Monday, August 30, 2021

Jailbreak

 Lagi layanan rawak bekerja dari rumah...

Thin Lizzy - Jailbreak (1976)

Selepas mendengar Bad Reputation beberapa tahun yang lalu, saya sememangnya cuba untuk mencari Jailbreak pula. Maklumlah ini adalah album Thin Lizzy yang paling popular dan mengandungi lagu mereka yang paling dikenali ramai. Siapalah yang tak pernah dengar lagu klasik "The Boys Are Back In Town" kan?

Di telinga saya, ternyata ianya melebihi jangkaan dan reputasinya. Saya sememangnya kalah dengan band-band yang mempunyai dual gitar solo. Mungkin Phil Lynott adalah bintang utama untuk album ini, tetapi untuk saya solo-solo dan kerja gitar Scott Gorham dan Brian Robertson sememangnya sangat memikat hati. Untuk itu sahaja pun pada saya album ini sudah sepatutnya mendapat markah penuh.

Selain "The Boys Are Back In Town", lagu-lagu seperti "Jailbreak", "Cowboy Song" dan "Emerald" yang sarat dengan pengaruh celtic sememangnya patut diberikan perhatian. Sesungguhnya ini adalah salah satu album terbaik untuk genre hard rock atau kalau boleh dikatakan sebagai heavy metal di era 70an.

Saya bukanlah peminat besar rock 70an, tetapi ada beberpa album termasuk "Jailbreak" yang patut saya berikan pengecualian. Rekomended!.

 

Thursday, August 26, 2021

Gila Format - Crazy World

 Gila format kembali....

Scorpions - Crazy World (1990)

Album ini diterbitkan pada penghujung tahun 1990. Zaman saya sebagai seorang remaja yang pada ketika itu merasakan muzik sebegini tidak cukup ganas. Tetapi disebabkan ianya Scorpions. Satu nama yang lejen. Dan saya membesar dan terjebak dengan muzik rock pun kerana album-album awal mereka. Maka tetap juga dibeli kasetnya. (22/04/1991 - tarikh beli yang tercatat di kaset).

Versi cd pula dah tak ingat bila ianya dibeli. Kalau ikutkan keadaan cd yang nampak dah lusuh walaupun jarang diputar, berkemungkinan adalah cd 2nd hand dari zaman ebay postage percuma dari e-stock atau music magpie (sekitar tahun 2010an). 

Versi pirang hitam pula baru dapat dalam sebulan dua yang lalu. Diam tak diam dah ada 11 keping rupa-rupanya piring hitam Sorpions dalam koleksi. Ntah dari mana datangnya tiba-tiba rasa bersemangat pula untuk mengumpul kesemua album-album Scorpions dalam bentuk piring hitam. Tapi tak ada lah nak kumpul semua. Mungkin sehingga album ini atau mungkin juga Face The Heat (1993). Setakat ini hanya Lonesome Crow (1972), Fly to the Rainbow (1974) dan Virgin Killer (1976) yang masih belum berjaya dimiliki.

Ok. Berbalik kepada Crazy World, mendengarnya pada tahun 1990 dan 2021 sememangnya rasa berbeza. Sesuai dengan peningkatan usia dan minda yang lebih terbuka saya rasakan album ini sememangnya sedap dan bagus. Ianya bukanlah sekadar Winds of Change. Banyak lagi lagu yang bagus.



Monday, August 23, 2021

Helloween

 Antara yang ditunggu-tunggu untuk tahun 2021...

Helloween - Helloween (2021)

Dah lama tak ada rasa teruja untuk membeli album baru Helloween. Kali terakhir mungkin ketika album Chameleon (1993). Dengan kembalinya Michael Kiske dan Kai Hansen, perasaan teruja tu memang ada. Tambah-tambah pula selepas menonton konsert live reunion mereka pada 3 tahun yang lalu >SINI<

Memilih versi digibook berbanding versi cd biasa kerana "packaging"nya yang jauh lebih menarik dan harganya pula tidak banyak beza. Manakala versi piring hitam memang jaranglah di beli untuk album baru. Kebiasanya lebih kepada album-album lama yang diminati dan banyak kenangan.

Sebagai peminat lama Helloween rasanya tak ada apa sangat yang hendak di komplen. Mendengar suara Michael Kiske dan Kai Hansen kembali dalam Helloween pun dah rasa seronok. Tapi seperti biasalah, kenangan silam akan lebih terpahat di hati. Apa-apa yang baru walaupun datang dari yang lama pastinya akan mengambil sedikit masa untuk terkesan di hati. Itu lumrah manusia. Tetapi secara keseluruhannya memang rasa puas hati.

Jujurnya saya "lost" dengan Helloween sejak dari album "Rabbit Don't Come Easy (2003)" lagi. Walaupun cuba beli dan mengikuti setiap album selepas itu tetapi pada saya tiada satu pun diantaranya yang boleh diingati. Mereka menjadi biasa-biasa dan agak membosankan. Kebiasannya saya akan hilang tumpuan selepas lagu ke 4. 

Tetapi yang ini agak berlainan. Aura Michael Kiske dan Kai Hansen memang kuat. Mereka bijak menggunakan mereka berdua untuk kami peminat bernostalgia. Walaupun ianya bukanlah seratus peratus kembali ke era 80an. Tetapi dia punya "rasa" atau "jiwa" itu sampai. Ayat mudahnya, album ini mempunyai rasa klasik Helloween dengan sound yang lebih moden.

Kalau ada rasa nak komplen pun mungkin pasal kurangnya lagu-lagu ciptaan dari Kai Hansen dan durasi keseluruhan cd yang agak panjang. Bila panjang ni biasanya akan senang hilang fokus berbanding satu album yang durasinya bawah 40 atau 50 minit yang membuatkan kita rasa tak puas dan akan mendengarnya berulang-ulang kali.

Apa-apa pun, boleh dah kot masuk senarai antara album kegemaran tahun 2021.


Wednesday, August 18, 2021

I Am The Night

 Pendengaran secara rawak di kala WFH

Pantera - I Am The Night (1985)

Terdapat 4 album awal Pantera sebelum album Cowboys From Hell (1990) yang dikatakan agak berbeza genre muziknya. Saya mempunyai kesemua 4 album tersebut dalam bentuk cd dan memilih secara rawak album no 3, "I Am The Night" dari yang lainnya tanpa ada sebab yang khusus.

I Am The Night bukanlah groove metal seperti Pantera yang kita kenal di tahun 90an. Ramai yang mengangap ianya adalah glam metal. Mungkin betul kalau mengikut imej atau cara berpakaian mereka pada ketika itu. Tidak dinafikan ada lagu-lagunya yang kearah tersebut, malah lagu seperti "Forever Tonight" mempunyai pengaruh AOR yang agak kuat (tetapi soundnya berat). Tetapi ada lagu-lagu lainnya yang mempunyai ciri-ciri speed metal ala-ala Savatage yang awal.

Pada saya ini adalah album mereka bersama vokalis, Terrence Lee yang paling saya suka. Muziknya lebih berat dari 2 album awal. Sebagai peminat glam/hair metal dan suka pula pada power metal acuan dari US, muzik sebegini sememangnya makanan. Kerja gitar dan solo-solo "Diamond Darrel" (nama yang digunakan pada zaman tersebut) sahaja pun sudah cukup untuk menjadi penyebab kenapa harus mendengarnya.

Tak semua mempunyai selera yang sama. Saya lebih kepada era 80an mereka. Era 90an mereka yang betul-betul saya suka hanyalah Cowboys From Hell dan Vulgar Display of Power. Saya agak kurang berminat dengan genre groove metal.


Monday, August 16, 2021

St. Anger

Pendegaran rawak WFH...

Metallica - St. Anger (2003)

Hasil perbincangan dengan rakan-rakan whatsapp group blogger beberapa hari yang...saya cuba untuk kembali mendengar St. Anger (Maaf saya tidak mempunya apa-apa versi asli untuk album ini. Saya pun dah lupa dari mana saya dapat versi "Jack Sparrow" seperti gambar di atas)

Saya berhenti selepas hampir 3 suku album ini di dengar. Tak boleh hadam. Lagu-lagunya seperti tajuk album memang marah-marah. Bob Rock mentang-mentanglah dia yang bermain bass bunyi bass memang meletup. Bunyi drum Lars memang sangat "annoying". Tong drum mana la dia ketuk. Hampeh betul...

Saya rasa album ini gagal kerana tiadanya lagu pop untuk generasi Black album suka. Dan ianya juga gagal untuk menarik minat orang tua lama kerana lagu-lagunya dah berbumyi seperti Nu Metal atau Alternative Metal yang sememangnya golongan lama ini tak akan suka.

Antara album yang tak akan masuk dalam koleksi...


P/S - Yang paling untung dalam album ini sudah semestinya Kirk Hammett. Senang kerja dia makan gaji buta tak payah pikir pasal solo...ktang ktang ktang...err silap...kah kah kah...



Friday, August 13, 2021

Future World

 Seisi pendengaran rawak Work From Home...

Pretty Maids - Future World (1987)

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang agak rajin juga mencari cd-cd band yang dulunya sekadar baca nama di majalah tetapi lagunya tak pernah didengar. Pretty Maids adalah salah satu darinya. Memilih Future World sebagai album pengenalan dari mereka kerana majoriti dari ulasan yang dibaca tentangnya sangat memberangsangkan.

Mereka berasal dari Denmark. Selain dari King Diamond, Lars Ulrich dan Flemming Rasmussen, tak banyak tentang heavy metal yang saya tahu pasal Denmark. Dari apa yang dibaca, muzik mereka berkonsepkan heavy metal dan power metal. Satu genre yang sememangnya menjadi kegemaran.

Dari sekali pendengaran ada beberapa perkara yang saya rasa patut saya sentuh. Future World bukanlah sebuah album straight forward heavy atau power metal. Lagu track pertama (Future World) membayangkan yang mereka adalah berkonsepkan begitu. Tetapi ada antara track-track yang berikutnya bukan.

Sesetengah lagunya mengingatkan saya kepada Europe (contoh paling ketara - Love Games dan balada Eye Of The Storm). Mungkin kerana mereka adalah band yang juga menggunakan keyboard. Tambah pula suara vokalisnya agak mirip dengan suara Joey Tempest terutamanya pada bahagian nada-nada rendah.

Ada pula yang seolah-olah kembali kepada zaman hard rock Rainbow (zaman Graham Bonnet atau Joe Lynn Turner. Tetapi track terakhirnya (Long Way To Go) pula kendengaran ala-ala band AOR. 

Tak kisah la apa genrenya. Yang penting ianya sedap, melodic dan mudah melekat dalam kepala. Akan mencari album-album mereka yang lainnya pula.


Tuesday, August 10, 2021

Great Zeppelin

 Hiburan rawak bekerja dari rumah...

Great White - Great Zeppelin: A Tribute to Led Zeppelin (1998)

Saya bukanlah peminat besar Led Zeppelin. Bukan kerana apa pun. Ianya lebih kepada selera dalam muzik. Bagi saya Deep Purple dan Black Sabbath adalah lebih rock dan lebih metal. Pengaruh saya dari budak-budak pun lebih kepada Deep Purple. Satu-satunya album mereka yang saya betul-betul dengar ketika waktu remaja dulu pun cuma Led Zeppelin IV.

Manakala Great White pula ada beberapa album mereka yang saya ikut dan suka. Terutamanya 4 album terawal mereka. Tidak boleh dinafikan yang bintang utama untuk Great White adalah vokal Jack Russell dan petikan gitar Mark Kendall.

Vokal Jack Russell sememangnya menyerupai gaya Robert Plant. Sambutan hangat terhadap lagu-lagu cover Led Zeppelin yang mereka buat sebelum ini menyebabkan mereka membuat keputusan untuk merakamkan sebuah album khas secara live sebagai tribute mereka kepada Led Zeppelin.

Hasilnya memang tip top. Apa yang Led Zeppelin mainkan di studio, itulah yang mereka persembahkan. Tanpa ada sebarang pengubahsuaian. Mungkin ada yang tidak akan berpuashati kalau saya katakan yang saya lebih sukakan versi mereka berbanding versi asal. Maafkan saya kerana sebelum ini saya hanyalah pendengar casual Led Zeppelin. Tambahan pula saya membesar di zaman Great White. Mungkin ada perasaan berat sebelah di situ. 

Banyak lagu-lagu di dalam album ini yang saya tak pernah dengar atau mungkin juga pernah dengar tetapi cuma sekadar sambil lalu. Itu juga mungkin antara penyebabnya. Tetapi yang bagusnya, bermula dari sinilah saya mula mencari album-album Led Zeppelin dan rasa lebih  menghargai karya muzik mereka walaupun majoriti lagu-lagu mereka bukanlah yang kena dengan selera saya.


Saturday, August 7, 2021

Gila Format - Use Your Illusion II

Sebuah lagi album yang berjaya di"gila format"kan...

Guns N' Roses - Use Your Illusion II (1991)

Album yang mengimbau kenangan zaman remaja. Mengikut catatan di kaset, ianya dibeli pada 26hh September, 1991. Iaitu 9 hari selepas ianya berada di pasaran (17hb September, 1991). Di beli di sebuah kedai kaset di Segamat (ketika itu sedang menuntut di ITM Segamat).

Agak berbelah bagi awalnya untuk membeli yang mana terlebih dahulu. Maklumlah ianya dikeluarkan serentak bersama Use Your Illusion I. Sebagai seorang yang berstatus pelajar memang rasa tak mampu untuk membeli kedua-duanya (walaupun harga kaset pada ketika itu hanyalah RM13.50. Akhirnya memilih UYI II terlebih dahulu kerana ada khabar-khabar angin di surat khabar yang mengatakan berkemungkinan ianya akan di haramkan di Malaysia kerana lirik menyumpah / lucah pada lagu "Get In The Ring".

*untuk rekod, kaset UYI I dibeli tak sampai 2 minggu selepas itu (7hb Oktober, 1991)


Versi cd pula dibeli pada 21hb December 1995. Zaman masih rajin mencatat tarikh beli. Tapi dah tak ingat beli di mana. Mungkin juga Tower Records kerana kalau tak silap pada ketika itu sedang bekerja di Kuala Lumpur.

Album ini ada beberapa lagu yang banyak kenangannya. "So Fine" adalah salah satunya darinya. Ianya pernah di abadikan di dalam salah satu entri di blog ini pada suatu ketika dahulu >SINI<

Dulu ketika membaca lirik lagu "Estranged", pada ayat "Old at heart but I'm only twenty eight", rasa jauh lagi nak sampai usia tersebut... tetapi rupa-rupanya tak perasan pun betapa cepatnya masa berlalu... umur 28 tu dah 22 tahun berlalu...😊


Thursday, August 5, 2021

Transformers United

Penulisan kali ini adalah satu "tribute" atau pun satu penghormatan buat seorang sahabat dan juga penulis blog JDU393.

Dukacita dimaklumkan yang salah seorang sahabat blogger kita, saudara Mohd Shafid bin Rahmat telah kembali ke rahmatullah pada hari Selasa (3/8/2021) yang lalu. Mengikut makluman, Allahyarham diserang demam panas dan jangkitan kuman di otak (Meningoencephalitis)

Satu berita yang agak sukar untuk saya hadam. Saya mengenali arwah bukan setakat di blog tetapi mengenali juga secara peribadi. Walaupun mungkin bukan dalam tempoh yang lama (sejak berblog) dan berjumpa pun dalam lebih kurang 7 kali. Tetapi kami amat rapat di dalam group Whatsapp sahabat-sahabat blogger. Hari-hari berkongsi cerita dan bergurau senda terutamanya tentang hobi (rock, cd, toys, bola (sama geng Manchester United), movies) dan pelbagai cerita kehidupan.

Banyak kenangan yang tak akan saya lupakan. Arwah akan sentiasa saya ingati sebagai seorang sahabat yang baik hati, ceria, happy go lucky, jujur, suka membantu dan mudah. Yer..beliau memudahkan persahabatan kami. Siapa yang kenal dia pasti faham apa yang saya maksudkan. Memetik kata-kata Portdy, "Allah memang jadikan dia untuk gembirakan kawan2..."

Saya mengambil kesempatan ini supaya sama-sama lah kita mendoakan agar roh arwah dirahmati dan ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman.

Terimakasih untuk segalanya. Selamat jalan sahabat....Semoga Allah ampunkan segala dosanya, menerima segala amalannya, mengangkat darjatnya disisi Allah dan ditempatkan dikalangan para solihin. Amin.

Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un.

Mohd Shafid bin Rahmat

05.09.1979 - 03.08.2021



Tuesday, August 3, 2021

Helter Skelter

Layanan rawak semasa Work From Home...
   

Helter Skelter - Helter Skelter (1989)

Band yang agak kurang popular di sini berbanding band senegara mereka yang lainnya seperti Rusty Blade ataupun Rockers. Tak pernah nampak pun versi cd. Yang ada hanyalah versi cd Megapack 2 + 1.

Mereka lebih dikenali kerana kontroversi ciplak "How Many Tears - Helloween" dan "Seven Doors Hotel - Europe". Dalam salah satu temuramah Radio Singapura pada suatu masa dahulu, apabila Michael Weikath (Helloween) di beritahu tentang perkara ini, beliau tidak mengambil kisah pun. Mungkin bagi beliau ianya juga suatu bentuk promosi untuk mereka di rantau ini. Lagipun siapalah Helter Skelter di mata beliau...

Tetapi bagi yang tinggal di Johor Bahru pastinya biasa dengan mereka. Majoriti dari kami memang biasa mendengar dan menonton radio dan tv dari Singapura terutamanya ketika tahun-tahun sebelum adanya ASTRO. Lagu-lagu mereka memang kerap dimainkan di radio. Tiada Lagi Airmata dan Melissa antara yang sangat popular.

Dan secara jujurnya saya sememangnya mengemari mereka walaupun muzik mereka tidaklah sekeras atau seberat Rusty Blade mahupun Rockers. Gitaris mereka bagus. Susunan muziknya sedap. Lagu-lagu perlahan mereka masih dalam lingkungan rock dengan gitar berdistorsi dan bukan yang terlalu meleweh. Tak pasti kenapa mereka kurang popular. Mungkin mereka kurang diberikan promosi

Mereka juga membawakan lagu cover "Crash Course In Brain Surgery", versi Metallica. Menurut mereka dalam salah satu wawancara yang pernah saya baca, ianya suatu percubaan untuk membawa genre thrash ke dalam muzik mereka. Kalau ianya di terima mungkin akan di teruskan untuk album yang berikutnya. Saya tidak pasti adakah ianya diterima. Jujurnya saya tidak pernah mendengar album kedua mereka kecuali lagu Memori Mardiana yang sering keluar di Radio Singapura.

Cd Megapack ini adalah peluang untuk saya mendengarnya..