Sunday, July 12, 2020

Let Them Eat Metal



The Rods - Let Them Eat Metal (1984)

Akhirnya berjaya dimiliki (rujuk >sini<)

Tertarik untuk memiliki cd ini bukan kerana gambar covernya...hahaha.... Tetapi kerana 2 lagu di dalamnya (Rock Warriors dan White Lightning) pernah dibawakan oleh Rahim Maarof & Whitesteel dalam siri jelajah konsert Battle of the Bands.

Entah kenapa lagu-lagu The Rods agak asing bagi zaman remaja saya. Tak pernah dengar pun dan tak ada kawan yang pernah ada kaset mereka. Hanya mula mendengar mereka ketika zaman ujudnya MP3.

Satu yang agak kurang berkenan tentang album ini adalah dari segi soundnya. Bunyi gitarnya agak tenggelam dan terkebelakang. Tak pasti samada memang itu sound yang asal atau mungkin juga mixing baru untuk versi cd remastered ini. Kurang kasar dan kurang bunyian heavy metalnya.

Sememangnya Rock Warriors dan White Lightning adalah antara lagu terbaik mereka. Mereka adalah seperti lambakan band-band rock pada zaman tersebut. Ada lagu-lagunya di pengaruhi blues seperti ACDC (contoh : I'm a Rocker) dan ada juga di bawah pengaruh heavy metal seperti Judas Priest (contoh : Bad Blood).

Menarik tetapi biasa-biasa sahaja. Mungkin jika mendengarnya pada pertengahan tahun 80an perasaanya akan berbeza. Sesuai untuk mereka yang suka mengumpul khazanah band rock 80an.



Tuesday, July 7, 2020

Skuad Pemusnah

Antara cd band tempatan yang terkini dalam simpanan.


Tandus - Skuad Pemusnah (2020)


Lama tak dengar nama Tandus. Kalau anda seorang mat metal underground tempatan, terutamanya dari Johor Bahru pasti tahu atau sekurang-kurangnya pernah dengar nama Tandus.

Saya adalah golongan dari Johor Bahru yang pernah dengar nama tapi tak pernah dengar lagunya. Tahun 1997, Ketika EP mereka, Logam Maut di lancarkan adalah tahun yang saya agak "lost" dengan muzik metal terutamanya dunia metal tempatan.

Tambah pula saya hanyalah seorang poser. Peminat "Poison" yang bertshirtkan "Napalm Death"…kahkahkah…… Jujurnya saya tak duduk dan bercampur dengan gang underground walaupun saya kenal Fadzil MuzikBox dan mungkin dia pun dah tak kenal saya….hahaha…

Ok berbalik kepada cd ini. Ianya masih berkonsepkan heavy/speed atau thrash metal seperti Logam Maut. Yang berbeza adalah muziknya lebih kemas, lebih melodic, solo-solo yang lebih menarik dan gaya vocal yang berbeza. Maklumlah hanya tinggal seorang anggota yang asal. Jarak masa 20++ tahun juga memainkan peranan. Gaya dan selera sedikit sebanyak akan berubah.

Terus terang saya suka cd ini. Tambahan pula liriknya menggunakan Bahasa Melayu. Patut dipuji adalah kerja gitar 2 orang gitarisnya. Memang padu. Kalau suka Logam Maut, tiada sebab untuk tidak suka Skuad Pemusnah!




Sunday, July 5, 2020

Walkman Phillips

Beberapa hari lepas dalam whatsapp group, Zan Bassist tercerita pasal walkman Sony menyambut ulangtahun ke 41 (Sony walkman mula di perkenalkan pada pasaran pada 1hb Julai, 1979). Terus gigih meng"google" dan cuba mengingati apa brand walkman saya yang pertama.

Tak sangka pula boleh jumpa.... tadaaaa.....


Jenama Phillips. Model paling murah. Tak ada auto reverse. Itu sahaja yang termampu. Di beli pada tahun 1989 di sebuah kedai gambar atau kedai jam di Pekan Ulu Tiram. Ingat-ingat lupa. Kedai tu ada menjual kamera, jam, kalkulator, pen dan juga walkman. Asalnya nak beli kalkulator kerana ketika itu sedang dalam semester pertama belajar di ITM.

Kalau tak silap, mak bagi RM100 untuk beli kalkulator dan duit belanja. Tapi penyudahnya beli walkman...hahaha.... Tak ingat dah bila pula beli kalkulator.

Dulu harganya cuma RM35. Tengok pula harganya sekarang. USD100 tu... Bak kata Zan, begitulah harga sebuah kenangan....

Thursday, July 2, 2020

WFH - Strategi

Yang tersangkut dalam draft semasa berkerja dari rumah sejak beberapa minggu yang lalu...



MAY - Strategi (1991)

Antara album yang dulunya tak pernah tau pun kewujudannya. Album MAY yang terakhir betul-betul dengar adalah Rahsia (1990). Selepas dari itu memang tak berapa nak ambil tahu tentang rock melayu. Kalau tahu pun adalah lagu-lagu yang popular di radio dan satu dua kumpulan seperti Wings contohnya.

Ini bukanlah cd yang asli. Yang asli dah susah nak dapat. Kalau ada pun harganya agak keras. Syarikat yang mengeluarkan album ini pun dah pupus. Memang susahlah kalau nak buat versi keluaran semula. Altenatifnya adalah versi cdr pro-printed* yang macam ini.

Boleh tahan juga album ini. Ada beberapa lagu yang berbunyi thrash. "Strategi", "Alam" dan "Singa Taring Palsu" adalah antara yang berat. 3 lagu "slow" pun sedap. Tetapi ada lagu "slow"nya  yang tak macam MAY ketika album-album awal. Muziknya agak lain. Mungkin "rumours" yang mengatakan ada lagu mereka dimainkan oleh seasonist ada kebenarannya. Feelnya memang lain. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi album ini adalah terbitan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, saya lebih menyukai Rahsia. Mungkin kerana album itu didengar ketika zaman remaja berbanding ketika umur dah meningkat 4 series...hahaha....

Jujurnya pada saya lagu "Strategi" versi Yantzen dalam album Layar lebih best berbanding versi Mus. Entah kenapa sejak kebelakangan ini lebih suka pula MAY ketika bersama Yantzen.

*Maaf saya tidak menyokong cetak rompak. Ini adalah sekadar cdr dari peminat untuk peminat yang tak dapat mencari cd asli yang asal.



Saturday, June 27, 2020

Cd 2019 - Bahagian 19 (Tales From The Beast)

Antara cd yang di beli tahun lepas tapi tak sempat nak di buat cerita....


Paul Di'Anno - Tales From The Beast (2019)

Iron Maiden saya adalah Bruce Dickinson tetapi Paul Di'anno akan tetap berada di tempat yang istimewa. Iron Maiden di zaman beliau adalah lebih kasar, lebih laju dan lebih tegar bunyian NWOBHM nya.


Ini adalah rakaman baru atau cover version lagu-lagu kebangaan beliau ketika bersama Iron Maiden. Ianya bukanlah benda baru. Sebelum ini pun dah pernah buat di dalam album The Classics : The Maiden Years. Kalau dah ada album tu sebenarnya tak perlu pun ada yang ini. Tetapi kalau anda adalah penyokong beliau, apa salahnya beli. Memang ada kelainan dan dapat juga menolong untuk menampung duit bil rawatan beliau.


Tak kenal pun siapa pemuzik di dalam album ini. Tetapi permainan dan susunan muziknya bagus. Satu lagi yang berbeza terdapat juga lagu cover seperti Symphony Of Destruction - Megadeth, Aint Talking About Love - Van Halen, Kashmir - Led Zeppelin dan pilihan yang aneh Bad - Michael Jackson.

Tak pasti orang lain. Tetapi bagi saya, biarlah beliau merakamkan semula lagu-lagu dari 2 album awal Maiden berkali-kali pun dari beliau merakamkan lagu-lagu cover seperti ini. Macam tak kena....

Yer...vokal beliau masih bagus. Apa-apa pun harapnya beliau terus istiqamah sebagai seorang muslim...




Tuesday, June 23, 2020

World Gone Mad



CJSS - World Gone Mad (1986)

Album ini mengembalikan kenangan di tahun 1987 atau 1988. Satu artikel di majalah URTV tentang senarai gitaris terbaik mengenalkan saya kepada David T Chastain. URTV memang rock pada ketika itu. Selain ruangan jiwang dan mekar setaman, Arwah Mama Juwie juga banyak menulis artikel tentang muzik rock.


Dalam senarai gitaris tersebut, selain nama-nama gitaris top yang biasa macam Malmsteen, Eddie Van Halen, George Lynch dan lain-lain yang dan tak berapa nak ingat dah. Ada 2 nama yang jarang-jarang di sebut. Satunya adalah Mark Kendall (Great White) dan lagi satu adalah David T. Chastain.

Mark Kendall tu memag tahu. Memang "follow" Great White. Tapi David T. Chastain ni tidak. Siapa dia? . Tak pernah dengar pun namanya. Tetapi secara kebetulannya tak lama selepas itu, abang yang berkerja di Kuala Lumpur balik kampung dengan membawa kaset CJSS - World Gone Mad. Masa tu barulah tahu yang beliau adalah gitaris untuk kumpulan CJSS. Memang beliau seorang shredder yang hebat. Memang patut pun masuk dalam senarai.


Sejak dari itu memang lama dah cari versi cd. Cuma baru ini terjumpa. Band, album dan gitaris yang agak "underated". Tetapi untuk peminat heavy metal 80an, ini sememangnya mengasyikan.

Sayangnya cd ini bukan lah versi Leviathan  yang gambar covernya sama seperti kaset. Tetapi ianya terbitan dari Black Dragon Records (pengedar album mereka dari Perancis) yang covernya agak berlainan. Tak kisah lah. Tak ada rotan, akar pun berguna juga. Lama betul tak dengar lagu-lagu seperti "World Gone Mad" dan "Run To Another Day"...  Tenaganya terasa seperti remaja semula...


Antara album-album David T Chastain yang berjaya di miliki


Saturday, June 20, 2020

Firehouse

Lagi kenangan dari tahun 90an...


Firehouse - Firehouse (1990)

Kenangan awal 90an. Zaman tengah kemaruk dengan thrash metal. Tetapi disebabkan selalu tertengok video clip mereka dalam rancangan MTV Asia di tv Singapura, lama-lama masuk kepala juga lagu-lagunya.

3 lagu yang kerap dimainkan MTV Asia adalah "All She Wrote", "Dont Tread Me Bad" dan balada berhantu yang popular di radio, "Love Of A Lifetime". Tapi zaman tu duit biasiswa tak cukup nak beli macam-macam kaset 😃. Memang tak pernah beli versi kaset. Keutamaannya adalah kepada kaset yang lebih extreme.

Cd ini pula dibeli ketika zaman kemaruk ber"ebay" dari seller estocks/music magpie dari UK dengan pos percuma. Untung betul zaman tu. Majoriti cd dibeli bawah RM20.

Antara kenangan dari album ini adalah ketika zaman membuat kaset "mix tape" untuk mengurat kekasih hati. "Love Of A Lifetime" adalah antara lagunya. Semua lagu-lagu balada Firehouse dari segi lirik dan melodinya memang sesuai benar untuk mencairkan hati perempuan..😃 😃