Tuesday, July 7, 2020

Skuad Pemusnah

Antara cd band tempatan yang terkini dalam simpanan.


Tandus - Skuad Pemusnah (2020)


Lama tak dengar nama Tandus. Kalau anda seorang mat metal underground tempatan, terutamanya dari Johor Bahru pasti tahu atau sekurang-kurangnya pernah dengar nama Tandus.

Saya adalah golongan dari Johor Bahru yang pernah dengar nama tapi tak pernah dengar lagunya. Tahun 1997, Ketika EP mereka, Logam Maut di lancarkan adalah tahun yang saya agak "lost" dengan muzik metal terutamanya dunia metal tempatan.

Tambah pula saya hanyalah seorang poser. Peminat "Poison" yang bertshirtkan "Napalm Death"…kahkahkah…… Jujurnya saya tak duduk dan bercampur dengan gang underground walaupun saya kenal Fadzil MuzikBox dan mungkin dia pun dah tak kenal saya….hahaha…

Ok berbalik kepada cd ini. Ianya masih berkonsepkan heavy/speed atau thrash metal seperti Logam Maut. Yang berbeza adalah muziknya lebih kemas, lebih melodic, solo-solo yang lebih menarik dan gaya vocal yang berbeza. Maklumlah hanya tinggal seorang anggota yang asal. Jarak masa 20++ tahun juga memainkan peranan. Gaya dan selera sedikit sebanyak akan berubah.

Terus terang saya suka cd ini. Tambahan pula liriknya menggunakan Bahasa Melayu. Patut dipuji adalah kerja gitar 2 orang gitarisnya. Memang padu. Kalau suka Logam Maut, tiada sebab untuk tidak suka Skuad Pemusnah!




Sunday, July 5, 2020

Walkman Phillips

Beberapa hari lepas dalam whatsapp group, Zan Bassist tercerita pasal walkman Sony menyambut ulangtahun ke 41 (Sony walkman mula di perkenalkan pada pasaran pada 1hb Julai, 1979). Terus gigih meng"google" dan cuba mengingati apa brand walkman saya yang pertama.

Tak sangka pula boleh jumpa.... tadaaaa.....


Jenama Phillips. Model paling murah. Tak ada auto reverse. Itu sahaja yang termampu. Di beli pada tahun 1989 di sebuah kedai gambar atau kedai jam di Pekan Ulu Tiram. Ingat-ingat lupa. Kedai tu ada menjual kamera, jam, kalkulator, pen dan juga walkman. Asalnya nak beli kalkulator kerana ketika itu sedang dalam semester pertama belajar di ITM.

Kalau tak silap, mak bagi RM100 untuk beli kalkulator dan duit belanja. Tapi penyudahnya beli walkman...hahaha.... Tak ingat dah bila pula beli kalkulator.

Dulu harganya cuma RM35. Tengok pula harganya sekarang. USD100 tu... Bak kata Zan, begitulah harga sebuah kenangan....

Thursday, July 2, 2020

WFH - Strategi

Yang tersangkut dalam draft semasa berkerja dari rumah sejak beberapa minggu yang lalu...



MAY - Strategi (1991)

Antara album yang dulunya tak pernah tau pun kewujudannya. Album MAY yang terakhir betul-betul dengar adalah Rahsia (1990). Selepas dari itu memang tak berapa nak ambil tahu tentang rock melayu. Kalau tahu pun adalah lagu-lagu yang popular di radio dan satu dua kumpulan seperti Wings contohnya.

Ini bukanlah cd yang asli. Yang asli dah susah nak dapat. Kalau ada pun harganya agak keras. Syarikat yang mengeluarkan album ini pun dah pupus. Memang susahlah kalau nak buat versi keluaran semula. Altenatifnya adalah versi cdr pro-printed* yang macam ini.

Boleh tahan juga album ini. Ada beberapa lagu yang berbunyi thrash. "Strategi", "Alam" dan "Singa Taring Palsu" adalah antara yang berat. 3 lagu "slow" pun sedap. Tetapi ada lagu "slow"nya  yang tak macam MAY ketika album-album awal. Muziknya agak lain. Mungkin "rumours" yang mengatakan ada lagu mereka dimainkan oleh seasonist ada kebenarannya. Feelnya memang lain. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi album ini adalah terbitan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, saya lebih menyukai Rahsia. Mungkin kerana album itu didengar ketika zaman remaja berbanding ketika umur dah meningkat 4 series...hahaha....

Jujurnya pada saya lagu "Strategi" versi Yantzen dalam album Layar lebih best berbanding versi Mus. Entah kenapa sejak kebelakangan ini lebih suka pula MAY ketika bersama Yantzen.

*Maaf saya tidak menyokong cetak rompak. Ini adalah sekadar cdr dari peminat untuk peminat yang tak dapat mencari cd asli yang asal.



Saturday, June 27, 2020

Cd 2019 - Bahagian 19 (Tales From The Beast)

Antara cd yang di beli tahun lepas tapi tak sempat nak di buat cerita....


Paul Di'Anno - Tales From The Beast (2019)

Iron Maiden saya adalah Bruce Dickinson tetapi Paul Di'anno akan tetap berada di tempat yang istimewa. Iron Maiden di zaman beliau adalah lebih kasar, lebih laju dan lebih tegar bunyian NWOBHM nya.


Ini adalah rakaman baru atau cover version lagu-lagu kebangaan beliau ketika bersama Iron Maiden. Ianya bukanlah benda baru. Sebelum ini pun dah pernah buat di dalam album The Classics : The Maiden Years. Kalau dah ada album tu sebenarnya tak perlu pun ada yang ini. Tetapi kalau anda adalah penyokong beliau, apa salahnya beli. Memang ada kelainan dan dapat juga menolong untuk menampung duit bil rawatan beliau.


Tak kenal pun siapa pemuzik di dalam album ini. Tetapi permainan dan susunan muziknya bagus. Satu lagi yang berbeza terdapat juga lagu cover seperti Symphony Of Destruction - Megadeth, Aint Talking About Love - Van Halen, Kashmir - Led Zeppelin dan pilihan yang aneh Bad - Michael Jackson.

Tak pasti orang lain. Tetapi bagi saya, biarlah beliau merakamkan semula lagu-lagu dari 2 album awal Maiden berkali-kali pun dari beliau merakamkan lagu-lagu cover seperti ini. Macam tak kena....

Yer...vokal beliau masih bagus. Apa-apa pun harapnya beliau terus istiqamah sebagai seorang muslim...




Tuesday, June 23, 2020

World Gone Mad



CJSS - World Gone Mad (1986)

Album ini mengembalikan kenangan di tahun 1987 atau 1988. Satu artikel di majalah URTV tentang senarai gitaris terbaik mengenalkan saya kepada David T Chastain. URTV memang rock pada ketika itu. Selain ruangan jiwang dan mekar setaman, Arwah Mama Juwie juga banyak menulis artikel tentang muzik rock.


Dalam senarai gitaris tersebut, selain nama-nama gitaris top yang biasa macam Malmsteen, Eddie Van Halen, George Lynch dan lain-lain yang dan tak berapa nak ingat dah. Ada 2 nama yang jarang-jarang di sebut. Satunya adalah Mark Kendall (Great White) dan lagi satu adalah David T. Chastain.

Mark Kendall tu memag tahu. Memang "follow" Great White. Tapi David T. Chastain ni tidak. Siapa dia? . Tak pernah dengar pun namanya. Tetapi secara kebetulannya tak lama selepas itu, abang yang berkerja di Kuala Lumpur balik kampung dengan membawa kaset CJSS - World Gone Mad. Masa tu barulah tahu yang beliau adalah gitaris untuk kumpulan CJSS. Memang beliau seorang shredder yang hebat. Memang patut pun masuk dalam senarai.


Sejak dari itu memang lama dah cari versi cd. Cuma baru ini terjumpa. Band, album dan gitaris yang agak "underated". Tetapi untuk peminat heavy metal 80an, ini sememangnya mengasyikan.

Sayangnya cd ini bukan lah versi Leviathan  yang gambar covernya sama seperti kaset. Tetapi ianya terbitan dari Black Dragon Records (pengedar album mereka dari Perancis) yang covernya agak berlainan. Tak kisah lah. Tak ada rotan, akar pun berguna juga. Lama betul tak dengar lagu-lagu seperti "World Gone Mad" dan "Run To Another Day"...  Tenaganya terasa seperti remaja semula...


Antara album-album David T Chastain yang berjaya di miliki


Saturday, June 20, 2020

Firehouse

Lagi kenangan dari tahun 90an...


Firehouse - Firehouse (1990)

Kenangan awal 90an. Zaman tengah kemaruk dengan thrash metal. Tetapi disebabkan selalu tertengok video clip mereka dalam rancangan MTV Asia di tv Singapura, lama-lama masuk kepala juga lagu-lagunya.

3 lagu yang kerap dimainkan MTV Asia adalah "All She Wrote", "Dont Tread Me Bad" dan balada berhantu yang popular di radio, "Love Of A Lifetime". Tapi zaman tu duit biasiswa tak cukup nak beli macam-macam kaset πŸ˜ƒ. Memang tak pernah beli versi kaset. Keutamaannya adalah kepada kaset yang lebih extreme.

Cd ini pula dibeli ketika zaman kemaruk ber"ebay" dari seller estocks/music magpie dari UK dengan pos percuma. Untung betul zaman tu. Majoriti cd dibeli bawah RM20.

Antara kenangan dari album ini adalah ketika zaman membuat kaset "mix tape" untuk mengurat kekasih hati. "Love Of A Lifetime" adalah antara lagunya. Semua lagu-lagu balada Firehouse dari segi lirik dan melodinya memang sesuai benar untuk mencairkan hati perempuan..πŸ˜ƒ πŸ˜ƒ

Wednesday, June 17, 2020

War Master

Antara cd yang di dengar ketika WFH beberapa minggu yang lalu..


Bolt Thrower - War Master (1991)

"Don't judge a book by it's cover". Mungkin ini tagline paling sesuai untuknya. Dulu ketika kali pertama melihat cover kasetnya di kedai, ingatkan ianya adalah sebuah album heavy metal atau power metal seperti Manowar. Gambar viking memang sinonim dengan album power metal. Rupa-rupanya jauh panggang dari api.

Bolt Thrower bukan power metal bervokal high pitch. Mereka adalah death metal bervokal growl. Zaman remaja sedang kemaruk dengan muzik yang ekstrim, muzik sebegini sememangnya apa yang di cari-cari.

Tetapi jujurnya War Master bukanlah album kegemaran saya pada ketika itu. Tahun 1991 memang banyak album-album death metal dan thrash di pasaran. Macam-macam pilihan yang ada bila ke kedai kaset. Saya memerlukan mood tertentu untuk mendengarnya. Masalah utama bagi saya adalah temponya. Walaupun muziknya berat, tetapi kebanyakan bukanlah jenis yang laju. Saya mempunyai sedikit masalah untuk hadam muzik yang agak doomy. Dengan War Master, kena bersabar sebelum laju...hahaha...

Tetapi itulah yang sebenarnya menjadikan War Master lebih mudah hadam bagi sesetengah orang yang lain. Tetapi perlu di akui, bahagian melodiknya memang sedap untuk hangguk kepala. Memang layan. Ianya juga adalah satu keunikan bagi Bolt Thrower selain mempunyai pemain bass wanita.


Sunday, June 14, 2020

Terimakasih untuk muzik - Paul Tonka Chapman

Semakin kita berumur, semakin ramai hero zaman kita budak-budak telah pergi meninggalkan kita. Kali ini penghargaan buat Paul Tonka Chapman.

Lagu "Profession Of Violence" mengenalkan saya kepada beliau. Itu pun asalnya ketika kali pertama mendengar lagu tersebut dari kaset kompilasi "apache", ingatkan ianya adalah petikan gitar Michael Schenker. Maklumlah kurang info pada ketika itu. Apa-apa tentang UFO ingatkan semuanya Michael Schenker.

Beliau sebenarnya agak berbeza dengan Michael Schenker. Beliau lebih "bluesy" dan "basic" berbanding Michael yang "shredder" dan "flashy". Tetapi nak buat macamana. Menggantikan tempat seorang "gitar hero" memang selama-lamanya akan sentiasa dibayangi.


Tak ada cd band pertama beliau, Lone Star. Tetapi ada kesemua 4 cd UFO dan 3 cd Waysted hasil kerja tangan beliau. Paling suka adalah The Wild The Willing and The Innocent (UFO) dan Save Your Prayer (Waysted). Walaupun album-album ini bukanlah yang popular. Tetapi bagi pengemar UFO seperti saya, ianya tetap ada tersimpan di dalam hati sampai bila bila...


Thank you for the music
Paul "Tonka" William Chapman
 (9 June 1954 – 9 June 2020)



Thursday, June 11, 2020

Them

Merujuk kepada entri "Abigail".


King Diamond - Them (1988) - keluaran semula edisi terhad 2020

Saya hanyalah insan yang lemah. Ingatkan hanya Abigail. Rupanya tersampuk juga dengan Them. Seperti Abigail, Them juga tak pernah dibeli ketika zaman kaset. Ianya adalah album kedua KD yang saya dengar selepas Abigal. Pinjam dari kawan yang sama. Nostalgianya tetap ada. Itu yang "ter" beli juga versi piring hitam ini akhirnya...

#hati gembira poket menangis



Tuesday, June 9, 2020

Hiburan WFH - Seventh Son Of A Seventh Son

Hari terakhir "work from home". Dah rasa selesa pula berkerja dari rumah ni. Maklumlah, diam tak diam dah 2 bulan lebih sejak 2hb April. Dah rasa seronok tak payah kelam kabut pagi-pagi nak memandu pergi kerja. Baring-baring atas katil belum mandi pun dah boleh mula kerja...hahaha..

Rasanya ini entri terakhir di bawah tajuk WFH. Sebenarnya banyak lagi yang tersangkut dalam draf. Maklumlah walaupun WFH, sibuk kerjanya masih sama, date line kerjanya pun masih sama. Ada masanya memang tak sempat pun nak menulis...save the best for last....


Iron Maiden - Seventh Son Of A Seventh Son (1988)

Tak boleh nak buat kerja bila mendengar album ini. Rasa nak menyanyi sama sambil kepala terhanguk-hanguk dan ber"air guitar"...haha...

Ianya mengembalikan kenangan SPM tahun 1988. Zaman "Youth Gone Wild" dan "Smokin' In The Boys' Room". Zaman tak pikir masa depan. Seluar ketat, Kasut Warrior Hi-cut. Pergi jamming berangan nak jadi rockstar. Kalau ada Delorean, inilah tahun yang akan dituju. Kenangan terindah zaman sekolah.

Kasetnya dulu sampai lunyai dari kulit ke kulit hari-hari pasang dan dengar. Dah hilang entah kemana pun. Kaset yang gambar di atas tu beli kemudian. Semua lagu sedap. Paling tak sangka TV3 boleh putarkan video clip "Can I Play With Madness" semasa selingan nak tunggu waktu berita tengahari. Tak sangka kan Iron Maiden boleh masuk nasional tv. Siapalah mat rock yang kerja TV3 masa tu yer...Tabik!...hahaha...


Saturday, June 6, 2020

Hiburan WFH - Death Or Glory

Lagi hiburan hari hari terakhir WFH... 


Heavy Load - Death Or Glory. (1982)

Selain US,UK dan Jerman, Sweden adalah antara negara yang paling banyak menghasilkan band-band metal yang bagus dan sedap. Heavy Load adalah salah satu darinya.

Mungkin kita yang di Malaysia tak berapa tahu tentang mereka. Saya pun cuma tahu tentang mereka sejak beberapa tahun yang lalu. Tetapi mereka adalah antara pelopor atau yang terawal menghasilkan album berbentuk heavy metal di Sweden. Kira kalau kat Malaysia mereka lebih kurang macam Search lah. Sayangnya nama mereka agak kurang dikenali di peringkat antarabangsa berbanding band-band yang terkemudian dari mereka. Mungkin kekurangan dari segi promosi.

Jarang jumpa yang sekali dengar dah suka keseluruhan albumnya. Memang sedap. Memang melodic. Mereka bermula di penghujung 70an. Makanya pengaruh rock 70an masih ada. Tetapi berbanding album pertama mereka, Death Or Glory lebih kepada pengaruh NWOBHM terutamanya bab gitar harmoni mereka. Memang underated. Memang obscure. Sebuah album heavy metal asli yang sangat sedap melodinya.

Tak jemu dengar.



Thursday, June 4, 2020

Abigail

Sambung lagi cerita WFH...


King Diamond - Abigail (1987)

Kali ini nak kongsi yang terkini dalam simpanan. Baru sampai 2,3 hari yang lepas. Baru-baru ini King Diamond ada mengeluarkan semula 4 album awal mereka dalam bentuk piring hitam edisi terhad. Sempat juga lah sambar satu. Kalau ikutkan hati memang nak semuanya sekali. Tapi bila ikut poket, kena la pilih mana yang lebih minat atau yang lebih bernostalgia.

Nostalgianya ini adalah album pertama mereka yang saya dengar. Tak pernah ada kasetnya. Sekadar pinjam kawan. Memang takut masa kali pertama dengar. Dengan imej King Diamond yang menyeramkan, lirik kisah hantu, sihir dan setan. Tambah pula dengar suara yang mengilai. Memang seram...

Tetapi bila dengar solo-solo gitar dari Andy LaRocque dan Michael Denner yang melodic memang terus jadi teruja. Memang lazat. Memang berhantu. Ianya lebih berhantu dari liriknya yang hantu 😁😁😁

Tapi entah kenapa dulu-dulu tak pernah pula terpikir untuk membeli kasetnya. Duit pun tak berapa nak ada. Dah tua-tua ni, pembelian semacam ini bolehlah dikira sebagai hadiah untuk diri sendiri...

Hmmmm...kalaulah ada kaset, boleh dah masuk entri "Gila Format"...


***lupa nak tanya Abang JP (Aziz Belantara), adakah "Perintah Berkurung" ada pengaruh dari "A Mansion In Darkness"?....ada sikit kan mirip-mirip...



Tuesday, June 2, 2020

WFH : Marching Out

Tak ada aral tinggal seminggu lagi untuk Work From Home. Dah lama-lama ni rasa seronok pula kerja dari rumah ni... Ok sambung lagi hiburan...


Yngwie J. Malmsteen's Rising Force - Marching Out (1985)

Lama tak dengar album ini secara keseluruhan. Dulu-dulu zaman sekolah memang boleh dikatakan naik lunyai kasetnya di mainkan hari-hari. Antara pengaruh besar untuk budak - budak rock melayu pada zaman tersebut.

Mana-mana mat rock yang membesar di era 80an (terutamanya di belah Johor dan Singapura) pastinya tak boleh lari dari album ini dan lagu "I Am A Viking". (Bak kata Deaf pun lagu yang lebih banyak dinyayikan oleh budak-budak melayu zaman tu berbanding national anthem 😁)

Ianya bolehlah dikatakan antara kitab suci untuk mat rock pada ketika itu. Pegang gitar kalau tak pandai main lagu "I Am A Viking" kira belum hebat lagi. Boleh tengok berapa ramai gitaris hebat dari Malaysia (Johor terutamanya) yang berkiblatkan Malmsteen. Man Kidal, Joe Burnmark, Shahrul Ekamatra (sekadar menyebut beberapa nama) adalah contohnya.

Betul-betul mengimbau memori bila mendengar semula album ini. Ianya adalah antara pengaruh besar yang membentuk selera muzik saya. Dulunya ada juga cita-cita nak jadi gitar hero seperti beliau. Tapi disebabkan "jari bangku" dan malas nak berlatih, simpan sahajalah angan-angan Mat Jenin tu...hahaha....

Tak kisah orang nak cakap apa. Hate him or love him... there is only Malmsteen!


Saturday, May 30, 2020

Hiburan WHF - In Your Face


Sambung lagi berhari raya sambil "work from home"....


Kingdom Come - In Your Face (1989)

Pejam celik dah 31 tahun dah album ni. Teringat kali pertama mendengarnya adalah kaset kepunyaan abang yang balik bercuti raya. Tak berapa minat sangat dengan genre blues based rock macam ini tetapi entah kenapa 2 lagu track pembukaannya memang melekat kat kepala.

Biasalah, ada lagu yang kena dengar beberapa kali baru boleh masuk dan ada pula yang sekali dengar pun dah terus hadam. "Do You Like It" dan "Who Do You Love" adalah contoh lagu yang senang hadam.

Mendengar Kingdom Come mengingatkan saya kepada Great White. Kedua-duanya dikatakan klon Led Zeppelin. Tak pelik pun. Muzik blues based rock ni memang senonim dengan Led Zeppelin. Tambah pulak suara vokalisnya, Lenny Wolf memang seakan Robert Plant.

Tetapi sebagai golongan minoriti yang kurang minat dengan Led Zeppelin, saya rasakan muzik Kingdom Come lebih sedap dari Led Zeppelin. Hahaha...Maaflah terlampau bias dengan muzik 80an.






Wednesday, May 27, 2020

Hiburan WFH - Under The Influence

Mood raya pun dah tak berapa nak ada walaupun baru masuk raya ke 4. Memang lain rasanya raya tahun ni. Sambung lagi WFH sehingga 9hb Jun. "Feel" nak dengar lagu raya lebih terasa sebelum raya...dah raya ni layan jer la lagu rock antu....


Overkill - Under The Influence (1988)

Kalau sebut Overkill, lebih minat dan banyak kenangan dengan album The Years Of Decay (1989) dan Horrorscope (1991). Under The Influence ni agak lambat dengar. Malah selepas album I Hear Black (1993) atau mungkin W.F.O (1994) baru berpeluang untuk mendengar keseluruhan albumnya. Agak sukar juga nak dapatkan kasetnya pada ketika itu.

Tetapi ianya ada kenangan lain. Dulu bila membaca majalah Gila-Gila, kartunis Cik Li selalu menyelitkan logo Overkill berserta ayat Under The Influence dalam ruangan kartun-kartunnya. Sebenarnya memang dari situlah tau Overkill dan kemudiannya membeli kaset The Years Of Decay. Dan bak kata orang Ulu Tiram, the rest is history... Overkill menjadi salah satu band thrash kegemaran sehinggalah sekarang.

Dulu cuma ada mp3. Baru berapa bulan lepas dapat beli cdnya di facebook. Nak kata best, sebenarnya album ini hanyalah sederhana. Ada lagi album mereka yang lebih best. Tetapi album ini mengandungi salah satu lagu popular mereka yang sering dipersembahkan semasa live, "Hello From The Gutter".

Kalau minat Overkill memang kena ada album ini sebagai pelengkap koleksi. Kalau setakat pendengar biasa, cuba cari album mereka yang lainnya dulu...




Saturday, May 23, 2020

Hiburan WFH - Puisi Aidilfitri

Terakhir sebelum cuti raya....


Wings - Puisi Aidilfitri (1996)

Seingatnya ada 2,3  keping cd raya dalam simpanan. Tapi memang tak letak kat rak cd. Adalah kot dah bercampur dalam beberapa kotak kasut yang dalamnya ada cd mp3, cdr dubbing dan cd pirate. Tapi bila di cari tak jumpa pula di mana.

Satu-satuya cd raya yang jumpa adalah yang ini. Layan jer la. Tak minat sangat dengan album ni sebenarnya. Dulu masa beli memang teruja. Iyerla.. susah nak jumpa band rock buat lagu raya. Satu album pulak tu. Tapi sayangnya album ni tak rock langsung. Lagu-lagunya tanpa distortion gitar.

Entah lah dulu-dulu memang taboo kot kalau buat lagu raya ada distortion gitar. Tapi Sweet Charity rilek jer buat dengan lagu "Seri  Hari Raya" tahun 1980. Tak kisahlah kalau ianya adalah lagu ciplak.

Apa-apa pun selamat hari raya semua. Tahun ni terpaksa beraya dengan cara baru. Saya masih boleh berhari raya di kampung. Tak perlu rentas negeri. Orang tua dan mertua dalam satu daerah malah rumah orang tua pun dalam satu kawasan parlimen 😁...


Tuesday, May 19, 2020

Hiburan WFH - Strange Highways

Lagi hiburan sambil kerja...


Dio - Strange Highways (1993)

Jujurnya hanya dapat bertahan ke track no 4. Letih nak menghabiskan cd ni... zzzzzzzzzzz

Ingatkan selepas 20++ tahun, semakin berusia, mungkin selera akan sedikit berbeza dan mungkin juga akan boleh terima. Nampaknya saya silap. Muzik sebegini memang selama-lamanya tak akan masuk kepala.

Untuk yang tak pernah dengar Strange Highway, ianya bukanlah seperti Holy Diver atau The Last in Line atau mana-mana album-album Dio era 80an. Strange Highway muziknya lebih perlahan. Meleweh. Tiada yang laju atau up tempo. Ianya lebih gelap, berat, low key dan doomy.

Dekad 90an adalah suatu penyiksaan bagi peminat heavy metal seperti saya. Majoriti band-band kegemaran dari era 80an telah berubah mengikut peredaran zaman. Majoriti mereka menjadi alternative metal, groove dan mungkin juga grunge. Dio juga tidak terkecuali.

Memang tak boleh tahan dengan muzik sebegini. Bosan, boring dan mengantuk. Nampaknya terpaksa cari cd yang lebih laju dan lebih melodic untuk menyegarkan mata dan minda. Simpan semula dalam rak dan tak pasti bila lagi agaknya akan di pasang semula. Mungkin tak akan sampai bila-bila. πŸ˜„

Tetapi bagi yang suka doom Black Sabbath terutama era Dehumanizer. Atau yang suka muzik meleweh alternative metal, groove atau grunge 90an mungkin ianya untuk anda.

*Cd ini disimpan semata-mata kerana ianya adalah hasil kerja Ronne James Dio dan bassist kegemaran, Jeff Pilson (Dokken).



Sunday, May 17, 2020

Hiburan WFH - Wilson Phillips

Lagi hiburan sambil kerja dari rumah..


Wilson Phillips - Wilson Phillips (1990)

Kalau sebut awal 90an antara kenangan dan muzik yang menjadi soundtrack kehidupan selain lagu rock hantu adalah Wilson Phillips. Dulu siap rakam video clips lagu-lagu mereka dari rancangan MTV Asia Chanel 5 TV Singapura. Rasanya masih ada simpan lagi tape video tersebut.

Tak kira la rock hantu ker apa. Tapi bila tengok wajah Chynna memang terus lemah lutut. Antara crush zaman remaja...πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…


Sebenarnya baru jer dapat cd ni. Beli ngam-ngam sebelum PKP. Tersangkut jugak sebulan kerana perkhidmatan pos dari Jerman terhenti pasal mereka pun kena lockdown juga angkara Covid-19 ni. Tapi bila pos di buka balik. Kira cepat juga sampainya. Pos 27hb April. Sampai 14hb May. Tuah Chynna Phillips agaknya...hahaha...

Dulu memang tak pernah ada kasetnya. Pinjam rakan sebilik punya. Banyak betul lagu sedap. Banyak lagu yang hit no 1. "Hold On", "Release Me", "You're in Love", "Impulsive", "The Dream is Still Alive"... iskh...banyak lah. Memang feeling betul bila dengar waktu lewat malam..

Mereka ni dari keluarga pemuzik hebat. Carnie dan Wendy adalah anak kepada Brian Wilson dari The Beach Boys manakala Chynna pula anak kepada John dan Michelle Phillips dari The Mamas & The Papas. Dari mana tumpahnya kuah la kan...

Tapi jujurnya hanya album ni pun yang tau. Lepas tu kembali dengar rock hantu...hahaha...Beli cd ni pun atas pengaruh rakan-rakan se"whatsapp". Bercerita perihal kenangan tahun 90an. Sedar tak sedar tak ter"klik" buy di ebay....😁😁😁




Thursday, May 14, 2020

Hiburan WFH - The Law Of Devil's Land

Dapat arahan untuk terus 'work from home' sehingga 9hb Jun. Mereput terus la duduk kat rumah lagi sebulan. Yang tak bestnya WFH ni selain line internet yang macam siput adalah tiadanya kawan untuk membawang πŸ˜€

Apa-apapun sambung lagi hiburan sambil kerja...


Loudness - The Law Of Devil's Land (1983)

Lambat dengar album ni. Loudness saya bermula dengan Thunder In The East. Kemudiannya baru album-album yang kebelakang. Malah lebih tahu Gadis Kota - Scandals (Juara Juara Rock 3) dulu dari In The Mirror. Kali pertama dengar In The Mirror rasa macam pernah dengar pula lagu tu πŸ˜…

Banyak lagu sedap. Tak kisah lah walaupun tak paham apa yang dia cakap. Yang penting melodinya memang mudah menangkap. Ini adalah zaman Loudness sebelum mereka pergi ke arena antarabangsa.

Cd ini terbitan Pony Canyon tahun 1993. Yang tak bestnya ianya tidak menggunakan cover yang asal.  Dulu pernah beli versi kaset tapi tak pasti pulak dah hilang entah kemana. Kalau tak silap versi Pony Canyon ni adalah untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Tak apalah. Janji ada. Tapi nampak gayanya memang kena juga cari cd yang menggunakan cover yang asal...😁




Monday, May 11, 2020

Hiburan WFH - Black Tiger

Tak pasti selepas 12hb dah kena masuk opis atau masih work from home... Apa-apa pun layan..


Y&T - Black Tiger (1982)

Ini mengimbau zaman awal remaja sekitar tahun 1984 atau 1985. Dulunya sekadar tahu nama selepas terbaca artikel berkenaan mereka dalam majalah hiburan berbahasa Inggeris Weekend. Young and Talented from Yesterday and Today begitulah kot tajuk artikelnya. Dah tak ingat sangat.

Tapi tak ambik tau sehinggalah sekitar tahun 1987 bila lagu mereka Forever ada dalam kaset kompilasi Kerrang yang di beli. Ketika Itu baru tahu best juga rupanya band ini.

Mereka agak underated. Dave Meniketti mengingatkan saya kepada Tom Keifer. Kedua-duanya memang berbakat. Boleh menyanyi sambil menyolo gitar dengan baik.

Banyak lagu sedap. From the Moon dan Open Fire memang kena dengar sambung menyambung baru feel. Don't wanna lose pun sedap. Forever pula antara lagu yang mempunyai intro berhantu. Tak lupa juga Winds of Change. Kat sini kot intro Misteri Mimpi Syakila terhasil...








Saturday, May 9, 2020

Hiburan WFH - Melissa

Lagi hiburan work from home...


Mercyful Fate - Melissa (1983)

Mendengar semula album ini semata-mata kerana terbaca yang ianya akan di keluarkan semula dalam bentuk piring hitam (reissue) pada 22hb Mei ini. Khabarnya akan hanya dicetak sebanyak 700 keping.

Aduhai... Dugaan berpuasa masih boleh bertahan. Tetapi Dugaan yang ini memang.......hmmmm....


Thursday, May 7, 2020

Hiburan WFH - The Wild Life

Lagi hiburan berkerja dari rumah...


Slaughter - The Wild Life (1992)

Yang ini akan sentiasa mengingatkan kenangan pada penghujung tahun 1992 atau awal 1993. Zaman baru abis belajar di IPTA dan tak pasti apa langkah seterusnya. Lepak-lepak kat rumah menganggur sambil cuba-cuba cari kerja dan sebelah malamnya bersedia dengan tape video kosong untuk merakam lagu-lagu menarik yang ke udara dalam rancangan MTV Asia di TV5 Singapura.

Salah satu lagu yang di rakam adalah Real Love. Lagu yang menampilkan Shannen Doherty sebagai modelnya. Masa tu beliau tengah top dengan cerita Beverly Hills, 90210. Tak minat pun ceritanya. Cuma minat wajah Shannen Doherty sahaja. Kah kah kah...

Asyik lah ulang-ulang video clipnya. Tapi masa tu kasetnya pun tak ada lagi. Maklumlah zaman menggangur tak kan lah nak minta duit mak pulak nak beli kaset. Mampus kena belangkung nanti...


The Wild Life ni banyak lagu sedap. Selain "Real Love", suka juga "Days Gone By", "The Wild Life", "Streets of Broken Hearts".... Yang menariknya mereka masih mengekalkan muzik glam metal yang jenis straight forward heavy rock and roll dan tidak menjadi blues based rock seperti sesetengah band glam metal yang lain pada ketika Itu (Poison dan Cindirella contohnya).

Tetapi seperti band-band yang sezaman dengan mereka, muzik yang bersangkut paut dengan glam metal 80an tidak lagi di anggap "cool" pada ketika itu. Di tambah dengan masalah dalaman mereka, Slaughter tidak lagi diendahkan dan akhirnya dilupakan di arena mainstream....



Tuesday, May 5, 2020

Hiburan WFH - Mechanix

Lagi yang dah lama tak dengar tapi berpeluang mendengar kembali bila terpaksa WFH dalam PKP...


UFO - Mechanix (1982)

Tak pernah ada kaset dan tak tahu pun pasalnya ketika tahun ianya dikeluarkan. Zaman tu masih sekolah rendah dan baru nak belajar dengar muzik. Pernah dengar nama UFO tetapi yang tahu hanyalah pasal Michael Schenker. Zaman dah kenal rock pun hanya ambil tahu tentang UFO zaman beliau.

Yang betul-betul mula dengar keseluruhan discography UFO adalah pada penghujung 90an. Zaman beli cd MP3. Masa tu baru tahu yang UFO bukanlah hanya pasal Michael Schenker semata-mata. Album-album di zaman Paul Chapman pun bagus juga. Dia pun seorang gitaris yang bagus. Tetapi tanggungjawap menggantikan Michael Schenker bukanlah sesuatu yang mudah. Peminat pun susah nak terima, Ini adalah album ketiga beliau bersama UFO dan juga salah satu dari album zaman beliau yang terbaik. Memang majoriti lagu-lagunya sedap. Melodic.


Tetapi ini juga adalah album yang menjadi punca Pete Way keluar dari UFO dan menubuhkan Fastway bersama gitaris Motorhead, Eddie Clarke. Puncanya adalah kerana ada di antara lagu-lagunya menggunakan saxophone. Saya amat bersetuju dengan Pete Way. Tak rock lah guna saxophone. Bagi Pete Way, saxophone adalah untuk muzik pop. Dan dia tak minat muzik pop.

Tapi sebenarnya layan juga dengar lagu yang menggunakan saxophone tu. Terutamanya lagu The Writer dan lagu cover  Eddie Cochran. Somethin' Else. Tapi itulah, ianya bukan UFO yang kita kenal dari zaman Michael Schenker. Album ini juga sudah menampakkan perubahan UFO dari 70s rock kepada hard rock dan AOR 80an.



Sunday, May 3, 2020

Hiburan WFH - Beyond The Unknown

Sambung lagi Work From Home sehingga 12hb....


Incubus - Beyond The Unknown (1990)

Awal 90an adalah tahun yang saya sedang kemaruk dengan Sepultura. Beneath The Remains dan Arise sentiasa menjadi penanda aras kepada muzik thrash lain yang saya dengar.

Pertama kali dengar Beyond The Unknown terus rasa tertarik. Muzik dan vokalnya tak jauh dari Sepultura. Asal pun dari Brazil. Kiranya mereka lulus. Tapi tak pernah ada kasetnya. Semuanya hanya pinjaman. Banyak sangat yang nak di dengar dan nak di beli. Memang tak termampu.

Kemudiannya tak mengikuti sangat perkembangan band adik beradik Howard ni. Sehingga lah pada penghujung 90an. Tiba - tiba muncul kembali nama Incubus. Tapi agak pelik kenapa genre muziknya berlainan. Mana hilangnya thrash mereka. Rupa-rupanya Incubus tersebut adalah band yang berlainan. Padanlah alternatif rock jadinya.

Tak pasti kenapa mereka tidak mempertahankan nama Incubus. Mungkin kerana mereka hanyalah sebuah band metal underground di bawah label kecil. Tak ada kuasa nak lawan. Atau mungkin sahaja mereka yang jenis tak kisah. Tak ambik port pun. Akhirnya terpaksa tukar nama kepada Opprobrium. Tak sedap betul nama baru ni. Nak sebut pun susah...

Tapi untuk semua mat metal, memang inilah Incubus yang sebenar.



Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk πŸ˜‚ dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE πŸ˜…). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Tuesday, April 28, 2020

Hiburan WFH - Surf Nicaragua

Lagi seisi mendengar muzik sambil berkerja dari rumah...


Sacred Reich - Surf Nicaragua EP (1988)

Lama dah cari EP ni. Sejak-sejak kali pertama tahu mengenai kewujudannya pada tahun 1990. Selalu baca ulasan yang bagus-bagus di majalah dan fanzine tetapi tak berjaya nak dengar. Faham-faham sahajalah zaman sebelum wujudnya internet. Semuanya kena cari secara fizikal. Kalau rakan-rakan pun tak ada memang tak adalah jawapnya. Bukannya ada dijual di kedai.

Ini adalah antara yang terawal di cari sejak bermulanya zaman internet dan MP3 pada penghujung 90an dalu. Tetapi secara fizikalnya baru sahaja dapat di miliki pada penghujung tahun lepas. Akhirnya selepas 30 tahun pencarian.

Ini memang klasik American thrash. Memang makanan. Tak ada apa yang tak suka berkenaannya. Lagu yang menjadi tajuk EP ini pun dah buat rasa berbaloi untuk membeli cdnya. Mungkin cover War Pigs - Black Sabbath versi mereka bukanlah yang terbaik, tetapi lagu-lagu lainnya memang buat hangguk kepala.

Sila cuba...itupun kalau anda sukakan American Thrash!...

Sunday, April 26, 2020

Hiburan WFH - Kerajaan Cinta

Lagi hiburan WFH...


Dewa 19 - Kerajaan Cinta (2007)

Dulu (pertengahan tahun-tahun 2000an) ada rakan satu pejabat yang minat gila dengan Dewa. Setiap kali ada peluang pasti dia akan pasang lagu-lagu Dewa terutamanya album Laskar Cinta di pejabat. Dah selalu sangat dengar lama-lama rasa menarik juga.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Larut". Satu hari tu di kedai cd ternampak cd ini. Tak pasti ini album apa sebenarnya. Album baru atau kompilasi. Tak mengikuti sangat Dewa ni. Tapi disebabkan adanya lagu "Larut" dan lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta rasa menarik juga. Tambah pula harganya sekadar RM24.90. Terus beli!

Rupa-rupanya ini bolehlah dikatakan juga sebagai album kompilasi. Yang menariknya ada 2 lagu baru dan beberapa lagu lama yang di rakamkan semula. Dapat pula pendant logo Dewa secara percuma. Kira berbaloi la walaupun sebenarnya hanya ulang-ulang dengar lagu "Larut" dan kadang-kadang sahaja lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta.



Thursday, April 23, 2020

Hiburan WFH - Hey Stoopid

Lagi mengimbau kenangan silam dalam mengharungi Work From Home ketika PKP...


Alice Cooper - Hey Stoopid (1991)

Lama betul tak pasang cd ni. Rasanya inilah album Alice Cooper yang paling digemari. Mungkin lebih kepada nilai nostalgianya.

Tak pernah ada pun kasetnya. Ketika itu (tahun 1991) tengah kemaruk dengan thrash. Keutamaan membeli adalah kepada muzik yang sebegitu.

Ianya mengembalikan nostalgia ketika zaman bergelar siswa. Pinjam kaset kawan bilik sebelah. Bila telinga dah letih dengan lagu-lagu metal hantu akar kayu, lagu - lagu perlahan dalam album ini lah yang dapat mendamaikan hati.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Might As Well Be On Mars". Entah berapa puluh kali lagu ni berputar dalam walkman. Pasang, rewind, pasang, rewind, pasang, rewind pula guna pen kilometrico... Tandanya bateri walkman dah nak habis la tu... Haha... (yang merasa zaman tu paham la πŸ˜…)...


SELAMAT BERPUASA SEMUA



Tuesday, April 21, 2020

Hiburan WFH - Wildhoney

Lagi mengembur cd ketika terpaksa Work From Home kerana arahan PKP...


Tiamat - Wildhoney (1994)

Ada yang kata ini adalah gothic metal. Ada kata doom metal. Entah lah, banyak sangat sub genre zaman sekarang ni. Dulu-dulu semua panggil Rock atau metal ajer 😁.

Kalau ikut telinga yang tak terlatih ni, Wildhoney muziknya adalah Pink Floyd yang bermain metal. Ada progressive, ada doom, ada psychedelic. Muzik yang di awang-awangan. Boleh buat mengantuk pun iyer juga. Terutamanya untuk mereka yang seperti saya.

Sssllllllooooooowwwwwwzzzzzzzzz..... Entah lah, banyak kali dah cuba. Mungkin saya adalah antara golongan minoriti yang susah nak hadam Pink Floyd, doom dan lain-lain yang meleweh termasuk grunge.

Tetapi tidak dinafikan sususan muzik dan sound produksi album ni sedap. Bahagian-bahagian melodic dalam lagu-lagu seperti "Whatever That Hurts" dan "The Ar" memang melekat. Tapi... Itu lah...jenuh nak mengabiskan...Tetapi, jika anda pengemar Pink Floyd, mungkin anda patut cuba....



Saturday, April 18, 2020

Hiburan WFH - Slow Rock Vol. 6

Sempana PKP dan berkerja dari rumah (WFH) ni banyaklah mengembur dan mendengar semula cd-cd yang dah berpuluh tahun tak dengar... Ini adalah salah satu dari nya.


Slow Rock Vol. 6 (1994)

Antara kompilasi lagu-lagu slow rock orang puteh yang agak popular juga di awal-awal tahun 90an. Sempat juga beli  2 siri kompilasi ini dalam bentuk kaset. Tak pasti sampai volume berapa sebenarnya yang ada.

Kalau dalam bentuk cd inilah satu-satunya yang ada. Beli pun bukan pada tahun ianya dikeluarkan. Kalau tak silap dalam tahun 2010...2011... Beli di kedai kaset Music Valley Plaza Kotaraya JB sebelum kedai tersebut tutup dan Plaza Kotaraya diubahsuai menjadi Galleria@Kotaraya seperti sekarang.

Kalau perhatikan gambar (bukan yang belah kiri 😁) boleh nampak harganya cuma RM6.90. Murah betul. Kerana ianya dah diletakan dalam bahagian jualan longgok. Kalau sekarang jualan longgok pun tak akan dapat harga macam ni.

Versi kaset yang masih dalam simpanan 

Banyak lagu sedap. Selain murah, pembelian cd ini adalah kerana nak kan lagu yang tak pernah ada cdnya seperti "I love You - Saigon Kick" dan "Soul To Squeeze - Red Hot Chili Peppers".

Tapi bila dengar semula sekarang baru perasan sedap pula lagu "Big Log - Robert Plant". Mungkin faktor usia... Atau mungkin juga dulu tak pernah dengar secara betul pun pasal sentiasa skip bila sampai ke track 9 cd ini...



Wednesday, April 15, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan 3




Kalau ikutkan hari ni dah mula kembali berkerja di pejabat. Tetapi oleh kerana PKP dilanjutkan untuk fasa ketiga. Sambung lagi "work from home" lah nampaknya.

Ada 3 perkara yang rasanya kurang gemar bila bekerja dari rumah. Dia punya "workload" sama sahaja. Tetapi (1) panas (2) Line wifi yang macam siput (3) tak ada kawan nak membawang 😁


Tapi dari segi boleh bantai muzik dengan "full blast" dan tak berhenti-henti makan, macam rasa seronok pula WFH ni. Duit minyak kereta pun jimat. Isi penuh 2 minggu lepas pun langsung tak luak. (Minyak murah pun tiada gunanya 😁)...

Ni kalau bersambung ke fasa 4... memang lupa dah jalan pergi ke opis...hahaha...


Saturday, April 11, 2020

Sudah Sampai Sini - Stadium Sultan Ibrahim, JDT

Bagi peminat bolasepak tempoh menghadapi wabak Covid 19 ini memang sangat menghampakan. Tiada lagi perlawanan bolasepak baik di tv mahupun di stadium. Hujung minggu yang agak membosankan.


Khas untuk kawan-kawan peminat bola, kongsi sikit gambar-gambar ketika menghadiri perlawanan terakhir JDT di stadium baru yang ada penonton sebelum semua perlawanan di tangguhkan.


Inilah adalah ketika perlawanan JDT menentang UITM FC pada 7hb Mac yang lalu. Lama juga tak menonton secara langsung di stadium. Lama dah tak jejak Larkin. Ini pula kali pertama menjejakkan kaki ke stadium baru.


Memang saja pilih perlawanan ni. Kurang sikit orang berbanding masa hari pembukaan dan perlawanan Piala Sumbangsih. Selesa la sikit kan. Pergi pun guna google map. Tak biasa sangat kawasan Nusajaya ni. Terasa jauh. Dulu masa kat Larkin tak sampai 15 minit pun dah sampai.


Bertolak awal. Pukul 6 dah sampai. Kawasan parking pun masih kosong. Inilah untungnya pergi masa perlawanan yang bukan menjadi tumpuan. Tak macam kat Larkin kena pandai-pandai sendiri cari tempat parking. (tapi untuk yang dah biasa tahulah kat mana yang parking senang). Kat sini memang parking dalam kawasan stadium.

Cuma lecehnya masa nak balik. Jam masa nak keluar. Lebih setengah jam kot sangkut. Bayangkan kalau perlawanan tumpuan. Lagi teruk kot. Cuma ada 2 jalan keluar. Paham sahajalah jika ada beratus kereta yang nak keluar serentak. Patut kena ada banyak pilihan jalan keluar. Lebih mudah masa di Larkin. Walaupun sesak juga, tapi kita ada banyak pilihan jalan untuk keluar.

Tapi yang tak boleh dinafikan memang cantik stadiumnya. Nampak gah. Memang kagum lah walaupun baru tengok dari luar.


Kawasan depan kat air pancut tu adalah siap karnival live band bagai. Ada juga food truck jual makanan. Sempat juga la merasa makan kat situ.


Dalam stadium memang kagum. Terasa macam tengok bola kat luar negara. Lampu-lampu dia memang lawa. Kerusi pun bernombor. Tiadalah kes yang nak chop tempat duduk ataupun terpaksa duduk kat tangga. Datang lambat pun tiada hal. Memang kerusi kita dah ada.

Kerusi pun selesa. Setuju dengan pihak pengurusan tak bagi bawa masuk makanan walaupun sebotol air ke kawasan tempat duduk. Barulah bersih dan bebas dari sampah kulit kuaci. Nak minum boleh jer keluar dari kawasan tempat duduk untuk beli. Tak perlu keluar stadium pun. Dekat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Atau pun beli siap-siap sebelum masuk, tinggalkan kat kawasan tu. Itupun kalau tak ada orang cilok lah nanti..huhu...


Nak sembahyang pun senang. Tak perlulah macam Larkin siap ada yang kena keluar dari Stadium. Kat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Dekat. Cuma sesaklah. Tak sesuai kawasan ambik air sembahyang terlalu hampir di pintu masuk. Jadi jam kat situ mana yang nak keluar dengan mana yang nak beratur ambik air sembahyang. (lupa pula nak ambik gambar surau)

Satu lagi yang best, stadium ini dibuat khas untuk bolasepak. Macam stadium bola di luar negara. Pemandangan jadi dekat. Tak ada la track lumba lari tu semua. Memang lebih rapat dengan padang. Macam kat Pasir Gudang juga la.  Tapi yang itu lagi dekat. Nak maki reff/pemain memang jelas la dorang boleh dengar...hahaha...


Last..."Belantara" di stadium. Masih tak boleh move on dengan showcase Belantara 200220....tak sabar nak tunggu dvdnya...