Saturday, February 18, 2023

Shake Your Money Maker

Yang menyambut ulang tahun ke 33 pada 13hb Februari


The Black Crowes - Shake Your Money Maker (1990)

Kadang-kadang ada band yang kita cuba nak minat tetapi tak berapa berjaya nak minat. The Black Crowes adalah salah satu darinya. Lagu-lagu mereka cukup popular di MTV/Channel V dan juga di radio pada awal 90an dahulu. Populariti mereka pada ketika itu menjadi penarik untuk mendengar dan membeli cd ini. Tetapi sayangnya selepas beberapa kali percubaan, saya gagal untuk meminatinya.

Mereka adalah sebuah rock band yang pekat pengaruh bluesnya. Ada juga bunyian rock and roll 70an dan southern rock. Mereka bagus. Kalau tak, tak kan lah album ini boleh terjual sehingga lebih dari 5 juta unit. Tetapi malangnya muzik genre sebegini bukanlah makanan saya. Percubaan mendengarnya ketika zaman remaja dan di waktu sekarang yang semakin tua berusia tetap juga tak boleh nak berapa masuk.


Namun begitu lagu-lagu hits mereka yang dulunya sering di dengar di radio seperti "Jealous Again" dan balada "She Talks to Angels" memang tidak boleh dinafikan sedap. Tetapi yang paling minat sudah semestinya "Hard to Handle". Dulu sempat juga video clip nya di rakam di TV dan di tonton berulang kali. 

3 lagu ini rasanya sudah cukup berbaloi untuk mengapa cd ini tidak rasa rugi untuk dimiliki...



Tuesday, February 14, 2023

Halo

Yang menyambut ulangtahun pertama pada 11hb Februari yang lalu...


Amorphis - Halo (2022)

Lama dah beli. Asyik terlupa untuk menulis tentangnya. Itu tandanya yang ianya bukanlah album yang meninggalkan kesan untuk saya. Tetapi tidaklah bermakna ianya tidak bagus. Terlampau banyak album yang bagus untuk 2022 menyebabkan Halo bukanlah keutamaan. 

Muzik mereka masih sama seperti beberapa album yang lalu. Progressif melodic power metal dengan gabungan vocal “growl” dan “clean”. Yang membezakannya adalah kualiti lagu-lagunya. Dan ianya tidak dinafikan bagus. Sama bagus dengan album sebelumnya. Melodinya sedap. Tetapi tidak ada yang benar-benar boleh melekat. Kalau ada pun mungkin lagu track pertama, Northwards.


Ianya adalah masalah yang sama bagi band-band berkonsep sebegini. Sekurang-kurangnya kepada orang seperti saya. Sedap tetapi tidak ada faktor X yang boleh membuatkan rasa teringin untuk mengulang dengarnya semula. 

Tetapi jika anda adalah peminat tegar Amorphis, tak ada pun pun yang perlu dikomplen. Ini sememangnya apa yang anda harapkan dari mereka.



Friday, February 10, 2023

The Great Heathen Army

 Album pilihan 2022

Amon Amarth - The Great Heathen Army (2022)

Untuk mempermudahkan jalan cerita, jika anda adalah peminat Amon Amarth, anda tidak akan kecewa. Tetapi jika anda mahukan suatu kelainan dari mereka, mungkin anda tak akan jumpa

Amon Amarth tetap setia dengan "branding" mereka. Melodic death metal dengan lirik yang bertemakan Viking mythology. Yang menariknya, mereka masih dapat menghasilkan rif dan melodi yang sedap walaupun ini adalah album mereka yang ke 12.

Mungkin ada yang beraggapan yang mereka telah menjadi statik sejak beberapa album yang lalu tetapi bagi saya ianya lebih kepada mereka telah berjaya menghasilkan bunyi yang boleh dikenali atau satu formula muzik yang sudah menjadi sinonim dengan nama mereka.

Kalau ada pun sedikit kelainan untuk album ini bagi saya adalah dari lagu “Saxons and Vikings”. Biff Byford (Saxon) sebagai vokalis jemputan membawa semangat heavy metal ke dalam muzik Amon Amarth. Dan ianya menjadi salah satu lagu kegemaran saya untuk tahun 2022.

The Great Heathen Army adalah salah satu dari pilihan saya untuk album pilihan 2022.


Tuesday, February 7, 2023

True North

 Album pilihan 2022

A-Ha - True North (2022)

A-Ha adalah kenangan zaman sekolah. Kali terakhirnya yang betul-betul menghayati album mereka adalah Scoundrel Days (1986). Mereka adalah band pop terakhir yang saya suka sebelum mula terjebak menjadi mat rock.

Tidak mengambil tahu tentang album-album mereka selepas dari tu. Kali terakhir membeli cd mereka adalah album kompilasi Headlines and Deadlines: The Hits of A-ha (1991)

Semakin meningkat usia, semakin banyak kita bernostalgia. Berita tentang album baru mereka di Facebook dan ditambah pula "rachun" dari seorang kenalan di Facebook yang berkongsi gambar beliau membeli piring hitam album baru tersebut membuatkan tiba-tiba timbul rasa minat untuk membelinya.

Selain dari itu, tajuk albumnya juga membuatkan sedikit rasa teruja. Maklumlah tajuk "True North" itu seolah-olah seperti tajuk sebuah album black metal. Maklumlah, A-ha juga berasal dari Norway. Sebenarnya...mereka adalah the true Norwegian black metal….hahaha...

Atas sebab nostalgia, saya cuba juga menghayati lagu-lagunya walaupun muzik pop sebegini bukan lagi makanan minda untuk saya. Awalnya agak susah juga. Majoriti lagu-lagunya agak "mellow" dan agak meletihkan (zzzzzzzzzzzzzzzzzz). Hampir tiada lagu yang mengenengahkan gitar berdistorsi dari Paul Waaktaar seperti di album-album awal. Maklumlah saya adalah seorang yang agak sukar untuk menghayati lagu-lagu yang agak meleweh

Tetapi setelah beberapa kali percubaan, terutamanya ketika perjalanan berkereta menempuh jalan jem di dalam suasana hujan yang lebat. Akhirnya ada juga lagu-lagunya menusuk jiwa. Mungkin aura cuaca sejuk ala-ala di Noway (hahaha) pada ketika itu menyebabkan otak lebih mudah untuk menerima. Melodinya sedap tetapi temponya agak perlahan. Mungkin seiring dengan peningkatan usia. namun begitu Vokal Morten Harket masih tetap seperti dulu.


Friday, February 3, 2023

The Gang's All Here

Album pilihan 2022

Skid Row - The Gang's All Here (2022)

Dah lama tak ambil tahu perihal Skid Row. Kali terakhir membeli produk album baru dari mereka adalah "Thickskin (2003)". Tanpa Sebastian Bach dan arah tuju muzik mereka yang berlainan membuatkan jadi kurang berminat untuk terus mengikuti album yang seterusnya. 

Desas desus di media sosial yang mengatakan album terbaru mereka telah kembali kepada muzik Skid Row yang asal menyebabkan sedikit rasa teruja untuk mendengarnya. Dan ternyata ianya memang betul.

Scott "Snake" Sabo, Scotti Hill dan Rachel Bolan akhirnya kembali memberikan senyuman kepada peminat asal mereka. "The Gang's All Here" sememangnya membawa kita kembali ke era tersebut. Mendengarnya secara "back to back" bersama "Skid Row (1989)" dan "Slave to the Grind (1991)" seolah-olah ianya dalam satu jangka masa yang sama.

Membawa masuk Erik Grönwall di posisi vokal ternyata satu keputusan yang tepat. Kehebatan vokal beliau yang ada masanya mirip kepada Sebastian Bach ternyata mengembalikan aura Skid Row yang asal.

The Gang's All Here adalah salah satu dari album pilihan Top 10 untuk tahun 2022 saya...


Monday, January 30, 2023

A Bit of What You Fancy

Sempena ulangtahunnya yang ke 33 semalam (29hb Januari)...



The Quireboys - A Bit of What You Fancy (1990)

Sesiapa pun yang menonton siri Peacemaker di HBO pastinya tak akan terlepas pandang dengan album ini. Malah watak utama lakonan John Cena siap menyanyikan lagu "I Don't Love You Anymore". Lagu yang boleh dianggap paling popular dari The Quireboys.

Sebenarnya piring hitam ini baru sahaja saya miliki beberapa bulan yang lalu. Kebetulan terjumpa dengan harga yang murah dari satu website Jepun. Membelinya bukan kerana Peacemaker, tetapi ianya mengembalikan ingatan saya kepada majalah Kerrang di awal tahun 90an. Seperti kebiasaannya Kerrang tidak pernah tidak mempromosikan band-band British. The Quireboys adalah salah satu darinya. Tajuk albumnya yang agak unik menyebabkan ianya agak mudah untuk diingati.


Tak pernah dengar pun albumnya dulu. Satu-satunya lagu yang tahu adalah "I Dont Love You Anymore". Tak ingat samada dengar di radio ataupun  di dalam kaset kompilasi lagu-lagu slow rock milik kawan-kawan. Tapi biasalah, awal 90an dulu lebih memilih untuk membeli kaset-kaset band yang lebih ekstrem demi menjaga status seorang TRUE kekangan kewangan.

Cuba juga mendengarnya ketika zaman download MP3 (2000an). Tetapi tak berapa nak masuk. Maklumlah saya bukanlah peminat lagu-lagu bluesy hard rock. Tetapi seiring dengan peningkatan usia, sedar tak sedar kita akan menjadi semakin “mellow”. Pada masa, hari dan mood yang tertentu, lagu-lagu sebegini terasa sangat sedap ditelinga….


Thursday, January 26, 2023

Gila Format - Endorama

Antara yang terkini kena penyakit gila format...

Kreator - Endorama (1999)

Yang betul-betul kemaruk dengan Kreator adalah ketika zaman Coma Of Soul (1990). Kemudiannya menjadi kurang. Tak ingat kenapa. Mungkin kerana keadaan semasa, minat dan keutamaan yang bebeza. Di tambah pula dengan muzik mereka yang berubah. 

Tidak mengambil tahu tentang mereka sehinggalah munculnya album Endorama. Itupun asalnya kerana tertarik dengan gambar covernya yang agak berlainan. Membeli kasetnya sekadar hanya membeli. Tak menghayati dan terus di simpan di rak. Seperi gambar covernya, muzik Kreator juga sudah berubah. 

Beberapa tahun kemudiannya, apabila mendengar Sentenced - The Cold White Light (2002) baru perasan yang muzik sebegini ada dalam Endorama. Dan pada ketika itu baru tahu yang ianya adalah di dalam genre gothic metal. Memang jauh berbeza dengan thrash yang sinonim dengan Kreator.

Ianya agak poppy. Dan ada juga sedikit pengaruh industrial. Tetapi yang menariknya ada beberapa lagu yang Mille Petrozza betul-betul menyanyi bukannya growl. Boleh tahan juga sebenarnya suara beliau. 

Kalau anda seoarang metalhead yang mencari Kretor yang thrash, Endorama bukanlah tempatnya. Tetapi untuk yang lainnya, album ini sedap dan menghiburkan. Saya adalah golongan yang kedua. Kalau tak, mana mungkin ianya saya “giler format”kan…