Thursday, June 15, 2023

Rawak - Sail Away

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...

Great White - Sail Away (1994)

Pembelian cd ini adalah semata-mata kerana nama "Great White" itu sendiri. Kali terakhir mendengar album Great White secara betul adalah album "Hooked" (1991).

Membeli secara buta tanpa pra-dengar di youtube mahupun spotify. Betul-betul ikut cara lama. Adakalanya pembelian sebegini berbaloi dan adakalanya agak kurang menjadi. Dan pembelian ini tergolong dalam kumpulan yang kedua.

Sail Away sememangnya berbeza dengan album-album lama mereka. Ianya lebih menumpukan kepada lagu-lagu akustik dan unplugged yang bluesy. Memang hampir tiada lagu-lagu hard rock yang berat seperti album-album yang sebelumnya. Mungkin mereka terpengaruh dengan demam MTV Unplugged yang sedang hangat pada ketika itu. Cuma yang berbezanya, ia bukanlah rakaman live dan bukan juga benar-benar sepenuhnya akustik dan unplugged.

Bukanlah nak kata tak sedap. Tetapi lagu-lagu sebegini memerlukan saya didalam mood yang tertentu menghayatinya. Jika anda minat lagu-lagu perlahan yang bluesy mungkin ini adalah makanan anda. Tetapi yang perlu menjadi perhatian adalah vokal Jack Russell dan solo gitar Mark Kendall. Power!


No comments:

Post a Comment