Monday, January 30, 2023

A Bit of What You Fancy

Sempena ulangtahunnya yang ke 33 semalam (29hb Januari)...



The Quireboys - A Bit of What You Fancy (1990)

Sesiapa pun yang menonton siri Peacemaker di HBO pastinya tak akan terlepas pandang dengan album ini. Malah watak utama lakonan John Cena siap menyanyikan lagu "I Don't Love You Anymore". Lagu yang boleh dianggap paling popular dari The Quireboys.

Sebenarnya piring hitam ini baru sahaja saya miliki beberapa bulan yang lalu. Kebetulan terjumpa dengan harga yang murah dari satu website Jepun. Membelinya bukan kerana Peacemaker, tetapi ianya mengembalikan ingatan saya kepada majalah Kerrang di awal tahun 90an. Seperti kebiasaannya Kerrang tidak pernah tidak mempromosikan band-band British. The Quireboys adalah salah satu darinya. Tajuk albumnya yang agak unik menyebabkan ianya agak mudah untuk diingati.


Tak pernah dengar pun albumnya dulu. Satu-satunya lagu yang tahu adalah "I Dont Love You Anymore". Tak ingat samada dengar di radio ataupun  di dalam kaset kompilasi lagu-lagu slow rock milik kawan-kawan. Tapi biasalah, awal 90an dulu lebih memilih untuk membeli kaset-kaset band yang lebih ekstrem demi menjaga status seorang TRUE kekangan kewangan.

Cuba juga mendengarnya ketika zaman download MP3 (2000an). Tetapi tak berapa nak masuk. Maklumlah saya bukanlah peminat lagu-lagu bluesy hard rock. Tetapi seiring dengan peningkatan usia, sedar tak sedar kita akan menjadi semakin “mellow”. Pada masa, hari dan mood yang tertentu, lagu-lagu sebegini terasa sangat sedap ditelinga….


Thursday, January 26, 2023

Gila Format - Endorama

Antara yang terkini kena penyakit gila format...

Kreator - Endorama (1999)

Yang betul-betul kemaruk dengan Kreator adalah ketika zaman Coma Of Soul (1990). Kemudiannya menjadi kurang. Tak ingat kenapa. Mungkin kerana keadaan semasa, minat dan keutamaan yang bebeza. Di tambah pula dengan muzik mereka yang berubah. 

Tidak mengambil tahu tentang mereka sehinggalah munculnya album Endorama. Itupun asalnya kerana tertarik dengan gambar covernya yang agak berlainan. Membeli kasetnya sekadar hanya membeli. Tak menghayati dan terus di simpan di rak. Seperi gambar covernya, muzik Kreator juga sudah berubah. 

Beberapa tahun kemudiannya, apabila mendengar Sentenced - The Cold White Light (2002) baru perasan yang muzik sebegini ada dalam Endorama. Dan pada ketika itu baru tahu yang ianya adalah di dalam genre gothic metal. Memang jauh berbeza dengan thrash yang sinonim dengan Kreator.

Ianya agak poppy. Dan ada juga sedikit pengaruh industrial. Tetapi yang menariknya ada beberapa lagu yang Mille Petrozza betul-betul menyanyi bukannya growl. Boleh tahan juga sebenarnya suara beliau. 

Kalau anda seoarang metalhead yang mencari Kretor yang thrash, Endorama bukanlah tempatnya. Tetapi untuk yang lainnya, album ini sedap dan menghiburkan. Saya adalah golongan yang kedua. Kalau tak, mana mungkin ianya saya “giler format”kan…


Sunday, January 22, 2023

Gila Format - Pyromania

 Lagi yang dah berusia 40 tahun pada 20hb Januari yang lalu...

Def Leppard - Pyromania (1983)

Satu lagi kenangan ketika zaman sekolah menengah. Tak ingat bila kali pertama mendengar album ini secara penuh. Album (kaset) Def Leppard pertama saya adalah High 'n' Dry. Tetapi Pyromania lebih bernostalgia kerana Foolin' adalah lagu pertama Def Leppard yang saya tahu dan dengar.

Foolin' adalah lagu yang agak popular pada ketika itu. Tak pasti di tempat lain tetapi bagi remaja di Johor Bahru termasuk saya yang jauh di Ulu Tiram pun tahu. Boleh dikatakan kebanyakan band-band jamming dan kerja kahwin di kampung boleh memainkan lagu tersebut. Malah Search sendiri pun pernah merakam lagu tersebut ke dalam Bahasa Melayu dengan tajuk "Berpaling".

Sebenarnya Pyromania bukan sekadar Foolin’. Banyak lagi lagu-lagu yang sedap yang menjadi soundtrack sepanjang zaman untuk Def Leppard. Photograph dan Rock of Ages adalah antaranya. Ianya juga adalah penghujung zaman yang sound dan muzik mereka boleh dikaitkan dengan New Wave Of British Heavy Metal. Bermula dari Hysteria mereka telah mula berubah menjadi lebih pop dan komersial. Mungkin ianya ada kaitan dengan kemalangan yang menimpa kepada pemain drum mereka, Rick Allen.


Wednesday, January 18, 2023

Cuts Like a Knife

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada hari ini, 18hb Januari...

Bryan Adams - Cuts Like a Knife (1983)

Ini adalah kenangan ketika Darjah 6. Pengaruh dari abang. Kami duduk sebilik. Apa yang beliau dengar adalah apa yang saya terpaksa juga dengar. Ketika itu beliau sedang kemaruk mendengar muzik pop orang puteh. Radio berbahasa Inggeris, Radio One dari Singapura menjadi sumber bagi kami berdua untuk mengikuti perkembangan lagu-lagu popular semasa (Top 40). 

Dari zaman itu juga telah nampak yang kecenderungan saya adalah kepada muzik gitar berdistorsi. Pertama kali mendengar lagu "Straight From the Heart" dan “Cuts Like a Knife” terus jatuh minat. Sejak dari itu Bryan Adams menjadi antara penyanyi solo kegemaran.

Sayangnya tak pernah memiliki album ini dalam bentuk kaset. Tak pastinya samada ianya ada di jual. Ketika itu pun saya hanya mengharapkan abang untuk membeli. Kebiasaanya abang lebih suka membeli kaset lagu-lagu campur. Tetapi kebanyakan masanya adalah lebih mudah untuk membeli kaset kosong dan merakamkan lagu-lagu hits dari rancangan permintaan di radio. Tapi seperti biasalah, selalunya ada sahaja gangguan suara DJ di awal atau penghujung lagu...


*sedikit trivia,  lagu "Don't Leave Me Lonely" adalah ciptaan Bryan Adams bersama pemain drums kumpulan KISS, Eric Carr. Ia asalnya adalah untuk album KISS - Creatures of the Night.



Sunday, January 15, 2023

Nena

Yang genap 40 tahun semalam (14hb Januari)...

Nena - Nena (1983)

Macam tak sangka dah 40 tahun berlalu. Nena dengan lagu hitnya "99 Luftballons" membawa saya kembali ke usia awal remaja. Ianya mengimbau kenangan zaman merakamkan lagu di radio menggunakan kaset kosong. 

Agak susah untuk mendapatkan yang sempurna. Kalau tak di awal lagu, mesti ketika penutup akan ada sahaja suara DJ sibuk menyampuk. Biasanya kalau nak dapat yang lengkap terpaksalah membeli kaset lagu-lagu campur Top Hits cetak rompak yang melambak di kedai kaset/pasar malam dengan harga RM3 pada ketika itu.

"99 Luftballons" adalah salah satu lagu kegemaran dari zaman tersebut. Walaupun tak paham sepatah haram cakap Jerman tetapi melodinya sedap. Sebenarnya lagu tersebut ada juga dirakamkan dalam bahasa inggeris dengan tajuk "99 Red Ballons". Tetapi feel mendengar patah perkataan Jerman yang Nena sebut tu dah tak ada. Terasa hambar dan hilang keaslianya.

Pembelian lp ini adalah semata-mata kerana nostalgia yang ada pada “99 Luftballons”. Tak pernah dengar pun lagu yang lainnya. Mereka bolehlah dikategorikan sebagai “one hits wonder”. Tetapi selepas mendengar keseluruhannya, ada juga lagu-lagu lain yang menarik. "Ich bleib' im Bett" (I Stay in Bed) contohnya,

Untuk makluman, Nena adalah sebuah band asal Jerman yang memainkan muzik new wave atau synthpop yang sememangnya sedang popular pada ketika itu. Mendengar muzik begini sememangnya terasa seperti kembali ke tahun 80an.


Thursday, January 12, 2023

Left Hand Path

Bersambung cerita dari To The Gory End dan Consvming Impvlse....

Entombed - Left Hand Path (1990)

Sebelum tahun 1990, zaman sekolah bersama-sama kawan sekampung, muzik yang paling ganas yang kami dengar adalah Slayer dan Sepultura… dan mungkin juga Kreator, Sodom… kalau itu boleh dianggap sebagai ganas (tapi rasanya zaman tu dah kira ganas dah tu kan?... ). Maklumlah...sumber kewangan kami agak terhad. 

Tetapi selepas melanjutkan pelajaran ke IPTA, berkenalan pula dengan kawan-kawan yang lebih berduit untuk membeli bermacam kaset (terutamanya kawan-kawan dari KL), rupanya banyak lagi band-band yang lagi ganas. Entombed adalah salah satu darinya.

Pertama kali dengar memang rasa agak sukar nak masuk. Maklumlah telinga dah biasa dengan muzik rock yang lebih bermelodi. Pada ketika itu semua muzik yang lebih berat dari rock dan heavy metal kita panggil thrash. Tetapi Left Hand Path rasanya bukanlah thrash yang biasa. Perasaannya sama ketika kali pertama mendengar Morbid Angel - Altars of Madness. Zaman itu tak tau lagi adanya istilah death metal.


Berlainan dengan band-band seangakatan, Left Hand Path rasanya hampir langsung tidak mempunyai pengaruh thrash. Muziknya lebih laju dan brutal. Mungkin album ini boleh dianggap diantara album death metal yang terawal. 

Tetapi sebagai seorang pengemar thrash yang lebih dari death metal, ianya kurang menarik perhatian saya. Namun begitu bagi yang minat death metal. Left Hand Path sudah semestinya antara album yang paling berpengaruh dan menjadi ikutan. Tetapi perlu diakui, ada bahagian-bahagian yang perlahan di dalamnya yang memang sedap. Mungkin itu penyebab kenapa saya lebih sukakan Entombed di zaman yang kemudiannya (Wolverine Blues).


Monday, January 9, 2023

Rev It Up

Pembelian terakhir dari 2022

Vixen - Rev It Up (1990)

Dahulunya tak pernah dengar pun. Hanya tahu lagu "How Much Love" dan "Love Is a Killer". Tapi selalu juga nampak kasetnya di kedai. (cover yang berlainan, hanya versi cetakan US mempunyai gambar cover seperti cd ini). Dengan duit sebagai seorang pelajar yang terhad, kaset sebegini sememangnya tidak menjadi keutamaan.

Sejujurnya tidak mengambil tahu sangat tentang Vixen. Pengenalan saya kepada mereka adalah melalui abang. Beliau membawa balik kaset album pertama Vixen ketika pulang balik kampung. Menarik juga lagu-lagunya. Tetapi yang lebih menarik adalah orangnya...terutamanya si gitaris, Jan Kuehnemund...hahaha...

Kemudiannya menonton pula tape VHS mereka "Revved Up!". Dari situ lah tahu tentang 2 lagu dari album ini. Beberapa tahun lepas pernah cuba juga untuk membelinya di ebay, tetapi hanya dapat album yang pertama. Tak sangka pula boleh terjumpa album no 2 ini di shopee.

Rev It Up lebih kepada muzik hard rock yang komersial. Adakalanya membawa ke AOR. Ianya seakan-akan Heart ketika era penghujung 80an dan awal 90an. Jika anda minat Heart makanya tiada masalah untuk anda suka juga kepada Vixen.

RIP Jan Kuehnemund!


Thursday, January 5, 2023

No More Tears

Pembelian sempena diskaun black friday November tahun lalu... 

Ozzy Osbourne - No More Tears (1991)

Tak beli dan tak mengambil tahu langsung ketika tahun ianya dikeluarkan. Ianya lebih kepada selera muzik yang berubah dan kekangan kewangan seorang pelajar. Di tambah pula dengan tiadanya rakan-rakan lain yang membeli untuk dipinjam.

Satu-satunya lagu yang saya tahu dari album ini adalah Mama, I'm Coming Home. Itu pun kerana video clipnya sering diputarkan di tv (rancangan MTV dan Chanel V di tv Singapura). Lagunya yang berentak balada yang pada pendengaran saya pada ketika itu agak meleweh menyebabkan ianya agak kurang diminati.

Cumanya ketika sedang berkira-kira untuk membeli album terbaru dari beliau (Patient Number 9) tempohari, saya terpanggil untuk mendengar album ini. Cdnya lama dah dibeli. Tetapi seperti banyak juga cd-cd yang lain, ianya hanya menjadi perhiasan di rak. Dan tak sangka pula saya jatuh minat pada pendengaran kali pertama. Dan tak pasal-pasal pula terjebak untuk membeli versi piring hitam...heheh...

Entah mengapa lagu yang dulunya saya rasa lembek dan mendayu (Mama, I'm Coming Home), kini terasa segar pula. Tambah-tambah jika mendengar versi live. Kerja gitar Zakk Wylde memberikan tenaga kepada lagu tersebut. Saya rasa saya patut tarik balik kata-kata saya duluya yang tak minat dengan Zakk. Imej kuat Jake E. Lee sebagai gitar hero pada ketika mungkin antara yang mejadi penyebab. Namun sejak semakin berusia matang, pemikiran semakin terbuka.

Semakin dengar semakin suka dengan kesemua lagu-lagunya. Semuanya sedap. Tak hairanlah kalau Lemmy yang terlibat dalam menulis 4 buah lirik mengatakan yang beliau mendapat lebih banyak royalti darinya berbanding album-album Motörhead sendiri.

Saya akan cuba untuk mendengar album yang seterusnya pula. Harap-harap tak la sedap sangat. Jahanam kalau semua mahu di"piring hitam"kan...hahaha...


Monday, January 2, 2023

Orang Asing

Nak juga mencelah. Iya lah kan, tengah hangat seminggu dua ni di Facebook cerita pasal konsert Barbarik Pentas Keras. Walaupun tak dapat hadir dan album ini bukan Mus, tetapi ianya adalah permulaan era Wings dibawah Joe Branko.


Wings - Orang Asing (1995)

Ini adalah antara beberapa cd melayu terawal yang saya ada. Dah tak boleh nak ingat mana satu yang pertama. Saya mula membeli cd sekitar penghujung tahun 1994. Ketika itu tak banyak pun cd melayu yang ada dipasaran. Mengikut Spotify, Orang Asing diterbitkan pada 03/06/1995. Berkemungkinan besar ada cd lain yang lebih awal. 

Sebenarnya pada ketika itu saya tak mengikuti sangat perkembangan muzik rock melayu. Pembelian cd ini semata-mata kerana pada ketika itu saya memiliki set pemain cd changer kereta. Ianya jenis yang boleh letak 10 disc sekaligus dan diletakkan di bahagian bonet belakang. Untuk mencukupkan 10, saya membeli apa sahaja cd rock yang ada. Kedai-kedai di Johor Bahru di tahun 1995 masih majoritinya menjual kaset. Memang agak sukar untuk membeli cd terutamanya cd rock.

Jujurnya tak minat sangat dengan album ini. Terlampau lembap. 4 lagu awalnya lagu perlahan. Yang ke 5 dan 6 moderate. Masuk track ke 8 baru jumpa yang berat. Memang terasa letih untuk menghabiskannya tanpa skip. Tetapi disebabkan ketika itu saya mempunyai jumlah cd yang terhad. Pusing-pusing tetap dengar cd yang sama. Lama-lama jadi suka juga.


Lagu-lagu seperti Ranjang Mawar, Lena Diulit Intan, Semalam Yang Hangat dan Asing menjadi peneman ketika memandu pergi dan balik kerja. Dan biasanya akan "skip" 3 lagu yang terakhir. (selepas lagu berat "Setan Mengganas", memang rasa tak lalu nak dengar 3 lagu perlahan berikutnya secara berturutan). Disebabkan itu saya tidak mempunyai apa-apa kenangan dan tak ingat dengan lagu "Saputangan" (lagu yang dinyanyikan Mel ketika Barbarik Pentas Keras)

Yang pastinya, Joe cuba lari dari imej dan sound Wings ketika bersama Awie. Bunyi yang lebih kasar dan berat yang kemudiannya menjadi trademark beliau ketika bersama Mus. Saya tidak mempunyai masalah dengan Mel. Cumanya saya rasakan yang suara beliau tidak berapa kena dengan muzik yang berat. Mungkin juga itu penyebab kenapa Joe meletakan 7 lagu slow dan 2 lagu moderate untuk album ini.