Saturday, September 10, 2022

Universal

 Antara yang terkini dalam pasaran...

Michael Schenker Group - Universal (2022)

Ini adalah album kedua beliau selepas kembali menggunakan nama Michael Schenker Group. Kali terakhirnya adalah tahun lepas (Immortal). Memang aktif betul. Hampir setiap tahun ada sahaja album studio atau live baru dari beliau walaupun menggunakan pelbagai nama.

Dari pendengaran telinga saya, album kali ini adalah lebih sedap berbanding Immortal. Mungkin ianya hanya perasaan saya sahaja. Saya agak kurang gemar dengan band yang menggunakan pelbagai pemuzik/penyanyi untuk sesuatu album. Tetapi apabila majoriti lagu-lagunya kali ini dinyanyikan oleh Ronnie Romaro,  barulah rasa yang ianya seperti sebuah band yang sebenar. Bukan lagi sekadar projek band. Tambahan pula Ronnie akan menyanyi untuk tour Michael Schenker Group.

Namun begitu album ini tetap menampilkan beberapa vokalis jemputan seperti Michael Kiske, Gary Barden dan Ralf Scheepers. Yang menariknya juga, bekas anggota Rainbow seperti Bobby Rondinelli (drums), Bob Daisley (bass) dan Tony Carey (keyboards) turut juga dipanggil untuk memainkan beberapa lagu khas tribute untuk Rainbow.

Suatu yang menarik tentang Michael Schenker walaupun beliau adalah seorang gitaris yang hebat, setiap album beliau tidak terlampau menonjolkan kehebatan kerja gitar semata-mata. Beliau lebih mengutamakan melodi lagu itu sendiri. Ini menjadikan album-album beliau boleh dinikmati oleh semua golongan bukan hanya setakat peminat gitar.

Tidak dinafikan yang beliau adalah hero gitar saya. Album ini sememangnya akan bertambah sedap jika anda boleh menikmatinya tanpa terlalu bernostalgia dengan hasil kerja beliau ketika bersama UFO mahupun MSG yang awal.


1 comment: