupakan himpunan lagu-lagu B-sides dan  lagu-lagu yang tak pernah diriliskan semasa seisi rakaman dari tahun 1984 hingga 1993. Majoriti lagu-lagunya telah di touched-up semula tetapi masih mengekalkan apa yang dimainkan oleh Steve Clark. Ianya juga merupakan penampilan pertama Vivian Campbell sebagai gitaris baru mereka.

Ini adalah album terakhir Def Leppard yang betul-betul best. Lebih best dari Adrenalize (1992) yang dah terlalu pop rock bunyinya. Saya kurang berminat dengan rilisan seterusnya. Walaupun mereka cuba kembali ke era Steve Clark dengan Euphoria (1999). Percubaan yang baik sayangnya Def Leppard tak akan sama tanpa lagu-lagu ciptaan Steve Clark.

Leppard yang paling best

Terdapat 5 lagu ciptaan Steve Clark seperti "Desert Song", "Fractured Love", "Ride into The Sun", "Ring of Fire"dan "I Wanna Be Your Hero" yang pada saya sangat best. Tapi untuk lagu-lagu slow, memang patut di serahkan kepada Joe Elliott dan Phil Collen,. "Two Steps Behind" dan "Miss You in a Heartbeat" memang feeling. Tak hairanlah kalau Def Leppard selepas Retro Active cuma best pada lagu-lagu slownya sahaja.

Entah mengapa, saya suka betul dengan lagu "Only After Dark", cover version lagu 70an dari album solo gitarist David Bowie, Mick Ronson. Memang best. Pada saya kalau mahukan Def Leppard yang terbaik selepas era NWOBHM. Cari sahaja album ini dan Hysteria.


***1st time tengok gambar kaver album ni ingatkan gambar tengkorak...macam tak percaya pulak Def Leppard guna tengkorak....tapi rupanya sekadar ilusi mainan mata sahaja...heheh..




Monday, September 23, 2013

The Conjuring



The Conjuring (2013)

Ok, cerita ni dah basi.

Saya sememangnya mengemari filem2 seram berkenaan rasukan ataupun ganguan supernatural.  Pada saya filem-filem begini adalah lebih menyeramkan. Ternyata James Wan memang pakar dalam menghasilkan filem-filem begenre begini.

Selepas Insidious (2010), sememangnya inilah filem seram yang saya tunggu-tunggu. Memang bagus untuk menguji tahap keberanian kita apatah lagi menontonnya berseorangan di waktu lewat malam. Pada saya cerita hantu tidak seronok di tonton di panggung. Ramai, bising dan banyak gangguan. Hilang dah seramnya. Macamlah saya selalu pergi panggung...heheheh...

Namun seperti Insidious, saya gagal untuk menguji tahap keberanian saya. Yang ini juga saya tonton di waktu siang. Nak buat macamana. Isteri nak menonton sama dan berkeras mahu menontonnya di waktu siang. "Nanti kalau saya takut kan menyusahkan awak jugak nak kena temankan kesana sini"...aduh....hasilnya elemen seram tersebut agak kurang saya rasai. Mungkin kerana saya dah boleh mengagak dan bersedia bila dan masanya bahagian-bahagian seram tersebut. Ada juga lah sedikit terkejut contohnya semasa adegan menyidai baju. Bahagian tu memang saya tak jangka. (Nasib juga menonton waktu siang...hahaha..)

Isteri saya seorang penakut. Tapi bagi beliau The Conjuring kurang memaakutkan. Insidious atau Sinister lebih seram. Sedikit sebanyak saya bersetuju. Mungkin pasal cerita perihal rumah berhantu ni dah biasa sangat dah. Agak predictable. Walaupun begitu The Conjuring adalah filem seram yang bagus. Terbaik untuk tahun 2013. Siapa yang belum menonton memang wajip tonton.

Tak sabar nak tunggu Insidious 2 pula. Dengar cerita James Wan dah tak nak buat filem horror. Ada rumour kata dia nak buat filem Macgyver. Kalau betul memang best la...









Friday, September 20, 2013

Icon

Pencetus Gothic Metal yang dah 20 tahun.


Paradise Lost - Icon (1993)

Saya kurang berminat dengan genre gothic metal ataupun doom. Saya mempunyai masaalah untuk hadam  lagu-lagu yang perlahan temponya. Oleh sebab itu Paradise Lost bukanlah menjadi pilihan.

Walaupun begitu review-review yang saya baca sejak 20 tahun lalu selalu mengangkat album ini sebagai antara yang terbaik dalam genrenya. Icon menjadikan Paradise Lost sebagai "Bapa Gothic Metal". Album yang merintis kemunculan genre tersebut. Dan saya rasakan saya perlu mendengarnya. Download MP3 adalah cara yang paling mudah. Tetapi selepas mendengarnya, saya rasakan membeli cdnya secara fizikal adalah sesuatu yang perlu terutamanya jika anda mempunyai sistem audio hi fi. (sambil tersengih). Akhirnya beberapa bulan yang lepas dapat juga saya memilikinya.


Lagu dari track pertama, "Embers Fire" sekali dengar sudah cukup membuatkan saya melekat. Solo melodic dari Greg Mackintosh sepanjang lagu ini memang awesome. Sudah tentunya ini adalah lagu pilihan saya. Sangat best. Solo-solo beliau menjadi faktor utama saya membeli cd ini. Sayangnya lagu yang lainnya agak kurang. Tetapi bukannya tak sedap. Lagu-lagunya agak melodic tetapi temponya yang perlahan contohnya "Joys of the Emptiness" membuatkan saya agak kurang sabar. Tetapi bagi lagu-lagu yang agak mid tempo seperti "True Belief" memang sedap. Vokal Nick Holmes pula seakan-akan James Hetfield bunyinya.

Mungkin telinga saya tidak terlatih dengan tempo perlahan doom metal. Sememang ianya tidak kena dengan jiwa. Walaupun begitu ianya tidak menghalang untuk saya mendapatkan Draconian Times pula.

Peminat Gothic atau doom, ini memang album untuk anda. Terbaik!




Thursday, September 19, 2013

Still Cyco After All These Years

Lagi album yang dah 20 tahun.



Suicidal Tendencies - Still Cyco After All These Years (1993)

Nak kata album baru...Tidak. Nak kata kompilasi...pun tidak. Tetapi ini adalah rakaman semula kesemua lagu-lagu dari album pertama mereka (suicidal tendencies, 1983) sempena ulangtahun yang ke10 tahun album tersebut dan ditambah beberapa lagu dari album ke 2.

Tak pasti kenapa ianya di rakamkan semula. Dengar ceritanya album tersebut telah pun "out of print". Mungkin itu sebabnya atau ada yang kata Mike Muir ingin membuktikan dia masih Mike Muir yang dulu selepas album The Art of Rebellion yang agak komersial bunyinya. Atau saja nak cari duit lebih ketika tengah popuar. Tak kisah la apa pun sebabnya tetapi saya cukup tertarik untuk mendengar line-up Suicidal  versi thrash/metal membawakan lagu-lagu Suicidal versi hardcore.

Gambar pun mengikut kaver lama...cumanya kali ini hanya Mike Muir yang digantung terbalik. Yang lainnya tidak. Mungkin untuk mengambarkan hanya beliau sahaja anggota yang asal

Sememangnya hanya tinggal Mike Muir line-up asal. Rocky George, Robert Trujillo dan lain-lain adalah line-up baru. Di telinga saya memang tak pasti apa sangat bezanya antara hardcore dan metal ni. Yang pastinya hardcore takder solo gitar panjang. Itu jer kot bezanya. Dan disebabkan itu juga la rasa macam rugi pula tak dapat mendengar solo-solo dahsyat Rocky George dalam album ini. Mungkin Mike Muir tak mahu perubahan ketara dari versi asal. Memang sayang. Saya meminati Suicidal pun pasal kerja gitar Rocky. Lagi sayang beliau dah tak main metal pun sekarang.

Versi baru ni ada yang best. Ada juga tak berapa best terutama bab vokal Mike Muir. Macam kurang power dah. Tapi saya enjoy layan "Institutionalized". Lagu yang mengenalkan saya kepada Sucidal Tendencies selepas pertama kali mendengarnya dalam siri tv 21 Jump Street.







Wednesday, September 18, 2013

Selamat Datang




Gaji RM600,000 ++ sebulan...pergh!!! sila latih anak anda tendang bola bermula sekarang.


"Luaskan Kuasa"





Tuesday, September 17, 2013

Wayang...

Antara filem yang sempat di tonton sepanjang minggu lalu...



The Incredible Burt Wonderstone (2013)

Selepas di"magic"kan dengan menonton filem "Now You See Mee" sebelumnya. Sekali lagi menonton filem yang bertemakan silap mata atau magic. Tetapi kali ini yang bergenre komedi.

Tidaklah sehebat "Now You See Me". Tetapi kalau dah Steve Carrell, Jim Carrey and Steve Buscemi berkumpul dalam satu filem. Memang dah tau la apa jadi. Memang lawak. Tapi sayangnya dari segi jalan ceritanya agak biasa-biasa sahaja. Terlampu predictable. Tetapi lakonan Jim Carrey untuk watak jahat sebagai ahli silap mata jalanan ala-ala macam Criss Angel memang terbaik. Pada aku dia adalah penyelamat.

Boleh lah untuk happy-happy menonton waktu cuti.





World War Z (2013)

Sebuah lagi cerita pasal zombie. Ini filem budget besar. Pelakon pun dari Hollywood Kelas A. Seperti Tom Cruise, Brad Pitt adalah satu nama yang boleh jadi tarikan untuk menonton tidak kira apa cerita sekalipun. Best atau tidak. Pada aku World War Z adalah kategori pertengahan. Jalan cerita yang biasa-biasa sahaja.

Teknik CGInya memang menarik tetapi ada masanya macam over pulak. Zombienya pun nampak kartun sangat. Tiada adegan gore darah memancut kill kill die die yang keterlaluan. Mungkin kerana untuk mendapatkan rating filem untuk keluarga. Tapi kalau biasa tengok 'The Walking Dead', zombie dalan WWZ agak kurang menyeramkan.

Memang ok untuk tontonan keluarga. Tapi bagi aku kalau nak cerita zombie yang lebih best baik cari “Dawn of the Dead” (tak kira yang ori atau remake), “28 Days Later”, “Shaun of the Dead”, “Zombieland” atau pun “Planet Terror”.

Rasanya WWZ akan ada sambungan. Harap-harap sambungannya nanti akan ada betul-betul perang zombie kerana yang ini tak berapa nak berperang sangat.




Titanic (1997)

Ok..ok..jangan gelak. Metal pun layan jiwang jugak beb.

Tapi seriously, ini baru kali ke 2 aku menonton filem ini. Pertama kali ketika ianya diriliskan. Tengok vcd kalau tak silap. Mungkin dalam tahun 1998 di zaman filem ini tengah hot diperkatakan. Aku pun dah tak berapa ingat detail ceritanya. Lama sangat dah. Beberapa kali dah di tayangkan di tv, tetapi asyik aku termiss. Time aku free takder pula tv tayang. Sehinggalah hari rabu lepas ianya sekali lagi di tayangkan di astro. Dalam betuk HD pulak tu. Kena pula dengan sistem AV nya. Ini baru satu kepuasan. Heh!

Kisah epic ni tak payah lah aku nak komen apa-apa. Ada lagi ker yang tak tengok?. Tak payah la nak buat-buat habuk masuk mata...hahaha. Respek aku kat filem-filem Hollywood yang berjaya buat cerita rekaan berdasarkan peristiwa sebenar. Wajib tonton.

Tapi...seakan-akan pertama kali menonton pulak. Macamana aku boleh terlupa adanya adegan Rose suruh Jack lukis potretnya dengan hanya "Wearing this...wearing only this..."  (gulp).... bukan aku...Jack Dawson yang telan ayar liur...hahaha...







Monday, September 16, 2013

1982–1992

Album kompilasi kegemaran yang dah 20 tahun.


Europe - 1982–1992 (1993)

Jarang sebenarnya berminat dengan album kompilasi. Tetapi cd kompilasi Europe 1982-1992 ini adalah antara cd terawal yang saya beli. Semuanya adalah kerana lagu "Seven Doors Hotel".

Disebabkan zaman tersebut susah nak dapat cd album-album awal mereka dan saya suka lagu yang kumpulan Helter Skelter ciplak jadi "Antara Syurga Dan Neraka" dalam album Clash Of Bands. Maka cd kompilasi inilah yang jadi penawar. Tapi itu cerita dulu la...sekarang saya dah ada kesemua 5 album terawal mereka. (Riak Europewi...heheh...) Dan 3 album terawal mereka pada zaman John Norum itulah pada saya yang terbaik. Mereka berubah ke arah AOR selepas tu.

pic name

pic name

pic name

Cd kompilasi ini mempunyai 11 lagu dari zaman tersebut. Anda sepatutnya mendengar lagu-lagu dari album awal mereka seperti "In the Future to Come","Seven Doors Hotel" dan "Stormwind" untuk mengetahui bahawa Europe di awal kemunculannya adalah sebuah band heavy metal. Lagu-lagunya memang heavy. Heavy metal ala 80an.

Mungkin ramai kenal Europe pasal lagu "The Final Countdown" atau pun "Carrie". Tapi banyak lagi lagu mereka yang sedap. Lagu-lagu slow dia pun feeling abis. Joey Tempest memang pandai buat lagu-lagu yang melodic. Cd kompilasi ini memang pilihan yang tepat kalau anda baru nak belajar mendengar Europe. Ada 3 lagu yang tak terdapat di mana-mana album mereka termasuk "I'll Cry For You" dalam versi akustik. Kira tak rugi juga la kalau beli walaupun dah ada kesemua album mereka.






Friday, September 13, 2013

Face the Heat

Band 70an yang terus bertahan pada 20 tahun yang lalu.


Scorpions - Face the Heat (1993)

Scorpions berada di kemuncak komersialnya pada album Crazy World (1990). Sudah semestinya ini album yang sukar. Bukan senang untuk mengekalkan kedudukan di atas. Hasilnya Bruce Fairbairn di bawa masuk sebagai producer. Berbekalkan kejayaan multi platinum dengan album-album seperti Slippery When Wet (12x Platinum), New Jersey (7x Platinum), Pump (7x Platinum), Get a Grip (7x Platinum), Permanent Vacation (5x Platinum), The Razors Edge (5x Platinum), Flesh & Blood (3x Platinum) dan Balance (3x Platinum) sudah semestinya kepakarannya di tagih. Sayangnya album ini tidak berapa menjadi dari segi jualannya. Mungkin atas 2 sebab. Peminat lama seperti saya tidak lagi berminat dengan mereka kerana arah tuju muziknya yang semakin berlainan manakala peminat baru lebih terpengaruh dengan muzik grunge/alternatvie yang sedang memuncak.

Walaupun begitu saya cukup tertarik dengan lagu "Alien Nation". Kalau ini bukan metal, tak tau la nak cakap apa. Mungkin ini sound paling berat pernah dihasilkan oleh mereka di zaman tersebut. Intronya adalah antara yang paling saya suka. Kadang-kadang membuatkan saya teringatkan intro South Of Heaven. Tidaklah sama tapi feelnya hampir sama.


Sayangnya lagu-lagu lainnya kurang menyengat. Mungkin "No Pain No Gain" boleh tahan. Lagu bertema keamanan ala-ala "Wind Of Change""Under the Same Sun" pun alrite. Kebetulan pula  2 lagu tersebut adalah kolaborasi Klaus Meine bersama Mark Hudson (bapa saudara Kate Hudson) yang banyak mencipta lagu bersama untuk Aerosmith. Nampak sangat arah mereka ketika itu untuk menjadi lebih komersial.

Walaupun begitu lagu-lagu slow rock mereka memang sedap. "Lonely Nights" sedap. "Destin" dan "Daddy's Girl" yang jadi bonus track untuk pasaran Eropah dan Malaysia pun sedap. 3 lagu ini bersama "Alien Nation" adalah sebab kenapa saya meng"upgrade"nya kepada cd.




Thursday, September 12, 2013

Now You See Me

Yang sempat ditonton minggu lalu...



Now You See Me (2013)

Siapa lah yang tak minat silap mata atau magic. Gusti dan magic adalah 2 benda yang budak-budak zaman aku paling senang terpengaruh. Dulu hampir-hampir aku nak percaya David Copperfield tu bela jin...hahaha. Selepas The Prestige (2006) and The Illusionist (2006), ini adalah filem bertema magic yang aku tunggu-tunggu. Ternyata ianya berbaloi.

Lama dah tak rasa perasaan "feel good" dalam menonton movie. Now You See Me memberikan aku perasaan tersebut. Walaupun sedikit rasa terperdaya pada penghujungnya. Mungkin itulah magic macam tagline movienya "Come in close, because the more you think you see, the easier it'll be to fool you". Tekaan aku siapa the Fifth Horsemen tak mengena. Memang twistnya langsung aku tak sangka. Tak nak cerita banyak nanti spoiler.

Jalan cerita menarik, pace ceritanya bergerak pantas dari satu plot ke plot, tak boring. Mengumpulkan pelakon-pelakon hebat mengingatkan aku kepada Ocean's Eleven. Walaupun bukanlah dari A-list. Tetapi lakonan Morgan FreemanMark Ruffalo dan Woody Harrelson memang hebat. Menarik juga bila melihat Jesse Eisenberg dengan watak yang berlainan dan gaya yang lebih tampan (heheh...)

Mungkin ada beberapa perkara dalam filem ini yang menimbulkan persoalaan dan tak logik. Tetapi macam menonton persembahan magic, ada perkara yang memang kita tak boleh nak explain. Betul atau sekadar ilusi.

Pada aku, filem ini memang menghiburkan. Best!





Tuesday, September 10, 2013

Heavier Than Heaven





Heavier Than Heaven: A Biography of Kurt Cobain - Charles R. Cross

Berbulan juga nak khatamkan buku ni. Maklum la curi-curi masa sambil tunggu wife balik kerja jer yang sempat nak baca. Lagipun aku bukanlah peminat Kurt Cobain. Maka semangat nak kasi cepat abis tu tak seberapa.

Aku difahamkan ini adalah buku perihal Kurt Cobain yang paling lengkap. Tak kisah la kalau ianya bukan datang dari beliau sendiri. Dia dah tak ada. Nak buat macamana kan. Tak pasti pula adakah semua kandungannya adalah cerita benar. Pasal ada juga yang mendakwa buku ini lebih kepada versi Courtney Love. Mak beliau malah band member macam Dave Grohl pun tak pernah dijemput untuk terlibat dalam projek buku ini. Tetapi usaha pengarangnya Charles R. Cross yang membuat kajian selama lebih 4 tahun dengan mengadakan temuramah lebih dari 400 kali dan diberikan kebebasan oleh Courtney untuk membaca journal dan gambar-gambar peribadi Kurt haruslah di puji.

zaman rambut panjang itu rock...
Ini adalah buku wajib ada bagi pengemar Kurt. Kisah dari beliau kanak-kanak hinggalah kehari kematiannya. Banyak juga perihal Kurt Cobain yang baru aku tau. Ternyata beliau adalah seorang sangat seni jiwanya. Kreatif dalam hal-hal seni. Tapi apa  yang pastinya, walaupun nampak rebel. Beliau sebenarnya adalah seorang yang sangat jiwang. Banyak liriknya adalah perihal kisah cintanya. Buktinya album Nevermind adalah berdasarkan kisah cinta beliau dengan kekasih lamanya manakala In Utero pula adalah untuk Courtney Love.

Peminat Kurt Cobain patut ada buku ni.










Monday, September 9, 2013

Flick of the Switch

kumpulan lagenda dengan album mereka yang dah masuk 20 tahun.


AC/DC - Flick of the Switch (1993)

Tak kisah la zaman apa...grunge atau alternative. AC/DC tetap AC/DC. Mereka tidak pernah sellout. Ini adalah suatu perkara yang saya cukup respek dengan mereka.

Kalau ada biasa dengan BERTEROMBER, tentu anda tahu yang saya hanya mula mendengar AC/DC secara serius sejak dari tahun lalu. Tetapi saya menjadi ketagih untuk mendengar mereka selepas itu. Maka secara jujurnya saya tidak pernah mendengar Flick of the Switch ketika ianya diriliskan 20 tahun yang lalu. Pertama kali mendengarnya adalah pada penghujung tahun lalu. Ini adalah sebuah album yang tak terhegeh-hegeh, tak terkeseng-keseng, tak meleweh. Up tempo. Straight forward rock n roll. Kuatkan volume anda dan GO!!!.



Ianya mengingatkan saya kepada album-album awal mereka di era Bon Scott. Rupa-rupanya mereka sememangnya mahukan begitu, Sebuah album yang back to basic. Pada saya mereka berjaya. Soundnya raw seakan-akan rakaman live dari studio dengan sound gitarnya yang berdentum. Adik beradik Young memang tak pernah mengecewakan saya.

Lagu -lagu seperti "Rising Power", "Guns for Hire" dan "Bedlam in Belgium" memang sedap. Sayangnya jika telinga anda belum terlatih untuk mendengar AC/DC, pastinya kebanyakan lagu-lagunya akan kedengaran seperti sama. Flick of the Switch memerlukan sedikit masa. Ianya bukanlah catchy dan pop seperti Back In Black.

Bukan untuk pendengar casual. Tetapi untuk untuk peminat AC/DC khususnya, This is heavy rock n' roll!!!!




Friday, September 6, 2013

Masquerade

Kadang-kadang kita terjumpa filem yang bagus dengan tidak di sengajakan


Masquerade (2012)

Menonton astro secara random menemukan saya dengan filem Gwanghae: The Man Who Became King atau nama lainnya Masquerade. Ia adalah sebuah filem Korea yang ditayangkan di astro box office channel 952.

Sesungguh saya tidak pernah tahu keujudan filem ini. Hasil pen'google'an baru lah saya tahu yang rupa-rupanya filem ini adalah filem ke 4 yang mendapat kutipan box office tertinggi dalam sejarah filem Korea Selatan. Memenangi banyak anugerah filem di Korea Selatan termasuklah filem, pengarah, pelakon dan lakon layar terbaik. Memang tak boleh di nafikan kerana sememangnya filem ini bagus.

Filem fiksyen yang berlatarbelakangkan sejarah sebenar Korea Selatan di zaman Raja Gwanghae (1574-1641) ini asalnya nampak seperti sebuah filem serius yang membosankan. Tetapi selepas beberapa minit saya mula menyukainya. Tambah menarik bila ianya diadunkan dengan elemen komedi yang tidak berlebihan. Kekuatan utamanya jelas pada lakonan terbaik dari Lee Byung-hun. Saya tidak berapa mengenali pelakon ini. Maklumlah saya bukannya peminat K-Pop (heheh...). Tapi saya pernah melihat lakonannya dalam Joint Security Area (2000), A Bittersweet Life (2005) dan The Good, the Bad, the Weird (2008). Ternyata dia bukan calang-calang pelakon malah pernah memegang watak Storm Shadow dalam filem Hollywood, G.I. Joe: The Rise of Cobra, dan sekuelnya G.I. Joe: Retaliation.

Secara ringkasnya cerita ini berkisarkan seorang rakyat biasa yang mukanya seiras raja di upah untuk menggantikan raja yang sakit secara rahsia. Dalam tempah 15 hari "pemerintahannya" beliau mengunakan kuasanya untuk membela rakyat dan mula disukai oleh pekerja istana termasuk memikat semula hati permaisuri. Cerita seterusnya sila tonton sendiri. Ada yang kata idea ceritanya seakan filem "The Prince & The Pauper". Tetapi saya tidak pernah menonton filem Mark Twain ini. Maka tak boleh lah nak buat perbandingannya.

Kepada sesiapa pelanggan Astro Super Pack atau yang ada melanggan Astro Box Office masih boleh menontonnya disepanjang bulan September ini. Selamat berK-Pop!




Thursday, September 5, 2013

Get a Grip

Ni makanan Portdy. Album yang dah 20 tahun.


Aerosmith - Get A Grip (1993)

Kalau sebut Get A Grip saya terbayang Alicia Silverstone dan lagu-lagu power ballads "Amazing","Crazy" dan "Cryin". Suka betul tengok makcik ni dulu. Mana entah agaknya sekarang.

Tak boleh dinafikan kekuatan album ni sememangnya terletak kepada 3 lagu tersebut. Bukan mudah di zaman grunge menguasai MTV, band yang bukan grunge, band 70an pulak tu dapat menembusi pasaran mainstream. Menurut Steven Tyler dalam buku biographinya, 3 lagu power ballad ini dirakam sememangnya atas kehendak syarikat rakaman. Sell out atau tidak, formula ini sememangnya menjadi. Tetapi sekurang-kurangnya lagu ni lebih rock dari lagu leleh yang menjadi lagu no 1 pertama mereka, "I Don't Want to Miss a Thing". Yang ni lagi sell out tetapi lagi berjaya.


Rasanya dengan Get A Grip, Aerosmith sekali lagi membuktikan yang formula mereka berjaya hingga membawa ke 3 zaman. Dari 70an dengan album klasik seperti "Toys in the Attic". Menyelit di zaman Hair Metal dengan album "Pump". Kini kembali menembusi tembok grunge dengan "Get A Grip". Mungkin peminat mereka dari era "Toys in the Attic" tidak suka, "Pump" pun bagi mereka adalah sebuah album yang komersial, apatah lagi "Get A Grip".

Tak kisah la kalau ada yang cakap GAG terlalu komersial. Tetapi bagi casual fan macam saya kira ok la. Lagu-lagu rancak macam "Eat the rich" dan "Fever" memang sedap. Tapi paling saya suka lagu “Livin’ On the Edge”. Sedap. Melodic. Solo Joe Perry yang lazat. Suara Steven Tyler yang tak tua-tua. Muzik video dia pun best...walaupun yang ni tiada Alicia Silverstone. :P




Tuesday, September 3, 2013

Before Midnight

Akhirnya...dalam sibuk-sibuk beraya...sempat juga menonton..


Before Midnight (2013)

Sila rujuk entri Before Sunrise dan Before Sunset untuk lebih memahami apa yang saya bebelkan untuk entri ini.

Rating tinggi di IMDB dan Rotten Tomatoes membuatkan saya bersemangat untuk menonton. Apakah penantian selama 9 tahun (atau 18 tahun keseluruhannya) adalah berbaloi?. Tetapi sebelum itu sekali lagi diingatkan, filem ini bukanlah untuk mereka yang gemarkan filem aksi. Kalau tak tahan menonton cerita genre drama yang banyak cakap, anda di nasihatkan jangan menonton. Konpem akan tertidur. Tetapi bagi yang bercadang untuk menonton dan telinga anda tak cukup tajam untuk menangkap apa yang dibualkan, sila cari sarikata. Sememangnya kekuatan filem ini selain lakonan bersahaja Ethan Hawke dan Julie Delpy adalah dialog-dialog yang diucapkan oleh mereka berdua.

Ternyata menonton filem ini bagi generasi yang sebaya saya, sudah pastinya terasa dekat di hati. Before Sunrise ketika saya remaja (zaman bercinta). Before Sunset dizaman awal dewasa (zaman baru berkahwin) dan Before Midnight adalah zaman life begins at 40. Maka topik perbualannya untuk kali ini adalah bab-bab masaalah rumahtangga. Boleh dikatakan hampir 70% nya berkisar hal tersebut. Hidup berumahtangga tidak selalunya indah. Ini lah realiti yang cuba diceritakan oleh Richard Linklater.

Disebabkan topiknya topik orang dewasa, cerita ini sememangnya tidak sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Banyak dialog dan ada adegan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Pertama kali saya menonton franchise Before ini bersama isteri. Walaupun awalnya beliau mengeluh mengantuk. Tetapi bila melepasi halangan 20 minit pertama, ternyata dialog-dialognya filem ini menyegarkan matanya. Kalau isteri saya yang sering tertidor semasa menonton dapat menghabiskannya. Maka bolehlah dikatakan cerita ini sememangnya berjaya.

Pendapat saya ianya tidak sebaguslah 2 filem awalnya. Bagus tu bermaksud topik perbualan mereka. Yang lainnya semua bagus. Lakonan mereka tetap tip top. Kegemaran saya tetap kepada Before Sunrise. Zaman mereka remaja. Mungkin kerana saya masih terkenang-kenangkan zaman remaja saya juga. Julie Delpy pun dah nampak tua.

Apa-apa pun saya mengharapkan ada lagi sambungannya 9 tahun akan datang. Kalau kali ini lokasinya Greece, ntah mana pula lokasi untuk seterusnya. Dan boleh juga guna tajuk Before Noon atau mungkin sahaja Before Dawn. Tetiba pula teringatkan lagu Judas Priest.



Monday, September 2, 2013

Candlebox

Kembali lagi ke zaman grunge...album yang dah berumur 20 tahun...



Candlebox - Candlebox (1993)

Tak pasti apakah muzik Candlebox boleh dipanggil sebagai grunge. Atau mungkin kerana mereka berasal dari Seattle maka mereka dilabel sebagai grunge. Ada juga terbaca yang mengatakan mereka sebagai post-grunge. Tak kisah la apa label pun. Yang penting sedap. Bagi aku mereka adalah modern hard rock (modern untuk tahun 90an la).

Walaupun begitu memang ada sedikit pengaruh Soundgarden dan Alice In Chains. Perkara macam ni memang tak boleh nak elak bila kita berada di zaman tu. Ambil contoh Tesla. Mereka bukan glam atau hair metal. Mereka adalah hard rock. Tapi disebabkan mereka berada di tahun 80an, sedikit sebanyak pengaruh tu ada. Begitulah juga dengan Candlebox.


Jujurnya aku tertarik untuk membeli kaset ini kerana imej mereka. Imej rambut panjang yang ditonton melalui video clip lagu "You" yang agak kerap juga diputarkan di MTV channel 5 tv Singapura. Zaman tu nak cari band rock rambut panjang dah susah. Tambahan pula lagu "You" tu memang sedap. Aku memang suka dengan band-band yang ada solo gitar di zaman anti gitar solo ni. Tak silap aku pernah ada cdnya yang aku dapat percuma dari DJ radio Best 104, Bobby Borhan Din. Tapi tak pasti mana entah hilangnya.

Pada aku, mereka bersama-sama Soul Asylum, Collective Soul, Gin Blossoms, Blind Melon dan ada beberapa lagi yang aku dah lupa adalah generasi terakhir rock band yang aku boleh masuk kepala. Malah aku lebih suka mereka berbanding band-band grunge sendiri. Generasi selepas itu seperti Matchbox 20, Creed dan nu-metal memang aku tak masuk kepala.