Friday, December 31, 2021

Sudah Sampai Sini - 03/12/2021 - 06/12/2021

Setelah agak lama tak merentas negeri kerana PKP... jalan-jalan cari makan tanpa tujuan (tapi tak ada gambar makan-makan 😁)


Pavilion Kuala Lumpur


Pavilion Bukit Jalil


Pintasan Saloma


Tamarind Square, Cyberjaya


Sawah Padi Sekinchan


Menara Condong Teluk Intan

Masjid Melayu Teluk Intan


Harapnya 2022 tak akan ada lagi PKP....Selamat Tahun Baru semua.



Monday, December 27, 2021

Turbo

 Lagi piring hitam yang baru masuk koleksi...

Judas Priest - Turbo (1986) - vinyl 30 (2016)

Album Judas Priest yang agak pop, komersial dan ringan. Bersesuaianlah dengan zaman tersebut. Dengan meletupnya Quiet Riot dan bermulanya zaman glam/hair metal pada ketika itu, Judas Priest pun terpengaruh sama. Situasinya samalah seperti era 90an bilamana band-band metal 80an yang bertukar arah menjadi grunge, groove, alternative dan seangkatan dengannya.

Pengunaan synthesizers juga agak ketara mengambarkan situasi pada ketika itu. Synthesizers adalah satu simbol muzik 80an. Mengabungnya dengan genre heavy metal menjadikan muziknya lebih pop dan lembut dan ianya lebih mudah untuk diterima oleh golongan kebanyakan. Iron Maiden juga melakukannya dalam album Somewhere In Time.

Ada juga peminat tegar yang tidak boleh menerima Turbo. Tetapi bagi orang-orang yang seperti saya yang tiada masalah dengan glam/hair/pop metal, muzik sebegini sememangnya makanan harian. Yang kurang mungkin dari segi sound gitar tetapi dari segi melodi lagu, Turbo sememangnya satu album yang sangat sedap. Boleh dengar berulang kali tanpa rasa sakit kepala. Melodinya membuatkan tanpa sedar kita pun akan menyanyi sama.

Tak ingat bila kali pertama mendengar album ini. Mungkin sekitar tahun 1987 atau 1988. Tak beli pun kasetnya. Sekadar menumpang dengar kaset pirate apache milik kawan. Zaman itu memang tak mampulah sebagai seorang budak sekolah kampung untuk membeli kesemuanya. Setiap minggu bila ke kedai kaset pastinya ada album baru yang hendak di cuba. Zaman cuba jaya sebelum wujudnya internet.

Asalnya mahu mencari versi piring hitam tahun 1986. Tetapi terjumpa pula di Swee Lee lp baru versi ulangtahun ke 30 dengan harga RM95. Memang tak banyak soal. Terus beli.

Memang sedap. Semua lagu sedap. Antara yang menjadi kegemaran. Nak baca cerita lama saya tentang album ini boleh klik >SINI<


Friday, December 24, 2021

The Dark Parade

 Album "comeback" yang lama dah ditunggu...

Mordred - The Dark Parade (2021)

Antara cd baru yang tak teragak-agak atau melalui proses pra-dengar di Spotify sebelum di beli. Memang minat dengan mereka sejak kali pertama mendengar kaset album pertama mereka, "Fool's Game" sekitar penghujung tahun 1989. 

Kelainan muzik mereka dengan memasukkan unsur funk, rap dan ada DJ gosok turntable (scratch dj) dalam genre thrash yang mereka mainkan membuatkan mereka adalah satu band yang unik. Ini mereka dah lakukan lama sebelum genre Nu-metal wujud.

Sayangnya ketika itu muzik sebegini agak kurang diterima menyebabkan mereka akhirnya berkubur Mereka hanya sempat bertahan dengan 3 album. Yang terakhir adalah The Next Room (1994).

Tetapi akhirnya mereka kembali bergabung. Dengan line-up yang hampir sama (kecuali pemain drums), mereka muncul dengan sebuah album "comeback"

Ternyata tiada apa yang berubah. The Dark Parade adalah sambungan dari apa yang mereka lakukan pada 30++ tahun yang lalu. Mereka masih thrash. Masih funky. Dan masih ada juga unsur rap dan gosok turntable yang menjadi identiti mereka.

Tak ada yang nak dikomplenkan jika anda memang dah tahu bagaimana muzik Mordred. Best!


Monday, December 20, 2021

Gila Format - Lies

 Lagi antara yang berjaya di "gila format"kan...

Guns N' Roses - Lies (1988)

Paling diingati tentang "Lies" adalah zaman selepas peperiksaan SPM. Ada seorang rakan sekelas yang tak pernah tau pun dia adalah peminat rock sebelumnya. Orangnya lebih "nerd" dari saya...haha.. Memang jenis budak baik, mat study, berkacamata tebal dan pandai orangnya. Berbaju kemas dan tidak berseluar fit dan tidak juga berkasut hi-cut. Tak pernah ponteng, melepak atau bercampur dengan rakan-rakan pergi jamming. Tetapi kalau tengok sekarang, dialah satu-satunya rakan yang masih berambut panjang dan berpakaian rugged...haha..

Berbalik kepada cerita penghujung tahun 1988 atau awal 1989 tersebut. Beliau dengan tidak semena-mena datang ke rumah saya dengan membawa kaset GnR - Lies dan Anthrax - State of Euphoria untuk di dengar bersama. Bermula dari situ kami mula agak rapat dalam hal pinjam meminjam kaset dan saya baru tahu yang dia adalah seorang peminat rock dan peminat tegar Iron Maiden. Tidak lama kemudian, beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke PPP-ITM (A levels) dan saya ke Segamat menyebabkan kami akhirnya terputus hubungan bertahun lamanya.

Tetapi pada ketika itu kami bersetuju yang kami berdua lebih menyukai G Side 1986 kerana lagu-lagunya lebih rocking berbanding R Side 1988 yang lebih kepada akustik. Saya tidak ingat samada pernah membeli kasetnya. Tetapi beberapa tahun lepas ketika mengemas rumah di kampung, saya menjumpai kaset ini dengan tandatangan saya di inlaynya. 

Versi cd pula di beli ketika saya bekerja di Kuala Lumpur di antara tahun 1996 hingga 1998. Beli dimana pun dah tak ingat. Tetapi pastinya antara Tower Records KL Plaza ataupun Salem Power Station Ampang Points. 2 tempat yang paling banyak duit gaji hangus di situ.

Versi piring hitam pula pada awal tahun ini. Kirim beli dengan kenalan FB di Jepun melalui Eddie Jamal. Memang jahanam lah duit gaji bila ada kenalan seperti ini...hahaha... Apa-apa pun terimakasih kepada Eddie yang membelikannya untuk saya.


Friday, December 17, 2021

Search - The Polygram Years 1985-1988

 Akhirnya...


Lengkap sudah kesemua album Search ketika mereka di bawah label Polygram Records di"piring hitam"kan. 

Bagi mereka yang sebaya, majoritinya meletakkan zaman ini adalah zaman Search yang paling diminati. Mungkin ianya bukanlah yang terbaik tetapi ianya lebih kepada nilai nostalgia membeli dan mendengar kasetnya ketika zaman remaja. 

Kesemuanya juga ada dimiliki dalam bentuk cd dan kaset. Boleh dah kalau nak buat entri "gila format" bila rajin nanti 😁

Tuesday, December 14, 2021

The Power Of The Night

 Merujuk kepada entri tentang lp reissue Savatage >SINI<


Savatage - Power Of The Night (2021 - 180g Extensive Liner Notes Mastered for Vinyl)

Piring hitam yang ketiga dari siri lp reissue setiap album Savatage. Terbit pada 5hb November yang lalu. Ada 2 versi. Yang saya beli adalah versi biasa. Satu lagi versi adalah versi pop-up tangan penumbuk kat belah dalam sleeve dengan piringnya berwarna crystal clear. Tapi biasalah harganya pun pop-up juga...haha... Dapat versi biasa pun jadilah.


Ini adalah album penuh kedua Savatage yang diterbitkan pada tahun 1985. Ketika ini mereka masih sepenuhnya berkonsepkan heavy metal sebelum berubah kepada yang lebih progressif di kemudian harinya. Sebagai seorang peminat mereka, saya tidak mempunyai apa-apa masalah walau apa pun konsep album mereka. Criss Oliva seperti biasa tidak pernah menghampakan dengan kerja-kerja gitar hebat beliau. 

Tak sabar pula untuk reissue yang seterusnya (Fight For The Rock - 17hb Disember 2021)

Thursday, December 9, 2021

Torn Arteries

 Album terbitan 2021...

Carcass - Torn Arteries (2021)

Heartwork (1993) adalah album kegemaran. Ianya menjadi penanda aras untuk saya bagi album-album yang sama genre. Sayangnya Carcass sendiri tidak dapat mengulanginya. Tetapi sememangnya Carcass adalah sebuah band yang sentiasa berubah. Tetapi sejak penampilan semula mereka dengan Surgical Steel (2013), mereka seakannya kembali ke arah tersebut. Album terbaru mereka Torn Arteries mengesahkannya.

Setelah mencapai tahap sebuah band lagenda, tiada apa lagi yang perlu mereka buktikan. Torn Arteries adalah sebuah album yang bersahaja dari mereka. Tiada kelainan ketara dari album sebelumnya. Dengan usia mereka sekarang rasanya tidak perlu lagi untuk mereka terlalu mencuba sesuatu yang baru. Cukuplah sekadar menghasilkan sebuah album yang boleh mengembirakan majoriti peminat.

Bagi saya yang meminati era Melodic Death Metal mereka sememangnya Torn Arteries tidak menghampakan. Lagu seperti "The Devil Rides Out" dengan sekali pendengaran pun dah boleh hadam. Tetapi ada juga diantara lagunya yang kedengaran agak sama. Saya merasakan yang album ini agak kurang dari segi melodi. Tetapi secara keseluruhannya masih baik dan tidaklah terlalu jauh dari Surgical Steel.

Apa-apa pun, yang pentingnya, tabik kepada band2 lagenda seperti mereka. Tetap terus menghasilkan album baru. Terbaik!


Tuesday, December 7, 2021

Trouble

 Lagi layanan rawak sambil bekerja dari rumah...

Trouble - Trouble (1990)

Lama dah tahu pasal band ini tetapi tak ada hati nak dengar. Kurang masuk dengan band-band yang bergenre doom. Tetapi berita kematian penyanyinya, Eric Wagner pada bulan Ogos yang lalu membuatkan rasa tertarik untuk mencuba muzik mereka di Spotify.

Memilih untuk mendengar album no 4 ini adalah kerana dulu-dulunya selalu nampak gambar covernya di majalah. Ternyata ianya adalah satu keputusan yang betul. Sekali dengar pun dah rasa sedap. Ianya bukanlah sebuah album yang benar-benar doom. Ianya lebih kepada heavy metal. Hasil dari pencarian di google, ternyata album ini adalah titik perubahan dalam muzik mereka apabila bernaung di bawah label yang lebih besar (Def American kepunyaan Rick Rubin)

Tetapi pengaruh doom metal ala-ala Black Sabbath era 70an sememangnya masih menebal. Mendengar muzik mereka seolah-olah mendengar Judas Priest bermain ala-ala Black Sabbath terutamanya dari segi twin gitar solo mereka. Yang menarik ianya "catchy" dan "rocking" dan tidaklah terlalu "slow" hingga jadi mengantuk seperti kebanyakan band-band doom metal yang lain.

Walaupun terlambat (31 tahun dah...) tetapi ianya memang berbaloi untuk dimiliki. Rekomended!


Friday, December 3, 2021

The Privilege of Power

Antara cd yang baru berjaya dimiliki... Cd ini adalah cd jepun tanpa obi yang di beli dari rakan FB yang berada di Jepun.

Riot - The Privilege of Power (1990)

Agak lambat untuk "discover" zaman power/speed metal Riot. Kalau album Thundersteel pun baru dengar pada tahun 2000, apatah lagu yang ini. Tapi dulu-dulu memang biasa nampak kaset ini di kedai. Entah kenapa tidak pernah ada rasa untuk mencuba. Sibuk dengan thrash dan tiadanya rakan di sekeliling yang mendengar Riot mungkin adalah penyebab utama.

The Privilege of Power adalah kesinambungan dari Thundersteel. Era baru power/speed metal yang agak berbeza dari zaman awal sebelum Thundersteel. Tetapi ada lagu-lagunya yang mempunyai "horn section". Agak pelik juga bila kali pertama mendengarnya. Mungkin juga mereka terpengaruh dengan genre funk metal yang baru muncul pada ketika itu. Tetapi yang lebih pelik atau mungkin lebih tepat sangat menggangu adalah beberapa lagu yang mempunyai intro yang sangat panjang. Ada yang sampai 2 minit dan intro itu pula bukanlah muzik tetapi sampler orang bercakap. Sememangnya sangat menganggu.

Selain itu ada lagu-lagu yang agak pop seperti "Runaway" dan "Maryanne". Tetapi sebahagian yang lainnya sama seperti mendengar album Thundersteel. Agak kurang lah kalau hendak dibandingkan dengan Thundersteel (ikut selera pengemar power/speed metal seperti saya) tetapi secara keseluruhannya sebuah album yang agak enjoy juga kecuali untuk beberapa bahagian intro yang panjang tersebut.


Wednesday, December 1, 2021

Gila Format - Never, Neverland

 Salah satu album thrash kegemaran yang berjaya di"gila format"kan...

Annihilator - Never, Neverland (1990)

Bila dapat tahu yang Music On Vinyl akan mengeluarkan semula album ini dalam bentuk piring hitam pada 8hb Oktober yang lalu, ianya seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa berlengah terus pre-order. Ia sememangnya salah satu album idaman untuk dimiliki dalam bentuk piring hitam. (walaupun keluaran MOV ni jarang dah berwarna hitam)

Jika anda dah biasa membeli lp reissue dari MOV, pastinya anda tahu yang mereka jarang mengecewakan. Packaging pun kemas. Tiada apa masalah sound dari telinga dan sound system yang saya ada. Mungkin ianya akan menjadi masalah kepada jiran tetangga bila ianya diputarkan secara "full blast"...hahaha...

Versi kaset dibeli pada tahun ianya dikeluarkan. Tak ada pula dicatat bila tarikh beli. Tetapi ianya antara yang selalu diputarkan bersama-sama album sebaya seperti Rust In Peace, Seasons In The Abyss, Act III, Lights...Camera...Revolutions, Coma Of Souls, Souls Of Black, Persistence Of Time, Cause Of Death dan berderet-deret yang lainnya. Memang berpeluh lah kalau semuanya mahu digila formatkan.

Versi cd pula adalah versi remastered gold disc terbitan tahun 1998. Antara cd yang dibeli ketika hampir setiap minggu berkunjung ke Tower Records, KL Plaza pada tahun-tahun penghujung 90an. Memang syurga dunia lah Tower Records pada ketika itu. Nasiblah pada ketika itu penggunaan credit/debit card belum digunakan secara meluas...kalau tak...memang mati la...haha..


Sunday, November 28, 2021

OK Human

 Anak punya koleksi...

Weezer - OK Human (2021)

Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tak pernah ajar pun anak-anak tentang membeli muzik secara fizikal. Tetapi dah darah daging sendiri walaupun anak perempun, sedikit sebanyak hobi sebegini turun juga ke anak. Bising lah orang rumah bila duit dihabiskan dengan cara begini...haha...

Ini adalah kali pertama anak sulong membeli piring hitam. Biasanya hanya cd. Tak pernah tau pula dia dengar Weezer. Kebiasannya hanya K-Pop. Setahunya kalau rock mungkin My Chemical Romance, Panic! At The Disco dan Ghost. Paling rajin membeli adalah anak yang no 2. Tiap-tiap bulan hingga dah tak muat dah rak yang diperuntukan untuk cd-cd K-Pop mereka. 

Jujurnya saya tak tahu sangat tentang Weezer. Mungkin "Buddy Holly" dan cover A-Ha, "Take On Me". Lainnya memang tak pasti. Cuba juga dengar tetapi rasanya tak kena dengan jiwa. Khabarnya mereka juga ada buat satu album tribute untuk era glam/hair metal. Mungkin patut cuba yang itu. Mana tau boleh berminat.


Thursday, November 25, 2021

BBC Radio 1 Live in Concert

Layanan rawak bekerja dari rumah...tak pasti bila nak kena masuk ofis ni... 

UFO - BBC Radio 1 Live in Concert (1992 - copyright 1974/1980)

Cd hadiah dari Deaf. Di beli ketika beliau mengunjungi kota London sebelum zaman Covid yang lalu. Beliau tahu yang saya adalah pengemar UFO. Terimakasih atas ingatannya Deaf. Nak balas balik entah bila agaknya boleh sampai kota London... 😁.

Ini adalah antara cd yang patut dimiliki oleh pengemar tegar UFO. Yang menarik tentang cd ini adalah kerana ia mengandungi rakaman dari 2 era UFO yang berbeza. Era Paul Chapman pada track 1-8 (Hammersmith Odeon - 04/02/1980 dan era Michael Schenker pada track 9 - 12 (Hippodrome at Golders Green - 06/06/1974).

Walaupun begitu, Paul Chapman sebenarnya terlibat dengan kedua-dua persembahan live tersebut. Beliau adalah gitaris jemputan ketika persembahan di tahun 1974 tersebut. Beliau sememangnya pernah beberapa kali menjadi gitaris jemputan untuk persembahan live sebelum secara rasminya menggantikan Michael Schenker pada tahun 1980. 

Yang menariknya, beliau bukan sekadar di posisi rhythm gitar. Tetapi beliau juga melakukan solo. Makanya untuk track 9-11, kita boleh dengar twin gitar solo dari Michael Schenker di kiri speaker dan Paul Chapman di kanan speaker (kena dengar menggunakan ear/head phone untuk kesan yang lebih). Mendengar rakaman live sebegini membuatkan kita rasa lebih menghargai kerja gitar Paul Chapman.

Posisi lainnya tidak banyak beza. Kedua-duanya adalah Phil Mogg (vokal), Pete Way (bass) dan Andy Parker (drums). Cuma untuk rakaman tahun 1980, Paul Raymond digunakan sebagai rhythm gitar dan keyboards.


Tuesday, November 23, 2021

Tuk Tak

Bahan bacaan terkini di pasaran...

Tuk Tak - Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Drum dam Proses Bikin Lagu

Asalnya tak berapa teruja untuk beli. Maklumlah saya ni Mat Rock. Dan dari apa yang saya tahu Zahid Ahmad bukanlah seorang pemain drum yang rock dan metal. Bak kata beliau sediri dalam buku ini "Wa ni Rockers dari Jb la!" (ms.48). Tapi bila mengenangkan tak banyak buku-buku biography pemuzik tempatan dan beliau adalah adik kepada Yazid Search, tanpa berpikir panjang terus membuat pre-order.

Ternyata saya salah. Zahid asalnya seperti kebanyakan anak muda tahun 80an JB juga adalah seorang rocker. Bezanya selera muzik beliau berkembang manakala orang seperti saya tidak. Saya hanya mengambil masa kurang dari 4 jam dengan sedikit gangguan untuk menghabiskan bukunya. Bila mula membaca memang rasa tak nak berhenti. Gaya penceritaan beliau yang bersahaja tetapi padat menyebabkan saya tidak sabar untuk menghabiskannya.

Walaupun ada beberapa bab yang agak teknikal yang saya kurang paham, maklumlah saya bukannya pemuzik. Dan cerita-cerita tentang artis-artis dan lagu-lagu bukan rock seperti Sheila Majid dan Zainal Abidin yang saya kurang tahu dengan lagu-lagunya (sekali lagi memetik kata-kata beliau - "lagipun, aku kan Mat Rock Johor Bahru" (ms.116). Tetapi dengan gaya penulisan beliau menyebabkan saya teruja pula untuk mengambil tahu.

Tahniah untuk Zahid Ahmad dan Bukuku Press. Semoga akan ada lagi pemuzik yang mengikut jejak langkah beliau untuk menulis. Kita sememangnya kekurangan bahan bacaan sebegini. Sayang kalau segala sejarah tentang muzik kita tidak didokumentasikan.

Rekomended!


Monday, November 22, 2021

Sudah Sampai Sini - Tanjung Balau

 Antara lokasi jalan-jalan selepas PKP...

Untuk yang tak tahu, Pantai Tanjung Balau lokasinya adalah berdekatan dengan Desaru. Dulu-dulu sebelum ianya dimajukan memang seronok kalau kesini. Seronoknya kerana tak ramai orang. Tapi sejak dah ada pelbagai resort dan chalet, sama sesak dah dengan pantai Desaru. 


Tetapi apa yang menariknya bila PKP dan tempat-tempat sebegini di tutup dalam tempoh yang lama, air pantainya jadi jernih. Memang boleh nampak batu-batu dan ikan di dalam air. Tak ada orang bermakna tak ada pencemaran. Harapnya dapat lah bertahan lama...


Tak banyak ambik gambar, sekadar singgah sekejap. Namanya pun jalan-jalan bukannya bermalam. Lagipun sejak-sejak habis PKP ni mana-mana tempat peranginan kalau tak di tempah awal terutamanya bila hari minggu memang pastinya tak akan dapat tempat.



Saturday, November 20, 2021

Espirit De Corps

Cd reissue terkini...

Crossfire - Espirit De Corps (1994) - reissue 2021

Tak pernah dengar ni. Nasiblah ada versi reissue. Tapi memang tau lah kewujudannya. Dulu setiap kali ke rumah bapa saudara di Kota Tinggi, pastinya akan nampak kaset ini di rak kaset di rumahnya. Ianya kepunyaan sepupu. Tetapi tak pernah pula tergerak hati untuk pinjam atau mendengarnya setiap kali berkunjung kesana.

Baru tahu juga yang vokalis untuk album ini bukannya vokalis asal, Aim tetapi Asri. Hebat juga vokalnya. Tetapi beliau terlalu banyak menggunakan suara falsetto menjerit yang kadang-kadang rasa agak menganggu juga di telinga saya.

Dari segi lagu-lagu berat, memang ada beberapa lagu ("Puteri Duyung" contohnya) yang berbunyi seakan-akan speed metal ala-ala Judas Priest atau Riot. Lagu instrumental "Espirit De Corps" pula seolah-olah versi neo classical speed metal melayu yang cenderung kepada Malmsteen. Tetapi tidaklah semuanya lagu berat. "Nepotisme" adalah sebuah lagu mid-tempo ala-ala band US power metal 80an manakala "Kamikaze" pula ada bauan Guns N Roses. "Resah" pula sekadar sebuah lagu filler. Dan ada juga 3 lagu cari makan (balada).

Dikatakan yang lagu "Pelangi Jingga" adalah sebuah lagu yang agak popular pada ketika itu. Sering dimainkan di radio. Malangnya saya tidak pernah tahu. Nampak sangat tak dengar radio.😁. Tetapi selepas 2,3 kali pendengaran memang sedap lah lagunya. Memang patut jika ianya popular.

Apa-apa pun ini sememangnya patut dipuji. Tabik untuk 2 gitarisnya, Yus dan Burn kerana menghasilkan rif-rif dan twin gitar solo yang bagus-bagus malah beliau berdua adalah penerbit dan pencipta hampir kesemua lagu-lagu didalam album ini. Respek!

"Puteri Duyung", "Prejudis", "Nepotisme", "Espirit De Corps" dan "Andrew" adalah 5 lagu speed metal atau US power metal acuan melayu yang rasanya cukup berbaloi untuk cd ini dimiliki. Ok la..."Pelanggi Jingga" pun ok...


Tuesday, November 16, 2021

Bark At The Moon

Sempena ulang tahun yang ke 38 pada 15hb November yang lalu...

Ozzy Osbourne - Bark At The Moon (1983)

Kali pertama mendengar lagu dari album ini adalah lagu "So Tired" dari kaset kompilasi lagu-lagu pop kepunyaan abang. Pernah diceritakan dalam penulisan saya dari tahun 2013 di >SINI<.

Makanya tak perlulah diceritakan secara mendalam tentang pendapat saya terhadap album ini. Penulisan kali ini lebih kepada nak memberitahu yang album ini telah pun berjaya saya piring hitamkan. Sayangnya saya tidak pernah mempunyainya dalam bentuk kaset. Tak bolehlah nak masuk entri Gila Format.

Selain dari mengada-ngada cari penyakit nak kumpul versi piring hitam, tujuan asal beli adalah kerana kurang berpuashati dengan gambar cover kecil versi re-master cd yang saya miliki. Pernah bercadang nak membeli versi cd dengan gambar cover penuh tetapi agak susah juga nak jumpa dengan harga mampu milik. Tetapi apabila terjumpa versi piring hitam yang masih berkeadaan elok di Discogs dengan harga dibawah RM100 rasanya ianya lebih berbaloi dimilik berbanding versi cd.

Saya sering mempunyai "nilai sentimental" terhadap Jack E. Lee. Walaupun diakui yang Randy Rhoads adalah gitaris terbaik yang pernah Ozzy miliki. Tetapi zaman remaja saya adalah zaman Jake E. Lee sebagai "poster boy". Mana mungkin saya tidak mengidolakan beliau sebagai gitar hero saya. Solo beliau dalam "So Tired" adalah salah satu contoh solo yang penuh jiwa...



Sunday, November 14, 2021

Tightrope

Hiburan rawak sambil bekerja dari rumah...Bloodshed versi Jepun!...

Anthem – Tightrope (1986)

Antara yang baru dimiliki. Terjebak pula dengan Discogs. Ni sama penyakitnya seperti ebay...aduhai...

Tak pernah dengar pun Anthem zaman budak-budak dulu. Kalau cerita tentang band heavy metal dari Jepun sudah semestinya Loudness dan Earthshaker. Ada juga tahu pasal Bow Wow / Vow Wow dan EZO. Tapi Anthem memang langsung tak tahu. Mungkin pernah terbaca nama tetapi sememangnya tiada memori tentangnya.

Bila masuk zaman internet dan membaca blog "Deaf" baru perasan tentang Anthem. Ketika itu baru tahu yang lagu "Peristiwa" dari album "Ilusi Sebuah Mimpi - Bloodshed" di ambil dari lagu Anthem, "Death to Death". Lama juga mencari siapa penyanyi asalnya kerana ianya dicatatkan sebagai "Copyright Controlled". Bermakna ianya adalah lagu cover. 

Ketika itu juga baru perasan yang sebuah lagi lagu dari album tersebut (Jangan Terpedaya) juga mempunyai persamaan dengan lagu Anthem yang bertajuk "Finger's On The Trigger". Mungkin kerana ianya tidak ditiru bulat-bulat, maka ianya tidak digolongkan sebagai lagu cover dan di kreditkan kepada Bloodshed. Zaman tersebut perkara ciplak seperti ini memang satu kebiasaan. 

Membeli piring hitam ini (selain dari harganya yang murah termasuk pos dalam RM80++) adalah semata-mata kerana 2 lagu tersebut. Tetapi ternyata lagu-lagu lainnya pun sedap. Ini yang payahnya bila kita mula terjebak dengan sesuatu yang baru. Tak pasal-pasal nanti akan "ter"cari album-album yang lainnya pula.


Thursday, November 11, 2021

Rock Kapak - Ipoh Music Symposium

 Antara yang terkini dalam pasaran buku...


Jarang nak jumpa buku pasal rock dalam bahasa melayu. Orang kita memang memang amat jarang nak buat buku biography apatah lagi buku tentang muzik. Mungkin kita sendiri yang kurang menghargai sejarah muzik menyebabkan penerbit buku tidak berminat untuk menerbitkan buku berkisar muzik dan biography pemuzik.


Sekali sekala terjumpa bahan bacaan macam ini memang tak akan dilepaskan peluang. Belum sempat baca pun lagi. Berderet sebenarnya buku yang tengah tunggu giliran untuk dibaca. Netflix dan yang seangkatan dengannya memang menyebabkan hampir kesuntukan masa lapang untuk membuat perkara lain.


Kongsi sedikit tajuk-tajuk yang boleh kita baca dalam buku ini. Ianya adalah himpunan pendapat, kajian, pemerhatian dan pengalaman beberapa orang individu yang dipilih untuk dibentangkan di dalam majlis Ipoh Music Symposium 2020 yang bertemakan "Rock Kapak".


Kongsi sekeping gambar. Kalau nak tengok yang lain kena lah beli bukunya. Tetapi bersesuian dengan penerbit dan penganjurnya iaitu Arkib Muzik Perak (AMP), sudah semestinya majoriti gambar adalah band rock kebangaan dari Perak iaitu SYJ.

Tabik kepada AMP yang berjaya mendokumentasikan bahan-bahan sejarah musik terutamanya dari Perak. Sepatutnya negeri-negeri lain juga kena mengikuti jejak langkah mereka sebagai contoh.