Showing posts with label 1988. Show all posts
Showing posts with label 1988. Show all posts

Sunday, April 12, 2026

Gila Format - Seventh Son of a Seventh Son

Remembering my youth - 38th anniversary

Iron Maiden - Seventh Son of a Seventh Son (11/04/1988)

Setiap album kegemaran pastinya bagaikan mesin masa yang membawa ke suatu masa tertentu. Dan SSOASS membawa saya kembali ke tahun terakhir di zaman persekolahan. Ini antara album yang didengar bersama rakan-rakan dan sering jadi topik perbualan.

Sayangnya ada diantara rakan tersebut yang dah tiada, lost contact dan majoritinya pula tidak lagi berminat dengan muzik.

Semestinya sebuah lagi album kegemaran sepanjang zaman.


Monday, August 28, 2023

Vanishing Vision

 Antara cd yang lama mencari tetapi baru sekarang berjaya dimiliki...

X Japan - Vanishing Vision (1988)

Salah satu band yang agak payah nak dapat cdnya dengan harga rahmah adalah X Japan. Bertahun juga menunggu dan akhirnya berjaya juga membelinya dengan harga yang agak berpatutan.

Saya hanya mengetahui tentang mereka ketika mereka sudah tidak lagi aktif.  X Japan tiada dalam radar di kalangan rakan-rakan. Hanya mula sedar tentang kewujudan mereka di sekitar tahun 1998. Tetapi yang betul-betul ada rasa teruja nak dengar selepas terbaca pujian melambung Chris Jericho tentang mereka dalam satu artikel (sekitar pertengahan tahun 2000an - tak ingat majalah apa). Dari situ mula cuba untuk mengumpul cd mereka tetapi agak kurang berjaya.


Cd ini hanya yang kedua saya ada dari jumlah keseluruhan 5 album studio mereka. Masih jauh...

Secara ringkasnya, album pertama X Japan ini sangat sesuai untuk yang sukakan muzik speed metal 80an. Semuanya tip top. Dari segi melodi, susunan lagu, skil pemuzik semuanya secukup rasa. Antara yang menjadi tumpuan bagi saya adalah kerja gitar dari dari Hide dan Pata. Terutamanya solo-solo shredding dari Hide. Sayangnya ketika mula mendengar X Japan, beliau telah pun meninggal dunia.

Rekomended!



Tuesday, May 23, 2023

No Place for Disgrace

Yang menyambut ulangtahun ke 35 pada 20hb Mei yang lalu...

Flotsam and Jetsam - No Place for Disgrace (1988)

Ini adalah album pertama mereka selepas Jason Newsted. Walaupun mereka ditinggalkan, tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat juga sedikit tempias populariti secara mainstream sebagai band awal Jason Newsted.

Tetapi bagi peminat thrash sejati, mereka sememangnya telah dikenali. Album pertama mereka bersama Jason Newsted, Doomsday for the Deceiver (1986) sering tersenarai sebagai salah satu album klasik thrash terbaik sepanjang zaman.

No Place for Disgrace pula membuktikan yang mereka masih boleh terus hidup walaupun tanpa Jason. Malah ada yang berangapan yang No Place For Disgrace adalah jauh lebih baik dari Doomsday for the Deceiver. Saya adalah salah seorang yang bersetuju dengan kenyataan ini. 

Mungkin mereka tak sekaya Jason. Tetapi sekurang-kurangnya nama Flotsam and Jetsam akan tetap diingati. Ini adalah antara album yang wajib dengar jika anda adalah pengemar thrash. Semua lagu sedap termasuk lagu cover yang tak dijangka,  "Elton John - Saturday Night's Alright (For Fighting)".


Friday, May 19, 2023

All Systems Go

Yang menyambut ulanggtahun ke 35 pada 17hb Mei yang lalu...

Vinnie Vincent Invasion -  All Systems Go (1988)

Ketika zaman tape video VHS (penghujung 80an hingga awal 90an), saya sememangnya akan sentisa bersedia dengan tape video kosong untuk merakam apa-apa sahaja video clip yang di mainkan di tv. Tak kiralah samada di MTV/Channel V untuk lagu-lagu antarabangsa ataupun Muzik Muzik TV3 untuk lagu-lagu rock tempatan.

Salah satu yang sempat saya rakam adalah "Love Kills" dari Vinnie Vincent Invasion. Tak tau apa-apa tentang band ini, tetapi saya tahu yang Vinnie Vincent adalah pemain gitar KISS. "Love Kills" adalah lagu dari soundtrack filem "A Nightmare on Elm Street 4: The Dream Master". Disebabkan lagu ini juga saya menyewa tape video VHS filem tersebut. Saya berharapkan yang video clipnya ada di dalam tape tersebut sepertima mana lagu Dokken -  Dream Warriors yang video clipnya ada pada permulaan video sebelum bermulanya cerita A Nightmare on Elm Street 3: Dream Warriors. Tetapi sayangnya tidak ada.


Sejak dari itu mula mencari 2 album dari VVI. Tetapi kerana nilai nostalgianya, saya lebih menyukai album ini berbanding album pertama mereka. Untuk All Systems Go, Vinnie Vincent lebih berlagu berbanding album sebelumnya yang lebih kepada kelajuan permainan gitarnya. Tambahan pula, All Systems Go penyanyinya adalah Mark Slaughter. Salah seorang vokalis era glam metal yang diminati. 

Saya baru perasan yang rupa-rupanya saya tidak mempunyai album ini dalam versi cd. Nampaknya tak bolehlah nak ber"gila format". Versi kaset kalau memori saya masih betul, dibeli di KOMTAR JB pada tahun 1989. Versi piring hitam baru sahaja dimilik dari Discogs. Rasanya cukuplah tak perlu ada versi cd kecuali terjumpa dengan harga rahmah.



Tuesday, December 6, 2022

Reach for the Sky

Yang menyambut ulangtahun ke 34 pada 1hb Nov yang lalu....Sayangnya tak ada kaset untuk di buat entri gila format...

Ratt - Reach for the Sky (1988)

Kalau sebut pasal Ratt, saya lebih kepada album Dancing Undercover (1986). Ianya lebih kepada keadaan semasa yang pada ketika itu kena dengan saya. Zaman baru terjebak dengan muzik rock dan album tersebut adalah diantara beberapa kaset rock/heavy metal yang terawal saya beli.

Ianya berbeza dengan Reach For The Sky. Ketika album ini dikeluarkan, saya telah mula kemaruk dengan muzik yang lebih laju dan berat. Tambahan pula kekangan duit seorang pelajar menyebabkan kasetnya tidak saya beli.

Apa yang dah dibeli oleh kawan, biasanya tak akan lagi dibeli. Kita hanya perlu meminjam dan dipinjam. Di dalam kes Reach For The Sky, ianya telah pun dibeli oleh abang kandung saya. Tetapi beliau bekerja di KL. Kasetnya hanya dapat saya dengar sesekali apabila beliau membawanya balik kampung setiap kali beliau bercuti.

Ini membuatkan album ini agak kurang nilai sentimentalnya untuk saya. Lagunya yang betul-betul saya dengar hanyalah  "I Want to Love You Tonight". Lagu tersebut ada di dalam satu kaset kompilasi cetak rompak cap Apache yang saya beli. 

Hanya mula mendengar album ini secara menyeluruh sekitar tahun 1993. Ianya adalah zaman saya merantau mencari kerja dan tinggal di rumah abang di Taman Kosas, Ampang. Dua lagu yang menarik minat ada adalah "Way Cool Junior" dan "I Want A Woman". Ianya mungkin akibat kerap menonton video clip lagu-lagu tersebut dari tape video VHS cetak rompak Ratt Detonator Videoaction.

Ianya bukanlah album Ratt kegemaran. Lebih suka akan album-album mereka yang awal. Tetapi mendengarnya semula sekarang (untuk membuat entri ini) rasa menarik juga. 

Tidak ada apa yang salah kalau gitaris anda adalah Warren DeMartini dan Robbin Crosby. Best!.


Saturday, October 29, 2022

Out of This World

Ternampak yang piring hitamnya ada di jual di shopee menyebabkan tiba-tiba rasa teringin untuk mendengarnya semula....


Europe - Out of This World (1988)

Lama dah tak dengar. Seingatnya dulu memang tak berapa suka. Pembelian cd hanya sekadar untuk melengkapkan koleksi. Tambahan pula ianya adalah pembelian di bawah RM25 berserta pos percuma dari E-Stock di Ebay 

Lagu pertama yang didengar ditonton dari album ini adalah "Superstitious". Video clipsnya sempat dirakam dari rancangan MTV di TV Singapura. Berulang-ulang kali juga ditonton. Walaupun melodinya sedap tetapi lagunya terlampau pop. Sebagai seorang remaja berusia 18 tahun pada ketika itu, muzik sebegini terasa sangat lembut berbanding muzik thrash yang mula mejadi kegilaan. Ditambah pula untuk mengekalkan status "TRUE" di hadapan rakan-rakan, makanya muzik sebegini harus ditinggalkan....hahaha...

Antara sebab lain kenapa kasetnya dulu tidak dibeli adalah kerana tiadanya John Norum. Biasalah pada ketika itu memang rasa susah nak di terima apabila sesebuah band bertukar gitaris. Dio contohnya. Bila Vivian Campbell keluar, rasa susah nak terima Craig Goldy. Apatah lagi Rowan Robertson. Begitulah juga yang terjadi dengan Ozyy. Memang susah nak terima Zakk Wylde.


Apabila mendengarnya semula sekarang, saya memahami kenapa dulunya saya agak kurang mengemarinya. Out Of This World memang tiada lagu yang betul-betul laju dan berat. Sound gitar Kee Marcello juga agak lembut dan tenggelam. Sound keyboards lebih mendominasi. Hilang terus dah sound heavy metal Europe pada zaman awal kemunculan mereka.

Muzik mereka kini lebih kepada pop rock dan AOR. Sebenarnya tak ada masalah apa pun. Sedap juga lagu-lagunya. Paling suka lagu "Open Your Heart". Cumanya semangat anak muda pada ketika itu telah mengaburi kesemuanya. Bila dah semakin tua matang, terasa elok sahaja lagu-lagunya…haha…


Friday, July 29, 2022

Power Metal

 Bersempena dengan berita yang Pantera akan mengadakan reunion tour…


Pantera - Power Metal (1988)

Ramai yang tak setuju bila Phil Anselmo dan Rex Brown nak gunakan nama Pantera dalam siri konsert reunion mereka nanti. Iyer la…betul juga…tanpa adik beradik Abbott mana mungkin ianya adalah Pantera. Tetapi bagi generasi yang baru, inilah sahaja peluang bagi mereka untuk menonton separuh dari Pantera. Tambahan pula Zakk Wylde dan Charlie Benante pun bukannya calang-calang. Mungkin kalau mereka tak menggunakan Pantera, isu ini tak akan timbul.

Ok kita tinggalkan isu tersebut. Mari bercerita perihal album pertama Phil Anselmo dalam Pantera. Power Metal dan 3 album awal yang lainnya ketika bersama Terry Glaze, seolah-olah dipinggirkan atau mahu dilupakan terus dari discography Pantera. 


Sebenarnya ia tidaklah seburuk mana. Pengaruh glam/hair metal memang ada terutamnya dari sebahagian lagu serta imej mereka. Kejayaan mereka bersama Cowboy From Hell dengan konsep muzik yang berbeza berkemungkinan menjadi penyebab kenapa mereka mahu melupakan zaman tersebut. Glam/Hair Metal bagi saya bukanlah satu genre muzik yang khusus. Ianya lebih kepada imej dan gaya pada era tersebut. Power Metal bukanlah seperti Open Up and Say... Ahh!. Ianya lebih laju dan lebih berat. Ianya adalah straight forward heavy metal.

Jika anda pengemar muzik sebegini, rasanya album ini tidak akan mengecewakan. Ianya kedengaran seperti Judas Priest atau mana-mana album US Power Metal 80an yang lainnya. Yang menyebabkan rating album ini menjadi rendah pada saya adalah kerana nama "Pantera" tersebut. Maklumlah majoritinya termasuk saya hanya mula kenal Pantera dari zaman thrash, Cowboy From Hell. 

Sedikit trivia -
Proud to Be Loud adalah lagu ciptaan Marc Ferrari, gitaris kumpulan Keel. Asalnya adalah lagu untuk album pertama Keel. Tetapi ianya tidak pernah dirakamkan oleh Keel sehinggalah album ke 6 mereka Back In Action (1998). Marc Ferrari juga bertindak sebagai penerbit dan memainkan bahagaian rhythm gitar untuk lagu tersebut. Disamping itu beliau juga terlibat untuk solo akhir lagu "We'll Meet Again".




Tuesday, July 5, 2022

Gila Format - South Of Heaven

 Sempena ulangtahun yg ke 34 pada hari ini...

Slayer - South Of Heaven (1988)

Album yang tak perlu di perkenalkan lagi. Semua yang mendengar muzik ekstreme pasti dah berpuluh kali mendengarnya. Blog ini pun dah pernah menulis tentangnya dulu.

Ianya adalah antara permulaan saya terjebak dengan thrash. Kasetnya di beli pada tahun 1989. Antara bekalan kaset yang di bawa ketika menuntut di ITM. Ianya diletakkan di atas meja untuk menunjukkan yang konon-kononnya kita adalah true bukannya seorang poser. Walhal dalam drawer ada beberapa keping kaset hair metal seperti Poison, White Lion, Warrant dan sebagainya...hahaha...


Ini bukanlah kaset yang asal. Yang itu tak pasti kemana hilangnya. Mungkin ketika berpindah. Yang pasti ianya bukannya hilang kerana dipinjam. Memang tak pernah bagi kawan pinjam. Kecuali kes terpaksa kepada seorang senior di minggu suai kenal. Kononnya dia seorang mat metal tetapi yang musykilnya dia tak pernah pun dengar Slayer...haha...

Kaset yang ini dibeli pada tahun 2018 melalui facebook. Tak sama dengan versi asal. Ada perbezaan dari segi susunan atur tulisan dan inlaynya. Ianya pernah diceritakan sebelum ini. 


Versi cd pula adalah dari dari Tower Records KL Plaza  dibeli sekitar tahun 1998. Manakala versi piring hitam pula adalah hadiah harijadi dari isteri yang di beli di Embrace Hall Café pada tahun 2020.

Sasaran "gila format" yang seterusnya kalau untuk Slayer adalah "Seasons in the Abyss"..



Tuesday, May 10, 2022

Under The Influence

Album kedua dari boxset Overkill The Atlantic Years 1986 - 1996

Overkill - Under The Influence (1988)

Dah pernah tulis tentangnya 2 tahun yang lalu. Maka tak perlulah menulis panjang.

Antara kenangan dari album ini adalah melihat gambar covernya di lukis di dalam majalah Gila Gila. Kalau tak silap dalam siri kartun Majalong lukisan Cik Li. Ianya adalah pengenalan pertama kepada nama Overkill dan perkataan "Under The Influnce".


Tetapi tak berpeluang untuk mendengar albumnya sehinggalah pertengahan 90an. Begitulah lambatnnya pendedahan tentang muzik bila kita tinggal di kawasan kampung dan tak berapa nak berduit.


Under The Influence, kenangannya untuk saya adalah lebih kepada nama albumnya. Tak boleh lupa yang perkataan "Under The Influence" tersebut pastinya akan ditulis dia atas tandatangan tak kira samada ketika menconteng buku, meja mahupun dinding sekolah. Terasa hebat betul penguasaan bahasa inggeris pada ketika itu... hahaha...


Monday, December 20, 2021

Gila Format - Lies

 Lagi antara yang berjaya di "gila format"kan...

Guns N' Roses - Lies (1988)

Paling diingati tentang "Lies" adalah zaman selepas peperiksaan SPM. Ada seorang rakan sekelas yang tak pernah tau pun dia adalah peminat rock sebelumnya. Orangnya lebih "nerd" dari saya...haha.. Memang jenis budak baik, mat study, berkacamata tebal dan pandai orangnya. Berbaju kemas dan tidak berseluar fit dan tidak juga berkasut hi-cut. Tak pernah ponteng, melepak atau bercampur dengan rakan-rakan pergi jamming. Tetapi kalau tengok sekarang, dialah satu-satunya rakan yang masih berambut panjang dan berpakaian rugged...haha..

Berbalik kepada cerita penghujung tahun 1988 atau awal 1989 tersebut. Beliau dengan tidak semena-mena datang ke rumah saya dengan membawa kaset GnR - Lies dan Anthrax - State of Euphoria untuk di dengar bersama. Bermula dari situ kami mula agak rapat dalam hal pinjam meminjam kaset dan saya baru tahu yang dia adalah seorang peminat rock dan peminat tegar Iron Maiden. Tidak lama kemudian, beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke PPP-ITM (A levels) dan saya ke Segamat menyebabkan kami akhirnya terputus hubungan bertahun lamanya.

Tetapi pada ketika itu kami bersetuju yang kami berdua lebih menyukai G Side 1986 kerana lagu-lagunya lebih rocking berbanding R Side 1988 yang lebih kepada akustik. Saya tidak ingat samada pernah membeli kasetnya. Tetapi beberapa tahun lepas ketika mengemas rumah di kampung, saya menjumpai kaset ini dengan tandatangan saya di inlaynya. 

Versi cd pula di beli ketika saya bekerja di Kuala Lumpur di antara tahun 1996 hingga 1998. Beli dimana pun dah tak ingat. Tetapi pastinya antara Tower Records KL Plaza ataupun Salem Power Station Ampang Points. 2 tempat yang paling banyak duit gaji hangus di situ.

Versi piring hitam pula pada awal tahun ini. Kirim beli dengan kenalan FB di Jepun melalui Eddie Jamal. Memang jahanam lah duit gaji bila ada kenalan seperti ini...hahaha... Apa-apa pun terimakasih kepada Eddie yang membelikannya untuk saya.


Friday, October 15, 2021

Kekalkan

Layanan rawak bekerja dari rumah...

Loving Born - Kekalkan (1988)

Tak pernah beli kasetnya dulu. Apa yang boleh ingat tentang album ini adalah lagu "Tanjung Puteri". Sebagai anak Johor sememangnya lagu "Tanjung Puteri" adalah antara lagu wajib yang budak-budak rock Johor pada masa tersebut perlu tahu. Bermacam versi dimainkan terutamanya di dalam majlis-majlis kerja kahwin dan juga studio jamming. Rasanya majoriti band-band rock Johor mesti pernah memainkannya.

Tetapi yang jadi lebih menarik apabila Loving Born yang bukan berasal dari Johor yang merakamkannya. Dan mereka memainkannya dengan cemerlang. Lengok vokalisnya memang kena. Dan pada saya album Kekalkan ini sememangnya mempunyai perisa dan lengok Melayu di dalam beberapa buah lagu-lagunya. Lirik lagu "Kekalkan" yang menjadi tajuk album pun berkisarkan tentang adat melayu.

Memang tak pernah dengar pun keseluruhan albumnya sebelum ini. Selain dari "Tanjung Puteri" (yang kawan sekolah bagi pinjam dengar) dan "Terima Kasih" (yang popular di radio), lagu-lagu lainnya memang tak tahu. Rasanya kalau saya mendengarnya ketika itu (1988), mungkin ini bukanlah yang akan jadi kegemaran. Lagu-lagu perlahannya memang mendayu (ada lengok-lengok melayu lah kan). Memang tak akan kena dengan selera remaja saya pada ketika itu. Tetapi sekarang semenjak dah tua-tua ni kira bolehlah juga.

Tak ada masalah dengan lagu-lagu berat mereka. Bagus. Harapnya album ini dimainkan oleh mereka sendiri. Tetapi yang pastinya sound gitar nyaring (macam bunyi tersepit) di dalam album ini mempunyai banyak persamaan dengan beberapa album yang sezaman dengannya. Mungkin juga kerana setting atau gitar atau studio atau mungkin juga orang yang sama memainkannya. Tak pasti.


Tuesday, September 14, 2021

Putra

Pendegaran rawak bekerja dari rumah...

Putra - Putra (1988) - reissue 2016

Jujurnya saya pernah memiliki album ini dalam versi kaset cetak rompak. Di beli dengan harga RM2.50. Tahun 1988 adalah tahun yang cetak rompak masih berleluasa dan agak sukar juga kalau nak beli yang asli.  Kedai-kedai kaset seperti di pekan tempat saya hanya menjual versi cetak rompak. Di tambah pula dengan status seorang pelajar sekolah yang tidak berduit. 

Tahun 1988 juga adalah tahun yang saya cuba untuk membeli atau pinjam apa sahaja album rock tempatan yang ada di pasaran. Tetapi entah kenapa album Putra ini bukanlah sesuatu yang jadi pilihan walaupun gambar covernya memang sangat menarik perhatian. Satu-satunya lagu mereka yang saya ingat hanyalah lagu "Nazira". Tak pasti mengapa. Mungkin pada ketika itu selera remaja saya sudah mula mencari lagu-lagu yang lebih ekstrem.

Mendengarnya sekarang memanglah tak akan sama dengan mendengarnya pada 33 tahun yang lalu. Suasana semasa, kematangan hidup dan selera yang mungkin telah berubah banyak memainkan peranan. Tetapi yang pastinya saya masih teruja apabila mendengar lagu "Nazira". Ianya sebuah lagu balada dengan gitar berdistorsi yang bukannya jenis meleweh.

Selepas berulang kali dengar (mungkin lebih dari 5 kali dalam tempoh 2 minggu) ternyata ia sebenarnya sebuah album yang berkualiti. Mengikut info FB Dr Taki, majoritinya lagunya dimainkan oleh seasonist professional dari kumpulan Asiabeat seperti Jose Thomas, Mac Chew dan Lewis Pragasam. Maka tak hairanlah mengapa ianya bagus dan lagu-lagunya agak progressif. 

Senang cerita, walaupun awalnya rasa was-was, tetapi akhirnya saya rasa enjoy apabila mendengarnya. Ianya merupakan sebuah album hard rock yang ringan. Lagu-lagu perlahannya pun sedap. Jika anda sukakan hard rock 80an, maka berkemungkinan album ini kena dengan selera anda.


Monday, September 6, 2021

Go Off!

Lagi pendengaran secara rawak ketika bekerja dari rumah...

Cacophony - Go Off (1988)

Antara album yang cukup popular dikalangan rakan-rakan yang kaki gitar shredder. Apa-apa sahaja keluaran dari Shrapnel Records memang sudah pastinya mengujakan terutamanya untuk para guitarist wannabe pada ketika itu. Saya yang "tangan bangku" untuk bermain gitar pula hanya setakat mendengarnya sambil lalu.

Saya tidak pernah membeli apa-apa kaset gitar hero. Saya tahu salah seorang rakan sekampung saya pasti akan membelinya. Beliau agak kemaruk untuk menjadi gitar hero. Makanya hampir kesemua kaset-kaset keluaran Shrapnel Records yang ada di pasaran pasti akan beliau beli. Ketika saya menutut di ITM pun begitu juga. Ramai rakan-rakan yang handal bermain gitar memiliki kaset-kaset dari Shrapnel Records. Saya hanya sekadar tumpang pinjam dan dengar...Bijak kan?😀

Tetapi yang betul-betul rasa teruja nak mendengar Cacophony adalah selepas Megadeth - Rust In Peace (1990). Bila dapat tahu yang Marty Friedman bermain untuk Megadeth, pada ketika itulah mula mencari semula kaset-kaset Cacophony, album solo Marty - Dragon's Kiss dan tidak terkecuali juga Jason Becker - Perpetual Burn.

Go Off sama juga seperti album pertama mereka, Speed Metal Symphony adalah album yang menonjolkan kehebatan Marty dan Jason. Cumanya pada saya Go Off lebih memberi ruang kepada Peter Marino untuk menyanyi. Sayangnya pada saya itulah kesilapannya. Kelemahan utama Cacophony adalah di bahagian vokal.

Tapi tak kisahlah. Sesiapa pun yang mendengar album ini tujuan utamanya adalah untuk mendengar hasil kerja tangan bijaksana dari Marty dan Jason. Dan ianya memang sangat bagus. Sangat bagus tu maksudnya untuk yang minat gitar shredder lah. Yang kata main laju-laju nak pergi mana tu pergilah dengar album lain... 


Friday, June 18, 2021

Gila Format - Keeper of the Seven Keys Part II

Sebuah lagi album yang berjaya di"gila format"kan...


Helloween - Keeper of the Seven Keys Part II (1988)

Antara album yang lama mengidam untuk di "gila format"kan. Versi piring hitam dan cd expanded edition baru sahaja diperolehi beberapa bulan yang lalu. Versi piring hitam adalah cetakan dari Korea Selatan. Tak kisahlah asalkan harganya mampu milik dan kualiti sampul, piring dan soundnya memuaskan.

Sayangnya t-shirt untuk cover album ini lama dah jadi kain buruk. Ianya adalah t-shirt band pertama yang saya beli pada tahun 1989 dahulu. Ianya versi bootleg "iron on"di beli di kedai "Rock Station" di Komtar, Johor Bahru. Nak beli yang asli, selain tak mampu biasanya tiada size yang kecil. (Zaman tu kedai jual semua yang besar-besar). Banyak kenangannya tshirt tesebut.

Keeper of the Seven Keys Part II adalah salah satu album yang menjadi soundtrack zaman remaja. Ianya merupakan album Helloween pertama saya. Antara album yang tak pernah jemu dengar dari usia belasan tahun hingga ke usia pengeluaran akaun dua KWSP...hahaha...



Wednesday, June 16, 2021

Long Cold Winter

 

Cinderella - Long Cold Winter (1988)

Menjengah kembali album ini kerana baru sahaja berjaya memiliki versi piring hitam. Tak pernah beli versi kaset maka tak dapatlah nak masuk dalam entri "gila format". Tak ada lah beriya-iya mencarinya. Bukanlah antara album kegemaran. Tambah pula biasanya kalau di ebay harganya bukanlah yang jenis mampu milik. Tetapi tak sangka pula akhirnya terjumpa ianya di jual di Shopee dengan harga yang berpatutan.

Kenangannya dulu rasa sedikit kecewa ketika pertama kali dengar. Ianya berbeza dari apa yang diharapkan. Long Cold Winter memang berbeza dari album pertama mereka (Night Songs). Album ini lagu-lagunya lebih bluesy. Saya bukanlah yang jenis mudah hadam dengan lagu-lagu yang jenis sebegini.

Namun begitu ada masa dan ketikanya memang sedap juga melayan lagu-lagu sebegini. Ada masanya memang seronok melayan lagu-lagu seperti "Gypsy Road" dan "If You Dont Like It". Tetapi yang paling best untuk album ini sebenarnya adalah lagu-lagu baladanya. "Dont Know What You Got (Till It's Gone)", "Long Cold Winter" dan "Coming Home" memang syahdu bila di putarkan dikala hendak melayan perasaan.


Monday, June 7, 2021

The Kindred

Lepas layan band- band rock melayu yang tak pernah dengar, kali ini nak layan pula band-band orang putih yang dulunya sekadar baca di majalah tetapi sekarang baru berpeluang nak dengar.

Nak kata obscure, tak juga. Bagi mat rock/metal 80an, nama-nama band sebegini memang biasa di dengar, cumanya pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkannya dalam bentuk fizikal

Bahagian 1 (thrash)

Pariah - The Kindred (1988)

Kalau anda pendengar band Satan pastinya anda tahu Pariah. Mereka adalah band yang sama. Cumanya mereka menukar nama kerana genre muziknya yang sedikit berbeza. Kalau Satan bermain heavy metal (NWOBHM) tetapi dengan Pariah mereka beralih ke arah thrash.

Lagu-lagu mereka boleh lah dikatakan sebagai "generic thrash". Memang kuat pengaruh Bay Area thrashnya. Namun begitu masih ada lengok-lengok NWOBHM dalam beberapa buah lagu-lagunya. Rasanya agak susah juga nak hadam kalau anda bukannya pengemar thrash yang totok. Tak ada lagu yang boleh membuatkan anda melekat dengan hanya sekali pendengaran.

Secara peribadinya, walaupun saya adalah pengemar thrash. saya lebih sukakan muzik Satan berbanding Pariah. Namun begitu, album kedua mereka, Blaze of Obscurity (1989) rasanya lebih menarik. 



Saturday, May 1, 2021

Rock Power

 Panic buying di ketika musim PKP yang lalu ... 

VA - Rock Power (1988)

Antara kompilasi yang kurang dikenali di Malaysia tetapi agak popular juga di Singapura dan Selatan Johor. Ianya adalah kompilasi kedua band-band rock dari Singapura selepas munculnya siri Clash Of The Bands. Dua dari kumpulan yang terlibat (TZ dan Trashed) juga pernah muncul di dalam kompilasi Clash Of The Bands yang pertama.

Kumpulan yang terlibat di dalam kompilasi ini adalah TZ , Trust , Yezz , Strangers Eyes dan Trashed.

Saya tak pasti kenapa ketika ianya dikeluarkan dulu saya tidak membeli kasetnya. Mungkin kekangan kewangan seorang pelajar dan terlampau banyaknya kaset rock yang keluar pada ketika itu membuatkan saya agak selektif dalam membeli. 

Cd ini baru sahaja di beli di Lazada dengan harga serendah RM12. Apa yang saya ingat tentang Rock Power adalah lagu Cinta Palsu dari TZ dan Bicara Rindu dari Yezz. Lagu ini kerap dimainkan di radio Singapura dan agak popular juga. Yang lain-lain memang dah lupa.

Selepas mendengar cd ini rupa-rupanya baru teringat yang lagu Hati Ku Kau Lukai dari Trust juga adalah lagu yang sering saya dengar di radio Singapura pada suatu masa dahulu. Ketiga-tiga lagu yang disebutkan tadi tu memang sedap. Sesiapa yang membesar di Johor Bahru pada penghujung 80an pasti akan tahu lagu-lagu tersebut.

Sebenarnya saya agak teruja untuk mendengar lagu-lagu TZ dan Trashed. Lagu-lagu mereka dalam Clash of the Bands memang menarik. Sepatutnya mereka berhak untuk diberikan peluang merakamkan album solo sama seperti Helter Skelter. Ternyata kedua mereka tidak mengecewakan. Terutamanya TZ. Lagu rancak dan perlahan mereka kedua-duanya sedap.

Tetapi saya agak tertarik juga dengan kumpulan-kumpulan yang lainnya. Stranger Eyes pun sedap. lagu perlahan mereka, Manusia Biasa ada sedikit pengaruh progressif rock. Senang cerita pada halwa telinga saya kelima-lima band dalam kompilasi ini memang bagus. Sepuluh-sepuluh lagunya sedap. Suara penyanyi wanita Yezz dalam Bicara Rindu lebih saya suka berbading penyanyi wanita dalam Last Minute (Clash of the Bands).

Tak rugi lah dengan RM12 dapat mengembalikan nostalgia mendengar radio berbahasa melayu Singapura pada penghujung 80an dulu. Best!



Thursday, April 15, 2021

Last Warrior

 Antara yang baru masuk koleksi...

Turbo - Last Warrior (1988)

Band yang boleh masuk kategori Obscure Metal. Tak ramai tahu. Saya sendiri sekadar tahu nama. Awal tahun 90an dahulu pernah terbaca ulasan album mereka yang bertajuk Dead End (1990). Tetapi memang tak berpeluang nak dengar.

Percubaan di youtube menarik minat untuk membeli. Turbo adalah sebuah band yang berasal dari Poland. Memang patut la tak ramai yang tahu. Last Warrior adalah album berbahasa inggeris mereka yang pertama. Ianya juga ada diterbitkan dalam bahasa ibunda mereka dengan tajuk yang berlainan. Apa yang saya baca, album ini merupakan perubahan muzik mereka dari genre heavy metal kepada thrash. Apa yang berlaku di Malaysia nampaknya sama juga apa yang berlaku di Poland. Menjelang hujung 80an, ramai yang berubah menjadi thrash.

Last Warrior adalah sebuah album thrash yang bagus dan sedap. Rif-rif yang melodik dan hangguk kepala. Muziknya agak teknikal dengan solo-solo gitar berapi tetapi dalam masa yang sama sangat bermelodi. Tak ada yang saya tidak suka dengan mereka. Pengaruh Metallica dan Slayer amat ketara di dalam album ini. Malah jeritan vokalisnya mengingatkan saya kepada Tom Araya

Kalau muzik anda thrash... ini sememangnya makanan anda! 

 

Thursday, April 1, 2021

Forbidden Evil

Lagi kenangan dari zaman remaja... 


Forbidden - Forbidden Evil (1988)

Mendengar semula album ini mengembalikan ingatan kenapa pada suatu ketika dahulu saya begitu kemaruk dengan scene thrash dari Bay Area, San Francisco. 

Forbidden Evil mungkin bagi sesetengah orang ianya tiada kelainan. Tetapi bagi saya kalau dah lain perginya bermakna ianya bukan lagi thrash. Diterbitkan ketika genre sebegini sedang memuncak. Sudah semestinya ia adalah thrash yang generic. Thrash yang "straight forward". Kasar, laju tetapi dalam masa yang sama mempunya riff dan solo-solo yang melodic. Forbidden lebih kepada cara Exodus berbanding cara Metallica.

Yang paling saya suka tentang album ini sudah semestinya di bahagian twin gitar mereka. Craig Locicero dan Glen Alvelais banyak menghasilkan riff dan solo yang teknikal tetapi bermelodi. Ianya mengingatkan saya kepada Alex Skonick dari Testament. Satu lagi kekuatan mereka pada saya adalah vokalisnya, Russ Andersons. Dia mempunya vokal high pitch yang bagus. Jangan lupa juga, pemain drum mereka adalah Paul Bostoph.

Mungkin ini bukanlah yang terbaik. Tetapi ianya sebuah album wajib ada untuk pengemar sound thrash dari Bay Area. 



Sunday, January 24, 2021

Can I Play with Madness

Kenangan single pertama dari album Seventh Son of a Seventh Son...


Iron Maiden - Can I Play With Madness (12" single Vinyl) - 1988

Dalam banyak-banyak gambar cover single Iron Maiden, ini adalah gambar yang paling diminati. Alang-alang dah minat tu cari yang 12 inci terus walaupun harganya boleh buat "hati gembira poket menangis" kalau nak dibandingkan dengan harga yang 7 inci. 

Tapi memang puashati lah bila dapat pegang dan membelek secara teliti gambar cover yang besar ni berbanding versi 7 inci ataupun cd. Memang kagum betul dengan hasil kerja Derek Riggs ni.


Dulu ketika menuntut di ITM, cover ini pernah dilukis di muka depan salah satu buku matapelajaran yang di photostate. Zaman tak berapa nak mampu beli buku, biasanya nak murah kena beli 2nd hand dari senior atau pun pinjam buku kawan dan photostate. Tak ingat dah buku subjek apa. Bila habis semester. Nak duit lebih. Buku tersebut di jual pula kepada junior. Tak pasti siapa yang beli. Suruh kawan yang cari pembeli. Khabarnya dibeli oleh seorang siswi. Tak tau lah apa perasaan budak perempuan tu bila beli buku yang gambar cover depannya muka Eddie....hahaha...


Tak berniat nak kumpul single...tetapi biasalah. Bila dah terbeli satu maka secara automatiknya akan beranak jadi 2... hmmmmm....