Showing posts with label 1987. Show all posts
Showing posts with label 1987. Show all posts

Wednesday, March 5, 2025

Gila Format - Identiti

Yang terkini berjaya di"gila format"kan...

Metalian - Identiti (1987)

Antara yang tak terfikir akan berjaya di"gila format"kan. Bukannya mudah nak dapat versi piring hitam.

Terjumpa ianya di jual di acara tahunan JB Collectors Market yang diadakan di JBCC bulan lepas. Dengan harga jualan RM100, ianya memang susah untuk dilepaskan


Friday, December 8, 2023

EZO

Lagi album lama yang baru berpeluang untuk beli...


E.Z.O - E.Z.O (1987)

Dulu tak berapa nak ambil tahu sangat pasal mereka. Tak ada kawan yang beli kasetnya menyebabkan tak berpeluang untuk mendengar muzik mereka secara betul. 

Ketika zaman internet dan MP3, ada juga mendengarnya secara sambil lalu. Tetapi disebabkan pada ketika itu sedang kemaruk dengan genre yang lain, muzik sebegini tak berapa nak masuk ke dalam kepala. Lagu-lagu mereka yang kebanyakannya berinsipirasikan rock 70an yang bukanlah mainan telinga untuk saya.

Cuma kebelakangan ini rasa terpanggil untuk mendengar semula band-band seperti mereka. Tambahan pula album ini adalah antara album yang disebut-sebut sebagai "underated" atau "hidden gem" bagi peminat hair/glam metal.

Setelah mendengarnya secara betul, ternyata saya sedikit tersilap. Walaupun memang betul ada pengaruh 70an yang kuat tetapi ianya tak lari jauh dari sound band-band hard rock dan glam/hair metal pada zaman tersebut. Permainan muzik mereka sememangnya cemerlang. Tak pelik lah kenapa Gene Simmons berminat untuk menerbitkan album mereka.

Mereka bersama-sama dengan Loudness adalah antara band Jepun yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Malah vokalis dan drummernya juga pernah menganggotai Loudness selepas dari ini.

Cumanya bagi saya lagu-lagu mereka tidak cukup konsisten. Ada yang bagus dan ada yang biasa-biasa sahaja. Tetapi jika anda peminat era glam/hair metal, ini adalah antara yang patut didengar.



Tuesday, May 9, 2023

Gila Format - Samarkand

Antara "wish list" untuk dimiliki dalam bentuk piring hitam yang akhirnya tercapai. 

Bloodshed - Samarkand (piring hitam keluaran semula - 2023)

Samarkand tidak perlukan pengenalan. Ianya adalah salah satu album terbaik hard rock / heavy metal yang pernah dihasilkan. Period!

Sound piring keluaran semula ini bolehlah dikategorikan sebagai boleh tahan. Dengan sumber asal yang terhad, mungkin ini yang terbaik kita boleh dapat. 

Kalau ada isu yang hendak di ketengahkan pun cuma gambar cover yang tidak menggunakan gambar asal (seperti cover kaset) dan sedikit ganguan pada awal lagu Satria Mega. (Saya mencuba dengan 2 pemain turntable. Satu "jumping" dan satu lagi sekadar menghasilkan bunyi "tap")

Kini lengkaplah sudah gila format. Seperti gambar di bawah, kiri atas adalah cd cetakan pertama 1997, kanan pula cd rilisan semula 2015 dan bawah adalah kaset asal 1987.


Tetapi yang pastinya, harga piring hitam sebegini semakin mahal. Mungkin ada benarnya kata-kata "hobi kami mahal". Muzik secara fizikal bukanlah sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua orang. Semakin mahal harganya semakin generasi baru menjauhkan diri. Tak hairanlah kalau format begini semakin dilupakan.

Muzik secara fizikal sudah menjadi satu cabang hobi dan kenangan silam. Dan membeli kenangan itu sememangnya sesuatu yang semakin mahal…😞



Friday, August 12, 2022

Hurricane Eyes

 Yang menyambut ulangtahun ke 35 pada 10hb Ogos yang lalu...

Loudness - Hurricane Eyes (1987)

Antara yang jarang dan dah lama tak diputarkan. Dulu pun ketika zaman kaset ianya juga agak jarang dimainkan. Ketika itu (sekitar tahun 1987 - 1988), adalah tahun-tahun cuba jaya dengan pelbagai band yang baru dikenali. Ada yang beli, pinjam, dubbing atau didengar di rumah kawan. Mana-mana yang kurang terkesan biasanya akan jarang dimainkan.

Hurricane Eyes termasuk didalam kategori yang kurang terkesan. Walaupun begitu ianya adalah antara kaset yang dibeli. Maklumlah jenama Loudness agak besar bagi budak-budak rock pada ketika itu. Kalau tak silap kasetnya dibeli di pasar malam. Ianya adalah tahun-tahun terakhir kaset cetak rompak di jual secara berleluasa. Menjelang tahun 1989 dah agak sukar untuk nampak kaset cetak rompak di jual.

Kalau berdasarkan ingatan hanya ada beberapa lagu yang masih boleh diingat. Lagu-lagu side A rasanya lebih sedap dari side B. "S.D.I.", "Rock 'n' Roll Gypsy" dan 2 lagu ballads, "In My Dreams" dan "Ares Lament" versi baru, dengan tajuk "So Lonely" antara yang masih boleh diingat.

Setelah mendengarnya semula ternyata ingatan saya betul. Ada juga lagu-lagu lainnya yang kembali ke dalam ingatan. Dengan menggunakan Eddie Kramer sebagai penerbit dan Gregg Giuffria dari kumpulan Giuffria/House of Lords sebagai pemain keyboards jemputan, lagu-lagu mereka menjadi lebih komersial sesuai untuk pasaran di USA.

Bukan kegemaran, tetapi memori tentangnya tetap ada. Versi cd dan piring hitam ini adalah satu lagi kisah membeli kenangan. Lama dah kehilangan versi kaset. Tak boleh la nak bergila format….


Friday, July 8, 2022

Hall of the Mountain King

 Yang ke 5 dalam siri keluaran semula kesemua album Savatage dalam bentuk piring hitam...

Savatage - Hall of the Mountain King (1987)

Versi reissue ini diterbitkan pada 11 Februari yang lalu. Selamat sampai dalam simpanan pada awal bulan Mac. Baru sekarang ada kerajinan untuk menulis tentangnya.

Album ini adalah permulaan Savatage berubah. Bersama Paul O'Neill (penerbit yang bertanggungjawab mengubah hala tuju muzik mereka), mereka mula menghasilkan lagu-lagunya lebih progressif dengan memasukkan elemen opera di dalam muzik mereka. Ianya adalah sesuatu yang baru pada ketika itu dan akhirnya menjadi satu trend kepada band-band metal yang kemudian darinya.


Versi reissue ini dikeluarkan dalam 2 versi. Seperti pembelian sebelumnya, memang tak mampulah untuk membeli versi yang ada bonus single 7 inchi. Dapat versi biasa seperti yang ini pun dah cukup bagus dah. Dari segi packaging dan sound memang tak ada apa yang nak dikomplenkan.

Album ini sangatlah dicadangkan jika muzik kegemaran anda adalah di dalam lingkungan  heavy metal, power metal atau pun progressif metal opera dengan melodi dan solo-solo gitar yang membunuh.

Antara lagu yang tak jemu dengar dari album ini adalah "Strange Wings". Ianya adalah antara lagu yang sering saya selitkan dalam setlist kompilasi cd, mp3 mahupun playlist dalam spotify lagu-lagu kegemaran.


Tak pernah pula terjumpa versi kaset untuk dijadikan entri gila format. Ianya adalah album yang ke 4 saya dengar dari mereka selepas Gutter Ballet (1989), Edge Of Thorns (1993) dan Handful of Rain (1994). Maklumlah zaman sebelum internet yang hanya mengharapkan kedai kaset dan rakan-rakan.

# Lp reissue seterusnya yang sudah pun dimiliki adalah Gutter Ballet dan Streets: A Rock Opera (akan ada entri untuknya nanti. Yang berikutnya pula adalah Edge of Thorns dan Handful of Rain. Akan terbit pada 15hb Julai nanti. #hatigembirapoketmenangis.


Monday, April 18, 2022

Taking Over

 Album pertama dari kotak boxset Overkill The Atlantic Years

Overkill - Taking Over (1987)

Agak terlambat mendengar album ini. Mungkin sekitar pertengahan 90an. Maklumlah zaman sebelum wujudnya era internet dan MP3. Tak ada pula kawan yang ada. Zaman tersebut kalau tak ada jual di kedai kaset dan tak ada pula kawan yang ada, memang tak berpeluang lah nak dengar. 

Album yang kurang nilai sentimentalnya untuk saya. Mungkin kalau mendengarnya pada tahun ianya diterbitkan perasaannya akan berlainan. Muziknya berat, laju dan agak kasar bunyinya. Ianya juga agak kurang teknikal berbanding album-album yang kemudiannya. Maklumlah ianya dihasilkan ketika jiwa dan usia mereka masih muda remaja. 

Tetapi memang tidak boleh dinafikan ianya adalah sebuah album thrash yang bagus. Jujurnya kalau saya mendengarnya lebih awal, mungkin ianya akan menjadi salah satu album kegemaran sebaris dengan The Years Of Decay ataupun Horrorscope.

Kalau anda minat thrash yang laju tetapi dalam masa yang sama agak melodic untuk menganguk kepala, Taking Over adalah pilihan yang tepat. Rekomended!


Monday, March 7, 2022

Go and Live... Stay and Die

 Sesekali layan band yang obscure dan tak banyak orang tahu....

Vendetta - Go and Live... Stay and Die (1987)

Tak pernah tahu pun kewujudannya sebelum ini. Hanya membaca tentang mereka dalam artikel-artikel tentang senarai band-band thrash 80an yang kurang dikenali. Tak pernah juga mencuba youtube sebelum membeli.

Membelinya adalah semata-mata kerana gambar covernya yang sungguh 80an. Kalau dulu-dulu apabila membelek kaset di kedai, sememangnya album yamg mempunyai gambar cover sebegini akan membuatkan rasa teruja nak beli. 

Tak sangka pula muziknya bagus. Bagus...maksudnya jika anda adalah pengemar muzik thrash yang laju dan mempunyai pengaruh NWOBHM yang kuat. Banyak rif-rif yang sedap walaupun soundnya agak kasar dan mentah. Mereka juga agak teknikal dengan tempo yang berubah-ubah.

Satu lagi "hidden gems" dari Jerman yang sepatutnya boleh menjadi sebesar Sodom, Kreator ataupun Destruction. Mungkin tiada nasib untuk mereka. Maklumlah terlampau banyak sangat band-band thrash yang bagus dari Jerman.

Satu pembelian cuba jaya yang berbaloi. Patut cuba jika muzik anda adalah thrash...

Friday, August 13, 2021

Future World

 Seisi pendengaran rawak Work From Home...

Pretty Maids - Future World (1987)

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang agak rajin juga mencari cd-cd band yang dulunya sekadar baca nama di majalah tetapi lagunya tak pernah didengar. Pretty Maids adalah salah satu darinya. Memilih Future World sebagai album pengenalan dari mereka kerana majoriti dari ulasan yang dibaca tentangnya sangat memberangsangkan.

Mereka berasal dari Denmark. Selain dari King Diamond, Lars Ulrich dan Flemming Rasmussen, tak banyak tentang heavy metal yang saya tahu pasal Denmark. Dari apa yang dibaca, muzik mereka berkonsepkan heavy metal dan power metal. Satu genre yang sememangnya menjadi kegemaran.

Dari sekali pendengaran ada beberapa perkara yang saya rasa patut saya sentuh. Future World bukanlah sebuah album straight forward heavy atau power metal. Lagu track pertama (Future World) membayangkan yang mereka adalah berkonsepkan begitu. Tetapi ada antara track-track yang berikutnya bukan.

Sesetengah lagunya mengingatkan saya kepada Europe (contoh paling ketara - Love Games dan balada Eye Of The Storm). Mungkin kerana mereka adalah band yang juga menggunakan keyboard. Tambah pula suara vokalisnya agak mirip dengan suara Joey Tempest terutamanya pada bahagian nada-nada rendah.

Ada pula yang seolah-olah kembali kepada zaman hard rock Rainbow (zaman Graham Bonnet atau Joe Lynn Turner. Tetapi track terakhirnya (Long Way To Go) pula kendengaran ala-ala band AOR. 

Tak kisah la apa genrenya. Yang penting ianya sedap, melodic dan mudah melekat dalam kepala. Akan mencari album-album mereka yang lainnya pula.


Saturday, June 12, 2021

Dangerous Attraction

Lepas layan band- band rock melayu yang tak pernah dengar, kali ini nak layan pula band-band orang putih yang dulunya sekadar baca di majalah tetapi sekarang baru berpeluang nak dengar.

Nak kata obscure, tak juga. Bagi mat rock/metal 80an, nama-nama band sebegini memang biasa di dengar, cumanya pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkannya dalam bentuk fizikal

Bahagian 3 (hard rock)

Lion - Dangerous Attraction (1987)

Kali pertama terbaca tentang Lion adalah dalam satu artikel dalam majalah Metal Edge pada tahun 1989. Ketika itu mereka sedang dalam proses merakamkan album kedua mereka. Tetapi sekadar baca sambil lalu. Kasetnya pun tak pernah terjumpa ada di jual di sini. Mula yang betul-betul rasa nak ambil tahu hanyalah pada ketika gitaris mereka, Doug Aldrich menyertai Dio untuk album Killing The Dragon (2002).

Sayangnya Dangerous Attraction tidak konsisten. Ada lagu yang sedap dan banyak pula yang sekadar "filler". Dangerous Attraction membuktikan walaupun anda mempunyai gitaris dan vokalis yang bagus, tetapi tanpa lagu-lagu yang sedap, band anda tidak akan kemana.

Tambahan pula saya rasakan yang album ini tidak menonjolkan keupayaan sebenar Doug Aldrich. Ada lagu-lagunya yang mengingatkan saya kepada Whitesnake. Mungkin itu penyebabnya kenapa beberapa tahun kemudiannya David Coverdale menggunakan khidmat beliau di dalam Whitesnake.

Mereka adalah antara beratus band yang mencuba nasib ketika zaman hard rock ataupun ada yang panggil sebagai Glam Metal sedang berada dikemuncak. Sayangnya mereka juga adalah antara "the next big thing" yang gagal. Namun begitu nama mereka akan tetap diingati kerana dua perkara. Lagu mereka yang menjadi tema untuk Transformer The Movie (1986) dan mereka adalah band asal Doug Aldrich.


Tuesday, May 25, 2021

Kenangan

 Layanan ketika kuarantin 10 hari...

FF - Kenangan (1987)

*** Maaf.. tak ada versi asli untuk diletakkan gambarnya...yang ada hanyalah cdr 😔

Seingat saya album ini adalah antara yang terawal diterbitkan ketika zaman rock mula melanda negara. Ada beli kasetnya tetapi dah hilang ntah kemana. Antara khazanah rock yang hilang dan tak pernah diterbitkan semula. Beruntunglah kepada sesiapa yang masih simpan kasetnya. Memang tak mampu milik lah kalau nak beli sekarang.

Tak banyak info tentang kumpulan ini. Apa yang saya tahu mereka berasal dari Singapura. FF tu bukannya Foo Fighters 😅... Tetapi singkatan kepada Flying Funeral. Memang ganas namanya. Tetapi lagu-lagu mereka tidaklah seganas mana. Saya tak ingat kenapa dalam banyak-banyak kaset rock yang dibeli pada tahun 87 tersebut, mereka adalah yang paling kurang saya dengar dan minat. Mungkin kerana produksi soundnya yang bagi saya agak mengecewakan,

Apa yang saya boleh ingat ada salah satu lagunya yang mirip betul dengan lagu "Diary of a Madman" dari Ozzy Osbourne. Yang lain tak ingat. Mendengar semula album ini dengan versi cdr sedikit sebanyak mengembalikan memori saya kepadanya. 

Lagu yang intronya sebijik seperti "Diary of a Madmad" itu tajuknya "Kerana Nama". Manakala lagu track terakhir, "Keluhan Bekas Kekasih" adalah lagu yang sering juga saya dengar di radio Singapura tetapi sudah hampir-hampir terlupa. 

Apa yang saya tahu, Maman dari Teacher's Pet adalah salah seorang dari 2 orang penyanyi dari kumpulan ini (FF mempunyai 2 orang penyanyi). Makluman ini saya perolehi dari sebuah forum internet di penghujung tahun 90an dahulu. Zaman tu kan zaman internet forum sebelum wujudnya Facebook. "Gua Punya Suka" kot nama forum tersebut. Ianya adalah forum untuk komuniti budak-budak rock melayu Singapura pada ketika itu. Saya rasa ianya betul walaupun saya tak pernah dengar atau terbaca yang Maman sendiri bercakap mengenainya.

Mendengarnya sekarang saya rasakan ada juga lagu-lagunya yang bagus. Cuma seperti yang saya katakan tadi, produksi soundnya memang agak lemah. Di tambah pula dengan sound versi cdr rakaman dari piring hitam ini yang agak kurang memuaskan. Tetapi ada masa-masanya mendengar produksi yang kasar dan mentah sebegini, memang terasa semangat 80annya.

Ok juga la. Terutama lagu-lagu slow rock mereka, "Kenangan" dan "Keluhan Bekas Kekasih".


Sunday, February 21, 2021

Gila Format - Appetite for Destruction

 Lagi yang berjaya di gila formatkan.

Guns N' Roses - Appetite for Destruction (1987)

Pernah cerita pasal album ini suatu masa dahulu >SINI<

Kedua-dua versi kaset dan vinyl sebenarnya hanya baru dimiliki pada tahun yang lalu. Dulunya hanya sekadar kaset dubbing pinjam dari kawan.

Versi cd pula dah lupa dari mana dan bila ianya dibeli. 

Yang menarik atau mungkin agak "rare" untuk versi cd ini adalah covernya yang terbalik. Gambar tengkorak bersalib terletak di bahagian dalam cover. Ianya bukanlah cd made in Malaysia tetapi cd import. Mungkin juga versi ini adalah untuk pasaran negara-negara Islam atau negara yang sensitif dengan gambar tengkorak bersalib.

Macam biasalah, mana-mana album yang diminati ditambah pula yang banyak kenangan mengenainya memang akan cuba di gila formatkan… (hobi jahanam ni ...hahaha)

Akan datang yang akan menyusul… G N' R Lies dan Use Your Illusion 2.



Monday, February 8, 2021

Ilusi Sebuah Mimpi

Kenangan zaman remaja...

Bloodshed - Ilusi Sebuah Mimpi (1987)

Ada beberapa album yang tak pernah jemu di dengar walaupun usianya dah melebihi 30 tahun. Ilusi Sebuah Mimpi adalah salah satunya darinya. Bayangkan dari usia teruna suci 16 tahun hinggalah dah mencecah ke usia boleh keluar akaun 2 KWSP 😀, masih tetap tak jemu-jemu didengar tanpa perlu "skip" mana-mana lagu.

Sememangnya ini adalah album Bloodshed yang menjadi kegemaran. Samarkand juga bagus. Tetapi ada lagu yang kurang berkenan. "Tangisan Salju Di Khatulistiwa" adalah lagu yang selalu kena "skip" sejak dari zaman kaset. Mendayu sangat. Walaupun "Restu" dalam Ilusi Sebuah Mimpi juga mendayu, tetapi ianya mengingatkan saya kepada lagu "So Tired - Ozzy Osbourne".

Satu lagi yang menarik tentang Ilusi adalah soundnya yang "raw" dan di tambah pula dengan kerja gitar Hamdan Reko. Memang sedap. Memang harap sangatlah ianya akan dikeluarkan semula dalam bentuk piring hitam. (walaupun dikhabarkan Samarkand yang akan dikeluarkan semula). Maklumlah...nak dapat yang asal memang harga yahudi mabuk todi 😁 



Thursday, November 12, 2020

IX

 Kenangan 30++ tahun yang lalu...


Bulldozer - IX (1987)

Sebut band Bulldozer, secara otomatiknya akan mengingatkan saya kepada rakan sekelas dan sekampung. Ketika di sekolah tak pernah pun tahu yang beliau adalah peminat muzik rock. Gaya beliau yang agak nerd, cermin mata tebal, mat study dengan imej budak baik dan tidak bergaul dengan geng-geng rock memang tak ada siapa pun yang menyangka yang beliau adalah sebenarnya seorang metalhead.

Jadi rapat dengan beliau pun hanyalah ketika penghujung zaman persekolahan bila berkunjung ke rumah beliau dan terlihat koleksi kaset. Ketika itu baru tahu yang dia adalah peminat tegar Iron Maiden dan heavy metal. Sejak itu kami sering bertukar-tukar kaset dan salah satu kaset dan band kegemaran beliau adalah Bulldozer. 

Tahun 1988-89, mendengar muzik sebegini samada anda merasa takut dan tak boleh masuk atau terus menjadi minat. Saya termasuk dalam kategori yang minat tetapi agak takut dengan lirik-liriknya. Tetapi muziknya memang bersesuaian dengan jiwa remaja yang pada ketika itu sentiasa mahukan lebih ganas...lebih berat dan lebih laju.

Tapi tak pernah beli pun kasetnya. Muzik yang dah di dengar dari kawan, biasanya tak akan di beli lagi. Ada duit akan beli band yang lain pula. (kecuali yang betul-betul minat) Begitulah caranya pada zaman tersebut (zaman tak ada youtube ataupun spotify) untuk kita dapat mendengar lebih banyak band.


Beberapa bulan yang lalu baru berpeluang memiliki cdnya. Mendengarnya semula mengembalikan ingatan ke zaman tersebut. Zaman yang tak kisah pun pasal sound. Janji laju…berat…ganas memang suka. Kalau anda sukakan heavy dan speed metal yang raw...kasar soundnya, ini adalah salah satu band dan album yang patut anda cuba.


Satu fakta yang dulunya tak tahu, (terimakasih teknologi internet), lagu "The Derby" adalah sebenarnya ditujukan kepada pasukan bola AC Milan. Penyanyi Bulldozer, A.C. Wild adalah peminat tegar AC Milan. Tak pelik pun. Bulldozer memang berasal dari Milan, Itali. Kalau kaki bola tak Inter mesti AC...



Tuesday, August 18, 2020

Kaset rock

Baru jer dapat kaset-kaset ni. Taklah beriya-iya sangat nak cari. Hobi mengumpul kaset taklah seaggresif mengumpul cd. Kata orang rezeki dan tuah tak salah alamat. Kebetulan pula ada sahabat yang nak jual.


Ketiga-tiga kaset ini adalah kenangan dari zaman sekolah sekitar tahun 1986 dan 1987. Tahun-tahun yang baru terjebak dengan muzik rock dan metal dan ini adalah antara album-album rock melayu terawal yang pernah diterbitkan.


Akhirnya setelah 33 tahun barulah dapat memiliki versi kaset yang asli. Dan secara rasminya dah boleh masuk frame dah versi pirate ni 😁 (Lefthanded Keadilan versi lanun lama dah hilang)


Secara jujurnya, di antara ketiga-tiga kaset ini, saya tak pernah tengok kaset Ilusi Sebuah Mimpi yang asli. Akhirnya setelah 33 tahun.....😊



Tuesday, July 21, 2020

Gila Format - Pride

Lagi yang berjaya di"giler format"kan...


White Lion - Pride (1987)

Sebuah lagi album yang banyak kenangan dan menjadi 'soundtrack' ketika zaman remaja.

Pride akan sentiasa mengingatkan saya kepada Cik Safiah (dulu la... 30 tahun dulu... Sekarang dah tentu-tentunya puan 😅). Lecturer accounting ketika saya menuntut di ITM Segamat.

Kaset di dalam gambar di atas asalnya adalah milik beliau. Dibeli ketika beliau menuntut di UK. Kami tukar pakai. Dia bagi pinjam Pride, saya bagi Metallica Black Album. Tetapi hingga habis semester dari tukar pakai akhirnya menjadi tukar hak milk. Haha...

Dan pembaca asal blog ini pasti tahu yang saya adalah fan boy Vito Bratta. Mana mungkin ianya tidak saya giler formatkan...


Thursday, June 4, 2020

Abigail

Sambung lagi cerita WFH...


King Diamond - Abigail (1987)

Kali ini nak kongsi yang terkini dalam simpanan. Baru sampai 2,3 hari yang lepas. Baru-baru ini King Diamond ada mengeluarkan semula 4 album awal mereka dalam bentuk piring hitam edisi terhad. Sempat juga lah sambar satu. Kalau ikutkan hati memang nak semuanya sekali. Tapi bila ikut poket, kena la pilih mana yang lebih minat atau yang lebih bernostalgia.

Nostalgianya ini adalah album pertama mereka yang saya dengar. Tak pernah ada kasetnya. Sekadar pinjam kawan. Memang takut masa kali pertama dengar. Dengan imej King Diamond yang menyeramkan, lirik kisah hantu, sihir dan setan. Tambah pula dengar suara yang mengilai. Memang seram...

Tetapi bila dengar solo-solo gitar dari Andy LaRocque dan Michael Denner yang melodic memang terus jadi teruja. Memang lazat. Memang berhantu. Ianya lebih berhantu dari liriknya yang hantu 😁😁😁

Tapi entah kenapa dulu-dulu tak pernah pula terpikir untuk membeli kasetnya. Duit pun tak berapa nak ada. Dah tua-tua ni, pembelian semacam ini bolehlah dikira sebagai hadiah untuk diri sendiri...

Hmmmm...kalaulah ada kaset, boleh dah masuk entri "Gila Format"...


***lupa nak tanya Abang JP (Aziz Belantara), adakah "Perintah Berkurung" ada pengaruh dari "A Mansion In Darkness"?....ada sikit kan mirip-mirip...



Friday, February 2, 2018

R.I.P

Entri yang tertinggal dari tahun lepas.

Yang dah masuk 30 31 tahun...


Coroner - R.I.P (1987)

Jarang dengar band metal yang berasal dari Switzerland. Kalau ada pun yang boleh diingat hanyalah Celtic Frost. Kebetulan pula Coroner adalah roadies kepada Celtic Frost. Malah Tom G. Warrior juga pernah menyumbangkan suara beliau untuk demo mereka. Ini adalah salah satu faktor mengapa saya tertarik kepada mereka.

Pernah juga tampal poster mereka di bilik, tetapi sebenarnya tak pernah dengar pun lagu-lagunya....haha...poseur sungguh. Tetapi itu adalah pengenalan saya kepada trio Coroner. Membaca ulasan album-album mereka di Kerrang! dan Metal Hammer membuatkan rasa berminat. Tapi faham-faham sahajalah situasi ketika itu (sekitar tahun 1988 - 1989). Agak susah juga untuk mendapatkan kaset-kaset sebegini terutamanya bila anda tinggal di pekan kecil dan masih bergelar pelajar yang tidak mempunyai sumber kewangan yang berlebihan.



Dah tua-tua 😀 macam ni baru lah mampu untuk memiliki cdnya. R.I.P tidak jauh bezanya dengan album-album thrash Eropah yang seangkatan dengan mereka. Sound yang mentah, kasar dan aggressif. Yang bezanya mereka lebih teknikal berbanding band-band thrash yang lain. Tommy T. Baron sememangnya seorang gitaris yang berbakat. Solo-solo gitarnya amat melodic sehinggakan terasa seperti mendengar solo-solo band heavy metal.

Album ini hanyalah sekadar pengenalan. Mereka semakin menjadi progressif dan avant-garde untuk album-album yang berikutnya. Tak hairanlah kalau ada yang mengelar mereka sebagai "The Rush Of Thrash Metal".



Saturday, December 23, 2017

Identiti

Dah dekat-dekat hujung tahun sebelum terlupa...


Metalian - Identiti (1987)

Satu lagi album rock melayu yang menyambut ulang tahun ke 30. Rasanya dalam 5 buah band Juara Juara Rock, mereka adalah yang pertama mengeluarkan album solo. May - Dilema,  Febians - Febians dan Burnmark - Burnmark's semuanya dikeluarkan dalam tahun 1988.

Antara band rock terawal dengan imej mat pejabat. Walaupun begitu muzik mereka tetap rock. Banyak lagu yang catchy. Tetapi ntah kenapa ianya agak kurang mendapat sambutan. Sayang, band yang bagus dengan lagu-lagu ciptaan sendiri seperti mereka kurang mendapat perhatian.


Namun begitu, lagu "Erti Persahabatan" agak popular juga di radio berbahasa melayu Singapura suatu masa dahulu. Memang sedap lagu ni. Tetapi untuk saya ada 2 buah lagu yang cukup saya suka. Pertamanya lagu mid tempo, "Khayalan" dan satu lagi lagu slow, yang ada solo "Turned To Stone" dan "Strangers In The Strangeland", "Senyum Bukan Tangisan".

Dengan adanya cd reissue 2016, dapat jugalah mengimbau kenangan silam walaupun sound cd tersebut memang banyak yang boleh dipertikaikan.

Untuk edisi merapu 7 tahun yang lalu...klik >SINI<










Wednesday, December 20, 2017

Under Jolly Roger

Lagi yang dah berusia 30 tahun pada tahun ini...


Running Wild - Under Jolly Roger (1987)

Lama tunggu nak dapat pegang album ni secara fizikal. Dulu di penghujung tahun 80an sekadar membaca tentangnya di dalam majalah Metal Hammer. Imej Lanun Johor di cover albumnya menarik perhatian. Tambahan pula ulasan album dan konsert mereka mendapat rating yang agak tinggi juga dalam Metal Hammer.


Mereka adalah pelopor kepada apa yang digelar sebagai Pirate Metal. Sebenarnya dari segi muzik tiada bezanya antara mereka dengan lain-lain band heavy metal dan power metal 80an. Yang bezanya hanya dari segi lirik.

Muzik sebegini sememangnya makanan saya. Maka misi menghabiskan duit yang seterusnya sudah tentu-tentulah untuk mencari cd-cd mereka yang lainnya pula.