Sunday, November 24, 2024

Time II

Lagi album terbitan 2024...

Wintersun - Time II (2024)

Tak pernah dengar walau satu lagu pun dari Wintersun sebelum ini. Macam rasa dah cukuplah dengan band bergenre sebegini. Dah tepu.

Tetapi rasa terpanggil untuk mencuba bila ianya asyik disebut-sebut oleh seorang rakan group Cd Passion di FB. Tambahan pula saya teringin untuk mendengar hasil kerja Teemu Mäntysaari. Dan sebagai seorang insan yang lemah akhirnnya terpengaruh juga...hahaha...

Mengikut pendengaran telinga saya, Time II adalah tipikal symphonic power metal dengan sedikit acuan melodic black metal terutamanya dari segi vokal. Yang berbezanya mereka memasukkan elemen Folk Asia Timur ke dalam muzik mereka. Intro albumnya pun seperti sedang mendengar album Kitaro. Dan ada ketika lengok melodinya mengingatkan saya kepada Wayang Pekji (Opera Cina) di pekan Ulu Tiram ketika zaman saya kanak-kanak dahulu.

Saya tak dengar Time I (2012). Maka tak dapatlah nak membuat perbandingan. Tetapi yang pastinya band bergenre begini semestinya mempunyai gitaris dan vokalis yang bagus. Dan itulah yang kita dapat dari  Jari Mäenpää (bekas vokalis/gitaris Ensiferum dan merangkap master mind untuk Wintersun) dan juga Teemu Mäntysaari. Setelah mendengarnya tak pelik lah kenapa Abang Mus mengambil beliau untuk Megadeth.

Rekomemded untuk peminat power metal.



Thursday, November 21, 2024

50 tahun Fly to the Rainbow

Album yang menyambut ulangtahun ke 50 pada 1hb November yang lalu...

Scorpions - Fly to the Rainbow (1974)

Scorpions saya adalah di zaman Mathias Jabs. Kerana saya membesar ketika zaman tersebut. Namun saya tidak menafikan kehebatan zaman Uli Jon Roth. Cuma muziknya agak berbeza.

Fly to the Rainbow adalah album kedua Scorpions dan yang pertama buat Uli Jon Roth. Ini adalah permulaan berubahnya muzik Scorpions dari psychedelic menjadi lebih hard rock dan bermelodi. Mungkin ianya ada kena mengena dengan beliau. Kerja gitar beliau lebih aggressif. Lagu seperti "Speedy's Coming" adalah contohnya.

Namun ini bukanlah album kegemaran dari zaman beliau. Album-album selepasnya lebih menarik. Tetapi lagu-lagu sperti "Speedy's Coming","Fly People Fly" dan lagu yang dinyanyikan sendiri oleh Uli, "Drifting Sun"adalah antara lagu yang menarik.



Monday, November 18, 2024

Peluru Cokelat

 Album rock melayu terkini di pasaran..

Barbarik - Peluru Cokelat (2024)

Tabik untuk Jobranko kerana masih terus berkarya. Beliau masih dengan trademarknya tetapi dengan sound dan gaya rock yang lebih moden.

Harapnya dengan album ini mereka akan mendapat lebih ramai peminat baru yang lebih muda. Nak harap peminat lama berapa kerat sahajalah yang masih beriya mendengar apatah lagi membeli muzik.

Saya sememangnya jarang membeli produk muzik tempatan kecuali jika ianya betul-betul kena dengan jiwa. Dan ini sememangnya album rock tempatan terbaik untuk tahun 2024.

Rekomended!


Wednesday, November 13, 2024

40 tahun Arena

Album live yang menyambut ulangtahun yang ke 40 semalam, (12hb November) ...

Duran Duran - Arena (1984)

Ini bukan cerita tentang album ini semata-mata, tetapi lebih kepada kenangan tentangnya.

Dulu, ada dokumentari (Sing Blue Silver) mengenai Duran Duran yang ditayangkan di TV3 bersempena sambutan tahun baru 1985. Memang teringin sangat nak menontonnya, tetapi sayangnya waktu itu, siaran TV3 hanya boleh ditonton oleh penduduk di Lembah Klang.

Gambar kulit album ini digunakan sebagai gambar promosi rancangan tersebut. Setiap hari terpampang di surat khabar sehinggalah menjelang tahun baru. Ia dijadikan sebagai kiraan waktu (countdown) menuju tahun baru. Memang kecewa tak dapat menontonnya, maklumlah ketika itu sedang kemaruk dengan Duran Duran.

Tetapi sebenarnya pada masa itu, album live ini pun belum pernah didengar. Tidak jumpa dijual di kedai kaset. Namun, dokumentari Sing Blue Silver ada juga dijual dalam bentuk VHS. Tetapi tidak dibeli pun kerana selepas dari itu, telah mula pula kemaruk dengan rock/heavy metal, dan mula membeli album-album lain.

Dokumentari tersebut hanya dapat ditonton apabila tiba zaman YouTube. Sementara rekod dan CD ini pula hanya dibeli beberapa tahun yang lalu, sekadar untuk mengimbau kenangan silam.

*ayat diolah oleh chatgpt 😁


Monday, November 11, 2024

50 tahun In for the Kill

Yang menyambut ulangtahun ke 50 pada bulan Jun yang lalu...

Budgie - In For The Kill (1974)

Untuk golongan yang lebih muda, Budgie dikenali kerana Metallica. Tetapi untuk yang lebih tua berusia, mereka dikenali kerana "I Turned to Stone". Ianya adalah lagu wajib bagi kebanyakan mat rock 80an. 

Tetapi ini bukan nak bercerita tentang "I Turned To Stone". Itu album yang lain. Yang ini sememangnya di beli semata-mata kerana "Crash Course in Brain Surgery”. Ianya adalah lagu kegemaran dari album Metallica - Garage Days Re-Revisited. Tajuk lagunya pun dah buat tertarik. Dulu-dulu zaman sekolah suka la tulis tajuk lagu ni kat meja dan dinding sekolah. Padahal tak tahu pun liriknya pasal apa.

In For The Kill! adalah album keempat mereka. Ianya di dalam acuan rock progresif 70an yang popular pada ketika itu. Kelainan mereka lebih kepada sound gitar yang berat menjadikan mereka antara band awal yang memberi pengaruh sehingga terbentuknya heavy metal.

Antara band yang sepatutnya boleh pergi jauh. Terima kasih kepada Metallica. Tanpa Metallica mungkin tak ramai yang tahu tentang mereka.


Friday, November 8, 2024

30 tahun berGila Format Still Climbing

Hari ini adalah ulangtahunnya yang ke 40.

Cinderella - Still Climbing (1994)

Nak baca panjang lebar saya bercerita tentang album ini boleh rujuk >SINI<.

Ketika entri tersebut di tulis pada 10 tahun yang lalu saya hanya memiliki versi kaset. Tetapi sebagai seorang yang mempunyai penyakit "gila format", sudah pastinya ia akan beranak pinak…hahaha…

Versi cd di beli secara online (tak ingat tahun bila - berkemungkinan sekitar 2,3 tahun yang lalu). Manakala versi record adalah reissue terkini dari Music on Vinyl pada bulan Jun yang lalu. Cuma yang kurang menarik tentang keluaran Music on Vinyl adalah packaging yang simple. Ianya adalah seperti insert yang asal tanpa ada apa-apa penambahan. Mungkin sesuailah dengan harganya yang masih mampu milik.


Tuesday, November 5, 2024

40 tahun Reckless

Hari ini, 5hb November adalah hari ulangtahunnya yang ke 40.

Bryan Adams - Reckless (1984)

All time favourite. Kalau ada satu album kena pilih bila terperangkap di pulau, ini adalah albumnya.


Sunday, November 3, 2024

=1

 Terkini dari band rock lagenda...

Deep Purple - =1 (2024)

Kali terakhir yang saya betul-betul mendengar album Deep Purple adalah ketika Ritchie Blackmore masih menjadi gitaris mereka (The Battle Rages On - 1993). 

Langsung tak tahu sepatah haram pun ketika zaman Steve Morse. Sedar-sedar mereka kini dah pun mempunyai Simon McBride sebagai gitaris baru. Hasil dari hasutan dan rachun rakan-rakan segroup whatsapp akhir TERbeli yang terbaru ini.

Untuk tidak jauh ketinggalan, saya mencuba dengar beberapa album-album era Steve Morse seperti Purpendicular (1996), Abandon (1998) dan Bananas (2003). Ternyata mereka masih mencuba untuk mengekalkan identiti Deep Purple walaupun tanpa Ritchie Blackmore dan Jon Lord. Dan Don Airey adalah pengganti yang tepat untuk Jon Lord.

Saya mengambil sedikit masa juga untuk menghadam =1. Simon McBride seorang gitaris yang bagus. Solo-solo dia sedap. Manakala Don Airey meneruskan legasi solo hammond organ Jon Lord. Ada lagu yang cuba untuk kembali ke era 70an. Cumanya vokal Ian Gillan tidaklah sehebat zaman muda dulu.

Kesilapan besar saya adalah mendengar album Purpendicular sebelum =1. Ternyata agak sukar untuk mereka menyaingi kehebatan Purpendicular. Malah ketika zaman Steve Morse sekali pun. 

Pada saya album ni kira boleh tahan lah. Simon McBride memberi warna baru yang lebih muda kepada Deep Purple. Beliau tidak cuba untuk menjadi Ritchie Blackmore ataupun Steve Morse

Ian Gillan, Roger Glover dan Ian Paice patut dipuji kerana terus menerus menghasilkan album baru. Tiada istilah pencen utuk mereka. Tabik!


Monday, October 28, 2024

30 tahun King of the Kill

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 10hb Oktober yang lalu...

Annihilator - King of the Kill (1994)

Album ini tidak masuk ke pasaran Malaysia. Label baru mereka (Music For Nations) tidak memasarkannya ke sini. Tanpa teknologi internet pada ketika itu, memang agak sukar untuk mendengarnya.

Kegagalan album "Set The World On Fire" (1993) menembusi pasaran mainstream menyebabkan kontrak mereka bersama Roadrunner Records ditamatkan, dan Jeff Waters menjadi satu-satunya anggota yang tinggal.

Namun ianya bukanlah satu masalah. Annihilator sememangnya Jeff Water. Tiada masalah untuk beliau bergerak sebagai "one man band".  Selain bahagian drum yang dikhabarkan menggunakan drum machine, beliau memainkan semua instrumen termasuk vokal. 

Album ini membawa Annihilator kembali ke landasan thrash. Ada juga beberapa elemen komersial seperti album sebelumnya. Walaupun beliau sedikit terpengaruh dengan groove ala Pantera yang sedang popular pada ketika itu, King of the Kill masih mengekalkan identiti muzik Annihilator.

Semenjak berpeluang mendengarnya. Ianya menjadi salah satu album kegemaran. Mungkin beliau sepatutnya menyanyi dari album yang awal tanpa perlu bertukar-tukar vokalis. Beliau sememangnya boleh menyanyi dengan bagus.


Friday, October 25, 2024

50 tahun Rocka Rolla

Yang dah berumur 50 tahun pada 6hb September yang lalu... 

Judas Priest - Rocka Rolla (1974)

Permulaan mereka mencari arah. Ianya jauh berbeza dari Judas Priest yang kita kenal sekarang. Mereka masih terikut-ikut gaya muzik popular pada ketika itu. Era hard rock 70an yang bluesy, progresif dan psychedelic. Tetapi yang pastinya identiti twin guitar solo dari K.K Downing dan Glenn Tipton dah boleh dikesan sejak dari sini.

Saya secara peribadinya tak pernah mendengar album ini sehinggalah wujudnya zaman mp3. Tak pernah terjumpa kaset ataupun cdnya ada dijual disini. Tahu pasalnya pun hanya melalui majalah. Tertarik dengan konsep covernya dan penyakit mengumpul keseluruhan discography sesebuah band menyebabkan akhirnya membeli cd ini ketika zaman pandai mengebay.

Kalau minat hard rock 70an mungkin boleh suka. Tetapi kalau suka zaman heavy metal, mungkin boleh bermula dari album yang selepas dari ini.


Tuesday, October 22, 2024

Paul Di'Anno's Warhorse

Baru bercadang untuk menulis tentang cd ini. Ianya baru dibeli dalam beberapa hari yang lalu.

Paul Di'Anno's Warhorse (2024)

Sedang dalam mendengar dan mencari idea untuk menulis, tiba-tiba terbaca berita yang Paul Di'Anno telah meninggal dunia. Satu lagi kenangan silam yang dah tiada. 

Walaupun saya mula mendengar Iron Maiden ketika zaman Bruce Dickinson, tetapi 2 album beliau bersama Iron Maiden tetap menarik hati. Terutamanya jika mahukan Iron Maiden yang straight forward heavy metal.

Remember Tomorrow, Running Free, Phantom Of The Opera, Wrathchilds, Killers, Prodigal Son adalah antara yang entah berapa puluh atau ratus kali dimainkan sejak dari usia remaja membawa ke umur KWSP.

Terima kasih Mr. Paul Di'Anno (17/05/1958 - 21/10/2024) kerana mewarnai kehidupan zaman remaja. Beliau pernah mengaku yang dia Muslim. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Sedikit info tentang album Warhorse. Ianya adalah antara projek Di'Anno yang terakhir. Semua muzik, lirik dan instrumen dimainkan oleh 2 gitaris berbakat dari Croatia, Hrvoje Madiraca dan Ante Pupačić Pupi. Album ini berkonsepkan straight forward heavy metal ala 80an dengan sound produksi terkini. Memang best!



Monday, October 21, 2024

Ten

Lagi album terkini di pasaran... 

Mr. Big - Ten

Kalau ini album terakhir Mr. Big saya mengharapkan ianya adalah sesuatu berbaloi untuk saya ingati. Sayangnya ia tidak seperti yang diharapkan. Bukanlah nak kata ianya tidak bagus. Bagus! tetapi ianya tidak mencapai status hebat Mr. Big yang saya harapkan.

Saya faham mereka berevolusi. Dah lama sebelum zaman Richie Kotzen lagi. Sekurang-kurangnya pun saya mengharapkan yang ianya setanding dengan Defying Gravity (2017). Malangnya tidak. Nasib juga ada beberapa solo hebat Paul Gilbert yang jadi penyelamat. Sayang.. kalau ini album terakhir mereka, Billy Sheehan sepatutnya memainkan peranan yang lebih lagi.

Mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Tetapi mereka Mr Big. Taraf mereka sememangnya patut tinggi. Secara keseluruhannya ini adalah album hard rock yang bluesy. Jika anda tidak mengharapkan lagu-lagu laju seperti beberapa album awal, mungkin ini versi Mr. Big yang bersesuaian dengan selera.

Satu lagi, drummer baru mereka juga bagus. Pengganti yang sesuai untuk mendiang Pat Torpey. Harapnya akan ada album no 11. Ini bukanlah penutup yang sesuai...


Friday, October 18, 2024

30 tahun Moster

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada 26hb September yang lalu...

R.E.M. - Monster (1994)

Ini adalah album yang saya beli kerana pengaruh dari radio dan tv. Lagu "What's the Frequency, Kenneth?" sering saya dengar di radio. Video clipnya pula selalu ditonton di MTV dan Channel V. Lagunya yang mempunyai sound gitar yang agak kasar membuatkan saya tertarik untuk membeli kasetnya.

Monster menepati ciri-ciri muzik alternatif yang sedang popular pada ketika itu. Walaupun ianya bukanlah genre kegemaran. Tetapi hidup di zaman tersebut memang tak boleh lari dari mendengar muzik sebegini. 

Lagu tak kira apa pun genrenya kalau sedap ditelinga pasti akan menjadi kegemaran. "What's the Frequency, Kenneth?" adalah satu contoh untuk saya. Tetapi jangan ditanya lagu-lagu lainnya. memang tak ada langsung dalam kepala...haha..

*versi kaset di beli pada 16/10/1994 manakala cd ketika zaman ebay estock dengan harga hanya belasan ringgit.

Tuesday, October 15, 2024

50 tahun Kiss

Yang menyambut ulangtahun ke 50 pada tahun ini (18 Februari)

Kiss - Kiss (1974)

Album pengenalan Kiss. Kalau kita semak senarai lagunya memang banyak lagu popular mereka ada di dalam album ini. Mungkin ianya bolehlah dikategorikan sebagai salah satu debut album terbaik dalam sejarah.

Saya agak lambat dalam mendengar Kiss. Lebih awal tahu mengenai imej mereka (penghujung 70an) berbanding lagu-lagunya (awal 80an). Saya rasakan mereka secara muzikalnya tidaklah seganas imej mereka. Ianya penyebab kenapa saya tidak tertarik dengan mereka. Maklumlah pada ketika itu (pertengahan 80an) saya telah mula mendengar muzik yang lebih berat.

Tetapi bila semakin berusia, perasaan untuk mendengar Kiss tiba-tiba muncul apatah lagi bila membaca yang kebanyakan hero metal saya adalah peminat Kiss.

Muzik mereka tidaklah seberat ACDC. Tetapi mereka lebih straight forward rock n' roll berbanding ACDC yang lebih bluesy.  Ianya adalah penyebab intuk saya suka. Dan album ini adalah salah satu contohnya.

Best! 


Thursday, October 10, 2024

Forever

 Lagi yang terkini di pasaran...

Bon Jovi - Forever (2024)

Saya suka beberapa lagu dari album sebelumnya (2020). Sebab tersebut dan gambar cover album terbaru yang menarik hati membuatkan saya membeli cd ini tanpa cubaan di Spotify.

Bon Jovi dah lama berubah. Mereka bukan lagi "long hair rock n roll band". Makanya tak perlu untuk berharapan tinggi. Tanpa Richie Sambora, sound gitar berdistorsi bukanlah lagi tumpuan utama.

Mereka kini lebih kepada band pengiring Jon yang memainkan muzik pop rock dengan pengaruh country seperti Bruce Springsteen.

Ianya bukanlah tak sedap. Banyak sahaja lagu yang sedap. Jon masih banyak idea. Tetapi bagi yang gemar dengan muzik Bon Jovi yang asal ianya sesuatu yang agak payah juga untuk di hadam. Maklumlah genrenya sudah berbeza..


Monday, October 7, 2024

Toxic Grace

 Lagi album baru yang terkini dipasaran...

Evidead - Toxic Grace (2024)

Annihilation of Civilization adalah antara album thrash kenangan zaman remaja. Sayangnya mereka berkubur dengan hanya sebuah lagi album selepas itu.

Saya hampir terlupa tentang mereka sehinggakan terlepas pandang ketika mereka melakukan reunion dengan album United $tate$ of Anarchy pada 4 tahun yang lalu. Ianya sebuah album "comeback" yang bagus. 

Sayangnya album terbaru ini (yang ke 4 keseluruhan dan ke 2 selepas reunion) agak kurang memberikan kesan. Ia kedengaran sangat biasa. Terlampau generic. Tawar dan kurang warna.

Namun begitu ianya masih sebuah album yang ok. Mereka masih berpaksikan thrash. Tetapi tidaklah sebagus album album yang sebelumnya. Tiada lagu yang betul - betul menonjol. Hampir kesemuanya mudah dijangka. 


Thursday, October 3, 2024

50 tahun Burn

Yang dah mencapai usia 50 tahun pada 15 Feb yang lalu...

Deep Purple - Burn (1974)

Permulaan era Mk III. Tapi ketika itu tak paham apa pun. Pertama kali mendengar Deep Purple dan tahu itu adalah Deep Purple adalah di zaman sekolah rendah (penghujung 70an atau awal 80an). Tetapi tak tahu pun siapa penyanyinya. Satu-satunya info tentang Deep Purple adalah Ritchie Blackmore. Kuat betul pengaruh beliau kepada budak/remaja pada zaman tersebut.

Itu bab gitar, tetapi kalau vokal sudah semestinya David Coverdale. Tetapi pada ketika itu saya masih konpius antara beliau dan Ian Gillan dan juga Deep Purple dan Whitesnake. Maklumlah zaman budak katak bawah tempurung.

Antara lagu wajib abang-abang pada zaman tersebut adalah "Mistreated". Tetapi saya agak susah nak hadam. Dan ianya masih susah nak hadam sehinggakan sekarang. Saya mempunyai masalah dengan lagu-lagu yang agak bluesy. Tetapi tidak dengan lagu "Burn". Ia adalah lagu kegemaran sejak kali pertama mendengarnya. Lagu-lagu rock n roll sebegini sememangnya kena dengan jiwa.

Kali pertama melihat gambar cover album ini memang rasa takut. Gambar kepala manusia dengan lilin terbakar dia atasnya memang agak menyeramkan bagi seorang budak kampung berusia bawah 10 tahun... 


Saturday, September 28, 2024

40 tahun Forever Young

Yang menyambut ulangtahun ke 40 semalam (27hb September)...

Alphaville - Forever Young (1984)

Sebelum terjebak dengan seragam hitam, muzik yang saya dengar adalah muzik Top 40 dari radio berbahasa Inggeris (Radio One Singapura).

Big in Japan dari Alphaville adalah antara lagu yang cukup popular pada ketika itu. Rentak new wave atau synth pop sebegini sememangnya mendominasi carta pop pada ketika itu. Satu lagi lagu yang sering dimainkan di radio adalah Sounds Like A Melody.

Tetapi lagu yang benar- benar buat saya jatuh hati adalah "Forever Young". Sebuah balada pop yang sangat catchy. Liriknya mengembalikan saya ke usia 14 tahun. Siapalah yang tak mahu muda selamanya.

Ianya sebuah lagi lagu kegemaran sepanjang zaman. Dan saya tidak keseorangan. Setiap kali radio Singapura membuat undian lagu paling popular era 80an pastinya Forever Young akan sentiasa berada di kedudukan paling atas.


Wednesday, September 25, 2024

Schizophrenia

 Album baru 2024...

Cavalera - Schizophrenia (2024)

Ini adalah yang ketiga dalam siri rakaman semula album album Sepultura oleh adik beradik Cavalera.

Saya adalah antara yang teruja apabila mereka merakamkan semula Bestial Devastation dan Morbid Visions. Tetapi ia sepatutnya hanya perlu berhenti di situ. 

Saya boleh menerima alasan untuk rakaman semula Bestial Devastation dan Morbid Visions. Tetapi sebenarnya tiada keperluan untuk Schizophrenia. Sound asalnya pun sudah cukup bagus untuk tahun 1987. Tetapi mungkin sahaja alasan yang sebenarnya adalah "duit". 

Namun begitu, adik beradik Cavalera sememangnya tidak mengecewakan. Mereka sedaya upaya cuba mengikut acuan yang asal. Dan ianya berjaya. Ianya memberikan kita pilihan untuk mendengar versi yang mana. Tetapi saya memilih versi yang memberikan royalti kepada Andreas Kisser 😅...


Monday, September 23, 2024

40 tahun Powerslave

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 3hb September yang lalu...

Iron Maiden - Powerslave (1984)

Asalnya malas nak menulis tentang Powerslave. Dah beberapa kali pun menulis tentangnya. Kali terakhir 5 tahun yang lalu. Tetapi memandangkan ianya angka cantik 40. Rasa terpanggil juga untuk menulis.

Ianya ada nilai sentimental yang tinggi. Walaupun pengenalan nama Iron Maiden kepada saya adalah dari album Killers (sekitar tahun 1982 - 1983) tetapi "2 Minutes to Midnight" adalah lagu Iron Maiden pertama saya. Mendengarnya pada sekitar tahun 1985.

Ianya menjadi pembuka jalan untuk saya bukan sahaja meminati Iron Maiden malah menjadi peminat genre heavy metal secara keseluruhannya.

Ada ketiga-tiga format dalam simpanan. Sayangnya kaset asal cap "apache" yang dibeli pada sekitar tahun 1987 dah hilang...


Wednesday, September 18, 2024

Circle of Stone

 Lagi album terbaru 2024...

Blaze Bayley - Circle of Stone (2024)

Secara jujurnya saya peminat Blaze Bailey. Tetapi bukanlah zaman beliau bersama Iron Maiden, tetapi lebih kepada ketika beliau bersama Wolfsbane

Kalau dulu memang tak sangka yang beliau boleh menjadi penyanyi Iron Maiden. Wolfsbane lebih cenderung kepada Van Halen. Vokalnya pun berbeza dari Bruce Dickinson. Tetapi lengoknya tu masih boleh dikesan pada 2 album beliau bersama Iron Maiden.

Selepas bersama reunion Wolfsbane untuk album Genius (2022), kini beliau kembali dengan album solo. Ianya mengekalkan konsep yang hampir sama dengan album album sebelumnya.

Circle Of Stone lebih straight forward berbanding album solo Bruce Dickinson yang agak progressif. Beberapa lagu awalnya memang menarik. Sedap! Sayangnya, grafnya menurun sedikit untuk lagu-lagu yang terkemudiannya.

Absolva, band yang mengiringi beliau di dalam album ini dan di pentas sememangnya banyak membantu. Kerja gitar 2 gitarisnya memang hebat. 

Walaupun agak kurang konsisten, Circle of Stone membuktikan yang beliau boleh terus berdiri teguh tanpa nama Iron Maiden.


Thursday, September 12, 2024

Hybrid Theory

Nak menyibuk juga tentang Linkin Park sementara isu penyanyi baru mereka tengah hangat diperkatakan sambil-sambil membaca entri Ijau.

Linkin park - Hybrid Theory (2000)

Bukanlah peminat nu metal ataupun Linkin Park. Tetapi sebagai peminat muzik memang tak boleh lari dari mereka. Terutamanya jika anda adalah pendengar radio ataupun penonton tv. Lagu-lagu dan video clips mereka sememangnya kerap dimainkan. 

Benda yang sedap dan lunak ditelinga sememangnya susah untuk dinafikan. Tak kisah lah walau apa pun genrenya. Linkin Park termasuk didalam golongan tersebut. Lagu-lagu mereka sememangnya catchy. Makin lama dengar makin sedap. Tak hairanlah kenapa mereka boleh menjadi popular.

Tak pernah terfikir untuk membeli cdnya. Maklumlah saya bukannya dari generasi Millennials. Sehinggalah terjumpa ianya dijual secara lelong RM10 sekeping di Lexter House, Kg Kurnia, Johor Bahru sempena penutupan kedai.

Tak ada rasa pun untuk membeli cd mereka yang lainnya kecualilah kalau terjumpa juga harga lelong RM10.

Yang ini pun tak pernah putar semenjak beli. Tapi untuk entri ni, putarlah sekali… haha..


Monday, September 9, 2024

Don't Break the Oath

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 7hb September yang lalu...

Mercyful Fate - Don't Break the Oath (1984)

Cepat betul masa berlalu. Sekejap dah 40 tahun. Ini adalah antara cd terawal yang dibeli ketika kenal e-bay. 

Mercyful Fate pertama saya adalah Melissa dan kemudiannya melompat ke album-album King Diamond. Biasalah...tiada sumber untuk dibeli atau dipinjam. Tahun 80an keadaannya bukannya seperti sekarang.

Hanya mula berpeluang mendengarnya secara betul pada awal 90an. Ada seorang sahabat di IPT yang "die hard" King Diamond/Mercyful Fate meminjamkannya. Masa tu dah lebih dewasa, makanya tak ada lah perasan takut seperti kali pertama mendengar album Melissa.


Ini sememangnya salah satu album terpenting untuk heavy metal. Selain vokal KD, riff dan solo solonya yang teknikal tetapi melodic sememangnya banyak membantu. Rekomended kepada sesiapa yang belum pernah dengar.

Tetapi yang pastinya setiap kali nak bermesyuarat, pastinya terngiang-ngiang lagu "A Dangerous Meeting" dan tersengeh-sengeh sendiri...😁


Thursday, September 5, 2024

Desert Moon

Yang menyambut ulang tahun ke 40...

Dennis DeYoung - Desert Moon (1984)

"Desert Moon" dari Dennis DeYoung adalah lagu yang mengembalikan memori saya ke zaman budak-budak. Ketika itu muzik yang didengar oleh abang adalah apa yang saya sebagai adik terpaksa dengar. Maklumlah berkongsi bilik. 

Selain lagu-lagu new wave yang sedang popular pada ketika itu, beliau juga mempengaruhi saya untuk mendengar lagu-lagu rock AOR yang beliau minat. Dan Styx adalah salah satu darinya. Dari situlah pengenalan saya kepada Dennis DeYoung.

"Desert Moon" adalah album solo pertama penyanyi Styx, Dennis DeYoung. Dan lagu yang menjadi tajuk album tersebut menjadi lagu "one hit wonder" kepada beliau. Melodinya yang mudah menangkap menyebabkan ianya adalah antara lagu kegemaran sepanjang zaman untuk saya. 

Cd ini dibeli semata-mata kerana lagu tersebut. Kurang berminat dengan lagu-lagu lainnya. Hasil kerja beliau bersama Styx lebih menarik. 


Thursday, August 29, 2024

From Hell I Rise

 Lagi album terkini 2024...

Kerry King - From Hell I Rise (2024)

Album solo Kerry King yang bolehlah juga dianggap sebagai supergroup. Selain pemain bassnya yang tidak saya kenal, anggota lainnya adalah nama yang dikenali untuk scene thrash metal 80an.

Muziknya memang tak jauh berbeza dari Slayer. Apatah lagi ianya dianggotai oleh Paul Bostaph dan Phil Demmel (pernah menggantikan Gary Holt untuk beberapa siri konsert). Sudah semestinya ianya adalah Slayer. Yang berbezanya cuma vokal. Saya sememangnya pengemar Mark Osegueda dan Death Angel. Sayangnya saya merasa sedikit janggal apabila beliau cuba untuk menjadi Tom Araya.


Jujurnya saya merasa sedikit sukar untuk mendengar album ini secara sekali harung. Kebanyakan melodi lagunya kedengaran agak sama. Mungkin ianya hanya saya. Maklum lah kali terakhir mendengar Slayer secara betul pun adalah 30 tahun yang lalu (Divine Intervention - 1994).

Tetapi bagi pendengar tegar Slayer ataupun Kerry King, mungkin ini sesuai untuk anda.