Friday, April 9, 2021

Gila Format - Coma of Souls

 

Kreator - Coma of Souls (1990)

Album yang bagus selayaknya di"gila format"kan. Antara album yang banyak kenangannya ketika di zaman remaja.

Ini album Kreator yang paling dekat di hati. Kasetnya dibeli pada tahun ianya dikeluarkan. Cd pula adalah dari zaman Tower Records di KL Plaza. Manakala versi piring hitam yang tak kaler hitam (remastered coloured triple vinyl - 2018) hanya baru dimiliki pada bulan yang lepas. Terimakasih kepada Azli DYS Distro yang menjualnya dengan harga kasih sayang (lebih murah dari harga lp reissue album tempatan).


Memang berbaloi betul beli yang ini. Inlay/sleeve dipenuhi dengan pelbagai gambar dan info yang ditulis sendiri oleh Mille Petrozza. Terdapat juga bonus track dari persembahan live mereka di tahun 1991. Ini betul-betul "value for money"


Ada banyak album Kreator yang bagus. Tetapi Coma of Souls adalah kaset mereka yang pertama di beli. Ianya akan sentiasa ada nilai sentimental di hati....




Tuesday, April 6, 2021

Tanda Tanya

Penangan WFH, banyak pula cd-cd yang dulunya sekadar beli dan simpan kini ada masa untuk didengar...

Lipan Bara - Tanda Tanya (1991)

Pernah baca tentang mereka terutamanya di surat khabar Mingguan Malaysia dan majalah URTV. (rujukan terbesar untuk scene rock melayu pada ketika itu). Imej penyanyinya yang berambut perang memang mudah untuk menarik perhatian.. Kalau tak silap mereka adalah juara pertandingan Rock Galactica (1988) dan pernah muncul dalam album Rock Galactica (1989) bersama band-band finalis yang lain.

Sayangnya pada ketika itu saya sudah mula kemaruk dengan album-album rock antarabangsa menyebabkan banyak keluaran rock tempatan pada penghujung 1989 dan ke atas tidak berapa di ambil kisah. Tak pernah dengar Rock Galactica (pada ketika itu lah) dan tak pernah tahu juga kewujudan album Tanda Tanya ini.

Melihat cover album ini baru saya tahu yang penyanyinya bukan lagi orang yang sama. Yang menjadi vokalis untuk album ini adalah Oney (vokalis MAY untuk album Penaklukan). Vokal beliau yang pada ketika itu baru berumur 19 tahun memang sangat bagus. Sayangnya lagu-lagu mereka tidak menepati citarasa saya.

Terdapat 5 lagu rancak dan 5 lagu perlahan. Lagu-lagu rancaknya tidak lah terlalu berat manakala lagu perlahannya jenis meleweh yang memang popular di era 90an. "Arasy" dan "Gypsi Blues Tua" adalah antara lagu yang agak keras. "Tandatanya" pula seakan-akan lagu "Scorpions - Is There Anybody There?".

Lagu perlahannya ada yang macam biasa dengar. Bila melihat inlay, rupa-rupanya ianya adalah lagu ciptaan JS Kevin ("Kisah Seribu Rasa" dan "Itu Yang Mampu"). Mungkin album sebegini sesuai untuk yang sukakan lagu-lagu perlahan yang meleweh.

Dalam lambakan band-band rock pada zaman tersebut, promosi dan nasib mungkin memainkan peranan. Berkemungkinan besar kedua-duanya tiada pada mereka. Tak pernah rasanya mendengar lagu mereka di radio.



Sunday, April 4, 2021

Unleashed in the East: Live in Japan

Antara cd yang baru dimiliki...

Judas Priest - Unleashed in the East: Live in Japan (1979)

Kalau anda adalah pengemar Judas Priest di era 70an, semua lagu-lagu di dalam album ini adalah makanan anda. Exciter, Sinner, The Ripper, The Green Manalishi (With The Two-pronged Crown), Diamonds and Rust.... Arghhh...rasa macam tak puas kan. Ada banyak lagi lagu-lagu best mereka dari era 70an yang sepatutnya dipersembahkan. Kena buat 2 disc kot baru boleh puashati. 

Tapi ada juga yang mempertikaikan ini bukannya sebuah album yang betul-betul live. Dan ianya telah pun dah disahkan sendiri oleh Rob Halford dan juga dari buku biography "Heavy Duty -  KK Downing". Sememangnya ada rakaman semula di bahagian vokal. Tetapi di bahagian lain terutamanya kerja gitar KK dan Glenn adalah rakaman asal dari konsert tersebut.

Tak kisah lah live kat Jepun atau pun dalam studio. Yang penting lagu-lagunya sedap dan permainan muziknya memang mantap. Nak lagi best kena dengar guna ear/headphone. Baru terasa seolah-olah solo-solo KK Downing dan Glenn Tipton di sebelah kiri dan kanan telinga tu macam betul-betul berada di depan mata...eargasm!




Thursday, April 1, 2021

Forbidden Evil

Lagi kenangan dari zaman remaja... 


Forbidden - Forbidden Evil (1988)

Mendengar semula album ini mengembalikan ingatan kenapa pada suatu ketika dahulu saya begitu kemaruk dengan scene thrash dari Bay Area, San Francisco. 

Forbidden Evil mungkin bagi sesetengah orang ianya tiada kelainan. Tetapi bagi saya kalau dah lain perginya bermakna ianya bukan lagi thrash. Diterbitkan ketika genre sebegini sedang memuncak. Sudah semestinya ia adalah thrash yang generic. Thrash yang "straight forward". Kasar, laju tetapi dalam masa yang sama mempunya riff dan solo-solo yang melodic. Forbidden lebih kepada cara Exodus berbanding cara Metallica.

Yang paling saya suka tentang album ini sudah semestinya di bahagian twin gitar mereka. Craig Locicero dan Glen Alvelais banyak menghasilkan riff dan solo yang teknikal tetapi bermelodi. Ianya mengingatkan saya kepada Alex Skonick dari Testament. Satu lagi kekuatan mereka pada saya adalah vokalisnya, Russ Andersons. Dia mempunya vokal high pitch yang bagus. Jangan lupa juga, pemain drum mereka adalah Paul Bostoph.

Mungkin ini bukanlah yang terbaik. Tetapi ianya sebuah album wajib ada untuk pengemar sound thrash dari Bay Area. 



Monday, March 29, 2021

Quiet Riot

 Randy Rhoads sebelum Ozzy dan Quiet Riot sebelum Metal Health...

Quiet Riot - Quiet Riot (1977)

Album ini sebenarnya hanya pernah dikeluarkan di Jepun. Randy Rhoads ketika hayatnya dan keluarga beliau selepas kematiannya tidak membenarkan ianya di keluarkan semula terutamanya di US. Pernah terbaca yang Randy berasa malu dan pernah menangis bila ibunya sendiri mengkritik album ini. Dan ada juga terbaca yang Kevin Dubrow semasa hayatnya juga tidak mahu album ini dikeluarkan semula. Tak pasti juga adakah album ini pernah dikeluarkan dalam bentuk cd. Yang pastinya versi cd kepunyaan saya ini adalah versi bootleg dari Russia. 

Album ini memang jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan Quiet Riot di zaman Metal Health apatalah lagi Randy di zaman Ozzy Osbourne. Ia sememangnya bukan sebuah album heavy metal. Muziknya lebih terarah kepada pop rock 70an. (ala-ala Queen mungkin?..). Kerja gitar Randy dalam album ini juga agak kurang menonjol jika hendak dibandingkan dengan status beliau sebagai gitar hero di kemudian harinya. Namun begitu ada juga solo-solo dan rif-riff beliau yang sudah nampak ke arah tersebut. Cumanya mungkin produksi album ini yang kurang memberi perhatian kepada gitar beliau.

Album ini sering mendapat ulasan dan kritikan dengan rating yang rendah. Tetapi secara peribadinya, saya rasa ianya masih sebuah album yang saya boleh enjoy selagi tidak kita membandingkannya dengan Blizzard of Ozz, Diary of a Madman, Metal Health atau pun Condition Critical.


Friday, March 26, 2021

Ningrat

Bertahun dah cari. Akhrinya ketemu di Shopee.....

Jamrud - Ningrat (2000)

Tak berapa mengikuti sangat perkembangan muzik rock dari Indonesia. Zaman hujung 80an dahulu yang pernah dengar hanyalah God Bless. Itu pun kerana lagu-lagunya ada di mainkan di radio Singapura (biasanya di mainkan oleh DJ Rock, Arwah Adnan Maswan).

Jamrud terutamanya lagu Surti-Tejo diperkenalkan kepada saya melalui Forum Metal Terus. (Sebuah portal untuk komuniti peminat rock dan metal di alam maya yang aktif pada awal tahun 2000an dulu). Liriknya yang agak kasar dan 18sx serta melodinya yang catchy memang mudah untuk menarik perhatian. Tetapi sebenarnya Jamrud bukanlah sekadar Surti-Tejo. Setelah mendengar keseluruhan albumnya, saya jadi tertarik dengan lagu-lagu yang lainnya.

Ningrat bagi saya adalah muzik rock yang rojak. Ada pelbagai perisa didalamnya. Ianya mengingatkan saya kepada Faith No More. Ada metal, ada rock, ada funk dan ada juga pop. Lagu-lagu seperti "Asal British", "Ingin Jadi Koboi", "Ningrat", "Gaya" dan balada seperti "Pelangi di Matamu" dan "Kabari Aku" memang mudah menangkap. Bolehlah dikatakan yang keseluruhan lagu-lagunya memang sedap. 

Ningrat bagi saya adalah antara album terbaik yang pernah dihasilkan dari negara jiran, Indonesia. Mungkin 2 juta pembeli album tersebut yang menjadikan ianya album ke 7 paling laris sepanjang zaman di Indonesia dan 5 anugerah AMI (Anugerah Muzik Indonesia) yang diperolehi oleh mereka adalah bukti yang nyata.

Sekarang sedang cuba mengumpul cd-cd mereka yang lainnya...

 


Wednesday, March 24, 2021

Gila Format : Rust in Peace



Megadeth - Rust in Peace (1990)

Lama dah album ini berjaya di"gila format"kan. Tetapi asyik terlupa untuk membuat entri untuknya. Ianya mengembalikan kenangan ketika menuntut di ITM Segamat. Tak ingat dah dimana kasetnya di beli. Mungkin di Komtar, JB. Beli ketika album ini baru di keluarkan. Hebatnya promosi album ini dulu siap keluar iklannya di surat khabar.

Versi cd pula di beli di Tower Records KL Plaza. Mungkin sekitar tahun 1997. Ketika itu bekerja di KL. Versi remix/remaster pula adalah dari zaman e-bay free postage dari e-stock. Tak pasti tahun bila. Mungkin dalam 10 tahun yang lalu. Tapi cd yang lagi satu tu ntah tak ingat dah dari mana datangnya...haha..

Versi piring hitam pula di beli di Spin City Records, Skudai pada tahun 2016. Ada buat ceritanya dulu. Sayangnya kedai piring hitam ini lama dah tutup. Cuma sempat singgah sekali. Memang susah la kedai sebegini nak terus hidup.

Begitulah lebih kurang ceritanya. Mana-mana album kegemaran dan ada kenangan memang susah lah untuk menahan nafsu dari ber"gila format".