Tuesday, February 28, 2017

Sofea - 16 Lagu Hits Best Of The Best

Lagi yang dah 20 21 tahun...


Sofea - 16 Lagu Hits Best Of The Best (1996)

Lagi yang tertinggal dari draft tahun lepas. Tak pasti sekarang ni dah jadi barang "rare" atau tidak. Tetapi suatu masa dulu sering juga nampak cd ini di kedai. 

Sebelum bermulanya trend cd reissue, kira cd ini lah tempatnya nak dengar lagu-lagu mereka di dalam bentuk cd. Sekarang tak pandang dah kan... Semua album mereka telah pun di"cd"kan.



Dulu beli semata-mata kerana nakkan lagu-lagu dari album "Kembali". Tetapi sayangnya cuma ada satu lagu, "Debu Khayalan".  ("Orang Timur" dan "Mata Sepet" tak kira, itu dari album Battle Of The Bands). Lainnya semua lagu dari album yang terkemudian. Saya kurang berminat dengan Sofea di era Fancy sebagai gitaris.







Monday, February 27, 2017

Hidden Figures

Memang tak sempat dah...pagi ni dah Academy...hanya berjaya tonton 5 dari 9 calon filem terbaik Oscar...


Hidden Figures (2016)

IMDB: 7.9/10 / Rotten Tomatoes: 92%

"The story of a team of African-American women mathematicians who served a vital role in NASA during the early years of the US space program."

Siapa suka filem berdasarkan kisah benar dan sejarah rasanya tak akan ada masalah untuk suka. Berlatarbelakangkan era 60an dimana isu diskriminasi kulit hitam masih berleluasa dan perlumbaan ke angkasa lepas di antara Amerika Syarikat dan Rusia sedang hangat dipertaruhkan. Sejarah bermulanya IBM, komputer pertama di dunia juga ada di ketengahkan.

Ianya menceritakan kisah Katherine Johnson, seorang ahli matematik berkulit hitam bersama 2 orang rakannya, Dorothy Vaughn dan Mary Jackson yang berkerja West Area Computer Division di Langley Research Centre yang menggunakan kepakaran beliau dalam bidang matematik untuk membantu kejayaan NASA melancarkan angkasawan Amerika pertama yang berjaya mengelilingi orbit bumi.

Seperti tajuknya, mereka adalah wira yang tak didendang. Kalau tak tengok filem ini tak tahu pun yang mereka adalah antara figura penting dalam sejarah angkasalepas Amerika Syarikat. Ketabahan mereka menghadapi kerenah diskriminasi kaum yang mana bilik air, tempat kerja, tempat makan dan lain-lainya diasingkan mengikut warna kulit memang patut dipuji. Adegan beliau terpaksa berjalan kaki jauh ke bangunan lain semata-mata untuk ke tandas golongan kulit hitam memang menyedihkan. Namun kebijaksanaan dan kecekapan mereka dalam berkerja berjaya memecah tembok diskriminasi dan menjadi pioneer didalam bidang masing-masing.

Secara keseluruhan jalan ceritanya memang menarik. Dalam serius ada juga lawaknya. Watak-watak utamanya, Taraji P. Henson, Octavia Spencer dan Janelle MonĂ¡e memang cemerlang. Emosi mereka memang terasa di hati. Suka juga watak Kevin Costner sebagai boss yang memahami. Tak lupa juga Kirsten Dunst, walaupun adegannya tak banyak...tetapi bekesan.

Menang atau tidak...itu soal kedua. Tabik kepada yang menjayakan filem ini. Tanpanya, kita tak akan tahu pasal mereka...



Saturday, February 25, 2017

Abigail

Yang menyambut ulang tahun ke 30 semalam, 24hb Februari...


King Diamond - Abigail (1987)

Ini kenangan zaman sekolah. Tak pernah beli kasetnya. Tapi pinjam kawan. Drummer band zaman sekolah yang mengenalkannya. Beliau peminat setia King Diamond. Disinilah bermulanya kenal drummer lagenda, Mikkey Dee dan gitaris hebat, Andy LaRocque.

Pengalaman pertama mendengar muzik sebegini membuatkan rasa kagum. Memang berbeza dengan heavy metal yang biasa. Abigail adalah sebuah album yang progressif dan teknikal tetapi dalam masa yang sama sangat melodic. Tetapi yang utamanya kerja gitar Andy LaRocque sememangnya lebih berhantu dari cerita hantu yang terdapat di dalam lirik-lirik lagunya.

Kesinambungan dari Fatal Potrait, King Diamond meneruskan lirik lirik cerita seram. Ini adalah permulaan bermulanya album konsep untuk King Diamond. Abigail mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang berpindah ke rumah pusaka yang berhantu. Gaya penceritaannya menarik. Mendengarnya sambil menghayati lirik berseorangan di tengah malam memang terasa seramnya.


Pada saya, selain Seventh Son of a Seventh Son - Iron Maiden, Operation: Mindcrime - Queensryche dan beberapa buah album Savatage dan King Diamond yang lainnya,  ini adalah album konsep bercirikan metal yang terbaik pernah dihasilkan. Memang masterpiece!

Lagu kegemaran saya adalah "A Mansion In Darkness". Entah mengapa setiap kali mendengar lagu "Perintah Berkurung" dari Belantara pastinya akan mengingatkan saya kepadanya. Ada sedikit persamaan melodi Aziz dengan Andy LaRocque.




Thursday, February 23, 2017

Facing the Animal

Yang 20 tahun pada hari ini, 23 februari....


Yngwie J. Malmsteen - Facing the Animal (1997)

Suka atau benci. Malmsteen akan tetap menjadi Malmsteen. Ini album beliau yang ke 10. Kalau yang tak suka, akan tetap juga tak suka. Tetap juga akan mencari salah. Mungkin Malmsteen sendiri pun dah sedar tentang perkara itu. Maka tak perlulah beliau melakukan sebarang experimen. Tiada yang baru. Facing The Animal sememangnya khas untuk peminat setia beliau. (seperti saya)

Ada gabungan dari Odyssey, Eclipse dan Fire & Ice. Solo-solo yang berdesup. Tip top! Namun begitu Facing The Animal juga mementingkan lagu. Banyak melodi yang sedap. Tak kira yang laju, mid tempo ataupun balada. Paling best adalah "Braveheart". Ada riff "Over the Hills and Far Away" dari Gary Moore.


Ianya juga menjadi pembuka jalan untuk vokalisnya Mats Leven mencipta nama. Selepas Malmsteen, beliau pernah terlibat dengan At VanceTherion dan terkini bersama Candlemass. Vokal bagus. Ada juga yang membandingkan beliau dengan Jeff Scott Soto.

Satu lagi yang menarik tentang album ini adalah ianya merupakan antara hasil kerja terakhir drummer lagenda, Cozy Powell. Peminat ketukan drum beliau patut ada album ini.

Sound baik. Lagu sedap. Gitar berapi. Apa lagi yang anda mahu dari Malmsteen. \m/




Wednesday, February 22, 2017

La La Land

Yang ke 4 dari 9 senarai filem terbaik Oscar...Rasanya macam tak sempat dah nak habiskan kesemua 9 filem sebelum hari Academy Awards pada 27hb Feb ni...


La La Land (2016)

IMDB: 8.5/10 / Rotten Tomatoes: 93%

"A jazz pianist falls for an aspiring actress in Los Angeles."

Tak minat sangat filem muzikal. Memori pertama tentang filem muzikal di zaman kanak kanak adalah filem-filem John Travolta dan Olivia Newton-John. Footloose pula adalah kenangan di zaman meningkat remaja. Selain dari itu memang tak berminat untuk menonton. Tak kisahlah walau sepopular mana pun filem tersebut.

Sebagai seorang mat metal memang terasa pelik sedikit bila menonton filem sebegini...Tetapi kerana Emma Stone terus gagah juga untuk menonton...haha... Tetapi yang pastinya gerak tari (koreografi) tariannya sememang memukau. Paling suka adegan awal tarian di ketika jem di highway tu. Memang terbaik. Hehe...

Kalau tengok watak Ryan Gosling dalam Drive, yang kayu dan bosan tu tak sangka pula beliau pandai menari. Tak hairanlah beliau tercalon dan menjadi antara pilihan utama untuk menang anugerah pelakon terbaik. Tambah-tambah selepas beliau menang anugerah di Golden Globe Awards.

Pada saya jalan ceritanya agak straight forward. Kisah antara cinta dan mengejar cita-cita. Biasa biasa sahaja. Mungkin yang menjadi menarik kerana ianya filem muzikal. Tarian dan lagu-lagunya menjadi perencah utama. Antara favourite untuk menang filem terbaik.




Tuesday, February 21, 2017

Manchester by the Sea

Yang ke 3 dari 9 filem yang tercalon untuk filem terbaik anugerah Oscar...


Manchester by the Sea (2016)

IMDB: 8.1/10 / Rotten Tomatoes: 96%

"An uncle is asked to take care of his teenage nephew after the boy's father dies"

Perkataan "Manchester" menjadi penarik utama untuk menonton. Maklumlah sebagai peminat kelab bolasepak Manchester United, apa-apa yang berkaitan Manchester, kecuali Manchester City pastinya akan menarik perhatian...hahaha.. Tapi filem ni tiada kena mengena pun dengan Manchester United.

Manchester-by-the-Sea sebenarnya adalah sebuah pekan kecil di Cape Ann, Essex County, Massachusetts di Amerika Syarikat. Pekan yang mahu dilupakan oleh Lee Chandler (Casey Affleck). Beliau yang bertugas sebagai penyelia bangunan, digambarkan sebagai seorang yang anti sosial.

Kematian abangnya menyebabkan beliau terpaksa kembali ke pekan tersebut. Tanpa beliau sedari, beliau diwasiatkan untuk menjaga anak abangnya. Sejarah silam dan tanggungjawap terhadap anak saudaranya menjadi beliau dalam dilema.

Drama kekeluargaan dan kehidupan sebenar sebegini sememangnya menarik minat saya. "My kind of movie". Lakonan yang mantap. Dialog bersahaja yang nampak cukup "real". Lokasi pengambaran yang menarik. Perjalanan ceritanya teratur. Drama yang tidak buat rasa mengantuk. Kita juga dapat ilmu bagaimana proses pengurusan mayat di sana.

Saya harap Casey Affleck menang pelakon terbaik. Rasanya dia lebih bagus dari abangnya Ben Affleck. Lucas Hedges yang melakonkan watak sebagai anak saudara juga cemerlang. Ada chance juga untuk menang pelakon pembantu terbaik. Tetapi yang paling utamanya, selepas menonton 3 dari 9 yang tercalon, saya mengharapkan ini adalah filem terbaik. (mungkin juga terlalu awal untuk saya mengatakan begitu....)




Monday, February 20, 2017

Arrival





Arrival (2016)

IMDB: 8.1/10 / Rotten Tomatoes: 94%

"When twelve mysterious spacecraft appear around the world, linguistics professor Louise Banks is tasked with interpreting the language of the apparent alien visitors."

Cerita kedua yang ditonton dari 9 buah filem yang tercalon di anugerah Oscar. Antara filem favourite untuk menang anugerah filem terbaik.

Sejujurnya saya tertidur dalam 2 kali percubaan untuk menontonnya. Kali ke 3 baru berjaya. Jalan ceritanya yang agak perlahan dan menontonnya selepas tengah malam memang tidak membantu. Tambah pula ianya sebuah filem yang perlukan lebih penghayatan.

Ini bukan filem aksi alien menakluk bumi. Tetapi lebih kepada cerita seorang professor pakar bahasa, Dr. Louis Banks lakonan Amy Adams dan seorang mathematican , Ian Donelli (Jeremy Renner) yang ditugaskan untuk menterjemahkan maksud dan kehendak makhluk asing yang kapal angkasa mereka mendarat di bumi.

Dalam proses itu, Dr. Banks dapat melihat apa yang akan berlaku kepada diri beliau di masa hadapan. Kalau tak menghayati betul-betul memang susah nak faham. (kerana adanya terselit adegan-adegan masa hadapan yang pada awalnya saya ingatkan flashback masa lampau). Ini filem yang memerlukan penontonnya untuk berfikir. Saya tidak mempunyai masalah dengan filem sebegini (Interstellar contohnya) tetapi plotnya kurang menarik minat saya. Kurang unsur saspen yang boleh membuatkan saya teruja untuk nak tahu apa kisah seterusnya. Makhluk asing berbentuk seperti sotong memang tidak banyak membantu..haha..

Tak pernah lagi filem sains fiksyen memang filem terbaik. Mungkin Arrival yang pertama. Tetapi ikut selera dan kata hati saya... mungkin tidak...




Saturday, February 18, 2017

Fighting The World


Yang genap 30 tahun semalam, 17hb Februari...


Manowar - Fighting The World (1987)

Ini antara album Manowar kegemaran. Kerana lagu-lagu dan juga nilai nostalgianya. Ianya antara album mereka yang mula-mula saya dengar walaupun tidak pernah memilikinya sehinggalah zaman kenal e-bay.

Album pertama mereka dengan label dan bajet besar. Maka soundnya lebih bersih (polished). Mungkin ada yang tidak suka. Tetapi bagi saya sound begini dapat mengambarkan muzik Manowar yang sebenar. Ianya bukanlah Manowar kalau tidak bombastic, over the top, larger than life melodic heavy metal. Memang power!

“Blow Your Speakers” adalah antara lagu mereka yang mula-mula saya berkenan. "Cary On" pula walaupun agak komersial tetapi mungkin ianya tribute mereka kepada Judas Priest. Ianya mengingatkan kepada lagu-lagu Judas Priest seperti “Defenders Of The Faith”, “United” atau “Take On The World”.


“Defender”, "Fighting The World", “Violence & Blood Shed”, “Holy War” dan terutamanya “Black Wind, Fire And Steel" adalah apa kita mahu dan harapkan dari Manowar. Lagu-lagu yang catchy, shredding solo, ketukan drum yang padu, bass yang meletup-letup dan vokalnya yang bertenaga. Ini adalah ramuan terbaik untuk heavy metal.

Senang cakap, tak cukup heavy metal lah kalau tak dengar Manowar!

Blow Your Speakers!!!



Thursday, February 16, 2017

Fatal Portrait

Lagi entri yang tertinggal dari tahun lepas (dah masuk setahun dah) Yang menyambut ulang tahun ke 21, esok (17hb  Februari)...


King Diamond - Fatal Portrait (1986)

Album pertama King Diamond. Tetapi yang ke 5 yang saya dengar darinya selepas Abigail, Them, Conspiracy dan The Eye. Kalau bab membeli pula ianya yang ke 3 selepas Abigail dan Abigail 2. Agak lambat juga dalam mengumpul muzik King Diamond secara fizikal.

Fatal Portrait agak sedikit berbeza dengan muzik Mercyful Fate walaupun 3 daripada 5 ahlinya adalah orang yang sama. Ianya tidaklah seberat Mercyful Fate dan bolehlah dikatakan lebih progressif/theatrical dan lebih bermelodi.


Tetapi yang paling nyata adalah dari segi liriknya. Tiada lagi tema satanic/occult tetapi lebih kepada cerita seram. Memang kenalah dengan suara mengilai King Diamond. Dengar malam-malam memang seram.

Kemasukan shredder, Andy LaRocque dan drummer lagenda, Mikkey Dee adalah "plus point"nya.






Tuesday, February 14, 2017

Darjah Satu - vinyl

Demam reissue lp rock melayu berterusan...


XPDC - Darjah Satu (2017 vinyl - Edisi Terhad 300 keping 180 gram Japanese Pressed)


Yang terkini di pasaran. Khabarnya dah "sold out". Harganya boleh tahan…boleh tangan mengigil tangan nak bayar…huhu…


Tak pandai sangat bab sound. Tetapi mendengarnya menggunakan set-up marhaen seperti saya bunyinya agak boleh tahan. Sama seperti keluaran Life Records sebelum ini (Rusty Blade - 786 Ikrar Perwira), ianya memang tidak mengecewakan.


Cuma agak janggal juga bila piring hitamnya dikeluarkan dari belah atas. Tak perasan pada awalnya. Hampir-hampir juga terjatuh. Lainnya tak ada nak komplen. Cuma gambar covernya tu agak blur. Mungkin syarikat rakaman pun dah tak simpan gambar asal.


Secara keseluruhannya puas hati. Tapi kalau boleh harganya biarlah mampu milik. Janganlah jadikan negara pengeluarnya sebagai penyebab. Iyer faham. Ini bukan untuk golongan marhaen...tapi...kalau boleh  lah....


Apa-apa pun terimakasihlah kepada yang terlibat. Khabarnya selepas ini giliran Rintangan Hidup Dunia....atau mungkin juga Fenomena.....




Monday, February 13, 2017

Harris Bookstore @ AEON Tebrau City




Sini pun dah ada jual piring hitam...tapi tak banyak pilihan...tak sampai 30 keping kot....tapi harganya memang tak berapa nak mampu milik....



Saturday, February 11, 2017

Schizophonic


Yang dah 20 tahun hari ini, 11hb Februari....(Saudara Myownmind pemilik blog "Love can sometimes be like magic. But magic can sometimes...just be an illusion"  tentu suka ni)


Nuno Bettencourt - Schizophonic (1997)

Saya suka Nuno. Dia handsome. Rambut pun lawa. Haha..

"Seriously speaking"... Dia memang gitar hero saya. Walaupun ramai yang menganggap beliau hanya sekadar klon Eddie Van Halen. tetapi dia klon yang sangat bagus.

Sebenarnya tak pasti apakah album ini keluaran tahun 1997. Ikut di kaset di catatkan sebagai 1996. Tetapi carian di internet semuanya mengatakan ianya keluaran 1997. Mungkin juga ianya siap dan dicetak pada tahun 1996 tetapi hanya diedarkan pada 11hb Februari, 1997.

Tak kisahlah semua itu. Yang penting isi kandungnya. Ini album solo pertama beliau. Tetapi jika anda mengharapkan ianya seperti Extreme, mungkin anda akan kecewa. Extreme sendiri telah berubah pada album Waiting for the Punchline (1995)Schizophonic mirip ke arah itu tetapi dengan lebih perencah modern rocknya.


Dan jika anda berharapkan ianya sebuah album gitar hero, pastinya juga anda akan kecewa. Mungkin tiada apa lagi yang perlu beliau buktikan. Schizophonic lebih menumpukan kepada kebolehan beliau dalam penciptaan lagu dan keupayaan beliau menyanyi. Sebelum ini pun beliau pernah berduet dengan Gary Cherone dalam beberapa buah lagu Extreme ("More Than Words", contohnya). Sedap juga vokal beliau. Malah hampir keseluruhan album ini alatan muziknya dimainkan oleh beliau kecuali 2 lagu yang drumnya dimainkan oleh Mike Mangini.

Saya mulanya agak kecewa. Tetapi sekarang suka. Walaupun bukan album shredder, tetapi masih ada kerja gitar dan solo-solo beliau yang hebat. Tetapi yang menariknya adalah melodi lagu-lagunya. Memang sedap. Semakin lama dengar semakin sedap. Ntah mengapa dalam banyak2 lagu, "Crave" cukup melekat. Melodinya memang sentiasa terngiang-ngiang di kepala.

Sangat rekomended untuk mereka yang gemarkan irama modern rock 90an. Sayangnya tak ramai yang tahu. Memang "hidden gem".

Terbaik!!





Thursday, February 9, 2017

Hukum Karma - Limited Gold Edition cd



Wings - Hukum Karma (Limited Gold Edition - 2017)

Dapat cd ni isnin lepas, benda pertama yang saya buat adalah dengar 2 lagu bonusnya. Memang beli cd ni pun semata-mata pasal nak dengar lagu bonus tersebut. Tapi...baru dengar beberapa saat dah rasa tak tahulah samada nak menyumpah atau ketawa. Terus simpan dalam rak tanpa dengar pun lagu-lagu lainnya.


Ini memang contoh terbaik macamana syarikat rakaman nak buat duit lebih. Asalnya macam malas dah nak buat entri. Tapi bila terbaca posting seorang rakan di Facebook, memang rasa ulasan dia dah cukup dah mengambarkan apa yang saya rasa.

Dengan izin, saya kongsikan la apa yang beliau tulis...

Review ringkas dari Dr Mohd Rizal Azuar

Aku berasa sangat teruja dapat memiliki CD keluaran semula ini. selepas hampir 30 tahun di terbitkan, memang selayaknyalah album Hukum Karma ini mendapat sentuhan emas.
Dan hasilnya mmg tidak mengecewakan. Di saat mata memandang pada kulit luarnya..dapat dilihat betapa ekslusifnya CD ini...tak perlu ada gambar ahli kumpulan Wings..bila lihat tulisan emas yang memancar itu, orang buta pun boleh jadi celik..memancar-mancar. apatah lagi bila di buka..Ya Allah..gembiranya hati tak kala melihat warna kuning taik gigi atau orang putih panggil Limited Gold edition itu.

Hati pula tak sabar tak kala mendengar 2 lagu bonus itu...apa yang boleh di katakan rakaman live ini adalah yang terbaik pernah di buat di dunia kerana nyanyian dan permainan anggota Wings sebijik macam rakaman asal..kagum sungguh...kalau tak kerana tepukan gemuruh penonton kita tak akan sangka ini cuma rakaman kat tapak funfair.
dan yang paling best..button badge tu...mmg cantik..sampai aku berebut2 dengan anak aku...
Belilah CD ini 4 atau 5 keping seorang kerana ini adalah versi terbaik Hukum Karma dan aku yakin dalam masa 100 tahun lagi nilai CD ini akan melonjak dari RM35 ke RM 2.6 Billion.
Wassalam



Hehehe...Terbaik doc!


*sesiapa yang belum pernah ada cd Hukum Karma, boleh la kot kalau nak beli (tapi pada saya elok cari pressing yang lama...gambar cover asli..) ...tapi kalau yang dah ada...tapi ada duit terlebih...memang peminat mati keras Wings...atau collector...hoarder....scalper..beli ajer la...korang punya duit kan...




Monday, February 6, 2017

Hell or High Water

Cuba untuk menghidupkan semula tradisi menonton kesemua filem-filem yang tercalon untuk kategori filem terbaik di anugerah Oscar. Tahun lepas tak buat..


Hell or High Water (2016)

"A divorced father and his ex-con older brother resort to a desperate scheme in order to save their family's ranch in West Texas."

IMDB: 7.7/10 / Rotten Tomatoes: 98%

Filem pertama yang ditonton dari senarai. Mengisahkan Toby (Chris Pine) dan abangya seorang bekas banduan, Tanner Howard (Ben Foster), merancang untuk melakukan beberapa siri rompakan bank dalam usaha untuk menyelamatkan ladang keluarga mereka daripada ditutup. Rancangan mereka cuba dihalang oleh Texas Ranger yang hampir bersara, Marcus Hamilton (Jeff Bridges) dan rakan sekerjanya seorang red indian, Alberto (Gil Birmingham).

Ini filem koboi alaf baru. Jika anda menyukai filem ala "No Counry For Old Man" pastinya yang ini pun anda akan suka. Selain plot yang menarik (kenapa mereka merompak dari syarikat bank yang sama), Chris Pine dan Ben Foster walaupun tidak tercalon untuk sebarang anugerah memberikan kita lakonan yang menyakinkan. Lakonan mereka membuatkan kita rasa bersimpati dan mahukan mereka berjaya walaupun kita tahu yang mereka adalah penjenayah.

Tetapi kredit patut diberikan kepada  Jeff Bridges. Watak seorang Polis Renjer yang hampir besara tetapi mahukan kejayaan cemerlang terakhir dalam karier sememangnya sangat sesuai dengan beliau. Tak hairanlah kenapa beliau tercalon untuk kategori pelakon pembantu lelaki terbaik. Harapnya beliau menang.

Tempo yang sesuai. Tidak terlalu perlahan. Karakter menarik. Filem yang sangat bagus. Antara kegemaran saya untuk tahun 2016. Tetapi rasanya agak sukar untuk juga untuk menang. Kira "underdog" la.



Saturday, February 4, 2017

Ixnay on the Hombre

Yang menyambut ulangtahun ke 20 pada hari ini, 4hb februari...


The Offspring - Ixnay on the Hombre (1997)

Penangan dari Smash. Maka terbeli yang ini. Tetapi sekadar kaset. Zaman ini masih ada pilihan samada mahu membeli kaset ataupun cd. Minat sekadar "casual listener" maka membeli kaset adalah pilihan yang lebih ekonomi.

Tak berapa arif tentang scene pop punk atau punk rock 90an ni. Tetapi dalam beberapa band yang saya cuba dengar antaranya Rancid, NOFX, Pennywise dan Blink 182. Saya rasakan mereka yang paling saya suka selain Green Day. Maaf cakap, saya lebih sukakan genre sebegini berbanding grunge. Lagu lagu mereka lebih ceria, fun dan tidak meleweh.


Berada di dalam label besar tidak banyak mengubah mereka. Mungkin dari segi rambut tetapi muzik mereka masih hampir sama. Cumanya pada saya sound mereka kini lebih berat. Lebih rocking. Tak mudah untuk mengatasi pencapaian Smash. Itu album "breakthrough" mereka. Tetapi Ixnay on the Hombre mempunyai banyak lagu sedap, catchy. "The Meaning Of Life", "Mota", "All I Want" adalah antara yang menjadi pilihan.

Walaupun tiada lagu sepopular "Come Out And Play", tetapi Ixnay of the Hombre tetapi sebuah album pop punk yang patut didengar dari era 90an.... yayayayaya..







Thursday, February 2, 2017

The Gathering

Yang dah 21 tahun....


The Gathering - VSP Ultimate Underground Collections (1996)

Antara cd yang terlupa ada dalam simpanan. Baru perasan tarikh diterbitkan adalah tahun 1996. Terlepas untuk buat entrinya pada tahun lepas.

Cd ini di beli pada penghujung 90an. Di sebuah kedai kaset di Plaza Tesek, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor. Muzik Valley kalau tak silap. Lama dah tutup kedai ni. Memang dah tak ada rasanya kedai kaset kat situ. Plaza Tasek pun rasanya dah bertahun tak saya kunjungi. Kedai tersebut walaupun banyak lagu cina, tetapi mereka banyak juga menjual cd-cd band underground tempatan terutama terbitan VSP. Ada beberapa tajuk juga yang sempat saya beli.


Jujurnya pada ketika itu saya agak ketinggalan dengan scene underground tempatan.Kemaruk bercintan pada pertengahan tahun 90an adalah salah satu dari sebabnya..haha..Cd kompilasi ini merupakan tempat saya untuk mula kembali mendengar apa yang saya tertinggal di pertengahan tahun 90an.

Dalam banyak-banyak band dalam kompilasi ini, hanya yang tak metal macam Carburator Dung dan Lost Souls sahaja yang saya ada album penuhnya. Yang metal pula cuma D'Cromok. Tersangat la "poser"nya saya ini...hahaha...


Dengar lagu "Boo Hoo Clapping Song", mengingatkan saya kepada kaset "Song For Friends". Ianya sekarang telah pun selamat menjadi milik Tuan Adi Herman pemilik blog Molotov Cocktailz. Dengar ceritanya harga kaset tersebut sekarang agak "keras" juga di pasaran....