Showing posts with label Cannibal Corpse. Show all posts
Showing posts with label Cannibal Corpse. Show all posts

Friday, April 26, 2024

Chaos Horrific

Lagi album dari tahun lepas (2023)... 

Cannibal Corpse - Chaos Horrific (2023)

Dah nak masuk bulan 5 tapi masih tak habis lagi cerita untuk album tahun lepas (2023). Kadang-kadang tu bila ada idea untuk menulis, masa pula tidak mengizinkan dan bila ada masa pula, tak tahu pula apa yang hendak ditulis.

Kali ini bercerita pula tentang album terbaru dari Cannibal Corpse. Sebuah band yang secara jujurnya hanya saya dengar ketika zaman remaja. Namun begitu ada juga memiliki cd-cd album awal mereka. 

Pembelian cd ini adalah kerana penangan mendengar Dying Fetus - Make Them Beg for Death. Ianya membangkitkan semula semangat saya untuk berdeath metal. Tambahan pula bila ternampak nama Erik Rutan di dalam Cannibal Corpse. Bukanlah peminat besar beliau, tetapi saya suka gandingan beliau bersama Trey Azagthoth ketika di dalam Morbid Angel.

Saya bukanlah orangnya untuk memberikan pendapat tentang muzik Cannibal Corpse. Tetapi saya suka apa yang saya dengar. Tak banyak pembaharuan yang boleh dibuat dalam Death Metal kerana acuannya memang begitu. Brutal dan laju mana lagi yang boleh kita pergi?

Senang cerita ianya adalah apa yang kita harapkan dengan Cannibal Corpse. Tak lebih dan tak kurang. Erik Rutan sememangnya membantu dari segi sound, rif dan solo-solo gitar yang menarik.



Saturday, March 26, 2022

Eaten Back to Life

 Kenangan zaman remaja...

Cannibal Corpse - Eaten Back to Life (1990)

Mengembalikan kenangan di tahun 1990. Sesuai dengan usia remaja pada ketika itu, mendengar muzik sebegini seakan satu kepuasan.

Ianya mengembalikan kenangan saya ketika menuntut di ITM. Ketika itu saya yang berasal dari Felda terasa seperti katak di bawah tempurung apabila mula berkawan dengan rakan-rakan yang berasal dari bandar terutamanya dari Kuala Lumpur.

Muzik rock dan metal yang mereka dengar agak meluas berbanding dengan saya. Ketika itu baru tahu perkataan underground, fanzine dan juga poseur. Terasa nak menyorok pula bila koleksi kaset yang kita adalah Poison dan Bon Jovi…hahaha…

Ini adalah tahunnya yang saya mula banyak terdedah dengan muzik yang lebih extreme. Ketika itu semua pun muzik extreme dipanggil thrash. Masih tak jelas antara sempadan muzik thrash dan death metal. Masih bercampur aduk. Eaten Back to Life pun muziknya begitu. Ianya juga adalah antara kaset wajib ada bagi peminat muzik extreme pada ketika itu. Tetapi saya tak pernah membelinya. Sekadar mendengar kepunyaan kawan. 

Ketika itu saya agak kemaruk dengan Sepultura. Mereka adalah penanda aras. Lagu Shredded Human ada berbunyi Sepultura di telinga saya. Namun begitu entah mengapa Cannibal Corpse agak kurang memikat. Mungkin kerana saya agak kurang gemar dengar growl yang tak dengar bunyi butir atau mungkin juga kerana tidak pernah mendengarnya secara betul.