Friday, April 26, 2024

Chaos Horrific

Lagi album dari tahun lepas (2023)... 

Cannibal Corpse - Chaos Horrific (2023)

Dah nak masuk bulan 5 tapi masih tak habis lagi cerita untuk album tahun lepas (2023). Kadang-kadang tu bila ada idea untuk menulis, masa pula tidak mengizinkan dan bila ada masa pula, tak tahu pula apa yang hendak ditulis.

Kali ini bercerita pula tentang album terbaru dari Cannibal Corpse. Sebuah band yang secara jujurnya hanya saya dengar ketika zaman remaja. Namun begitu ada juga memiliki cd-cd album awal mereka. 

Pembelian cd ini adalah kerana penangan mendengar Dying Fetus - Make Them Beg for Death. Ianya membangkitkan semula semangat saya untuk berdeath metal. Tambahan pula bila ternampak nama Erik Rutan di dalam Cannibal Corpse. Bukanlah peminat besar beliau, tetapi saya suka gandingan beliau bersama Trey Azagthoth ketika di dalam Morbid Angel.

Saya bukanlah orangnya untuk memberikan pendapat tentang muzik Cannibal Corpse. Tetapi saya suka apa yang saya dengar. Tak banyak pembaharuan yang boleh dibuat dalam Death Metal kerana acuannya memang begitu. Brutal dan laju mana lagi yang boleh kita pergi?

Senang cerita ianya adalah apa yang kita harapkan dengan Cannibal Corpse. Tak lebih dan tak kurang. Erik Rutan sememangnya membantu dari segi sound, rif dan solo-solo gitar yang menarik.



Monday, April 22, 2024

Dark Parade

 Lagi album dari tahun lepas...

Cirith Ungol - Dark Parade (2023)

Semakin tua semakin aktif. Ini adalah album kedua dalam tempoh 3 tahun. Kali terakhirnya sebelum aktif kembali adalah pada tahun 1991 (Paradise Lost).

Seperti album sebelumnya (Forever Black - 2020), mereka masih mengekal muzik mereka yang asal. Lagu-lagunya memang melodic dan catchy. Dan yang paling menarik perhatian adalah kerja gitarnya. Memang sedap. Tak kenal pun siapa gitaris mereka. Tetapi salah seorangnya darinya adalah gitaris yang asal.



Dari apa yang di baca, mereka telah pun mengambil keputusan untuk bersara dari bermain live bermula dari awal tahun depan. Masing-masing pun umur dah pangkat atok-atok. Mungkin dah tak larat untuk tour. 

Cumanya harap mereka masih berdaya untuk terus menghasilkan album baru. Siapa lagi yang hendak bermain muzik heavy metal 80an sebegini kalau bukan orang-orang tua seperti mereka....


Wednesday, April 17, 2024

Riak CDwi

Masih dalam mood Raya. Dah habis bulan puasa ni bolehlah ber"riak cdwi"...😁

Dalam mengemas rumah untuk persediaan Hari Raya minggu lepas sempat juga menyusun dan mengambil gambar beberapa keping cd terkini di dalam simpanan. Ini adalah pembelian untuk tahun 2024. Tetapi bukanlah semua. Ini tak termasuk cd baru keluaran 2024 dan beberapa keping lagi cd lainnya yang dah pun diletakkan dalam rak. (Malas nak keluarkan balik).

Tetapi yang pastinya dalam tempoh tersebut kebanyakan cd yang dibeli adalah dari genre hard rock dan pop metal (glam/hair metal). Kebelakangan ini sememangnya lebih cenderung untuk membeli cd-cd dari genre sebegini. Ada juga sedikit dari genre yang lain tetapi tak ambil gambar. Tak kena dengan tema.




Dan dalam tempoh ini juga memang tak ada pun membeli piring hitam (lp) kecuali sekeping. Harga lp yang semakin mahal dan kadar tukaran wang yang semakin teruk menyebabkan rasa tak berbaloi untuk membeli. (kecuali jika ada tajuk yang betul-betul dah lama mengidam nak beli).

Kebanyakan dari cd ini adalah cd terpakai yang dibeli dari Shopee dan buyee.jp. Majoritinya adalah dibawah RM30.

Dah banyak macam ni tak rasa akan ada kerajinan untuk menulis setiap satu….apa-apa pun masih belum terlambat untuk mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA… MAAF ZAHIR DAN BATIN".


Tuesday, April 9, 2024

Sudah Sampai Sini - HMV

Sambungan dari bahagian 1 dan 2

Kedai yang terakhir tetapi sebenarnya kedai yang pertama disinggah bila sampai ke tanah Inggeris.


5 - HMV - The Cleveland Shopping Centre, Middlesbrough


Perancangan untuk berkunjung kesini telah awal dimasukkan ke dalam itinerary setelah mendapat tahu yang ianya terletak berdekatan dengan tempat tinggal anak. (rumah anak di Stockton-on-Tees ke Middlesbrough tak sampai pun 5 km).


Dulu selalu nampak nama HMV kat majalah Kerrang!. Pernah juga kirim kawan beli. Tak sangka pula akhirnya berpeluang juga untuk menjejakkan kaki ke sini. Walaupun mungkin HMV di Midlesbrough ini tidak sebesar seperti di London tetapi ianya sudah cukup "heaven" bagi peminat muzik tua seperti saya.

Lama dah tak pergi ke kedai cd sebesar ini. Ianya mengingatkan kepada Tower Records KL Plaza. Betul-betul mengamit memori. Sesat sekejap duduk dalam ni…hahaha….

HMV bukan setakat menjual cd dan lp, tetapi ianya juga menjual barangan berkaitan muzik seperti buku dan tshirt. Lupa dah nak ambil gambar semua tu. Dok kyusuk membelek cd dan lp…lupa dunia sekejap.

Yang menariknya disini ada promosi 3 Vinyl untuk £55 dan 2 CD untuk £16 untuk tajuk-tajuk yang tertentu. Tetapi tak ada tajuk yang betul-betul nak beli. Yang berkenan tu ada juga. Tetapi bila otak asyik la terfikir RM kali 6…memang apa pun tak jadi….haha…

Tambah menarik, ada kawasan khas dan luas untuk “Metal”. Bermakna genre metal masih popular dan diterima dengan meluas oleh orang-orang disini. Untuk genre lain pun ada tetapi taklah secara eksklusif seperti “Metal”. Siap dengan logo-logo semua.

Tetapi akhirnya sekadar mencuci mata. Tak ada beli apa pun. Ianya sekadar mengembalikan nostalgia zaman dulu. Seronok…lupa dunia dan rasa rindu betul lah nak ada kedai sebesar ini di Malaysia…


Dua ni beli kat kedai ini. Tetapi bukanlah masa datang hari tu. Kedua-duanya tak keluar lagi pun masa tu. Tetapi kirim dengan anak yang pulang bercuti raya...(jimat duit postage) 😁

Selamat Hari Raya! Maaf Zahir dan Batin. 



Wednesday, April 3, 2024

Road

 Lagi album 2023...

Alice Cooper - Road (2023)

Tak boleh nak ingat dah ini album keberapa beliau tanpa bantuan google. Kali terakhir saya membeli cd album beliau adalah Welcome 2 My Nightmare (2011). Itu pun pembelian jualan murah RM10 dari Popular Book Store. Cdnya pun masih berbungkus plastik. Tak pernah pun putar. Yang betul-betul dengar adalah Dragontown (2001). Beli kaset. Tapi tak berapa nak minat. 

Alice Cooper susunan muziknya berubah mengikut zaman. Sebagai seorang yang membesar di era 80an, sudah semestinya saya mengemari era glam metal beliau yang bermula dari Trash (1989), Hey Stoopid (1991) dan The Last Temptation (1994)

Hasil membaca beberapa ulasan, saya terpengaruh untuk membeli album terbaru ini. Percubaan di spotify juga menyakinkan yang album ini berbaloi untuk dimiliki. Road bukanlah seperti 3 album yang saya sebut di atas. Tetapi pengaruhnya ada. Sesuai dengan usia beliau dan kemungkinan ini adalah album terakhir, beliau memilih gabungan dari era 70an, 80an dan 90an. 

Lagu-lagunya sedap. Alice Cooper jarang yang tak sedap. Cumanya kalaulah sound gitar Ryan Roxie, Nita Strauss dan Tommy Henriksen lebih berat ala-ala glam metal 80an...pastinya album ini lebih best. Terutamanya untuk telinga peminat yang seperti saya.



Sunday, March 31, 2024

Center Mass

Lagi album dari tahun lepas (2023)...


Bangalore Choir - Center Mass (2023)

David Reece mempunyai vokal yang bagus. Sayangnya nasib tidak pernah menyebelahi beliau. Satu album beliau bersama Accept (Eat the Heat - 1989) tidak diterima oleh peminat Accept. Manakala album sulung beliau bersama Bangalore Choirs (On Target - 1992), walaupun bagus tetapi tenggelam dek penangan grunge.

Saya tidak mengikuti perkembangan karier beliau selepas dari itu sehinggalah saya terbaca tentang album terbaru dari Bangalore Choir. Rupa-rupanya Bangalore Choir ada 2 album lain sebelum ini yang tak penah saya tahu. Kedua-duanya termasuk yang terbaru ini hanya beliau seorang anggota yang asal. Bermakna bolehlah dikatakan yang Bangalore Choir adalah projok solo David Reece. 

Tak pasti dengan 2 album tersebut. Tetapi Center Mass mungkin boleh memuaskan hati peminat On Target. Walaupun lebih "mellow" dan "mid-tempo" dan agak kurang konsisten, tetapi ianya masih mampu  mengembalikan nostalgia lama. 

Yang pelik sedikit apabila mereka menceriakan lagu "Love Hurt" menjadi sebuah lagu mid-tempo. Ianya mengingatkan saya kepada Skid Row di zaman Johnny Solinger  (Thickskin - 2003) yang merancakkan lagu "I Remember You". Mula-mula rasa janggal. Tetapi selepas 3,4 kali pendengaran rasa menarik pula...


Tuesday, March 26, 2024

Get It Right

Lagi album terbitan tahun 2023... 

Heaven's Edge - Get It Right (2023)

Heaven's Edge adalah satu lagi band hard rock yang muncul pada waktu yang salah. Sejujurnya tak pernah dengar pun album mereka pada ketika itu (1990). Mendengarnya hanya beberapa tahun kebelakangan ini. Itu pun selepas timbul rasa ingin tahu apabila albumnya sering di masukan ke dalam senarai album bagus hard rock yang terlepas pandang di era 90an.

Susah dah nak dapat cd tersebut. Tetapi ianya memang bagus jika muzik anda adalah hard rock. Maka, apabila mendapat tahu yang mereka ada membuat kemunculan semula dengan satu album baru memang tak menunggu lama untuk membeli.

Ternyata ianya satu pembelian yang berbaloi. Berbaloi bermaksud (sekali lagi) jika muzik anda adalah hard rock. Ianya melodic dan catchy dengan sound dan perisa hard rock 90an yang kuat. Ini adalah antara album yang tak sangka akan jatuh suka.

Album seperti Get It Right ini dihasilkan lebih kepada memberikan kepuasan kepada band member dan peminat hard rock seperti saya. Tidak guna untuk mereka menghasilkan selain dari apa yang menjadi identiti mereka. Zaman dah berlalu. Yang membeli dan mendengar muzik sebegini pada waktu sekarang hanyalah peminat-peminat tua. Kalau dapat seorang dua yang muda jatuh minat ianya adalah satu bonus.

Salah satu album kegemaran 2023 untuk kategori hard rock.


Friday, March 22, 2024

Sudah sampai sini - Kedai muzik fizikal di England bahagian 2

Sambungan dari >SINI<

3 - Quayside Market, Newcastle


Konsepnya lebih kurang seperti pasar pagi atau pasar karat di Malaysia. Yang menarik ianya terletak di sepanjang tebing sungai. Memang cantiklah pemandangannya. 


Pelbagai barangan di jual disini. Baju, kraftangan, barangan antik dan bermacam lagi termasuk makanan. Perut lapar tak ada masalah. Ada banyak makanan halal terutamanya makanan Arab dan Pakistan. Ada juga satu gerai makanan Indonesia. Tak letak gambar pasal ini bukan entri pasal makanan...hahaha..


Dan sudah semestinya apa yang dicari adalah gerai menjual lp terpakai. Harganya memang murah. Sekeping £3 dan kalau beli 2 dapat £5. Tetapi sama seperti di Malaysia, kebanyakan memang susah nak dapat dengan tajuk-tajuk yang menarik. Yang menarik pastinya dah dikebas orang. Dan kalau ada pun harganya pasti yang bukan mampu milik.

Hasilnya memang tak beli apa-apa pun walau ada juga lp artis-artis 80an yang berkenan. Tetapi kondisinya yang agak kurang elok membantutkan niat untuk membeli.


4 - Portobello Road Market, London


Yang ini pun konsepnya lebih kurang sama dengan Quayside Market. Tetapi lebih besar dan panjang deretan gerainya. Ianya berdekatan dengan "The Blue Door" dari filem Notting Hill. Sambil-sambil tengok deretan barangan antik, baju, pelbagai aksesori dan makanan, boleh juga la "feeling feeling" jadi Hugh Grant dan Julia Roberts.. 😎

Terjumpa juga sebuah restoran Malaysia (Makan Cafe). Sempat jugalah pekena nasi campur 2 lauk. Dan ianya adalah nasi campur paling mahal dalam sejarah yang pernah saya makan - £10.50 = +-RM63 untuk sepinggan. (Tak ada gambar juga pasal ini bukannya cerita pasal makan...hahaha...)


Dan seperti juga di Quayside Market, yang dicari sudah semestinya gerai menjual cd dan lp. 

Tak jalan habis. Nak kejar masa. Tetapi sempat jumpa menyinggah 2 gerai cd dan lp. Gerai gambar di atas menjual kebanyakannya lp baru yang masih seal dengan harga pasaran. Ada juga cd terpakai yang harganya bukanlah harga rahmah. Nampaknya pasar karat di sini harganya tak ada lah murah mana pun. Ditambah dengan RM kali 6 memang tak berapa nak ada kuasa membeli.
.

Gerai kedua lupa pula nak ambil gambar. Tetapi di jaga oleh seorang penjual berkulit hitam yang agak peramah buat muka pelik bila dapat tahu yang saya mencari lp heavy metal…Mungkin juga muka saya adalah muka seorang peminat Taylor Swift…haha…


Gerainya lebih kepada menjual lp 7 inci terpakai. Tak banyak pilihan untuk 12 inci. Paling rock yang dia sendiri pun cakap “not enough metal for you” adalah ZZ Top.

Tetapi jangan kata nanti pulang tangan kosong. Beli juga la 2 keping 7 inci ini dengan harga sekeping £5.  Tak ada lah murah pun sebenarnya….


Bersambung ke bahagian 3 pula...

Tuesday, March 19, 2024

Man's A Wolf To Man

Lagi pembelian album dari 2023...

Andy Taylor - Man's A Wolf To Man (2023)

Dah ada Duran Duran baru kena pula ada yang ini.

Ini pembelian tanpa pradengar di Spotify. Bila dapat tahu yang beliau ada menghasilkan album solo memang terus tak teragak-agak untuk membeli. Zaman budak-budak dulu ketika terjebak dengan Duran Duran, John Taylor adalah band member kegemaran. Tetapi bila mula tersampuk dengan muzik rock, imej rocker Andy Taylor pula menjadi pilihan. Beliau adalah antara gitar hero terawal.

Beliau bukannya seorang metalhead. Makanya album ini bukanlah album gitar shredder. Tak ada pun solo panjang, laju dan bergulung. Ianya lebih kepada album santai nyanyian berlagu. 


Vokal beliau pun bagus. Hanya ada satu lagu yang ada bunyian Duran Duran. Yang lainnya lebih kepada pop rock bersesuaian dengan beliau sebagai seorang gitaris.

Cd ini berminggu-minggu juga jadi pilihan playlist di rumah. Lagu yang menjadi tajuk album, Man's A Wolf To Man adalah yang paling menangkap.

Dengan tahap kesihatan beliau sekarang, harapnya ini bukanlah yang terakhir dari beliau.



Saturday, March 16, 2024

Danse macabre

 Lagi pembelian album tahun 2023

Duran Duran - Danse macabre (2023)

Dah lama tak dengar Duran Duran. Kali terakhirnya adalah The Wedding Album (1993). Muzik mereka dah lama saya tinggalkan semenjak terjebak dengan heavy metal. Tetapi tidak boleh dinafikan pengaruh mereka kepada saya di zaman remaja. 3 album terawal mereka tetap saya simpan dalam bentuk cd dan lp sebagai mengingati memori zaman tersebut.

Bila terbaca yang album terbaru ini menampilkan semula Andy Taylor di posisi gitar rasa terpanggil pula untuk membeli. Malah bukan sahaja Andy, mereka turut menjemput bekas pegganti Andy, Warren Cuccurullo untuk merakamkan 2 lagu. Andy pula merakamkan 10 buah lagu. Tetapi sebagai kumpulan pop, gitar bukanlah faktor utama pun.

Itu yang lebih mudah bagi saya apabila mendengar album pop. Tak perlu fikir pasal rif dan solo. Yang penting melodi lagu dan vokal sedap. Itu yang ada pada Dense macabre. Lagu-lagunya sedap termasuk 3 lagu baru baru mereka. Yang lain-lainya adalah rakaman semula dan lagu-lagu cover (Rolling Stones, Rick James, Siouxsie and the Banshees, Talking Head, The Special dan Billie Eilish). Sesuai dengan tema Halloween untuk album ini, lagu-lagu yang menjadi pilihan mempunyai lirik seram.

Sebagai seorang yang pernah mengangap (masih lagi) Duran Duran sebagai yang terbaik di dunia, saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan album ini. Ianya sedap di dengar. Best!


Thursday, March 14, 2024

Life Is But a Dream...

Sambung lagi cerita tentang album-album dari 2023. Dah masuk pertengahan bulan Mac, masih ada banyak lagi yang belum sempat ditulis…


Avenged Sevenfold - Life Is But a Dream... (2023)

Tak pernah ambil tahu pun tentang Avenged Sevenfold sebelum ini. Tak rasa pun akan minat. Tetapi selalu la nampak budak-budak muda pakai tshirtnya. 

Cuma bila ternampak yang ianya berada di dalam list "album terbaik 2023" dari beberapa ulasan yang dibaca membuatkan rasa terpanggil pula untuk mencuba. Pra-dengar 2 track pertama dari album ini membuatkan akhirnya ia dibeli.
.


2 lagu awal tersebut memang sedap. Tak sangka pula muzik mereka agak progressif dan rojak. Sayangnya album ini tak konsisten. Ianya menjadi semakin lemah dan meleweh selepas track ke 4 atau ke 5. 

Kesimpulannya, 2 atau 3 lagu yang awal memang best. Lagu-lagu yang selepas itu agak tak kena dengan selera. Mungkin bagi orang lain ok tetapi ianya bukan untuk saya.

Ada yang kata album ini tidak sama seperti album-album mereka yang sebelumnya. Tak pasti bagaimana ianya tak sama. Tak pernah dengar pun album-album sebelumnya. Dan tak bercadang pun untuk mendengarnya.




Tuesday, March 12, 2024

Sudah sampai sini - Kedai muzik fizikal di England

Hari itu ketika bercuti di England, cuba juga mencari masa untuk kegiatan perhobian. Sempat jugalah melawat beberapa buah kedai cd/lp.

Tetapi oleh kerana masa dan RM kali 6 yang agak terhad, ianya lebih kepada sekadar lawatan cuci mata...


1 - Blue Groove Soundz di Portobello Green Designers, London


Ianya adalah sebuah kedai lp terpakai. Adalah juga sedikit cd, kaset dan juga komik. Kedai ini lebih kepada genre Funk, Soul, Blues, Jazz dan juga hip hop. Tak banyak pop dan rock tapi untuk genre metal memang hampir tak jumpa. 


Harga memang murah. Ada yang hanya £1. Kondisi biasalah...barang terpakai. Tetapi memang tak jumpa sangat tajuk yang berkenan. Tambahan pula kebanyakannya adalah lp-lp artis lama 50an, 60an dan 70an yang memang tak kenal pun.


Paling metal pun kalau boleh nampak dalam gambar di atas adalah Judas Priest - British Steel. Tapi harganya mak aii... £40. Mungkin ianya 1st press atau ada sesuatu yang istimewa yang saya tidak tahu. Tetapi memang selalu dah perasan...kalau genre metal harganya mesti mahal.


2 - J.G. Windows di Central Arcade, Newcastle upon Tyne


Yang ini pula terletak betul-betul di tengah bandar Newcastle. Ianya berada di dalam pusat membeli belah Central Arcade. Bandar Newcastle ni memang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang unik dan cantik. Central Arcade ini pun adalah bangunan lama yang dibina pada 1906 dan J.G. Windows pula dah wujud sejak dari tahun 1908.


Ianya kedai 2 tingkat. Tingkat atas adalah alatan muzik manakala di bawah adalah cd dan lp. Berbeza dengan kedai yang no 1 tadi, yang ini menjual seratus peratus cd dan lp baru. Ianya koleksi yang lebih terkini. Menjual pelbagai genre seleksi cd/lp artis popular masa kini.

Yang menariknya ada lebih banyak pilihan untuk cd-cd rock dan metal. Untuk lp pula ada dikhaskan satu bahagian kecil untuk genre metal. Dari segi harga ianya mengikut harga pasaran semasa. Ada juga yang murah selepas diskaun. Tetapi bila otak asyik terpikir RM kali 6... akhirnya sekadar pulang dengan tangan kosong 😁


Bersambung....



Saturday, March 9, 2024

Foregone

Lagi album 2023...

In Flames - Foregone (2023)

Saya teragak-agak untuk membeli album ini kerana album sebelumnya I, the Mask (2019) tidak berapa kena dengan jiwa.

Tetapi banyak ulasan mengatakan album ini bagus. Dan ramai juga yang meletakkan album ini didalam senarai Top 10 album pilihan terbaik 2023 mereka. Disebabkan itu, saya rasa terpanggil untuk mencuba dan akhirnya terjebak untuk membeli.

Lain orang lain citarasanya. Tetapi bagi saya album ini lebih baik dari beberapa album sebelumnya. Ianya masih bercirikan alternative metal tetapi lagu-lagunya lebih bermelodi. Chorusnya catchy. Mungkin boleh dibandingkan dengan era Reroute to Remain (2002) hingga Come Clarity (2006). Paling hampir lah untuk ke melodic death metal.

Salah satu lagi tarikan untuk kembali mendengar In Flames adalah Chris Broderick. Dia secara rasminya menjadi ahli tetap sejak dari 2022.


Thursday, March 7, 2024

Tower Bridge

 Sudah Sampai Sini - Tower Bridge 

Satu lagi tempat di London yang bagi orang kebanyakan ianya sekadar suatu lokasi utama/pelancongan untuk membuktikan dah sampai ke London…

Tetapi sebagai peminat Iron Maiden…ini adalah BRAVE NEW WORLD ! 😁


Tuesday, March 5, 2024

Rising Force

 Sempena ulang tahunnya yang ke 40 hari ini (05/03)

Yngwie Malmsteen - Rising Force (1984)

Entah berapa ramai agaknya anak muda era 80an yang bercita-cita menjadi gitar hero setelah terpengaruh mendengar album ini. (termasuklah yang menulis ni 😁)

Hate him or love him... there is only one Malmsteen!


Saturday, March 2, 2024

Cycles of Pain

Sambung lagi cerita tentang pembelian album-album dari 2023. Dah masuk bulan Mac 2024, masih ada banyak lagi yang belum sempat ditulis…

Angra - Cycles of Pain (2023)

Tahun 2022 terasa agak tepu dengan genre power metal. Banyak sangat yang dibeli. Maka untuk tahun 2023 memang lebih selektif. Selain dari Twilight Force, dan mungkin juga Jag Panzer yang berbau power metal, cuma ini sahaja pembelian genre power metal untuk 2023.

Kembalinya mereka selepas 5 tahun ternyata tidak mengecewakan. Bagi saya Angra masih seperti Angra selagi adanya Rafael Bittencourt. Hanya yang masih bernostalgia tentang Kiko Loureiro  dan Mendiang Andre Matos yang mungkin sedikit sukar untuk menerima. 

Saya tidak mempunyai masalah dengan vokal Fabio Lione. Saya mengemari vokal beliau semenjak Rhapsody - Dawn of Victory (2000) lagi. Dan mungkin Angra kurang variasi tanpa Kiko. Tetapi secara keseluruhannya tak terasa sangat pun.

Ini adalah antara album terbaik dari mereka. Lebih baik dari album yang sebelumnya (ØMNI - 2018). Rekomended untuk pengemar Angra khususnya dan genre power metal secara amnya.


Thursday, February 29, 2024

Hammersmith

 Sudah Sampai Sini - Hammersmith

Hari tu semasa menggunakan perkhidmatan tube di London, rasa teruja pula bila nampak nama salah satu stesennya. Dan kebetulan pula berhenti di stesen tersebut untuk menukar laluan. Memang tak lepas peluanglah untuk mengambil gambar hinggakan anak-anak pun pelik apa istimewanya tempat ini?

Sebagai peminat muzik apatah lagi seorang mat rock tua 😁 , nama Hammersmith sememangnya sinonim dengan album-album live. Di Hammersmith Odean (sekarang di panggil Apollo) lah terabadinnya salah satu lokasi untuk album live kegemaranan, Live After Death. Walaupun tak berkesempatan melihat lokasinya, dapat singgah di stesen undergroundnya pun jadilah...haha...



antara album yang menggunakan Hammersmith sebagai tajuk album

*ketika menggunakan perkhidmatan bas express dari Manchester ke London, bas tersebut berhenti di stesten bas Milton Keynes untuk menukar pemandu. Ini satu lagi lokasi konsert rock dan festival muzik contohnya Milton Keynes Bowl yang dulunya selalu dibaca di majalah Kerrang!. Sayangnya bas hanya berhenti sekejap dan tak sempat pula untuk mengambil gambar. Sememangnya bila berada di sini, bermacam-macam lokasinya akan mengingatkan kita kepada rock dan bolasepak.

Monday, February 26, 2024

Sudah Sampai Sini - The Theatre of Dreams

Old Trafford - 12/02/2024



Bila sesekali berpeluang menjejakkan kaki ke tanah Inggeris, memang tak lepas peluang lah untuk berkunjung dari stadium ke stadium. Maklumlah sebagai peminat bolasepak terutamanya bagi kita di Malaysia sememangnya lebih terdedah kepada bolasepak Inggeris.


Lain orang lain cara berhiburnya. Rugilah kan kalau dah sampai ke sana tak pergi ke stadium-stadiumnya. Nasib kat sana tak ada muzium Iron Maiden…hahaha…





Dalam tempoh 8 hari berada disana, sempat juga berkunjung ke 8 buah stadium tetapi yang paling di dalam impian sudah semestinya Old Trafford.



Ini impian sejak kecil. Dari mula melihatnya di kaca tv dalam rancangan Big League Soccer ketika zaman kanak-kanak dahulu sememangnya memasang angan-angan untuk kesini. Siapa sangka selepas 40++ tahun akhirnya Old Trafford di depan mata.



Sayangnya ketika di sana, minggu tersebut adalah minggu "away game". Makanya tak berpeluang untuk menonton secara langsung. Dapat buat lawatan "stadium tour" pun jadilah. Itupun hampir-hampir tak berjaya kerana hampir kesemua slot untuk stadium tour "sold out", walaupun menempahnya 3 hari awal. Tetapi ianya adalah perbelanjaan £30 yang berbaloi.
 


Dari Bryan Robson ke Bruno Fernandes... there's only one United!
Glory Glory Man United!