Lagi berkongsi pembelian terkini.
Ambil gambar. Tukar plastik cover. Simpan di rak. Tak spin pun.
Ini memang satu penyakit 😅
#hati gembira poket menangis
Lagi berkongsi pembelian terkini.
Ambil gambar. Tukar plastik cover. Simpan di rak. Tak spin pun.
Ini memang satu penyakit 😅
#hati gembira poket menangis
Bersempena ulangtahunnya yang ke 40
a-ha - hunting high and low (01/06/1985)
Kalau ada satu lagu untuk dijadikan tema rasmi dekad 80an sememangnya Take On Me dari a-ha adalah pilihan paling layak. Bukan setakat lagunya yang malar segar dan ikonik tetapi video klipnya juga menjadi simbol visual yang mendefinasikan era tersebut.
Album live yang menyambut ulangtahun yang ke 40 semalam, (12hb November) ...
Duran Duran - Arena (1984)
Ini bukan cerita tentang album ini semata-mata, tetapi lebih kepada kenangan tentangnya.
Dulu, ada dokumentari (Sing Blue Silver) mengenai Duran Duran yang ditayangkan di TV3 bersempena sambutan tahun baru 1985. Memang teringin sangat nak menontonnya, tetapi sayangnya waktu itu, siaran TV3 hanya boleh ditonton oleh penduduk di Lembah Klang.
Gambar kulit album ini digunakan sebagai gambar promosi rancangan tersebut. Setiap hari terpampang di surat khabar sehinggalah menjelang tahun baru. Ia dijadikan sebagai kiraan waktu (countdown) menuju tahun baru. Memang kecewa tak dapat menontonnya, maklumlah ketika itu sedang kemaruk dengan Duran Duran.
Tetapi sebenarnya pada masa itu, album live ini pun belum pernah didengar. Tidak jumpa dijual di kedai kaset. Namun, dokumentari Sing Blue Silver ada juga dijual dalam bentuk VHS. Tetapi tidak dibeli pun kerana selepas dari itu, telah mula pula kemaruk dengan rock/heavy metal, dan mula membeli album-album lain.
Dokumentari tersebut hanya dapat ditonton apabila tiba zaman YouTube. Sementara rekod dan CD ini pula hanya dibeli beberapa tahun yang lalu, sekadar untuk mengimbau kenangan silam.
*ayat diolah oleh chatgpt 😁
Yang menyambut ulangtahun ke 40 semalam (27hb September)...
Alphaville - Forever Young (1984)
Sebelum terjebak dengan seragam hitam, muzik yang saya dengar adalah muzik Top 40 dari radio berbahasa Inggeris (Radio One Singapura).
Big in Japan dari Alphaville adalah antara lagu yang cukup popular pada ketika itu. Rentak new wave atau synth pop sebegini sememangnya mendominasi carta pop pada ketika itu. Satu lagi lagu yang sering dimainkan di radio adalah Sounds Like A Melody.
Tetapi lagu yang benar- benar buat saya jatuh hati adalah "Forever Young". Sebuah balada pop yang sangat catchy. Liriknya mengembalikan saya ke usia 14 tahun. Siapalah yang tak mahu muda selamanya.
Ianya sebuah lagi lagu kegemaran sepanjang zaman. Dan saya tidak keseorangan. Setiap kali radio Singapura membuat undian lagu paling popular era 80an pastinya Forever Young akan sentiasa berada di kedudukan paling atas.
Yang menyambut ulang tahun ke 40...
Dennis DeYoung - Desert Moon (1984)
"Desert Moon" dari Dennis DeYoung adalah lagu yang mengembalikan memori saya ke zaman budak-budak. Ketika itu muzik yang didengar oleh abang adalah apa yang saya sebagai adik terpaksa dengar. Maklumlah berkongsi bilik.
Selain lagu-lagu new wave yang sedang popular pada ketika itu, beliau juga mempengaruhi saya untuk mendengar lagu-lagu rock AOR yang beliau minat. Dan Styx adalah salah satu darinya. Dari situlah pengenalan saya kepada Dennis DeYoung.
"Desert Moon" adalah album solo pertama penyanyi Styx, Dennis DeYoung. Dan lagu yang menjadi tajuk album tersebut menjadi lagu "one hit wonder" kepada beliau. Melodinya yang mudah menangkap menyebabkan ianya adalah antara lagu kegemaran sepanjang zaman untuk saya.
Cd ini dibeli semata-mata kerana lagu tersebut. Kurang berminat dengan lagu-lagu lainnya. Hasil kerja beliau bersama Styx lebih menarik.
Lagi pembelian album tahun 2023
Duran Duran - Danse macabre (2023)
Dah lama tak dengar Duran Duran. Kali terakhirnya adalah The Wedding Album (1993). Muzik mereka dah lama saya tinggalkan semenjak terjebak dengan heavy metal. Tetapi tidak boleh dinafikan pengaruh mereka kepada saya di zaman remaja. 3 album terawal mereka tetap saya simpan dalam bentuk cd dan lp sebagai mengingati memori zaman tersebut.
Bila terbaca yang album terbaru ini menampilkan semula Andy Taylor di posisi gitar rasa terpanggil pula untuk membeli. Malah bukan sahaja Andy, mereka turut menjemput bekas pegganti Andy, Warren Cuccurullo untuk merakamkan 2 lagu. Andy pula merakamkan 10 buah lagu. Tetapi sebagai kumpulan pop, gitar bukanlah faktor utama pun.
Itu yang lebih mudah bagi saya apabila mendengar album pop. Tak perlu fikir pasal rif dan solo. Yang penting melodi lagu dan vokal sedap. Itu yang ada pada Dense macabre. Lagu-lagunya sedap termasuk 3 lagu baru baru mereka. Yang lain-lainya adalah rakaman semula dan lagu-lagu cover (Rolling Stones, Rick James, Siouxsie and the Banshees, Talking Head, The Special dan Billie Eilish). Sesuai dengan tema Halloween untuk album ini, lagu-lagu yang menjadi pilihan mempunyai lirik seram.
Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 21hb Nov yang lalu...
Duran Duran - Seven And The Ragged Tiger (1983)
Album pilihan 2022
A-Ha - True North (2022)
A-Ha adalah kenangan zaman sekolah. Kali terakhirnya yang betul-betul menghayati album mereka adalah Scoundrel Days (1986). Mereka adalah band pop terakhir yang saya suka sebelum mula terjebak menjadi mat rock.
Tidak mengambil tahu tentang album-album mereka selepas dari tu. Kali terakhir membeli cd mereka adalah album kompilasi Headlines and Deadlines: The Hits of A-ha (1991).
Semakin meningkat usia, semakin banyak kita bernostalgia. Berita tentang album baru mereka di Facebook dan ditambah pula "rachun" dari seorang kenalan di Facebook yang berkongsi gambar beliau membeli piring hitam album baru tersebut membuatkan tiba-tiba timbul rasa minat untuk membelinya.
Selain dari itu, tajuk albumnya juga membuatkan sedikit rasa teruja. Maklumlah tajuk "True North" itu seolah-olah seperti tajuk sebuah album black metal. Maklumlah, A-ha juga berasal dari Norway. Sebenarnya...mereka adalah the true Norwegian black metal….hahaha...
Atas sebab nostalgia, saya cuba juga menghayati lagu-lagunya walaupun muzik pop sebegini bukan lagi makanan minda untuk saya. Awalnya agak susah juga. Majoriti lagu-lagunya agak "mellow" dan agak meletihkan (zzzzzzzzzzzzzzzzzz). Hampir tiada lagu yang mengenengahkan gitar berdistorsi dari Paul Waaktaar seperti di album-album awal. Maklumlah saya adalah seorang yang agak sukar untuk menghayati lagu-lagu yang agak meleweh
Yang genap 40 tahun semalam (14hb Januari)...
Nena - Nena (1983)
Macam tak sangka dah 40 tahun berlalu. Nena dengan lagu hitnya "99 Luftballons" membawa saya kembali ke usia awal remaja. Ianya mengimbau kenangan zaman merakamkan lagu di radio menggunakan kaset kosong.
Agak susah untuk mendapatkan yang sempurna. Kalau tak di awal lagu, mesti ketika penutup akan ada sahaja suara DJ sibuk menyampuk. Biasanya kalau nak dapat yang lengkap terpaksalah membeli kaset lagu-lagu campur Top Hits cetak rompak yang melambak di kedai kaset/pasar malam dengan harga RM3 pada ketika itu.
"99 Luftballons" adalah salah satu lagu kegemaran dari zaman tersebut. Walaupun tak paham sepatah haram cakap Jerman tetapi melodinya sedap. Sebenarnya lagu tersebut ada juga dirakamkan dalam bahasa inggeris dengan tajuk "99 Red Ballons". Tetapi feel mendengar patah perkataan Jerman yang Nena sebut tu dah tak ada. Terasa hambar dan hilang keaslianya.
Pembelian lp ini adalah semata-mata kerana nostalgia yang ada pada “99 Luftballons”. Tak pernah dengar pun lagu yang lainnya. Mereka bolehlah dikategorikan sebagai “one hits wonder”. Tetapi selepas mendengar keseluruhannya, ada juga lagu-lagu lain yang menarik. "Ich bleib' im Bett" (I Stay in Bed) contohnya,
Untuk makluman, Nena adalah sebuah band asal Jerman yang memainkan muzik new wave atau synthpop yang sememangnya sedang popular pada ketika itu. Mendengar muzik begini sememangnya terasa seperti kembali ke tahun 80an.
Yang menyambut ulangtahun ke 38 pada 12hb Nov yang lalu...
Duran Duran - Arena (1984)
Berita tentang Duran Duran telah diterima masuk ke dalam Rock N Roll Hall of Fame 2022 telah menyebabkan rasa terpanggil untuk mendengar album ini semula.
Apa yang saya ingat tentang album ini adalah video konsertnya ada ditayangkan di TV3. Sayangnya di waktu itu siaran TV3 hanya boleh ditonton di kawasan Lembah Kelang. Kalau tak silap ianya adalah salah satu rancangan untuk tahun baru 1985.
Bayangkan betapa frustnya perasaan pada ketika itu. Dah lah iklan tentangnya hari-hari disiarkan di surat khabar secara "countdown" selama seminggu. Iklan tersebut yang meletakkan gambar dari cover album ini pernah saya gunting dan simpan di dalam scrapbook.
Ini adalah zaman saya sedang kemaruk dengan mereka. Tetapi album ini tak pernah pun saya dengar. Ketika itu adalah zaman belum berapa pandai untuk membeli kaset sendiri dan masih mengharapkan apa yang abang kandung beli.
Kemudiannya album ini terus saya lupakan apabila saya mula jatuh minat dengan muzik rock dan heavy metal menjelang penghujung tahun 1985. Dan saya hanya betul-betul mendengarnya apabila memiliki cdnya di zaman pandai e-bay (2010an).
# Entri ini juga adalah satu tribute kepada pemain gitar mereka, Andy Taylor yang disahkan mengidap kanser dan tidak dapat bersama ketika majlis Rock n Roll Hall of Fame. Beliau adalah gitar hero saya yang pertama. Semoga beliau cepat sembuh.....
Hiburan hari-hari terakhir bekerja dari rumah...
Kembara - Kembara (1981)
Satu lagi kapsul masa. Tak pernah memiliki kasetnya. Ketika itu saya (10 tahun) dan abang yang 4 tahun lebih tua biasanya hanya meminjam kaset kawan-kawan. Maklumlah kami tak berduit untuk membeli. Kaset pertama kami adalah 2 tahun selepas itu (Michael Jackson - Thriller)
Masih teringat-ingat membelek dan mencari apa agaknya makna di sebalik gambar covernya. Selain album ini, gambar cover Sejuta Wajah - Sweet Charity serta Pusingan ke 2 - Flybaits akan sentiasa membawa saya kembali ke tahun 1981.
Kalau nak kira lagu yang ada kenangan adalah "Ekspress Rakyat". Pernah secara bidan terjun kena paksa dengan cikgu untuk menyanyikan lagu ini bersama 3 rakan lain untuk audition wakil kelas ke konsert sekolah. Nasib baik tak terpilih. Hahaha...
Tetapi kalau lagu yang paling digemari adalah "Hati Emas". Walaupun pada ketika itu belum lagi pandai tentang rock tetapi lagu-lagu yang ada bunyi gitar memang akan sentiasa terasa dekat di hati. Maklumlah pada ketika itu pun dah didedahkan oleh abang dengan lagu-lagu Scorpions, Deep Purple, Whitesnake, UFO dan Rainbow walaupun tak tau pun lagu-lagu begitu adalah lagu rock.
Selain 2 lagu tersebut, ada beberapa lagu seperti "Senandung Buruh Kasar" dan "Lagu Untuk Seorang Ibu" yang saya boleh ikut menyanyi sama walaupun dah bertahun tak dengar. Semua ini adalah kenangan zaman kanak-kanak. Sedar tak sedar perkara ini dah 41 tahun berlalu. Kalaulah mesin masa DMC DeLorean benar-benar wujud....
Antara yang baru dibeli...
P. Ramlee & Saloma - Malaya P. Ramlee and Saloma sing popular music of the Far East (Reissue / Remastered 2021)
Sebuah album lama yang dikeluarkan semula oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di UK. Asalnya diterbitkan pada tahun 1960. Ianya adalah kali pertama di terbitkan dalam format cd.
Satu yang menarik tentang cd ini adalah dari segi sound. Walaupun ianya adalah rakaman yang dah berusia lebih dari 60 tahun tetapi bunyinya sangat bersih.Mendengarnya seolah-olah ianya adalah rakaman baru bukannya rakaman dari tahun 1960. Memang sedap.
Harapnya akan ada lagi terbitan-terbitan berkualiti seperti ini. Sayangnya agak terlambat untuk membeli versi piring hitam. Ianya dah pun "sold out". Kalau tak, tentu seronok kalau ianya dihadiahkan kepada abah. Lama dah beliau mencari piring hitam P. Ramlee. Tapi tak pernah terjumpa dengan harga yang mampu milik.
Album berbahasa melayu yang terkini di pasaran..
Ajin Rabak ...Sukati Kaulah (2000 - terbitan semula 2021)
Saya memiliki kaset album solo beliau yang pertama, Dari Ajin Untuk Rakan-Rakan (1994) tetapi tidak pernah mengetahui kewujudan album ini. Nampak sangat yang saya pada ketika itu agak kurang mengikuti perkembangan muzik tempatan. Tambah pula lagu-lagu beliau bukanlah yang jenis popular di radio.
...Sukati Kaulah bukanlah tipikal album pop/rock melayu pada 11 tahun yang lalu mahupun pada waktu sekarang. Muziknya lebih tearah kepada blues rock dan ada beberapa lagunya yang berbunyi country seperti ala band-band rock amerika (lagu-lagu koboi Bon Jovi contohnya). Mungkin bukan untuk khalayak ramai, tetapi bagi yang sukakan lagu-lagu bergenre begini, ianya sememangnya sesuatu yang sangat menarik. Jarang nak jumpa lagu-lagu begini di dalam pasaran tempatan. Memang best dan sedap. Muzik sebegini bagi saya melangkaui masa. Tak kiralah kalau anda mendengarnya pada tahun 2000 ataupun 2021, muzik yang tak mengikut trend seperti ini akan kekal relevan di sepanjang zaman.
Pada saya Ajin memang seorang yang berbakat. Sangat-sangat berbakat. Sayangnya kredibiliti beliau sering tercalar kerana trajedi Blackrose di Anugerah Juara Lagu. Tambah-tambah pula genre beliau selepas Blackrose bukanlah kearah muzik yang mainstream. Tetapi bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam.
Rekomended!
**saya agak tertarik dengan cover lagu Kesedaran dari Gaya Zakry. Lama dah tak dengar lagu ni. Dan Ajin memberikan keadilan yang secukupnya untuk untuk lagu ini. Tabik!
Penangan "Work From Home" dan banyak masa membelek e-bay....
Belinda Carlisle - Runaway Horses (1989)
Mula tahu pasal Belinda Carlisle adalah melalui kumpulan The Go-Go's dan kemudiannya lagu solo beliau "Mad About You". Tetapi setakat itulah. Tak pernah benar-benar ambil tahu sehinggalah ketika zaman menuntut di ITM, ada rakan sebilik yang mempunyai kaset beliau.
Dari 2 kaset Belinda yang di bawa beliau, saya lebih tertarik dengan Runaway Horses berbanding Heaven On Earth. Kedua-duanya bagus tetapi Runaway Horses hampir kesemua lagu-lagunya saya suka. "Leave a Light On", "Runaway Horses", "Vision of You", "Summer Rain","La Luna" dan "(We Want) The Same Thing" adalah antaranya.
Ianya antara peneman ketika kepala tepu dengan metal. Lagu-lagu beliau masih berkonsepkan guitar oriented. Kiranya ia masih dalam lingkungan rock. Selepas berpuluh tahun akhirnya kedua-dua cd Runaway Horses dan Heaven On Earth berjaya juga saya miliki.
Mendengar album ini mengingatkan saya kembali kepada rakan tersebut. Bukan setakat Belinda, beliau juga mengenalkan saya kepada Martika, Suzanne Vega, Alannah Myles dan beberapa lagi artis pop wanita. Nak kata "lost contact" tidak juga. Ada di dalam senarai kawan di FB. Tetapi oleh kerana jarak dan masa, rasa agak janggal juga untuk bertegur sapa. Padahal suatu masa dulu kami agak rapat juga. Kerana beliaulah saya pernah menjadi salah seorang jamaah subuh di surau ITMCJ. 😊
Melihat cover album ini pun dah cukup mengembalikan nostalgia...
Air Supply - Greatest Hits (1983)
Album ini mengembalikan ingatan saya kepada tahun 1983.Ketika itu abang saya sedang kemaruk dengan lagu-lagu Top 40 berbahasa Inggeris. Berkongsi bilik bersama beliau menyebabkan saya mudah terpengaruh dengan apa yang beliau minati. Seingat saya album ini adalah kaset kedua yang dibeli oleh beliau. Yang pertama adalah kaset Michael Jackson - Thriller.
Ianya adalah album kompilasi. Dah tentu-tentu kesemua lagunya sedap. Tetapi lagu "Making Love Out Of Nothing At All" ciptaan Jim Steinman adalah yang paling menonjol. Lagu-lagu yang jenis dramatik sebegini sememangnya adalah "signature" Jim Steinman. Hasil kerja beliau dalam album Meat Loaf , Bat Out of Hell (1977) menjadikan ianya salah satu album terlaris sepanjang zaman. Rasanya semua pun pernah dengar lagu "I'd Do Anything for Love (But I Won't Do That)" dari album Meat Loaf - Bat Out of Hell II: Back into Hell (1993). Memang sedap kan? Tetapi bagi saya karya beliau yang paling terbaik adalah lagu "Total Eclipse of the Heart" dari Bonnie Tyler..
Berbalik kepada album ini, ianya adalah pengenalan pertama saya kepada duo dari Australia, Graham Russell dan Russell Hitchcook yang lebih dikenal sebagai Air Supply. Lengok dan melodinya memang mudah menangkap. Walaupun lirik mereka dianggap "cheesy", tetapi mereka adalah juara untuk lagu-lagu bergenre balada pop rock sebegini. Bagi saya mereka adalah di kedudukan pertama untuk genre sebegini bagi era 80an manakala Michael Learns to Rock pula adalah untuk dekad 90an.
Antara "crush" zaman remaja....
Ini bukti "crush" zaman remaja yang masih disimpan...hahaha...tak lah pandai sangat melukis...tapi dah 29 tahun dah tu....😁
Album yang tinggi nilai sentimentalnya dan sentiasa ada "soft spot" di dalam hati...
Men At Work - Cargo (1983)
Tahun 1982 atau 1983 adalah tahun yang saya mula mendengar lagu-lagu orang puteh. Berkongsi bilik dengan abang yang usianya 4 tahun lebih tua dari saya bermakna saya "ter" dan "di" paksa untuk mendengar apa muzik yang beliau dengar. Ketika rakan-rakan sebaya (maklumlah budak felda) kemaruk dengan pop melayu seperti Kembara, Carefree, Flybaits, Alleycats dan lain-lain, saya pula telah mula kemaruk dengan lagu-lagu inggeris dari Top 40 di US mahupun di UK.
Apa yang saya ingat, kaset pertama orang puteh yang di beli abang adalah Michael Jackson - Thriller. Kemudiannya Air Supply - Greatest Hits. Dan yang ketiganya adalah Men At Work - Cargo. Sebab itu album ini memang ada banyak kenangannya untuk saya. Mendengarnya semula sememangnya membawa saya kembali ke tahun 1983 (darjah 6). Masih teringat-ingat suasana rumah, ruang tamu dan bilik tempat saya dan abang mendengar kaset ini berulang-ulang kali. Rumah asal tu pun dah roboh, abang pula dah tak kemaruk dengan muzik seperti dulu. Semuanya hanya tinggal kenangan...
Mungkin ramai yang kenal Men At Work dengan lagu "Down Under". Tetapi itu dari album pertama mereka, Business as Usual (1981). Penangan lagu "Down Under" lah yang menjadi penyebab mengapa Cargo di beli bila ianya berada di pasaran. Hebat juga pekan kecil Ulu Tiram, kedai kasetnya agak terkini dengan suasana muzik semasa. Mungkin kerana pengaruh dari Singapura. Ketika itu pun kalau nak dengar lagu terkini orang puteh memang kena dengar siaran radio Singapura. Siaran berbahasa inggeris Radio Malaysia (saluran biru dan kemudiannya Radio Dua) memang jauh ketinggalan.
Men At Work adalah sebuah kumpulan pop dengan pengaruh reggae yang berasal dari Australia. Cargo seingat saya menghasikan 3 lagu hits. "Dr. Heckyll & Mr. Jive", "It's a Mistake" dan yang paling saya gemari,"Overkill". Memang sedap lagu ni. Malah saya lebih menyukainya berbanding "Down Under". Inilah muzik yang menjadi habuan telinga sebelum saya terjebak dengan heavy metal.
Antara kenangan yang tak boleh lupa adalah membelek cover kasetnya. Berkali-kali membelek untuk cuba memahami dan mencari apa dilukis pada gambar cover tersebut. Sebab itu saya memilih untuk membeli versi pirang hitam. Baru puas membelek walaupun sampai sekarang saya masih tak paham apa yang cuba disampaikan disebalik lukisan cover tersebut....