Monday, December 28, 2020

Steel Thrashing Massacre

Cd keluaran 2020 tempatan...

Antacid - Steel Thrashing Massacre (2020)

Barang baik tak payah cakap banyak. Ini memang satu produk yang baik. Abaikan soundnya yang agak kasar dah mentah. Maklumlah ini hanyalah lagu-lagu dari demo bukannya album penuh. 

Mengikut info yang boleh di Google, mereka bolehlah dikatakan sebagai perintis kepada kebangkitan semula genre thrash metal di Malaysia di awal tahun-tahun 2000an dahulu. Lebih kurang sama kes macam Metalasia. Ketika itu muzik metal di Malaysia seperti tiada kepelbagaian. Jadi tepu. Hampir kesemuanya memainkan samada death atau black metal. Bila Metalasia keluar dengan genre power metal memang rasa ianya sesuatu yang segar. Begitu jugalah ceritanya dengan Antacid. Ianya kemudian menjadi satu trend kepada kebangkitan genre thrash metal di Malaysia.

Cd ini bukanlah rakaman baru. Ianya merupakan kompilasi lagu-lagu yang diambil dari demo-demo lama mereka. Dikeluarkan dengan secara terhad sebanyak 500 keping oleh sebuah produksi metal tempatan, Thrashingfist Productions. Sebuah label tempatan yang aktif mengeluarkan cd-cd terbaik metal dari band tempatan ataupun luar negara. Tabik Tuan CS Wild!

Jika muzik thrash atau speed metal 80an adalah selera anda, Steel Thrasing Massacre pastinya tidak akan mengecewakan. Tak pasti dengan orang lain. Tetapi muzik sebegini sememangnya makanan saya. Thumb Up! \m/



Friday, December 25, 2020

Gila Format - Heading For Tomorrow

 Antara pembelian di musim PKP.. 


Gamma Ray - Heading for Tomorrow (1990)

Antara album kegemaran yang berjaya di gila formatkan sepanjang berkerja dari rumah beberapa bulan yang lalu. Nasib lah sekarang dah berkerja semula di pejabat. Makin banyak masa duduk di rumah makin banyak pula kejadian "panic buying" di ebay. Memang jahanam...hahaha...


Bermula dari kaset, kemudiannya cd dan sekarang pula vinyl. Ini memang album wajib lah kalau gitar hero anda adalah Kai Hansen...

Tuesday, December 22, 2020

Mysterium

 Antara cd yang baru di beli...

Manilla Road - Mysterium (2013)

Seperti entri sebelum ini (Mekong Delta - Tales of a Future Past), Manilla Road juga adalah satu nama band yang pada penghujung 80an sekadar tahu nama melalui pembacaan di majalah-majalah rock berbahasa inggeris tetapi tak pernah mendengar lagu-lagunya. Cukup teruja nak dengar terutamanya album Crystal Logic (1983) tetapi langsung tak pernah jumpa albumnya sehinggalah munculnya zaman MP3.

Seperti juga Cirith Ungol, mereka juga adalah antara band heavy metal / power metal dari USA yang agak kurang dikenali. Mungkin boleh masuk kategori "obscure" kerana agak sukar juga untuk mendapatkan album-album mereka suatu ketika dahulu. Tetapi sejak zaman pembelian secara on-line, semuanya jadi mudah. Yang pentingnya duit!

Pembelian cd ini pun sebenarnya adalah secara tidak sengaja. Asalnya mencari cd-cd awal (80an) dari mereka. Cubaan di youtube yang memuaskan hati dan di tambah pula dengan harga yang mampu milik berbanding cd mereka yang lain membuatkan akhirnya "ter"beli. 

Mereka asalnya trio. Tetapi atas faktor usia, Mark Shelton (pengasas/vokal/gitar) telah mengambil seorang vokalis lain untuk membantunya menyanyi. Suara mereka agak serupa menyebabkan agak sukar nak cam yang mana satu suara beliau. 

Album ini mungkin bolehlah dikatakan sebagai "back to 80s". Muziknya agak hampir dengan Crystal Logic. Tetapi ada beberapa beberapa lagu yang pada saya agak meleweh dan cepat bosan. Maklumlah mereka bukannya straight forward heavy metal (makanan kegemaran) tetapi heavy metal yang mempunyai perisa doom (yang saya susah sikit nak hadam).

Tetapi secara keseluruhannya walaupun tidak konsisten, ianya tidaklah mengecewakan. "The Battle Of Bonchester Bridge", "Hallowed By The Grave", The Grey God Passes" dan balada "The Fountain" pada saya cukup menghiburkan dan menjadi penyelamat. Ini adalah antara lagu yang saya ulang-ulang dengar ketika menyiapkan tulisan ini.

Walaubagaimanapun band ini dah pun berkubur. Mark "The Shark" Shelton telah pun meninggal dunia pada tahun 2018. Beliau adalah Manilla Road. Tanpa beliau rasanya tiada siapa pun yang berhak mengunakan nama tersebut.


Sunday, December 20, 2020

Tales of a future past

Antara cd terbaru di dalam simpanan...

Mekong Delta - Tales of A Future Past (2020)

Antara band yg dulunya sekadar tahu nama, tengok gambar dan membaca ulasannya di majalah-majalah rock antarabangsa. Album mereka yang bertajuk The Principle of Doubt (1989) mendapat rating yang tinggi di Metal Hammer. Teringin betul nak dengar. Maklumlah zaman tersebut tengah kemaruk dengan thrash. Tapi tak pernah nampak pun ianya di jual di sini dan tiada juga kawan yang memilikinya.

Hanya ketika munculnya zaman mp3 dan youtube barulah berpeluang untuk dengar. Muzik mereka bolehlah dikatakan sebagai teknikal thrash yang agak progresif. Tetapi dari pendengaran saya terhadap beberapa album terkini mereka, ianya semakin cenderung kepada progresif metal yang agak susah juga saya nak hadam. 

Selepas 2,3 kali pendengaran, tekaan saya terhadap Tales of a Future Past tenyata betul. Mereka sudah semakin kurang perisa thrash. Muziknya semakin progresif. Mungkin ianya sesuai untuk yang minat progressif metal seperti seperti Dream Theater. 





Friday, December 18, 2020

vandenberg 2020

 Lagi album tahun 2020 yang ada dalam simpanan...

Vandenberg  - 2020 (2020)

Saya adalah peminat Adrian Vandenberg. Dia adalah salah seorang gitar hero di zaman saya membesar. Mengenali muzik beliau sebelum zaman Whitesnake lagi. Adrian dan kumpulan beliau, Vandenberg membawa saya kembali ke zaman kaset Apache. Ada 2 lagu mereka yang terkandung dalam siri kompilasi "The Ultimate Revenge Of Kerrang!" yang mengenalkan saya kepada mereka. ("Burning Heart" dan "All the Way").

Kini beliau kembali menggunakan nama Vandenberg sebagai satu band. Walaupun tanpa anggota yang asal, sudah semestinya Vandenberg adalah beliau. Arah tuju muziknya masih sama. Album ini mengembalikan nostalgia tersebut.

Dengan Ronnie Romero bertindak sebagai vokalis, ianya seperti mendengar album Raibow atau pun Whitesnake. Tak pelik pun. Ritche Blackmoore pun menggunakan khidmat Ronnie untuk Rainbow. Beliau mempunyai kekuatan vokal yang seakan-akan seperti Ronnie James Dio, Jeff Scott Soto mahupun David Coverdale.


Album ini juga menampilkan rakaman semula lagu "Burning Heart". Ianya lebih perlahan dengan solo Adrian yang lebih mendayu. Boleh tahan sedap. Tetapi saya lebih menyukai versi asal dari tahun 1982. Bukan sahaja kerana nilai nostalgianya tetapi kerana soundnya yang lebih "raw"...lebih 80an...

Yang pastinya, Vandenberg 2020 adalah salah satu album hard rock kegemaran saya untuk tahun 2020. Cuba dengarkan lagu "Shadows Of The Night". Memang umphhhh...


Tuesday, December 15, 2020

Nights Of The Dead

Terkini dalam simpanan...

Iron Maiden - Nights of the Dead, Legacy of the Beast: Live in Mexico City (2020)

Tak kisahlah walau berapa banyak pun album live yang mereka keluarkan. Tak peduli pun walau balik-balik lagu yang sama juga mereka mainkan. Ianya akan tetap juga dibeli.

Steve Harris sir,...please take my money...😁😁😁 


Tak adalah nak kata best atau pun istimewa sangat. Dari segi sound dan vokal Bruce Dickinson tidaklah di tahap yang terbaik. Kalau istimewanya pun mungkin kerana adanya lagu "Flight of Icarus" yang dah bertahun tak dimainkan. Biasalah Maiden ni mana rajin nak tukar-tukar setlist.(bak kata Deaf pun band yang pemalas nak mampus 😁)


Mungkin satu lagi keistimewaan kerana adanya 2 lagu dari era Blaze Bayley"Sign of the Cross" dan "The Clansman". Rasanya album ini pun bukanlah dalam perancangan awal mereka. Ianya sekadar memenuhi aktivi tahun 2020 mereka yang terbantut angkara covid-19.

Tak sabar pula nak tunggu album baru tahun depan yang khabar anginnya dah pun siap dirakamkan...



Sunday, December 13, 2020

Fallen

Projek terbaru Zak Stevens (Savatage / Trans-Siberian Orchestra)...

 Archon Angel - Fallen (2020)

Dah lama tak dengar cerita pasal Zak Steven. Kali terakhir ketika beliau bersama  Circle II Cirle (Reign of Darkness - 2015). Kini beliau kembali bersama projek terbaru yang di beri nama Archon Angel bersama gitaris, Aldo Lonobile dari Secret Sphere. Jujurnya tak pernah tahu pun pasal Secret Sphere. Membeli cd ini kerana tertarik dengan promo yang mengatakan ini adalah sambungan kepada Savatage. Maklumlah sebagai peminat Savatage, apa-apa yang ada kaitan dengan Savatage memang teringin nak dengar.


Selepas 5 kali ulang dengar, tak rasa pun macam Savatage. Mana mungkin nak jadi Savatage tanpa adik beradik Oliva mahupun Paul O'Neill. Tetapi perlu diakui ada beberapa lagu yang mempunyai sedikit citarasa Savatage. "Fallen" dan "Serpent" contohnya yang cuba ke arah Edge of Thorns. Tambah pula dengar suara Zak Stevens yang tak banyak berubah. 

Tak ada yang salah tentang album ini. Mungkin ianya bukan Savatage. Tetapi ia masih sebuah album melodic metal yang bagus. Memang sedap. Produksi dan sound pun bagus. Tetapi tiada lagu yang betul-betul menangkap. Dengar. Sedap. Lepas tu lupa. 



Friday, December 11, 2020

12 tahun dan sejuta yang melihat...

Munculnya bulan December bermakna sekali lagi blog ini menyambut ulang tahun. Diam tak diam, dah 12 tahun juga blog Berteromber ini wujud. 


Dalam malas malas pun, setiap kali ada masa terluang mesti gatal juga tangan  untuk terus menulis. Mungkin sebab utamanya ialah lebih rasa selesa bila berada di alam maya. Dalam dunia realiti tak ada seorang pun kawan yang boleh masuk bila nak berborak pasal hobi yang sebegini. Penat dah asyik kena soal "ko masih beli cd?... "ko masih dengar lagu-lagu hantu macam ni?"...😁😁😁

Kalau nak menulis di facebook pun sama juga. Tak best betul bila ada rakan sekerja atau saudara mara di dalam friend list yang tahu aktiviti sesumpah kita ni. Susah juga hidup dalam 2 lifestyle yang berbeza...hahaha...Rasanya lebih selamat bila berblog. Tak ada siapa yang kenal kecuali rakan-rakan blogger dan ahli keluarga yang terdekat.

Akhir kata... terimakasih kepada yang masih sudi untuk membaca. Tak perasan pun yang page view dah melebihi satu juta kalau Ijau tak sebut dalam salah satu komennya. Kalau satu page view ni boleh dapat 10 sen pun, perghhh...RM100,000 dah dalam kocek...kaya....kaya...hahaha...


p/s - ada kawan yang cadangkan supaya blog ini dibukukan.... hmmm...rasanya selain dalam 10 orang kawan blogger yang dah jadi sahabat rapat yang rasanya boleh di paksa untuk beli 😁....siapalah yang lain yang nak beli. Blog yang free ni pun dah tinggal berapa kerat jer pun yang baca...


Wednesday, December 9, 2020

Titans of Creation

 Lagi album terkini untuk tahun 2020...

Testament - Titans of Creation (2020)

Diam tak diam dah 13 album dah otai thrash ni. Seperti mana-mana band yang pernah mencapai tahap kegemilangan atau zaman kemuncak mereka, setiap album berikutnya akan sentiasa menjadi perbandingan dan sudah semestinya agak sukar untuk mencapai kembali tanda aras tersebut. Dan pastinya ada peminat yang tak suka. Tambah-tambah pula kebanyakan band thrash cuba bereksperimen dengan hala tuju baru di tahun-tahun 90an. Testament tidak terkecuali. The Ritual (1992) adalah contohnya.

Tetapi sejak kemunculan semula (reunion) mereka dengan album "The Formation of Damnation"(2008), Testament kembali menjadi Testament. Rasanya itulah yang sepatutnya mereka orang-orang lama buat. Biarlah generasi muda dengan muzik generasi mereka. Bagilah peminat generasi tua lama ini untuk terus bernostalgia...haha...

Ini semangnya klasik Testament! Tiada yang mengecewakan. Setara antara thrash yang keras dan yang melodic. Malah banyak lagu-lagunya mempunyai chorus yang agak catchy. "Dream Deceiver" adalah yang paling menonjol. Sekali dengar pun dah terasa nak menyanyi bersama.

Tengok pula siapa di bahagian rhythm mereka. Gene Hoglan dan Steve DiGiorgio adalah antara nama besar dalam dunia drum dan bass untuk muzik thrash. Vokal Chuck Billy yang masih bertahan walaupun dan hampir mencecah ke usia 60 tahun. Dan yang paling penting, sebab utama kenapa saya sukakan Testament adalah "thrashy riff" dan "blistering solo" dari Alex Skolnick dan Eric Peterson. Mereka berdua memang tidak pernah mengecewakan.

Tiada yang berubah dengan Titans of Creation. Apa yang kita harapkan itulah yang kita dapat. Cumanya saya teringin nak dengar mereka kembali merakamkan lagu-lagu balada thrash seperti "The Ballad","The Legacy" atau pun “Return to Serenity”


Sunday, December 6, 2020

Tangan Hitam

 Mengimbau kenangan...

Handy Black - Tangan Hitam (1989)

Membaca tulisan Dr Taki di FB bersama vokalis Handy Black, Isa Rahman baru saya perasan yang saya tidak pernah menulis tentang Handy Black. Tak pasti kenapa. Mungkin kerana kurangnya pendedahan saya kepada muzik mereka selain dari zaman mereka di Clash of The Band.

Mereka adalah adalah antara yang paling saya suka dari kompilasi Clash of The Band. 2 lagu mereka dari album tersebut Mimpi dan Ketenangan masih tetap saya dengar sehingga sekarang.

Tetapi kemudiannya saya agak "lost" dengan mereka. Tidak pernah membeli kasetnya. Zaman bergelar pelajar dengan bajet terhad, membeli kaset memang kena selektif. Seingatnya saya pernah mendengar album pertama mereka, Gempak (1988) tetapi kurang berminat. Menyebabkan saya tidak mengambil tahu tentang mereka selepas dari itu.

Cd keluaran semula ini dibeli pada tahun ianya diterbitkan (2016) tetapi tak pernah mendengarnya secara betul-betul selain hanya sebagai muzik latar ketika membaca atau menulis sehinggakan tak perasan bagaimana bunyi lagu-lagunya.

Untuk tulisan ini, saya telah mendengarnya secara serius dalam 4 atau 5 kali sebelum menulis. Ternyata ianya sebuah album rock/heavy metal yang bagus. Susunan muziknya mantap. Lagu pun sedap. Tambahan pula barisan anggota band mereka sememangnya bukan calang-calang nama dalam arena rock tanahair. Sayangnya kita jarang  mendengar cerita tentang gitaris mereka, Rosli. Solo-solonya bagus (best kan solo lagu Natrah?). Selayaknya beliau mendapat lebih penghargaan.

Sememangnya nasib tidak menyebelahi mereka. Sepatutnya line-up ini boleh membawa mereka menjadi sebuah nama yang lebih besar.  Mungkin bukan sahaja RTM yang mengharamkan 9 daripada 10 lagu mereka patut disalahkan. Peminat muzik rock seperti saya juga bersalah. Tangan Hitam adalah satu lagi senarai album yang saya rasa rugi tak dengar ketika tahun ianya diterbitkan..


Friday, December 4, 2020

From Conception: Live 1981

 Antara cd terkini dalam simpanan... 

Dokken - From Conception: Live 1981 (2007)

Tak pasti rakaman ini dari tahun bila dan di mana sebenarnya. Don Dokken dalam nota di inlay cd pun mengaku yang dia pun dah lupa. Master tape nya pun dia jumpa secara tak sengaja. Tetapi menurut Jeff Pilson, ianya diambil dari satu rancangan radio pada tahun 1983. Mungkin ini jawapannya mengapa mutu rakaman langsung ini sangat bagus. 

Cuma yang menjadi tanda tanyanya, kenapa tahun 1981 yang menjadi tajuknya. Sedangkan pada tahun tersebut, pemain bass mereka bukanlah Jeff Pilson, tetapi masih lagi Juan Croucier (yang kemudiannya menyertai Ratt). Tapi tak kisah yang pentingnya ini adalah sebuah rakaman live yang bagus. Walaupun soundnya agak kasar (maklumlah tahun 1983) tetapi cukup bersih. Malah ianya lebih baik di telinga saya berbanding album live "Beast From The East - 1988".


Perlu diingat, rakaman ini adalah sebelum mereka menjadi popular. Tetapi permainan mereka memang kemas. Memang tip-top terutamanya di bahagain vokal Don Dokken dan kerja gitar George Lynch. Ianya mengandungi lagu-lagu dari album pertama mereka, Breaking The Chains (1981) berserta 3 lagu yang sedap terutamanya "Going Down" yang mereka tak pernah rakamkan untuk mana-mana album sekalipun.

Kalau anda peminat Dokken, album ini memang wajib ada.


Tuesday, December 1, 2020

Dance With The Devil

Beli kerana Sonia Anubis. Lama dah mengikuti channel youtube beliau. Orangnya cantik dan berbakat. Handal pula bermain gitar. Manalah mungkin tak ter"klik" butang subcribe…hahaha…

Burning Witches - Dance With The Devil (2020)

Kebelakangan ini memang banyak band-band muda yang kembali bermain genre heavy metal dan speed metal 80an. Sehinggakan ujudnya istilah NWOTHM (New Wave of Traditional Heavy Metal). Burning Witches adalah satu daripadanya. Yang lebih menariknya, kesemua band member mereka adalah wanita.

Ini adalah album ketiga band yang berasal dari Switzerland ini. Seperti 2 album sebelumnya, muzik mereka adalah heavy metal sejati (straight forward heavy metal). Ianya seperti mana anda mendengar band-band heavy metal lagenda seperti Judas Priest, Accept atau mungkin sahaja Warlock atau Doro (terutamanya bila mendengar vokalis wanita)


Ianya menepati ciri-ciri sebuah album heavy metal yang bagus. Memang tak kalah lah jika hendak dibandingkan dengan mana-mana band heavy metal lelaki. Skill pemuziknya memang bagus. Shredding  solo dan rif gitar dari Sonia dan Romana mengembalikan nostalgia 80an. Terdapat juga lagu cover Manowar - Battle Hymn dengan penampilan istimewa dari Ross The Boss. 

Bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi bagi mereka yang ingin mencari muzik heavy metal 80an alaf baru yang dimainkan pula oleh awek rockers, mungkin boleh cuba. 

*Sayangnya Sonia telah pun meninggalkan Burning Witches. Khabarnya beliau kini terlibat dengan 2 buah band yang lain. Salah satunya bergenre death metal. Tak sabar pula hendak mendengar bagaimana muziknya...



Saturday, November 28, 2020

From the Vault

 Antara cd terbitan tahun 2020 yang dah dalam simpanan...

Metal Church - From the Vault (2020)

Lama dah tak mengikuti perkembangan Metal Church. Kepayahan untuk mendapatkan kaset/cd mereka di pasaran tempatan dan "lost" seketika dalam mengikuti perkembangan dunia metal di pertengahan 90an menyebabkan kurang mengambil tahu tentang mereka.

Dulunya pun tahu dan teruja nak dengar muzik mereka kerana cerita-cerita di majalah tentang bekas gitaris mereka, John Marshall yang pernah menjadi guitar tech untuk Metallica dan pernah juga bermain live bersama Metallica ketika James Hetfield patah tangan. 

Mula mendengar mereka pun hanya sekitar tahun 1990. Itupun sekadar lagu "Watch the Children Pray" dan sekali imbas kaset "Blessing In Disguise". Tak beli pun kasetnya. Sekadar dengar gitu-gitu dari kawan. Zaman tu manalah berduit nak beli macam-macam.

Hanya mula betul-betul mendengar mereka ketika zaman Mp3 dan pandai membeli di ebay. Tetapi lebih tertumpu kepada 4 album pertama mereka. Memang tak tahu pun yang vokalis mereka Mike Howe pernah keluar dan kini telah kembali. Tetapi setelah terbaca tentang album ini dan percubaan di spotify, rasa tak teragak-agak untuk terus membeli.


Ini bukanlah sepenuhnya album baru. Ianya adalah gabungan lagu-lagu baru, live, B-sides dari album sebelumnya dan lagu-lagu lama mereka yang diberi nafas baru. Terdapat juga 3 lagu cover dari band 70an. Yang paling menarik sudah tentunya lagu cover "Nazareth - Please Dont Judas Me".

Mendengar 4 lagu barunya mengingatkan kembali betapa mereka sememangnya band yang bagus. Memang sedap. Melodic metal yang catchy. Mungkin mereka tak cukup thrash, tetapi ianya lagu-lagu heavy metal atau mungkin juga dipanggil sebagai American power metal yang sangat berkualiti. Tak sabar pula nak tunggu album baru mereka. 

Hmmmm...Tak pasal-pasal kena Meng"ebay" album sebelumnya, "Damned If You Do (2018)" ....



Thursday, November 26, 2020

In the hands of God

Satu lagi berita sedih tetapi bukan pasal muzik.... 

Ketika zaman budak-budak, ada 3 pemain bolasepak yang cukup saya minat dan kagumi. Bryan Robson, Zico dan Maradona. 

Nama Maradona ni dah saya dengar ketika awal tahun 80an lagi. Tetapi biasalah pada zaman tersebut. Bukannya ada siaran langsung bola setiap minggu di tv. Yang ada punya hanyalah rancangan mingguan bolasepak Inggeris Big League Soccer. Yang betul-betul dapat tengok live depan tv pun hanyalah pada ketika Mexico 86. Memang dia betul-betul hebat. Kerana dia saya menjadi penyokong Argentina untuk beberapa siri Piala Dunia sebelum munculnya zaman Argentina (Messi) yang saya tak minat. 

Ada yang membandingkan beliau dengan Pele. Tetapi saya tidak hidup pada zaman tersebut. Bagi saya Maradona sudah membuktikan yang secara berseorangan pun dia telah berjaya membawa Argentina dan Napoli ke puncak kejayaan. Dia adalah yang terbaik dan legenda sebenar bolasepak untuk generasi seperti saya. 

Terimakasih lejen. 


Diego Armando Maradona 

October 30, 1960 - November 25, 2020

"Rest in peace" 




Monday, November 23, 2020

Live! Live! Live!

 Antara cd terbaru dalam simpanan.

Bryan Adams - Live! Live! Live! (1988)

Lama dah cari. Baru ni dapat. Seperti biasa, hasil sabar dan tekun ber"ebay", dapat dengan harga cepu emas RM22.26 siap pos dari England. (*disclaimer - ini bukan rachun, jangan terjebak...sekali terjebak dalam e-bay memang susah dah nak pandang ke belakang...hahaha)

Orang kata nak dengar album live yang best carilah di zaman "prime" mereka. Ini memang saya setuju sesangat. Live! Live! Live! adalah contohnya. Pilihan lagunya pula memang dah tentu-tentu semua yang kita suka, ala-ala album greatest hits pun iyer juga (maklumlah memang pada zamannya). Mutu suaranya pula sudah semestinya juga pada tahap yang paling terbaik (zaman muda mereka)

Live! Live! Live! di rakamkan dalam suasana hujan lebat di Werchter, Belgium. Tiada penambahan atau pembaikan. Apa yang berlaku pada hari konsert itulah apa yang dapat kita dengar di dalam album ini. Suara Bryan Adams dan solo-solo gitar Keith Scott memang terbaik.

Oleh kerana ianya di rakamkan pada tahun 1988, konsert ini mengandungi lagu-lagu dari album Into The Fire dan sebelumnya. Zaman kegemaran . Tak suka sangat zaman balada "(Everything I do) I do it for you" dan selepasnya. Semua lagu best. Kalau ada kekurangan pun tiadanya lagu "Straight From The Heart".

Yang sedikit lainnya, encore konsert adalah 2 lagu cover, "I Fought The Law ( The Clash)" dan "Walkin' After Midnight (Patsy Cline)". Jarang jumpa penyanyi yang ada banyak lagu popular buat encore lagu cover. Tetapi yang cukup menarik perhatian saya adalah lagu bonus tracknya, lagu "Into The Fire" yang dirakamkan secara akustik di sebuah persembahan di Tokyo. Sedap betul jadinya...





Friday, November 20, 2020

Alias

 lagi kenangan zaman 90an...

Alias - Alias (1990)

Ada masanya bila tepu dengan lagu-lagu metal, muzik sebeginilah yang dapat menghiburkan hati. Album ini mengembalikan kenangan di awal tahun 90an. Ketika itu lagu "More Than Words Can Say" agak kerap berkumandang di radio berbahasa inggeris Singapura. Malah video clipnya juga selalu dimainkan di MTV Asia di TV5 Singapura.

Tetapi saya mengenali anggota band Alias ini lebih awal dari itu. Abang saya adalah pengemar muzik sebegini. Melalui beliaulah saya mengenali band-band yang di kategorikan sebagai AOR, atau hard rock atau arena rock atau melodic rock, soft rock, pop rock dan lain-lain gelaran yang seangkatan seperti Journey, Foreigner, REO Speedwagon dan lain-lain. Salah satu koleksi beliau dari genre sebegini adalah band dari Canada yang bernama Sheriff.

Penyanyi Alias, Freddy Curci dan pemain gitarnya Steve DeMarchi adalah berasal dari Sheriff. Ketika lagu Sheriff "When I'm with You" menjadi juara di Carta Billboard Hot 100 (1989), mereka telah pun berpecah. Kesan dari popularnya lagu tersebut, mereka berdua cuba untuk menghidupkan kembali Sheriff tetapi gagal. Hasilnya munculah Alias. 

Sebenarnya Alias bolehlah dianggap sebagai supergroup. Ianya adalah gabungan 2 anggota Sheriff bersama 3 anggota kumpulan Heart. Sebuah lagi kumpulan lagenda untuk genre yang sebegini. Hasilnya lahirlah sebuah album yang boleh dikatakan hebat. 10 lagu yang mantap. Memang sedap.

Selain "More Than Words Can Say", album ini juga menghasilkan lagu hit lain seperti "Waiting for Love" dan "Haunted Heart". Tetapi bukan itu sahaja lagu-lagu lain pun sedap. Rekomended untuk peminat AOR.



Tuesday, November 17, 2020

Infinite

Atas permintaan seorang rakan (Koboi Tanduk)... Nak ulas tak pandai... Cerita sahajalah... 

Stratovarius - Infinite (2000)

Tahun 2000 adalah tahun yang saya kembali mendengar dan membeli semula muzik metal selepas agak "hilang" pada penghujung 90an. Bermula dari Helloween - The Dark Ride dan Rhapsody - Dawn Of Victory, saya mula mengenali dan terjebak dengan genre power metal. (ketika 80an dan awal 90an, Helloween digelar sebagai speed metal)

Dari situlah bermulanya minat kepada Stratovarius. Infinite adalah yang pertama. Kemudiannya baru mencuba album-album yang sebelumnya. Dan akhirnya berhenti pada album Elements (2003). Ketika itu rasa tepu dengan muzik sebegini. Ianya seperti mendengar benda yang sama berulang-ulang. Sedap tapi dah tak rasa kelazatannya. Mungkin perasaannya sama seperti yang kata ACDC atau Malmsteen tu balik-balik main benda yang sama. Tapi entahlah...setahun dua ni agak kemaruk semula dengan muzik yang sebegini. 

Asalnya yang buat tertarik dengan Stratovarius adalah kerana adanya Jens Johansson. Dia ni pemain keyboard untuk album-album klasik Malmsteen. Dan satu lagi kerana lagu "Hunting High And Low". Sekali dengar dah menangkap. Mulanya ingatkan cover lagu A-Ha 😁

Oleh kerana ianya album yang mengenalkan saya kepada mereka, sudah tentu-tentunya ianya menjadi album kegemaran. Nilai nostalgianya lebih sedikit dari album Destiny (1988), sebuah lagi album mereka yang menjadi kegemaran.

Mereka adalah tipikal power metal. Laju, Melodic dan catchy. Dulunya lebih menyukai lagu-lagu mereka yang laju. Tetapi entah kenapa kebelakangan ini banyak pula mendengar balada epic "Mother Gaia". Dulu rasa lembab...tapi sekarang rasa syiok pula terutamanya dari bahagian chorus sehingga tamat lagu. Mungkin juga kerana faktor usia...😁


Saturday, November 14, 2020

Best of Belantara

 Mengimbau kenangan...


Belantara - Best of (2001)

Nak cerita sedikit sejarah pasal cd ni. Dulunya ketika cd ini diterbitkan pada tahun 2001, agak susah juga nak carinya di kedai. Merata kedai cd seluruh Johor Bahru di cari tapi tak jumpa. Entahlah, mungkin nama Belantara agak kurang dikenali. Kedai cd pun tak berani nak ambil stock.

Masa tu bila ternampak iklan di surat khabar yang Universal Music akan mengeluarkan 15 siri cd best of, dan salah satu adalah best of Belantara memang rasa sangat teruja. Maklumlah ini kali pertama album Belantara di"cd"kan. Tapi itulah.. puas ulang alik kedai cd tapi tak jumpa. Yang selalu jumpa hanyalah Best of Search, M Nasir, Kembara, Alleycats dan Headwind. Cari juga Desire, tapi tak jumpa juga. Ada lah satu kedai tu yang kat tingkat 1 Angsana (dah tutup kedai ni) ada jual siri koleksi ni dengan banyak tajuk. Tapi tetap tak ada Belantara. Yang ada hanya Junction. Beli lah juga. Junction pun tak pernah jumpa dalam betuk cd pada ketika itu. Tapi Belantara... Desire tetap tak ada..

Akhirnya minta tolong yang jaga kedai tu tanya supplier. Dia telepon supplier pun memang tak ada stock. Kalau nak juga kena booking dari KL, seminggu baru dapat. Dan akhirnya selepas seminggu, berjaya juga cd ini dimilik. Tapi disebabkan teruja nak cd Belantara, lupa pula nak tanya cd Desire. Akhirnya sampai kesudah tak pernah ada cd Best of Desire...hahaha...


Tapi tak lah rasa suka sangat dengan track list nya. Majoritinya lagu slow. Paling hampa tak ada lagu "Dewi". Entah siapa lah yang tukang pilih track list. Pastinya dia bukanlah peminat Belantara. Tapi itulah... bak kata orang, tak ada rotan,  akar pun berguna juga...

Satu yang bagusnya tentang cd ini, walaupun beberapa tahun lepas akhirnya kesemua album Belantara berjaya di"cd"kan. Tetapi ternyata cd best of inilah yang paling bagus soundnya. Kerana inilah satu-satunya yang sumbernya dari yang asal bukannya dari piring hitam... tapi tu lah... kenapa tak ada lagu "Dewi"??????????....




Thursday, November 12, 2020

IX

 Kenangan 30++ tahun yang lalu...


Bulldozer - IX (1987)

Sebut band Bulldozer, secara otomatiknya akan mengingatkan saya kepada rakan sekelas dan sekampung. Ketika di sekolah tak pernah pun tahu yang beliau adalah peminat muzik rock. Gaya beliau yang agak nerd, cermin mata tebal, mat study dengan imej budak baik dan tidak bergaul dengan geng-geng rock memang tak ada siapa pun yang menyangka yang beliau adalah sebenarnya seorang metalhead.

Jadi rapat dengan beliau pun hanyalah ketika penghujung zaman persekolahan bila berkunjung ke rumah beliau dan terlihat koleksi kaset. Ketika itu baru tahu yang dia adalah peminat tegar Iron Maiden dan heavy metal. Sejak itu kami sering bertukar-tukar kaset dan salah satu kaset dan band kegemaran beliau adalah Bulldozer. 

Tahun 1988-89, mendengar muzik sebegini samada anda merasa takut dan tak boleh masuk atau terus menjadi minat. Saya termasuk dalam kategori yang minat tetapi agak takut dengan lirik-liriknya. Tetapi muziknya memang bersesuaian dengan jiwa remaja yang pada ketika itu sentiasa mahukan lebih ganas...lebih berat dan lebih laju.

Tapi tak pernah beli pun kasetnya. Muzik yang dah di dengar dari kawan, biasanya tak akan di beli lagi. Ada duit akan beli band yang lain pula. (kecuali yang betul-betul minat) Begitulah caranya pada zaman tersebut (zaman tak ada youtube ataupun spotify) untuk kita dapat mendengar lebih banyak band.


Beberapa bulan yang lalu baru berpeluang memiliki cdnya. Mendengarnya semula mengembalikan ingatan ke zaman tersebut. Zaman yang tak kisah pun pasal sound. Janji laju…berat…ganas memang suka. Kalau anda sukakan heavy dan speed metal yang raw...kasar soundnya, ini adalah salah satu band dan album yang patut anda cuba.


Satu fakta yang dulunya tak tahu, (terimakasih teknologi internet), lagu "The Derby" adalah sebenarnya ditujukan kepada pasukan bola AC Milan. Penyanyi Bulldozer, A.C. Wild adalah peminat tegar AC Milan. Tak pelik pun. Bulldozer memang berasal dari Milan, Itali. Kalau kaki bola tak Inter mesti AC...



Monday, November 9, 2020

The Rock Album

Lagi album tahun 2020 yang berjaya dimiliki...

Whitesnake - The ROCK album (2020)

Bukan album baru. Tetapi lebih kepada kompilasi lagu-lagu berentak rancak terbaik/popular Whitesnake. The Rock album adalah sebahagian daripada siri "Red, White and Blues Trilogy" yang akan dipasarkan secara berperingkat. "The ROCK album" (putih) adalah yang pertama dipasarkan. "Love Songs" (merah) dan "The BLUES album" (biru) akan menyusul kemudian.

Pilihan lagu-lagunya di ambil dari era 80an bermula dari album "Slide It In" (1984) hinggalah ke "Forevermore" (2011). Tak pasti kenapa tiada lagu-lagu dari zaman 70an. Mungkin lagu-lagu zaman tersebut akan di masukan ke album biru. Maklumlah Whitesnake era 70an soundya lebih terarah kepada blues.


Yang menjadi tarikan utama untuk membeli cd ini adalah kerana ianya telah melalui proses mixing dan mastering semula. Bermakna soundnya memang berbeza dari versi yang asal. Contohnya lagu "Still Of The Night". Saya selalu merasakan yang solo John Sykes pada lagu ini agak tenggelam pada versi asal. Tetapi dengan versi 2020 ini, ianya menjadi lebis jelas. Sound gitarnya juga lebih sharp. Terdapat juga perbezaan pada pertengahan dan penutup lagunya.

Begitu juga dengan lagu-lagu yang lainnya. Memang ada perbezaan. Itu yang rasa macam nak beli juga yang warna merah bila ianya dipasarkan nanti. Tapi memang tak akan belilah yang warna biru. Tak minat sangat blues based rock ni.



Saturday, November 7, 2020

The Wizard... Ken Hensley

Semakin hari semakin ramai hero zaman kita budak-budak telah tiada. Kita pun dah jadi bapak budak apatah lagi mereka. Kali ini dikejutkan pula dengan satu lagi berita sedih terutamanya bagi peminat Uriah Heep. 2 bulan lepas Lee Kerslake, kini kita dikejutkan pula dengan berita kematian seorang lagi lagenda rock iaitu Ken Hensley.


Untuk sesiapa yang masih tak tahu, beliau adalah suara disebalik lagu klasik rock Uriah Heep - Lady In Black. Selain hebat bermain keyboards, beliau juga adalah pemain gitar, pencipta lagu dan penerbit album. Beliau juga adalah lejen Hammond Organ sama seperti Jon Lord. Kini kedua-duanya telah tiada 😢

Dulu-dulu memang tak minat sangat rock dengan keyboards, tetapi beliau bersama Jon Lord (Deep Purple) dan Jens Johansson (Yngwie Malmsteen) telah banyak mengubah pandangan tersebut.


Tak banyak muzik Ken Hensley yang ada dalam simpanan. Tapi rasanya ramai yang tak tahu yang beliau bermain keyboards untuk W.A.S.P - The Headless Children dan bermain Hammond Organ untuk 4 lagu dalam Cinderella - Heartbreak Station.


"Ken Hensley wrote the rule book for heavy metal keyboards as far as I'm concerned." - Blackie Lawless (W.A.S.P)

  

Thanks for the music sir

Kenneth William David Hensley

 (24 August 1945 – 4 November 2020) 



Tuesday, November 3, 2020

Debbie Gibson singles 7"

Antara "crush" zaman remaja....


Debbie Gibson  - 7" Singles (6 keping)

Antara yang mejadi kegemaran selain Tiffany. Rock hantu macamana pun dalam hati tetap ada taman...hahaha...

Ianya mengembalikan nostalgia zaman sekolah. Tak pernah pun beli kaset-kasetnya. Zaman rock dan tak berduit. Cukuplah sekadar rakam lagu-lagunya dari radio..😁



3 singles dari album pertama beliau, "Out Of The Blue" (1987). "Only in My Dreams" (Feb 1987), "Shake Your Love" (Sep 1987) dan "Out of the Blue" (Jan 1988). Ada lagi 3 singles lain dari album ini.


Ini pula 3 singles dari album berikutnya, Electric Youth (1989). "Lost in Your Eyes" (Jan 1989), "Electric Youth"(Mar 1989) dan "We Could Be Together" (Aug 1989). Ada satu lagi singles lain dari album ini.


Bukanlah pengumpul singles 7 inchi. Iron Maiden punya pun tak pernah beli. Tapi bila terjumpa 6 keping singles ini dijual di ebay dari Jerman dengan harga cuma RM42.76 termasuk pos, perghhhh...memang jackpot! 😅


Ini bukti "crush" zaman remaja yang masih disimpan...hahaha...tak lah pandai sangat melukis...tapi dah 29 tahun dah tu....😁