Showing posts with label Febians. Show all posts
Showing posts with label Febians. Show all posts

Thursday, April 7, 2022

Tanpa Prejudis

 Pendengaran rawak ketika bekerja dari rumah...

Amuk - Tanpa Prejudis (1998)

Siapa disebalik Amuk bukanlah lagi satu rahsia. Tetapi pada suatu ketika dahulu ianya memang satu misteri. Memang tiada gambar dan info tentang mereka di inlay cd. Membelinya dahulu secara cuba jaya selepas terbaca satu artikel promosi tentangnya di surat khabar. Ianya lebih kepada perasaan nak tahu bagaimana muzik Cromok dinyanyikan dengan lirik berbahasa melayu. 

Mereka adalah di antara beberapa buah band yang menggunakan perkataan "metal" secara mainstream yang meletop di pasaran selepas kejayaan XPDC. Ketika itu (penghujung tahun-tahun 90an), memang banyak band-band yang berkonsep sebegini. Dan saya pula pada ketika itu baru kembali untuk cuba mendengar rock melayu turut terbabit untuk membeli sebahagian darinya. Amuk hanya saya ikuti (beli) hingga ke album no. 2 (Tak Relevan). Selepas dari itu hanya tahu lagu-lagu mereka yang keluar di radio..


Sebenarnya agak janggal juga apabila mendengar muzik Cromok dinyanyikan dalam bahasa melayu. Mungkin kerana dah terbiasa dengan growl Sam Cromok yang tak faham bunyi butir tu...haha... Tetapi sebenarnya saya lebih tertarik dengan lagu-lagu bukan Cromok dari album ini. Ianya menjadi identiti mereka untuk album-album yang seterusnya.

Rasanya kalau saya mendengar album Lang Buana dari Febians terlebih dahulu, pastinya dari awal lagi saya tidak perlu untuk berteka teki siapakah dia Bandi Amuk sebenarnya...


Monday, July 10, 2017

Juara Juara Rock




Juara - Juara Rock 1 & 2

30 tahun dah. Yang kaset tu dulunya dibeli dengan harga RM2.50. Sebagai budak sekolah yang duit belanjanya hanya 50 sen sehari manalah termampu nak beli versi yang asli. Tu pun seminggu ikat perut tak makan kat kantin.

Sekarang dah ada versi cd. Tapi sayangnya dari segi sound bukanlah yang tebaik. Mendap. Produksi cd ni rasanya dibuat secara tergesa-gesa. Tak taulah copy dari mana. Maklumlah ketika itu tengah kemaruk dengan cd-cd reissue. Biasalah label nak "cash-in" cepat.

Apa nak buat....tapi sekurang-kurangnya...tengok gambar cover ni pun dah cukup membuatkan saya kembali ke umur 16 tahun semula...those were the best day of my life....




Wednesday, July 27, 2016

Juara Juara Rock

Cukup sudah....





Kaset dan cd dah ada...Kalau ada yang nak sedekahkan piring hitamnya pun boleh jugak..haha...

btw...sayang sungguh...Scandals tiada album solo....






Friday, April 15, 2016

Satu Antara Sejuta

Lagi cd keluaran semula...


Febians - Satu Antara Sejuta (1991) - keluaran semula 2016

Lagi album yang saya tidak pernah tau. Ini kali pertama mendengarnya. Hasil carian di internet mengatakan ianya album ketiga mereka. Produksinya bagus. Lagu pun sedap-sedap belaka terutamanya jika anda pengemar lagu rock perlahan. Seperti album mereka yang lainnya, Febians sememangnya melebihkan lagu-lagu perlahan. Ada 5 lagu kesemuanya tetapi saya secara peribadinya hanya menyukai dua daripadanya. Salah satunya, "Masih", entah mengapa lagu ini mengingatkan saya kepada lagu Nasha Bandi ketika beliau bersama Nuzzantara (Batu Batu Perjuangan). Susunan muzik dan solo gitar yang bagus dan di tambah dengan melodi yang memang sedap. Sekali dengar dah menangkap.

Yang kedua pula satu-satunya lagu yang saya pernah dengar dari album ini,"Penantian". Sememangnya ini killer song untuk album ini. Lagu perlahan yang cukup sifatnya untuk dipanggil sebagai sebuah lagu "slow rock" yang sebenar. Tak perlu bunyian keyboards meleweh. Cukup sekadar petikan gitar dengan solo yang mendayu. Memang layan kalau tak..tak kanlah ada band rock dari Indonesia turut merakamkan lagu ini dalam versi mereka.


Namun begitu Febians tidak pernah mengecewakan saya dengan lagu-lagu berat mereka walaupun kurang bilangannya. Antaranya "Perjalanan Segitiga". Speed metal dengan riff thrash ditengahnya. Tetapi saya cukup tertarik dengan lagu ala-ala Manowar, "Senjata Zaman". Jarang ada band rock melayu yang memainkan muzik yang sebegini.

Tabiknya saya kepada Febians adalah kerana kebolehan mereka mencipta lagu terutama vokalisnya, Nasha Bandi. Suara pun hebat tak kira lagu perlahan mahupun berat. Salah seorang vokalis metal terbaik yang ada di Malaysia. Tetapi untuk album ini pada saya keseluruhan kumpulan patut dipuji. Mereka memang sangat underated. Kerja gitar dan solo dari Aziz dan Yan pun bagus. Lagu instrumental "Demokrasi Songsang" yang ala-ala Malmsteen membuktikannya


Dengan ini cukup sudah keseluruhan discography Febians saya. Diharapkan dengan lahirnya cd-cd reissue ini, Febians akan kembali bersatu. Tak boleh dinafikan sememangnya mereka adalah antara sebuah kumpulan rock terbaik yang pernah muncul dari era "Johor Rock City" tahun 80an dulu.






Tuesday, January 26, 2016

Juara Juara Rock 1

Lagi cerita perihal cd keluaran semula...


Juara Juara Rock 1 (1987) - keluaran semula 2015

Sebuah lagi album yang mengamit memori. Kompilasi ini muncul dikala demam heavy metal melayu sedang meletup. Selepas Search Cinta Buatan Malaysia dan Battle of the Band,  Juara Juara Rock andalah antara album terpenting dalam sejarah rock/heavy metal melayu.  Segala kompilasi selepasnya (kecuali Clash of the bands - yang keluar hampir sama waktunya) adalah sekadar mengikut trend semasa.

Betul-betul kemaruk zaman tu. Maklumlah masa tu tak banyak mana lagu rock dan heavy metal berbahasa melayu. Pernah juga mendengarnya secara berterusan selama 4 hingga 5 jam lebih ketika mengecat rumah di kampung. Boleh bayangkanlah bagaimana barai dah kasetnya sekarang. (dah lah kasetnya kaset cetak rompak)

Ini adalah antara album yang menjadi bahan bualan di sekolah. D'Febians - Peperangan dengan Creeping Death - Metallica. Lagu-lagunya juga menjadi antara yang terawal kami bawa ke studio jamming. Lagu "Secebis Rayuan" dan "Tetap Di Sini" adalah antara lagu wajib bagi kami pada ketika itu. Zaman-zaman baru belajar pegang gitar karan, gitar bass dan set drums yang sebenar, mana la berani nak jamming lagu-lagu yang heavy. Zaman tu nak cari sound pun tak pandai. Cucuk kat amp terus jalan...


Satu-satunya lagu yang saya kurang berkenan dari kompilasi ini adalah lagu  "Kembalilah Semula" dari MAY. Bab melewehnya tu membuatkan saya sering menekan butang "Fwd"'. Tetapi lagu-lagu lainnya memang sedap-sedap belaka.

Walaupun ada typo, terimakasihlah kepada mereka yang berusaha mengeluarkannya semula dalam bentuk cd. Memang tak pernah terpikir pun. Memegangnya dalam bentuk cd membuatkan saya kembali terasa muda. Sekurang-kurangnya tertebus juga lah dosa masa dulu membeli versi cetak rompak. Bukan faktor budak sekolah tak berduit sahaja, tetapi pada ketika itu tak jumpa pun kaset original di kedai kaset di kampung saya. (Ulu Tiram). Sekitar tahun 1988 barulah senang nak dapat kaset yang asli...

Sedikit trivia...kalau ingatan saya betul, model dengan gitar bercabang di gambar cover tersebut adalah penyanyi bernama Ramziela.


untuk entri lain berkenaan album ni boleh klik di >SINI< dan >SINI<




Friday, January 8, 2016

Juara Juara Rock 2

Atas permintaan Deaf...sebenarnya kalau ikutkan nak buat ikut turutan yang pertama dulu sebelum yang ini...


Juara - Juara Rock 2 (1987) - keluaran semula 2015

Antara album yang dinanti-nantikan bila demam cd keluaran semula ini berlaku. Lepas NSR dan Universal Music/EMI, kini giliran Sony pula terjebak. Harap ianya akan berterusan...

JJR2 adalah salah satu soundtrack kehidupan awal remaja saya. Memang kesemua lagu-lagunya terpahat dalam kepala. Ianya bolehlah dikatakan sebagai zaman emas rock melayu sebelum merebaknya wabak rock leleh pada penghujung 80an ( tahun 1989 dan ke atas).


Ianya kali pertama dikeluarkan dalam bentuk cd dengan gambar cover yang asal. Tahun 2001 dulu pernah juga diterbitkan dalam bentuk cd tetapi dengan gambar yang cover lain dan lagu-lagunya dirojakkan bersama JJR1 dan JJR3 menjadi 2 volume cd.


Menariknya ianya mengekalkan rekabentuk seperti versi kaset yang asal. Sayangnya ada kesilapan typo bila nama Scandals di salah eja menjadi Scandais. Patutnya setiap syarikat rakaman melantik peminat/collectors sebagai editor sebelum dicetak supaya setiap rilisan tersebut benar-benar sempurna. Maklumlah ini semua khazanah negara. Kalau bukan kita yang nak jaga...siapa lagi? Lantik saya tanpa bayaran pun saya sanggup.


Dari segi sound pula, saya tak pasti dari mana sumbernya diambil. Adakah sama seperti cd keluaran 2001 kerana saya dapati soundnya ada sedikit tenggelam berbanding dari keluaran 2001. Tetapi secara keseluruhannya masih ok. Bukanlah satu masalah sangat.

Apa-apa pun ianya sememangnya satu rilisan yang mengamit memori. Mengembalikan kenangan ketika saya berumur 16 tahun. Masa tu memang tengah kemaruk dengan muzik rock. Pada saya semua lagu best. Banyak sangat sentimental valuenya. Zaman-zaman baru nak berjinak-jinak dengan studio jamming.



Susah juga kalau nak pilih lagu mana yang paling saya suka. Kalau yang berat mungkin Derita "The Sentinel Judas Priest Bangsa - MAY dan Roda Penghidupan - D'Febians yang jadi pilihan. Kuasa II - Scandals pun sedap juga. Bila belajar Maths yang ada bab pasal kuasa 2 memang kepala otak terngiang-ngiang lagu ni.

Kalau yang perlahan saya pilih Bayangan Hidup - MAY. Tetapi 2 lagu dari Metalian,  Segala Untukmu dan Biarkan Aku Sendiri pun sedap.


*nak baca entri lama saya boleh klik >SINI<




Friday, November 27, 2015

Lang Buana

Lagi pasal album reissue..


Febians - Lang Buana (1994) - rilisan semula 2015

Lagi sebuah album rock melayu yang dulu tak pernah tahu pun kewujudannya. Satu-satunya lagu yang pernah dengar adalah "Eva Natasha". Popular juga kot lagu ni suatu masa dulu. Lagu lain memang langsung tak tahu.

Tetapi lagu track pertama "Rutin Oh Rutin" mengingatkan saya kepada Amuk. Awalnya ingatkan kerana vokal Nasha. Maklumlah Nasha itu Bandi. Tetapi selepas 2,3 kali pendengaran saya yakin ini memang lagu Amuk. Mendengar semula cd "Tanpa Prejudis" dari Amuk mengesahkan ini sememangnya lagu yang sama. Cuma ditukar lirik dan versi Amuk susunan muziknya lebih metal dan diberi tajuk baru, "Dalam Semak".

Bukan setakat itu, rupa-rupanya ada 2 lagi lagu dari album ini yang dirakam semula oleh Amuk. "Racun Asmara" menjadi "Racun" manakala "Ribut Kecewa" mejadi "Ribut". Kedua-duanya mengekalkan lirik yang sama cuma tajuk dipendekkan. Rasanya kalau saya mendengar album ini terlebih dahulu dari album "Tanpa Prejudis", pastinya pada ketika itu saya tidak perlu berteka teki siapa dia Bandi Amuk yang sebenarnya.


Secara keseluruhannya, Lang Buana agak sedikit berbeza dengan album-album yang sebelumnya. Setuju dengan Portdy yang ianya ada pengaruh rock 70an. Ada juga blues. Mungkin kerana hampir keseluruhan lagu dicipta Nasha atau mungkin juga kerana pengaruh Man Kidal sebagai penerbit. Malah beliau turut serta bermain dalam album ini. Lagu "Rutin Oh Rutin" tu memang boleh cam sangat sound gitar beliau.

Selain Man Kidal, bahagian drum dan bass juga ada menggunakan pemuzik undangan. Tak pasti kenapa mereka tidak bermain sendiri. Tekaan saya ketika album ini berkemungkinan Febians sudah di ambang perpecahan atau pun mungkin sudah pun berpecah dan album ini sekadar pelengkap kontrak. Agaknya la...kalau salah tolong betulkan.




Tuesday, November 17, 2015

1001 malam

Lagi pasal album keluaran semula


Febians - 1001 Malam (1989) - keluaran semula 2015

Lagi album yang tak pernah dengar dulunya. Giler pokai bila pasang niat untuk cuba beli kesemuanya.

Tak "follow" langsung Febians selepas album pertama mereka. Asalnya cuma tahu "Rumie dan Julie". Biasa dengar di radio. Selepas mendengar keseluruhan cdnya, baru perasan yang 2 lagi lagu perlahan mereka (Demi Cinta Ini dan Kehancuran Sebuah Cinta) juga agak biasa saya dengar. Malah boleh pula menyanyi bersama lagu "Demi Cinta Ini". Dari mana terhafal pun dah tak ingat...mungkin dari kompilasi MP3 lagu-lagu rock melayu yang pernah saya miliki dulu.


Ini menunjukkan yang Febians ni memang boleh tahan sedap juga lagu-lagu perlahan mereka. Banyak juga yang popular. Yang tabiknya majoritinya dicipta oleh mereka sendiri. Tak perlu M.Nasir, Saari Amri mahupun Eddie Hamid. Satu-satu lagu yang saya agak kurang berkenan dari album ini pun lagu yang bukan dari ciptaan mereka (Keinginan - Kesuma Booty/Juwie)

Secara keseluruhannya terdapat 4 lagu rancak, satu mid tempo, satu instrumental dan 4 lagu perlahan. Lebih seimbang jika hendak dibandingkan dengan album pertama mereka. Lagu rancak pun semua sedap. Instrumental ada pengaruh ala-ala Iron Maiden. Kira OK la. Tak rugi beli.





Tuesday, October 13, 2015

Febians

Lagi pasal album rock melayu reissue....


Febians - Febians (1988) - terbitan semula 2015

Yang ini pun pernah buat cerita pasalnya dahulu. Kalau rajin nak baca cerita 5 tahun yang lalu, sila >KLIK<

Album ni memang tak pernah ada dalam bentuk cd. Walaupun bukanlah antara kegemaran, tetapi memilikinya adalah satu kemestian. Terutamanya sebagai kenangan zaman remaja dahulu kala.


Soundnya bagus. Tak rugi beli. Satu yang bagusnya tentang keluaran NSR berbanding Universal Music adalah kualiti kertas covernya. Lebih tebal dan glossy. Tetapi kekurangannya pula dari segi rekabentuk inlay dibelah dalamnya. Biasanya sekadar lirik tanpa gambar. Bab ini Universal lagi bagus. Rekabentuk dan gambar band biasanya mengikut kaset yang asal. Ianya lebih menarik. Kedua-duanya ada pro dan con. Tapi tak kisahlah, selepas bepuluh tahun menunggu dapat yang bunyinya elok seperti ini kira dah bagus dah. Terimakasih kepada keduanya. Saya berharap ada yang sudi mengeluarkan semula Battle of the Band 1-2 dan Juara Juara Rock 1-3 suatu hari nanti. Cd yang saya ada tidak menggunakan cover yang asal. Agak kurang menarik.


Berbalik kepada Febians, seperti 5 tahun yang lalu, pandangan saya terhadap album ini tetap tidak berubah. Album ini memang banyak lagu perlahan. Yang berbezanya saya semakin ketagih pula mendengar lagu "Satu Penentuan". Bahagian yang Nasha tarik suara tu memang "rabak"!.




Monday, April 12, 2010

Febians

Sambung lagi kisah dari entry Juara Juara Rock…selepas yang jadi juara MAY…kali ni yang naib juara pulak…Febians…atau dulunya D’Febians…ntah kenapa dorang tukar nama aku pun tak tau..



Album ni juga diterbitkan pada tahun 1988…tapi bukan oleh syarikat Warnada yang menerbitkan album Juara Juara Rock dan MAY tu…tapi oleh label ASP…label yang sama terbitkan album Wings…tak tau kenapa dorang tukar label…dapat offer lebih kot..

Seingat aku bukan aku yang beli kaset ni..ntah macamana boleh ada dalam simpanan aku…mungkin adik pompuan aku yang punya…maklum la masa zaman2 penghujung 1988 tu…zaman yang aku dah tak berapa follow rock melayu…tu jam aku dah kurang beli kaset rock melayu…seingat aku dulu…dalam banyak2 band dari Juara Juara Rock yang buat album solo…album Febians ni la yang paling last keluar dan aku tak berapa suka…pasal apa…aku harapkan dorang keluarkan satu album yang heavy…maklum la dorang cilok riffing Creeping Death kat lagu Peperangan (JJR1) kan…so aku expect mesti lagu2 dorang ala2 Metallica punya…tapi apa yang berlaku…sedikit mengecewakan…



Banyak lagu2 slow dalam album ni….lirik pun banyak cintan…rasanya lagu paling diketahui ramai lagu slow Untukmu Sayang...selain tu..ada Keinsafan,Sandiwara Cinta,Kesetian,Kesepian...dah berapa tu lagu slow...tambah pulak lagu slow yang ada part2 heavy...Satu Penentuan dan Perpisahan Tanpa Rela...gila banyak lagu slow...tapi dalam banyak2 tu aku suka gak la dengan lagu Satu Penentuan...suka part Nasha tarik suara part chorus tu...rabak beb...

Aku takder masalah dengan lagu2 heavy dalam album ni...Pesanan Ikhlas, Renungan Mata Mu dan Hidup Satu Perjuangan...boleh la...solo pun dasat...sebenarnya dah lama tak dengar album ni...tapi untuk buat entry ni aku dengar balik...ternyata masa pertama kali dengar 22 tahun dulu...zaman aku tengah gila thrash...aku tak suka album ni...tak sekarang ni...boleh la...



Sebenarnya aku tau pasal Febians ni sebelum era Juara Juara Rock lagi..tu jam kat JB…nama dorang antara yang popular selain Lefhanded…majlis2 kawin nama dorang memang top la…ada sekali kerja kawin kat kampung aku panggil Febians ni main…tapi aku dah lupa arr lagu2 apa dorang main…dah lama la kan…

Tapi satu yang aku tabik….zaman tu…banyak band2 yang berani buat lagu sendiri termasuk la Febians ni…majoriti lagu2nya dicipta sendiri oleh Nasha…boleh tahan jugak lagu2 ciptaan dia…tapi tak sure pulak zaman Amuk adakah dia masih mencipta lagu..tapi yang pastinya aku lebih suka cara vokal dia di zaman Amuk berbanding suara halus zaman Febians ni…

Tak banyak info yang boleh dicari pasal Febians ni….seingat aku gitaris dia nama Aziz dan Yan…Aziz yang ada misai tu kan…yang banyak menyolo..kalau aku tak silap la..ingat2 lupa la…aku suka gitaris dorang ni…bagus…tapi sayangnya aku pun tak follow dorang selepas album ni…so aku tak tau apa jadi kat dorang sekarang…



Apa yang pasti…kalau teringat Febians ataupun Amuk ni… mesti aku teringat zaman2 Nasha ni jaga kedai kaset kat Komtar, Jb dulu…sentiasa tersenyum dan ramah jer orangnya…tapi tu jam aku belum lagi jadi regular customer kat situ…(zaman selepas dia baru aku regular…masa tu kedai tu guna nama Climex Gedung Muzik kalau tak silap...) so aku tak rasa dia ingat aku…hehehe…

Friday, July 10, 2009

Juara Juara Rock

Entry deaf yang cuit sikit pasal kaset Juara Juara Rock inspired aku untuk entry kali ni..

tahun 87...tahun irama rock tengah menganas kat Malaysia...lahirnya kompilasi Juara Juara Rock ni...selain Battle Of The Bands dan Clash Of The Band..inilah kompilasi yang aku suka sesangat...menampilkan 5 buah kumpulan dari pertandingan Juara Rock iaitu May,D'Febians,Metalian,Burnmark dan Scandals...

inilah zaman dimana kumpulan rock masih betul2 bunyi rock...bukannya zaman awal 90an startnya rock leleh...lagu slow pun masih kuat touching rocknya..seingat aku zaman ni aku dan member2 memang ketagih nak dengar rock melayu...asik layan omputeh jer kan...so setiap rilisan kaset rock masa tu memang pastinya kita orang beli..tak kira sapa..Wings,Belantara,Gersang,Junction,Urgent,Desire,Penyengat,Love Hunter,FF dan macam2 yg aku pun dah lupa dah..gilir2 beli pastu dengar ramai2...kalau ada yg berkenan..boleh bawak jamming...hehe...those were the day...



tapi kaset Juara Juara Rock ni tak der gilir2...Tiga2 volume aku beli...pasal aku memang minat sangat...seingat aku JJR1 aku beli pirate..JJR2 mula beli pirate pastu upgrade ori..JJR3 memang beli ori...sayangnya JJR2 yg ori dan JJR3 aku tak tau mana dah hilangnya...tinggal 2 yg pirate ni ajer..



kemudiannya tahun 1998.. keluar pulak versi kaset remastered ni..dalam betuk 2 volume..terus aku beli jugak..kira upgrade dari pirate punya la...tapi Vol 1 nya pun hilang ntah kemana..seingat aku kaset ni beli kat Jaya Jusco Wangsa Maju,KL..




Last sekali keluar pulak versi cd ni pada thn 2001...memang aku nanti2kan la...tak pikir panjang terus beli (ni beli kat S'Mart Pandan,JB)...ada 2 volume...sayangnya versi cd ni tak complete...ada 2 lagu tak der...Pemuzik Muda - May dari JJR1 dan Insaflah - Burnmark dari JJR2...sayang sungguh..kenapa ek...kalau lagu melayu ni selalu sangat dorang kalau keluarkan semula atau remastered..mesti macam melepaskan batuk di tangga...sepatutnya album2 yang dah jadi khazanah negara macam JJR ni diriliskan semula dgn packaging yg sempurna...inlay yg dalamnya ada info yg lengkap...baru la generasi2 baru dapat info...ni ntah apa2..tapi nak buat camnerkan...dari takder langsung...baik ada..

Antara yang menarik seperti kebiasaannya adegan copy mengcopy la kan...Febian - Peperangan ngan Metallica - Creeping Death, May - Derita Bangsa ngan Judas Priest - Sentinel dan ada lagi yg aku dah tak ingat dah..

Bolehlah dikatakan kesemua lagu dari 3 volume ni aku suka...kalau memuda dulu 30 lagi ni semua aku hafal...anytime nak celen karaoke...hehe..nak kata mana satu kumpulan lagi best...susah...masing2 ada sound dan trademark sendiri...

Antara yg wajib korang dengar la...kalau yg heavy Pemuzik Muda(JJR1),Derita Bangsa(JJR2),Gadis Misteri(JJR3) - May, Kuasa(JJR1),Kuasa 11(JJR2),Gadis Kota(JJR3) - Scandals, Peperangan(JJR1),Roda Penghidupan(JJ2)- D'Febians, Kabus(JJ1)- Metalian, Insaflah(JJ2) - Burnmark

Yang slow aku suka Sketsa Sebuah Cinta(JJ3),Bayangan Hidup(JJ2) - May ,Secebis Rayuan(JJ1), Galeri Kasih(JJ3) - Burnmark, Tetap Di Sini(JJ1),Segala Untukmu(JJ2),Biarkan Aku Sendiri(JJ3) - Metalian, Cinta Pertama(JJ1),Kehilangan(JJ2) - D'Febians, Rindu(JJ1),Musnahlah Sebuah Impian(JJ2),Penantian Yang Tak Pasti(JJ3) - Scandals

pergh...kat 80 peratus dari total lagu..baik cakap semua jer ek...hehe...macam aku cakap awal tadi la..aku memang suka JJR ni...mungkin pada masa tu tak banyak rilisan rock melayu kan...so apa yang ada tu memang senang la nak lekat kat kepala...

Cuma satu yg sampai sekarang masih jadi tandatanya pada aku..sapa yer BOUL?..Pada yang tak tau BOUL ni la yang lukis cover untuk JJR2 dan JJR3...bukan tu saja..cover Search Mentari Merah dan Sofea Kembali pun dia yang lukis..ada sapa2 tau..


dari 5 kumpulan ni...semua dapat menghasilkan album solo kecuali Scandals...tak tau kenapa...padahal gitaris dia dasat2..Joe Wings dan Opie Bloodshed..nanti kalau rajin aku review satu2 kaset kat atas ni...

last...aku masih mencari Clash Of The Band..aku tau ada dikeluarkan dalam bentuk cd tapi sampai sekarang aku tak jumpa...sesapa yang ada ternampak kat mana2 sila bagitau aku..terimakasih.