Sunday, November 28, 2021

OK Human

 Anak punya koleksi...

Weezer - OK Human (2021)

Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tak pernah ajar pun anak-anak tentang membeli muzik secara fizikal. Tetapi dah darah daging sendiri walaupun anak perempun, sedikit sebanyak hobi sebegini turun juga ke anak. Bising lah orang rumah bila duit dihabiskan dengan cara begini...haha...

Ini adalah kali pertama anak sulong membeli piring hitam. Biasanya hanya cd. Tak pernah tau pula dia dengar Weezer. Kebiasannya hanya K-Pop. Setahunya kalau rock mungkin My Chemical Romance, Panic! At The Disco dan Ghost. Paling rajin membeli adalah anak yang no 2. Tiap-tiap bulan hingga dah tak muat dah rak yang diperuntukan untuk cd-cd K-Pop mereka. 

Jujurnya saya tak tahu sangat tentang Weezer. Mungkin "Buddy Holly" dan cover A-Ha, "Take On Me". Lainnya memang tak pasti. Cuba juga dengar tetapi rasanya tak kena dengan jiwa. Khabarnya mereka juga ada buat satu album tribute untuk era glam/hair metal. Mungkin patut cuba yang itu. Mana tau boleh berminat.


Thursday, November 25, 2021

BBC Radio 1 Live in Concert

Layanan rawak bekerja dari rumah...tak pasti bila nak kena masuk ofis ni... 

UFO - BBC Radio 1 Live in Concert (1992 - copyright 1974/1980)

Cd hadiah dari Deaf. Di beli ketika beliau mengunjungi kota London sebelum zaman Covid yang lalu. Beliau tahu yang saya adalah pengemar UFO. Terimakasih atas ingatannya Deaf. Nak balas balik entah bila agaknya boleh sampai kota London... 😁.

Ini adalah antara cd yang patut dimiliki oleh pengemar tegar UFO. Yang menarik tentang cd ini adalah kerana ia mengandungi rakaman dari 2 era UFO yang berbeza. Era Paul Chapman pada track 1-8 (Hammersmith Odeon - 04/02/1980 dan era Michael Schenker pada track 9 - 12 (Hippodrome at Golders Green - 06/06/1974).

Walaupun begitu, Paul Chapman sebenarnya terlibat dengan kedua-dua persembahan live tersebut. Beliau adalah gitaris jemputan ketika persembahan di tahun 1974 tersebut. Beliau sememangnya pernah beberapa kali menjadi gitaris jemputan untuk persembahan live sebelum secara rasminya menggantikan Michael Schenker pada tahun 1980. 

Yang menariknya, beliau bukan sekadar di posisi rhythm gitar. Tetapi beliau juga melakukan solo. Makanya untuk track 9-11, kita boleh dengar twin gitar solo dari Michael Schenker di kiri speaker dan Paul Chapman di kanan speaker (kena dengar menggunakan ear/head phone untuk kesan yang lebih). Mendengar rakaman live sebegini membuatkan kita rasa lebih menghargai kerja gitar Paul Chapman.

Posisi lainnya tidak banyak beza. Kedua-duanya adalah Phil Mogg (vokal), Pete Way (bass) dan Andy Parker (drums). Cuma untuk rakaman tahun 1980, Paul Raymond digunakan sebagai rhythm gitar dan keyboards.


Tuesday, November 23, 2021

Tuk Tak

Bahan bacaan terkini di pasaran...

Tuk Tak - Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Drum dam Proses Bikin Lagu

Asalnya tak berapa teruja untuk beli. Maklumlah saya ni Mat Rock. Dan dari apa yang saya tahu Zahid Ahmad bukanlah seorang pemain drum yang rock dan metal. Bak kata beliau sediri dalam buku ini "Wa ni Rockers dari Jb la!" (ms.48). Tapi bila mengenangkan tak banyak buku-buku biography pemuzik tempatan dan beliau adalah adik kepada Yazid Search, tanpa berpikir panjang terus membuat pre-order.

Ternyata saya salah. Zahid asalnya seperti kebanyakan anak muda tahun 80an JB juga adalah seorang rocker. Bezanya selera muzik beliau berkembang manakala orang seperti saya tidak. Saya hanya mengambil masa kurang dari 4 jam dengan sedikit gangguan untuk menghabiskan bukunya. Bila mula membaca memang rasa tak nak berhenti. Gaya penceritaan beliau yang bersahaja tetapi padat menyebabkan saya tidak sabar untuk menghabiskannya.

Walaupun ada beberapa bab yang agak teknikal yang saya kurang paham, maklumlah saya bukannya pemuzik. Dan cerita-cerita tentang artis-artis dan lagu-lagu bukan rock seperti Sheila Majid dan Zainal Abidin yang saya kurang tahu dengan lagu-lagunya (sekali lagi memetik kata-kata beliau - "lagipun, aku kan Mat Rock Johor Bahru" (ms.116). Tetapi dengan gaya penulisan beliau menyebabkan saya teruja pula untuk mengambil tahu.

Tahniah untuk Zahid Ahmad dan Bukuku Press. Semoga akan ada lagi pemuzik yang mengikut jejak langkah beliau untuk menulis. Kita sememangnya kekurangan bahan bacaan sebegini. Sayang kalau segala sejarah tentang muzik kita tidak didokumentasikan.

Rekomended!


Monday, November 22, 2021

Sudah Sampai Sini - Tanjung Balau

 Antara lokasi jalan-jalan selepas PKP...

Untuk yang tak tahu, Pantai Tanjung Balau lokasinya adalah berdekatan dengan Desaru. Dulu-dulu sebelum ianya dimajukan memang seronok kalau kesini. Seronoknya kerana tak ramai orang. Tapi sejak dah ada pelbagai resort dan chalet, sama sesak dah dengan pantai Desaru. 


Tetapi apa yang menariknya bila PKP dan tempat-tempat sebegini di tutup dalam tempoh yang lama, air pantainya jadi jernih. Memang boleh nampak batu-batu dan ikan di dalam air. Tak ada orang bermakna tak ada pencemaran. Harapnya dapat lah bertahan lama...


Tak banyak ambik gambar, sekadar singgah sekejap. Namanya pun jalan-jalan bukannya bermalam. Lagipun sejak-sejak habis PKP ni mana-mana tempat peranginan kalau tak di tempah awal terutamanya bila hari minggu memang pastinya tak akan dapat tempat.



Saturday, November 20, 2021

Espirit De Corps

Cd reissue terkini...

Crossfire - Espirit De Corps (1994) - reissue 2021

Tak pernah dengar ni. Nasiblah ada versi reissue. Tapi memang tau lah kewujudannya. Dulu setiap kali ke rumah bapa saudara di Kota Tinggi, pastinya akan nampak kaset ini di rak kaset di rumahnya. Ianya kepunyaan sepupu. Tetapi tak pernah pula tergerak hati untuk pinjam atau mendengarnya setiap kali berkunjung kesana.

Baru tahu juga yang vokalis untuk album ini bukannya vokalis asal, Aim tetapi Asri. Hebat juga vokalnya. Tetapi beliau terlalu banyak menggunakan suara falsetto menjerit yang kadang-kadang rasa agak menganggu juga di telinga saya.

Dari segi lagu-lagu berat, memang ada beberapa lagu ("Puteri Duyung" contohnya) yang berbunyi seakan-akan speed metal ala-ala Judas Priest atau Riot. Lagu instrumental "Espirit De Corps" pula seolah-olah versi neo classical speed metal melayu yang cenderung kepada Malmsteen. Tetapi tidaklah semuanya lagu berat. "Nepotisme" adalah sebuah lagu mid-tempo ala-ala band US power metal 80an manakala "Kamikaze" pula ada bauan Guns N Roses. "Resah" pula sekadar sebuah lagu filler. Dan ada juga 3 lagu cari makan (balada).

Dikatakan yang lagu "Pelangi Jingga" adalah sebuah lagu yang agak popular pada ketika itu. Sering dimainkan di radio. Malangnya saya tidak pernah tahu. Nampak sangat tak dengar radio.😁. Tetapi selepas 2,3 kali pendengaran memang sedap lah lagunya. Memang patut jika ianya popular.

Apa-apa pun ini sememangnya patut dipuji. Tabik untuk 2 gitarisnya, Yus dan Burn kerana menghasilkan rif-rif dan twin gitar solo yang bagus-bagus malah beliau berdua adalah penerbit dan pencipta hampir kesemua lagu-lagu didalam album ini. Respek!

"Puteri Duyung", "Prejudis", "Nepotisme", "Espirit De Corps" dan "Andrew" adalah 5 lagu speed metal atau US power metal acuan melayu yang rasanya cukup berbaloi untuk cd ini dimiliki. Ok la..."Pelanggi Jingga" pun ok...


Tuesday, November 16, 2021

Bark At The Moon

Sempena ulang tahun yang ke 38 pada 15hb November yang lalu...

Ozzy Osbourne - Bark At The Moon (1983)

Kali pertama mendengar lagu dari album ini adalah lagu "So Tired" dari kaset kompilasi lagu-lagu pop kepunyaan abang. Pernah diceritakan dalam penulisan saya dari tahun 2013 di >SINI<.

Makanya tak perlulah diceritakan secara mendalam tentang pendapat saya terhadap album ini. Penulisan kali ini lebih kepada nak memberitahu yang album ini telah pun berjaya saya piring hitamkan. Sayangnya saya tidak pernah mempunyainya dalam bentuk kaset. Tak bolehlah nak masuk entri Gila Format.

Selain dari mengada-ngada cari penyakit nak kumpul versi piring hitam, tujuan asal beli adalah kerana kurang berpuashati dengan gambar cover kecil versi re-master cd yang saya miliki. Pernah bercadang nak membeli versi cd dengan gambar cover penuh tetapi agak susah juga nak jumpa dengan harga mampu milik. Tetapi apabila terjumpa versi piring hitam yang masih berkeadaan elok di Discogs dengan harga dibawah RM100 rasanya ianya lebih berbaloi dimilik berbanding versi cd.

Saya sering mempunyai "nilai sentimental" terhadap Jack E. Lee. Walaupun diakui yang Randy Rhoads adalah gitaris terbaik yang pernah Ozzy miliki. Tetapi zaman remaja saya adalah zaman Jake E. Lee sebagai "poster boy". Mana mungkin saya tidak mengidolakan beliau sebagai gitar hero saya. Solo beliau dalam "So Tired" adalah salah satu contoh solo yang penuh jiwa...



Sunday, November 14, 2021

Tightrope

Hiburan rawak sambil bekerja dari rumah...Bloodshed versi Jepun!...

Anthem – Tightrope (1986)

Antara yang baru dimiliki. Terjebak pula dengan Discogs. Ni sama penyakitnya seperti ebay...aduhai...

Tak pernah dengar pun Anthem zaman budak-budak dulu. Kalau cerita tentang band heavy metal dari Jepun sudah semestinya Loudness dan Earthshaker. Ada juga tahu pasal Bow Wow / Vow Wow dan EZO. Tapi Anthem memang langsung tak tahu. Mungkin pernah terbaca nama tetapi sememangnya tiada memori tentangnya.

Bila masuk zaman internet dan membaca blog "Deaf" baru perasan tentang Anthem. Ketika itu baru tahu yang lagu "Peristiwa" dari album "Ilusi Sebuah Mimpi - Bloodshed" di ambil dari lagu Anthem, "Death to Death". Lama juga mencari siapa penyanyi asalnya kerana ianya dicatatkan sebagai "Copyright Controlled". Bermakna ianya adalah lagu cover. 

Ketika itu juga baru perasan yang sebuah lagi lagu dari album tersebut (Jangan Terpedaya) juga mempunyai persamaan dengan lagu Anthem yang bertajuk "Finger's On The Trigger". Mungkin kerana ianya tidak ditiru bulat-bulat, maka ianya tidak digolongkan sebagai lagu cover dan di kreditkan kepada Bloodshed. Zaman tersebut perkara ciplak seperti ini memang satu kebiasaan. 

Membeli piring hitam ini (selain dari harganya yang murah termasuk pos dalam RM80++) adalah semata-mata kerana 2 lagu tersebut. Tetapi ternyata lagu-lagu lainnya pun sedap. Ini yang payahnya bila kita mula terjebak dengan sesuatu yang baru. Tak pasal-pasal nanti akan "ter"cari album-album yang lainnya pula.