Thursday, August 31, 2023

Made In Malaysia

Sempena hari Merdeka...

F.T.G - Made In Malaysia (1999)

Apa yang menarik bagi saya adalah pilihan lagu-lagunya. Walaupun F.T.G adalah sebuah band thrash, tetapi lagu-lagu yang mereka pilih tidak satu pun dari band thrash. Malah mereka tidak mengubah pun lagu-lagu tersebut menjadi thrash. Kecuali bahagian vokal yang ada sedikit growl, muzik masih seperti yang asal.

Majoritinya adalah lagu-lagu rock dan heavy metal yang popular di kalangan Mat Rock Malaysia yang membesar di zaman 80an. Menarik juga bila tiada lagu Iron Maiden dan Scorpions. 2 band yang paling besar pengaruhnya di Malaysia pada tahun 80an.

3 lagu yang vokalnya dari Ronnie James Dio ("Children Of The Sea", "Heaven And Hell" dan "Holy Diver") adalah bukti yang pengaruh Ronnie James Dio adalah sangat besar pada ketika itu. Dan tambah menarik apabila mereka memilih "Perfect Strangers" berbanding "Smoke On The Water" atau lain-lain lagu Deep Purple era 70an. Seingat saya "Perfect Strangers" sememangnya antara lagu popular yang sering kedengaran di mainkan oleh band-band kerja kahwin pada ketika itu. 

Tetapi pilihan saya adalah "Metal Health", "Red Hot" dan "We're Not Gonna Take It". Membesar di tahun 80an dan tak tahu lagu ini sememangnya anda adalah poser…hahaha…

Selamat hari Merdeka yang ke 666!



Monday, August 28, 2023

Vanishing Vision

 Antara cd yang lama mencari tetapi baru sekarang berjaya dimiliki...

X Japan - Vanishing Vision (1988)

Salah satu band yang agak payah nak dapat cdnya dengan harga rahmah adalah X Japan. Bertahun juga menunggu dan akhirnya berjaya juga membelinya dengan harga yang agak berpatutan.

Saya hanya mengetahui tentang mereka ketika mereka sudah tidak lagi aktif.  X Japan tiada dalam radar di kalangan rakan-rakan. Hanya mula sedar tentang kewujudan mereka di sekitar tahun 1998. Tetapi yang betul-betul ada rasa teruja nak dengar selepas terbaca pujian melambung Chris Jericho tentang mereka dalam satu artikel (sekitar pertengahan tahun 2000an - tak ingat majalah apa). Dari situ mula cuba untuk mengumpul cd mereka tetapi agak kurang berjaya.


Cd ini hanya yang kedua saya ada dari jumlah keseluruhan 5 album studio mereka. Masih jauh...

Secara ringkasnya, album pertama X Japan ini sangat sesuai untuk yang sukakan muzik speed metal 80an. Semuanya tip top. Dari segi melodi, susunan lagu, skil pemuzik semuanya secukup rasa. Antara yang menjadi tumpuan bagi saya adalah kerja gitar dari dari Hide dan Pata. Terutamanya solo-solo shredding dari Hide. Sayangnya ketika mula mendengar X Japan, beliau telah pun meninggal dunia.

Rekomended!



Friday, August 25, 2023

Sudah Sampai Sini - Kuala Terengganu Drawbridge

Lama betul tak buat entri "Sudah Sampai Sini" (kali terakhir Dec,2021). Padahal banyak tempat yang dah sampai kalau nak ditulis. Kemalasan untuk menulis topik selain selain muzik semakin menjadi-jadi...

Yang ini pun kejadian pada bulan Mei yang lalu....

Tampal gambar sahaja. Nak tahu lebih lanjut tentang Jambatan Angkat di Kuala Terengganu ni boleh lah google sendiri. 

Tetapi sebagai peminat Iron Maiden, tentu dah boleh agak apa yang terbayang di dalam kepala....

Brave New World!!!...

😁


Tuesday, August 22, 2023

Diamonds – The Best of Dio

 Hasil mengembur rak...

Dio - Diamonds – The Best of Dio (1992)

Saya hanya mula membeli cd pada sekitar tahun 1995. Mengikut apa yang saya conteng di inlay, cd ini dibeli pada 28 Oct, 1995. Ini bermakna ianya adalah salah satu cd terawal yang dibeli. Malangnya saya dah tak boleh nak ingat dimana. Berkemungkinan besar ianya di Plaza Kotaraya, Johor Bahru.

Pada waktu itu penjualan cd masih terhad terutamanya jika anda tinggal di Johor Bahru (zaman peralihan kedai kaset menjadi kedai cd). Di tambah pula dengan duit yang tak berapa nak ada, makanya jika diberi pilihan sama ada untuk membeli album penuh ataupun kompilasi terbaik, saya akan memilih kompilasi terbaik.



Tambahan pula cd ini mengimbau kenangan kaset pertama Dio saya. Ianya juga adalah salah satu kaset terawal yang saya beli (1987). Yang berbezanya, kaset adalah kompilasi lagu-lagu sehingga album Dream Evil (1987) manakala cd ini pula adalah sehingga album Lock Up the Wolves (1990).

Kalau di suruh pilih, pastinya pilihan saya adalah versi kaset kerana lagu-lagunya lebih dekat di hati. Saya agak kurang terdedah dengan album Lock Up the Wolves kerana pada ketika ianya di terbitkan, saya dah mula terjebak dengan muzik metal yang lebih ekstrim.



Friday, August 18, 2023

Divine Intervention

Antara cd yang baru di beli...

Slayer - Divine Intervention (1994)

Saya mula membeli (kaset) dan mengikuti Slayer bermula dari album South Of Heaven (1988). Mereka menjadi band kegemaran saya sehinggalah ke zaman album Decade of Aggression (1991). Kemudiannya entah mengapa mereka seakan hilang dari radar band kegemaran. Divine Intervention tetap saya beli kasetnya. Tetapi perasaan teruja untuk mendengarnya seolah-olah telah hilang.

Sebenarnya bukan sahaja Slayer. Ianya lebih kepada keadaan semasa. Peralihan kehidupan dari seorang pelajar kepada berkerjaya juga memberikan kesan. Keutamaan dalam kehidupan yang telah berubah. Masa untuk menghayati muzik menjadi terhad. 

Kelewatan Slayer dalam menghasilkan album baru juga memainkan peranan. Tambah pula dengan sentimen ketiadaan Dave Lombardo. Ianya antara faktor yang mempengaruhi kenapa album ini saya tinggalkan.

Saya tak ada versi cd asalnya. Perbualan dengan seorang sahabat menyebabkan akhirnya terjebak membeli versi cd. Ini adalah era terakhir Slayer yang beliau suka. Selepas mendengarnya secara betul saya faham kenapa beliau berkata begitu. Secara Umumnya, Divine Intervention masih dalam lingkungan 3 album sebelumnya. Ketiadaan Dave Lombardo bagaikan tidak terasa. Paul Bostaph (ex- Forbidden) membuktikan yang beliau selayaknya berada di dalam Slayer. 

Rasanya jika anda gemarkan 3 album sebelumnya, tak ada sebab untuk tidak menyukainya. Ianya masih dalam acuan yang sama. Kecualilah jika anda adalah fanboy Dave Lombardo



Monday, August 14, 2023

Get Over It

Sempena Mr Big nak main live di Zepp KL makan ni (14/08/2023)...

Mr Big - Get Over It (2000)

Album Mr Big yang paling tak best. Bukan sahaja kerana tiadanya Paul Gilbert. Tetapi hala tuju muzik meraka yang sudah berubah. Tiada lagi trademark lagu-lagu laju track pertama seperti "Addicted to That Rush", "Daddy, Brother, Lover, Little Boy (The Electric Drill Song)", "Colorado Bulldog". Malah kebanyakan lagu-lagunya kini berentak mid-tempo dengan pengaruh blues. Bukan nak kata tak bagus. Ada sahaja yang minat muzik sebegitu. Tetapi ianya bukan lagi Mr Big yang kita kenali.

Punca utama sudah semestinya Richie Kotzen. Saya faham, beliau tidak mahu dibayangi Paul Gilbert. Tetapi membuat perubahan secara mendadak bagi saya adalah satu perkara yang silap. Ianya juga apa yang berlaku kepada Poison ketika mereka menggunakan khidmat beliau. 


Mungkin ini risiko yang diambil oleh sesesuah band apabila menggunakan gitaris yang sudah ada nama. Setiap perubahan sepatutnya secara berperingkat. Maaf untuk peminat Richie Kotzen. Tetapi bagi saya, pendekatan blues rock beliau telah merosakkan bukan satu. Tetapi 2 band kegemaran saya (Mr Big dan Poison).  

Malah Adrian Smith pun terpalit sama apabila berkolaborasi bersama beliau dalam projek album Smith / Kotzen (2021). Saya mahukan album pop rock seperti A.S.A.P bukannya blues rock seperti Smith / Kotzen.

Maaf  En. Kotzen....saya mencuba untuk menyukai album ini kerana ianya Mr. Big. Tetapi gagal...!


Thursday, August 10, 2023

The Dio Album

 Antara album terbitan 2023 yang dimiliki...

Paul Gilbert - The Dio Album (2023)

Saya tak pandai bermain muzik. Naik main gitar pun tangan bangku. Disebabkan itu memang jarang membeli album instrumental. Rasanya tak sampai 3 pun di dalam simpanan. Tetapi yang ini ada sedikit pengecualian. Mat Rock memang jarang tak minat Ronnie James Dio.

Secara ringkasnya album ini adalah album tribute Paul Gilbert kepada Dio. Lagu-lagu yang dipilih adalah lagu-lagu kegemaran beliau dari zaman Rainbow, Black Sabbath dan Dio

Semua alatan muzik kecuali drums dimainkan oleh beliau sendiri. Malah bahagian vokal juga. Tetapi ianya bukanlah menggunakan suara, sebaliknya semua bahagian melodi suara dimainkan dengan gitar. 

Sususan muziknya hampir sama seperti asal. Mungkin beliau juga memberikan tribute kepada gitar hero beliau (Ritchie Blackmore, Tony Iommi dan Vivian Campbell) dengan cuba bermain seperti yang asal.

Tak ada siapa yang boleh menyangkal kehebatan Paul Gilbert. Percubaan beliau meniru melodi vocal Ronnie James Dio sememangnya berjaya. Ianya sebuah album khas untuk peminat tegar beliau. Jika anda hanya sekadar pendengar kasual, seeloknya dengar sahaja versi yang asal.