Wednesday, December 31, 2014

Wordless Wednesday : 2014



Selamat tinggal 2014....The Memory Remains....




Tuesday, December 30, 2014

Love at First Sting

Album terakhir untuk 2014...yang dah genap 30 tahun...


Scorpions - Love at First Sting (1984)

Album ini diterbitkan ketika pengaruh terbesar saya dalam muzik ketika zaman budak-budak (abang saya) tidak lagi mendengar muzik rock sebaliknya lebih kepada muzik pop Top 40 dan new wave.

"Love at First Sting" dikenalkan kepada saya oleh kawan sekolah. Walaupun saya ada kaset "Blackout", tetapi di sebabkan pengaruh lagu-lagu pop new wave di rumah sangat kuat. Saya agak kurang mengambil tahu. Tetapi lagu"Rock You Like a Hurricane" dan"Still Loving You" memang tak boleh nak elak. Majoriti rakan sekolah dan rakan sekampung tahu akan lagu ini.

Yang tak boleh saya lupa bila rakan sekolah menukarkan lirik "Here I am, rock you like a hurricane..." kepada "A Rahim, rock you like a hurricane ..." bunyinya sama katanya. Dah arwah dah kan pelakon A Rahim tu.


Rancangan tahun baru di tv, Playback 84 yang ada menyiarkan video clip "Rock You Like a Hurricane" menyebabkan saya kembali mendengar Scorpions. Tambahan pula ketika itu saya telah mula mendengar Iron Maiden dan mula terpengaruh dengan muzik rock.

Pada saya "Love at First Sting" adalah antara yang terbaik dari era Mathis Jab. Majoriti lagunya adalah lagu yang selalu ada dalam koleksi best of. "Bad Boys Running Wild", "I'm Leaving You", "Coming Home", "Big City Nights" dan 2 lagu wajib "Rock You Like a Hurricane" dan"Still Loving You" adalah lagu yang kalau anda bukan peminat Scorpions sekalipun pastinya anda tahu atau sekurang-kurangnya pernah dengar akan lagu-lagu tersebut.

Terbaik!


*kenangan dari Tower Records KL Plaza....tanda harga tu memang saja simpan....




Monday, December 29, 2014

Vinyl Passion 3

Khas untuk peminat piring hitam yang tersesat ke Johor Bahru...

Mungkin Johor Bahru bukanlah syurga piring hitam tetapi masih boleh cuba nasib di Skudai Parade. Tetapi kebanyakan adalah lp 60an dan pop 70an. Lp cina lagi la melambak. Untuk mat rock memanglah kurang menarik. Tetapi mungkin boleh cuba pula untuk ke sini...


Lexter House yang terletak di tingkat 4 (kawasan food court) di Danga City Mall. Rupa-rupanya dah 6 tahun berniaga di sini tetapi saya baru beberapa bulan lepas terjumpa. Poser betul la...harap jer duduk Johor Bahru...hahaha...


Pada saya walaupun koleksinya tak sebanyak seperti di Skudai Parade, tetapi kondisi lp nya masih banyak yang bagus jika hendak dibandingkan dengan sana. Skudai Parade banyak yang dah barai. Tambah menarik banyak juga pilihan untuk album-album pop 80an. Harga masih boleh di terima akal lah kalau hendak dibandingkan dengan kedai JAV di Komtar, Pulau Pinang.

Tetapi untuk mat rock memang terhad. Tak banyak pilihan. Kalau ada pun orang dah kebas. Kena rajin-rajin jenguk. Mat rock zaman sekarang ni memang kaya-kaya la...ramai betul yang main lp. Hipster betul... :P


Selain tu banyak juga pilihan untuk turntable, amplifiers dan speakers 2nd hand selain pelbagai barang antik yang lain. Yang penting datang bawa duit....macam-macam boleh beli...


dan inilah akibatnya bila datang bawa duit...punah ranah kononnya nak puasa.....grrrrr........







Sunday, December 28, 2014

Nasi Arab Wadi ElArab

Sesekali jadi blog jalan-jalan cari makan...


Bukanlah pengemar nasi arab. Tetapi disebabkan banyak kali dah dengar orang bercerita, makanya test cuba try...



Restoran Nasi Arab Wadi ElArab adalah salah satu restoran nasi arab yang terkenal di Johor Bahru. Ada 2 cawangan. Satu di Kampung Melayu manakala yang seperti di gambar ini adalah cawangan di Jalan Kebun Teh.


Nak lebih menarik sila pilih makan menggunakan dulang. Lain-lain menu pun akan diletakkan dalam satu dulang. Contoh gambar di atas Nasi Arab Ayam Mandy di letakkan bersama-sama dengan apatah tajuk menu yang satu lagi tu...lupa dah...

(gambar nasi adalah helah semata-mata....err...sebenarnya nak ambik gambar awek kat belah kanan tu...hahaha)

Nak lagi best..pilihlah untuk makan bersila..baru feel macam kat negeri Arab. Orang rumah kata sedap...tetapi bagi tekak melayu macam saya yang lebih sukakan nasi yang berkuah...kira ok ok ajer la...

Sebenarnya selain dari masakan arab, mereka juga ada menyediakan pelbagai menu yang lain.



ok...boleh juga bergambar denga patung unta...khabarnya di import dari negara arab..




Friday, December 26, 2014

Phenomenon

40 tahun dah usia album klasik hard rock terbaik ini....


UFO - Phenomenon (1974)

Peminat tulen Iron Maiden pasti tau UFO atau pun sekurang-kurangnya lagu "Doctor, Doctor". Pada saya ini adalah salah satu lagu rock terbaik yang pernah dicipta dalam sejarah.

Phenomenon adalah kemunculan pertama Michael Schenker dalam UFO. Beliau memberikan impak serta merta, Pengaruh hard rock yang beliau bawakan dari Scorpions mengubah UFO dari bayang-bayang blues rock dalam 2 album awal mereka. "Doctor, Doctor" dan "Rock Bottom" bukan sahaja sekadar menjadi lagu "signature" bagi UFO malah ianya menjadi salah satu "signature" untuk lagu hard rock 70an. Bagi saya "Doctor, Doctor" adalah antara contoh lagu hard rock yang sempurna.

Penghujung 70an atau awal 80an dahulu saya agak konpius antara Scorpions dan UFO. Tetapi bagi saya ianya satu "blessing in disguise" bila Micheal Schenker meninggalkan Scorpions. Kerananya bukan hanya kita ada 2 band hard rock terbaik dari era tersebut tetapi juga mengenalkan kita kepada gitarist hebat seperti Uli Jon Roth.


Bagi saya UFO dan Scorpions adalah pencetus kepada hard rock tulen. Led Zeppelin lebih kepada blues, Deep Purple adalah heavy rock n roll manakala Black Sabbath adalah doom. Walaupun ianya telah 40 tahun berlalu, tetapi album Phenomenon tetap relevan untuk muzik masa kini.

Saya betul-betul rindukan zaman seorang gitar hero. Mana ada zaman sekarang seorang gitaris boleh mengubah hala tuju sesuatu kumpulan atau pun seorang gitarist boleh menjadi penyebab sesuatu kumpulan itu menjadi popular. Memang dah tak ada kan?..tiba-tiba teringat pulak lagu "Teruskan" dari SYJ. :)

Apa-apa pun, Phenomenon bukan hanya setakat kerja gitar cemerlang Michael Schenker, tetapi juga vokal power dari Phil Mogg. Kombinasi mereka berdua memang banyak menghasilkan lagu-lagu terbaik UFO. Semua lagu pun best dan sedap.

Rekomended!




Thursday, December 25, 2014

Sudah Sampai Sini : Bandar Ikan Patin


Ini bukti dah sampai ke Temerloh....



Maaf...gambar ikan patin masak tempoyak tak sempat nak tangkap...dah terjun dalam perut...

kah...kah...kah..







Wednesday, December 24, 2014

Here Come the Brides

10 tahun telah pun berlalu...


Brides of Destruction - Here Come the Brides (2004)

Tak sangka pula album ni best. Kalau tengok dari anggotanya yang merupakan nama besar dalam pergerakan glam/hair metal 80an sudah sepatutnya album ni bagus. Tetapi 10 tahun yang lalu saya gagal untuk menghargainya. Mungkin pada ketika itu perasaan "bias" dan jatidiri kepada muzik rock 80an terlampau menebal. Tetapi bila mendengarnya semula sekarang...secara betul bukannya sekadar sepintas lalu, ada beberapa lagu yang saya rasa sangat best.

Inilah hasilnya apabila Nikki Sixx (pengasas Motley Crue) dan Tracii Guns (pengasas L.A. Guns dan gitaris asal Guns N Roses) berkerjasama dalam satu band. Agak menarik apabila mereka memilih vokalist yang tidak ternama untuk bersama mereka. Ini dapat mengelakkan perbandingan ketara muzik mereka dengan Motley Crue ataupun L.A. Guns.

Tetapi sememangnya muzik mereka tidak sama. Brides of Destruction menampilkan muzik hard rock alaf baru. Sound yang lebih berat, lebih punk dalam masa yang sama lebih metal. Cuma beberapa lagu seperti lagu slow Only Get So Far yang mengingatkan saya kepada band lama mereka terutamanya bahagian solo gitar mendayu Tracii Guns.

Antara lagu yang menarik perhatian saya adalah lagu yang agak punkish "Shut The Fuck Up", "Natural Born Killers" yang mempunyai chorus yang sangat catchy dan lagu mid-tempo "Life". Nikki Sixx membuktikan yang beliau masih hebat dalam mencipta lagu.

Dengan Here Come the Brides, Nikki Sixx dan Tracii Guns mengajar anak muda alaf baru bagaimana caranya untuk bermain muzik hard rock yang bagus. Sayangnya kumpulan ini berkubur selepas Nikki Sixx kembali dengan re-union Motley Crue.



Monday, December 22, 2014

Haria Penang Haria 2

Kali kedua ke Pulau Pinang dalam tempoh dua bulan. Kali ini pergi secara bersendirian. 5 hari 4 malam yang dipenuhi dengan kerja..kerja dan kerja...tak sempat sangat nak pergi melilau..

A Room With A View
Pemandangan bandar George Town dari bilik hotel. Sampai-sampai brader teksi dan bagitau sekarang tengah berlangsung Pesta Pulau Pinang. Sayangnya sibuk dan tiada kawan pula hendak di ajak pergi.


Menjelang senja menunggu maghrib di perkarangan bangunan pejabat yang bertempat di Jalan Green Hall. Hari-hari balik 8 malam...tak sempat langsung untuk bersosial. Balik Hotel...makan...tidur!


Tetapi atas maklumat En Mus Speedrider, sempat juga menyinggah di KOMTAR. Vinyl hunting konon-kononnya. Tetapi kenapa la nama kedai ni mengingatkan saya kepada Maria Ozawa...kah..kah..kah...


Seperti yang diwar-warkan, kedai ni harganya memang potong kepala. Lp MAY - Rahsia dijual dengan harga RM500. Iron Maiden - The Final Frontier dan ACDC - Back In Black seperti gambar di atas adalah RM450 dan RM400. Lain-lain yang dah nak barai pun rega beratus-ratus...Giler mahal!!!

Puas tawar menawar...tapi memang tak dapat la harga mampu milik...akhirnya balik tangan kosong. Uncle tu kata kalau nak murah belilah lp zaman Elvis Presley tak pun lp cina...hahaha...hampeh betul...

Nampak gayanya Lp melayu dan lp lagu rock omputeh memang mahal...Uncle tu kata memang banyak permintaan.....Iskh...iskh...ramai betul mat rock kaya main lp ek sekarang...tobat la nak jadi hipster kalau macam ni...huhu..


Sebuah lagi kedai menjual vinyl di  KOMTAR yang dicadangkan kawan-kawan. Sayangnya 2 malam berturut-turut datang, dua-dua malam pun tutup. Mungkin juga saya bernasib baik, kalau buka...dah tentu-tentu kempis duit di kocek...


Menapak berseorangan dari KOMTAR balik ke hotel waktu malam di Penang Road, terserempak dengan mural ini. Tak pasti apa tajuk dia. Tetapi yang pastinya Penang di waktu cuti sekolah memang sesak. Hotel pun full house. Pukul 11 malam lebih pun masih ramai yang berjalan kaki membawa anak-anak. Tetapi terkejut juga di sapa "amoi" berhadapan Cititel Hotel. Jam baru pukul 9 dah start meniaga dah..terang-terang pulak tu..dasyat.


Disebabkan berseorangan...makan malam restoran mamak yang biasa-biasa ajer...tak syok arr makan sorang-sorang...tapi best juga bila terjumpa restoran masakan melayu dan thai berhadapan dengan Hotel Continental. Sedap. Duduk Penang ni memang syurga makanan...melambak tempat makan...sediakan duit ajer la...

Gambar atas ni Nasi Kandar Line Clear cawangan Airport.


Cuba jugalah...tapi ambil yang simple ajer...pasal dalam kapalterbang pun dah order makan. Ni pun plus teh ais kena RM12.80. Biasalah...harga airport. Tapi memang makanan kat Penang ni mahal sikit...nasib la tiap kali lunch opis belanja makan macam-macam...jimat sikit...tapi tak ambil gambar...segan pula nak ambil gambar makanan depan budak-budak opis...hahaha...



Ni kali pertama pre-order makanan dalam flight...yang satu waktu pergi...yang satu waktu balik...fast food ajer...nak kata sedap...boleh la...tapi yang penting company tanggung...hahaha..

Mungkin...februari tahun depan akan sekali lagi ke sani....tungguuuuu....




Friday, December 19, 2014

Kita Peng-Yu

Yang mengamit memori 20 tahun yang lalu....


XPDC - Kita Peng-Yu (1994)

Awal 90an adalah tahun-tahun yang saya tidak mengambil endah perihal rock melayu. Saya seperti kebanyakan mat metal semasa remajanya sedang melalui frasa menjadi "true". XPDC adalah salah satu bahan kutukan budak-budak underground ketika itu kerana penglibatan Lee Space. Ramai tak boleh terima kot apabila drummer band seganas Rator menjadi drummer untuk lagu cintan C.I.N.T.A.

Saya kemudiannya pernah duduk berjiran dengan Mael di Flat Taman Kosas, Ampang. (sekitar tahun 1993 - pernah diceritakan pada entri-entri yang lalu berkenaan XPDC). Hampir hari-hari melihat kelibat beliau bermain sepak takraw dan kadang-kadang terserempak juga dengan Izo. Tetapi  masih tak berminat pun hendak mendengar muzik mereka sehinggalah saya balik ke JB dan terbaca review album "Kita Pengyu" di dalam sebuah akhbar.


Tak sangka pula mereka adalah klon Metallica. Metallica pun pada ketika itu sudah tidak mahu menjadi Metallica. Tetapi mereka pula yang menjadi terlebih Metallica. Semenjak dari itu saya mula mendengar dan membeli album-album lama mereka. Kita Peng-Yu dan Brutal adalah 2 album mereka yang paling saya suka tetapi Kita Peng-yu mempunyai lebih "sentimental value".

Pada saya album inilah yang menjadi pemangkin untuk saya kembali mendengar lagu-lagu rock/metal melayu. Lagu-lagu berat mereka walaupun berbau thrash tetapi cukup catchy untuk jiwa anak melayu.

Kerana mereka perkataan "metal" telah menjadi suatu yang mainstream.

Rekomended!



Thursday, December 18, 2014

Doctor Butcher

lagi yang dah pun 20 tahun...


Doctor Butcher - Doctor Butcher (1994 - re release 2005)

Rasanya tak ramai pun tahu band ini. Kecualilah anda pengemar Savatage seperti saya. Ini adalah side projek bagi gitaris jemputan Savatage, Chris Caffery bersama pengasas Savatage, Jon Oliva.

Ianya sedikit berbeza dari muzik Savatage yang biasa. Tiada elemen progressive, theatrical mahupun epic metal. Itu kita boleh jumpa dalam satu lagi side projek Jon Oliva (Trans-Siberian Orchestra). Tetapi Doctor Butcher adalah Savatage yang lama. Zaman Sirens ataupun The Dungeons Are Calling. Straightforward metal album. Malah ianya lebih berat dan lebih aggresive dari muzik Savatage. Mungkin di sinilah tempatnya Jon dan Chris Caffery meluahkan segala perasaan marah mereka selepas kematian Criss Oliva.


Cd saya adalah keluran re release tahun 2005 yang juga mengandungi bonus disc lagu-lagu dari demo mereka yang dirakamkan pada tahun 1996. Memang berbaloi. Sayangnnya mereka tidak lagi meneruskan projek band ini semenjak Jon dan Chris Caffery kembali menyertai Savatage.


Saya tak rasa album ini sesuai untuk semua. Malah bukannya "patut beli" walaupun anda pengemar Savatage. Tetapi jika anda sukakan Savatage yang lama dan anda sukakan straightforward metal. Metal yang berat. Ini mungkin boleh menjadi kegemaran anda.



Wednesday, December 17, 2014

Monday, December 15, 2014

Goreng Pisang Mawar

Sesekali cerita bab makanan...

Kat JB ni kalau cerita pasal kat mana nak cari goreng pisang yang sedap...sudah pasti antara jawapannya adalah "Goreng Pisang Mawar".



Kenapa namanya "Mawar"?..rasanya bukan sebab towkeynya bernama Mawar atau dia suka bunga mawar. Tetapi mungkin bersempena dengan lokasinya yang bersebelahan dengan bangunan Majlis Wanita Johor (Mawar).

Senang nak cari tempatnya. Di Jalan Sg Chat. Bersebelahan Thistle Hotel JB. Di kawasan Galeri Mawar dan Kedai Bunga Kim Florist. Seberang jalannya pula adalah Padang Seri Gelam. Tempat latihan pasukan JDT. Kalau nasib baik memang boleh jumpa player JDT makan kat sini.


Yang sedapnya pada tekak saya adalah kerana tepungnya yang di goreng rangup dan isinya pun lembut dan manis kerana menggunakan pisang nipah yang telah masak. Makan tengah panas-panas lepas goreng memang "kick" la..


Dia yang bertambah sedap bila cecah dengan sambal kicap. Ni memang gaya orang Johor. Makan apa-apa pun mesti ada sambal. Memang suka pedas. Tu pasal makan roti canai pun cecah sambal.

Tempat ni kalau tengahari memang sesak la. Siap beratur kalau nak beli. Dia bukan setakat hanya jual goreng pisang. Ada juga kuih muih, nasi lemak, nasi ambang dan yang paling saya suka adalah mihun goreng ni...


Uniknya dibalut dengan daun pisang dengan harga RM2. Betul-betul mengingatkan kepada mihun goreng yang dimakan di kantin sekolah semasa kanak-kanak dulu.

Sedap!



***sebenarnya goreng pisang ker pisang goreng ek?..mana satu yang betul...tapi orang Johor memang guna perkataan goreng pisang..






Friday, December 12, 2014

Slide It In

Yang dah berusia 30 tahun...


Whitesnake - Slide It In (1984)

Ini adalah titik perubahan Whitesnake dari segi konsep, lagu malah logonya juga.

Saya hanya mendengar album ini selepas meletupnya album Whitesnake 1987. EMI menerbitkan semula album ini secara remaster pada tahun 1988 seperti kaset kepunyaan saya di gambar. Apa yang saya tidak tahu pada ketika itu, album ini mempunyai 2 versi yang berbeza. Versi UK dan versi US.

Padanlah saya tidak menjumpai nama John Sykes dan Neil Murray pada inlay kaset walaupun saya ada terbaca dalam Kerrang! yang mereka terlibat. Rupa-rupanya versi asal (terbitan UK) tidak melibatkan mereka. Kaset dan cd saya (kedua-duanya remaster 1988) adalah versi UK. Kedua-dua versi ini soundnya memang berbeza. Maklumlah penerbit dan ada sesetengah pemuziknya juga berbeza.

Versi UK soundnya seperti Whitesnake lama yang lebih ke arah bluesy rock. Manakala versi US lebih kepada hard rock. Kemasukan John Sykes dalam versi US sememangnya merubah hala tuju Whitesnake sama seperti apa yang berlaku kepada Thin Lizzy dalam album Thunder and Lightning. Memang saya suka. Malah bunyi drum dari drummer lajen Cozy Powell pun lebih padu bunyinya berbanding versi UK. Dan mungkin juga saya "bias" kerana menyukai solo-solo gitar John Sykes dalam versi US berbanding solo-solo Micky Moody dalam versi UK.


Satu lagi yang jelas perbezaannya adalah bunyi keyboards Jon Lord yang diperlahankan dan ada juga yang dirakamkan semula oleh Bill Cuomo. Mungkin David Coverdale sengaja berbuat begitu kerana pada ketika album ini diriliskan Jon Lord telah pun kembali ke pangkuan Deep Purple. Tapi paling kesian adalah bassist asal Colin Hodgkinson. Versi US semuanya dimainkan semula oleh Neil Murray.

Bagi peminat awal Whitesnake yang biasa dengan bluesy rock pasti akan sedikit kecewa dengan arah tuju album ini. Tetapi bagi peminat hard rock seperti saya, ini memang bagus. Tetapi yang pastinya album ini telah membuka jalan untuk Whitesnake melebarkan sayapnya di US dan menjadi terkenal di seluruh dunia.

Sayangnya sehingga kini saya masih belum memiliki Slide It In versi US. Ini misi saya seterusnya...mungkin dalam bentuk vinyl... :P





Thursday, December 11, 2014

W.F.O.

Thrash yang dah 20 tahun....


Overkill - W.F.O. (1994)

Mereka sangat underated. Tidak banyak band thrash yang terus menerus bertahan di zaman 90an. Metallica, Megadeth, Anthrax dan banyak lagi telah berubah. Mereka tidak terkecuali. Album sebelumnya I Hear Black (1993) menyaksikan mereka juga terkena penangan groove metal.

Namun begitu untuk W.F.O. ("Wide Fuckin' Open") mereka kembali bermain thrash. Walaupun ianya bukanlah 100% thrash yang asli. Masih ada bayangan groove metal tetapi sekurang-kurangnya dapat juga mengembalikan nostalgia zaman thrash 80an terutamanya bahagian rif keras hanguk kepala dan chorus "singalong"nya yang catchy.

Suatu yang berbeza untuk album ini adalah sound bass D.D. Verni yang agak kuat. Terlalu kedepan kadang-kadangnya mengatasi bunyi gitar Rob Cannavino dan Merritt Gant. Agak pecah juga sound radio mini compo cap ayam saya bila volume dinaikkan.


Antara lagu yang menarik adalah Where It Hurts, Fast Junkie dan Bastard Nation. Sayangnya kali ini mereka tidak meneruskan trademark lagu-lagu slow thrash mereka seperti "Soulitude" dan "Shades of Grey". Satu-satunya lagu slow adalah Instrumental "R.I.P. (Undone)" yang mereka tujukan khas buat mendiang Criss Oliva (Savatage).

Walaubagaimanapun tabik buat mereka. Tak kisahlah kalau asyik bertukar anggota. Yang pentingnya Bobby "Blitz" Ellsworth dan D.D. Verni terus menerus memperjuangkan irama thrash mereka tanpa mengira zaman.

Salut!










Wednesday, December 10, 2014

Wordless Wednesday : Vinyl Passion 2





***ni adik ipar punya...mendengarnya hanya di hujung minggu...jadilah...nak beli sendiri pun lp nya tak sampai pun 20 keping...heheh...



Tuesday, December 9, 2014

Haria Penang Haria



Bermula dari malam tadi hingga ke hari jumaat...sekali lagi saya berada di Pulau Pinang...kali ini sememangnya atas urusan kerja semata-mata...tak bawa keluarga...bosannya juga duduk termangu dalam bilik hotel sorang-sorang...

Kalau sesiapa yang ada di Pulau Pinang tu boleh lah calling-calling...tak pun bagi cadangan kat mana agaknya tempat best untuk saya cd/vinyl hunting di sini...



Monday, December 8, 2014

Beginning

Kaset khazanah negara yang dah pun berusia 20 tahun...


V.A - Beginning (1994)

Seperti yang saya katakan dalam "Pop is Dead?". Tahun 1994 adalah tahun besar bagi pengemar muzik alternatif di Malaysia. Bermacam-macam band yang berkonsep sebegini muncul samada secara underground mahupun mainstream.

Mungkin mengikut trend era 80an dengan kompilasi seperti Battle of the Bands, Juara Juara Rock, Clash of the Band dan lain lain lagi, era 90an juga tidak terkecuali. Yang bezanya cuma genre dan bahasa. Kalau dulu rock dan heavy metal tetapi mengguna bahasa melayu, kini rock alternatif tetapi entah kenapa mesti menggunakan bahasa inggeris. Mungkin mereka kumpulan orang-orang bandar bukannya kampung macam heavy metal. Agaknya la kot... haha....

Selain  A Circle of Friends dan Alternative Connection, ada juga satu kompilasi yang dikenali sebagai Beginning. Menampilkan kumpulan-kumpulan seperti Happy Nightmare, Saturnine, ABC...Dead, Barmy System dan T.R.Y. Mungkin kalau mahukan ulasan yang lebih menyeluruh boleh sahaja baca di blog Dissecting the Euphony di >SINI<.



Maklumlah, muzik sebegini bukannya makanan saya. Makanya agak kurang sesuai untuk saya yang memberikan ulasan. Apa yang saya ingat Arwah Bob KU2 ada terlibat dengan ABC..DEAD yang ada menyumbangkan lagu dalam kompilasi ini.

Tetapi apa yang paling saya ingat dari kompilasi ini adalah lagu Liquid Love dari Saturnine. Memang sedap sehinggakan saya membeli album-album solo mereka. Sayangnya sehingga kini tiada satu pun kumpulan dari kompilasi ini yang masih dapat bertahan...




Friday, December 5, 2014

In the Sign of Evil

Lagi yang dah 30 tahun..


Sodom - In the Sign of Evil EP (1984)

Kalau sebut teutonic thrash, Sodom adalah yang kedua saya tahu selepas Kreator. Itupun agak terlambat. Mula mengikuti mereka hanya pada album Agent Orange (1989).

Seperti yang saya katakan sebelum ini, selepas tahun 1988 adalah tahun yang saya mula mencari album metal yang lebih ekstrim. Mula dperkenalkan dengan album ini ketika saya menuntut di ITM. Agak berlainan dengan Sodom yang saya dengar melalui Agent Orange. Muziknya agak kasar, mentah dan kurang teknikal. Tetapi itu yang mungkin menjadikannya sedap.

Ketika di zaman remaja yang mementingkan "true", sound "primitive" begini memang sangat mengasyikkan. Lagi sebu lagi "true" kot. Tak kisahpun walaupun majoriti lagu-lagunya tiada pun gitar solo. Tapi pantang pula bila band "nu metal" dan "St Anger" tiada solo...hahaha...

Pada saya mendengar EP ini secara mudahnya boleh lah dikiaskan sebagai "NWOBHM" ataupun Venom yang bermain laju. Mungkin pengaruh mereka sememangnya dari band-band era tersebut. Memang sesuai jika anda pengemar extreme metal. Ini membuktikan yang extreme metal tidak memerlukan teknikal atau skill hebat untuk menghasilkn sebuah album yang boleh di anggap klasik.

 Terbaik jika anda tak berkira perihal sound.





Thursday, December 4, 2014

Vinyl Passion



Walaupun hanya  memiliki tak sampai pun 20 keping lp...tetapi trendy itu pasti...hahaha


Jika anda tidak kuat pendinding...jangan cuba-cuba nak join group >ini< di facebook. Bukan setakat rachun...santau..tuju-tuju...hantu raya pun semua dihantarnya...hahaha...


**ni semua salah Dr Bentara yang tarik saya masuk ke dalam group ni...grrrrr


Wednesday, December 3, 2014

Sudah sampai sini : Swiss-Garden-Beach Resort, Damai Laut


Jalan-jalan yang di taja oleh majikan...2 hari 1 malam ke Swiss-Garden Beach Resort, Damai Laut, Lumut, Perak.











Ok dah...layan gambar ajer lah yer...malas pulak nak menaip...tapi yang pentingnya percutian ini FREE!!!