Showing posts with label 1995. Show all posts
Showing posts with label 1995. Show all posts

Thursday, October 2, 2025

Gila format - 30 tahun The X Factor

Remembering my youth - 30th anniveesary

Iron Maiden - The X Factor (02/10/1995)

Tahun yang agak sukar bagi kebanyakan band heavy metal dan peminatnya. Banyak band yang berubah. Iron Maiden juga terkena tempiasnya. Mereka kembali dengan vokalis baru dengan tema yang lebih gelap, mellow dan depresif. 

Ianya kurang diterima oleh peminat mereka. Saya pula berada ditengah-tengah. Ianya grower, makin lama dengar makin sedap. Kenangan zaman mula dapat kerja tetap.


Monday, August 4, 2025

Massive Killing Capacity

Remembering my youth - 30th anniversary


Dismember - Massive Killing Capacity (04/08/1995)

Bila death metal menjadi tepu kita memerlukan sesuatu yang baru dan segar. Mungkin itulah juga yang difikirkan oleh Dismember dengan album ini. Ianya lebih melodic, lebih tersusun dan lebih rock and roll berbanding 2 album sebelumnya. Tetapi dalam masa yang sama ianya masih mempunyai sound Swedish Death metal yang berat dan ganas. 

Mungkin ada yang tak suka tetapi apa lagi kelainan yang boleh dibuat dengan death metal selain membiarkannya berevolusi.


Sunday, June 15, 2025

Gila format - Let Your Dim Light Shine

Sempena ulangtahunnya yang ke 30.

Soul Asylum - Let Your Dim Light Shine (06/06/1995) 

Kalau sebut tentang rock 90an, Soul Asylum adalah antara nama pertama yang terlintas di kepala. Kekuatan mereka adalah menghasilkan melodi lagu yang mudah melekat di kepala. 

Dan album ini adalah contoh terbaiknya. Semua lagu pun sedap. Misery adalah salah satu lagu yang akan mengingatkan saya kepada era 90an. 

Kalau nak baca cerita yang lebih panjang boleh baca di >SINI<. Di tulis sempena ulangtahunnya yang ke 20.

Apa yang berbeza dalam tempoh 10 tahun, ianya telah berjaya di"gila format"kan. Versi kaset mengikut apa yang terconteng di inlaynya di beli pada 19/07/1995. Versi cd kalau tak silap dulunya kepunyaan adik ipar yang dah pun di buat harta...haha..

Manakala yang terkini versi piring di beli kalau tak silap sekitar setahun yang lalu...

Frustrated Incoparated!


Friday, March 28, 2025

Remembering my youth - 30th anniversary.

Skid Row  - sUBHUMAN rACE  (28/03/1995)

Ramai la geng yang minat "I remember You" tak boleh masuk dah bila mereka keluar dengan  album "Slave To The Grind". Bila tiba yang ni lagi la dorang pening. Skid Row menjadi semakin berat.

Ini adalah zaman yang saya terus beli cd. Dah kurang beli kaset. Versi lp ini pula adalah dari boxset The Atlantic Years.

Nantilah ada rezeki mungkin akan di"gila format"kan.


Sunday, March 2, 2025

One Night Live

Sempena ulangtahunnya yang ke 30 semalam...

Dokken - One Night Live (1995) 

Trend album unplugged muncul di zaman kejatuhan hair metal dan hard rock. MTV tak berminat pun untuk menganjurkan konsert unplugged untuk band seperti Dokken. Sayang sungguh kerana band hard rock seperti mereka kebanyakannya adalah pemuzik dan gitar shredder yang bagus. 

Disebabkan itu terpaksalah mereka menganjur, merakam dan mengedarkan album unplugged versi mereka sendiri. 

Tambah menarik ini adalah reunion mereka setelah masing-masing membawa haluan solo selepas kali terakhirnya bersama ketika album Back For The Attack (1987)

Tumpuan utama sudah semestinya kerja gitar George Lynch. Memang padu. Ditambah pula dengan pilihan lagu-lagu yang bersesuaian untuk diakustikkan walaupun ianya bukanlah seratus peratus unplugged. 

Album ini membuatkan saya suka kepada lagu The Maze. 


Sunday, February 23, 2025

It's Five O'Clock Somewhere

Sempena ulangtahun yang ke 30 pada 14hb Februari yang lalu...

Slash's Snakepit - It's Five O'Clock Somewhere (1995)

Slash memilih bluesy hard rock / rock n roll untuk album solo beliau. Ianya berbeza dari muzik Guns N Roses yang kita kenali. Saya kurang berkenan dan tiada juga lagu yang melekat. 

Seorang gitaris yang hebat tak semestinya boleh juga menghasilkan lagu yang hebat. Saya tertarik dengan kata-kata seorang rakan yang Slash kalau di Malaysia umpama Kid dan Nordin Search. Tanpa band mereka tidak kemana.

Percubaan mendengarnya selepas 30 tahun pun masih tidak berjaya menangkap. Saya meletakkan album ini paling bawah diantara album-album solo band member GnR selepas album Duff McKagan - Believe in Me, Gilby Clarke - Pawnshop Guitars dan Izzy Stradlin and the Ju Ju Hounds.


Monday, January 2, 2023

Orang Asing

Nak juga mencelah. Iya lah kan, tengah hangat seminggu dua ni di Facebook cerita pasal konsert Barbarik Pentas Keras. Walaupun tak dapat hadir dan album ini bukan Mus, tetapi ianya adalah permulaan era Wings dibawah Joe Branko.


Wings - Orang Asing (1995)

Ini adalah antara beberapa cd melayu terawal yang saya ada. Dah tak boleh nak ingat mana satu yang pertama. Saya mula membeli cd sekitar penghujung tahun 1994. Ketika itu tak banyak pun cd melayu yang ada dipasaran. Mengikut Spotify, Orang Asing diterbitkan pada 03/06/1995. Berkemungkinan besar ada cd lain yang lebih awal. 

Sebenarnya pada ketika itu saya tak mengikuti sangat perkembangan muzik rock melayu. Pembelian cd ini semata-mata kerana pada ketika itu saya memiliki set pemain cd changer kereta. Ianya jenis yang boleh letak 10 disc sekaligus dan diletakkan di bahagian bonet belakang. Untuk mencukupkan 10, saya membeli apa sahaja cd rock yang ada. Kedai-kedai di Johor Bahru di tahun 1995 masih majoritinya menjual kaset. Memang agak sukar untuk membeli cd terutamanya cd rock.

Jujurnya tak minat sangat dengan album ini. Terlampau lembap. 4 lagu awalnya lagu perlahan. Yang ke 5 dan 6 moderate. Masuk track ke 8 baru jumpa yang berat. Memang terasa letih untuk menghabiskannya tanpa skip. Tetapi disebabkan ketika itu saya mempunyai jumlah cd yang terhad. Pusing-pusing tetap dengar cd yang sama. Lama-lama jadi suka juga.


Lagu-lagu seperti Ranjang Mawar, Lena Diulit Intan, Semalam Yang Hangat dan Asing menjadi peneman ketika memandu pergi dan balik kerja. Dan biasanya akan "skip" 3 lagu yang terakhir. (selepas lagu berat "Setan Mengganas", memang rasa tak lalu nak dengar 3 lagu perlahan berikutnya secara berturutan). Disebabkan itu saya tidak mempunyai apa-apa kenangan dan tak ingat dengan lagu "Saputangan" (lagu yang dinyanyikan Mel ketika Barbarik Pentas Keras)

Yang pastinya, Joe cuba lari dari imej dan sound Wings ketika bersama Awie. Bunyi yang lebih kasar dan berat yang kemudiannya menjadi trademark beliau ketika bersama Mus. Saya tidak mempunyai masalah dengan Mel. Cumanya saya rasakan yang suara beliau tidak berapa kena dengan muzik yang berat. Mungkin juga itu penyebab kenapa Joe meletakan 7 lagu slow dan 2 lagu moderate untuk album ini.


Friday, August 5, 2022

Massive Killing Capacity

 Yang menyambut ulang tahun ke 27 semalam (04/08)...

Dismember - Massive Killing Capacity (1995)

Album ini diterbitkan ketika saya kurang mendengar irama death metal. Zaman seluar koyak main cinta…haha…

Mula berminat nak mencuba setelah ianya dikhabarkan berbunyi seperti Death 'n' Roll ala-ala Entombed.

Tak dengar pun album awal mereka. Tak pasti bagaimana bunyinya. Saya agak ketinggalan dalam megikuti perkembangan band-band Swedish Death Metal. Satu-satunya yang saya dengar hanyalah Entombed.

Tetapi yang pastinya album ini kena dengan selera. Growl yang jelas, riffs yang melodic dan drums yang rock n roll. Ada bahagian mid-tempo nya yang seakan-akan Bolt Thrower. Dan tidak boleh dinafikan juga pengaruh besar Wolverine Blues ada di dalamnya.


Dari beberapa ulasan yang dibaca, ada peminat yang kurang gemar dengannya. Alasan utamanya adalah kerana lagu-lagunya menjadi lebih perlahan dan terikut-ikut dengan gaya Entombed. Saya akan cuba untuk mendengar album-album awal mereka untuk dijadikan perbandingan. Tetapi untuk album ini, saya cukup berpuas hati. Ianya adalah antara album terbaik dalam genre melodic death metal yang pernah saya dengar.

Rekomemded!


Wednesday, October 27, 2021

Stomp 442

Layanan rawak bekerja dari rumah...album yang menyambut ulangtahun ke 26 pada 24hb Oktober yang lalu...

Anthrax - Stomp 442  (1995)

Kalau sebut Anthrax zaman John Bush, satu-satunya lagu yang boleh diingati hanyalah "Only". Bila Joey Belladonna keluar dan kemudiannya Dan Spitz, rasa teruja nak dengar muzik Anthrax dah tak ada. Tetapi sebagai seorang yang kaki membeli kaset, apabila menjengah kedai kaset tetap juga dibeli kasetnya walaupun hanya sekadar untuk di letak di rak.

Jujurnya memang tak dengar pun kasetnya pada ketika itu. Mungkin adalah sekali dua putar, tetapi rasa tak masuk dengan arah tuju Anthrax pada ketika itu. 90an adalah zaman yang menyedihkan jika anda pengemar muzik metal 80an. Banyak band-band kegemaran mengubah muzik mereka menjadi groove metal, grunge dan alternative. Anthrax pun terpalit sama. Malah mereka menjemput Dimebag Darrell untuk menyolo dalam salah satu lagu mereka.

Mendengarnya sekarang dengan pemikiran yang lebih terbuka sememangnya berbeza berbanding 26 tahun yang lalu. Tak adalah nak kata sekarang suka, tetapi adalah juga satu dua lagunya yang rasa ok. Kalau dulu memang semua pun tak suka..haha...

Lagu yang menjadi track pertama, "Random Acts Of Senseless Violence" dan mungkin 2 singles dari album ini. "Fueled" dan "Nothing" serta balada "Bare" antara yang rasanya boleh masuk. Tetapi untuk menjadi album yang suka atau selalu diputar memang tak lah. 

Tetapi yang menarik dari album ini adalah gambar covernya. Ianya adalah hasil kerja tangan Storm Thorgerson. Nama yang cukup sinonim dengan gambar cover album-album Pink Floyd. Asalnya gambar ini adalah untuk album solo kedua Bruce Dickinson, "Balls To Picasso". Tetapi oleh kerana Bruce Dickinson tak mampu nak bayar, ianya menjadi kepunyaan Anthrax.

Monday, November 13, 2017

Kombinasi Mus & Yantzen

Entri hasil dari perbualan group whatsapp...


MAY - Kombinasi & Mus Yantzen (1995)

Tak pernah ingat pun pernah beli kaset ini. Biasalah dulu dulu selalu pergi ke kedai kaset tanpa niat nak membeli tetapi waktu balik ada sahaja yang terbeli.

Pernah dengar atau tidak kasetnya pun dah tak ingat. Ini semua jenis beli dan simpan. Banyak juga rasanya yang jenis macam ni. Apa yang menarik adalah kerana kandungan lagu-lagunnya. Ianya mengandungi 5 lagu dari album Strategi. Satu satunya album MAY yang belum pernah dikeluarkan (reissue) semula.


Sejujurnya saya agak "lost" dengan album Strategi. Tak pernah dengar dan tak tau pun kewujudannya. Tahun ianya dikeluarkan adalah tahun tahun yang saya kurang mengambil tahu perihal rock melayu.


Boleh tahan juga lagu-lagunya. Setuju dengan Rafi Xyrus Zone, lagu "Singa Taring Palsu" memang ada pangaruh thrash. Teringin pula nak dengar keseluruhan albumnya. Kalau ikut catatan di inlay kaset, Ianya adalah hak milik Suwah Music Publishing Sdn Bhd. Company ni masih ujud kot. Harap harap adalah peluang untuk di reissue suatu hari nanti.


P/s...best jugak bila lagu lagu Mus di nyanyikan semula oleh Yantzen dengan susunan muzik yang baru. Tak dapat Strategi...reissue yang ini pun ok.




Monday, June 12, 2017

Wolfheart




Moonspell - Wolfheart (1995)

Satu lagi keluaran dari NSR yang menerbitkan semula album-album (kaset) terbitan label VSP. Tak pasti adakah keluaran sebegini boleh dipanggil asli. Tetapi kalau tiada yang macam ini, memang tak akan adalah cdnya dalam simpanan. Maklumlah nafsu besar, macam macam nak beli...tapi poketnya ciput.

Album ini ada nostalgianya. 20 tahun yang lalu di tempat kerja saya yang lama. Ada seorang rakan sekerja yang mengenalkannya kepada saya. Ternampak dia membeli tape VHS, Cliff 'Em All baru tahu rupanya kami mempunyai citarasa muzik yang hampir sama. Dia jauh lebih muda dari saya. Tengok gayanya memang tak sangka dia peminat muzik metal, black metal terutamanya. Tapi mugkin juga sebaliknya. Mungkin dia yang lebih tak percaya yang saya ini meminati muzik yang sebegini. Maklumlah penampilan saya yang lemah lembut sopan santun dan baik budi pekertinya...hahaha....

Ketika itu saya agak ketinggalan dalam scene metal semasa. Kami bertukar kaset dubbing. Saya mengenalkan beliau kepada Iron Maiden dan Metal 80an manakala beliau mengenalkan saya apa dia metal yang terkini. Wolfheart dari Moonspell adalah salah satu darinya.



Mendengarnya hampir setiap hari ketika menempuh jem pergi dan balik kerja - Kg Pandan (rumah) >  Plaza See Hoy Chan, (Opis Isteri) > Danau Kota (Opis sendiri) menyebabkan jadi suka. Muzik melodic metal sebegini sememangnya mudah untuk hadam.

Pada ketika itu saya tidak pasti apa genrenya. Ingatkan Moonspell adalah black metal. Tetapi saya tidak rasakan ia sepenuhnya black metal. Ada folk. Ada Doom. Agak mellow tetapi sangat catchy melodinya. Beberapa tahun selepas itu bila kenal Sentenced dan gothic metalnya, baru tahu yang Wolfheart juga termasuk dalam kategori tersebut. Tak kisahlah apa genre pun. Yang penting ianya sedap.

Antara lagu yang sekali dengar dah melekat dalam kepala adalah Alma Mater. Semasa belum ada cdnya pun sering juga mendengarnya melalui youtube.

Tak sangka kan...negara penjajah Melaka ni mempunya band metal yang bagus.





Wednesday, April 20, 2016

Stomp 442

Lagi dari tahun lepas...yang dah pun 21 tahun...


Anthrax - Stomp 442 (1995)

Seperti yang saya katakan dalam beberapa entri yang lepas, pertengahan 90an adalah tahun-tahun yang agak mengecewakan untuk peminat heavy metal dan thrash seperti saya. Semua berubah. The Big Four pun terpalit sama.

Paling mengecewakan pada saya adalah Anthrax. Mereka adalah antara yang lantang menyalahkan grunge apabila muzik thrash tidak lagi mejadi popular. Tetapi di dalam masa yang mereka juga terikut-ikut untuk menjadi "sell out". Pada saya mereka memang berhak untuk ditengelamkan oleh band seperti Nirvana dan Alice In Chains.

Walaupun agak berlainan. tetapi album sebelumnya "Sound of White Noise" masih boleh menark hati saya. Tetapi Stomp 442 memang benar-benar mengecewakan. Langsung tak boleh nak masuk walaupun mendengarnya berulang-ulang kali 21 tahun yang lalu mahupun sekarang.


Tambah kurang menarik Dan Spitz juga tidak lagi bersama-sama. Beliau adalah idola gitaris thrash zaman remaja saya. Muka handsome dan ada gaya. Hahaha...T shirt 3 quarter American Football beliau menjadi beliau menjadi ikutan saya.

Walapun mereka menjemput Dimebag Darrell untuk menyolo dalam lagu  "King Size"  dan "Riding Shotgun"  tetapi solo-solo beliau bukanlah solo catchy seperti Dan Spitz yang sudah sebati dalam jiwa. Saya meninggalkan Antrax selepas dari album ini.






Friday, April 8, 2016

3

Yang dah 21 tahun dah umurnya....


Firehouse - 3 (1995)

Ada tak album yang anda beli kerana sukakan satu lagu? Bagi saya ini adalah albumnya. Saya jarang membeli album hanya kerana nak kan satu lagu. Tetapi yang ini satu pengecualian. Membelinya semata-mata kerana inginkan lagu I Live My Life For You. 

Tujuannya hanyalah untuk di masukkan ke dalam "mix tape" yang dibuat untuk dihadiahkan kepada kekasih hati. Biasalah zaman-zaman "seluar koyak main cinta"...Siapa-siapa yang hidup zaman tu mungkin pernah buat kot...hahaha...

Sehingga sekarang kalau lagu ni keluar di radio, sudah semestinya saya dan isteri akan menyanyikannya bersama-sama. Ianya sudah menjadi lagu rasmi untuk kami berdua. Malah anak-anak pun tahu. Anak sulong pun suka sangat akan lagu ni.


Berbalik pada albumnya, walaupun Firehouse ada lagu-lagu sedap macam All She Wrote dan balada macam Love Of A Lifetime, When I Look Into Your Eyes, Sleeping With You, tetapi saya agak kurang berminat untuk membeli album-albumnya. Entah kenapa untuk generasi ketiga glam/hair metal ni saya hanya tertarik untuk mendengar satu band sahaja, iaitu Slaughter. Mungkin kerana pada ketika itu saya masih kemaruk untuk mendengar band-band yang lebih extreme.

Walaupun begitu bila mendengarnya sekarang rasa sedap juga. Mereka lebih kepada molodic hard rock dan lagu balada mereka memang berhantu. Here For You pun sedap juga. Sayang band-band sebegini tenggelam selepas tahun tahun 90an...

Ni kalau terjumpa cdnya pasti akan dibeli. Pastinya untuk kenangan lagu I Live My Life For You.





Wednesday, March 30, 2016

Fear No Evil

Lagi dari tahun lepas, yang dah pun 20 21 tahun...


Slaughter - Fear No Evil (1995)

Mungkin ada yang mencebik. Bukan sahaja bagi golongan "true" tetapi juga golongan 90an. Apa-apa yang berkaitan dengan glam dan hair metal adalah sangat tak cool dan ketinggalan zaman pada tahun tersebut. Tetapi Slaughter tetap berdegil. Mereka adalah dari generasi ke 3 glam/hair metal dan telah pun mencapai zaman kemuncak pada awal tahun-tahun 90an.

Dengan Fear No Evil, mereka seolah-olah tidak pernah mendengar perkataan grunge. Mereka langsung tidak terpengaruh dan berubah. Mereka tetap setia dengan genre muzik yang telah mempopularkan mereka. Melodic hair metal yang menentang arus.


Kalau berubah pun, muzik mereka menjadi lebih matang dan selangkah kehadapan berbanding album sebelumnya, The Wild Life. Tetapi ianya masih tetap dalam acuan melodic hair metal tetapi dengan sound yang lebih berat. Ikut telinga saya memang boleh tahan sedap lagu-lagunya.

Tetapi perkara ini tidaklah mendatangkan kebaikan dari segi populariti dan jualan album mereka. Nama mereka terus tenggelam di arus perdana. Tetapi tabik buat Mark Slaughter dan rakan-rakannya kerana berpegang teguh dengan muzik yang mereka minati walaupun dunia muzik mainstream meminggirkan mereka.

Tabik!



Monday, March 28, 2016

Cause for Conflict

Lagi entri dari tahun lepas...yang menyambut ulang tahun ke 20 21..


Kreator - Cause for Conflict (1995)

Tahun 90an bolehlah dikatakan sebagai zaman kejatuhan muzik thrash. Dengan Death Metal mengungguli underground scene dan munculnya pula genre Black Metal, Thrash semakin hilang arah tujunya.

Band thrash seperti Kreator mula berevolusi. Kalau Renewal lebih mellow dengan industrial dan alternative metalnya , Cause for Conflict pula lebih aggressive, straight forward dan laju. Nampaknya mereka belum habis berevolusi. Kali ini pengaruh hardcore punk dan groove metal agak jelas kedengaran. Ada ketikanya macam Slayer pun iyer juga....ataupun mungkin juga Fear Factory. Vokal Miille memang agak berlainan dari dulunya.


Ada beberapa lagu yang menarik, "Prevail" contohnya. Sayangnya ia sebuah album yang tidak konsisten. Selain "Prevail", "Fear of the Future" dan "Men Without Gods", lagu-lagu lainnya agak susah nak melekat. Kedengaran hampir sama antara satu dan lainnya. Tiada solo gitar juga antara faktor yang menyebabkan saya kurang gemar dengan Kreator yang berwajah baru ni.

Namun begitu saya cukup tertarik dengan ketukan drum ahli baru mereka, Joey Cangelosi (Whiplash/Massacre). Memang padu. Jika anda sukakan Chaos AD dari Sepultura ataupun Divine Intervention dari Slayer, anda patut mencuba album ini.





Tuesday, March 22, 2016

Ilustrasi

Lagi entri dari tahun lepas..banyak lagi ni...dah nak habis mac pun tak habis-habis lagi :P


Crossfire - ilustrasi (1995)

Antara kaset yang saya tak ingat pun ada beli dan masih simpan. Bagaimana lagunya pun dah lupa. Nasib dah ada semula kaset player. Dapatlah juga mendengarnya semula. Tak sangka pula lagu-lagunya bagus dan heavy.

Saya meninggalkan Crossfire selepas album Erosi. Tak ambil tahu pun selepas dari itu. Seperti yang saya kata dalam entri "Layar", minat untuk mendengar semula rock melayu tiba-tiba muncul selepas album XPDC - Kita Pengyu. Ilustrasi adalah salah satu darinya. Tetapi ntah mengapa kaset ini saya beli sekadar untuk disimpan. Inilah masalah seorang kaset/cdholic. Beli tapi dengarnya belum tentu.


Dari pendengaran saya jika dibandingkan dengan Fatamorgana dan Erosi (album lain tak pernah dengar), Crossfire masih mengekalkan muzik heavy metal mereka. Malah kali ini ada ada lagu-lagu mereka yang mempunyai pengaruh thrash dan speed metal. Yang menariknya majoriti lagu-lagunya dicipta sendiri oleh mereka.

Tetapi entah kenapa album-album rock melayu 90an walaupun keras muziknya tetap tersumpah dengan lagu-lagu karya Saari Amri. Dia macam M Nasir dengan album-album rock melayu 80an. Tapi nasib juga sekadar satu lagu dan pada saya lagu-lagu perlahan yang dicipta sendiri oleh mereka sebenarnya lebih sedap. Mungkin ianya salah satu syarat dari syarikat rakaman.

Harap ianya juga akan dikeluarkan semula. Crossfire memang tidak menghampakan.



Tuesday, March 8, 2016

Layar

lagi cerita perihal album keluaran semula. Cuma kali ini ianya memang pernah ada dalam bentuk cd. Cuma dulunya tak sempat nak beli. Dah 20 21 tahun pun usianya...


MAY - Layar (1995)

Tak pasti apa cerita disebalik album ini. Kalau tak silap ketika album ini diterbitkan MAY telah pun berhijrah ke syarikat rakaman BMG. Tahun yang sama juga mereka telah mengeluarkan album Ideologi bersama BMG. Tak pasti pula album yang mana keluar dulu. Maklumlah pada ketika itu saya kurang mengambil tahu perihal rock melayu.

Seingat saya tahun 95 atau 96 adalah tahun tahun yang saya mula cuba mendengar semula rock melayu selepas meninggalkannya sekitar tahun 89 atau 90 untuk menjadi 'true'. (hahaha - fasa biasa untuk seorang remaja). Album XPDC Kita Pengyu yang menjadi pembuka jalan. Hasilnya album Layar ini adalah antara yang saya beli.


Layar mengandungi 5 lagu heavy zaman Mus yang diberikan arrangemant baru dan dinyanyikan semula oleh Yantzen. Menarik juga mendengar lagu-lagu seperti Grafiti, Penghuni Kota, Strategi, Hakikat Perjuangan dan Strategi dengan vokal dan solo gitar yang berlainan. Mus atau Yantzen, dua-dua ada keistimewaan sendiri. Dua-dua pun lejen. Dari susunan muziknya tiadalah beza sangat. Cuma soundnya sedikit berbeza.

Manakala lagu-lagu baru pula majoritinya lagu perlahan kecuali Di Mana Harga Dirimu yang mid tempo. Saya tertarik juga dengan lagu- lagu perlahannya. Arca Kehidupan ada seakan-akan Sketsa Sebuah Cinta manakala Jauh Rasanya melodinya mengingatkan saya pada lagu Ku Dalam Dilema. Manakala lagu yang menjadi tajuk album, Layar pun sedap juga.

Bagusnya kali ini mereka tidak memerlukan khidmat Saari Amri. Semua lagu ciptaan sendiri. Penerbitnya pula arwah Samad. Maka tak hairanlah kalau lagu perlahan mereka agak rock dan tiada bunyian keyboards yang meleweh.




Saturday, March 5, 2016

A Small Deadly Space

Lagi yang tertinggal dari tahun lepas...

Yang dah 20 21 tahun...


Fight - A Small Deadly Space (1995)

Album ke 2 dan terakhir Fight. Kumpulan yang ditubuhkan oleh Rob Halford selepas beliau meninggalkan Judas Priest. Kalau yang pertama pun dah berbeza dengan Judas Priest. Yang ini apatah lagi.

Mungkin ini adalah antara sebabnya mengapa muzik metal dikatakan mati di tahun 90an. Nama besar seperti Rob Halford sendiri yang membunuhnya. Tak "cool" kalau main laju. Tak "trendy" jika ada solo gitar bergulung. Kena main simple. Mid tempo. Moody. Tak boleh jerit high pitch. Tak boleh lebih 3 riff dalam satu lagu. Begitulah kesimpulan saya dengan A Small Deadly Space.


Jika album pertama mereka (War of Words - 1993) pada saya cuba mengambil pengaruh Pantera. A Small Deadly Space pula dengan pengaruh Alice In Chains. Rob Halford cuba untuk menjadi trendy malah jaket kulit beliau juga berganti dengan flannel.

Soundnya memang berat. Biasalah sound album-album metal 90an. Tetapi pada saya lagu-lagunya agak membosankan. Banyak yang kedengaran hampir sama. Yang menarik pada saya adalah lagu perlahan "In a World of My Own Making" . Lagu yang agak berbeza dengan lagu-lagu lainnya.

Bukan selera saya. Tambah pelik apabila Rob Halford cuba untuk menjadi ‎Layne Staley. Hilang dah trademark jeritan hight pitch beliau.




Wednesday, March 2, 2016

Believe In Yourself

Lagi yang tertinggal dari tahun lepas...banyak juga sebenarnya entri terbengkalai dari tahun lepas..

Yang menyambut ulang tahun ke 20 21


Lost Souls - Believe In Yourself (1995)

Tak pasti berapa ramai yang tahu dan ingat kumpulan ini.  Mereka antara band-band indie rock  berbahasa Inggeris yang muncul dipertengahan tahun 90an dahulu.

Asalnya tak tahu pun mereka band dari Malaysia. Mendengar lagu cover "Everything I Own" dari Bread di radio saya sangkakan mereka band orang putih. Selepas membeli kasetnya baru saya tau mereka band 1Malaysia (Ridzuan-vokal,Raymond-gitar,Teoh See Seen-gitar,D. Arul Sarath-drums, Syed Ahmad-bass – susah nak jumpa band berbilang bangsa sekarang kan? )

Pembelian yang berbaloi. Mereka sangat bagus dan berbakat. Kalau tak…takanlah pihak pengurusan Bon Jovi setuju ntuk mengambil mereka sebagai “opening act” semasa konsert Bon Jovi di Stadium Shah Alam pada tahun 1995 dulu.

Mereka menamakan Led Zeppelin,  Deep Purple, U2, Whitesnake, Jimi Hendrix dan Carlos Santana sebagai pengaruh besar mereka. Pengaruh tersebut memang jelas dalam lagu-lagu mereka. Banyak lagu yang sedap tetapi saya cukup sukakan lagu “rollercoaster”. Kerja gitar yang sangat bagus. Malah boleh dikatakan semua lagu-lagunya mempunyai kerja gitar yang hebat. Susunan muzik bagus. Produksi tip-top. Kalau mendengarnya tanpa melihat rupa mereka sudah pastinya anda akan menyangka yang mereka adalah band dari Amerika.


Sayangnya mereka hanya sempat merakamkan 2 album sebelum hilang tanpa khabar berita. Mungkin pasaran lagu-lagu berbahasa inggeris terutamanya jika dinyanyikan oleh orang tempatan sediri agak terhad. Memang susah nak cari makan. Apa-apa pun saya harapkan suatu hari nanti ada pihak-pihak yang berkenaan sudi untuk mengeluarkan semula album ini dalam bentuk cd.

Pada saya “Everything I Own” versi mereka adalah yang paling best dalam banyak-banyak versi yang dirakamkan di dunia. Tabik!





Wednesday, February 10, 2016

“Unplugged” Gema di timur Jauh

Lagi yang tertinggal dari tahun lepas.

Yang menyambut ulangtahun ke 20 21...


Search - “Unplugged” Gema di timur Jauh (1995)

Demam MTV Unplugged. Search terbabit sama. Dirakamkan ketika mereka hampir menyambut ulangtahun ke 25. Sayangnya seperti kebiasaan album-album melayu yang kurang menitik beratkan nilai sejarah dan butiran penting, inlay cd ini langsung tidak menyatakan dimana dan bila konsert live unplugged ini dirakamkan. (untuk rekod, ianya dirakamkan di Life Centre pada 18 Okt 1995)

Mungkin bagi penerbit ianya tidak penting. Tetapi perkara-perkara beginilah yang menyebabkan banyak sejarah penting industri muzik kita akan hilang pada masa hadapan. Budaya mendokumentasi tidak ada ada dalam industri muzik kita. Bukan sahaja muzik, perkara yang lain pun begitu juga. Saya teringin nak baca buku autobiography Search, Battle of the Band, sejarah muzik rock di Malaysia dan lain-lainnya. Autobiography Ramlah Ram pun kalau ada menarik juga…haha…ok itu cerita lain….


Berbalik pada cd ini sebenarnya ia adalah rakaman yang menarik. Nak dengar solo-solo Kid secara akustik dan live disinilah tempatnya. Saya tak nak komen tentang persembahan mereka. Mereka memang lejen. Tetapi saya kurang berpuashati dengan pilihan lagu-lagunya. Saya teringin hendak mendengar lagu-lagu heavy mereka di unpluggedkan. Sayangnya mereka lebih menumpukan kepada lagu-lagu perlahan. Pada saya ianya “play safe”, kurang mencabar dan biasa-biasa sahaja.

Saya juga kurang berminat bila mereka ataupun pernerbit album ini lebih menonjolkan bunyian keyboards dari gitar. Ini album unplugged kumpulan rock. Bukannya artis solo. Sepatutnya mereka mengambil contoh bagaimana kumpulan Tesla melakukannya. "Five Man Accoustical Jam" pada saya adalah contoh terbaik bagaimana sebuah kumpulan rock patut lakukan bila membuat persembahan secara unplugged.

Menarik. Tapi bukan untuk saya.