Showing posts with label 2024. Show all posts
Showing posts with label 2024. Show all posts

Monday, April 28, 2025

I Am the Weapon

Album dari tahun lepas...

Flotsam and Jetsam - I Am the Weapon (2024)

Mereka sebuah band yang bagus. Tetapi sayangnya mereka akan sentiasa diingati sebagai band awal kepada Jason Newstead.

Album terbaru ini sekali lagi membuktikan yang mereka sememangnya bagus. Walaupun adakalanya muzik mereka berada di sempadan heavy metal dengan sound yang lebih moden tetapi secara dasarnya mereka masih sebuah band thrash.

Antara album pilihan untuk 2024. Dan bagi saya Eric A.K adalah vokalis thrash terbaik selain dari Joey Belladonna. Best!


Monday, February 17, 2025

My Years with UFO

 Lagi album tahun lepas (2024)...


Michael Schenker - My Years with UFO (2024)

Wajib ada bagi peminat Micheal Schenker dan UFO. Ianya adalah rakaman semula  lagu-lagu popular beliau ketika bersama UFO.

Ditambah pula dengan barisan pemuzik/vokalis undangan yang hebat-hebat belaka. Antaranya Dee Snider, Joe Lynn Turner, Jeff Scott Toto, Biff Byford, Axl Rose, Joey Tempest, Kai Hansen, Stephen Pearcy, John Noum, Slash, Adrian Vandenberg, Roger Glover dan beberapan nama besar yang lain.


Walaupun ada lagu yang mendapat sentuhan baru dan sudah semestinya atas nilai sentimentalnya kita pasti akan sukakan yang asal. Tetapi disebabkan ini adalah lagu-lagu beliau sendiri, maka saya tidak mempunyai masalah dengannya. Tambah pula barisan vokalisnya memang hebat.

Antara kegemaran dari tahun lepas.




Thursday, February 6, 2025

The Last Will and Testament

Lagi album dari tahun lepas... 

Opeth - The Last Will and Testament (2024)

Antara album yang cuba nak suka tetapi tak berjaya. Opeth semakin menjadi progressif. Bak kata Deaf pun ini adalah muzik untuk bijak pandai. 

Bukanlah nak kata tak bagus. Tetapi ia tidak kena dengan selera, Saya kurang enjoy dengan muzik sebegini. Selepas penat berkerja saya cuma mahukan muzik yang rock n roll dan mudah hadam. Tak perlu lagi stress kan kepala. Tetapi bagi yang sukakan muzik progressif, The Last Will and Testament mungkin adalah album terbaik 2024 pilihan anda.

Mereka kembali menggunakan vokal growl di beberapa bahagian.  Dan ianya mengingatkan yang mereka secara dasarnya masih sebuah band death metal.

Album yang bagus tetapi bukan untuk saya.


Saturday, January 25, 2025

Avenge The Fallen

Lagi album dari 2024...

HammerFall - Avenge The Fallen (2024)

Minat saya kepada Hammerfall kembali semula setelah mendengar Hammer of the Dawn (2022)

Album tersebut benar-benar megembalikan ingatan kenapa Hammerfall adalah band kegemaran saya pada sekitar penghujung 90an dan awal 2000an.

Ia semestinya adalah album yang paling ditunggu untuk tahun 2024. Asalnya ada sedikit kecewa kerana ianya tidak seperti Hammer of the Dawn. Maklumlah untuk band seperti mereka, saya sememangnya meletakkan penanda aras yang lebih tinggi dari biasa. Avenge The Fallen memerlukan sedikit masa. Ada beberapa lagu yang memerlukan pendengaran berulang.

Namun begitu ianya bukanlah satu masalah. Walaupun mungkin tidak di dalam kategori cemerlang, tetapi ianya sudah cukup bagus untuk saya meletakkan mereka di dalam senarai antara album pilihan untuk tahun 2024.


Monday, January 20, 2025

Endtime Signals

 Lagi album dari tahun lepas (2024)

Dark Tranquillity - Endtime Signals (2024)

Jika boleh hadam 2 album yang sebelumnya (Atoma - 2016 dan Moment - 2024), pastinya tidak akan ada masalah untuk hadam dengan album ini. Mereka aggressif tetapi dalam masa yang sama ianya mendayu, melodic dengan pengaruh gothic yang kuat. 

Saya memerlukan masa untuk album seperti ini. Ianya tidak lah teruk dan tidak juga terlalu bagus. Yang menarik ianya melodic dengan solo-solo yang bagus. Bukanlah sesuatu yang baru tetapi rasanya ia tidak akan mengecewakan peminat mereka.

Bukanlah makanan saya. Saya lebih sukakan Dark Tranquility yang lama...


Thursday, January 16, 2025

Songs Of White Lion, Vol. II

 Lagi album terbitan 2024..

Mike Tramp - Songs Of White Lion, Vol. II

Ini adalah kesinambungan dari Volume 1.

Sebagai peminat setia White Lion dan Vito Bratta, saya tidak mempunyai masalah apabila Mike Tramp mahu merakamkan semula lagu-lagu White Lion. Namun, secara peribadi, cukuplah jika ia dilakukan hanya sekali. Tidak perlu ada kesinambungan lagi.

Namun, untuk berlaku adil kepada Mike Tramp, beliau sejak awal telah memaklumkan bahawa album ini akan terdiri daripada dua bahagian. Pilihan lagu kali ini lebih tertumpu kepada lagu-lagu yang kurang popular. Seperti bahagian pertama, Mike Tramp tidak melakukan perubahan yang ketara. Susunan muziknya tidak banyak berbeza daripada versi asal, cuma ia dinyanyikan dalam nada yang lebih rendah dan santai, mungkin atas faktor usia. Sudah tentu, terdapat beberapa solo gitar yang tidak sama dengan versi asal.

Apa pun, tahniah buat Mike Tramp kerana menghormati legasi Vito Bratta. Walau bagaimanapun, cukuplah sekadar dua bahagian. Tidak perlu ada Volume III.


Monday, January 13, 2025

Yesterwynde

 Lagi album terbitan 2024...

Nightwish - Yesterwynde (2024)

Saya bukanlah peminat Nightwish. Saya lebih kepada pendengar casual. Sebagai penagih cd sudah semestinya saya memiliki beberapa buah album mereka dalam bentuk cd. Tetapi ianya lebih kepada penghias rak 😅.


Dan ini adalah yang terbaru dalam simpanan. Membelinya tanpa percubaan pra dengar. Ternyata bagi saya ianya tidaklah mengecewakan. Tak sangka pula saya boleh "enjoy" secara keseluruhan walaupun ada ketika ianya membuatkan saya "lost". Maklumlah ianya adalah sebuah album yang panjang.

Yesterwynde seperti mendengar sebuah runut bunyi. Maka memang sesuailah bila album ini dijadikan muzik background ketika berkerja ataupun ketika menolong orang rumah melipat kain..haha...


Thursday, January 9, 2025

Wake Up the Wicked

 Lagi album terbitan 2024...

Powerwolf - Wake Up the Wicked (2024)

Ini adalah album kesepuluh mereka, tetapi baru yang kedua saya miliki. Album pertama yang saya ada adalah Call Of The Wild (2021). Semuanya kerana pengaruh daripada Deaf. Pujian melambung beliau menyebabkan saya terjebak juga.

Powerwolf adalah antara nama besar power metal masa kini. Hammerfall pun sekadar menjadi band pembukaan untuk mereka. Powerwolf sering mengingatkan saya kepada Sabaton. Mungkin kerana genre mereka yang hampir serupa.

Ianya sesuatu yang sedikit membimbangkan saya. Power Metal memerlukan sedikit "magis" untuk membuatkan saya jatuh suka. Kebanyakan band menggunakan formula yang berulang-ulang sehingga menjadi tepu untuk saya.

Wake Up the Wicked jatuh dalam kategori tersebut. Ia terlalu generic sehingga hampir kesemua lagunya kedengaran sama. Bagi saya, ia memerlukan riff dan melodi yang sedikit luar jangka untuk mengelakkannya menjadi monotonous. Malah, saya pernah terbaca komen yang mengatakan lagu-lagunya seolah-olah seperti ciptaan AI.

Tetapi jangan salah faham, ini cuma pendapat saya. Jika anda penggemar symphonic power metal, pastinya ini bukan satu masalah pun. Tetapi saya lebih memilih Sabaton berbanding mereka.



Monday, January 6, 2025

Free Spirit Soar

 Ada beberapa album terbitan tahun lepas yang tak sempat nak ditulis... Ini adalah salah satu darinya..

Warlord - Free Spirit Soar (2024)

Album ini telah mencetuskan kontroversi. Ada yang berpendapat nama Warlord tidak sepatutnya digunakan lagi selepas kematian William J. Tsamis (mastermind dan gitaris) pada tahun 2021. Namun, bagi Mark Zonder (pemain dram dan ahli asal), penghasilan album ini adalah perlu sebagai satu penghormatan kepada Tsamis.

Album ini mengandungi lagu-lagu ciptaan Tsamis yang kebanyakannya belum siap dan tidak mempunyai lirik. Mark Zonder telah mengolah semula karya-karya ini dengan bantuan Giles Lavery (penyanyi serta penulis melodi dan lirik untuk album ini) untuk menjadikannya sebuah koleksi lagu yang lengkap.

Menariknya, album ini masih mengekalkan identiti bunyi Warlord yang asal. Lagu-lagu ciptaan Tsamis telah diberikan penghormatan sewajarnya. Ini adalah satu tribute yang sempurna daripada Mark Zonder terhadap legasi Tsamis, khususnya, dan Warlord secara keseluruhannya.


Wednesday, January 1, 2025

2025


Selamat tinggal 2024. Ini adalah antara cd album baru terbitan 2024 yang sempat dibeli.

Semoga 2025 dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan untuk membeli lagi dan lagi 😂


Monday, December 30, 2024

Sudah Sampai Sini - Adventure Waterpark Desaru Coast

 Menghabiskan cuti 25hb Disember 2024...


Satu jam lebih sahaja perjalanan dari rumah tetapi ini baru kali pertama menjejakkan kaki di sini. Tetapi bagi anak-anak dan isteri, ntah kali ke berapa dah mereka ke sini. Biasalah sindrom orang berusia…malas betul nak pergi ke tempat-tempat sebegini…😁



Kawasannya tidaklah sebesar Lost World Of Tambun. Sesuai untuk percutian setengah hari bersama keluarga.


Kebanyakan permainannya bersesuai untuk kanak-kanak. Tak adalah yang extreme sangat. Ada satu rollercoaster dan beberapa water slides yang bolehlah dikatakan menarik juga.


Tempat mandinya ada ombak. Tetapi bukanlah sentiasa. Kena menunggu juga lah.


Kongsi gambar sahaja lah.. Kalau ada nak komplen pun cuma perihal makanannya. Mahal tu satu hal tapi yang tak berbaloinya tak sedap.


Ada beberapa lagi permainan yang tak diambil gambar. Masa hari kejadian tu panas. Rasa tak larat pula nak berjalan… satu lagi sindrom orang berusia…haha…


Kawasannya terletak betul-betul bersebelahan Hard Rock Hotel. Kalau waktu malam dapatlah menonton live band disini. Tapi waterpark ni tak adalah buka sampai malam.

Satu lagi sindrom orang berusia adalah sewa Cabana. Ada tilam ada bantal ada kipas dan petisejuk. Memang sedap la bantai membuta kat sini…hahaha…


Thursday, December 26, 2024

Moggs Motel

 Lagi antara album terbaik 2024

Moggs Motel - Moggs Motel (2024)

Khas buat peminat Phil Mogg khususnya dan peminat UFO amnya.

Ini adalah album "comeback" dari Phil Mogg selepas persaraan UFO dan masalah kesihatan yang dihadapi oleh beliau. Ianya adalah sesuatu diluar jangkaan kerana ramai peminat termasuk saya beranggapan yang beliau sememangnya telah bersara terus dari dunia nyanyian.

Tambah menarik album ini dibarisi oleh pemuzik handalan. Neil Carter (bekas gitaris/keyboardist UFO di era awal 80an), Tonny Newton (bassisit untuk KK's Priest, Voodoo Six), Tommy Gentry (gitarist Voodoo Six, seasonist) dan Joe Lazarus (drummer Voodoo Six dan anak saudara Steve Harris yang banyak rumour mengatakan yang beliaulah pengganti Nicko McBrain walaupun kemudiannya berita tersebut tidak benar).


Album ini adalah yang paling hampir kita dapat bagi yang merindui UFO. Memang kebanyakan lagu-lagunya megembalikan memori kepada UFO. Walaupun mungkin vokal Phil Mogg tidaklah sehebat seperti dahulu tetapi auranya tetap ada.

Bagi saya ini adalah antara album hard rock terbaik untuk 2024. Siapa sangka dalam usia menjangkau 76 tahun pun Phil Mogg masih berupaya menghasilkan satu produk yang bagus.



Monday, December 23, 2024

Walimatulurus



Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat Rafi Xyrus Zone

Kita bikin romantis @ De' Laman Seputeh, Segamat - 22/12/2024


Sunday, December 15, 2024

Unicursal

 Lagi album terbitan tahun 2024

Nocturnus AD - Unicursal (2024)

Nocturnus adalah band death metal terawal yang menggunakan keyboards secara dominan. Album The Key (1990) pada awalnya terasa pelik tetapi lama kelamaan jatuh suka.

Makanya apabila Mike Browning (vokalis dan drummer asal Morbid Angel dalam demo Abominations of Desolations) mahu meneruskan Nocturnus, saya sedikit teruja. Tak kisah lah kalau dia terpaksa menggunakan AD di belakang kerana isu mahkamah (beliau telah dipecat dari Nocturnus dan hilang hak keatas nama Nocturnus walaupun beliau adalan antara pangasasnya).

Ini adalah kali kedua beliau menggunakan nama AD. Seperti yang pertama (Paradox -2019), ianya juga adalah konsep album berlatarbelakangkan sains fiksyen kesinambungan dari The Key.

Dari seginya muziknya juga tidak banyak berubah. Ianya masih thrash/death metal dengan bunyian keyboard yang menjadi trademark khas kepada Nocturnus. Ditambah dengan riff sedap dan solo menarik, rasanya majoriti yang suka The Key pastinya akan suka album ini.

Semestinya salah satu album kegemaran untuk tahun 2024.


Tuesday, December 3, 2024

When We Were Kings

 

Lagi yang terkini...

Stryper - When We Were Kings (2024)

Tak banyak band yang boleh memuaskan hati peminat lama dengan setiap album baru mereka. Tetapi Stryper telah berjaya melakukannya. Semenjak album No More Hell to Pay (2013), mereka telah berturut-turut melahirkan album yang kualitinya menyaingi zaman kegemilangan 80an mereka.

Dalam satu wawancara, Michael Sweet mengatakan yang Stryper mendengar pandangan peminat. Peminat mahukan sound 80an dan lebih banyak solo gitar. Dan itulah yang mereka berikan di dalam 4 hingga 5 album kebelakangan ini.

When We Were Kings bagi saya lebih perencah hard rock berbading heavy/power metal seperti beberapa album sebelumnya. Kebanyakan lagunya mempunyai bahagian chorus yang catchy. Jarang orang bercerita tentang dual gitar solo dari Michael Sweet dan Oz Fox. Tetapi sekali lagi mereka membuktikan yang mereka patut menerima pengiktirafan yang lebih tinggi.

Sound produksi tip-top . Vokal Michael Sweet masih bagus. Lagu-lagu sedap. Tiada apa yang peminat Stryper nak komplen...


Friday, November 29, 2024

Engkar

Produk tempatan 2024...

Langsuir - Engkar (2024)

Seperti yang pernah disebut sebelum ini, saya sememangnya jarang membeli produk muzik tempatan. Tetapi kalau ianya kena dengan selera sudah semestinya akan dibeli.

Langsuir sememangnya tidak mengecewakan. Mereka masih dengan indentiti mistik kemelayuan. Itu adalah ciri khas mereka. Lagu-lagunya memang mudah menangkap. 

Produksi sound pun bersih dan sedap. Bagi saya mereka adalah penanda aras untuk genre melodic death metal tempatan

Walaupun sekadar EP ( 5 lagu), Ianya bolehlah dikatakan  sebagai rilisan melodic death metal terbaik untuk tahun 2024.

Rekomended!


Tuesday, November 26, 2024

Heathen Cross

Lagi album terkini 2024 yang ada dalam simpanan. 

Cloven Hoof - Heathen Cross (2024)

Dulu selalu nampak nama band ini di majalah Kerrang!. Tetapi tak berpeluang nak dengar. Tak pernah jumpa kasetnya di kedai. 

Mereka adalah dari generasi NWOBHM yang kurang berjaya. Hanya sempat merakam kan satu album sebelum berpecah. 

Satu-satunya anggota yang tinggal hanya lah pemain bass mereka, Lee Payne. 2 kali beliau menghidupkan kembali Cloven Hoof. Sekali pada penghujung 80an dan kali keduanya pada tahun 2000an dan bertahan sehingga sekarang. 

Ini adalah album mereka yang ke 9. Dan seperti kebanyakan band-band NWOBHM lainnya, mereka masih mengekalkan asas tradisi heavy metal mereka. 

Bagi yang suka era NWOBHM seperti saya. Album sebegini sememangnya kena dengan halwa telinga. Ianya adalah klasik heavy metal 80an dengan sentuhan sound dan produksi moden ala Judas Priest masa kini. 

Tambah menarik apabila mereka menggunakan khidmat vokalis Jag Panzer, Harry Conklin. Vokal beliau sememangnya sesuai dengan muzik yang sebegini.


Sunday, November 24, 2024

Time II

Lagi album terbitan 2024...

Wintersun - Time II (2024)

Tak pernah dengar walau satu lagu pun dari Wintersun sebelum ini. Macam rasa dah cukuplah dengan band bergenre sebegini. Dah tepu.

Tetapi rasa terpanggil untuk mencuba bila ianya asyik disebut-sebut oleh seorang rakan group Cd Passion di FB. Tambahan pula saya teringin untuk mendengar hasil kerja Teemu Mäntysaari. Dan sebagai seorang insan yang lemah akhirnnya terpengaruh juga...hahaha...

Mengikut pendengaran telinga saya, Time II adalah tipikal symphonic power metal dengan sedikit acuan melodic black metal terutamanya dari segi vokal. Yang berbezanya mereka memasukkan elemen Folk Asia Timur ke dalam muzik mereka. Intro albumnya pun seperti sedang mendengar album Kitaro. Dan ada ketika lengok melodinya mengingatkan saya kepada Wayang Pekji (Opera Cina) di pekan Ulu Tiram ketika zaman saya kanak-kanak dahulu.

Saya tak dengar Time I (2012). Maka tak dapatlah nak membuat perbandingan. Tetapi yang pastinya band bergenre begini semestinya mempunyai gitaris dan vokalis yang bagus. Dan itulah yang kita dapat dari  Jari Mäenpää (bekas vokalis/gitaris Ensiferum dan merangkap master mind untuk Wintersun) dan juga Teemu Mäntysaari. Setelah mendengarnya tak pelik lah kenapa Abang Mus mengambil beliau untuk Megadeth.

Rekomemded untuk peminat power metal.



Monday, November 18, 2024

Peluru Cokelat

 Album rock melayu terkini di pasaran..

Barbarik - Peluru Cokelat (2024)

Tabik untuk Jobranko kerana masih terus berkarya. Beliau masih dengan trademarknya tetapi dengan sound dan gaya rock yang lebih moden.

Harapnya dengan album ini mereka akan mendapat lebih ramai peminat baru yang lebih muda. Nak harap peminat lama berapa kerat sahajalah yang masih beriya mendengar apatah lagi membeli muzik.

Saya sememangnya jarang membeli produk muzik tempatan kecuali jika ianya betul-betul kena dengan jiwa. Dan ini sememangnya album rock tempatan terbaik untuk tahun 2024.

Rekomended!


Sunday, November 3, 2024

=1

 Terkini dari band rock lagenda...

Deep Purple - =1 (2024)

Kali terakhir yang saya betul-betul mendengar album Deep Purple adalah ketika Ritchie Blackmore masih menjadi gitaris mereka (The Battle Rages On - 1993). 

Langsung tak tahu sepatah haram pun ketika zaman Steve Morse. Sedar-sedar mereka kini dah pun mempunyai Simon McBride sebagai gitaris baru. Hasil dari hasutan dan rachun rakan-rakan segroup whatsapp akhir TERbeli yang terbaru ini.

Untuk tidak jauh ketinggalan, saya mencuba dengar beberapa album-album era Steve Morse seperti Purpendicular (1996), Abandon (1998) dan Bananas (2003). Ternyata mereka masih mencuba untuk mengekalkan identiti Deep Purple walaupun tanpa Ritchie Blackmore dan Jon Lord. Dan Don Airey adalah pengganti yang tepat untuk Jon Lord.

Saya mengambil sedikit masa juga untuk menghadam =1. Simon McBride seorang gitaris yang bagus. Solo-solo dia sedap. Manakala Don Airey meneruskan legasi solo hammond organ Jon Lord. Ada lagu yang cuba untuk kembali ke era 70an. Cumanya vokal Ian Gillan tidaklah sehebat zaman muda dulu.

Kesilapan besar saya adalah mendengar album Purpendicular sebelum =1. Ternyata agak sukar untuk mereka menyaingi kehebatan Purpendicular. Malah ketika zaman Steve Morse sekali pun. 

Pada saya album ni kira boleh tahan lah. Simon McBride memberi warna baru yang lebih muda kepada Deep Purple. Beliau tidak cuba untuk menjadi Ritchie Blackmore ataupun Steve Morse

Ian Gillan, Roger Glover dan Ian Paice patut dipuji kerana terus menerus menghasilkan album baru. Tiada istilah pencen utuk mereka. Tabik!