Wednesday, November 5, 2014

Penyakit...




2 bulan = 16 keping dan ada beberapa keping lagi yang akan sampai...parah betul bila dah terkena rachun vinyl ni...abis lari semua budget...memang betul la macam apa yang Mus Speedrider cakap kat >SINI<  Memang cari penyakit...

sekarang dalam mode "sesungguhnya aku sedang berpuasa dan ini semua donia"


:P





Tuesday, November 4, 2014

Fly to the Rainbow

Album ke 2 Scorpions yang menyambut ulangtahun ke 40 pada hari sabtu yang lalu (01hb November)


Scorpions - Fly to the Rainbow (1974)

Pertama kali mendengar lagu-lagu dari album ini adalah ketika saya di sekolah rendah (penghujung 70an atau awal 80an). Zaman belum faham muzik. Masih seronok berkubang mandi paya berbanding duduk di depan radio kaset mendengar lagu.

Tetapi ada 2 lagu yang melekat di kepala iaitu "Speedy's Coming" dan "Fly People Fly". Yang lain agak kabur. Bila saya lebih dewasa dan mula minat pada Scorpions baru saya sedar ada banyak lagi lagu-lagu dari album ini yang bagus. "This Is My Song" contohnya. Tetapi yang menarik perhatian saya sudah semestinya lagu-lagu ciptaan Uli Jon Roth. Sudah semestinya elemen psychedelic dengan pengaruh Jimi Hendrix ada bersama beliau.

“Drifting Sun” adalah permulaan kepada lagu-lagu Scorpions yang di nyanyikan oleh beliau. Mungkin vocalnya tidaklah sehebat Klaue Meine. Tetapi pada saya ianya cukup kena dengan lagu yang bercorak begini.

Sebuah lagi “highlight” dari album ini pada saya adalah lagu epik 9 minit lebih “Fly to the Rainbow”. Sebuah lagi lagu yang menonjolkan kehebatan Uli Jon Roth terutama bahagian kerja gitar.

Sememangnya album-album Scorpions di zaman Jon Roth memang berbeza. Terutamanya lagu-lagu ciptaan Uli Jon Roth. Memang terbaik . Tetapi yang tidak menariknya pada saya adalah album covernya. Sehingga sekarang saya tidak paham apa makna disebaliknya.

Terbaik!




Monday, November 3, 2014

Dup Dap Dup Dap Part 5



YA ALLAH
Peliharakanlah kesihatan anak-anak kami dihari peperiksaan nanti. Pemudahkan mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka dari perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkan hati mereka untuk menjawap setiap soalan dengan betul.

YA ALLAH
Berikanlah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat dilanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri kepada Mu. Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat.

YA ALLAH
Kami mohon kepada Mu, kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

YA ALLAH
Jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin dikalangan orang yang bertakwa.

YA ALLAH
Apa yang kami doakan ini bukan untik diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat sahabat ku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan cemerlang di dunia dan akhirat.

Amin



Hari ini, anak sulong saya menghadapi peperiksaan SPM. Cepat betul masa berlalu. Masih teringat-teringat kali pertama menghantar dia pada hari pertama persekolahan. Hari ini dah nak abis sekolah dah. Abahnya tetap sama...perasaan dup dap dup dap tetap ada...

Semoga anakanda Norma Umairah dan anak-anak sahabat sekalian berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. 

Insha'Allah.



Saturday, November 1, 2014

Final Piala Malaysia 2014



Aku tak dapat pergi. Tanggungjawap pada kerja ada masanya perlu diutamakan. Sedih memang sedih. Terutamanya bila tiket dah ada dalam genggaman. Tambah-tambah pula syarikat tempat orang rumah aku berkerja (antara penaja utama JDT) menganjurkan perkhidmatan bas percuma...


Memang tak ada rezeki nampaknya. Kemeriahan suasana Final Piala FA tahun lalu (seperti gambar di atas) akan terus menjadi kenangan. Tahun ni guling-guling depan tv ajerlah nampaknya. Kasihan juga dengar cerita ada  fan yang tak dapat tiket. True fan yang tiap-tiap minggu turun Larkin tak dapat...geng-geng rombongan makcik Kiah yang ada kabel besar yang sebelum ni tak pernah ambil tahu pasal bola pula yang dapat...Final Piala FA tahun lepas pun macam tu juga.

Entah bila la bola Malaysia ni nak settle masalah jual tiket...tapi salut pada mereka yang beratur beli tiket di Larkin tempohari. Teratur...aman damai...takder tolak menolak gaduh-gaduh...macam ni lah yang kita mahukan. Tapi ada kawan aku yang tidur kat stadium semata-mata nak dapatkan tiket. Respek!

Mungkin pada yang tak paham akan mencebik...banyak aku terbaca kat FB macam tu...tapi ini di namakan passion...ada orang sanggup habis beribu nak tengok Iron Maiden atau sanggup berebut nak duduk depan stage Metallica...ada pula yang berhabis nak kolek vinyl...yang bergolok bergadai nak make-up kereta, bersengkang mata pergi memancing...dan macam-macam passion lagi kat dunia ni...walaupun semuanya duniawi...tak payah lah nak mengutuk passion orang lain.

Apa-apa pun all the best untuk JDT dan Pahang. May the best team win. Walaupun sudah tentu-tentunya aku nak JDT yang menang.

Kepada sesiapa yang pergi tu...semoga selamat segalanya....enjoy beb!!!.....



LUASKAN KUASAMU!






Thursday, October 30, 2014

Burn

Klasik rock album yang dah berusia 40 tahun....


Deep Purple - Burn (1974)

Deep Purple yang saya tahu ketika zaman saya kanak-kanak dahulu (penghujung 70an) adalah David Coverdale. Semuanya atas pengaruh abang dan rakan-rakan beliau. Saya agak kabur kaitan antara Deep Purple dan Whitesnake. Sama kes macam Michael Schenker dengan Scorpions dan UFO. Saya tak tahu pun yang "Smoke on the Water" adalah nyanyian Ian Gillan .

Bila saya mula benar-benar berminat dengan muzik (Darjah 5 tahun 1982), barulah saya tahu siapa sebenarnya David Coverdale dan Ian Gillan. Sayangnya ketika itu abang saya sudah mula kemaruk dengan muzik Top 40 dan New Wave. Akibatnya saya pun terjebak sama. Deep Purple dan rock mula saya tinggalkan.



Tetapi lagu-lagu seperti "Burn" dan "Mistreated" cukup saya ingat. Apabila saya mula kembali mendengar muzik rock beberapa tahun kemudiannya, saya mula mencari album yang memuatkan lagu-lagu tersebut. Ketika itulah baru jelas siapa David Coverdale dan siapa Deep Purple Mark 111.

Sememangnya era Mark 111 agak berbeza. Kemasukan David Coverdale dan Glen Hughes sedikit sebanyak mengubah arah tuju muzik Deep Purple. Tambahan pula mereka berdua terlibat dalam proses penciptaan lagu. Tidak di nafikan vokal Ian Gillan bagus. Tetapi David Coverdale dan Glen Hughes menambah jiwa (soul) ke dalam lagu-lagu Deep Purple. Lebih boogie.

Vinyl milik adik ipar yang dah nak barai outer sleeve nya
Secara peribadinya pada saya Burn adalah yang terbaik dari era Mark 111. Walaupun Stormbringer ada lagu klasik "Soldier of Fortune" tetapi lagu-lagu dari album ini pada saya lebih sedap. Memang tak pernah jemu la dengar keyboards/organ Jon Lord serta riff berhantu Ritchie Blackmore dalam lagu "Burn".

Terbaik!


 *kalau vokalis melayu, tabik betul dengar Jatt BDB bila bawa lagu-lagu DP era Coverdale...beberapa tahun lepas tengok kat tv dia bawa live lagu "Mistreated" memang power betul la vokal dia..






Tuesday, October 28, 2014

Divine Intervention

Kaset yang dah 20 tahun.


Slayer - Divine Intervention (1994)

Membelek album-album dari tahun 1994, baru saya perasan yang saya tidak mempunyai album ini dalam bentuk cd.

Secara jujurnya ini adalah album terakhir Slayer yang betul-betul saya ikuti. Saya agak kurang berminat dengan arah tuju mereka selepas dari ini terutamanya album punk (Undisputed Attitude - 1996) dan experimental (Diabolus in Musica - 1998).

Dengan Divine Intervention, maka berakhirnya era klasik line-up Slayer. Pada pendengaran telinga seorang buta muzik seperti saya, ketukan drum Paul Bostaph memang berbisa. Laju dan power!. Cumanya tak boleh nak lawan feel dan groove ketukan drum Dave Lombardo. Ianya seperti terlampau mekanikal...dah macam drum machine. Tapi memang perlu diakui, ianya hebat!.


Tetapi Slayer memang selayaknya di puji. Walaupun banyak band lain telah berubah. Mereka tetap dengan thrash (pada ketika itu lah). 4 tahun menuggu album baru mereka, sayangnya pada saya album ini agak kurang variasi. Lagu-lagunya yang berbunyi seakan-akan sama kesemuanya membuatkannya saya sedikit kebosanan. Tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi penawar bagi saya kerana ianya jauh lebih bagus jika hendak dibandingkan dengan bebarapa band yang seangkatan dengan mereka.

Menarik tetapi tak boleh nak lawan 3 serangkai masterpiece thrash mereka, Reign in Blood, South of Heaven dan Seasons in the Abyss.






Monday, October 27, 2014

Vs KL Felda United

Piala Malaysia
Separuh Akhir 2nd Leg
25hb Oktober 2014

Johor Darul Takzim 3  KL Felda United  1
(Luciano Gabriel Figueroa 29' 63', Amri Yahyah 71')



Lambat sikit update...maka yang ringkas-ringkas sahajalah.

1 - Perlawanan hari sabtu, dah boleh agak dah sesaknya macamana. Sampai pukul 6 pun dah melilau cari parking.

2 - Dalam stadium lagi la pulak. Belum pukul 7 pun dah tiada tempat duduk. Nasib la kalau ada kawan-kawan yang tolong tempahkan tempat. Kalau tak samada duduk kat tangga atau berdiri sahajalah sepanjang perlawanan.

Salji di Larkin?

3 - Macam biasa kalau dah dekat-dekat final atau pun final, mesti timbul isu penjualan tiket. Kesian juga dengar cerita ada yang beratur dari awal pagi tapi bila kaunter buka baru sejam, tiket dah abis. Siap ada yang mengamuk dengar ceritanya. Seorang cuma dibenarkan beli 3 tiket. Maknanya memang tak banyaklah jumlah yang dijual kat kaunter. Orang dalam dah ambil separuh kot, kalau tak..takkan penulis pun boleh dapat tiket tanpa perlu beratur (buat muka jahat...heheheh...)

4 - Stadium dah canggih, sayangnya proses jualan tiket masih di takuk lama. Sudah sepatutnya sistem on-line digunakan. Barulah boleh nampak berapa sebenarnya jumlah yang di jual untuk orang ramai. Siapa cepat dia dapat. Tak payah lagi lah penat nak bersesak sejak awal pagi untuk beratur.



5 - Seperti di duga, sempena pernikahan TMJ sehari sebelumnya. Lagu pengantin baru dinyanyikan. B.O.S dengan lagu Gambus Jodoh (yang liriknya "Pukullah tabuh...Pukullah tabuh pukul rebana" tu dari filem Madu 3 kot kalau tak silap) dan juga lagu Selamat Pengantin Baru.

6 - Stadium full house. Maknanya boleh bayangkan lah macamana bergegarnya suasana bila gol dijaringkan. Kredit juga kepada penyokong Felda. Boleh tahan ramai yang datang. Tu tak termasuk yang datang dari Felda tapi pakai jersi JDT lagi tu (termasuklah penulis...heheh...)


Kali pertama selepas setahun baru ada bakar flare

7 - Tentang game tak payah cerita lah. Yang tak datang stadium pun dah tengok kat tv. Cuma kesian kat Aidil dua kali berturut-turut tak boleh main kat final, Tahun lepas FA cup, kali ni Piala Malaysia. Tapi yang Nazrin Nawi punya kad merah tu memang majoriti penonton termasuk aku tak perasan pun. Maklumlah minit last, semua pun dah berdiri ready nak pesta tak perasan pun apa yang berlaku. Kat luar pun dah berdentum bunga api.

8 - Aku habis game terus balik. Esok anak nak sekolah. Tapi majoriti kat stadium terus berpesta, Bagus juga. Kali pertama keluar stadium tak sesak. Memandu balik pun line clear. 15 minit dah sampai rumah.


9 - Selamat berjumpa di Bukit Jalil. Sayangnya aku berkemungkinan besar tak dapat pergi. Sabtu tu aku kerja. Tutup akaun hujung bulan. Memang takder can nak cuti.

10 - Khabarnya TMJ nak sponsor bas penyokong. Rugi betullah tak dapat pergi. Masih teringat-ingat kemeriahan final FA Cup tahun lepas. Harap-harap menanglah. Lama dah wakil dari Johor tak memang Piala Malaysia.


LUASKAN KUASAMU!