Sunday, March 24, 2019
Penyanyi
Alleycats - Penyanyi (1979)
Dah 40 tahun rupanya. Entah mana perginya masa ni semua ya. Sekejap jer rasanya.
Membelek cd ini mengembalikan ingatan saya ke ruang tamu rumah keluarga di zaman kanak-kanak. Masih terbayang-bayang mendengarnya sambil membelek-belek inlay kaset. Masih teringat-ingat bau kertas kilat inlaynya. Masih terkenang-kenang iramanya yang keluar dari set hi-fi abah. Kami bukan lah orang berada. Abah hanya seorang peneroka felda. Tapi benda-benda elektronik dan teknologi ni memang abah tak pernah kalah. Rumah kami sentiasa menjadi antara yang pertama ada tv, tv warna, peti ais, pemain video VHS dan lain-lainnya. Ianya hobi abah dan mungkin satu cara untuk beliau menghargai dirinya. Satu perkara yang sedikit sebanyak turun juga ke anaknya.
Ketika itu Alleycats memang tengah popular. Lagu Senandong Semalam memang tengah meletup-letup di carta lagu radio Singapura. Malaysia lambat sikit kan baru Alleycats ni popular. Masa tu baru darjah dua. Manalah pandai nak beli kaset. Duit sekolah pun takat 20 sen atau 30 sen sehari. Teringin nak ada kaset Carefree atau Black Dog Bone. 2 nama yang tengah top pada masa itu. Tapi nak mintak abah belikan memanglah tak berani. Selalu juga ikut abang tumpang dengar piring hitam lagu-lagu ni di rumah jiran.
Abah ada juga lah beli muzik. Tapi tak pernah beli kaset. Dia lebih kepada piring hitam dan kemudiannya katrij. Tapi dia beli lagu-lagu zaman dia lah. 60an Dan 70an. Macam kita sekarang. Mana lah nak beli lagu-lagu budak sekarang...haha... Yang ini pun dia tak beli. Tapi terjumpa dalam sebuah teksi yang dia naik. Mungkin dah jadi rezeki kami. 😀
Album ini, seperti album-album lain sezamannya memang penuh dengan lagu saduran. Tapi zaman tu manalah tau. Suka betul dengan lagu "Bersembunyi" dan "Bayangkanlah", rupa-rupanya ia adalah saduran dari "One Way Ticket" - Neil Sedaka/Eruption dan "Dust in the Wind" - Kansas. Banyak lagi contohnya "Kasih Mu" dari "Hot Stuff" - Donna Summer, "Selamat Berbahagia" dari "Happy Anniversary" - Little River Band dan lain-lain lagi yang malas pulak nak mengoogle.
Satu yang menarik, album ini mengenalkan saya kepada M.Nasir. Kesemua lagu-lagu dari album ini liriknya ditulis oleh beliau. Saya pernah terbaca yang beliau pada ketika itu sememangya berkerja dengan Polygram sebagai penulis lirik. Kemudiannya baru lah saya mendengar Kembara.
Ini adalah satu-satunya cd Alleycats yang ada dalam koleksi. Membelinya kerana memori. Tidak tau album-album yang lainnya kerana selepas dari ini saya telah mula mendengar band-band seperti Kembara, Blues Gang, Sweet Charity, The Unwanted, Kingdom In Rock dan lain-lain dan kemudiannya terpangaruh pula dengan lagu-lagu inggeris zaman New Wave seperti Duran Duran.
No comments:
Post a Comment