Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk 😂 dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE 😅). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Tuesday, April 28, 2020

Hiburan WFH - Surf Nicaragua

Lagi seisi mendengar muzik sambil berkerja dari rumah...


Sacred Reich - Surf Nicaragua EP (1988)

Lama dah cari EP ni. Sejak-sejak kali pertama tahu mengenai kewujudannya pada tahun 1990. Selalu baca ulasan yang bagus-bagus di majalah dan fanzine tetapi tak berjaya nak dengar. Faham-faham sahajalah zaman sebelum wujudnya internet. Semuanya kena cari secara fizikal. Kalau rakan-rakan pun tak ada memang tak adalah jawapnya. Bukannya ada dijual di kedai.

Ini adalah antara yang terawal di cari sejak bermulanya zaman internet dan MP3 pada penghujung 90an dalu. Tetapi secara fizikalnya baru sahaja dapat di miliki pada penghujung tahun lepas. Akhirnya selepas 30 tahun pencarian.

Ini memang klasik American thrash. Memang makanan. Tak ada apa yang tak suka berkenaannya. Lagu yang menjadi tajuk EP ini pun dah buat rasa berbaloi untuk membeli cdnya. Mungkin cover War Pigs - Black Sabbath versi mereka bukanlah yang terbaik, tetapi lagu-lagu lainnya memang buat hangguk kepala.

Sila cuba...itupun kalau anda sukakan American Thrash!...

Sunday, April 26, 2020

Hiburan WFH - Kerajaan Cinta

Lagi hiburan WFH...


Dewa 19 - Kerajaan Cinta (2007)

Dulu (pertengahan tahun-tahun 2000an) ada rakan satu pejabat yang minat gila dengan Dewa. Setiap kali ada peluang pasti dia akan pasang lagu-lagu Dewa terutamanya album Laskar Cinta di pejabat. Dah selalu sangat dengar lama-lama rasa menarik juga.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Larut". Satu hari tu di kedai cd ternampak cd ini. Tak pasti ini album apa sebenarnya. Album baru atau kompilasi. Tak mengikuti sangat Dewa ni. Tapi disebabkan adanya lagu "Larut" dan lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta rasa menarik juga. Tambah pula harganya sekadar RM24.90. Terus beli!

Rupa-rupanya ini bolehlah dikatakan juga sebagai album kompilasi. Yang menariknya ada 2 lagu baru dan beberapa lagu lama yang di rakamkan semula. Dapat pula pendant logo Dewa secara percuma. Kira berbaloi la walaupun sebenarnya hanya ulang-ulang dengar lagu "Larut" dan kadang-kadang sahaja lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta.



Thursday, April 23, 2020

Hiburan WFH - Hey Stoopid

Lagi mengimbau kenangan silam dalam mengharungi Work From Home ketika PKP...


Alice Cooper - Hey Stoopid (1991)

Lama betul tak pasang cd ni. Rasanya inilah album Alice Cooper yang paling digemari. Mungkin lebih kepada nilai nostalgianya.

Tak pernah ada pun kasetnya. Ketika itu (tahun 1991) tengah kemaruk dengan thrash. Keutamaan membeli adalah kepada muzik yang sebegitu.

Ianya mengembalikan nostalgia ketika zaman bergelar siswa. Pinjam kaset kawan bilik sebelah. Bila telinga dah letih dengan lagu-lagu metal hantu akar kayu, lagu - lagu perlahan dalam album ini lah yang dapat mendamaikan hati.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Might As Well Be On Mars". Entah berapa puluh kali lagu ni berputar dalam walkman. Pasang, rewind, pasang, rewind, pasang, rewind pula guna pen kilometrico... Tandanya bateri walkman dah nak habis la tu... Haha... (yang merasa zaman tu paham la 😅)...


SELAMAT BERPUASA SEMUA



Tuesday, April 21, 2020

Hiburan WFH - Wildhoney

Lagi mengembur cd ketika terpaksa Work From Home kerana arahan PKP...


Tiamat - Wildhoney (1994)

Ada yang kata ini adalah gothic metal. Ada kata doom metal. Entah lah, banyak sangat sub genre zaman sekarang ni. Dulu-dulu semua panggil Rock atau metal ajer 😁.

Kalau ikut telinga yang tak terlatih ni, Wildhoney muziknya adalah Pink Floyd yang bermain metal. Ada progressive, ada doom, ada psychedelic. Muzik yang di awang-awangan. Boleh buat mengantuk pun iyer juga. Terutamanya untuk mereka yang seperti saya.

Sssllllllooooooowwwwwwzzzzzzzzz..... Entah lah, banyak kali dah cuba. Mungkin saya adalah antara golongan minoriti yang susah nak hadam Pink Floyd, doom dan lain-lain yang meleweh termasuk grunge.

Tetapi tidak dinafikan sususan muzik dan sound produksi album ni sedap. Bahagian-bahagian melodic dalam lagu-lagu seperti "Whatever That Hurts" dan "The Ar" memang melekat. Tapi... Itu lah...jenuh nak mengabiskan...Tetapi, jika anda pengemar Pink Floyd, mungkin anda patut cuba....



Saturday, April 18, 2020

Hiburan WFH - Slow Rock Vol. 6

Sempana PKP dan berkerja dari rumah (WFH) ni banyaklah mengembur dan mendengar semula cd-cd yang dah berpuluh tahun tak dengar... Ini adalah salah satu dari nya.


Slow Rock Vol. 6 (1994)

Antara kompilasi lagu-lagu slow rock orang puteh yang agak popular juga di awal-awal tahun 90an. Sempat juga beli  2 siri kompilasi ini dalam bentuk kaset. Tak pasti sampai volume berapa sebenarnya yang ada.

Kalau dalam bentuk cd inilah satu-satunya yang ada. Beli pun bukan pada tahun ianya dikeluarkan. Kalau tak silap dalam tahun 2010...2011... Beli di kedai kaset Music Valley Plaza Kotaraya JB sebelum kedai tersebut tutup dan Plaza Kotaraya diubahsuai menjadi Galleria@Kotaraya seperti sekarang.

Kalau perhatikan gambar (bukan yang belah kiri 😁) boleh nampak harganya cuma RM6.90. Murah betul. Kerana ianya dah diletakan dalam bahagian jualan longgok. Kalau sekarang jualan longgok pun tak akan dapat harga macam ni.

Versi kaset yang masih dalam simpanan 

Banyak lagu sedap. Selain murah, pembelian cd ini adalah kerana nak kan lagu yang tak pernah ada cdnya seperti "I love You - Saigon Kick" dan "Soul To Squeeze - Red Hot Chili Peppers".

Tapi bila dengar semula sekarang baru perasan sedap pula lagu "Big Log - Robert Plant". Mungkin faktor usia... Atau mungkin juga dulu tak pernah dengar secara betul pun pasal sentiasa skip bila sampai ke track 9 cd ini...



Wednesday, April 15, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan 3




Kalau ikutkan hari ni dah mula kembali berkerja di pejabat. Tetapi oleh kerana PKP dilanjutkan untuk fasa ketiga. Sambung lagi "work from home" lah nampaknya.

Ada 3 perkara yang rasanya kurang gemar bila bekerja dari rumah. Dia punya "workload" sama sahaja. Tetapi (1) panas (2) Line wifi yang macam siput (3) tak ada kawan nak membawang 😁


Tapi dari segi boleh bantai muzik dengan "full blast" dan tak berhenti-henti makan, macam rasa seronok pula WFH ni. Duit minyak kereta pun jimat. Isi penuh 2 minggu lepas pun langsung tak luak. (Minyak murah pun tiada gunanya 😁)...

Ni kalau bersambung ke fasa 4... memang lupa dah jalan pergi ke opis...hahaha...


Saturday, April 11, 2020

Sudah Sampai Sini - Stadium Sultan Ibrahim, JDT

Bagi peminat bolasepak tempoh menghadapi wabak Covid 19 ini memang sangat menghampakan. Tiada lagi perlawanan bolasepak baik di tv mahupun di stadium. Hujung minggu yang agak membosankan.


Khas untuk kawan-kawan peminat bola, kongsi sikit gambar-gambar ketika menghadiri perlawanan terakhir JDT di stadium baru yang ada penonton sebelum semua perlawanan di tangguhkan.


Inilah adalah ketika perlawanan JDT menentang UITM FC pada 7hb Mac yang lalu. Lama juga tak menonton secara langsung di stadium. Lama dah tak jejak Larkin. Ini pula kali pertama menjejakkan kaki ke stadium baru.


Memang saja pilih perlawanan ni. Kurang sikit orang berbanding masa hari pembukaan dan perlawanan Piala Sumbangsih. Selesa la sikit kan. Pergi pun guna google map. Tak biasa sangat kawasan Nusajaya ni. Terasa jauh. Dulu masa kat Larkin tak sampai 15 minit pun dah sampai.


Bertolak awal. Pukul 6 dah sampai. Kawasan parking pun masih kosong. Inilah untungnya pergi masa perlawanan yang bukan menjadi tumpuan. Tak macam kat Larkin kena pandai-pandai sendiri cari tempat parking. (tapi untuk yang dah biasa tahulah kat mana yang parking senang). Kat sini memang parking dalam kawasan stadium.

Cuma lecehnya masa nak balik. Jam masa nak keluar. Lebih setengah jam kot sangkut. Bayangkan kalau perlawanan tumpuan. Lagi teruk kot. Cuma ada 2 jalan keluar. Paham sahajalah jika ada beratus kereta yang nak keluar serentak. Patut kena ada banyak pilihan jalan keluar. Lebih mudah masa di Larkin. Walaupun sesak juga, tapi kita ada banyak pilihan jalan untuk keluar.

Tapi yang tak boleh dinafikan memang cantik stadiumnya. Nampak gah. Memang kagum lah walaupun baru tengok dari luar.


Kawasan depan kat air pancut tu adalah siap karnival live band bagai. Ada juga food truck jual makanan. Sempat juga la merasa makan kat situ.


Dalam stadium memang kagum. Terasa macam tengok bola kat luar negara. Lampu-lampu dia memang lawa. Kerusi pun bernombor. Tiadalah kes yang nak chop tempat duduk ataupun terpaksa duduk kat tangga. Datang lambat pun tiada hal. Memang kerusi kita dah ada.

Kerusi pun selesa. Setuju dengan pihak pengurusan tak bagi bawa masuk makanan walaupun sebotol air ke kawasan tempat duduk. Barulah bersih dan bebas dari sampah kulit kuaci. Nak minum boleh jer keluar dari kawasan tempat duduk untuk beli. Tak perlu keluar stadium pun. Dekat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Atau pun beli siap-siap sebelum masuk, tinggalkan kat kawasan tu. Itupun kalau tak ada orang cilok lah nanti..huhu...


Nak sembahyang pun senang. Tak perlulah macam Larkin siap ada yang kena keluar dari Stadium. Kat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Dekat. Cuma sesaklah. Tak sesuai kawasan ambik air sembahyang terlalu hampir di pintu masuk. Jadi jam kat situ mana yang nak keluar dengan mana yang nak beratur ambik air sembahyang. (lupa pula nak ambik gambar surau)

Satu lagi yang best, stadium ini dibuat khas untuk bolasepak. Macam stadium bola di luar negara. Pemandangan jadi dekat. Tak ada la track lumba lari tu semua. Memang lebih rapat dengan padang. Macam kat Pasir Gudang juga la.  Tapi yang itu lagi dekat. Nak maki reff/pemain memang jelas la dorang boleh dengar...hahaha...


Last..."Belantara" di stadium. Masih tak boleh move on dengan showcase Belantara 200220....tak sabar nak tunggu dvdnya...




Saturday, April 4, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan 2

Semenjak PKP dilanjutkan lagi 14 hari, saya telah di arahkan untuk mula berkerja dari rumah sejak 2hb April yang lalu.


Hasilnya terpaksalah Man Cave di ubahsuai menjadi Mini Office. Dulu ada meja komputer, tapi dah buang. Terpaksalah guna meja hiasan orang rumah sebagai Workstation... Haha...

Hiburan random hari pertama
Walaupun Work From Home, sibuk nya sama sahaja. Tetap kena berkerja ikut waktu pejabat macam biasa. Maklumlah awal bulan sibuk dengan closing account dan bermacam-macam date line yang perlu dipatuhi. Tak ada lah masa nak rilek rilek main FB atau pun tengok drama Korea kat TV 😁

Hiburan random hari kedua 
Yang bezanya tak perlu lah keluar rumah awal pagi. Pukul 8. 15 pun masih boleh rilek sarapan pagi. Dari segi pakaian pun tak ada lah beza sangat. Kat opis pun sekarang memang pakai tshirt kolar dan jeans. Cumanya bila dah kat rumah ni lagi selesa berkain gombang dari pagi 😂


Selain dari boleh berdentum dengan muzik, yang tak tahan godaannya bila WFH ni adalah makanan. Aduhai... Kejap kejap orang rumah ajak makan. Memang sedikit terganggu konsentrasi 😜


Ada yang cakap susah nak WFH ni. Tetapi sebenarnya ikut disiplin diri. Kalau nak mengulor tu kat opis pun boleh. Kalau ada rasa tanggungjawap, kat mana mana pun tak ada masalah. Betul tak..?



*selepas 2 hari rasa seronok pulak... Terimakasih untuk cik isteri dan anak-anak yang sentiasa memastikan perut encik suami dan ayahnya sentiasa terisi 😊

**Semoga kita kita semua dilindungi dari wabak Covid-19 ini...







Wednesday, April 1, 2020

Heavy Metal Drunkard



Ironskull - Heavy Metal Drunkard (2018)

Semanjak terbaca pasalnya dalam blog D'arsil >SINI< 2 tahun yang lalu, memang rasa nak cari cdnya. Tetapi biasalah, sebagai manusia biasa, selain makanan dan barang keperluan hidup, benda-benda duniawi yang lainnya ni kalau tak ada di depan mata, memang tak la beriya-iya sangat nak cari.

Bila dah terjumpa depan mata, harga pun munasabah (RM25), terus sambar. Konsep mereka adalah straight forward heavy metal dengan perisa 80an yang tebal. Solo solo gitar yang bergulung. Melodi yang mudah menangkap. Lirik pun pasal heavy metal. Ada juga penampilan istimewa Gezol dari band legenda Jepun, Sabbat dan Metalucifer. Ini sememangnya makanan kegemaran untuk halwa telinga.


Tak banyak band Malaysia yang berkonsep begini. Atau mungkin juga saya yang tak tahu. Yang ada cdnya dalam simpanan cuma Ironbird dan Aircraft. Tetapi muzik sebegini sebenarnya menjadi satu trend juga di luar negara sehingga ujudnya istilah New Wave of Traditional Heavy Metal (NWOTHM).

Untuk peminat heavy metal sejati, ini sememangnya Rekomended!