Showing posts with label Yngwie Malmsteen. Show all posts
Showing posts with label Yngwie Malmsteen. Show all posts

Saturday, April 12, 2025

Eclipse

Remembering my youth - 35th anniversary.

Yngwie Malmsteen - Eclipse (11/04/1990)

Haters gonna hate... Tak kisahlah orang nak kata apa. Malmsteen adalah antara punca saya suka gitar. Beliau selamanya gitar hero saya. 

Album ini membuktikan yang beliau bukanlah sekadar laju. Ini adalah album beliau yang paling pop paling AOR. Ini adalah album yang paling bukan neo classical Malmsteen tapi sedap. Mungkin saya bias. Tapi saya peduli apa 😆


Tuesday, March 5, 2024

Rising Force

 Sempena ulang tahunnya yang ke 40 hari ini (05/03)

Yngwie Malmsteen - Rising Force (1984)

Entah berapa ramai agaknya anak muda era 80an yang bercita-cita menjadi gitar hero setelah terpengaruh mendengar album ini. (termasuklah yang menulis ni 😁)

Hate him or love him... there is only one Malmsteen!


Sunday, November 7, 2021

Parabellum

 Album baru 2021...

Yngwie Malmsteen - Parabellum (2021)

Tak boleh nak ingat dah ini album yang keberapa. Aktif betul dia dalam menghasilkan album-album baru. Kalau dulu hampir setahun satu. Memang banyak juga yang tertinggal keretapi.

Seperti beberapa album kebelakangan ini, Malmsteen dalam studio tidak lagi bergerak secara kumpulan. Melainkan drums, segala alat muzik lain beserta vokal, lagu, lirik, susunan muzik dan penerbitnya adalah beliau sendiri.

Disebabkan beliau yang meyanyi, rasanya tumpuan dilebihkan kepada bahagian-bahagian instrumental untuk memudahkan beliau apabila melakukan persembahan secara live. Dari 10 lagu hanya 4 lagu yang ada lirik dan dinyanyikan. Faktor suara pun mungkin juga. Vokal beliau adalah dalam kategori yang biasa-biasa sahaja. 

Sebagai peminat beliau, memang tak ada apa nak di komplen. Memang ada momen yang membawa kita ke zaman awal beliau. Sebenarnya mudah sahaja kalau nak buat ulasan tentang album Malmsteen. Dia ni semua orang dah tahu macama muziknya dan jarang sangat ada kejutan ataupun perubahan. Malmsteen adalah Malmsteen. Jika anda peminat beliau, anda akan suka dan jika tidak, sampai bila-bila pun tak akan suka. Mudah!


Friday, February 19, 2021

No Parole From Rock 'n' Roll

 Antara peneman sepanjang PKP 2.0

Alcatrazz - No Parole From Rock 'n' Roll (1983)

Selepas Steeler, ini adalah persinggahan kedua Malmsteen sebelum menjadi artis solo. Pengaruh utama Malmsteen adalah Ritchie Blackmore. Makanya tak rasa pelik pun bila dia bergabung bersama Graham Bonnet yang juga merupakan bekas vokalis kumpulan Rainbow.

Muzik Alcatrazz sendiri mempunya pengaruh melodic hard rock / heavy metal ala Rainbow dan Deep Purple. Memang catchy. Peminat Malmsteen era 80an pasti akan suka. Hala tujunya sudah nampak ke arah neo classical yang menjadi trademark beliau. Shredding solo beliau yang laju. "Eargasm" lah bagi yang minat muzik sebegini.

Lagu-lagu seperti "Jet to Jet", Hiroshima Mon Amour" dan "Kree Nakoorie" adalah lagu-lagu yang sering di mainkan Malmsteen walaupun selepas bergelar artis solo. Kalau rajin boleh cari di youtube. Versi beliau bersama Jeff Scott Soto pun menarik.

Sebagai peminat Malmsteen, album ini memang wajib dibeli!.



Tuesday, June 2, 2020

WFH : Marching Out

Tak ada aral tinggal seminggu lagi untuk Work From Home. Dah lama-lama ni rasa seronok pula kerja dari rumah ni... Ok sambung lagi hiburan...


Yngwie J. Malmsteen's Rising Force - Marching Out (1985)

Lama tak dengar album ini secara keseluruhan. Dulu-dulu zaman sekolah memang boleh dikatakan naik lunyai kasetnya di mainkan hari-hari. Antara pengaruh besar untuk budak - budak rock melayu pada zaman tersebut.

Mana-mana mat rock yang membesar di era 80an (terutamanya di belah Johor dan Singapura) pastinya tak boleh lari dari album ini dan lagu "I Am A Viking". (Bak kata Deaf pun lagu yang lebih banyak dinyayikan oleh budak-budak melayu zaman tu berbanding national anthem 😁)

Ianya bolehlah dikatakan antara kitab suci untuk mat rock pada ketika itu. Pegang gitar kalau tak pandai main lagu "I Am A Viking" kira belum hebat lagi. Boleh tengok berapa ramai gitaris hebat dari Malaysia (Johor terutamanya) yang berkiblatkan Malmsteen. Man Kidal, Joe Burnmark, Shahrul Ekamatra (sekadar menyebut beberapa nama) adalah contohnya.

Betul-betul mengimbau memori bila mendengar semula album ini. Ianya adalah antara pengaruh besar yang membentuk selera muzik saya. Dulunya ada juga cita-cita nak jadi gitar hero seperti beliau. Tapi disebabkan "jari bangku" dan malas nak berlatih, simpan sahajalah angan-angan Mat Jenin tu...hahaha....

Tak kisah orang nak cakap apa. Hate him or love him... there is only Malmsteen!


Sunday, November 3, 2019

Steeler

Antara yang terkini dalam koleksi...


Steeler - Steeler (1984)

Jangan keliru. Yang ini band Axel Rudi Pell bukannya Yngwie Malmsteen. Dua-dua pun guna nama sama. Dua-dua pun gitaris yang hebat. Kalau nak solo-solo laju bergulung, pergi cari Steeler Malmsteen. Tetapi kalau mahukan heavy metal 80an yang raw dan melodic, ini lah albumnya.

Pertama kali dengar ingatkan Iron Maiden. Suara vokalisnya memang mirip kepada Paul Di'Anno. Twin gitar solonya pun sedap. Tak popular gitaris yang lagi satu tu. Tetapi Axel Rudi Pell ni memang menjadi bila buat album solo.


Walaupun saya "kipas susah nak mati" Malmsteen, tetapi untuk nama Steeler, saya memilih versi band asal Jerman ini. Terutamanya pada album ini. Solo-solo yang melodic. Sound raw, laju dan bunyi heavy metal 80an yang sejati. Semua lagu sedap tetapi yang jadi pilihan di hati adalah "Hydrophobia" (entah mengapa terbayangkan Megadeth) dan power ballad, "Fallen Angel".

Lazat!




Monday, July 1, 2019

Piring Hitam



Ini adalah beberapa keping piring hitam yang dibeli sepanjang setengah tahun 2019. Ada lagi yang lainnya. Tetapi samada ianya dah pernah dibuat ceritanya ataupun ianya bukanlah didalam senarai kegemaran.

Tetapi yang 4 ni memang beli kerana minat. Lama dah cari tetapi baru ni dapat dengan harga yang mampu milik. Kononnya nak buat gila format. Sayangnya 3 daripada 4 album di atas tak tau kemana dah hilang kaset-kasetnya. Yang Waysted tu memang tak ada, Dulu pun sekadar pinjam kawan - kawan.

Makanya kalau ada yang nak jual kaset-kaset di atas, roger-roger la yer...😀



Thursday, June 27, 2019

Blue Lightning

Terkini di pasaran...


Blue Lightning (2019)

Terus terang cakap cd ini di beli sekadar pelengkap koleksi. Tak minat sangat pun dengan album ini. Tapi itu lah. Dah memang minat beliau sejak dari zaman zaman remaja. Apa pun yang beliau keluarkan. Jika ianya mampu milik. “En Malmsteen, Ambillah duit saya…” 😀

Untuk yang tak tau, album ini bukanlah album Malmsteen yang biasa. Ianya sebuah album lagu-lagu cover yang lebih terarah kepada genre blues. Khabarnya ia sebagai menyahut cabaran peminat yang mahukan beliau bermain blues. Itu yang jadi kurang berminat tu. Entahlah memang susah sikit nak hadam dengan genre blues.


Tapi menarik jugalah. Ada lagu-lagu klasik rock seperti Smoke On The Water, Purple Haze dan While My Guitar Gently Weeps. Tapi seperti biasalah. Malmsteen tetap Malmsteen. Lagu-lagunya memang tetap berbunyi Malmsteen. Tambah-tambah pula dia yang menyanyi.

Ramai yang kata beliau syiok sendiri. Semua benda dia. Dari gitar, nyanyi, lagu, lirik malah penerbit pun dia semuanya. Tapi itu lah. Malmsteen tetap malsteen. Hate him or love him... there is only Malmsteen!






Monday, June 3, 2019

CD 2019 - Bahagian 6


Lagi cd terkini dalam simpanan...


Dua-dua adalah nama yang cukup sinonim dengan dengan rock melayu. Malmsteen tak payah cerita lah pengaruhnya kepada shredder rock melayu 80an. Anthem pula walaupun tidaklah sepopular Loudness, tetapi bagi peminat Bloodshed  tentu tahu yang lagu "Peristiwa" dan "Jangan Terpedaya" dari album Ilusi Sebuah Mimpi adalah lagu cover/ciplak dari  "Death To Death" dan "Finger's On The Trigger" dari Anthem.

Dua-dua pun dah keluar album baru. Dua-dua pun dah selamat dalam koleksi. Tunggulah lepas-lepas raya nanti kita cerita...

Selamat Hari Raya!



Monday, April 9, 2018

Odyssey

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 8hb April...


Yngwie J. Malmsteen's Rising Force - Odyssey (1988)

Ini satu lagi kenangan zaman sekolah. Antara kaset yang menjadi bualan dan pinjam meminjam antara rakan-rakan sekolah. Belek dan baca lirik sampai naik lunyai inlay. Hafal satu album. Sesuatu yang tak dapat dah nak buat bila usia dah semakin meningkat seperti sekarang.

Zaman ni semua pun bercita-cita nak jadi Malmsteem. Nak jadi gitar hero. Kumpul duit beli gitar tong. Tapi yang jenis tangan bangku, main hari-hari pun tetap tak pandai-pandai.

Ingat lagi masa tu tengok band sekampung, D'Fender (finalis Juara Rock Johor 1988) praktis main lagu "Hold On" kat Balai Raya. Terus rasa bersemangat nak cuba main. Tapi tak pernahnya berjaya.

Odyssey adalah album Malmsteen yang lebih senang nak hadam Ianya lebih pop dengan kemasukan Joe Lyn Tunner. Sesiapa yang jiwa rock melayu memang senang nak minat.


Marching Out, Trilogy dan Odyssey adalah 3 album Malmsteen yang banyak memberi pengaruh  kepada citarasa muzik saya ketika zaman awal remaja.

Penghujung tahun 88 dah mula kemaruk dengan muzik yang lebih ekstrem. Akhirnya muzik begini sedikit demi ditinggalkan. Namun begitu ianya tak pernah dilupakan. Malmsteen akan selamanya adalah seorang gitar hero untuk saya.

Terbaik!



Friday, January 26, 2018

9 albums that changed my life

Terjebak juga dengan #9albumsthatchangedmylife di instagram...ni semua Eddie punya pasal...hahaha...

*ianya disusun mengikut turutan tahun....tahun dikeluarkan dan tahun ianya didengar...dan ia juga bukanlah album kegemaran utama saya untuk sesuatu band. Contohnya untuk Iron Maiden semestinya kegemaran saya adalah Somewhere in Time. Tetapi senarai ini lebih kepada album yang memberi kesan dan pengaruh kepada selera muzik saya...dan ianya sememangnya sukar untuk hanya memilih 9...kalau 10, pastinya ada album Poison - Look What the Cat Dragged In (1986) tersenarai...hey! Hair Metal Rules!!! ok...

 

1 - Scorpions - Blackout  (1982) Album yang membuatkan saya sedar yang muzik adalah minat, hobi dan passion yang utama...bukannya main tembak-tembak, mandi paya dan menyauk ikan...haha...entah mengapa bunyi gitar dari album ini benar-benar memikat hati.

2 - Duran Duran - Seven And The Ragged Tiger (1983) Seperti kanak kanak lain yang membesar di era 80an, siapalah yang tidak terjebak dengan Duran Duran dan lain-lain angkatan artis new wave/new romantic yang cukup popular di zaman itu....kira mcam Kpop untuk budak-budak zaman sekarang 😀

3 - Bryan Adams - Reckless (1984) Walaupun kemaruk dengan pop, satu yang saya perasan saya lebih cenderung kepada lagu-lagu yang berasaskan gitar. Reckless membuka jalan untuk saya lebih cenderung kepada muzik rock. Akhirnya saya faham kenapa saya terjebak dengan Blackout sebelum ini.

4 - Iron Maiden - Powerslave (1984) Pertama kali dengar lagu 2 Minute to Midnight dalam satu kaset kompilasi, terus rasa terpikat. Rasanya inilah genre muzik yang saya cari-cari. Tambahan pula pada ketika itu secara kebetulannya, album rock/heavy metal melayu yang pertama, Search- Cinta Buatan Malaysia diterbitkan. Koyak poster Duran Duran, koyak poster Spandau Ballet...kini bilik saya penuh pula dengan poster Iron Maiden, Motley Crue, Dio dan lain-lain...and the rest is history...

5 - Yngwie J. Malmsteen' s Rising Force - Marching Out (1985) - Zaman kemaruk dengan heavy metal. Malmsteen adalah antara pengaruh saya untuk memiliki kumpulan sendiri dan menjadi gitar hero. Malangnya saya tangan bangku. Pernah juga bermain bass bersama rakan-rakan dalam satu kumpulan di sekolah. Pergi jamming tiap-tiap minggu adalah pencapaian tertinggi saya sebagai pemuzik. Memang tak berbakat. Jadilah tukar dengar sahaja sehingga kini...

6 - Megadeth - Peace Sells... but Who's Buying (1986) Pertama kali dengar baru tahu ada lagu lain yang lebih berat, lebih laju dari Iron Maiden. Ini adalah permulaan untuk saya mula terjebak dengan muzik yang lebih ekstrem.

7 - Metallica - Master of Puppets (1986) Satu perkataan Wow!!!!..... selepas inilah baru kenal apa itu thrash metal dan ianya adalah genre muzik yang saya minat sehingga sekarang.

8 - Helloween - Keeper Of The Seven Keys Pt 11 (1988) Mereka dan Manowar membuka saya kepada satu lagi genre metal yang saya minati. Selain thrash, saya jugak agak kemaruk dengan genre Power metal. Kena sebut juga, Savatage adalah salah satu darinya (maklumlah kipas susah nak mati😀)

9 - Sepultura - Beneath The Remains (1989) Ini adalah album yang membuatkan saya mula terjebak dengan extreme metal. Mula terpengaruh dengan death metal walaupun Sepultura mungkin bukan death metal tetapi ianya membuka jalan untuk saya mengenali band-band seperti Morbid Angel, Death, Obituary dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Zaman remaja yang mana apa yang bukan extreme adalah poseur...hahaha...

Sekian. Terima Kasih.







Thursday, February 23, 2017

Facing the Animal

Yang 20 tahun pada hari ini, 23 februari....


Yngwie J. Malmsteen - Facing the Animal (1997)

Suka atau benci. Malmsteen akan tetap menjadi Malmsteen. Ini album beliau yang ke 10. Kalau yang tak suka, akan tetap juga tak suka. Tetap juga akan mencari salah. Mungkin Malmsteen sendiri pun dah sedar tentang perkara itu. Maka tak perlulah beliau melakukan sebarang experimen. Tiada yang baru. Facing The Animal sememangnya khas untuk peminat setia beliau. (seperti saya)

Ada gabungan dari Odyssey, Eclipse dan Fire & Ice. Solo-solo yang berdesup. Tip top! Namun begitu Facing The Animal juga mementingkan lagu. Banyak melodi yang sedap. Tak kira yang laju, mid tempo ataupun balada. Paling best adalah "Braveheart". Ada riff "Over the Hills and Far Away" dari Gary Moore.


Ianya juga menjadi pembuka jalan untuk vokalisnya Mats Leven mencipta nama. Selepas Malmsteen, beliau pernah terlibat dengan At VanceTherion dan terkini bersama Candlemass. Vokal bagus. Ada juga yang membandingkan beliau dengan Jeff Scott Soto.

Satu lagi yang menarik tentang album ini adalah ianya merupakan antara hasil kerja terakhir drummer lagenda, Cozy Powell. Peminat ketukan drum beliau patut ada album ini.

Sound baik. Lagu sedap. Gitar berapi. Apa lagi yang anda mahu dari Malmsteen. \m/




Sunday, December 25, 2016

Inspiration

Yang dah 20 tahun pada 14hb Oktober yang lalu...


Yngwie J. Malmsteen - Inspiration (1996)

Saya peminat Malmsteen. Tak kira apa pun terbitan dari beliau pastinya akan cuba saya miliki. Tetapi untuk yang ini ada 2 sebab tambahan. Pertamanya Jeff Scott Soto dan keduanya The Sails Of Charon.

Saya meminati vokal Jeff Scott Soto sejak kali pertama mendengar lagu "I Am A Viking". 3 lagu yang dinyanyikan beliau dalam album ini (Carry On Wayward Son, Gates Of Babylon dan Mistreated) membuktikan kehebatan vokal beliau.

Sayangnya beliau tidak menyanyikan lagu "The Sails Of Charon". Ini lagu kegemaran Scorpions saya dari era Uli Jon Roth.


Untuk yang tak tahu album ini mengandungi lagu-lagu cover yang menjadi inspirasi kepada Malmsteen. Ternyata Ritchie Blackmore adalah pengaruh besar beliau sehinggakan 5 dari 11 lagunya adalah daripada Deep Purple dan Rainbow.

Seperti biasa Malmsteen adalah Malmsteen. Apa lagi yang anda harapkan selain solo solo berhantu beliau. Tak kira lagu idola ker apa, kesemua lagu-lagunya telah berjaya di"malmsteen"kan.

Jeff Scott Soto, Joe Lynn Turner dan Mark Boals melengkapnya menjadi sebuah album cover yang bagus.

Saya bias. Semua album Malmsteen semestinys bagus. Saya masih mencari versi cd.




Friday, November 4, 2016

Trilogy

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada hari ini, 4hb November


Yngwie Malmsteen - Trilogy (1986)

Lagi yang menarik dari tahun 1986. Sesuai dengan namanya Trilogy, ianya pada saya adalah yang terakhir dari trilogy 3 album terawal Malmsteen iaitu Rising Force (1984). Marching Out (1985) dan Trilogy (1986).  Album selepasnya sudah sedikit berubah. Lebih komersial.

Namun begitu album ini juga sudah nampak arah "mainstream"nya. Mungkin Malmsteen mahukan muziknya lebih dikenali ramai. Lebih mainstream. Pada ketika itu rasanya dia sudah berjaya. Berapa ramai "copycat" yang mahu bermain sepertinya. Termasuklah yang "jari bangku" seperti saya. Haha...


Banyak juga lagu yang sedap. "You Don't Remember, I'll Never Forget", "Queen in Love", "Fury", "Magic Mirror" dan instrumental "Crying" antara yang menarik. Tak payah cerita pasal kerja gitar Malmsteen la. Semua dah tahu dia bagus. Tapi saya tertarik juga dengan ketukan drum  Anders Johansson. Padu!. Dan paling underated adalah Mark Boals. Susah dia nak ganti reputasi tinggi Jeff Scott Soto. Saya sendiri pun dulunya fan boy Jeff. Sekarang ini la baru rasa ok juga sebenarnya suara Mark Boals.

Satu kenangan tentang album ini adalah "You Don't Remember, I'll Never Forget". Setiap kali member sekolah (biasanya perempuan la) bagi buku biodata dorang yang kita kena tulis ucapan kat dalam dia atau apa2 kad perpisahan mesti tulis perkataan ini "You Don't Remember, I'll Never Forget".  Kira terer betul dah english masa tu…hahaha...




Monday, February 8, 2016

Unleash The Fury

Lagi entri yang tak sempat siap dari tahun lepas.

Yang menyambut ulangtahun ke 10 11


Yngwie Malmsteen's Rising Force - Unleash The Fury (2005)

Sebagai peminat setia Yngwie Malmsteen,  tiada apa yang saya perlu komplen. Mungkin sahaja saya bias tetapi saya cukup gembira dengan hala tuju Unleash The Fury. Malmsteen tidak lagi berusaha mencari peminat baru dengan membuat lagu-lagu pop radio friendly atau terus berexperimen.


Mungkin ianya agak oudated bagi generasi terkini. Tetapi Unleash The Fury muziknya agak kasar, berat dan laju. Itu yang sepatutnya. Malmsteen kembali dengan neo-clasical metalnya. Tiada cheesy ballad. Just pure metal dan pure Malmsteen. Jika anda tak suka bermakna anda sememangnya bukanlah peminat beliau sejak dari asalnya.

Haters gonna hate. Lawaknya orang yang mengutuk Malmsteen kerana bermain benda yang sama adalah mereka yang sama juga mengutuk bila Metallica berubah.


Walaupun produksi soundnya sedikit temggelam tetapi Unleash The Fury pada saya sangat sesuai untuk mereka yang sukakan Malmsteen di era 80an. Ada juga sedikit recycle dari rif lagu-lagu lama tetapi secara keseluruhannya memang saya suka. Vokal beliau dalam lagu "Cracking the Whip" dan  "Cherokee Warrior" pun boleh tahan juga.

Sesuatu yang kalau nak saya komplen pun cuma gambar covernya. Tak menarik langsung.




Saturday, October 17, 2015

Magnum Opus

Yang menyambut ulang tahun ke 20 pada hari ini, 17hb Oktober...


Yngwie Malmsteen - Magnum Opus (1995)

Satu lagi perkara yang pengikut blog ini pasti tahu yang saya adalah pengemar Malmsteen. Tidak perlu untuk anda membaca tulisan saya seterusnya jika anda tidak sukakan beliau. Sudah pastinya saya akan "bias".

Saya rasa kelakar bila pengkritik muzik mengatakan  album-album Malmsteen seperti ini sangat "predictable" dan tiada pembaharuan. Ini Malmsteen ok, apa lagi yang anda mahukan? Dia tidak akan pernah menjadi lain walau di era mana sekalipun. Malmsteen akan tetap menjadi Malmsteen. Trademark beliau adalah neo-classical yang laju dan laju. Memang itu pun yang kami die-hard fan ini inginkan.


Ini adalah kesinambungan dari album The Seventh Sign (1994). Masih mengekalkan Michael Vescera (Loudness) sebagai vokalis. (walaupun ramai juga yang tidak suka) Magnum Opus bukanlah sekadar album yang laju dan laju. Saya rasa ianya cukup melodic walaupun ianya tidaklah sekomersil Fire And Ice (1992).


Sesuai untuk semua golongan. Ada speed metal seperti "Vengeance". Slow rock macam "I'd Die Without You". Pop dalam "The Only One". Tetapi antara yang menariknya adalah instrumental "Amberdawn". Memang cukup syahdu lagu ni. Siapa kata Malmsteen tiada jiwa.

Cd saya adalah keluaran Jepun. Tetapi tiada obi. Mungkin dah hilang. Maklumlah cd 2nd hand. Yang bagusnya keluaran Jepun ini mempunyai satu lagu tambahan iaitu  instrumental cover dari Vivaldi, "Cantabile". 


Secara keseluruhannya album ini menepati citarasaya saya di tahun 90an. Ketika gitar hero yang lain juga telah berubah. Malmsteen tetap menjadi Malmsteen.

Saya suka satu quote yang saya terjumpa di internet...

Kurt Cobain’s followers: “Metal is Dead”
Heavy Metal: “Kurt Cobain is Dead”







Wednesday, September 30, 2015

Gila Format 6 - Marching Out

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada hari ini (30hb September)


Yngwie Malmsteen's Rising Force - Marching Out (1985)

Walaupun ini bukanlah album Malmsteen yang pertama saya tetapi Marching Out memang banyak kenangannya. Berangan nak jadi gitar hero pun kerana album ini. Lagu "I Am a Viking" khususnya. Lagu ni memang kira anthem bagi budak-budak rock melayu zaman tu. Jenuh menekan butang "play","stop", "rewind". "stop", "play", "stop", "rewind". "stop", "play", "stop"....berulang-ulang kali di radio kaset semata-mata kerana nak belajar main lagu ni dan mencari liriknya.

Lawaknya dalam satu temuramah radio bersama Brader Bo (Vicious Voulume - Radio Ria Singapura), Malmsteen sendiri tak menyangka yang lagu tersebut boleh jadi hit di belah Malaysia dan Singapura. Bagi beliau lagu itu hanyalah sebuah "joke" semata-mata.



Tetapi selain dari "I Am a Viking", lagu-lagu lain pun best belaka terutamanya lagu-lagu dari side A. "I'll See the Light, Tonight" , "Don't Let It End", "Disciples of Hell" menjadikan Jeff Scott Soto penanda aras untuk vokalis-vokalis yang terkemudian darinya.

Malas la nak cerita pasal Malmsteen. Sudah sememangnya saya akan "bias". Memang banyak pengaruh yang dibawanya kepada band band rock di Malaysia pada tahun 80an dulu. Selamanya beliau adalah gitar hero saya.

Marching out akan sentiasa membawa saya kembali ke umur belasan tahun. Maka sememangnya tak patut kalau album ini tidak di"gila formatkan".


*versi kaset saya mempunyai gambar cover yang berbeza. Sebenarnya hanya cetakan dari Jepun yang mempunyai cover sebegitu walaupun kaset saya adalah cetakan lanun apache dari Malaysia...heheh...




Monday, October 20, 2014

Rising Force

Album kegemaran yang dah pun 30 tahun usianya


 Yngwie J. Malmsteen's Rising Force - Rising Force (1984)

Saya bukanlah seorang guitarist…pernah bermimpi untuk jadi…tapi jari bangku dan pemalas untuk berlatih. Tetapi Malmsteen lah orang yang bertanggungjawap menjadikan saya dan ramai lagi rocker wannabe yang sebaya saya ingin menjadi gitar hero. Mungkin bagi abang-abang yang lebih tua dari saya semuanya kerana Ritchie Blackmore. Malah Malmsteen sendiri terpengaruh dari Ritchie. Tetapi bagi genarasi saya…semuanya kerana Malmsteen. Beliaulah yang mengenalkan maksud "guitar shredder" bagi kami.

Ada ramai haters di luar sana yang kondem Malmsteen. Main takder feel la. Setakat laju la. Semua tempat nak menyolo la dan bermacam-macm lagi. Tak pasti apakah pakar dan pengkritik muzik ini benar-benar mendengar muzik Malmsteen atau sekadar bias kerana nama Malmsteen itu sendiri. Mungkin mereka patut kembali mendengar album pertama ini.


Bagi saya intro lagu "Black Star" itu pun dah cukup feel dan berjiwa dah. Orang yang genius sahaja boleh menghasilkan lagu sebaik "Black Star" ataupun "Far Beyond the Sun". Bukan semua pun lagu solo laju bergulung. Sila rujuk lagu seperti "Icarus' Dream Suite Op. 4". Memang feeling. Ok..ok mungkin saya bias. Tetapi saya serahkan kepada anda untuk dengar, nilai dan nyatakan pandangan anda.

Itu belum cerita perihal vokal Jeff Scott Soto. Sayangnya kemampuan beliau hanya digunakan untuk 2 buah lagu sahaja. Sila rujuk album seterusnya, Marching Out untuk mendengar kehebatan vokal beliau.

Rekomended!


***Mungkin hanya perasaan saya, tetapi setiap kali mendengar intro "Search - Pelesit Kota" pastinya mengingatkan saya kepada intro  lagu "Evil Eye". (saya terbaca yang King Shah Metalasia mengatakan inilah lagu rock pertama beliau sebagai pemain gitar)






Friday, February 28, 2014

The Seventh Sign

Album gitar hero yang menyambut ulangtahun yang ke 20...


Yngwie J. Malmsteen - The Seventh Sign (1994)

Peringatan : bila bercerita bab Malmsteen pastinya saya bias.

28 tahun dulu ketika pertama kali saya mendengar album Marching Out, saya telah pun jatuh hati. Dia adalah antara pelopor shredder neo-klasikal heavy metal yang tidak pernah terkesan dengan apa jua zaman sekalipun. Walaupun beliau sedikit komersial di beberapa album sebelumnya. Tetapi dengan terbitnya The Seventh Sign, beliau kembali ke asal.


Tak kisahlah jika pada tahun semasa muzik rock menjadi Nirvana dan metal menjadi Pantera. Malmsteen tetap dengan neo-klasikal heavy metalnya seperti di tahun-tahun 80an. Kemasukan Mike Vescera (Loudness) sememangnya banyak membantu. Mungkin selepas Jeff Scott Soto, beliaulah suara heavy metal yang dicari-cari.

Track pertama "Never Die" benar-benar mengamit memori ketika zaman Marching Out. Manakala track kedua, "I Don't Know" membuktikan beliau boleh bermain blues dengan pengaruh Jimi Hendrix. Siapa kata beliau hanya tau laju dan laju. Manakala track ke 6, "Brothers" membuktikan beliau juga mempunyai jiwa.


Sedari dulu, saya agak kurang berminat dengan lagu-lagu perlahan beliau. "Forever One" dan "Prisoner of Your Love' tidak terkecuali. Tetapi lagu-lagu lainnya seperti "Seventh Sign", "Crash and Burn" dan "Pyramid of Cheops" membuktikan beliau adalah salah seoarng lagenda shredder terhebat.

Kadang-kadang saya tersenyum sendiri bila ada yang mengatakan Malmsteen di takuk yang lama dan tiada pembaharuan. Laju, laju dan laju. Tapi sedarkah mereka dia adalah pelopor benda yang laju,laju dan laju itu. Selamanya dia akan dikenali kerana itu dan selamanya dia harus bermain begitu. Kalau tidak...bukan Malmsteen lah namanya. Saya tidak pernah suka Metallica menjadi pop dan saya berharap Malmsteen tidak menjadi begitu.

Tak nak dengar banyak solo...sila layan Kurt Cobain. Ini Malmsteen...There is only one Yngwie Malmsteen...yang lain semuanya copy cat...heheh...



Tuesday, December 4, 2012

Fire And Ice

Lagi perihal album yang menyambut ulangtahun ke 20 tahun. Kali ini meninjau album gitar hero saya.


Yngwie Malmsteen - Fire And Ice (1992)

Awal 90an adalah tahun yang kebanyakan band2 metal cuba untuk menjadi komersil. Yngwie Malmsteen juga tidak terkecuali. Ini adalah album kedua beliau tanpa Rising Force. Sama seperti Eclipse, album ini cuba untuk menjadi sebuah album yang radio friendly.

Walaubagaimanapun Malmsteen tetap Malmsteen. Walaupun majoriti lagu2nya lebih pop, hanya ada 2 atau 3 lagu sahaja yang bergenre Neo-classical speed metal tetapi solo2 laju bergulung tetap ada. Itu sudah menjadi indentiti dia. Mungkin bagi mereka yang bernostalgia 80an, album ini mengecewakan.

Terus terang cakap, saya lebih menyukai album ini berbanding kali pertama mendengarnya 20 tahun yang lalu. Mungkin faktor usia mempengaruhi saya. Seperti kebanyakan peminat lama Malmsteen, saya sering beranggapan Jeff Scott Soto adalah vokalis terbaik Malmsteen. Tetapi kini saya terpaksa mengaku yang Göran Edman juga setanding atau mungkin lebih baik vokalnya berbanding Jeff Scott Soto.



Secara ringkasnya album ni memang sedap. Produksi pun tip top. Majoriti lagu memang sedap2 contohnya "Dragonfly", "How Many Miles to Babylon", "C'est La Vie dan I'm My Own Enemy" dan juga lagu2 instrumental  seperti "Perpetual" dan  "Leviathan". Dan yang lebih menariknya tone gitar Malmsteen hampir menyerupai zaman2 awalnya.

Senang cakap ini adalah antara album terbaik Malmsteen di zaman komersil 90annya. Pedulikan mereka yang selalu mengkritik Malmsteen kononnya beliau tiada perubahan dalam permainannya. Balik2 benda yang sama. Lawaknya mereka2 ini jugalah yang mengkritik Metallica bila Metallica berubah muziknya.