Tuesday, October 6, 2015

Samad

Lagi demam album-album rock keluaran semula


Samad - Samad (1994)

Saya pasti saya pernah memiliki kasetnya dulu. Tapi tak pasti dimana ianya sekarang. Hilang atau salah letak. Puas juga mengembur tapi tak jumpa.

Tetapi yang pastinya dalam banyak-banyak cd keluaran semula, Cd Samad inilah yang paling terbaik. Samada dari segi kualiti "sound" ataupun kulit "cover"nya. Album ini adalah produk asal WEA. Sudah semestinya mereka tiada masalah untuk mendapatkan master tape mahupun artwork yang asal. Rasanya mereka hanya mencetak semula cd yang asal tanpa sebarang perubahan. Kulit covernya masih tertulis P & C 1994. Tiada tarikh 2015 ditulis.


Covernya panjang berjela bukannya sekadar kertas sekeping yang dilipat 2. Nampaknya selepas NSR dan Universal Music, WEA juga telah terjebak dalam mengeluarkan semula album-album lama. Berita baik untuk peminat rock tetapi tidak berapa baik untuk poket. Hahaha..

 Berbalik pada cdnya, pada saya arwah Samad  dalam Lefthanded akan sentiasa menjadi "Dave Murray" manakala Man Kidal adalah "Adrian Smith". Walaubagaimana bagus pun mereka akan sentiasa dibayangi. Tabik pada arwah, album ini bukan sahaja membuktikan yang beliau bukan hanya mempunyai solo-solo yang berjiwa tetapi mampu juga untuk menyolo laju. Mungkin beliau adalah "Gary Moore" Malaysia.


Penampilan istimewa "Paul Gilbert (Mr Big)" dalam 2 lagu adalah bonus. Arwah Samad membuktikan yang gitaris Malaysia juga adalah setanding dengan gitar-gitar hero dari Barat. Saya tertarik dengan lagu "Land Of Paradise" nyanyian "Harry Hess (Harem Scarem)". Terpulang kepada selera masing-masing samada anda sukakan versi ini ataupun versi Search yang bertajuk "Feel The Pain". Tak pasti siapa yang rakam dulu. Tetapi yang pastinya lagu tersebut adalah ciptaan Yan yang juga bermain untuk album ini dan menjadi anggota Search pada ketika itu. Entah kenapa mereka, Arwad Samad dan Search merakamkan lagu ini dengan lirik dan susunan muzik yang berbeza saya pun kurang pasti. Yang pastinya lagu ini menjadi lebih "raw" bunyinya ditangan arwah,

Terdapat juga vokal dari Jamal Abdillah dan Arab. Tetapi saya kurang berminat. Lagu pilihan saya adalah instrumental "Joget" dan "Nafas Terakhir". Menariknya album ini ianya juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Saya pernah melihat cd album ini versi Jepun. Dan ianya juga pernah memenangi anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1995.


Al Fatihah untuk arwah Abdul Samad Bin Mian (1963-2008)







Monday, October 5, 2015

Penentuan

Lagi album keluaran semula dalam bentuk cd...


Junction - Penentuan (1989) - keluaran semula 2015

Awas...ulasan ini bukan untuk mereka yang sukakan rock leleh meleweh.

Tahun tersebut,1989. Sebagai seorang remaja yang sudah mula terdedah dengan muzik metal yang lebih ekstrem. Lagu-lagu rock leleh bukanlah satu pilihan.

Penentuan adalah antara penyebab saya mula meninggalkan rock melayu. Ianya juga antara kaset terakhir rock melayu yang saya beli pada ketika itu. Mungkin juga mereka adalah antara pencetus trend lagu-lagu rock leleh.


Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, lagu track pertama sangat penting untuk mendatangkan mood untuk terus mendengar lagu yang seterusnya. "Bisikan Hati" yang meleweh leweh sebagai track pertama telah menghilangkan mood saya. Ditambah pula dengan lagu track  ke 3 ("Monolog Untuk Rina") yang juga meleweh menyebabkan kaset ini antara yang amat jarang saya mainkan.

Mereka sebenarnya bagus. Lagu kesemuanya ciptaan mereka sendiri. Cuma saya kurang gemar dengan lagu-lagu perlahan mereka. Di tambah pula dengan penggunaan keyboard secara berlebihan sedangkan mereka mempunyai 2 orang gitaris yang bagus. Saya juga mempunyai masalah untuk menyukai vokal Hatta.


Walaupun begitu entah kenapa 2 lagu mid tempo, "Lumrah" (yang berbunyi seakan akan lagu Scorpions) dan "Menunggu Hadirmu" melodinya melekat di kepala saya hingga kini. Cd ini pun dibeli kerana itu selain sebagai kenangan zaman remaja.

Terimakasih Universal Music, walaupun cd ini sumbernya hanyalah sekadar dari piring hitam.





Friday, October 2, 2015

Let Your Dim Light Shine

Yang menyambut ulangtahun ke 20 pada 6hb Jun yang lalu...



Soul Asylum - Let Your Dim Light Shine (1995)


Tak banyak band-band yang dikategorikan sebagai alternative rock 90an berjaya memikat hati saya. Tetapi Soul Asylum adalah salah satu darinya.

 Ntah kenapa melodi lagu-lagu David Pirner ni cukup mudah untuk meresap dalam jiwa. Mungkin kerana lagu-lagunya tidaklah meleweh sangat. Solo gitarnya pun bagus. Mula tertarik sejak terdengar lagu "Runaway Train" dan "Black Gold" dari kaset "Grave Dancers Union" yang dipinjamkan oleh seorang rakan. Bila terjumpa "Let Your Dim Light Shine" di rak kaset di kedai, tanpa berpikir panjang saya terus membelinya.


Ternyata ianya belian yang tak sia-sia. Lagu track pertama "Misery" sudah cukup membuatkan saya tertarik. Melodinya cukup melekat. Sedap!. Lagu ini benar-benar mengamit kenangan saya kepada rakan-rakan sekerja di tempat kerja saya yang lama. Kami ramai tapi yang agak rapat adalah kami berempat. Gang lepak tangga. "Port" biasa untuk berborak di waktu kerja sambil memikirkan penyelesaian untuk masalah dunia (hahaha..) sambil melayan rokok bang sebatang dua. Walaupun saya bukanlah seorang perokok, tetapi setiap aktiviti lepak tangga pasti saya akan turut serta. Tak cukup korum la kalau saya tak ada. Di situlah bermulanya saya menjadi seorang "social smoker".


Yang bestnya boss pun tahu. Tapi dia tak bising pun. Janji kerja siap dan tip-top sudah. Tambah pula salah seorang dari kami adalah orang kanan beliau. Cuma kadang-kadang tu dia perli juga. Terutamanya bila macam-macam komplen dan luahan ketidakpuashatian kami sampai juga ke telinga beliau. Dari situ kami digelar sebagai gang "Frustrated Incorporated". Tapi yang peliknya dari mana dia dapat ayat tersebut. say pun tak tahu. Ayat tu ada dalam lirik lagi "Misery". Mungkin sahaja beliau juga peminat lagu ini. Tu sebab setiap kali dengar lagu "Misery", kenangan lepak tangga tingkat 10, Menara Kotaraya akan tetap segar dalam ingatan.

Sekarang kami berempat dah tak serapat dulu dah. Mungkin masa dan jarak menyebabkannya jadi begitu. Ketiga-tiga mereka sudah berjaya dalam bidang perniagaan. Hidup mewah. Seorang dah jadi tokey stesen pam minyak, seorang tuan punya kedai dobi manakala yang ketiga berkecimpung dalam dunia perniagaan franchais. Cuma saya seorang yang masih kekal hidup dengan makan gaji. Boss saya pula pernah menjadi CEO di sebuah syarikat rangkaian makanan segera terkemuka. Cuma sekarang dia dah balik Johor.

Panjang dah menaip, baru perasan yang cerita pasal album ni baru secoit. Hahaha....malas pula nak sambung. Senang cerita album ini memang best. Melodinya memang mudah melekat. Lagu-lagu seperti "String of Pearls""Bittersweetheart" dan beberapa yang lain memang sedap. Ini memang album rock pilihan saya untuk tahun 1995.




Wednesday, September 30, 2015

Gila Format 6 - Marching Out

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada hari ini (30hb September)


Yngwie Malmsteen's Rising Force - Marching Out (1985)

Walaupun ini bukanlah album Malmsteen yang pertama saya tetapi Marching Out memang banyak kenangannya. Berangan nak jadi gitar hero pun kerana album ini. Lagu "I Am a Viking" khususnya. Lagu ni memang kira anthem bagi budak-budak rock melayu zaman tu. Jenuh menekan butang "play","stop", "rewind". "stop", "play", "stop", "rewind". "stop", "play", "stop"....berulang-ulang kali di radio kaset semata-mata kerana nak belajar main lagu ni dan mencari liriknya.

Lawaknya dalam satu temuramah radio bersama Brader Bo (Vicious Voulume - Radio Ria Singapura), Malmsteen sendiri tak menyangka yang lagu tersebut boleh jadi hit di belah Malaysia dan Singapura. Bagi beliau lagu itu hanyalah sebuah "joke" semata-mata.



Tetapi selain dari "I Am a Viking", lagu-lagu lain pun best belaka terutamanya lagu-lagu dari side A. "I'll See the Light, Tonight" , "Don't Let It End", "Disciples of Hell" menjadikan Jeff Scott Soto penanda aras untuk vokalis-vokalis yang terkemudian darinya.

Malas la nak cerita pasal Malmsteen. Sudah sememangnya saya akan "bias". Memang banyak pengaruh yang dibawanya kepada band band rock di Malaysia pada tahun 80an dulu. Selamanya beliau adalah gitar hero saya.

Marching out akan sentiasa membawa saya kembali ke umur belasan tahun. Maka sememangnya tak patut kalau album ini tidak di"gila formatkan".


*versi kaset saya mempunyai gambar cover yang berbeza. Sebenarnya hanya cetakan dari Jepun yang mempunyai cover sebegitu walaupun kaset saya adalah cetakan lanun apache dari Malaysia...heheh...




Tuesday, September 29, 2015

Maze Runner - The Scorch Trials

Lama dah tak bercerita pasal filem...


Maze Runner - The Scorch Trials (2015)

Seperti biasa waktu cuti sekolah melayan anak-anak menonton filem. Cuma yang berbezanya kali ini tajuk filem di pilih oleh anak yang sulong, bukannya yang bongsu. Makanya filem kali ini bukanlah sebuah filem kartun (walaupun Hotel Transylvania 2 juga sedang ditayangkan)

Pilihan anak yang sedang meningkat remaja. Maka sudah tentu filemnya juga bercorak remaja. Entah mengapa remaja sekarang begitu kemaruk dengan cerita adaptasi novel bergenre post apokalip yang sebegini. Tak jauh beza kot kalau nak dibandingkan dengan Divergent mahupun Hunger Games. Tapi remaja dulu-dulu pun apa kurangnya kan. Saya dulu kemaruk juga dengan siri Mad Max.

Nasib juga filem Maze Runner yang pertama baru-baru ini sempat saya tonton di Astro. Kalau tidak mungkin juga saya sesat sepanjang menontonnya. Pada saya kena tonton yang pertama baru mudah untuk paham jalan cerita yang ke 2. Aksinya memang bagus. Kali ini ada zombi. Sesuai dengan tajuknya, jalan ceritanya memang asyik berlari.

Walaupun begitu saya lebih sukakan Maze Runner yang pertama. Mungkin kerana ketika itu belum tahu kenapa mereka berada disitu. Unsur "saspen"nya lebih. Tetapi yang menjadikan The Scorch Trials ni menarik adalah twist di penghujung ceritanya. Memang saya tak sangka. Ianya membuatkan anda rasa tak sabar pula untuk menunggu sambungannya.




Monday, September 28, 2015

Revolusi Mental

Lagi cerita pasal album-album yang dikeluarkan semula dalam betuk cd


Dinamik - Revolusi Mental (1991) - Keluaran semula 2015

Sebuah lagi album yang dulunya tak berminat pun nak dengar apatah lagi kalau nak beli. Tapi semenjak adanya keluaran semula ni teringin pula nak mencuba.

Dulunya saya tak suka Dinamik. Lagu meleweh. Salahkan radio yang memutarkan lagu-lagu yang sebegitu. Tetapi perlu saya akui, lagu perlahan mereka masih ada bunyi distortion dan solo gitar yang bagus. Tetapi semenjak mendengar cd Revolusi Mental secara keseluruhan, perasaan saya berubah.

Tolak lagu-lagu yang meleweh ( 4 kesemuanya). Lagu-lagu lain sebenarnya agak bagus. Banyak pengaruh thrash dalam rif-rif mereka. Contohnya lagu "Syahid" . Lagu "Tahyul" pula ada riff ala-ala Metallica. (kalau terer...cuba teka lagu apa? :P )


Selain itu saya juga tertarik dengan lagu yang menjadi tajuk album "Revolusi Mental". Ala-ala heavy metal 80an. Saya bersetuju dengan Rafi Xyrus Zone yang lagu "Pesta Rock" mempunyai riff yang seakan akan dari Vito Bratta (White Lion).

Kesimpulannya pada saya (tolak 4 lagu slow yang meleweh) ini adalah sebuah album hard rock/heavy metal yang bagus. Terimakasih atas keluaran semula ini, jika tidak sudah pasti selamanya saya ingatkan Dinamik hanyalah sebuah band rock leleh.


P/s...ada sedikit kemusykilan, pada sesiapa yang tahu...Selain Nai, ada penyanyi lain kah yang menyanyi dalam album ini. Mengikut telinga amatur saya terdapat perbezaan suara dalam 2 lagu (kalau tak silaplah)...






Friday, September 25, 2015

Transfigurasi

Yang dah 20 tahun....


Shahrul - Transfigurasi (1995)

Pemain kaset dah rosak. Kasetnya pun dah hampir 20 tahun tak pernah dimainkan. Makanya tak bolehlah nak cerita tentang lagu-lagu di dalamnya. Dah terlupa.

Tetapi kalau cerita pasal Shahrul atau Ekamatra secara umumnya. Sudah 2 kali saya bertemu mereka. Pertamanya di kedai kaset tingkat 2 di Komtar, Johor Bahru. Lejen tempat ni suatu ketika dulu. Ketika itu mereka bersama-sama kumpulan Crossfire mengadakan seisi promosi album. Tahun 1989 kalau tak silap.

Kali keduanya (tahun 1990) ketika saya hadir menyaksikan persembahan konsert live Ekamatra di panggung wayang lama di Ulu Tiram. Tinggal sejarah tempat ni. Generasi baru mesti tak tau. Tempat saya menyaksikan filem Bukit Kepong. (Satu kampung pergi tengok...hahaha..) Lama dah tutup panggung ni. Sekarang dah diubahsuai jadi kedai. Ianya terletak berdekatan dengan bus/taxi stand Ulu Tiram.


Sharul ni memang klon Malmsteem. Terutama di zaman-zaman awal kemunculan dia. Tengok sahajalah jenis gitar yang dimainkan beliau. Menyaksikan dia live di Ulu Tiram dulu rasa macam tengok video Malmsteen Live in Leningrad. Sebijik gaya, dressing dan cara permainannya. Apa yang Malmsten buat itulah yang sebijik di tirunya.

Tak kisah la klon ker apa. Saya memang tabik dengan dia. Zaman tu dia baru 16 atau 17 tahun. Usia semuda tu dah boleh main sebijik macam Malmsteen memang tabik la. Hebat. Antara gitaris Malaysia yang saya kagum.

Sayang tak tau kat mana silapnya (lebih pada masalah peribadi mungkin). Bintang dia tak berapa nak menyinar. Selepas Ekamatra, Eka, Man Bai, Zainal Abidin (sekadar menyebut yang saya tahu) dia terus menyepi. Timbul sekali sekala dengan berita kontroversi dan menyepi kembali. Tak pasti adakah beliau masih aktif. Sayang bakat dia terbuang begitu sahaja.

Khabranya album Ekamatra "Satu Tekanan Irama" juga akan diterbitkan semula oleh Universal Music/EMI dalam bentuk cd. Kalau betul, mungkin juga akan saya beli.