Friday, November 20, 2020

Alias

 lagi kenangan zaman 90an...

Alias - Alias (1990)

Ada masanya bila tepu dengan lagu-lagu metal, muzik sebeginilah yang dapat menghiburkan hati. Album ini mengembalikan kenangan di awal tahun 90an. Ketika itu lagu "More Than Words Can Say" agak kerap berkumandang di radio berbahasa inggeris Singapura. Malah video clipnya juga selalu dimainkan di MTV Asia di TV5 Singapura.

Tetapi saya mengenali anggota band Alias ini lebih awal dari itu. Abang saya adalah pengemar muzik sebegini. Melalui beliaulah saya mengenali band-band yang di kategorikan sebagai AOR, atau hard rock atau arena rock atau melodic rock, soft rock, pop rock dan lain-lain gelaran yang seangkatan seperti Journey, Foreigner, REO Speedwagon dan lain-lain. Salah satu koleksi beliau dari genre sebegini adalah band dari Canada yang bernama Sheriff.

Penyanyi Alias, Freddy Curci dan pemain gitarnya Steve DeMarchi adalah berasal dari Sheriff. Ketika lagu Sheriff "When I'm with You" menjadi juara di Carta Billboard Hot 100 (1989), mereka telah pun berpecah. Kesan dari popularnya lagu tersebut, mereka berdua cuba untuk menghidupkan kembali Sheriff tetapi gagal. Hasilnya munculah Alias. 

Sebenarnya Alias bolehlah dianggap sebagai supergroup. Ianya adalah gabungan 2 anggota Sheriff bersama 3 anggota kumpulan Heart. Sebuah lagi kumpulan lagenda untuk genre yang sebegini. Hasilnya lahirlah sebuah album yang boleh dikatakan hebat. 10 lagu yang mantap. Memang sedap.

Selain "More Than Words Can Say", album ini juga menghasilkan lagu hit lain seperti "Waiting for Love" dan "Haunted Heart". Tetapi bukan itu sahaja lagu-lagu lain pun sedap. Rekomended untuk peminat AOR.



Tuesday, November 17, 2020

Infinite

Atas permintaan seorang rakan (Koboi Tanduk)... Nak ulas tak pandai... Cerita sahajalah... 

Stratovarius - Infinite (2000)

Tahun 2000 adalah tahun yang saya kembali mendengar dan membeli semula muzik metal selepas agak "hilang" pada penghujung 90an. Bermula dari Helloween - The Dark Ride dan Rhapsody - Dawn Of Victory, saya mula mengenali dan terjebak dengan genre power metal. (ketika 80an dan awal 90an, Helloween digelar sebagai speed metal)

Dari situlah bermulanya minat kepada Stratovarius. Infinite adalah yang pertama. Kemudiannya baru mencuba album-album yang sebelumnya. Dan akhirnya berhenti pada album Elements (2003). Ketika itu rasa tepu dengan muzik sebegini. Ianya seperti mendengar benda yang sama berulang-ulang. Sedap tapi dah tak rasa kelazatannya. Mungkin perasaannya sama seperti yang kata ACDC atau Malmsteen tu balik-balik main benda yang sama. Tapi entahlah...setahun dua ni agak kemaruk semula dengan muzik yang sebegini. 

Asalnya yang buat tertarik dengan Stratovarius adalah kerana adanya Jens Johansson. Dia ni pemain keyboard untuk album-album klasik Malmsteen. Dan satu lagi kerana lagu "Hunting High And Low". Sekali dengar dah menangkap. Mulanya ingatkan cover lagu A-Ha 😁

Oleh kerana ianya album yang mengenalkan saya kepada mereka, sudah tentu-tentunya ianya menjadi album kegemaran. Nilai nostalgianya lebih sedikit dari album Destiny (1988), sebuah lagi album mereka yang menjadi kegemaran.

Mereka adalah tipikal power metal. Laju, Melodic dan catchy. Dulunya lebih menyukai lagu-lagu mereka yang laju. Tetapi entah kenapa kebelakangan ini banyak pula mendengar balada epic "Mother Gaia". Dulu rasa lembab...tapi sekarang rasa syiok pula terutamanya dari bahagian chorus sehingga tamat lagu. Mungkin juga kerana faktor usia...😁


Saturday, November 14, 2020

Best of Belantara

 Mengimbau kenangan...


Belantara - Best of (2001)

Nak cerita sedikit sejarah pasal cd ni. Dulunya ketika cd ini diterbitkan pada tahun 2001, agak susah juga nak carinya di kedai. Merata kedai cd seluruh Johor Bahru di cari tapi tak jumpa. Entahlah, mungkin nama Belantara agak kurang dikenali. Kedai cd pun tak berani nak ambil stock.

Masa tu bila ternampak iklan di surat khabar yang Universal Music akan mengeluarkan 15 siri cd best of, dan salah satu adalah best of Belantara memang rasa sangat teruja. Maklumlah ini kali pertama album Belantara di"cd"kan. Tapi itulah.. puas ulang alik kedai cd tapi tak jumpa. Yang selalu jumpa hanyalah Best of Search, M Nasir, Kembara, Alleycats dan Headwind. Cari juga Desire, tapi tak jumpa juga. Ada lah satu kedai tu yang kat tingkat 1 Angsana (dah tutup kedai ni) ada jual siri koleksi ni dengan banyak tajuk. Tapi tetap tak ada Belantara. Yang ada hanya Junction. Beli lah juga. Junction pun tak pernah jumpa dalam betuk cd pada ketika itu. Tapi Belantara... Desire tetap tak ada..

Akhirnya minta tolong yang jaga kedai tu tanya supplier. Dia telepon supplier pun memang tak ada stock. Kalau nak juga kena booking dari KL, seminggu baru dapat. Dan akhirnya selepas seminggu, berjaya juga cd ini dimilik. Tapi disebabkan teruja nak cd Belantara, lupa pula nak tanya cd Desire. Akhirnya sampai kesudah tak pernah ada cd Best of Desire...hahaha...


Tapi tak lah rasa suka sangat dengan track list nya. Majoritinya lagu slow. Paling hampa tak ada lagu "Dewi". Entah siapa lah yang tukang pilih track list. Pastinya dia bukanlah peminat Belantara. Tapi itulah... bak kata orang, tak ada rotan,  akar pun berguna juga...

Satu yang bagusnya tentang cd ini, walaupun beberapa tahun lepas akhirnya kesemua album Belantara berjaya di"cd"kan. Tetapi ternyata cd best of inilah yang paling bagus soundnya. Kerana inilah satu-satunya yang sumbernya dari yang asal bukannya dari piring hitam... tapi tu lah... kenapa tak ada lagu "Dewi"??????????....




Thursday, November 12, 2020

IX

 Kenangan 30++ tahun yang lalu...


Bulldozer - IX (1987)

Sebut band Bulldozer, secara otomatiknya akan mengingatkan saya kepada rakan sekelas dan sekampung. Ketika di sekolah tak pernah pun tahu yang beliau adalah peminat muzik rock. Gaya beliau yang agak nerd, cermin mata tebal, mat study dengan imej budak baik dan tidak bergaul dengan geng-geng rock memang tak ada siapa pun yang menyangka yang beliau adalah sebenarnya seorang metalhead.

Jadi rapat dengan beliau pun hanyalah ketika penghujung zaman persekolahan bila berkunjung ke rumah beliau dan terlihat koleksi kaset. Ketika itu baru tahu yang dia adalah peminat tegar Iron Maiden dan heavy metal. Sejak itu kami sering bertukar-tukar kaset dan salah satu kaset dan band kegemaran beliau adalah Bulldozer. 

Tahun 1988-89, mendengar muzik sebegini samada anda merasa takut dan tak boleh masuk atau terus menjadi minat. Saya termasuk dalam kategori yang minat tetapi agak takut dengan lirik-liriknya. Tetapi muziknya memang bersesuaian dengan jiwa remaja yang pada ketika itu sentiasa mahukan lebih ganas...lebih berat dan lebih laju.

Tapi tak pernah beli pun kasetnya. Muzik yang dah di dengar dari kawan, biasanya tak akan di beli lagi. Ada duit akan beli band yang lain pula. (kecuali yang betul-betul minat) Begitulah caranya pada zaman tersebut (zaman tak ada youtube ataupun spotify) untuk kita dapat mendengar lebih banyak band.


Beberapa bulan yang lalu baru berpeluang memiliki cdnya. Mendengarnya semula mengembalikan ingatan ke zaman tersebut. Zaman yang tak kisah pun pasal sound. Janji laju…berat…ganas memang suka. Kalau anda sukakan heavy dan speed metal yang raw...kasar soundnya, ini adalah salah satu band dan album yang patut anda cuba.


Satu fakta yang dulunya tak tahu, (terimakasih teknologi internet), lagu "The Derby" adalah sebenarnya ditujukan kepada pasukan bola AC Milan. Penyanyi Bulldozer, A.C. Wild adalah peminat tegar AC Milan. Tak pelik pun. Bulldozer memang berasal dari Milan, Itali. Kalau kaki bola tak Inter mesti AC...



Monday, November 9, 2020

The Rock Album

Lagi album tahun 2020 yang berjaya dimiliki...

Whitesnake - The ROCK album (2020)

Bukan album baru. Tetapi lebih kepada kompilasi lagu-lagu berentak rancak terbaik/popular Whitesnake. The Rock album adalah sebahagian daripada siri "Red, White and Blues Trilogy" yang akan dipasarkan secara berperingkat. "The ROCK album" (putih) adalah yang pertama dipasarkan. "Love Songs" (merah) dan "The BLUES album" (biru) akan menyusul kemudian.

Pilihan lagu-lagunya di ambil dari era 80an bermula dari album "Slide It In" (1984) hinggalah ke "Forevermore" (2011). Tak pasti kenapa tiada lagu-lagu dari zaman 70an. Mungkin lagu-lagu zaman tersebut akan di masukan ke album biru. Maklumlah Whitesnake era 70an soundya lebih terarah kepada blues.


Yang menjadi tarikan utama untuk membeli cd ini adalah kerana ianya telah melalui proses mixing dan mastering semula. Bermakna soundnya memang berbeza dari versi yang asal. Contohnya lagu "Still Of The Night". Saya selalu merasakan yang solo John Sykes pada lagu ini agak tenggelam pada versi asal. Tetapi dengan versi 2020 ini, ianya menjadi lebis jelas. Sound gitarnya juga lebih sharp. Terdapat juga perbezaan pada pertengahan dan penutup lagunya.

Begitu juga dengan lagu-lagu yang lainnya. Memang ada perbezaan. Itu yang rasa macam nak beli juga yang warna merah bila ianya dipasarkan nanti. Tapi memang tak akan belilah yang warna biru. Tak minat sangat blues based rock ni.



Saturday, November 7, 2020

The Wizard... Ken Hensley

Semakin hari semakin ramai hero zaman kita budak-budak telah tiada. Kita pun dah jadi bapak budak apatah lagi mereka. Kali ini dikejutkan pula dengan satu lagi berita sedih terutamanya bagi peminat Uriah Heep. 2 bulan lepas Lee Kerslake, kini kita dikejutkan pula dengan berita kematian seorang lagi lagenda rock iaitu Ken Hensley.


Untuk sesiapa yang masih tak tahu, beliau adalah suara disebalik lagu klasik rock Uriah Heep - Lady In Black. Selain hebat bermain keyboards, beliau juga adalah pemain gitar, pencipta lagu dan penerbit album. Beliau juga adalah lejen Hammond Organ sama seperti Jon Lord. Kini kedua-duanya telah tiada 😢

Dulu-dulu memang tak minat sangat rock dengan keyboards, tetapi beliau bersama Jon Lord (Deep Purple) dan Jens Johansson (Yngwie Malmsteen) telah banyak mengubah pandangan tersebut.


Tak banyak muzik Ken Hensley yang ada dalam simpanan. Tapi rasanya ramai yang tak tahu yang beliau bermain keyboards untuk W.A.S.P - The Headless Children dan bermain Hammond Organ untuk 4 lagu dalam Cinderella - Heartbreak Station.


"Ken Hensley wrote the rule book for heavy metal keyboards as far as I'm concerned." - Blackie Lawless (W.A.S.P)

  

Thanks for the music sir

Kenneth William David Hensley

 (24 August 1945 – 4 November 2020) 



Tuesday, November 3, 2020

Debbie Gibson singles 7"

Antara "crush" zaman remaja....


Debbie Gibson  - 7" Singles (6 keping)

Antara yang mejadi kegemaran selain Tiffany. Rock hantu macamana pun dalam hati tetap ada taman...hahaha...

Ianya mengembalikan nostalgia zaman sekolah. Tak pernah pun beli kaset-kasetnya. Zaman rock dan tak berduit. Cukuplah sekadar rakam lagu-lagunya dari radio..😁



3 singles dari album pertama beliau, "Out Of The Blue" (1987). "Only in My Dreams" (Feb 1987), "Shake Your Love" (Sep 1987) dan "Out of the Blue" (Jan 1988). Ada lagi 3 singles lain dari album ini.


Ini pula 3 singles dari album berikutnya, Electric Youth (1989). "Lost in Your Eyes" (Jan 1989), "Electric Youth"(Mar 1989) dan "We Could Be Together" (Aug 1989). Ada satu lagi singles lain dari album ini.


Bukanlah pengumpul singles 7 inchi. Iron Maiden punya pun tak pernah beli. Tapi bila terjumpa 6 keping singles ini dijual di ebay dari Jerman dengan harga cuma RM42.76 termasuk pos, perghhhh...memang jackpot! 😅


Ini bukti "crush" zaman remaja yang masih disimpan...hahaha...tak lah pandai sangat melukis...tapi dah 29 tahun dah tu....😁