Monday, March 29, 2021

Quiet Riot

 Randy Rhoads sebelum Ozzy dan Quiet Riot sebelum Metal Health...

Quiet Riot - Quiet Riot (1977)

Album ini sebenarnya hanya pernah dikeluarkan di Jepun. Randy Rhoads ketika hayatnya dan keluarga beliau selepas kematiannya tidak membenarkan ianya di keluarkan semula terutamanya di US. Pernah terbaca yang Randy berasa malu dan pernah menangis bila ibunya sendiri mengkritik album ini. Dan ada juga terbaca yang Kevin Dubrow semasa hayatnya juga tidak mahu album ini dikeluarkan semula. Tak pasti juga adakah album ini pernah dikeluarkan dalam bentuk cd. Yang pastinya versi cd kepunyaan saya ini adalah versi bootleg dari Russia. 

Album ini memang jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan Quiet Riot di zaman Metal Health apatalah lagi Randy di zaman Ozzy Osbourne. Ia sememangnya bukan sebuah album heavy metal. Muziknya lebih terarah kepada pop rock 70an. (ala-ala Queen mungkin?..). Kerja gitar Randy dalam album ini juga agak kurang menonjol jika hendak dibandingkan dengan status beliau sebagai gitar hero di kemudian harinya. Namun begitu ada juga solo-solo dan rif-riff beliau yang sudah nampak ke arah tersebut. Cumanya mungkin produksi album ini yang kurang memberi perhatian kepada gitar beliau.

Album ini sering mendapat ulasan dan kritikan dengan rating yang rendah. Tetapi secara peribadinya, saya rasa ianya masih sebuah album yang saya boleh enjoy selagi tidak kita membandingkannya dengan Blizzard of Ozz, Diary of a Madman, Metal Health atau pun Condition Critical.


Friday, March 26, 2021

Ningrat

Bertahun dah cari. Akhrinya ketemu di Shopee.....

Jamrud - Ningrat (2000)

Tak berapa mengikuti sangat perkembangan muzik rock dari Indonesia. Zaman hujung 80an dahulu yang pernah dengar hanyalah God Bless. Itu pun kerana lagu-lagunya ada di mainkan di radio Singapura (biasanya di mainkan oleh DJ Rock, Arwah Adnan Maswan).

Jamrud terutamanya lagu Surti-Tejo diperkenalkan kepada saya melalui Forum Metal Terus. (Sebuah portal untuk komuniti peminat rock dan metal di alam maya yang aktif pada awal tahun 2000an dulu). Liriknya yang agak kasar dan 18sx serta melodinya yang catchy memang mudah untuk menarik perhatian. Tetapi sebenarnya Jamrud bukanlah sekadar Surti-Tejo. Setelah mendengar keseluruhan albumnya, saya jadi tertarik dengan lagu-lagu yang lainnya.

Ningrat bagi saya adalah muzik rock yang rojak. Ada pelbagai perisa didalamnya. Ianya mengingatkan saya kepada Faith No More. Ada metal, ada rock, ada funk dan ada juga pop. Lagu-lagu seperti "Asal British", "Ingin Jadi Koboi", "Ningrat", "Gaya" dan balada seperti "Pelangi di Matamu" dan "Kabari Aku" memang mudah menangkap. Bolehlah dikatakan yang keseluruhan lagu-lagunya memang sedap. 

Ningrat bagi saya adalah antara album terbaik yang pernah dihasilkan dari negara jiran, Indonesia. Mungkin 2 juta pembeli album tersebut yang menjadikan ianya album ke 7 paling laris sepanjang zaman di Indonesia dan 5 anugerah AMI (Anugerah Muzik Indonesia) yang diperolehi oleh mereka adalah bukti yang nyata.

Sekarang sedang cuba mengumpul cd-cd mereka yang lainnya...

 


Wednesday, March 24, 2021

Gila Format : Rust in Peace



Megadeth - Rust in Peace (1990)

Lama dah album ini berjaya di"gila format"kan. Tetapi asyik terlupa untuk membuat entri untuknya. Ianya mengembalikan kenangan ketika menuntut di ITM Segamat. Tak ingat dah dimana kasetnya di beli. Mungkin di Komtar, JB. Beli ketika album ini baru di keluarkan. Hebatnya promosi album ini dulu siap keluar iklannya di surat khabar.

Versi cd pula di beli di Tower Records KL Plaza. Mungkin sekitar tahun 1997. Ketika itu bekerja di KL. Versi remix/remaster pula adalah dari zaman e-bay free postage dari e-stock. Tak pasti tahun bila. Mungkin dalam 10 tahun yang lalu. Tapi cd yang lagi satu tu ntah tak ingat dah dari mana datangnya...haha..

Versi piring hitam pula di beli di Spin City Records, Skudai pada tahun 2016. Ada buat ceritanya dulu. Sayangnya kedai piring hitam ini lama dah tutup. Cuma sempat singgah sekali. Memang susah la kedai sebegini nak terus hidup.

Begitulah lebih kurang ceritanya. Mana-mana album kegemaran dan ada kenangan memang susah lah untuk menahan nafsu dari ber"gila format".



Sunday, March 21, 2021

Louder Than Hell

 Album yang mengimbau kenangan... 


Manowar - Louder Than Hell (1996)

Louder Than Hell mengembalikan kenangan di tahun 1996. Tahun berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja. Duduk menumpang di rumah abang di Kg. Pandan. Kasetnya adalah antara kaset yang terawal dibeli pada ketika itu. Tak ingat beli di mana. Berkemungkinan di Sungei Wang / Bukit Bintang Plaza. Tempat yang selalu di singgah selepas balik kerja (tempat kerja di Jalan Pahang) untuk menggali kaset dan cd selain di Tower Records KL Plaza.

Versi Malaysia tajuknya Louder. Tiada perkataan Than Hell. Mungkin untuk mengelakkan sebarang isu kontroversi. Beli dulu dapat poster bersize A3 (kalau tak silap). Lama dah hilang sejak 2,3 kali berpindah rumah. 

Baru-baru ni baru perasan yang saya tidak mempunyai album ini dalam versi cd yang asli. Yang ada dalam simpanan hanyalah versi "Asia Link". Seperti biasa "e-bay" adalah jalan yang mudah untuk menghabiskan duit...hahah

Sebulan lebih selepas itu dah ada pun cdnya di depan mata..

atas - versi ori, bawah - versi Asia Link

Secara peribadinya, ini adalah album Manowar terakhir yang paling saya suka. Bermula dari Warriors of the World dah rasa kurang dah. Apa yang saya ingat, kartunis Gayour ada mengabadikan lirik Lagu "Number 1" dalam siri kartun popular beliau, "Bersama Selamanya".

Satu lagi yang tak boleh dilupakan apabila Dj Radio 4 RTM (sekarang Traxx FM) memainkan lagu "Courage" dalam slot rancangan pagi mereka. Tak kisah lah walaupun ianya hanya sebuah lagu balada. Tapi siapalah sangka yang lagu Manowar boleh keluar di nasional radio kan...



Friday, March 19, 2021

Headhunter

Mengimbau kenangan remaja 

Krokus - Headhunter (1983)

Tak berapa mengikuti sangat Krokus ni. Satu-satunya album mereka yang saya dengar secara penuh ketika tahun 80an dahulu adalah album live, "Alive and Screamin' (1986). Tetapi tak pernah ada rasa nak ambik tahu dengan lebih mendalam tentang album-album studio mereka yang lainnya.

Satu-satunya lagu mereka yang saya cukup biasa adalah lagu slow rock, "Screaming In The Night". Itu pun kerana lagu tersebut ada di dalam salah satu kaset kompilasi pirate Apache yang dibeli ketika zaman sekolah. 

Makanya sebab utama mengapa cd ini dibeli adalah kerana adanya lagu "Screaming In The Night" di dalamnya. Ianya mengimbau kenangan zaman sekolah. Tambahan pula lagu-lagu dari album ini lebih "metal" jika hendak dibandingkan dengan album-album mereka yang sebelumnya yang mana ianya lebih cenderung untuk menjadi klon kepada  ACDC.

Iya...Salah satu sebab lain mengapa saya kurang mendengar Krokus adalah kerana lagu-lagunya yang seakan-akan ACDC. Zaman remaja dulu, saya sememangnya agak kurang gemar dengan lagu-lagu ACDC. Tak berapa nak masuk. Tetapi seiring dengan kematangan usia, saya mula boleh menerima muzik ACDC semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ianya boleh menjadi salah satu sebab pula untuk saya terus meneroka album-album Krokus yang lainnya...



Tuesday, March 16, 2021

Fanatisme

 Layanan ketika WFO....

Lefthanded - Fanatisme (1991)

Walaupun saya adalah peminat besar Lefthanded terutamanya ketika era BOTB dan 3 album terawal mereka, tetapi saya tidak pernah mengambil tahu tentang album ini.

Ketika Keadilan diterbitkan, mereka adalah band rock no 1 bagi saya. Lebih tinggi kedudukannya dari Search. Tetapi entah di mana silapnya, saya rasakan mereka semakin merundum dari satu album ke satu album yang berikutnya. 

Satu-satunya lagu yang saya tahu dari album ini adalah "Semangat Lamina". Itu pun versi nyanyian Arab dalam album "Nafas". Mendengar album ini rasanya seperti mendengar album solo Ramli Sarip. Majoriti lagu-lagunya tidak mengingatkan saya kepada muzik Lefthanded. Mungkin juga imej dan aura Ramli Sarip yang terlampau kuat. Tambahan pula kesemua lagu-lagunya adalah ciptaan beliau.

Saya tak rasa gabungan mereka dengan menggunakan nama Lefthanded adalah satu kejayaan. Sebagai peminat Lefhanded saya rasa agak janggal. Tetapi dalam masa yang sama, sebagai seorang yang minat juga dengan Ramli Sarip, ini sesuatu yang bagus bila Ramli kembali dengan rock n roll.



Saturday, March 13, 2021

Songs from the Sparkle Lounge

Antara cd yang baru dimiliki...

Def Leppard - Songs from the Sparkle Lounge (2008)

Sebuah lagi band yang menjadi kegemaran ketika zaman remaja tetapi tak ambil tahu pasal mereka kemudiannya. Kali terakhir yang betul-betul minat dengan muzik mereka adalah album Retro Active (1993). Bermula dari Slang (1996) memang dah tak berminat. Tak beli pun. Tetapi ketika Euphoria (1999) beli juga kasetnya. Tetapi minat kepada mereka semakin luntur. Bila X (2002) keluar memang langsung dah tak ambil tahu..

Cd ini sebenarnya baru di beli tahun lepas. Perbincagan bersama rakan blogger di whatsapp group menyebabkan rasa terpanggil untuk mencuba. Def Leppard sebenarnya telah lama berubah. Kalau nak kira sekurang-kurangnya dah 3 kali mereka berubah. Dari zaman Pete Willis / Steve Clark (NWOBHM) ke zaman Steve Clark / Phil Collen (Melodic hard rock) hinggalah kepada Phil Collen / Vivian Campbell (pop rock). Kalau minat mereka di era sekarang belum tentu anda boleh minat era On Through the Night (1980). Memang muziknya berbeza.

Songs from the Sparkle Lounge secara jujurnya tidaklah mengecewakan sangat. Ada jugalah percubaan mereka di dalam beberapa lagunya yang cuba untuk mencapai "rasa" Hysteria walaupun tak berapa nak sampai. "Bad Actress" adalah lagu rancak yang baru nampak ada gunanya juga 2 shredder bagus dalam satu band (kalau anda faham maksud saya).

Secara keseluruhannya, ianya jenis melodic hard rock yang boleh layan jika anda tak mementingkan sangat sound Def Leppard yang lama. Lagu balada "love" memang seakan-akan lagu Queen. Kalaulah solo lagu ini dipanjangkan pastinya ia akan menjadi sebuah lagu balada yang epik.

Apa-apa pun gambar cover dia menarik.