Showing posts with label 2014. Show all posts
Showing posts with label 2014. Show all posts

Wednesday, August 5, 2026

Rise of the Damnation Army - United World Rebellion: Chapter Two

12th anniversary.

Skid Row - Rise of the Damnation Army - United World Rebellion: Chapter Two EP (05/08/2014)

Tak ramai boleh menerima Skid Row selepas era Sebastian Bach. Perubahan muzik mereka juga menjadi antara punca. 

Tetapi EP ini dan Chapter One mungkin boleh menjadi penyebab untuk peminat seperti saya kembali mendengar mereka.


Thursday, July 18, 2024

Simplicity

Ini bukan pasal Siti Nurhaliza...hahaha...

Tesla - Simplicity (2014)

Sempena ulangtahunnya yang ke 10 pada 6hb Jun yang lalu

Saya berhenti mendengar Tesla selepas album Bust A Nut (1994). Mereka pun berada didalam status "hiatus" selepas dari album tersebut menyebabkan saya hampir terlupa tentang mereka. 

Simplicity adalah album yang saya tak tahu kewujudannya sehinggalah beberapa tahun yang lalu. Tak rasa pun muzik mereka telah berubah semenjak Bust A Nut. Dan tak perasan juga yang Tommy Skeoch tidak lagi bersama mereka kerana mereka masih mengekalkan dual gitar solo.

Yang berbezanya cuma tempo muzik mereka kini lebih sederhana (mid tempo). Tiada lagi lagu-lagu yang keras dan laju. Mendengarnya memerlukan masa yang bersesuaian. Saya merasa seronok mendengarnya di waktu pagi tetapi mengalami masalah ketika di waktu petang.

Bukan kata lagunya tak sedap dan tak bagus. Ianya masih Tesla. Tetapi ianya lebih kepada diri saya yang lebih memerlukan lagu yang bertenaga ketika pulang dari kerja setelah "letih otak" di waktu petang....



Friday, March 6, 2015

Birdman: Or (The Unexpected Virtue of Ignorance)

Sehingga keputusan Oscar tempohari saya hanya sempat menonton 5 dari 8 filem yang tercalon untuk anugerah filem terbaik. Saya tidak bercadang untuk menonton "American Sniper" walaupun ianya arahan salah seorang pengarah/pelakon kegemaran saya Clint Eastwood. Bagi saya ia hanyalah propaganda Hollywood untuk memburukan Islam. Maaflah saya tak rasa rugi pun kalau tak menonton filem yang terang-terangan anti Islam.

Manakala "Selma" pula agak sukar untuk mendapatkan versi sedut. Maka satu-satunya yang tinggal dan memang patut ditonton adalah Birdman. Tambahan pula ini adalah filem yang dinobatkan sebagai filem terbaik dalam anugerah Oscar.


Birdman: Or (The Unexpected Virtue of Ignorance)

Berbanding 5 filem lain yang telah ditonton sebelumnya. ini filem yang paling sukar bagi saya. 2 kali saya tertidur di awal cerita sebelum berjaya menghabiskannya pada percubaan yang ke 3.

Gaya penceritaannya memang agak perlahan terutamanya pada awal cerita. Maklumlah ini genre drama, memang senang nak mengantuk bila ditonton di waktu tengah malam. Kalau anda peminat filem aksi, mungkin ini bukannya filem pilihan anda.

Tetapi ianya menjadi semakin menarik selepas tu. Saya cukup tertarik dengan gaya "single shot" (takder potong takder cut secara berterusan) yang digunakan hampir sepanjang cerita. Bukan senang nak buat macam tu. Terasa macam menonton lakonan secara "live" la kan. Tambahan pula ceritanya banyak berkisar di pentas broadway.

Seawal cerita kita telah dihidangkan yang watak utamanya Riggan Thomson (Michael Keaton) mempunyai kuasa supernatural. Tetapi bila kita fikir-fikirkan ia sebenarnya hanyalah imaginasi beliau yang mempunyai "dual personality". Cerita ini memang membuatkan kita kena berfikir. Tambahan pula dengan adegan akhirnya yang kurang jelas. Hidup ker mati? Ok..tak boleh cerita banyak, nanti spoiler bagi yang belum menonton.

Secara jujurnya saya mengharapkan filem lain untuk menang. Tetapi tidak boleh dinafikan Birdman pun bagus. Filem adalah sesuatu yang subjektif. Tapi mana-mana filem yang ada Emma Stone memang berbaloi untuk ditonton...keh..keh..keh...



Thursday, February 26, 2015

whiplash

Calon filem terbaik terakhir yang sempat saya tonton sebelum berlangsungnya anugerah Oscar...


Whiplash (2014)

Saya terbayangkan Metallica bila membaca tajuknya apatah lagi ianya sebuah filem berkenaan pemain drum. (hahaha...) Tetapi sebenarnya tajuk Whiplash itu adalah berinspirasikan dari sebuah lagu jazz dari komposer jazz terkenal Hank Levy. Minta maaf saya buta jazz, saya tak pernah tahu apa-apa pun pasal lagu klasik jazz.

Memang ceritanya ada bersangkut paut dengan jazz. Whiplash adalah kisah seorang pelajar kolej muzik (Andrew) berusia 19 tahun yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemuzik jazz (drummer) yang disegani seperti idola beliau Buddy Rich. Beliau berusaha keras supaya diterima masuk ke dalam band jazz kolej di bawah kelolaan conductor (Terence Fletcher) yang sangat tegas, garang dan mementingkan kesempurnaan dalam muzik. Salah tempo sikit pun memang kena baling.

Tak pasti ada ker conductor muzik yang begitu garang macam ni. Menontonnya pun buat kita rasa geram dan menyampah. Rasa macam nak tumbuk jer muka dia (hahaha...). Ini bermakna lakonan JK Simmons memang sangat berkesan. Memang tak salah lah bila dia menang anugerah Oscar dan Golden Globe. Memang cemerlang.

Pada saya Whiplash memang best. Jalan ceritanya sangat menarik. Tak mahu komen lebih takut spoiler. Tak pasti adakah Miles Teller yang melakonkan watak Andrew adalah memang seorang pemain drum yang sebenar. Memang nampak hidup gaya permainannya terutamanya ketika beliau membuat drum solo pada akhir filem.

 Whiplash membuatkan timbul rasa hormat saya kepada pemuzik jazz.


Rekomended!



Tuesday, February 17, 2015

The Theory of Everything

Filem yang ke 4 ditonton untuk filem-filem yang tercalon untuk anugerah filem terbaik oscar 2015..

(rasanya gagal kot nak menghabiskan kesemua 8 filem yang tercalon sebelum hari anugerah oscar 22hb ni...orang rumah dah conquer tv layan back to back marathon drama Istikharah Cinta...hahaha...)


The Theory of Everything (2014)

Mungkin cerita-cerita yang berdasarkan kisah benar senang untuk tercalon di dalam kategori filem terbaik terutamanya jika ianya mebabitkan orang-orang yang ternama. Tambah pula jika jalan cerita menarik. The Theory of Everything adalah filem biography ahli fizik terkemuka Stephen Hawking.

Yang berbeza sedikit dari filem biography yang biasa, filem ini lebih menekankan aspek hubungan antara beliau dan bekas isterinya, Jane Wilde lebih dari cerita kehidupan beliau sendiri. Hal ini rasanya tak boleh nak dielakkan kerana filem ini dibuat adalah berdasarkan buku memoir bekas isteri beliau yang bertajuk Travelling to Infinity: My Life with Stephen Hawking. Maka sudah tentu cerita hubungan mereka suami isteri yang lebih ditekankan.

Walaupun begitu ianya menarik kerana kita dibawa untuk memahami perasaan si isteri yang menjaga si suami yang mempunyai penyakit motor neuron. Satu penyakit yang menyebabkan pengidapnya menjadi lumpuh dari leher ke bawah. (tetapi masih juga kuat untuk dapat 3 orang anak...hahaha...)

Tambah menarik adalah lakonan kedua-dua pelakon utamanya Eddie Redmayne and Felicity Jones memang cukup berkesan. Bukan senang hendak melakonkan watak oarang sakit seperti Stephen Hawking. Tidak hairanlah jika mereka berdua tercalon untuk anugerah pelakon lelaki dan wanita terbaik.

Rekomended untuk ditonton walaupun anda tidak kenal siapa dia Stephen Hawking..Terbaik!




Friday, February 6, 2015

The Grand Budapest Hotel

Filem ke 3 yang di tonton untuk senarai pencalonan filem terbaik anugerah academy 2015.


The Grand Budapest Hotel (2014)

Banyak ulasan yang mengatakan ini antara filem terbaik untuk 2014. Selepas menontonnya saya sememangnya tidak akan membantah. Ia dah pun ditayangkan di Fox Movies Premium HD Astro. Tak payah susah-susah nak cari link untuk download.

Awalnya saya menjangkakan ianya kisah perjalanan hidup seharian di hotel. Tetapi saya tersilap. Rupa-rupanya ianya adalah sebuah cerita dalam cerita.

Kisah seorang tua (tuan punya hotel) yang menceritakan kisah hidupnya kepada seorang penulis yang menghasilkan buku best seller bertajuk The Grand Budapest Hotel. Kita akan dibawa untuk kembali ke tahun 1932 untuk mengikuti pengembaraan seorang "lobby boy" bernama Zero Moustafa bersama boss merangkap mentornya yang bernama Monsieur Gustave.

Monsieur Gustave mempunyai perangai suka menjalinkan hubungan dengan wanita-wanita tua dan kaya yang menginap di hotel tersebut. Segala pengembaraan cerita ini bermula apabila salah seorang daripada  wanita tersebut meninggal dunia.

Pada saya filem ini ada segala-galanya. Pengembaraan, seks, penipuan, pembunuhan, cinta, perang dan juga persahabatan. Tambah menariknya ia dipenuhi dengan unsur-unsur "dark comedy". Kadang-kadang humor yang datang dari tempat-tempat  dan masa-masa yang tidak dijangka.

Tambah menarik  majoriti pelakonnya adalah bertaraf A. Ralph Fiennes, Adrien Brody, Willem Dafoe, Jeff Goldblum, Jude Law, Edward Norton, Bill Murray dan Owen Wilson (sekadar menyebut beberpa nama). Tetapi kredit patut diberikan kepada pelakon baru yang melakonkan watak Zero, Tony Revolori. Lakonan beliau yang bersahaja memang berjaya membuatkan saya tertarik.

Walaupun begitu, saya rasakan filem begini bukanlah untuk semua orang. Tak ramai kan yang boleh hadam filem-filem Wes Anderson contohnya seperti The Royal Tenenbaums dan Moonrise Kingdom. Tetapi bagi saya, The Grand Budapest Hotel cukup menghiburkan.

Terbaik!





Thursday, January 29, 2015

Boyhood

Filem ke 2 di tonton untuk filem-filem yang tercalon di anugerah academy.


Boyhood (2014)

Saya memang sukakan filem-filem yang bergenre "coming of age". Boyhood mengisahkan kehidupan Mason Evans Jr  bersama keluarganya (ibu dan ayah yang dah berpisah dan seorang kakak) sejak beliau seorang kanak-kanak yang berusia 6 tahun hinggalah menjadi seorang remaja berusia 18 tahun.

Yang unik dan menariknya ianya dilakonkan oleh pelakon yang sama. Bermakna filem ini dirakamkan dengan pelakon yang sama untuk tempoh lebih 11 tahun. Lebih tepatnya mula dirakamkan pada May 2002 hinggalah kepada oktober 2013.

Saya tak rasa ada filem lain yang sebegini tinggi komitmennya. 11 tahun lebih tu. Lama. Kita dapat saksikan bagaimana Ellar Coltrane (watak utama) dan Lorelei Linklater (watak kakak) membesar dalam filem. Dari kanak-kanak hingga menjadi remaja. Tetapi yang pastinya Ethan Hawke (watak ayah) tetap "maintain" walaupun selepas 11 tahun. Lelaki memang selalu maintain muda..heheh..

Mungkin yang tak biasa dengan gaya filem Richard Linklater akan terasa sedikit bosan. Maklumlah filem ini bergenre drama dan perjalanan ceritanya memang agak perlahan. Tetapi kalau biasa dengan cara filem trilogy "Before" Richard Linklater, Pastinya filem ini untuk anda.

Saya ada sedikit "rasa" yang ianya boleh menang filem terbaik. Tambah-tambah selepas mereka menang di Golden Globe.

Terbaik!


Friday, January 23, 2015

The Imitation Game

Cerita pasal filem pulak...

Mungkin saya patut buat entri macam 2 tahun yang lalu. Menonton semua filem yang tercalon untuk anugerah Academy. Setakat ini saya telah menonton 2 daripadanya. Ini yang pertama. (di tonton sebelum tau ianya tercalon)


The Imitation Game (2014)

Asalnya saya menonton hanya semata-mata kerana adanya Keira Knightley (hahaha..) Tak tahu pun kisahnya berkenaan apa. Tetapi ternyata filem ini bagus dan rating tinggi di IMDB dan Rotten Tomatoes mengesahkannya.

Secara ringkasnya ia berdasarkan kisah benar seorang pakar matematik dan kriptologi bernama Alan Turing yang mengetuai misi untuk memecahkan kod Enigma Jerman yang membolehkan pihak bersekutu memenangi Perang Dunia Kedua.

Tak pasti sejauh mana kisah ini benar-benar berdasarkan kisah yang sebenarnya. Kalau kita "google", ada fakta yang dikatakan ditokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita. Itu biasalah dalam filem demi untuk menambahkan elemen dramanya. Tetapi yang pastinya mesin yang dicipta dan digunakan oleh Alan Turing untuk memecahkan kod rahsia Jerman itu adalah versi awal komputer yang kita gunakan pada hari ini.

Mungkin ada isu moral di sini kerana Alan Turing adalah seorang gay. Tetapi lakonan Benedict Cumberbatch (mungkin anda kenal dia melalui siri tv Sherlock) sangat menyakinkan. Saya tak hairan bila nama beliau juga tercalon untuk kategori pelakon terbaik.

Untuk kategori drama, ini memang cukup bagus!



Wednesday, January 7, 2015

Night at the Museum: Secret of the Tomb



Night at the Museum: Secret of the Tomb (2014)

Bahagian ke 3 dan terakhir untuk trilogi Night at the Museum. Saya tidak mengharapkan yang lebih sekadar penghabisan yang baik pun sudah cukup. Ternyata itu yang saya dapat. Keterujaan melihat patung muzium menjadi hidup memang tak akan berulang seperti siri yang pertama. Biasalah bila dah yang ke 2 atau yang ke 3...keterujaannya tak sama seperti yang pertama.

Jika anda pengemar siri ini, sudah pasti anda akan berpuashati atau mungkin sahaja habuk akan masuk ke mata. Terutamanya bila menyaksikan babak perpisahan. Tambah-tambuh pula seperti yang kita ketahui ini adalah penampilan terakhir buat Robin Williams dan Mickey Rooney di layar perak.

Bagi yang tidak pernah mengikuti siri ini, mungkin filem ini hanya biasa-biasa sahaja untuk anda. Tetapi saya pasti bahagian lawaknya pasti membuatkan anda terhibur. Tabik juga buat Hugh Jackman yang membuat lawak dengan berlakon sebagai diri sendiri.

Saya berharap ini benar-benar penamat bagi Night at the Meseum. Semoga Ben Stiller akan mendapat watak yang lebih bagus dalam filem-filemnya yang akan datang. The Secret Life of Walter Mitty bagi saya adalah penanda aras baru bagi beliau.

Kesimpulannya saya terhibur. Bukan kah itu yang kita cari dalam menonton filem?




Friday, November 21, 2014

Interstellar



Interstellar (2014)

Pengaruh dari ulasan yang positif dari beberapa orang sahabat membuatkan saya tertarik untuk menontonnya di pawagam. Satu rekod peribadi bagi saya kerana inilah filem pertama yang saya tonton untuk diri sendiri semenjak lebih dari 10 tahun yang lalu. Selalunya ke pewagam (taklah selalu..setahun sekali dua kot :P ) untuk menonton filem pilihan anak-anak.

Sebabnya kerana saya ingin menyaksikan adegan di angkasa lepas dengan lebih rasa puas. Saya tidak merasa puas semasa menonton Gravity di tv. Kesan khas dan CGI di ruang angkasa lepas memang menakjubkan. Memang tabik dengan kemampuan Christopher Nolan mengambarkan keadaan angkasa lepas, blackhole/wormhole dan planet-planetnya. Ianya diluar imaginasi saya. Ternganga tengok.

Anda tidak perlu menjadi seorang peminat filem Sci-Fi untuk menyukainya. Isteri saya yang citarasanya lebih kepada filem-filem romatik komedi juga mengaku tidak bosan ataupun mengantuk walaupun durasinya mencecah 2 jam setengah. Seperti biasa, Christopher Nolan tidak tegesa-gesa dalam penceritaan. Teratur diantara satu adegan dengan adegan yang  berikutnya. Adegan yang awalnya kita rasa tak penting sebenarnya akan mempunyai kaitan pada penghujungnya.

Tidak juga perlu menjadi pakar sains untuk memahami jalan ceritanya. Walaupun mungkin anda sedikit terganggu dengan teori yang melibatkan "ruang masa" dan "5 dimensi", tetapi secara keseluruhan ianya amat mudah untuk difahami. Tambah-tambah pula jika anda berminat dengan teori kuantum fizik, "wormhole", "blackhole" dan lain-lain. Rasanya kalau yang tak paham pun mungkin berkenaan adegan-adegan terakhir bagaimana bumi dan Cooper dapat diselamatkan. Saya tak mahu mengupasnya takut nanti spoiler.  :)

Sesuai juga untuk tontonan keluarga kerana ianya bukanlah sebuah filem bertema Sci-Fi semata-mata. Tema kemanusian, keluarga dan kasih sayang serta pengorbanan seorang ayah kepada anak perempuanya boleh mengundang suasana pilu dan sedih.

Arahan terbaik dari Christopher Nolan. Runut bunyi yang "awesome" dari Hans Zimmer dan seperti biasa,  Matthew McConaughey sememangnya tidak pernah mengecewakan. Harap mereka menang oscar.

Rekomended!!!




Tuesday, October 7, 2014

The Fault in Our Stars






The Fault in Our Stars (2014)

Rating yang boleh tahan tinggi di IMDB menjadikan punca saya menontonnya. Tak kenal pun siapa pelakon dan pengarahnya. Tidak meletakkan harapan tinggi. Kalau bosan 15 minit yang pertama memang tidurlah. Tetapi ternyata ianya agak menarik. Menonton selepas tengah malam pun masih menyegarkan mata. (apa tidaknya...habuk asyik masuk ke mata...iskh...)

Apa yang saya tak tahu rupa-rupanya filem ini di adalah adaptasi dari sebuah novel remaja yang cukup popular pada masa kini. Anak remaja saya pun tahu rupa-rupanya. Nampak sangatlah saya yang sudah tua...hahaha...

Watak utamanya, Hazel Grace Lancaster (Shailene Woodley) dengan t-shirt Pink Floyd

Tak nak spoiler. Sila tonton sendiri jika anda tak kisahkan filem yang bertemakan cinta remaja. Tetapi ianya bukanlah sekadar cinta biasa. Kisah cinta unik pasangan pengidap kanser dalam mencari jawapan bagi penamat kisah novel kegemaran mereka. Lakonannya dan dialognya cemerlang. Amsterdam memang kota yang cantik.

Awas, cerita ini kisah sedih sebenarnya. Walaupun ada komedinya, tetapi bagi sesiapa yang pakai baju tengkorak tetapi dalam hati ada taman...pandai-pandai lah kaver line kot-kot hilang pulak machonya bila meleleh air mata...huhu...






Saturday, June 28, 2014

Menakluk Kosmos




Wings - Menakluk Kosmos (2014)

Dah lama tak rasa teruja untuk membeli album baru Wings. Album yang sebelumnya (Naga Kramat) pun dah beberapa tahun selepas itu baru dibelli. Promosi di Facebook terutamanya dari Sayap-Sayap Wings dan rakan-rakan blogger membuatkan rasa bersemangat. Walaupun agak lewat juga membelinya, tetapi perasaan ketika mengunboxingnya, (ada ker perkataan macam ni...dan macam lah box set sangat kan...hahaha..) rasa terujanya tu kalau album Wings ni kali terakhirnya sama perasaannya semasa album Teori Domino (1990).

Awalnya agak ragu-ragu. Terutamanya bila mendengar lagu-lagu slow yang dah dimuatnaik di youtube. "Bisa Yang Tertunda" tu lebih kepada macam lagu Awie solo bukannya Wings. Maaf, saya bukanlah peminat Awie. Saya suka Wings tapi saya kurang gemar dengan Awie. Lagu yang terlebih bunyian keyboard seperti "Bisa Yang Tertunda" memang buat saya rasa kurang berminat. Tetapi bila review dari rakan-rakan blogger majoritinya kata positif, saya sedikit bersemangat.

Selepas membeli dan mendengarnya. Ada yang best tapi ada juga yang tidak. Cerita yang tak best dulu....tapi sebagai peringatan...ini bukan review. Saya bukan orangnya yang layak. Tetapi sekadar pendangan dari seorang peminat rock yang mengikuti perkembangan mereka dari zaman Belenggu Irama.

1st impression tengok packagingnya kat kedai dah rasa kecewa. Kenapa bukan jewel case...kenapa mesti digipak. Dah lah sizenya tak standard. Macamana nak letak kat rak cd. Packaging jenis macam ni memang senang nak koyak. Hampeh betul!!!. Sampai hari ni masih tak tau nak selit kat celah mana bendalah ni.

Lagu-lagu slownya sedikit mengecewakan saya. Lebih kedengaran seperti Awie berbanding Wings. Banyak keyboards. Tiada lagi solo-solo mendayu trademark Joe macam dulu-dulu. Jangan salah faham. Bukan lagunya tak sedap. Melodinya sedap. Contohnya lagu "Ingatkan Dia", sekali dengan chorusnya dah melekat. Tapi dari susunan muziknya..tak rock. Mungkin hanya "Ingatkan Dia" yang berbunyi rock.


Tetapi yang lain-lainnya pada saya best. Produksinya pun bagus. Tip top!. Lagu-lagu heavy dan mid temponya memang menarik. Sedap!. Mungkin tak sesuailah kalau hendak dibandingkan dengan zaman album-album mereka di zaman 80an atau awal 90an. Perbadingan dengan era Mus seperti album Mencari Asal Usul atau Mr.Barbarik mungkin lebih tepat. Lagu "Adoney Dari Paran" mempunyai feel lagu-lagu heavy dari zaman tersebut.

Lagu-lagunya lebih kepada corak hard rock moden. Tetapi rif-rif dan sound gitar Joe masih mempunyai identiti yang serupa walaupun ada sedikit pengaruh Zakk Wylde terutamanya pada lagu "Menakluk Kosmos". Manakala lagu "Raja Segala Duri" ada bahagian-bahagiannya yang mengingatkan saya kepada lagu-lagu progressif 70an. Saya juga bersetuju dengan saudara Takilala yang lagu "Komplikasi Pramaya" mempunyai intro yang mengingatkan kita kepada lagu Shadows of War dari Loudness.

Tak perlulah nak review setiap lagu. Pada saya lagu-lagu heavy dan mid-temponya memang tidak mengecewakan. Memang best. Jangan terpadaya dengan lagu-lagu perlahan mereka yang dimuatnaik di youtube. Lagu-lagu lainnya memang heavy. Memang keras. Senang cerita Wings telah kembali terbang ke angkasa dan Kosmos telah pun berjaya mereka takluki,

Terbaik!




Friday, June 13, 2014

Sofea - Hits Terbaik

Sofea - Hits Terbaik (2014)

Minggu lepas pergi ke AEON Taman Universiti dengan harapan untuk menakluk kosmos. Sayangnya tak berjaya. Dah abis stok katanya. Tapi alang-alang supaya tak pulang dengan tangan kosong…sambar cd ni…


Mengandungi 2 disc (30 lagu). Macam kebiasaannya, inlay memang hampeh. Tebal memang tebal…tapi didalamnya sekadar lirik. Info band malah gambar walau sekeping pun tiada. Dah la harganya RM31.90. Search kompilasi baru yang 2 disc tu pun tak semahal ini. Memang hampeh!

Membelinya samata-mata kerana adanya lagu Kawasan Larangan, Hujan, Kembali dan Ditinggalkan Keseorangan. Lagu-lagu dari album pertama SYJ yang bertukar nama menjadi Sofea. Zaman Zam sebagai gitaris. Satu-satunya album mereka yang saya suka.



Nampaknya hingga kini...tolak lagu Orang Timur dan Mata Sepet yang saya dah ada dalam cd Battle Of The Bands...Cuma 3 lagi lagu dari album "Kembali"...Api, Garisan (Di Persimpangan) dan Kehancuran sahaja yang masih tak dapat. Lagu Debu Khayalan ada dalam cd kompilasi terbitan tahun 1996 (seperti gambar di atas).

Daripada buat album kompilasi yang inlaynya hampeh macam ni...Alangkah baiknya kalau syarikat rakaman keluarkan balik album "Kembali" dalam bentuk cd macam yang pernah mereka buat dengan album "Anak Liar".

Masih berharap satu hari nanti adalah syarikat rakaman yang bermurah hati untuk keluarkan balik album-album Belantara, Bloodshed. Tapi kalau dapat Gersang dan Blackrose punya album pertama pun best juga...


Akan datang....review Menakluk Kosmos....tungguuuuuuu...sampai betul2 khatam....






Thursday, April 3, 2014

Mr. Peabody & Sherman


Cuti sekolah minggu lepas tiada bajet untuk berjalan. Setakat bawa anak tengok wayang ajer la. Macam biasa layan kartun.


Mr. Peabody & Sherman (2014)

Kali terakhir ke panggung wayang adalah tahun lalu ketika menonton Bola Kampung. Macam biasa menonton di panggung yang sama, TGV Tebrau City. Kali ini pergi tanpa perancangan filem apa yang hendak di tonton. Tak tahu cerita apa pun yang sedang ditayangkan. Apa kartun yang ada itulah yang akan ditonton.

Ternyata Mr. Peabody & Sherman tidak mengecewakan. Walaupun anak bongsu saya agak blur dengan jalan ceritanya. Maklumlah budak berusia 7 tahun (walaupun watak utamanya, Sherman juga berusia 7 tahun) Tetapi bila di sajikan dengan perihal sejarah dan tokoh-tokoh dunia seperti Revolusi Perancis, Zaman Renaissance, Perang TrojanGeorge Washington, Albert Einstein, King Tut, Leonardo da Vinci, Mona Lisa, Marie Antoinette dan ramai lagi tokoh sejarah, saya jamin yang dewasa pun mungkin ada yang blur.


Memang menarik, sambil berhibur boleh juga tahu pasal sejarah. Bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi sesuai juga untuk tontonan orang dewasa terutamanya kaum bapa. Jarang ada cerita perihal bapa dan anak. Walaupun dalam cerita ini watak bapa adalah seekor anjing. Tetapi pengajarannya, anjing pun sayangkan anaknya.

Terbaik!