Friday, February 27, 2015

Flashing Metal With Iron Maiden And Flying Solo

Bahan bacaan...



Bruce Dickinson - Flashing Metal With Iron Maiden And Flying Solo by Joe Shooman

Kebetulan dalam mendapat berita tentang kesihatan Bruce Dickinson, saya sedang membaca buku autobiography tentang beliau.


Pada saya beliau adalah seorang individu yang serba boleh. Bukan sekadar menyanyi,mencipta lagu ataupun membuat lirik tetapi beliau juga cemerlang dalam kehidupan diluar dunia heavy metal.

Selain sebagai DJ radio dalam rancangan "Friday Rock Show" di BBC, beliau juga adalah pengacara rancangan tv dokumentari "Flying Heavy Metal" di Discovery Channel, penulis novel best seller, The Adventures of Lord Iffy Boatrace dan The Missionary Position. Penulis skrip untuk filem Chemical Wedding. Juruterbang untuk sebuah syarikat penerbangan komersial. Mewakili England dalam sukan lawan pedang (fencing) dan juga peminat sejarah tentang peperangan.

Ini adalah buku unofficial ataupun unauthorised. Maknanya memang tiada langsung temuramah secara langsung dengan Bruce Dickinson ataupun mana-mana ahli kumpulan Iron Maiden. Walaupun begitu penulis telah melakukan kajian yang baik terutamanya dalam bab ketika beliau bersama Samson dan zaman album solo. Temuramah bersama beberapa orang anggota Samson dan pemuzik yang terlibat dalam album Skunkworks sememangnya banyak membantu,


Sambil tu layan gambar la yer...


Bruce Dickinson dengan imej bermisai..heheh


Selebihnya penulis banyak mengambil siri temuramah Bruce dan orang-orang disekeliling beliau dalam pelbagai sumber. Dari zaman sebelum Iron Maiden ke zaman solo dan zaman kembali semula ke Iron Maiden dan cerita-cerita perihal hobi dan kerjaya beliau selain dari Iron Maiden.




Mungkin ianya lebih menarik jika ditulis oleh Bruce sendiri. Mungkin banyak benda akan dikupas dengan lebih terperinci. Tetapi lebih baik ada dari tiada langsung. Saya tidak boleh mengulas lebih-lebih kerana saya sendiri belum habis membacanya. Dah hampir 4 bulan pun, tetapi masih gagal untuk menghabiskannya. Nampaknya banyak yang perlu diperbetulkan dalam pengurusan masa saya.


"I didnt want to reach forty and have to say all i'd done was look out the window of  a tour bus and get drunk" - Bruce Dickinson





Thursday, February 26, 2015

whiplash

Calon filem terbaik terakhir yang sempat saya tonton sebelum berlangsungnya anugerah Oscar...


Whiplash (2014)

Saya terbayangkan Metallica bila membaca tajuknya apatah lagi ianya sebuah filem berkenaan pemain drum. (hahaha...) Tetapi sebenarnya tajuk Whiplash itu adalah berinspirasikan dari sebuah lagu jazz dari komposer jazz terkenal Hank Levy. Minta maaf saya buta jazz, saya tak pernah tahu apa-apa pun pasal lagu klasik jazz.

Memang ceritanya ada bersangkut paut dengan jazz. Whiplash adalah kisah seorang pelajar kolej muzik (Andrew) berusia 19 tahun yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemuzik jazz (drummer) yang disegani seperti idola beliau Buddy Rich. Beliau berusaha keras supaya diterima masuk ke dalam band jazz kolej di bawah kelolaan conductor (Terence Fletcher) yang sangat tegas, garang dan mementingkan kesempurnaan dalam muzik. Salah tempo sikit pun memang kena baling.

Tak pasti ada ker conductor muzik yang begitu garang macam ni. Menontonnya pun buat kita rasa geram dan menyampah. Rasa macam nak tumbuk jer muka dia (hahaha...). Ini bermakna lakonan JK Simmons memang sangat berkesan. Memang tak salah lah bila dia menang anugerah Oscar dan Golden Globe. Memang cemerlang.

Pada saya Whiplash memang best. Jalan ceritanya sangat menarik. Tak mahu komen lebih takut spoiler. Tak pasti adakah Miles Teller yang melakonkan watak Andrew adalah memang seorang pemain drum yang sebenar. Memang nampak hidup gaya permainannya terutamanya ketika beliau membuat drum solo pada akhir filem.

 Whiplash membuatkan timbul rasa hormat saya kepada pemuzik jazz.


Rekomended!



Tuesday, February 24, 2015

Johor Bahru di Legoland

Lagi cerita di Legoland....

Mungkin atas faktor usia, saya tidaklah berapa teruja dengan segala permainan yang ada. Tu bagi kat anak-anak la. Tetapi saya cukup suka dengan model-model bangunan/mercu tanda yang ada di Miniland.

Jom layan antara gambar-gambar yang sempat saya ambil.


Oleh kerana saya warga Johor Bahru, maka saya lebih tertarik dengan bangunan-bangunan di sekitar Johor Bahru yang telah di"lego"kan. Maklumlah rasa seronok pula apabila bangunan yang kita biasa tengok hari-hari di abadikan dalam skala yang kecil.


Tak kisahlah walaupun susunan bangunannya tidaklah mengikut keadaan yang sebenar...contohnya Bangunan Sultan Ibrahim bukanlah terletak di Jalan Meldrum.


Tambah menarik bila bas seperti gambar di atas boleh bergerak. Rasa macam kanak-kanak riang pula bila melihatnya...hahaha...

Siapa yang biasa dengan bandaraya Johor Bahru memang pasti kenal dengan bangunan-bangunan ni semua..

Dalam keadaan sebenar, Menara Tabung Haji bukanlah di jalan gereja...tetapi kalaulah mereka dapat buat ikut keadaan yang sebenar...tentu lebih mengujakan...


Bangunan Jotic...sepatutnya disebelahnya Dewan Jubli Intan..Tiada pula model dewan tu. Lejen dewan tu...dulu konsert rock zaman 80an semua buat kat situ...pernah tengok Search kat situ dulu...sekarang dah jadi tempat orang buat majlis kahwin sahaja...


Stesen keretapi Johor Bahru. Anak rilek jer...bapanya yang lebih teruja bila tengok keretapi tu boleh bergerak...hahaha...teringat kecik-kecik dulu main model keretapi yang pakai bateri tu kat rumah kawan. Sendiri nak beli memanglah tak mampu...


Festival rock di Dataran Bandaraya...kalaulah betul alangkah menariknya...tetapi secara realitinya...seingat saya tak pernah kot ada konsert kat sini...ker ada...saya yang lupa...mungkin juga konsert sure heboh tv3...agaknya la...kali terakhir saya kesini hari tu masa pelancaran jersi baru JDT...


Inilah saiz sebenar miniland...tetapi boleh tahan luas juga kawasannya...


Sekian...nanti rajin saya tampal Star Wars yang di"lego"kan pula...




Monday, February 23, 2015

Behind Closed Doors

Sebuah lagi abum dari underated band yang dah mencapai usia 20 tahun...


Thunder - Behind Closed Doors (1995)

Sebuah lagu band yang underated. Tak ramai yang tahu. Dalam dunia muzik ni memang banyak band yang bagus tetapi tidak dikenali ramai. Mungkin silap promosi, masa yang tak sesuai atau sememangnya tiada tuah.

Dalam kes Thunder pada saya lebih kepada masa. Mereka terlambat 10 tahun. Kalaulah mereka wujud sezaman dengan band-band hard rock sekitar akhir 70an ataupun awal 80an, mungkin kisah mereka akan berbeza. Saya pun mengetahui perihal mereka kerana promosi besar-besaran majalah Kerrang! terhadap mereka dan tertengok pula  klip video "Love Walked In" di sebuah rancangan chart show di TV3 pada awal tahun 90an dulu.

Mereka mengingatkan saya kepada Whitesnake dengan gaya bluesy hard rock British yang ada "jiwa". Kekuatan mereka pada saya terletak kepada 2 individu rakan sekolej yang mengasaskan Thunder. Vokalis mereka yang mempunyai vokal setanding David Coverdale, Dany Bowes dan gitaris serta tulang belakang dalam penciptaan lagu-lagu mereka, Luke Morley.



Walaupun saya lebih menyukai album pertama mereka, Back Street Symphony (1990) tetapi Behind Closed Doors juga bagus. Ianya lebih berat berbanding 2 album awal mereka. Bagi pengemar bluesy hard rock gaya British boleh cuba lagi-lagu seperti "Moth to the flame", "River of pain", "Fortune train" dan "Castles in the sand".

Sayangnya mereka cuma dikenali di UK. Saya sememangnya pengemar kerja gitar Luke Morley. Kalau tak...tak kan lah beliau pernah dikaitkan sebagai pengganti Steve Vai dalam Whitesnake dan nama yang disebut-sebut sebelum Vivian Campbell dapat kerja dalam Def Leppard.





Friday, February 20, 2015

Cinta Buatan Malaysia

Ulang tahun ke 30 album yang mengubah senario muzik negara untuk selamanya.


Search - Cinta Buatan Malaysia (1985)

Tahun 1985. Saya di Tingkatan 2. Zaman muzik new wave sedang melanda. Duran Duran adalah "the best band in the world" bagi remaja yang sedang meningkat naik seperti saya. Walaupun "2 minutes to Midnight" dari Iron Maiden telah sedikit sebanyak membuka mata dan minda saya kepada muzik rock dan heavy metal tetapi kemunculan "Cinta Buatan Malaysia" benar-benar mengubah segalanya.

Ianya menjadi seperti satu budaya. Walaupun sebenarnya pada saya, kemunculan album Battle of the Band lah yang benar-benar memberikan kesan kepada muzik rock dan heavy metal di Malaysia. Tetapi Cinta Buatan Malaysia lah yang membuka laluan untuk semuanya bermula.

Lagu lagu seperti Isi dan Kulit, Nombor dan Balada Pemuzik Jalanan menjadi anthem kepada budak-budak melayu yang baru nak kenal muzik rock. Pakaian dan rambut anggota Search mula menjadi ikutan. Seluar sekolah pun alter sendiri jadi fit ngam-ngam ikut kaki (zaman tu seluar ketat fit ni budak-budak panggil seluar Search). Kasut hi-cut warrior menjadi pilihan. Saputangan "key" adalah satu lagi benda yang wajib.

Pengalaman kena tahan dengan cikgu disiplin kes pakai seluar fit dan rambut panjang adalah perkara biasa bagi kehidupan seorang rocker...hahaha.... Sekarang kalau tengok gambar-gambar lama zaman sekolah tu memang terasa lawak. Rock sangat la kononnya. Tetapi bagi yang sezaman dengan saya tentu pernah merasa.

versi cd siap ada 2 keping..ni lah masalahnya bila tak ingat apa yang dah ada apa yang belum...simpan jer la kot...takder niat pun nak jual...

Memang banyak nostalgianya. Saya pernah 2 kali membelinya dalam bentuk kaset. Tahun 1985 beli kaset pirate RM2.50 dan beberapa tahun kemudiannya versi original. Kalau tak silap masa tu harga kaset melayu dalam sekitar RM7 atau RM9. Yang saya ingat kaset lagu Inggeris harganya RM11. Versi cd pula dah lupa bila ianya dibeli.

Alangkah menariknya jika sempena 30 tahun ini, Search mengadakan persembahan live dengan menjemput semula Man Kidal dan Yan berkongsi pentas dengan membawakan keseluruhan lagu-lagu dari album ini. Teringin betul nak tengok Man Kidal menyolo dalam lagu Isi dan Kulit/ Balada Pemuzik Jalanan dan Yan menyanyikan lagu Jiwa Jiwa Luka/Cinta Pertama secara live.

Terbaik!










Wednesday, February 18, 2015

Wordless Wednesday : Vinyl Passion 4





eksyen jer lebih ni siap slip mat bagai...lp pun 20 keping ajer...turntable pun cap ayam...hipster betul...heheh..



Tuesday, February 17, 2015

The Theory of Everything

Filem yang ke 4 ditonton untuk filem-filem yang tercalon untuk anugerah filem terbaik oscar 2015..

(rasanya gagal kot nak menghabiskan kesemua 8 filem yang tercalon sebelum hari anugerah oscar 22hb ni...orang rumah dah conquer tv layan back to back marathon drama Istikharah Cinta...hahaha...)


The Theory of Everything (2014)

Mungkin cerita-cerita yang berdasarkan kisah benar senang untuk tercalon di dalam kategori filem terbaik terutamanya jika ianya mebabitkan orang-orang yang ternama. Tambah pula jika jalan cerita menarik. The Theory of Everything adalah filem biography ahli fizik terkemuka Stephen Hawking.

Yang berbeza sedikit dari filem biography yang biasa, filem ini lebih menekankan aspek hubungan antara beliau dan bekas isterinya, Jane Wilde lebih dari cerita kehidupan beliau sendiri. Hal ini rasanya tak boleh nak dielakkan kerana filem ini dibuat adalah berdasarkan buku memoir bekas isteri beliau yang bertajuk Travelling to Infinity: My Life with Stephen Hawking. Maka sudah tentu cerita hubungan mereka suami isteri yang lebih ditekankan.

Walaupun begitu ianya menarik kerana kita dibawa untuk memahami perasaan si isteri yang menjaga si suami yang mempunyai penyakit motor neuron. Satu penyakit yang menyebabkan pengidapnya menjadi lumpuh dari leher ke bawah. (tetapi masih juga kuat untuk dapat 3 orang anak...hahaha...)

Tambah menarik adalah lakonan kedua-dua pelakon utamanya Eddie Redmayne and Felicity Jones memang cukup berkesan. Bukan senang hendak melakonkan watak oarang sakit seperti Stephen Hawking. Tidak hairanlah jika mereka berdua tercalon untuk anugerah pelakon lelaki dan wanita terbaik.

Rekomended untuk ditonton walaupun anda tidak kenal siapa dia Stephen Hawking..Terbaik!




Monday, February 16, 2015

Sudah Sampai Sini : Legoland Theme Park


Rasanya saya antara warga Johor Bahru yang tertinggal kapal. Dah lebih setahun tempat ni wujud baru Januari lepas berkesempatan sampai. Ada 2 sebab kenapa. Pertamanya untuk mengelakkan kesesakan. Maklumlah benda baru. Sudah pasti ramai yang kemaruk. Kedua dan yang lebih utamanya tentang bajet. Maklumlah dengan 3 orang anak yang 2 daripadanya bukan lagi berstatus kanak-kanak. Tiket nak masuknya dah macam bayar duit "instalment" kereta sebulan.

Yang saya pergi ni Theme Park. Water Park tak masuk. Tu kira lain. Parah!.


Kawasannya boleh tahan luas. Jenuh juga menapak. Nasib juga masa tu cuaca tak berapa nak panas. Dah tambah bernasib baiknya tak ramai orang. Maklumlah hari ahad yang kami pergi tu sepatutnya Johor sekolah tetapi ditangguhkan kerana banjir. Mungkin sebab tu tak ramai orang, Tetapi yang pastinya kebanyakan yang datang pada hari tersebut adalah pelancong dari Indonesia.


Ini bukan di KL tetapi di kawasan yang dinamakan sebagai MINILAND. Terdapat banyak mercu tanda negara-negara Asia yang dibina menggunakan lego. Memang cantik lah.


 Contohnya...Kota Singa


Taj Mahal India..


Ni mana ni?..Putrajaya kot...lupa pulak...haha..


KLIA pun ada...banyak lagi la...Indonesia, Vietnam, China, Brunei...banyak sangat gambar...malas pulak nak tapis satu-satu...


Bukan setakat bandar, malah ada juga model rumah-rumah tradisional setiap negeri kat Malaysia. Ni rumah negeri mana ni....saya pun tak pasti.


Selain tu boleh cuba permainan yang mencabar...roller coaster contohnya


Ni pulak roller coaster yang pendek dan tak berapa nak tinggi...sesuai untuk budak-budak dan "beginner".  Ni anak bongsu saya pun naik. Tak silap ada 3 jenis roller coaster kat sini...


Sebenarnya yang paling seronok kalau ke sini adalah budak-budak. Macam-macam benda boleh main. Contohnya ambil lesen memandu. Mak bapak memang tak seronok. Semua pun mahal...air mineral pun mahal...hahaha..


Satu lagi antara permainan untuk budak-budak. Orang tak ramai, anak saya main benda-benda ni semua sampai 2, 3 kali. Ni lah untungnya pergi bukan masa cuti.

Banyak lagi permainan, malas pula nak "sorting" gambar.


Kawasannya ada terbahagi kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian lain-lain permainannya. Contohnya seperti Land Of Adventure


Nampak bendalah ni memang terus terbayang Iron Maiden Powerslave la kan...heheh...


Tak payah masuk water park pun kalau naik bot ni dah basah lokos dah...nak beli baju hujan atau guna bilik pengering dia mahal pulak tu...bantai jer la jalan basah kuyup...hahaha..


Surau ada 2. Satu di pintu masuk dan satu lagi di belah dalam theme park. Suraunya pun besar dan selesa. Memang tak ada alasan la kalau nak tak nak solat.


Tempat makan pun tiada masalah. Banyak tempat ada. Yang masalah duitnya ajer. Semua mahal giler.


Banyak lagi tempat-tempat permainan yang tak larat nak tampal gambarnya kat sini. Kalau anda bernasib baik, datang ketika orang tak berapa nak ramai. Satu hari dah cukup dah untuk mencuba semua permainan.

Nasib kami baik. Setiap game beratur tak sampai pun 2, 3 minit. Ada game yang anak-anak saya main sampai 2,3 kali. Malah naik keretapi keliling theme park tu pun kami naik sampai 2 kali.


Memang cukup sekali ni lah kot pergi. Lainlah kalau nanti ada penambahan atau perubahan besar yang berlaku kat sini....tak pun tetiba kalau dapat diskaun atau tiket free...heheh..

Nanti sambung lagi...


Sunday, February 15, 2015

Armed & Dangerous

Yang menyambut ulang tahun ke 30 bulan ini...lagenda thrash...


Anthrax - Armed & Dangerous (1985)

EP pengenalan untuk Joey Belladonna dan Frank Bello. Klasik line-up yang paling digemari. Seperti Fistful of Metal, ianya masih dipengaruhi oleh NWOBHM dan Judas Priest. Maklumlah lagu-lagunya adalah dari zaman Neil Turbin dan Danny Lilker. Belum jelas sound "thrash" mereka.

2 lagu dari Fistful of Metal ("Metal Thrashing Mad" dan "Panic") yang dirakamkan semula secara live (dalam studio..bukannya konsert) membuktikan keupayaan vokal Joey Belladonna memang jauh lebih baik dari vokal asal Neil Turbin. Line-up ini menjadikan Anthrax cukup hebat untuk 3, 4 album mereka yang mendatang.


Cumanya saya agak kurang berkenan bila mereka merakamkan "God Save the Queen", cover dari Sex Pistols. Pada saya suara Joey Belladonna agak kurang sesuai dengan Punk. Mereka sepatutnya membiarkan Scott Ian yang menyanyi. Attack of the Killer B's membuktikan Joey lebih berkesan dengan cover lagu rock "Parasite - Kiss" dan Scott dengan cover lagu punk "Protest and Survive - Discharge". Tetapi walaupun begitu ianya jauh lebih baik dari vokal Dave Mustaine dengan Anarchy In The U.K. (huhuhu...)

Untuk cd terbitan tahun 1992, ada 2 lagu bonus iaitu "Soldiers of Metal" dan "Howling Furies" yang diambil dari singles "Soldiers of Metal" terbitan tahun 1983. Kedua-dua adalah dari nyanyian asal Neil Turbin.

EP ini hanya untuk peminat Anthrax mencukupkan koleksi. Tak perlu ada jika anda hanyalah sekadar pendengar "casual".




Friday, February 13, 2015

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un

Al Fatihah

Allahumaghfirlahu... warhamhu... wa'aafihi... wa'fu'anhu...


Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat  (10/01/1931 - 12/02/2015)



Kenangan berkunjung ke rumah Allahyarham (walaupun tidak dapat bersua muka) pada tahun 2012 akan tetap menjadi kenangan...



Wednesday, February 11, 2015

Sudah Sampai Sini : Gua Kota Gelanggi


Ini masa ke Jerantut, Pahang bulan December yang lepas. Ngam-ngam 2 hari sebelum banjir besar melanda Jerantut. Mungkin bernasib baik...kalau tak...ada kemungkinan terperangkap di sana.


Salah satu tempat menarik kalau ke Jerantut selain Taman Negara adalah Taman Warisan Gua Kota Gelanggi. Ini bagi yang minat sejarah dan "adventure" la. Yang tak minat mungkin rasa tiada faedah pun pergi ke tempat macam ni.


Sebenarnya banyak sejarah, lagenda, misteri serta mitos Gua Kota Gelanggi ni. "Lost City", Sang Kelembai, Bunian, terowong rahsia ke Siam dan tokoh pahlawan melayu Mat Kilau antara yang mempunyai kaitan dengannya.


Ini kunjungan kali yang ke 2. Yang pertama dulu kalau tak silap lebih 20 tahun yang lalu. Masa tu masuk percuma. Sekarang dah kena bayar. (RM 5.00 dewasa dan RM 3.00 untuk kanak- kanak). Tempatnya pun sekarang dah terjaga. Maklumlah dah diwartakan sebagai taman warisan sejarah. Tak macam dulu. Tapi apa yang saya ingat dulu ada satu keluarga duduk dalam salah satu gua kat sini. Entah mana pergi lah agaknya mereka tu.


Dikatakan ada hampir 170 buah gua di kawasan ini. Tetapi hanya 12 sahaja yang dibenarkan untuk dilawati pengunjung. Jarak untuk setiap gua juga agak jauh. Letih kalau nak berjalan kaki. Kami menggunakan kereta. Ini bukan lawatan untuk "adventure". Hanyalah jalan-jalan bersama keluraga.


Disebabkan itu hanya 2 buah gua yang sempat kami singgah. Itu pun hanya satu gua yang anak-anak ikut masuk. Maklumlah nak masuk gua kena panjat anak tangga. Keadaan licin dan tangga yang agak uzur tak sesuai untuk keselamatan kanak-kanak.

Salah satunya adalah Gua Terang Bulan.


Walaupun namanya terang bulan, keadaan di dalamnya tak lah terang. Gelap gelita dan agak licin permukaaannya.


Ini pemandangan dari dalam menghadap ke pintu masuk. Saya hanya menggunakan kamera handphone cabuk. Maka gambar-gambar di dalam gua kebanyakannya gelap dan agak kurang menarik untuk ditampal disini.

Tambah malang tak membawa lampu suluh. Hanya bergantung kepada lampu handphone. Maka saya kurang berani untuk masuk lebih dalam ke kawasan gua. Kerana makin dalam kawasannya makin sempit persekitarannya. Saya bimbangkan lantainya yang licin takut-takut jika ada ular ker apa. Dah la gelap gelita dalam tu.


Tetapi yang pastinya banyak betul contengan dan grafiti di dinding-dinding gua. Ini salah satu darinya. Tahun 1964 tu...dah 51 tahun dah contengan ini...saya pun belum lahir.


Sebuah lagi gua yang kami singgah adalah Gua Balai. Yang ini ok. Walaupun masih kena mendaki tangga yang agak tinggi. Tetapi ianya kurang bahaya.Gua nya pun luas. Yang ini anak-anak pun ikut masuk.


Kawasan dalamnya memang luas. Macam dewan besar. Ada la kot kecik sikit dari keluasan padang bola. Ini kalau buat Gig Hitam Hitam Dalam Gua macam kat Gua Kapura di Lost World Of Tambun tu lagi dasyat kot. Ribu boleh masuk ni. Tapi ada ker yang berani nak buat gig kat sini...heheh...

Kalau baca ceritanya memang macam-macam. Kalau rajin cari dan bacalah sendiri.


Dalam ni banyak kesan-kesan cari gali dari pihak muzium. Lubang di sana sini. Katanya ada jumpa tembikar dan rangka manusia. Sayangnya kamera handphone saya tak cukup canggih untuk ambil gambar dalam gua.


Begitulah serba sedikit ceritanya. Ini hanyalah jalan-jalan bersama keluarga. Maka tiada lah menjelajah ke seluruh kawasan gua, Lainlah kalau pergi sendiri. Ini hanya sekadar mengajak anak-anak untuk menghargai sejarah negara.