Showing posts with label Belantara. Show all posts
Showing posts with label Belantara. Show all posts

Wednesday, January 10, 2024

Belantara Showcase 2.0

Bukan nak cerita pasal showcase nya. Tak dapat hadir pun. Ada hal yang tak boleh dielakkan. Tapi nak cerita tentang cenderahati dari showcase tersebut.

Nak kata rugi tak pergi… memang la rugi…. Tak nak buat macamana…bukan rezeki…

Bila tak dapat pergi, dapat cenderahati untuk kenangan macam ini pun jadilah. Buku lirik dan lanyard sempena showcase. Tabik buat YB Amir dan team. Tak banyak atau mungkin hampir tak ada band di Malaysia yang buat buku lirik untuk show sebagai kenangan.


Beli juga sehelai tshirt. Tetapi bukannya tshirt official showcase….


Tetapi thsirt official crew… Kasi lengkap showcase 1 (20/02/2020) dan 2 (07/12/2023) 😁

Terima kasih sekali lagi untuk my bro, Amir atas cenderahati dan tandatangan setiap anggota band.
 

"Insan berakal..hormatilah memasuki naungannya"



Saturday, November 14, 2020

Best of Belantara

 Mengimbau kenangan...


Belantara - Best of (2001)

Nak cerita sedikit sejarah pasal cd ni. Dulunya ketika cd ini diterbitkan pada tahun 2001, agak susah juga nak carinya di kedai. Merata kedai cd seluruh Johor Bahru di cari tapi tak jumpa. Entahlah, mungkin nama Belantara agak kurang dikenali. Kedai cd pun tak berani nak ambil stock.

Masa tu bila ternampak iklan di surat khabar yang Universal Music akan mengeluarkan 15 siri cd best of, dan salah satu adalah best of Belantara memang rasa sangat teruja. Maklumlah ini kali pertama album Belantara di"cd"kan. Tapi itulah.. puas ulang alik kedai cd tapi tak jumpa. Yang selalu jumpa hanyalah Best of Search, M Nasir, Kembara, Alleycats dan Headwind. Cari juga Desire, tapi tak jumpa juga. Ada lah satu kedai tu yang kat tingkat 1 Angsana (dah tutup kedai ni) ada jual siri koleksi ni dengan banyak tajuk. Tapi tetap tak ada Belantara. Yang ada hanya Junction. Beli lah juga. Junction pun tak pernah jumpa dalam betuk cd pada ketika itu. Tapi Belantara... Desire tetap tak ada..

Akhirnya minta tolong yang jaga kedai tu tanya supplier. Dia telepon supplier pun memang tak ada stock. Kalau nak juga kena booking dari KL, seminggu baru dapat. Dan akhirnya selepas seminggu, berjaya juga cd ini dimilik. Tapi disebabkan teruja nak cd Belantara, lupa pula nak tanya cd Desire. Akhirnya sampai kesudah tak pernah ada cd Best of Desire...hahaha...


Tapi tak lah rasa suka sangat dengan track list nya. Majoritinya lagu slow. Paling hampa tak ada lagu "Dewi". Entah siapa lah yang tukang pilih track list. Pastinya dia bukanlah peminat Belantara. Tapi itulah... bak kata orang, tak ada rotan,  akar pun berguna juga...

Satu yang bagusnya tentang cd ini, walaupun beberapa tahun lepas akhirnya kesemua album Belantara berjaya di"cd"kan. Tetapi ternyata cd best of inilah yang paling bagus soundnya. Kerana inilah satu-satunya yang sumbernya dari yang asal bukannya dari piring hitam... tapi tu lah... kenapa tak ada lagu "Dewi"??????????....




Saturday, April 11, 2020

Sudah Sampai Sini - Stadium Sultan Ibrahim, JDT

Bagi peminat bolasepak tempoh menghadapi wabak Covid 19 ini memang sangat menghampakan. Tiada lagi perlawanan bolasepak baik di tv mahupun di stadium. Hujung minggu yang agak membosankan.


Khas untuk kawan-kawan peminat bola, kongsi sikit gambar-gambar ketika menghadiri perlawanan terakhir JDT di stadium baru yang ada penonton sebelum semua perlawanan di tangguhkan.


Inilah adalah ketika perlawanan JDT menentang UITM FC pada 7hb Mac yang lalu. Lama juga tak menonton secara langsung di stadium. Lama dah tak jejak Larkin. Ini pula kali pertama menjejakkan kaki ke stadium baru.


Memang saja pilih perlawanan ni. Kurang sikit orang berbanding masa hari pembukaan dan perlawanan Piala Sumbangsih. Selesa la sikit kan. Pergi pun guna google map. Tak biasa sangat kawasan Nusajaya ni. Terasa jauh. Dulu masa kat Larkin tak sampai 15 minit pun dah sampai.


Bertolak awal. Pukul 6 dah sampai. Kawasan parking pun masih kosong. Inilah untungnya pergi masa perlawanan yang bukan menjadi tumpuan. Tak macam kat Larkin kena pandai-pandai sendiri cari tempat parking. (tapi untuk yang dah biasa tahulah kat mana yang parking senang). Kat sini memang parking dalam kawasan stadium.

Cuma lecehnya masa nak balik. Jam masa nak keluar. Lebih setengah jam kot sangkut. Bayangkan kalau perlawanan tumpuan. Lagi teruk kot. Cuma ada 2 jalan keluar. Paham sahajalah jika ada beratus kereta yang nak keluar serentak. Patut kena ada banyak pilihan jalan keluar. Lebih mudah masa di Larkin. Walaupun sesak juga, tapi kita ada banyak pilihan jalan untuk keluar.

Tapi yang tak boleh dinafikan memang cantik stadiumnya. Nampak gah. Memang kagum lah walaupun baru tengok dari luar.


Kawasan depan kat air pancut tu adalah siap karnival live band bagai. Ada juga food truck jual makanan. Sempat juga la merasa makan kat situ.


Dalam stadium memang kagum. Terasa macam tengok bola kat luar negara. Lampu-lampu dia memang lawa. Kerusi pun bernombor. Tiadalah kes yang nak chop tempat duduk ataupun terpaksa duduk kat tangga. Datang lambat pun tiada hal. Memang kerusi kita dah ada.

Kerusi pun selesa. Setuju dengan pihak pengurusan tak bagi bawa masuk makanan walaupun sebotol air ke kawasan tempat duduk. Barulah bersih dan bebas dari sampah kulit kuaci. Nak minum boleh jer keluar dari kawasan tempat duduk untuk beli. Tak perlu keluar stadium pun. Dekat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Atau pun beli siap-siap sebelum masuk, tinggalkan kat kawasan tu. Itupun kalau tak ada orang cilok lah nanti..huhu...


Nak sembahyang pun senang. Tak perlulah macam Larkin siap ada yang kena keluar dari Stadium. Kat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Dekat. Cuma sesaklah. Tak sesuai kawasan ambik air sembahyang terlalu hampir di pintu masuk. Jadi jam kat situ mana yang nak keluar dengan mana yang nak beratur ambik air sembahyang. (lupa pula nak ambik gambar surau)

Satu lagi yang best, stadium ini dibuat khas untuk bolasepak. Macam stadium bola di luar negara. Pemandangan jadi dekat. Tak ada la track lumba lari tu semua. Memang lebih rapat dengan padang. Macam kat Pasir Gudang juga la.  Tapi yang itu lagi dekat. Nak maki reff/pemain memang jelas la dorang boleh dengar...hahaha...


Last..."Belantara" di stadium. Masih tak boleh move on dengan showcase Belantara 200220....tak sabar nak tunggu dvdnya...




Wednesday, March 18, 2020

Perintah Berkurung

Untung lah kepada yang dapat cuti atau berkerja dari rumah sepanjang 2 minggu tempoh kawalan pergerakan ni. Bagi yang terpaksa berkerja demi kelangsungan ekonomi dan keselamatan negara, kita adalah serupa 😢


Dah siap-siap dah kononnya nak buat aktiviti menyusun cd mengikut abjad kalau-kalau dapat cuti...hahaha...Tapi apa kan daya... tanggungjawap demi mencari sesuap nasi harus diteruskan....

Untuk yang dapat duduk rumah tu...tak payah lah keluar. Duduk sahaja lah kat rumah. Janganlah menyusahkan dan membahayakan kami yang kena keluar berkerja ni. Astro pun dah bagi saluran movie purcuma. Layan sahajalah drama korea tu sampai termuntah...hahaha...


Hari pertama kawalan pergerakan. Jalan yang biasanya antara palik sesak di Johor Bahru sampaikan nak melintas pun payah. Petang ni jadi lengang... macam cerita zombie la pulak....


Seronok betul memandu balik kerja hari ni. Bukan senang nak jumpa Jalan Tebrau langsung tak jem. Kalaulah hari-hari biasa pun keadaannya macam ni...


Sambil - sambil tu jom layan lagu Perintah Berkurung dari Belantara. Lagu yang masih relevan walaupun dah 30++ tahun usianya... Hmmmm... masih tak boleh move on dari penangan 20022020...



Thursday, March 12, 2020

Belantara live @ DPAC - 20022020

Lama dah terperap. Kekekangan masa dan idea... Kalau Covid-19 kena kuarantin 2 minggu...Yang ini dah masuk 3 minggu dah...haha...

Ok la... jom mula merepek sambil layan gambar yang tak seberapa...(buat entri pasal band lain tak kisah sangat...mereka bukannya baca... tapi kalau Belantara ni...hmmmm...pressure dan segan pula jadinya 😃..)


Kalau tak kerana penantian 33 tahun, tak larat dah rasanya nak memandu balik hari JB -KL semata-mata kerana nak pergi tengok konsert. Bukannya makin muda. Tapi, Belantara punya pasal...sampai rumah pukul 4 pagi pun tak ada hal...😁

Tidak seperti Megadeth atau pun Helloween, perjalanan kali ini dengan co-driver yang baru. Sahabat yang biasa jadi peneman tak dapat pergi. Kali ini ditemani oleh Dr Rizal. Antara collector cd tersohor. Peminat Aceh Search pun mesti kenal dia kan? (kah kah kah). Tapi seriously, peminat seni muzik Malaysia patut berterimakasih kepada beliau. Dia adalah individu yang paling aktif dalam mengemaskini info album-album tempatan dalam Discogs. Terimakasih Doc.


Bertolak dalam pukul 11 pagi dari JB. Singgah Sham Alam untuk temu janji makan tengahari dengan orang kuat Jo Wings, Zan Bassist. (Terimakasih untuk makan tengahari). Selepas 2,3 kali juga tersalah dan terlajak simpang walaupun menggunakan Waze dan Google Map, akhirnya sampai juga di tempat kejadian (DPAC Empire Damansara) sekitar 5 petang. Nak elak jem tapi awal sangat sampai. Masih tak ramai. Sempat la jumpa Amir dan Sofi sambil tengok merchadise yang di jual.


3 helai tshirt dari hari tersebut. Sebenarnya yang gambar logo tu dah dapat awal dari Abang Shuk. Yang cover merah tu ambil di tempat kejadian. (Masa ni tak kenal lagi yang mana satu Tuan Badlishah). Dan yang tulisan Belantara tu dapat secara percuma 😊 ..Ada lagi satu design gambar band member...yang itu tak beli.


Selain 3 design t-shirt dan topi, ada juga jual tag, lanyard, poster dan buku lirik untuk dijadikan kenangan. Disebabkan masih awal, kami meninggalkan lokasi kejadian untuk seisi mengeteh.

Terimakasih sahabat baru, Azizi untuk teman minum petang. Selalu komen dalam blog, baru kali ni berpeluang untuk bertentang mata. Handsome rupa orangnya. Dan juga untuk Laili Basir, berkenalan di meja makan hingga membawa ke bilik hotel...haha...(terimakasih bagi kami bertiga tumpang solat dan kongsi pengalaman menarik)


Datang semula ke tempat kejadian dalam pukul 8.30. Dah ramai dah. Yang menariknya tentang showcase ini, selain nak tengok hero-hero Belantara beraksi, dapat juga berjumpa dengan kawan-kawan lama. Dah macam reunion pun yer juga. 20++ tahun dah tak jumpa Nizam Belantan. 9 tahun dah selepas Iron Maiden Singapore dapat jumpa balik Hafiz (rakan dari zaman Forum Metal Terus). Jumpa juga d'Atok Akeem (orang kuat untuk cd/lp reissue) Ada juga muka-muka yang biasa tengok kat FB dan group Whatsapps.  Tapi malu lah nak tegur. Jumpa juga Uneh. Yang ini kena tegur. Siap bergambar lagi. Ketua Perusuh la kan...hahaha...


Ok cukup cerita jejak kasih. Kita nak cerita pasal Belantara. DPAC ni memang tak besar. 200 tempat duduk. Just nice untuk showcase berskala kecil. Memang rapat dengan stage. Tambah pula bila dapat seat paling depan. (Terimakasih YB Amir, minta seat belah JP, betul-betul depan JP dia bagi...ternganga tengok JP menyolo depan mata...best!).


Tiket malam pertama ni sold out. Maknanya kesemua 200 tempat duduk penuh. Kalau perhati keliling memang boleh dikatakan hampir 90 peratus adalah mereka yang nampak macam tua di luar tetapi sebenarnya masih tetap muda di dalam...hahaha... Alaa...berapa kerat la yang umurnya bawah 40an tahu atau pernah dengar lagu Belantara?... Tapi iyer juga... mungkin anak kita tahu...anak-anak saya memang tahu...tapi mereka lebih tahu Kpop dari Belantara...sedih 😞


Maaf, Tak banyak gambar. Tak ambil video juga. Malam ni niatnya memang nak simpan handphone. Belantara bukan datang tiap-tiap tahun. Datang memang semata-mata nak menikmati persembahan. Tak kisah la kalau ada yang terkucil dan tak sampai. Apa ada hal. Malam ini adalah malam meraikan kemunculan semula Belantara. Kembalinya mereka ke atas pentas selepas 30 tahun itu pun dah cukup bagus...cukup mengujakan...


Kalau tengok setlist memang tak puas la. Mana cukup 13 !!!!! Kami mahu 30!!!!... Mana lagu "Daya Tarikan"??? mana "Menari Di Dalam Hujan"? mana "Nostalgy"? mana "Pelangi dan Nafiri"?, mana "Destinasi Infiniti"? mana... mana...ikut hati memang nak taip semua lagu...😁😁😁

Tapi jujurnya kami faham. Belantara bukan pemuzik sepenuh masa dan bukan juga semakin muda 😁 6 lagu dari album Merah, 4 dari Kuning dan 3 dari Biru memang lebih dari boleh dah...alaa...dapat tengok dorang bertiga berdiri atas stage bersama-sama pun dah cukup mengujakan dah...

*sedikit penambahan dari setlist, lagu "Dewi" dimainkan sekali lagi selepas encore utuk lagu terakhir. Tapi malam kedua tak pasti pula adakah "Dewi" juga dimainkan 2 kali...


Bila dengar intro lagu Belantara berkumandang, memang rasa macam mimpi. Teringat 33 tahun dulu bagaimana kali pertama mendengarnya. Kini boleh pula tengok depan mata. Siapa sangka kan?... Dari seorang remaja berumur16 tahun hingga dah nak boleh keluar akaun 2 KWSP tahun depan ... akhirnya dapat juga tengok mereka beraksi di depan mata...😁


Tak kisah pun jika ada kekurangan. Kami menyanyi bersama-sama. Ini bukan pertandingan Juara Lagu yang mencari kesempurnaa. Ini adalah malam rock and roll. Tak kisah apa pun jawatan...apa pun latar belakang...malam ini majoriti daripada kami bersatu hati berseragam hitam untuk meraikan memori silam. Lagu-lagu yang menjadi soundtrack kehidupan kami dari zaman remaja. Terimakasih Belantara kerana 20022020 benar-benar menjadikan kami remaja semula. Tak kisah lah walaupun ianya hanya untuk satu malam.


Tiada apa yang nak di komplen sangat. Sound sistem pun sedap. Tak bingit walaupun duduk tepi.(Khabarnya di bawah kendalian Mus Satira). Tempat yang tak berapa besar dan suasana indoor memang banyak membantu. Mengingatkan saya kepada konsert Helloween. Paling best dapat dengar jelas solo-solo JP. Memang puas hati.

Stage simple tapi cantik. Back drop logo tu memang lawa. Lampu warna warni pun cantik. Kecuali ketika tragidi solo tak nampak pasal gelap pakai spek hitam (kah kah kah...Ampun Atok...err...Abang JP 😁😁😁)...


Tapi memang nampak Zaid sedikit nervous. Biasalah bukan selalu berdiri atas stage. Nasib tag line "Do you want to say something Shuk?" menjadi penyelamat....hahaha... Tapi jujurnya, Belantara masih hebat. Tak sangka vokal pun masih power. Tapi siapa sangka JP yang dah bertahun tak bermain gitar secara serius, masih dapat menghasilkan sound, rif dan solo-solo yang sebiji macam dalam album. Bayangkan lah kalau beliau berlatih hari-hari.... perghhhhhh....


Tak ada nak komplen pun pasal persembahan. Kalau ada komplen pun cuma pasal MC yang rasanya tak kena tema. Bukan salah ko dik...cumanya maybe wrong place at the wrong time.. Satu lagi bab security. Apa yang korang nak beriya-iya sangat. Ia sepatutnya sebuah showcase dan meet and greet yang santai. Semua dah tua-tua dik... kalau nak merusuh pun kang ada yang nanti kena gout 😁😁😁

Undilah saya sebagai YB!
Nasib tak pergi malam kedua... tak tergamak nak dengar YB Amir menyanyi...hahaha....

Rilek bro... Jangan merush dulu... 
The one and only Uneh. Tiada siapa yang lebih Belantara dari beliau. Patut bagi dia jadi MC.


Haaa... yang ni boleh kerek sikit. Kabarnya ada 10 helai sahaja yang di cetak. Boleh masuk frame dah tshirt ni. Sayangnya tak ada sign. Terimakasih YB Amir. Tak sia-sia kena paksa bergambar berposing ala-ala Kris Kross 29 tahun yang lalu...kah kah kah...


Ni memang gaya idola. Love u JP (orang sekampung....kena lah bodek lebih 😁😁😁). Terimakasih Belantara atas kenangan malam 20022020 yang memang susah nak move on. Terimakasih juga kepada Zul Basir, Samsul Cairel dan Umar yang melengkapkan malam tersebut. Sayangnya kalau lah Bro Benson juga dapat bersama. Teringin nak tengok twin gitar solo JP/Benson ala-ala Murray/Smith atau KK/Tipton mahupun Wilton/DeGarmo.

Tak lupa juga Bro Nen dan Shidi....harapnya masa akan datang bolehlah panggil dorang jamming sekali.

Hari tu kalaulah jarak JB ke KL tu satu setangah jam perjalanan....konpem dah sampai dah untuk malam kedua 😁


Last...bersama Bro Syuk. Anggota Belantara yang paling cool dan handsome 😂. Malam tu bass meletup-letup....terimakasih pasal sudi bergambar dan juga menurunkan tandatangan di atas cover piring hitam walaupun security dah tak bagi dah....sayangnya siapa la yang ambil gambar ni sampai blur muka tu....kah kah kah...

Tak tahu nak tulis apa lagi dah. Maaf kalau ada yang terlupa. Semua pun best...semua pun puas hati...termasuk la croissant masa refreshment tu. Tak sangka pula ada makan-makan. Terasa macam pergi kursus la pulak...haha...

Apa-apa pun harapnya perancangan untuk keluarkan cd/dvd malam bersejarah ini akan berhasil...Pasti beli!

Puas hati walaupun sampai rumah pukul 4 pagi!






Wednesday, February 19, 2020

Countdown 20022020... counting...

Selalu kena tanya "Apa yang bestnya Belantara... Aku dengar macam lagu rock biasa ajer"



Untuk menjawap persoalan ini sebenarnya anda kena berada pada tahun 1987 ketika album pertama mereka diterbitkan, Ketika itu muzik rock di Malaysia baru bermula (Tolak Sweet Charity dan seangkatan dengannya yang lebih kepada rock 70an). Berapa banyak album rock melayu yang ada pada ketika itu?

Lima? Sepuluh?... seingatnya cuma Search, Band-band dari Battle Of The Band, Band-band dari Juara Juara Rock, Rusty Blade, Lovehunters, Clash Of The Band… siapa lagi?...itu sahaja kot.. tak ingat sangat dah…tapi memang tak banyak lah. Yang pastinya Belantara adalah yang terawal. Mereka dah ada sebelum muzik rock melayu benar-benar meletup pada tahun 1988 atau 1989.

Yang uniknya muzik mereka agak lain dari muzik rock melayu yang ada pada ketika itu. Mereka adalah rock atau heavy metal 80an yang progressif. Tapi iya lah. Bila anda mendengarnya sekarang memang lah bukan sesuatu benda yang baru. Ini cerita 33 tahun yang lalu. Sekarang muzik yang progressif sebegini banyak dah. Perasaan mendengarnya di tahun 1987 tak akan sama dengan mendengar pada tahun 2020.

Memang dah terlambat. "Feel"nya dah lain.  Tetapi kalau ada sesiapa yang lahir selepas album ini diterbitkan, mendengarnya sekarang dan jadi minat….memang tabik la. Salut!



Band dah ready...stage pun dah ready...jumpa anda di sana......


Saturday, February 15, 2020

Countdown 20022020 : Gila Format - Infiniti

Kebetulan baru beberapa hari lepas cerita pasal album "Infiniti", tiba-tiba ada pula rakan lama nak jual versi kasetnya. Hmmmm...rezeki jangan di tolak...




Sempurna dah 3 format....kalaulah ada rezeki untuk 2 album yang awal pula....


Wednesday, February 5, 2020

Countdown 20022020 - Extended

Berita baik untuk yang terlepas kejadian 20022020... Dah tambah lagi satu malam...







Sunday, February 2, 2020

Countdown 20022020 : Infiniti

Sempena showcase 20/02/2020...


Belantara - Infiniti (1990)

Jujurnya ketika ianya dikeluarkan dulu, saya sekadar mendengarnya sambil lalu. Maklumlah,ketika itu (tahun 1990) muzik rock yang lebih ekstrim mula membanjiri pasaran di kedai-kedai kaset di seluruh Malaysia. Slayer, Sepultura, Morbid Angel (sekadar menyebut beberapa nama) mula membuka minda saya kepada muzik rock yang lebih ekstrim. Jiwa remaja yang mahukan yang laju, yang berat menyebabkab saya beralih kepada muzik yang sebegitu.

Lagu-lagu leleh dari album Infiniti seperti "Airmata" dan "Pelita Ketenangan" mungkin antara penyebab yang sedikit menjauhkan saya daripada Belantara. Sebenarnya bukan Belantara sahaja. Hampir kesemua muzik rock melayu pada ketika itu saya tinggalkan. "True" lah konon-kononnya...haha...


Dalam 3 album Belantara, Infiniti adalah yang paling kurang saya dengar. Tetapi selama beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya semenjak ujudnya group Whatsapp Belantara, perasaan teruja untuk betul-betul mendengarnya semula semakin membara.  Akhirnya...selepas 31 tahun, ulang ulang dengar sambil-sambil menolong orang rumah lipat baju (biasalah rock orang tua lama) 😁 ... saya rasakan Infiniti memang best. Sayangnya, saya telah kehilangan versi kaset yang asal. Terlampau "true" untuk menghargai kasetnya suatu waktu dulu...😢

Tidak boleh disangkal lagi di antara keistimewaan Belantara adalah kerana melodi, susunan lagu dan yang paling saya suka adalah kerja gitarnya. Melodinya mudah hadam. Susunan lagu yang lain dari kebiasaan (progressif dan melampui zaman). Dan semestinya untuk sebuah band rock adalah kerja gitar yang bagus.

Kalau ada anugerah "the most underated guitarist" di Malaysia. Saya tidak teragak-agak untuk memberikannya kepada Saudara Aziz. Memang power! Tanpa beliau bukanlah Belantara namanya. Sound Gitar BC Rich beliau di dalam album ini memang garang. Lagu-lagu seperti "Mereka", "Daya Tarikan" dan "Destinasi Infiniti" mempunyai sound rif yang berat. Lebih berat dari sound kebiasaan band rock melayu. Sound metal yang agak thrashy. Peranan Saudara Benson juga tidak boleh di nafikan, dual gitar solo dan harmonic solo ala-ala Iron Maiden dalam lagu "Mereka" memang mengasyikkan.

"Mereka" dan "Destinasi Infiniti" adalah lagu-lagu progressif rock yang berdurasi lebih dari 7 minit. Jarang jumpa lagu rock melayu yang panjang dengan susunan muzik sebegini. Solo gitar yang panjang berjela. Antara kegemaran peribadi. Ianya jenis yang tak akan dimainkan di radio. Baik dulu mahupun sekarang.


"Airmata" dan "Pelita Ketenangan" adalah lagu cari makan. Main muzik mainstrean memang kena beralah. Tetapi memang berbaloi pasal kalau tak silap "Airmata" pernah jadi juara (betulkan kalau tersilap) LPMI... ker Pujaan 10... tak ingat dah masa tu rancangan carta lagu-lagu popular di panggil apa. "Air Mata" memang meleweh. Tetapi melodinya kuat. Dengar ketika sedih memang betul-betul terasa sedih. Memang pilu.

"Pelita Ketenangan" pula rasanya bertujuan untuk mengenalkan Belantara kepada pendengar yang lebih umum. Tiada salahnya lagu ini. Leez pun bagus. Melodinya kuat. Cumanya susunan muzik dan durasi 6 minit lebih mungkin jadi penyebab agak sukar untuk radio memainkannya. Biasalah Belantara sentiasa mendahului zamannya. Bukan Belantara lah kalau sususan muziknya setakat biasa-biasa.

"Bunga Bangsa" adalah satu lagi lagu perlahan yang bagus. Kalau zaman muda dahulu memang tak berapa minat dengan susunan muzik yang sebegini. Tak rock la guna keyboards. Haha... Tapi solonya bagus. Melodi menangkap. Lirik membina. Sedikit progresif. Makin lama dengar makin sedap.


"Lautan Cahaya" adalah "Dewi" untuk album Infiniti. Ok lah, "Dewi" tu dah tahap lain klasiknya. Tapi "feel" dan rentak mid temponya seakan-akan menjerumus ke arah tersebut. "Telefon"  juga mempunyai feel yang sama. Dua-dua lagu ni memang sedap. Ulang-ulang dengar pun tak jemu. Entah kenapa ada momen-momen dalam lagu Telefon membawa saya ke era new wave tahun 80an...

"Daya Tarikan" adalah lagu kegemaran dari album ini. Suka betul dengan solo dan kerja gitarnya. Sound berat. Lagu pun sedap. Harap sangatlah ianya dimainkan  ketika showcase 20022020 nanti.

"Jalan Pulang" adalah satu lagi lagu perlahan. Lirik dan melodi yang bagus. Tetapi tarikan utamanya untuk saya adalah solo gitarnya. Tak ada solo dan kerja gitar yang tak bagus untuk lagu-lagu Belantara. Peminat gitar atau shredder memang wajib dengar setiap album mereka.

Kesimpulannya, dari gaya penulisan yang panjang berjela ni (jarang dah menulis panjang-panjang sekarang), ternyata Infiniti memang best. Saya bersalah kerana tidak menghargainya 31 tahun yang lalu....tapi tidak mengapa...kesalahan akan ditebus pada 20022020 nanti...lirik dah siap-siap hafal dah ni...haha...




Saturday, January 25, 2020

countdown 20022020



Dasyat... siapa sangka kan dengan tiket harga RM200 (kira mahal la untuk sebuah showcase band rock melayu) dan hari khamis (bukannya hari cuti) tiket berjaya terjual habis (sold out) dalam masa 3 hari. Tak sempat promosi, tak sempat nak iklan, baru di group WhatsApp pun tiket dah habis. Ramai lagi yang tak sempat nak beli...kena masuk waiting list...

Tabik dengan team yang berusaha menjayakan showcase ini, band member Belantara sendiri dan terutamanya peminat kipas susah nak mati yang terus setia.

Iyer...kami dah berusia...tak ramai...tapi kami tetap ada.


Belantara selama!....