Sunday, March 21, 2021

Louder Than Hell

 Album yang mengimbau kenangan... 


Manowar - Louder Than Hell (1996)

Louder Than Hell mengembalikan kenangan di tahun 1996. Tahun berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja. Duduk menumpang di rumah abang di Kg. Pandan. Kasetnya adalah antara kaset yang terawal dibeli pada ketika itu. Tak ingat beli di mana. Berkemungkinan di Sungei Wang / Bukit Bintang Plaza. Tempat yang selalu di singgah selepas balik kerja (tempat kerja di Jalan Pahang) untuk menggali kaset dan cd selain di Tower Records KL Plaza.

Versi Malaysia tajuknya Louder. Tiada perkataan Than Hell. Mungkin untuk mengelakkan sebarang isu kontroversi. Beli dulu dapat poster bersize A3 (kalau tak silap). Lama dah hilang sejak 2,3 kali berpindah rumah. 

Baru-baru ni baru perasan yang saya tidak mempunyai album ini dalam versi cd yang asli. Yang ada dalam simpanan hanyalah versi "Asia Link". Seperti biasa "e-bay" adalah jalan yang mudah untuk menghabiskan duit...hahah

Sebulan lebih selepas itu dah ada pun cdnya di depan mata..

atas - versi ori, bawah - versi Asia Link

Secara peribadinya, ini adalah album Manowar terakhir yang paling saya suka. Bermula dari Warriors of the World dah rasa kurang dah. Apa yang saya ingat, kartunis Gayour ada mengabadikan lirik Lagu "Number 1" dalam siri kartun popular beliau, "Bersama Selamanya".

Satu lagi yang tak boleh dilupakan apabila Dj Radio 4 RTM (sekarang Traxx FM) memainkan lagu "Courage" dalam slot rancangan pagi mereka. Tak kisah lah walaupun ianya hanya sebuah lagu balada. Tapi siapalah sangka yang lagu Manowar boleh keluar di nasional radio kan...



Friday, March 19, 2021

Headhunter

Mengimbau kenangan remaja 

Krokus - Headhunter (1983)

Tak berapa mengikuti sangat Krokus ni. Satu-satunya album mereka yang saya dengar secara penuh ketika tahun 80an dahulu adalah album live, "Alive and Screamin' (1986). Tetapi tak pernah ada rasa nak ambik tahu dengan lebih mendalam tentang album-album studio mereka yang lainnya.

Satu-satunya lagu mereka yang saya cukup biasa adalah lagu slow rock, "Screaming In The Night". Itu pun kerana lagu tersebut ada di dalam salah satu kaset kompilasi pirate Apache yang dibeli ketika zaman sekolah. 

Makanya sebab utama mengapa cd ini dibeli adalah kerana adanya lagu "Screaming In The Night" di dalamnya. Ianya mengimbau kenangan zaman sekolah. Tambahan pula lagu-lagu dari album ini lebih "metal" jika hendak dibandingkan dengan album-album mereka yang sebelumnya yang mana ianya lebih cenderung untuk menjadi klon kepada  ACDC.

Iya...Salah satu sebab lain mengapa saya kurang mendengar Krokus adalah kerana lagu-lagunya yang seakan-akan ACDC. Zaman remaja dulu, saya sememangnya agak kurang gemar dengan lagu-lagu ACDC. Tak berapa nak masuk. Tetapi seiring dengan kematangan usia, saya mula boleh menerima muzik ACDC semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ianya boleh menjadi salah satu sebab pula untuk saya terus meneroka album-album Krokus yang lainnya...



Tuesday, March 16, 2021

Fanatisme

 Layanan ketika WFO....

Lefthanded - Fanatisme (1991)

Walaupun saya adalah peminat besar Lefthanded terutamanya ketika era BOTB dan 3 album terawal mereka, tetapi saya tidak pernah mengambil tahu tentang album ini.

Ketika Keadilan diterbitkan, mereka adalah band rock no 1 bagi saya. Lebih tinggi kedudukannya dari Search. Tetapi entah di mana silapnya, saya rasakan mereka semakin merundum dari satu album ke satu album yang berikutnya. 

Satu-satunya lagu yang saya tahu dari album ini adalah "Semangat Lamina". Itu pun versi nyanyian Arab dalam album "Nafas". Mendengar album ini rasanya seperti mendengar album solo Ramli Sarip. Majoriti lagu-lagunya tidak mengingatkan saya kepada muzik Lefthanded. Mungkin juga imej dan aura Ramli Sarip yang terlampau kuat. Tambahan pula kesemua lagu-lagunya adalah ciptaan beliau.

Saya tak rasa gabungan mereka dengan menggunakan nama Lefthanded adalah satu kejayaan. Sebagai peminat Lefhanded saya rasa agak janggal. Tetapi dalam masa yang sama, sebagai seorang yang minat juga dengan Ramli Sarip, ini sesuatu yang bagus bila Ramli kembali dengan rock n roll.



Saturday, March 13, 2021

Songs from the Sparkle Lounge

Antara cd yang baru dimiliki...

Def Leppard - Songs from the Sparkle Lounge (2008)

Sebuah lagi band yang menjadi kegemaran ketika zaman remaja tetapi tak ambil tahu pasal mereka kemudiannya. Kali terakhir yang betul-betul minat dengan muzik mereka adalah album Retro Active (1993). Bermula dari Slang (1996) memang dah tak berminat. Tak beli pun. Tetapi ketika Euphoria (1999) beli juga kasetnya. Tetapi minat kepada mereka semakin luntur. Bila X (2002) keluar memang langsung dah tak ambil tahu..

Cd ini sebenarnya baru di beli tahun lepas. Perbincagan bersama rakan blogger di whatsapp group menyebabkan rasa terpanggil untuk mencuba. Def Leppard sebenarnya telah lama berubah. Kalau nak kira sekurang-kurangnya dah 3 kali mereka berubah. Dari zaman Pete Willis / Steve Clark (NWOBHM) ke zaman Steve Clark / Phil Collen (Melodic hard rock) hinggalah kepada Phil Collen / Vivian Campbell (pop rock). Kalau minat mereka di era sekarang belum tentu anda boleh minat era On Through the Night (1980). Memang muziknya berbeza.

Songs from the Sparkle Lounge secara jujurnya tidaklah mengecewakan sangat. Ada jugalah percubaan mereka di dalam beberapa lagunya yang cuba untuk mencapai "rasa" Hysteria walaupun tak berapa nak sampai. "Bad Actress" adalah lagu rancak yang baru nampak ada gunanya juga 2 shredder bagus dalam satu band (kalau anda faham maksud saya).

Secara keseluruhannya, ianya jenis melodic hard rock yang boleh layan jika anda tak mementingkan sangat sound Def Leppard yang lama. Lagu balada "love" memang seakan-akan lagu Queen. Kalaulah solo lagu ini dipanjangkan pastinya ia akan menjadi sebuah lagu balada yang epik.

Apa-apa pun gambar cover dia menarik.



Wednesday, March 10, 2021

Annihilation of Civilization

Pembelian demi kenangan dari zaman remaja... 

Evildead - Annihilation of Civilization (1989)

Sekitar tahun 1990 atau 1991 memang banyak betul kaset-kaset bergenre thrash masuk ke pasaran kedai kaset di Malaysia. Annihilation of Civilization adalah salah satu darinya. Zaman bergelar pelajar memang tak mampu nak beli kesemuanya.

Ini adalah satu lagi contoh yang sekadar mampu tumpang dengar milik kawan. Jujurnya dah lupa bagaimana lagunya. Tetapi gambar cover albumnya yang "lain macam" memang melekat dalam kepala. Antara album yang pada ketika itu saya rasa patut beli kalau ada duit lebih. Tetapi memang tak jumpa pun album ini dalam bentuk kaset atau cd apabila dah mula ada duit sendiri dan berkerjaya.

Akhirnya selepas 30 tahun, berjaya juga ianya dimiliki. Mendengarnya sekarang memang tak akan sama dengan kali pertama mendengarnya pada usia 19 tahun. Zaman itu thrash adalah satu genre yang saya baru terjumpa. Semuanya memang rasa teruja, sedap dan kena dengan jiwa.

Tetapi bila mendengarnya sekarang, Annihilation of Civilization adalah sebuah album generic american thrash atau thrash ala america yang biasa. Walaupun mereka berasal dari Bay Area California (pantai barat), tetapi sound mereka lebih terarah kepada sound thrash pantai timur Amerika (New York). Memang banyak lagu-lagu mereka yang mirip Anthrax. Ada juga lagu-lagunya yang mengingatkan saya kepada Sacred Reich.

Mungkin tak sesuai untuk yang kurang gemar dengan thrash. Tetapi untuk yang hantu dengan lagu-lagu thrash seperti saya, Annihilation of Civilization dan Evildead adalah salah satu album dan band yang agak underated. 

Untuk yang minat old school thrash metal seperti saya, kalau jumpa... BELI!!!




Sunday, March 7, 2021

Heavy Duty

Semangat tahun baru untuk lebih banyak membaca dari ber"netflix"... 

Heavy Duty : Days and Nights in Judas Priest - K.K. Downing (2020)

Dari mula mengenali muzik Judas Priest, saya sudah tertarik dengan imej beliau. Gitar V, hensem dan rambut blonde panjang mengurai merupakan imej rockstar yang menjadi rujukan bagi kami "budak-budak baru nak up" pada zaman tersebut.

Membaca lirik Judas Priest di inlay kaset bukan sahaja tentang liriknya, tetapi ianya juga tentang solo KK/Glenn/KK/Glenn sambil cuba menangkap yang mana satu solo KK dan yang mana satu solo Glenn. Mendengarnya dengan menggunakan head phone adalah sesuatu yang mengujakan.

Buku autobiography setebal 277 mukasurat ini dihabiskan hanya dalam masa 2 malam. Memang menarik. Ianya merungkai sejarah bagaimana Judas Priest bermula dan jawapan mengapa selepas 41 tahun bersama akhirnya beliau meninggalkan Judas Priest.


Jalan ceritanya memang tersusun menyebabkan rasa tak sabar untuk menghabiskannya. Antara yang menarik sudah tentu cerita tentang konflik beliau bersama Glenn Tipton dan pengurusan mereka. Asal usul imej stud dan leather. Ketidakpuasan hati beliau kepada Iron Maiden dan lain-lain cerita peribadi, band member dan kisah sepanjang tour dan rakaman album. 

Satu yang agak berbeza dari buku biography rockstar yang lain adalah tiadanya cerita tentang masalah penggunaan dadah. K.K sememangnya bebas dari dadah. Satu contoh yang baik untuk dijadikan tauladan. 

Ianya adalah satu bahan bacaan yang berbaloi untuk peminat Judas Priest khususnya. Akan cuba untuk mendapatkan buku autobiography Rob Halford pula.


Wednesday, March 3, 2021

I Want Out

 Antara cd yang baru dimiliki...

HammerFall - I Want Out (1999) - EP

Jarang beli cd single atau EP. Rasa tak berbaloi kalau dah ada album penuh. Kecualilah jika ada bonus track yang istimewa. Lainlah kalau ianya Iron Maiden, gambar covernya pun dah boleh jadi penyebab untuk membeli. Tetapi yang ini adalah suatu pengecualian.

EP yang ini agak berbeza. HammerFall menjadikan lagu cover dari Helloween sebagai tajuk EP mereka. Tambahan pula lagu "I Want Out" ini tidak terdapat di dalam mana-mana album studio mereka kecuali sebagai bonus track dalam versi digipak, versi Brazil ataupun bootleg Russia untuk album Legacy Of Kings dan Renegade.

Tambah menarik ianya menampilkan Kai Hansen, pencipta lagu "I Want Out" sendiri sebagai pemain gitar dan vokalis duet undangan. Manakala Udo Dirkschneider (Accept) pula bertindak sebagai backing vokal. Satu cover yang bagus walaupun menggunakan key yang lebih rendah berbanding versi asal dari Michael Kiske. 

Ianya juga menampilkan salah satu lagu kegemaran saya dari HammerFall, "At The End Of The Rainbow". Kalau dulu-dulu siapa yang mengikuti rancangan radio RIA Singapore, Vicious Volume, pasti ingat lagu inilah yang digunakan oleh DJ nya Brader Bo sebagai lagu pengenalan kepada rancangan tersebut.

Manakala track terakhirnya pula menampilkan satu lagi lagu klasik rock yang lejen. "Man Of The Silver Mountain" dari Rainbow. Kai Hansen juga terlibat menyumbangkan suara. Lagu ni memang dah sedap. HammerFall menjadikannya bertambah-tambah sedap. Temponya lebih laju dari versi asal. Tapi seperti biasalah...mana-mana vokalis pun mana lah boleh nak lawan Ronnie James Dio 🤘

Untuk rekod, EP ini juga mengandungi bonus video clip "Glory To The Brave". 

3 lagu (2 darinya lagu lejen) + 1 video clip rasanya cukup berbaloi-baloi jika anda berjaya memilikinya dengan harga RM20++ termasuk pos dari ebay seperti saya. 😁