Wednesday, June 16, 2021

Long Cold Winter

 

Cinderella - Long Cold Winter (1988)

Menjengah kembali album ini kerana baru sahaja berjaya memiliki versi piring hitam. Tak pernah beli versi kaset maka tak dapatlah nak masuk dalam entri "gila format". Tak ada lah beriya-iya mencarinya. Bukanlah antara album kegemaran. Tambah pula biasanya kalau di ebay harganya bukanlah yang jenis mampu milik. Tetapi tak sangka pula akhirnya terjumpa ianya di jual di Shopee dengan harga yang berpatutan.

Kenangannya dulu rasa sedikit kecewa ketika pertama kali dengar. Ianya berbeza dari apa yang diharapkan. Long Cold Winter memang berbeza dari album pertama mereka (Night Songs). Album ini lagu-lagunya lebih bluesy. Saya bukanlah yang jenis mudah hadam dengan lagu-lagu yang jenis sebegini.

Namun begitu ada masa dan ketikanya memang sedap juga melayan lagu-lagu sebegini. Ada masanya memang seronok melayan lagu-lagu seperti "Gypsy Road" dan "If You Dont Like It". Tetapi yang paling best untuk album ini sebenarnya adalah lagu-lagu baladanya. "Dont Know What You Got (Till It's Gone)", "Long Cold Winter" dan "Coming Home" memang syahdu bila di putarkan dikala hendak melayan perasaan.


Monday, June 14, 2021

Bunda

Perhatian.. Ini bukan blog Ada Apa Dengan Ijau?  (biasa blog dia jer kan yang selalu buat cerita pasal air-air minum ni 😀)

Lama dah tau pasal air Bundaberg ni sejak Dr. Ibrisam tulis mengenainya dalam blog Kremaut. Pernah cuba sekali dulu, tapi itulah sahaja sekali. Dulu agak susah juga nak cari air ni berbanding sekarang.

Tetapi dalam tempoh sebulan yang lepas setelah berkali-kali kena "tag" di Facebook oleh rakan-rakan group whatsapp blogger... akhirnya atas pengaruh rakan rakan yang tak sebaya...terjebak juga...😁


Berjaya mencuba 8 jenis perisa (satu tiada dalam gambar) dengan harga yang berbeza-beza mengikut tempat (paling murah adalah di 99 Speedmart). Rasanya memang agak keras dan agak manis juga. Satu-satunya perisa yang agak kurang gemar adalah "lemon,lime & bitters". Yang lainnya memang sedap, cuma agak payah juga nak menghabiskan satu botol dengan sekali jalan bagi yang agak kurang gemar dengan minuman yang manis.


Saturday, June 12, 2021

Dangerous Attraction

Lepas layan band- band rock melayu yang tak pernah dengar, kali ini nak layan pula band-band orang putih yang dulunya sekadar baca di majalah tetapi sekarang baru berpeluang nak dengar.

Nak kata obscure, tak juga. Bagi mat rock/metal 80an, nama-nama band sebegini memang biasa di dengar, cumanya pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkannya dalam bentuk fizikal

Bahagian 3 (hard rock)

Lion - Dangerous Attraction (1987)

Kali pertama terbaca tentang Lion adalah dalam satu artikel dalam majalah Metal Edge pada tahun 1989. Ketika itu mereka sedang dalam proses merakamkan album kedua mereka. Tetapi sekadar baca sambil lalu. Kasetnya pun tak pernah terjumpa ada di jual di sini. Mula yang betul-betul rasa nak ambil tahu hanyalah pada ketika gitaris mereka, Doug Aldrich menyertai Dio untuk album Killing The Dragon (2002).

Sayangnya Dangerous Attraction tidak konsisten. Ada lagu yang sedap dan banyak pula yang sekadar "filler". Dangerous Attraction membuktikan walaupun anda mempunyai gitaris dan vokalis yang bagus, tetapi tanpa lagu-lagu yang sedap, band anda tidak akan kemana.

Tambahan pula saya rasakan yang album ini tidak menonjolkan keupayaan sebenar Doug Aldrich. Ada lagu-lagunya yang mengingatkan saya kepada Whitesnake. Mungkin itu penyebabnya kenapa beberapa tahun kemudiannya David Coverdale menggunakan khidmat beliau di dalam Whitesnake.

Mereka adalah antara beratus band yang mencuba nasib ketika zaman hard rock ataupun ada yang panggil sebagai Glam Metal sedang berada dikemuncak. Sayangnya mereka juga adalah antara "the next big thing" yang gagal. Namun begitu nama mereka akan tetap diingati kerana dua perkara. Lagu mereka yang menjadi tema untuk Transformer The Movie (1986) dan mereka adalah band asal Doug Aldrich.


Wednesday, June 9, 2021

Fire In The Brain

Lepas layan band- band rock melayu yang tak pernah dengar, kali ini nak layan pula band-band orang putih yang dulunya sekadar baca di majalah tetapi sekarang baru berpeluang nak dengar.

Nak kata obscure, tak juga. Bagi mat rock/metal 80an, nama-nama band sebegini memang biasa di dengar, cumanya pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkannya dalam bentuk fizikal

Bahagian 2 (heavy metal)

Oz - Fire In The Brain (1984)

Kalau anda pengemar heavy metal 80an, pastinya cover album ini bukanlah sesuatu yang asing bagi anda. Biasa nampak di majalah rock/metal pada penghujung tahun-tahun 80an dahulu. Tetapi memang tak pernah nampak kasetnya ada dijual di sini.

Asalnya ingatkan mereka berasal dari UK. Lagu-lagu dan sound mereka sememangnya kedengaran seperti band-band New Wave Of British Heavy Metal (NWOBHM). Mungkin kerana pengaruh pada zaman tersebut. Mereka sebenarnya berasal dari Finland. Mereka adalah yang terawal dari Finland sebelum munculnya Stratovarius, Children of Bodom, Amorphis, Nightwish, Beherit, Sentenced, Sonata Arctica dan bermacam-macam lagi band metal yang lainnya.

Sekali dengar terus jadi minat. Saya sememangnya pengemar genre heavy metal 80an. Muzik sebegini sememangnya makanan. Terutamanya yang mempunyai pengaruh dan sound NWOBHM seperti ini. Kalau nak kata "bias"...memang pun. Lagu-lagunya memang catchy. Rif dan solo gitar yang lazat. 

Fire In The Brain adalah "straight forward heavy metal". Mereka dalam garisan sempadan antara heavy dan speed . Bagi yang sukakan sound klasik heavy metal 80an, ini adalah salah satu album yang patut anda dengar.

Rekomended!




Monday, June 7, 2021

The Kindred

Lepas layan band- band rock melayu yang tak pernah dengar, kali ini nak layan pula band-band orang putih yang dulunya sekadar baca di majalah tetapi sekarang baru berpeluang nak dengar.

Nak kata obscure, tak juga. Bagi mat rock/metal 80an, nama-nama band sebegini memang biasa di dengar, cumanya pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkannya dalam bentuk fizikal

Bahagian 1 (thrash)

Pariah - The Kindred (1988)

Kalau anda pendengar band Satan pastinya anda tahu Pariah. Mereka adalah band yang sama. Cumanya mereka menukar nama kerana genre muziknya yang sedikit berbeza. Kalau Satan bermain heavy metal (NWOBHM) tetapi dengan Pariah mereka beralih ke arah thrash.

Lagu-lagu mereka boleh lah dikatakan sebagai "generic thrash". Memang kuat pengaruh Bay Area thrashnya. Namun begitu masih ada lengok-lengok NWOBHM dalam beberapa buah lagu-lagunya. Rasanya agak susah juga nak hadam kalau anda bukannya pengemar thrash yang totok. Tak ada lagu yang boleh membuatkan anda melekat dengan hanya sekali pendengaran.

Secara peribadinya, walaupun saya adalah pengemar thrash. saya lebih sukakan muzik Satan berbanding Pariah. Namun begitu, album kedua mereka, Blaze of Obscurity (1989) rasanya lebih menarik. 



Friday, June 4, 2021

Ababil

Layanan ketika di kuarantin 10 hari... (bahagian 5 dan akhir)

Dalam tempoh terkurung di rumah ini saya cuba untuk mendengar seberapa banyak album-album rock melayu yang suatu masa dahulu tak pernah di ambil tahu.

*** Tetapi maaf lah saya hanya mampu mendengarnya melalui versi cdr. Tak pernah jumpa versi cd dan tak mampu pula kalau nak beli versi kaset ataupun piring hitam yang asal.

Ababil - Ababil (1989)

Dulu ada baca tentang mereka di URTV. Band yang asalnya menggunakan nama History dan berasal dari Johor. Pernah juga mendengar kasetnya (kepunyaan adik perempuan). Tapi secara jujurnya saya dah lupa bagaimana lagu-lagunya. 

Untuk entri ini, saya cuba mendengarnya semula. Ternyata saya masih ingat dan boleh ikut menyanyi  bahagian chorus lagu track pertamanya yang bertajuk "Ababil". Melodinya catchy, mungkin kerana itu ianya masih lekat dalam ingatan walaupun selepas 32 tahun.

Tetapi lagu-lagu lainnya memang tak ingat, mungkin "Cinta Belum Berakhir" ada juga sekali dua terdengar di radio. Yang lainnya memang seperti kali pertama dengar. Selain dari lagu "Ababil", hanya lagu "Hidup Topengan" yang ala-ala Loudness sahaja yang jenis berat. 2 lagu rancak yang lain adalah jenis hard rock /rock n roll yang ringan. Manakala 6 lagu yang lainnya adalah lagu-lagu slow rock (ada yang ok, ada yang meleweh walaupun majoritinya masih ada distortion gitar)

Mungkin ini penyebabnya kenapa mereka bukan kumpulan yang saya ikuti walaupun pernah mendengar kasetnya. Banyak sangat lagu meleweh dan saya kurang berkenan dengan dengan suara halus penyanyinya. Maklumlah pada zaman itu dan pandai dengar growl Max Cavalera. Tapi dia hensem kan? Mungkin kerana itu adik saya membeli kasetnya...hahaha...

Sayangnya kaset tersebut dah hilang. Ababil sangat sesuai untuk yang sukakan balada rock. Rasanya mereka adalah antara kumpulan rock yang terawal merakamkan lebih banyak lagu balada berbanding amalan biasa sebelum itu yang hanya ada 3 ataupun 4 lagu balada dalam satu album.


Wednesday, June 2, 2021

Senikata Cinta

Layanan ketika di kuarantin 10 hari... (bahagian 4)

Dalam tempoh terkurung di rumah ini saya cuba untuk mendengar seberapa banyak album-album rock melayu yang suatu masa dahulu tak pernah di ambil tahu.

***Tetapi maaf lah saya hanya mampu mendengarnya melalui versi cdr. Tak pernah jumpa versi cd dan tak mampu pula kalau nak beli versi kaset ataupun piring hitam

Jasad Liar - Senikata Cinta (1992)

Nama ganas. Tengok senarai nama band membersnya pun dasyat -dasyat..

Acey - penyanyi (Teras)

Joe - gitar (Burnmarks)

Zanal - bass (Naja)

Emy - drum (Burnmarks)

Tetapi sayang lagu-lagunya bukanlah yang kena dengan selera saya. Bukan tak bagus, tengok pemuziknya pun (terutamanya Joe) dah tahu yang mereka adalah hebat. Lagu-lagu pun adalah ciptaan mereka sendiri. Tetapi konsep mereka lebih kepada pop rock dengan beberapa lagu yang condong ke arah hard rock kerana sound gitar Joe.

Saya menantikan lagu-lagu neo classical metal ala-ala Malmsteen kerana sejarah Joe sebagai peminat Malmsteen. Sayangnya album ini lebih tertumpu kepada lagu-lagu balada yang agak komersial. Tetapi ada juga bahagian solo-solo gitar yang menunjukkan kehebatan beliau tetapi ianya terbatas kerana konsep album yang sebegitu.

Ada juga lagu-lagunya yang mudah melekat. "Ilham Bumi" dan "Selamat Malam" adalah di antaranya. Jika anda sukakan lagu-lagu balada rock mungkin album ini sesuai untuk anda.