Sunday, September 10, 2023

Dance of Death

Yang menyambut ulang tahun ke 20 pada 8hb Sept yang lalu...

Iron Maiden - Dance of Death (2003)

Pernah menulis tentangnya 9 tahun yang lalu >SINI<

Selepas 9 tahun, perasaan saya terhadap album ini tidak banyak berubah. Lagu-lagunya memang tidak dinafikan sedap. Dan sama seperti dulu, saya hilang tumpuan di pertengahan. Terutamanya untuk lagu-lagu yang berdurasi panjang. Semakin berusia semakin sukar untuk menumpukan perhatian.

Macam tak percaya yang ianya dah pun 20 tahun. Bagi generasi seperti saya yang mendengar mereka dari tahun 80an, album-album sebegini akan tetap di anggap sebagai album baru. Pekat betul memori album-album awal. Maklumlah ianya zaman remaja kami. Mana-mana album dari zaman tersebut memang kuat nostalgianya. Memang susah nak "move on"...

Cuma apa yang berbezanya berbanding 9 tahun yang lalu, dulu cuma sekadar ada cd. Tetapi semenjak 2,3 tahun yang lalu ianya dah bertambah kepada lp. Penyakit yang semakin tua semakin sukar untuk dibendung...hahaha...


Thursday, September 7, 2023

Ratt (EP)

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 23hb Ogos yang lalu...

Ratt - Ratt EP (1983)

40 tahun dah.. Cepat betul masa berlalu. Ianya adalah antara muzik yang mempengaruhi remaja seperti saya pada ketika itu. 

Ratt adalah antara yang menyebabkan saya terjebak kepada heavy metal. Dulu semua pun muzik gitar berdistorsi seperti ini digelar sebagai heavy metal. 


EP ini adalah permulaan Ratt. Ianya sedikit berbeza dengan Ratt yang kemudiannya. Soundnya agak kasar seperti kebiasaan band-band seangkatan dengannya. Sound sebegini sebenarnya yang digemari oleh mat rock pada ketika itu.

Tak pernah ada pun kasetnya dulu. Tak jumpa ianya di jual. Sekadar bahan bacaan di majalah. Mendengar secara keseluruhannya pun setelah zaman MP3. Tetapi apabila kita semakin berusia, banyak perkara yang membuatkan kita bernostalgia. Dan ada antara nostalgia tersebut mampu kita beli… Dan ini adalah salah satu darinya....


Monday, September 4, 2023

Born Again

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 7hb Ogos yang lalu...

Black Sabbath - Born Again (1983)

Black Purple atau Deep Sabbath?

Kombinasi yang tak disangka. Siapa sangka Ian Gillian boleh bergabung dengan Black Sabbath. Ianya sesuatu yang janggal bagi sesetengah orang tetapi tidak untuk saya.

Sebagai pengemar Deep Purple (saya kenal dan membesar dengan lagu-lagu Deep Purple lebih awal dari Black Sabbath), gabungan ini pastinya sesuatu yang menarik. Nama Ian Gillan terlampau besar untuk Tony Iommi mengubahnya menjadi seorang Black Sabbath. Aura Deep Purple nya masih kuat. Malah ketika tour promosi untuk album ini pun mereka terpaksa memainkan lagu "Smoke On The Water"

Born Again sememangnya mempunyai pengaruh Deep Purple yang pekat. Ianya seperti mendengar Deep Purple dalam versi yang berat dan kelam. Tidak boleh dinafikan yang vokal Ian Gillian jauh lebih baik dari Ozyy. 

Satu-satunya perkara yang negatif untuk Born Again adalah soundnya yang mendap. Tetapi ianya tidak menghalang saya untuk jatuh suka. Malah sejak kebelakangan ini saya lebih sukakan album-album Black Sabbath yang bukan dari zaman Ozzy. Mungkin saya menongkah arus tetapi selera manusia bukan sesuatu yang boleh dipaksa.


Thursday, August 31, 2023

Made In Malaysia

Sempena hari Merdeka...

F.T.G - Made In Malaysia (1999)

Apa yang menarik bagi saya adalah pilihan lagu-lagunya. Walaupun F.T.G adalah sebuah band thrash, tetapi lagu-lagu yang mereka pilih tidak satu pun dari band thrash. Malah mereka tidak mengubah pun lagu-lagu tersebut menjadi thrash. Kecuali bahagian vokal yang ada sedikit growl, muzik masih seperti yang asal.

Majoritinya adalah lagu-lagu rock dan heavy metal yang popular di kalangan Mat Rock Malaysia yang membesar di zaman 80an. Menarik juga bila tiada lagu Iron Maiden dan Scorpions. 2 band yang paling besar pengaruhnya di Malaysia pada tahun 80an.

3 lagu yang vokalnya dari Ronnie James Dio ("Children Of The Sea", "Heaven And Hell" dan "Holy Diver") adalah bukti yang pengaruh Ronnie James Dio adalah sangat besar pada ketika itu. Dan tambah menarik apabila mereka memilih "Perfect Strangers" berbanding "Smoke On The Water" atau lain-lain lagu Deep Purple era 70an. Seingat saya "Perfect Strangers" sememangnya antara lagu popular yang sering kedengaran di mainkan oleh band-band kerja kahwin pada ketika itu. 

Tetapi pilihan saya adalah "Metal Health", "Red Hot" dan "We're Not Gonna Take It". Membesar di tahun 80an dan tak tahu lagu ini sememangnya anda adalah poser…hahaha…

Selamat hari Merdeka yang ke 666!



Monday, August 28, 2023

Vanishing Vision

 Antara cd yang lama mencari tetapi baru sekarang berjaya dimiliki...

X Japan - Vanishing Vision (1988)

Salah satu band yang agak payah nak dapat cdnya dengan harga rahmah adalah X Japan. Bertahun juga menunggu dan akhirnya berjaya juga membelinya dengan harga yang agak berpatutan.

Saya hanya mengetahui tentang mereka ketika mereka sudah tidak lagi aktif.  X Japan tiada dalam radar di kalangan rakan-rakan. Hanya mula sedar tentang kewujudan mereka di sekitar tahun 1998. Tetapi yang betul-betul ada rasa teruja nak dengar selepas terbaca pujian melambung Chris Jericho tentang mereka dalam satu artikel (sekitar pertengahan tahun 2000an - tak ingat majalah apa). Dari situ mula cuba untuk mengumpul cd mereka tetapi agak kurang berjaya.


Cd ini hanya yang kedua saya ada dari jumlah keseluruhan 5 album studio mereka. Masih jauh...

Secara ringkasnya, album pertama X Japan ini sangat sesuai untuk yang sukakan muzik speed metal 80an. Semuanya tip top. Dari segi melodi, susunan lagu, skil pemuzik semuanya secukup rasa. Antara yang menjadi tumpuan bagi saya adalah kerja gitar dari dari Hide dan Pata. Terutamanya solo-solo shredding dari Hide. Sayangnya ketika mula mendengar X Japan, beliau telah pun meninggal dunia.

Rekomended!



Friday, August 25, 2023

Sudah Sampai Sini - Kuala Terengganu Drawbridge

Lama betul tak buat entri "Sudah Sampai Sini" (kali terakhir Dec,2021). Padahal banyak tempat yang dah sampai kalau nak ditulis. Kemalasan untuk menulis topik selain selain muzik semakin menjadi-jadi...

Yang ini pun kejadian pada bulan Mei yang lalu....

Tampal gambar sahaja. Nak tahu lebih lanjut tentang Jambatan Angkat di Kuala Terengganu ni boleh lah google sendiri. 

Tetapi sebagai peminat Iron Maiden, tentu dah boleh agak apa yang terbayang di dalam kepala....

Brave New World!!!...

😁


Tuesday, August 22, 2023

Diamonds – The Best of Dio

 Hasil mengembur rak...

Dio - Diamonds – The Best of Dio (1992)

Saya hanya mula membeli cd pada sekitar tahun 1995. Mengikut apa yang saya conteng di inlay, cd ini dibeli pada 28 Oct, 1995. Ini bermakna ianya adalah salah satu cd terawal yang dibeli. Malangnya saya dah tak boleh nak ingat dimana. Berkemungkinan besar ianya di Plaza Kotaraya, Johor Bahru.

Pada waktu itu penjualan cd masih terhad terutamanya jika anda tinggal di Johor Bahru (zaman peralihan kedai kaset menjadi kedai cd). Di tambah pula dengan duit yang tak berapa nak ada, makanya jika diberi pilihan sama ada untuk membeli album penuh ataupun kompilasi terbaik, saya akan memilih kompilasi terbaik.



Tambahan pula cd ini mengimbau kenangan kaset pertama Dio saya. Ianya juga adalah salah satu kaset terawal yang saya beli (1987). Yang berbezanya, kaset adalah kompilasi lagu-lagu sehingga album Dream Evil (1987) manakala cd ini pula adalah sehingga album Lock Up the Wolves (1990).

Kalau di suruh pilih, pastinya pilihan saya adalah versi kaset kerana lagu-lagunya lebih dekat di hati. Saya agak kurang terdedah dengan album Lock Up the Wolves kerana pada ketika ianya di terbitkan, saya dah mula terjebak dengan muzik metal yang lebih ekstrim.