Monday, May 29, 2017

Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band

Ulang tahun yang ke 50 pada 26hb Mei yang lalu...


The Beatles - Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band (1967)

Rasanya ramai yang sedang membaca ini tak lahir pun lagi ketika album ini diterbitkan. Saya pun. Maklumlah muda remaja lagi la kan...hahaha...

Saya sendiri hanya betul-betul cuba mendengar The Beatles pada awal tahun 90an. Sudah semestinya album ini antara yang awal dicari. Pertamanya kerana baru sedar yang The Beatles bukan hanya berkenaan dengan pop yeh yeh. Tambahan pula album ini boleh dikatakan sentiasa ada di tangga teratas dalam senarai album terbaik sepanjang zaman dari pakar-pakar muzik seperti majalah Rolling Stones contohnya.


Oleh kerana itu, album ini memang patut ada jika anda seorang pengemar muzik. Ini adalah zamannya The Beatles bereksperimen dalam muzik mereka. Tiada lagi imej pop teen idols. Muzik mereka lebih matang. Tak pandai nak ulas. Bukan pakar dalam muzik sebegini. Kalau majoriti mengatakan ianya antara album terpenting dalam sejarah. Siapalah saya untuk menafikannya. "With a Little Help from My Friends" "Lucy in the Sky with Diamonds" dan "A Day in the Life" adalah antara yang menarik minat saya.

Cd saya adalah terbitan tahun 1987. Diterbitkan bersempena ulang tahun ke 20. Apa yang menarik tentang cd ini adalah kerana ianya pertama kali album ini diterbitkan dalam bentuk cd. Sudah semestinya berbeza dengan versi vinyl asal dalam bentuk mono. Sesuai dengan peredaran masa ianya diterbitkan semula dalam bentuk stereo. Tetapi saya tak pernah mendengar versi mono, makanya tak bolehlah nak buat perbandingan.


Untuk sesiapa yang berminat, boleh cuba untuk mendapatkan boxset cd versi 50 tahun. Ianya melalui proses mixing semula oleh Giles Martin. Anak kepada penerbit asal, George Martin. Di dalamnya ada 6 disc termasuk 5.1 surround dvd dan blu-ray. Memang dasyat. Terutamanya jika anda pengemar Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band.

Untuk saya...cukuplah versi yang ini...tapi kalau dapat vinyl pun best jugak...teringin nak dengar versi mono dalam vinyl...




Friday, May 26, 2017

Live & Let Die.. a tribute to Roger Moore dan Chriss Cornell

Semakin meningkat usia semakin ramai hero dari zaman kanak-kanak kita dah tiada. Kita yang dulu budak pun dah semakin meningkat usia, apatah lagi mereka.

Yang terkini meninggalkan kita adalah Roger Moore. Mungkin bukan hero dan tidak dikenali untuk generasi sekarang tetapi bagi sesiapa yang seusia saya, pastinya beliau adalah James Bond untuk generasi kami.


For Your Eyes Only (1981) adalah filem James Bond pertama saya. Bukan yang pertama ditonton, tetapi yang pertama mengenalkan saya kepada watak James Bond dan Roger Moore. Saya yang pada ketika itu hanya berumur 10 tahun dan tak tahu apa-apa pun pasal filem turut merasa tempiasnya. Duduk Felda mana nak tengok wayangnya, tetapi ianya kalau zaman sekarang dipanggil sebagai viral atau trending sehinggakan kanak-kanak di ceruk Felda seperti saya pun tahu mengenainya.


Octopussy (1983) pula yang kedua. Tetapi tetap juga tak berpeluang menonton filemnya. Kemajuannya masa tu dah pandai dah nak tengok Bond Girls. Ketika itus Maud Adams menjadi sebutan (hahaha..). Tetapi yang betul-betul berpeluang menonton ketika tahun ianya dikeluarkan adalah A View To A Kill (1985). Masa ni Tanya Roberts (nyum..nyum..) Zaman menyewa video tape VHS. Tambah-tambah pula lagu yang menjadi tajuk soundtracknya di nyanyikan oleh Duran Duran. Masa ni memang tengah kemaruk new wave dan Duran Duran.


Sayangnya itulah filem James Bond terakhir dari Roger Moore. Saya pula semakin kurang mengikuti perjalanan karier beliau selepas dari itu. Maklumlah dah masuk alam remaja, dah ada pula hero yang baru yang lebih muda...

Apa-apa pun terimakasih Roger Moore kerana pernah hadir di zaman kanak-kanak saya. Beliau selamanya adalah James Bond untuk saya.


Sir Roger George Moore KBE (14 October 1927 – 23 May 2017)



Kebetulan pelakon James Bond dan penyanyi yang pernah menyanyikan soundtrack filem James Bond mati pada bulan yang sama...


Entri Ringkas....tribute to Chriss Cornell

Bukanlah peminat tegar Chriss Cornell, Soundgarden ataupun grunge. Tak berapa tahu juga pasal Audioslave. Tetapi bila dah hidup di zaman grunge sedang berada di kemuncak. Sedikit tempias tu terkena juga. Dalam banyak-banyak band grunge, Soundgarden lah yang paling banyak koleksinya saya miliki.

Terimakasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada kenangan zaman remaja. Minat ke tidak, poster beliau pernah juga tertampal di dinding bilik ketika saya menuntut di IPTA...


Kenangan zaman jahiliyah…Tahun 91 atau 92…Chriss Cornell atas Kirk Hammett bawah...yang hujung tu Mas Anizan…hahaha…


Thanks for the music!
Christopher John Boyle (Cornell) July 20, 1964 – May 18, 2017



Thursday, May 25, 2017

We Are The Champions!



Glory Glory Man United!


* tak perlu kata apa-apa...haha...







Tuesday, May 23, 2017

Keeper of the Seven Keys: Part I

30 tahun dah usianya hari ini, 23hb Mei...


Helloween - Keeper of the Seven Keys: Part I (1987)

30 tahun dah. Cepat betul masa berlalu. Mula mendengar Helloween dari zaman Pt 2. Selepas tu baru mencari album-album sebelumnya. Sejak itu Hellowen menjadi salah satu band kegemaran.


Mendengar semula "Future World", "Twilight of the Gods", "A Tale That Wasn't Right" dan "Halloween" mengembalikan kenangan silam. Ini lah lagunya yang satu ketika dahulu didengar berulang-ulang kali. Fwd Rwd Fwd Rwd sampai naik lunyai kasetnya.


Sememangnya sebuah album klasik power metal! Walaupun zaman itu rasanya tak pernah dengar pun lagi terma tersebut. Ia biasanya di rujuk sebagai speed metal. Tetapi lagu-lagunya agak melodic untuk speed metal tetapi terlampau laju pula kalau hendak digelar pop metal. Tak kisah la nak panggil apa pun..yang penting ianya memang sedap!

Ianya juga sebuah album yang membuatkan nama Kai Hansen menjadi idola gitar hero saya. Solo solo gitarnya sememangnya meruntun jiwa.


Dan sudah semestinya, mana-mana kaset kegemaran akan di upgradekan ke cd, apatah lagi jika kasetnya pun dah hilang. Memiliki piring hitamnya pula bukanlah suatu kemestian. Tetapi jika terjumpa dengan harga yang mampu milik...dalam berpuasa beli pun pastinya akan teracun juga...haha..





Monday, May 22, 2017

Sudah Sampai Sini @ Uitm Dengkil










Selalu juga ulang alik dari Putrajaya ke Kota Warisan (Sepang)...selalu la nampak singboard "Dengkil"....tapi ini kali pertama menjejaki kaki ke Dengkil...itupun kerana anak....




Saturday, May 20, 2017

koleksi cd



Agak lama juga tak menambah atau menaik taraf album-album lama orang putih dari bentuk kaset, cdr, mp3 atau sekadar dulunya membaca namanya di majalah atau mendengar cerita kawan-kawan ke dalam bentuk cd.

Setahun lebih juga terjebak dengan berderet-deret cd-cd rock melayu reissue. Tapi sekarang macam dah reda dah. Mungkin dah tak ada apa sangat yang nak direissuekan lagi. Dah sibuk dengan piring hitam pulak dah. Tapi dengan harga piring hitam reissue yang hanya orang yang ada-ada yang mampu beli..kualiti pun tak seberapa...maka adalah lebih berbaloi untuk saya kembali untuk menaik tarafkan album-album orang putih yang saya gemari.

4 ini adalah antara yang terkini. Bertahun dah cari cd-cd ini dengan harga mampu milik. Ntah apa nasib berkenalan dengan seller e-bay dari Kazakhtan yang menjual cd-cd ini bukan melalui e-bay. Beli secara langsung dengan beliau dengan harga yang lebih murah dari harga sekeping cd reissue rock melayu. Jangan tak percaya. Mungkin ini namanya rezeki selepas bertahun sabar mencari...

Dah tak banyak dah yang nak dinaik taraf. Yang tak minat memang tak akan beli. Mungkin dah boleh pencen kot kumpul cd. Lp pulak harga yahudi. Dah boleh kot tukar hobi main akuarium pulak macam Mus Speedrider...hahaha...





Wednesday, May 17, 2017

Girls Girls Girls

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada 15hb Mei yang lalu...


Motley Crue - Girls Girls Girls (1987)

Lagi kenangan dari zaman muda mudi. Ini album Motley Crue penuh saya yang pertama. Seperti biasa versi lanun Apache. Sebelum itu sekadar mempunyai kaset best of lagu-lagu menarik dari 3 album pertama. Juga versi Apache.

masih simpan kaset ni...suka-suka dia guna cover macam ni...tapi ingat lagi yang Arwah Juwie pun pernah guna gambar ni untuk poster kat ruangan  dia di surat khabar Mingguan Malaysia...hebat zaman tu.....

Ianya agak berlainan dari 3 album awal mereka tak kira dari segi lagu mahupun imej mereka. Ada pengaruh blues dan tiada lagi imej setan malah pakaian mereka lebih glamour sesuai dengan tema glam metal yang sedang memuncak pada zaman tersebut.


Namun begitu soundnya lebih berat berbanding Theatre Of Pain yang lebih komersial. Album bajet besar ini terus menduduki tangga ke 2 carta Top 200 Billboards pada minggu pertama ianya diedarkan.

Walaupun bukannya album kegemaran, (saya lebih menyukai sound raw 2 album awal mereka) tetapi lagu lagu seperti Wild Side, Girls Girls Girls, All In The Name Of... dan 2 lagu perlahan Nona dan You're All I Need memang sedap.


Seperkara yang kalau anda perasan, Sofea(SYJ) dizaman Fancy, lagunya banyak terpengaruh dengan album ini. Cover Anak Liar pun guna motor besar ala-ala cover album ini...




Monday, May 15, 2017

United Abominations

Demam Megadeth belum kebah. Yang menyambut ulangtahun ke 10 pada hari ini, 15hb Mei.


Megadeth - United Abominations (2007)

Ini adalah album yang mengembalikan kepercayaan saya kepada Dave Mustaine. Lagu-lagunya lebih menarik, sedap dan lebih konsisten berbanding album sebelumnya, The System Has Failed (2004). Mungkin ramai juga yang bersetuju dengan saya kalau tak, takkanlah album ini berjaya menduduki tangga ke 8 dalam carta Billboard 200.


Lineup serba baru. Saya suka bila Abang Mus mengambil ahli baru yang sebenar bukan lagi sekadar pemuzik jemputan. Glen Drover adalah pilihan yang bijak. Sesiapa yang pernah bermain dengan King Diamond pastinya mempunyai solo solo shred yang hebat.

Paling menarik dan agak kurang percaya bila James LoMenzo menyertai Megadeth. Saya adalah pengemar White Lion. Memang rasa janggal awalnya kerana perbezaan genre yang agak ketara. Tetapi beliau sememangnya pemain bass yang hebat. Bahkan dalam buku biography Mustaine, beliau menyatakan kalau bukan kerana Junior yang beriya-iya nak kembali. James LoMenzo pastinya akan kekal dalam Megadeth.


Antara lagu yang menjadi pilihan sudah semestinya 'Sleepwalker' dan 'Washington Is Next!'. Tetapi yang menjadi perhatian sudah semestinya rakaman semula 'A Tout Le Monde'. Mungkin juga kerana nak dengar suara Cristina Scabbia (Lacuna Coil) atau sahaja untuk perbandingan kerja gitar antara Glen Drover dan versi asal Marty Friedman.

Best!










Friday, May 12, 2017

Kembali

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada tahun ini...


Sofea - Kembali (1987)

Selain Lefthanded, inilah kumpulan dari Battle Of The Bands yang paling ditunggu-tunggu album solo mereka. Mana kan tidak, imej dan lagu mereka adalah yang paling ganas dari kumpulan yang lainnya. Steady jer lirik ada perkataan "Celaka" dan "Sial". Saya yang pada ketika sedang kemaruk dengan Motley Crue dan Twisted Sister pastinya mudah menyukai mereka. Imej dan lagu mereka sememangnya mempunyai pengaruh yang sama.

Tetapi sebelum keluarnya album ini, dah dengar dah desas desus dan rumour tentang masalah yang melanda mereka. Tak pasti dan tak berani nak cakap tetapi ianya berkenaan dengan tuan punya nama SYJ dan anak beliau yang juga pemain drum mereka. Tetapi yang pasti, nama mereka terpaksa diubah kepada Sofea. Tak berkenan betul dengan nama ni . Hilang dah ganasnya. Manakala drummer asal. (Allahyarham Syed Noor Eduat ) hanya sempat merakamkan 2 lagu ("Kawasan Larangan" dan "Hujan").


Dengan nama baru, imej dan lagu mereka juga sedikit berubah. Sesuai dengan Motley Crue yang juga berubah imej dan corak lagu dari Shout At The Devil kepada Theater Of Pain kepada Girls, Girls, Girls, Sofea juga begitu. Kali ini buat pertama kalinya mereka merakamkan lagu-lagu berentak perlahan.

Pertama kali dengar tak berapa nak suka. Hanya "Kawasan Larangan" yang mempunyai perisa SYJ zaman Battle Of The Bands. Tapi lama kelamaan sedap juga. Lagu-lagu perlahan mereka terutamanya "Hujan" menjadi "play list" rakan-rakan ketika saya menuntut di IPTA suatu masa dahulu.

Paling suka dengan Zam. Sedap solo-solonya. Tak berapa minat dah dengan mereka bila Zam keluar. Lagu mendayu meleleh seperti "Bunga Padang Pasir" di album yang berikutnya membuatkan semakin kurang berminat dengan mereka.




Wednesday, May 10, 2017

Megadeth live @ Stadium Negara - 4hb Mei 2017

Yang terakhir selepas semua gang-gang bloger dah buat entri dah...cerita dah nak basi...makanya cuba untuk serengkas yang boleh...tapi nampak gayanya macam tak boleh...haha...


Dreams do come true. Mungkin itu yang boleh di katakan bila dapat melihat Dave Mustaine depan mata. Selepas kali pertama mendengar kaset dubbing "Killing is my business..." kira-kira 30 tahun yang lalu, Megadeth sememangnya salah satu band kegemaran. Tak pernah terpikir yang satu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan.

Cuba menulis secara ringkas tentang hari kejadian. Maaf jika ianya menjadi panjang. Keterujaan kadang-kadang sukar di kawal. Ala...bukan selalu dapat tengok Abang Mus depan mata. Maaf juga tak banyak gambar terutamanya kejadian sebelum dan selepas. Keterujaan sekali lagi menjadi punca terlupa untuk mengambil gambar.

Sempat study last minute malam sebelumnya

- Bertolak dari Jb dalam pukul 3 lebih. Ditemani sahabat dari zaman IPTA. Ada sejarah antara kami dan Megadeth. Kaset Youthanasia antara punca kami menjadi rapat.

- Takut sesak dan masalah letak kereta, kami memilih Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sebagai destinasi. Lebih kurang 6.30 petang sampai. Cepat juga walaupun pemanduan cukup berhemah dan bukanlah secara F1. Kali pertama menjejakkan kaki rasa kagum juga. Hebat. Jauh bezanya dari Puduraya yang berbau asap. Rasa macam kat lapangan terbang pun iyer juga.

TBS

- Petanda pertama yang kami benar-benar dah hampir ke konsert Megadeth bila di sapa oleh 2 orang pemuda berseragam hitam yang baru tiba dari Kedah ketika menunggu lrt. Brotherhood dalam metal memang ada di mana-mana. Cinta Stesen Bandar Tasik Selatan menemukan peminat Megadeth dari utara dan selatan.

- Bertahun dah tak naik lrt. Baru tahu rupa-rupanya lrt menggunakan token berbentuk duit syiling. Rasa macam nak main game pula. Terkial-kial juga kerana awalnya tak tahu macam mana nak guna..haha...

- Sampai stesen Hang Tuah ngam-ngam azan maghrib. Awal juga dah sampai. Suasana sepanjang jalan ke Stadium Negara dah nampak kemeriahannya. Seragam hitam di mana-mana. Suasana seperti pasar malam pun iyer juga cumanya tak adalah nampak gerai jual apam balik...hahaha.. Semuanya barangan bootleg Megadeth terutamanya t-shirt.

Rock n roll blogger hensem tersohor Malaysia

- Di perkarangan stadium dah dapat kenal 2 susuk tubuh yang berdiri di lereng bukit. Seorang tu pernah jumpa 6 tahun yang lalu ketika Iron Maiden di Singapura. Yang seorang lagi tu king vinyl, king nasi kandaq, king dunia permotoran dan merangkap king akuarium tersohor dari Penang. Terimakasih Ijau dan Mus Speedrider yang sudi teman aku sepanjang konsert hingga waktu balik di stesen Hang Tuah.

- Menjenguk juga gerai barangan official. Sayangnya t-shirt official dah sold out. Tak banyak barang yang tinggal. Sapu tangan pun harganya dah seventeen seventy. Hanya mampu tengok la jawapnya. Padanlah beli lp Wings Belenggu Irama pun dia bagi saputangan...mungkin yang itu pun harganya seventeen seventy...haha..

Security check point...ingat nak ambil gambar awek blonde tu...sekali dia berpaling la pulak...haha

- Kawalan keselamatan memang agak ketat. Rokok pun tak lepas bawak masuk. Krew penganjur majoritinya bangsa cina. Yang dah tua-tua tahap uncle pun ramai. Cuba juga pujuk satu uncle tu nak minta tag krew dia. Cantik. Ntah dia tahu megadeth ntah kan tidak. Malangnya gagal..tak dibaginya...

- Stadium negara adalah sangat sesuai untuk venue yang bukan berskala besar. Ini Megadeth. Hanya mat metal yang turun. Yang acah-acah sudah tentu pilih Metallica...heheh.. Sudah tentu saiz yang sebegini sudah mencukupi. Walaupun setakat tiket pprt tetapi jaraknya tidaklah jauh sangat. Cumanya bila di belah tepi, screen besar di belakang agak terlindung. Dan satu lagi tempat duduknya batu...adoi...sakit pungkoq...

Deth Pitt sebelum kejadian bermula

- Tak menumpukan sangat dengan band pembukaan, Massacre Conspiracy. Mereka agak bagus tetapi acuan death metal alaf baru mereka mungkin agak kurang sesuai dengan crowd thrash tua lebih dewasa seperti saya. Apa-apa pun cekidout mereka di >SINI<. Sokonglah bakat tempatan.

- Lambat juga menunggu stage set up untuk Megadeth. Di hiburkan dengan putaran lagu rock pelbagai termasuklah Accept, ACDC, Motorhead tetapi bila lagu Wasted Years berkumandang...arghhh..terbayang pulak kalau lah kat atas stage tu adalah Iron Maiden....

Hangar 18...macam tak percaya jer ada depan mata

- Megadeth keluar tepat jam 9.05 malam. Crowd bersorak. Deth Pitt mengila. Penulis pula hanya terpaku. Masih macam tak percaya apa yang berlaku kat depan mata.

- Biarlah kalau kata bias ker apa....komplen perihal suara Mustaine...komplen key direndahkan...tapi faham tak korang berapa umur Abang Mus? Berapa jarak hari antara konsert sebelumnya? Berapa ramai orang yang boleh menyanyi sambil menyolo dengan baik? Megadeth dari awalnya bukan pasal vokal. Tetapi yang perlu diberikan perhatian adalah skil muziknya. Solo solo gitar dan rif rif berhantu mereka. Malam ini mereka membuktikannya. Memang hebat. Terkesima (pergh..ayat 😊) menontonnya.

Gambar cilok dari group whatsapp...tak tau tuan punya

- Kalau boleh memang nak mereka bawa lagu-lagu lama sepenuhnya. Tetapi ini tour untuk Dystopia. Maka paham-paham sahaja lah. Crowd pun nampak jelas lebih berinteraksi bila lagu-lagu lama yang di mainkan. Tiada nak komplen sangat dengan set list. Cumanya kalaulah ada lagu Angry Again...

- Selain Abang Mus, apa yang ditunggu tunggu mestilah Kiko Loureiro. Tak dapat tidak perbandingan dengan Marty Friedman dan gitaris sebelumnya memang tidak dapat dielakkan. Saya suka Kiko sejak dari Angra. Persembahan beliau pada malam ini menguatkan lagi pendapat saya yang beliau adalah pengganti yang tepat. Sound gitar sedap. Solo sebijik. Showmanship  memang menggila. Bahagian duel gitar solo beliau dengan Abang Mus siap dengan headbangin secara berjemaah sememangnya cukup meriah. Perghhh!!!!

Kiko dan Abang Mus

- Tak nak cerita pasal sound. Biasalah...stadium tertutup dan duduk kat bahagian tepi. Nak komplem apa sangat?...Yang penting rif dan solo memang jelas sebijik sebijik....power!

Seperti di duga..Vic Rattlehead keluar masa Peace Sells

- Tak sentuh pun pasal Junior dan drummer baru, Dick Verbeuren. Tak ada apa nak cakap sangat. Maaf. Penempuan lebih kepada Abang Mus dan Kiko. Tapi kalau yang main bass malam tu James LoMenzo, lain juga. (kata-kata dari peminat susah nak mati White Lion...huhu) Tapi perasan boleh tahan juga drummer baru tu.

You've been great...we've been Megadeth!

- Konsert tamat dalam pukul 10.40 macam tu. Kira lebih kurang 18 lagu dalam 1 jam setengah. Abang Mus pun bukannya jenis cakap banyak. Tapi dia ada meluahkan perasan dia pasal dulunya tak dapat masuk Malaysia. Will be back katanya...

- Lepas konsert tunggu sekejap dalam stadium. Biasalah sesi bergambar. Cari juga kalau-kalau jumpa kelibat D'arsil. Tapi tak jumpa.

- Luar stadium pula memang banyak nampak muka yang familiar di facebook. Tapi segan nak tegur. Pasal memasing nampaknya tengah rancak bersembang. Tapi bila nampak gang-gang masa zaman forum Metal Terus memang buat muka tak malu untuk tegur. Dah lebih 10 tahun sejak forum Metal Terus berkubur, baru ni lah berpeluang bersua muka. Terimakasih Cikgu Matt, Chi Nadia, Yatt dan beberapa nama lagi yang dah tak ingat namanya. (maafkan...atas faktor usia...)

- Dalam perjalanan pulang cuba juga mencari cenderamata untuk dibuat kenang-kenangan. Harga sememangnya lebih murah berbanding sebelum konsert. Tetapi sampai kesudah tak beli apa-apa. Susah juga nak mencari tshirt Megadeth yang "shariah compliance"...hahaha...(kepada para pembuat t-shirt...lain kali, tolonglah design t-shirt yang tak ada tengkorak...huhu..)

Jangan kata tak payung gambar...haha..

- Berpisah dengan Ijau dan Mus Speedrider di Stesen LRT Hang Tuah. Terkilan juga tak dapat pergi ngeteh sebelum balik. Maklumlah tak boleh nak lama-lama. Nak kejar train, tambah pula nak balik terus ke JB pada malam itu juga. Semoga berjumpa lagi. Harap-harapnya tak lah menunggu 6 tahun lagi...

- Mata memang mengantuk. Sempat melantak kopi O, roti bakar dan pau kacang merah di R&R Seremban dalam pukul 1 pagi. Pemanduan malam lebih berhemah dari siang. Mata dah tak boleh tahan mengantuk. Dulu-dulu selamba jer tak tidur semalam. Satu lagi faktor usia agaknya.

- Sampai pagar rumah tepat jam 4.30 pagi. Sempat tidur dalam 1 jam sebelum bergegas ke pejabat walaupun sebenarnya dalam cuti. Nak buat macamana, rakan sekerja ada hal kecemasan. Dan akhirnya terpaksa pulang ke alam realiti...


- Tak tau nak cakap apa lagi dah...Cumanya selepas menonton Megadeth depan mata, rasanya memang tak rugi pun tak tengok Metallica...😊

- Esoknya balik kampung dan berbual dengan orang tua. Dia tanya pergi KL untuk apa. Jawap saya tengok konsert hantu berubat. Itulah gelaran yang beliau berikan 30 tahun yang lalu pada muzik Megadeth yang saya dengar. Haha..kami sama sama ketawa. Berjaya juga jadi orang anak dia ni akhirnya...

- Terimakasih kerana sudi membaca sampai habis. Saya tinggalkan dengan lagu A Tout Le Monde yang sempat saya rakam. Satu-satunya rakaman yang dibuat. Lainnya memang singalong dan enjoy the show. Stadium Negara yang aircondnya sejuk giler jadi hangat dengam penangan Megadeth...satu pengalaman yang tak akan dilupa sehingga bila-bila...



Puas hati!



Tuesday, May 2, 2017

For All Kings

Dari tahun lepas....


Anthrax - For All Kings (2016)

Membesar di zaman thrash yang asal, tidak dapat tidak saya akan sentiasa mempunya soft spot untuk Anthrax. Walaupun mereka tidak sesetan Slayer, tidak seteknikal Megadeth dan tidak juga sepopular Metallica, tetapi mereka akan tetap ada di atas singgahsana "The Big 4 of Thrash".

Kembalinya Joey Belladona ke pangkuan Anthrax ibarat sirih pulang ke gagang. John Bush memang bagus. Tetapi untuk peminat seperti saya ianya bukan Anthrax yang sebenar. Muzik mereka pada zamannya juga agak berlainan.


Banyak juga band yang melakukan re-union tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Tetapi Anthrax telah membuktikannya melalui Worship Music pada tahun 2011. Saya tidak mengharapkan lebih tetapi For All Kings telah melebihi jangkaan. Tak sangka pula ianya lebih bagus dari Worship Music.

Pada saya tiada band thrash lain yang melodi lagu-lagunya sesedap mereka. Mereka adalah raja untuk melodic thrash metal. Singalong chorus yang catchy. Kini dengan kembalinya Joey Belladona, tahta tersebut memang sukar untuk digugat. Vokalnya masih seperti dulu.


For All Kings benar-benar mengembalikan semangat Anthrax di tahun 80an. Semua lagu sedap. Bagi sesiapa yang jiwanya tersangkut di era 80an (seperti saya), album ini pasti tidak mengecewakan. Ini adalah apa yang kita mahu dari mereka. Ianya secukup rasa.

Kalaulah mereka dapat memanggil semula Dan Spitz tentu lebih menarik. Tidak menafikan kehebatan gitaris baru mereka, tetapi barisan klasik ini pasti lebih mengujakan.

Selain Dystopia, ini adalah pilihan album terbaik saya untuk tahun 2016. Best!