Showing posts with label England Trip. Show all posts
Showing posts with label England Trip. Show all posts

Wednesday, August 21, 2024

Sudah Sampai Sini - Liverpool

Banyak sebenarnya gambar kenangan ketika saya berkunjung ke England pada bulan Fenruari lepas ada di dalam draf. Tetapi jarak masa dan kesibukan kerja menyebabkan rasa kurang bersemangat untuk menulis semenjak beberapa bulan kebelakangan ini. 

Untuk kali ini cukuplah sekadar berkongsi beberapa keping gambar di sekitar bandar Liverpool untuk kenangan diri sendiri di masa hadapan. Ada diantara periciannya saya pun dah lupa. Contohnya bangunan apa dan kisah disebaliknya. Tetapi kalau betul-betul nak mencari detailnya memang sampai bila-bilalah entri ini akan tersekat di dalam draf.





Apa yang menariknya bagi saya tentang Liverpool adalah senibina bangunannya. Memang cantik. Barulah betul terasa seperti berada di negeri orang puteh. Mereka masih mengekalkan senibina asal. Tak banyak pun bangunan moden. Malah bandar besar seperti Liverpool cuma ada satu shopping complex besar iaitu Liverpool One berbanding Johor Bahru contohnya, bersepah shopping complex di sana sini.

Tetapi satu yang tak best tentang liverpool adalah kelab bolasepaknya...hahaha....



Wednesday, June 26, 2024

Hail, hail to England Pt 2

Sambungan dari bahagian 1...

KLIA - Abu Dhabi - Heathrow (London) - Middlesbrough - Stockton-on-Tees (9hb - 10hb Feb, 2024)

Hari Pertama.

Jarak antara London ke Middlesbrough adalah dalam 400 ++ km  . Pengangkutan yang paling cepat dan ekonomik adalah keretapi. Tetapi memandangkan tiba di London lewat malam dan perkhidmatan keretapi hanya beroperasi sehingga pukul 10 malam. Terpaksalah menggunakan perkhidmatan bas express yang mengambil masa dalam 5-6 jam.

Perjalanan dari Heathrow menuju ke terminal bas Victoria menggunakan underground tube. Sebagai mat metal, inlay kaset Napalm Death - Utopia Banished pastinya terbayang dalam kepala...haha...

Lupa la nak ambil gambar terminal basnya. Sebenarnya banyak yang terlupa nak ambil gambar... maklumlah orang felda masuk London...😁

Apa yang pastinya, tandas awam (percuma) di Victoria Bus Station tu lebih kurang sama kondisinya dengan tandas-tandas awam di Malaysia. Kotor! Yang berbeza cuma lantainya kering pasal disana tandasnya tidak menggunakan air. (Portable Bidet sangat berguna bila ke tandas di luar negara. Penting ni..murah jer kalau beli di shoppe)

Bas express kami ketika di perhentian R&R (tak pasti di mana). Pukul 2.30 pagi yang sejuknya sampai ke tulang.

Antara pengalaman menarik naik bas express di sana yang tak ada di Malaysia –

1- Kena pakai tali pinggang kalendar.

2- Duduk secara “first come, first served” tak ikut nombor seat. Tapi kalau nak booking seat pun boleh…tapi masa beli tiket tu kena bayar lebih.

3- Tak ada radio atau tv. Penumpang mahukan privacy.

Keadaan kedai makan RnR di sana. Sunyi sepi pukul 2.30 pagi. Tak berani nak beli makan cuma beli air minum.

4- Pemandu bas bertukar ketika separuh perjalanan. Bertukar tu bukan maksudnya dengan pembantu bas yang teman kat sebelah. Tetapi bertukar terus dengan pemandu baru yang menunggu di perhentian bas. Dan pemandu sedia ada akan turun terus dan mungkin terus balik rumah (agaknya la). Sama juga kes dengan bas berhenti-henti. Cukup masa pemandu akan turun dan diganti oleh pemandu lain di tengah-tengah perjalanan. Khabarnya undang-undang buruh di sana sememangnya menghadkan waktu pemanduan pemandu bas.

5- Highway disana lebih kurang di Malaysia, cuma mereka tak ada toll.

Sampai di rumah anak dah subuh

Bersambung...




Monday, June 17, 2024

Hail, hail to England...

Kongsi sikit kisah perjalanan 9 hari ke England pada bulan Februari yang lepas. Perjalanan secara DIY tanpa menggunakan travel agency.

Sekurang-kurangnya boleh memberi ilham kepada sesiapa yang nak mencuba. Tapi maaflah, selepas 3 bulan ada beberapa details yang dah tak berapa nak ingat.

Asalnya untuk melawat rumah anak yang menetap di sana. Tetapi dah alang-alang kesana yang kosnya boleh buat badan berpeluh, ambil peluang untuk bercuti dan melawat beberapa bandar bolasepak terkenal di sana. Maklumlah peminat bolasepak. Tambah pula anak-anak saudara yang ikut serta pun kesemuanya kaki bola. Yang lain terpaksalah ikut suara majoriti..haha...

Kawasan perumahan anak di Stockton-on-Tees

Untuk perjalanan tanpa travel agency sebegini, sememangnya memerlukan perancangan dan kajian yang rapi. Kena buat jadual kemana nak pergi, cara pengangkutan, masa yang diperlukan dan berapa jumlah kos. Benda-benda ini, kami dah rancang sebulan dua sebelum kejadian. Ianya penting untuk menjimatkan masa dan kos dari last minute baru kelam kabut nak pikir nak pergi mana.

Asalnya ada juga terpikir untuk sewa kereta. Tetapi bila memikir kos minyak (sememangnya mahal), jalanraya yang tidak biasa, tempat letak kereta, jalan yang sesak terutamanya di London, dan had umur minimum 24 tahun untuk memandu kereta sewa. Maka adalah lebih baik menggunakan perkhidmatan awam seberti bas, keretapi, tube, uber dan berjalan kaki. Kesian nanti kepada sesiapa yang jadi pemandu kereta, yang lain enjoy tetapi dia kepenatan. Tak guna bercuti kalau tak dapat enjoy.

Percutian sebegini juga memerlukan banyak tenaga. Kena banyak berjalan kaki (untuk rekod paling banyak dalam sehari adalah 22,919 steps = 17.40 KM). Pergi ketika musim sejuk juga memainkan peranan. Februari adalah bulan penghujung musim sejuk (Suhu di antara 3 hingga ke 9 darjah celcius). Kalau nak merasa salji kena pergi antara bulan Disember atau Januari. Cuasa sebegini sememangnya langsung tak berpeluh tetapi bab sejuk bila angin bertiup tu memang ada masanya rasa sejuk sampai ke tulang.


(maaf tak banyak gambar....kebanyakan gambar yang diambil tak sesuai dengan tema blog ini...hahaha)

Bersambung (kalau rajin.. 😁)

Thursday, May 30, 2024

Sudah Sampai Sini - Beatles @ Liverpool

Sebagai peminat muzik, kalau dah sampai ke Liverpool. Tak sah kalau tak menjejaki sejarah peninggalan The Beatles. Ianya adalah salah satu tarikan utama selain bolasepak bila berada di Liverpool.

Antara tempat wajib untuk dikunjungi adalah The Beatles Story di Royal Albert Dock dan Beatles Museum di Matthew Street.

Beatles Statue di Royal Albert Dock - tempat wajib bagi peminat Beatles untuk bergambar

Jarak antara keduanya masih dalam lingkungan boleh berjalan kaki. Pergi time musim sejuk memang tak ada masalah untuk berjalan kaki. Langsung tak berpeluh. (Untuk rekod jarak berjalan kaki sehari di sana adalah 22K steps = 17 KM… haha..hebatkan..beginilah percutian DIY…selain bas dan keretapi…memang kena fit untuk berjalan kaki)


Matthew Street. Di sepanjang lorong ini semua bangunan dan persekitarannya bertemakan Beatles. Kalaulah di sana ada lorong yang bertemakan Iron Maiden atau Black Sabbath, Judas Priest atau sekurang-kurangnya Duran Duran… perghhhh…


Beatles Museum. Tak masuk pun. Saya bukanlah peminat tegar Beatles. Cukuplah sekadar bergambar kenangan. Cuba kalau ini ini muzium Iron Maiden…hahaha…


The Cavern Club di 10 Mathew Street. Tempat yang melahirkan Beatles. Satu lagi tempat wajib untuk pengemar Beatles. Mengikut carian google, ia masih beroperasi dengan persembahan live band.


Ini pula kedai cenderamata Beatles. Satu ni jer la yang masuk ke dalam. Manalah tau kot kot ada benda yang berkenan. 


Bermacam memorabilia tentang Beatles ada di jual. Tetapi memandangkan semuanya RM kali 6. Yang berani dibelek hanyalah fridge magnet dan key chain…hahaha..


Nahh...Tu pun cari yang paling murah 😁



Ada banyak statue yang betemakan lagu-lagu Beatles. Eleonar Rigby adalah salah satu darinya.


Ini pula adalah The Beatles Story Museum di Royal Albert Dock. Masa sampai tu dah lepas pukul 5 petang. Dah tutup dah. Tapi kalau masih bukak pun bukannya nak masuk…haha…




Thursday, May 16, 2024

Tower of London, Tower Bridge dan KFC

Menyelit sikit pasal KFC sempena isu boikot yang masih panas.

Boikot itu pilihan sendiri. Selagi benda halal saya ok sahaja. Tambah pulak orang rumah berkerja di syarikat yang memiliki saham terbesar dalam KFC.


Mencari makanan halal di kota London bukanlah suatu masalah. Cuma ada ketika lokasinya tidak berada di dalam kawasan berdekatan. Contoh ketika kami berada di kawasan Tower of London untuk menuju ke Tower Bridge. Sampai waktu ngam lepas tengahari. Memang lapar. Hasil carian di google dapat dapat maklumat ada KFC halal di kawasan berdekatan. Ianya adalah penyelamat dari segi masa dan perut yang sedang lapar.

Tower of London 

Lupa pula nak ambik gambar restoran KFC tersebut (akibat dari perut yang lapar…haha). Ianya penyelamat bagi yang mencari makanan halal. Yang bestnya dah boleh dah makan ayam di sana bukan lagi macam dulu-dulu sekadar makan sayur dan roti.


Tower Bridge

Saya tak pasti adakah semua KFC di UK berstatus halal. Ada 2 yang saya jumpa di Middlesbrough dan Tower Of London ini memang berstatus halal. Malah pekerjanya juga bertudung. Cuma resepinya agak berbeza dengan di Malaysia. Mungkin mengikut selera orang disana.

Tower Vaults - Restoran KFC berada di dalamnya

Harganya?.. arghh…lupa nak simpan resit. Tapi lebih kurang sama atau lebih murah berbanding di Malaysia. Yang jadi mahalnya bila semua pun kena kali 6.

Satu lagi…KFC di sini tak  ada sos… kalau minta sos dibaginya garam paket…hahaha…



Tuesday, May 7, 2024

Sudah Sampai Sini - Abbey Road

Abbey Road (15/02/2024)


Menjejakkan kaki ke London sebagai seorang peminat muzik rasanya tak cukup sempurna kalau tak singgah ke sini. Bak kata orang tu jangan kata tak pernah sampai…


Sebenarnya tak ada apa yang menarik pun. Abbey Road Studio ni berpagar dan tak boleh nak masuk. Iyerlah ianya bukan muzium yang boleh dilawat. Studionya pun masih beroperasi. Manalah boleh suka-suka nak masuk. Cuma ianya tak ada “guard” yang jaga. Maka boleh lah juga menyelit celah pintu pagar untuk bergambar kenangan.


Apa yang pastinya, ketika di sana yang sibuk bergambar hampir kesemuanya warga tua. Budak-budak muda tak paham pun ini tempat apa. Nasib juga lah Masdo ada buat album disini. Sekurang-kurang anak muda di Malaysia termasuk anak-anak tahu ini tempat apa…hahaha…

Cubaan anak-anak melintas Jalan Abbey. Susah juga sebenarnya untuk mencuba jadi Beatles di sini. Jalannya agak sibuk dengan kenderaan. Dan ramai pula yang mencuba. Kesian kepada kenderaan di sini terpaksa berhenti setiap kali ada cubaan untuk bergambar. Konpem menyumpah dalam hati…hahaha…



Tuesday, April 9, 2024

Sudah Sampai Sini - HMV

Sambungan dari bahagian 1 dan 2

Kedai yang terakhir tetapi sebenarnya kedai yang pertama disinggah bila sampai ke tanah Inggeris.


5 - HMV - The Cleveland Shopping Centre, Middlesbrough


Perancangan untuk berkunjung kesini telah awal dimasukkan ke dalam itinerary setelah mendapat tahu yang ianya terletak berdekatan dengan tempat tinggal anak. (rumah anak di Stockton-on-Tees ke Middlesbrough tak sampai pun 5 km).


Dulu selalu nampak nama HMV kat majalah Kerrang!. Pernah juga kirim kawan beli. Tak sangka pula akhirnya berpeluang juga untuk menjejakkan kaki ke sini. Walaupun mungkin HMV di Midlesbrough ini tidak sebesar seperti di London tetapi ianya sudah cukup "heaven" bagi peminat muzik tua seperti saya.

Lama dah tak pergi ke kedai cd sebesar ini. Ianya mengingatkan kepada Tower Records KL Plaza. Betul-betul mengamit memori. Sesat sekejap duduk dalam ni…hahaha….

HMV bukan setakat menjual cd dan lp, tetapi ianya juga menjual barangan berkaitan muzik seperti buku dan tshirt. Lupa dah nak ambil gambar semua tu. Dok kyusuk membelek cd dan lp…lupa dunia sekejap.

Yang menariknya disini ada promosi 3 Vinyl untuk £55 dan 2 CD untuk £16 untuk tajuk-tajuk yang tertentu. Tetapi tak ada tajuk yang betul-betul nak beli. Yang berkenan tu ada juga. Tetapi bila otak asyik la terfikir RM kali 6…memang apa pun tak jadi….haha…

Tambah menarik, ada kawasan khas dan luas untuk “Metal”. Bermakna genre metal masih popular dan diterima dengan meluas oleh orang-orang disini. Untuk genre lain pun ada tetapi taklah secara eksklusif seperti “Metal”. Siap dengan logo-logo semua.

Tetapi akhirnya sekadar mencuci mata. Tak ada beli apa pun. Ianya sekadar mengembalikan nostalgia zaman dulu. Seronok…lupa dunia dan rasa rindu betul lah nak ada kedai sebesar ini di Malaysia…


Dua ni beli kat kedai ini. Tetapi bukanlah masa datang hari tu. Kedua-duanya tak keluar lagi pun masa tu. Tetapi kirim dengan anak yang pulang bercuti raya...(jimat duit postage) 😁

Selamat Hari Raya! Maaf Zahir dan Batin. 



Friday, March 22, 2024

Sudah sampai sini - Kedai muzik fizikal di England bahagian 2

Sambungan dari >SINI<

3 - Quayside Market, Newcastle


Konsepnya lebih kurang seperti pasar pagi atau pasar karat di Malaysia. Yang menarik ianya terletak di sepanjang tebing sungai. Memang cantiklah pemandangannya. 


Pelbagai barangan di jual disini. Baju, kraftangan, barangan antik dan bermacam lagi termasuk makanan. Perut lapar tak ada masalah. Ada banyak makanan halal terutamanya makanan Arab dan Pakistan. Ada juga satu gerai makanan Indonesia. Tak letak gambar pasal ini bukan entri pasal makanan...hahaha..


Dan sudah semestinya apa yang dicari adalah gerai menjual lp terpakai. Harganya memang murah. Sekeping £3 dan kalau beli 2 dapat £5. Tetapi sama seperti di Malaysia, kebanyakan memang susah nak dapat dengan tajuk-tajuk yang menarik. Yang menarik pastinya dah dikebas orang. Dan kalau ada pun harganya pasti yang bukan mampu milik.

Hasilnya memang tak beli apa-apa pun walau ada juga lp artis-artis 80an yang berkenan. Tetapi kondisinya yang agak kurang elok membantutkan niat untuk membeli.


4 - Portobello Road Market, London


Yang ini pun konsepnya lebih kurang sama dengan Quayside Market. Tetapi lebih besar dan panjang deretan gerainya. Ianya berdekatan dengan "The Blue Door" dari filem Notting Hill. Sambil-sambil tengok deretan barangan antik, baju, pelbagai aksesori dan makanan, boleh juga la "feeling feeling" jadi Hugh Grant dan Julia Roberts.. 😎

Terjumpa juga sebuah restoran Malaysia (Makan Cafe). Sempat jugalah pekena nasi campur 2 lauk. Dan ianya adalah nasi campur paling mahal dalam sejarah yang pernah saya makan - £10.50 = +-RM63 untuk sepinggan. (Tak ada gambar juga pasal ini bukannya cerita pasal makan...hahaha...)


Dan seperti juga di Quayside Market, yang dicari sudah semestinya gerai menjual cd dan lp. 

Tak jalan habis. Nak kejar masa. Tetapi sempat jumpa menyinggah 2 gerai cd dan lp. Gerai gambar di atas menjual kebanyakannya lp baru yang masih seal dengan harga pasaran. Ada juga cd terpakai yang harganya bukanlah harga rahmah. Nampaknya pasar karat di sini harganya tak ada lah murah mana pun. Ditambah dengan RM kali 6 memang tak berapa nak ada kuasa membeli.
.

Gerai kedua lupa pula nak ambil gambar. Tetapi di jaga oleh seorang penjual berkulit hitam yang agak peramah buat muka pelik bila dapat tahu yang saya mencari lp heavy metal…Mungkin juga muka saya adalah muka seorang peminat Taylor Swift…haha…


Gerainya lebih kepada menjual lp 7 inci terpakai. Tak banyak pilihan untuk 12 inci. Paling rock yang dia sendiri pun cakap “not enough metal for you” adalah ZZ Top.

Tetapi jangan kata nanti pulang tangan kosong. Beli juga la 2 keping 7 inci ini dengan harga sekeping £5.  Tak ada lah murah pun sebenarnya….


Bersambung ke bahagian 3 pula...

Tuesday, March 12, 2024

Sudah sampai sini - Kedai muzik fizikal di England

Hari itu ketika bercuti di England, cuba juga mencari masa untuk kegiatan perhobian. Sempat jugalah melawat beberapa buah kedai cd/lp.

Tetapi oleh kerana masa dan RM kali 6 yang agak terhad, ianya lebih kepada sekadar lawatan cuci mata...


1 - Blue Groove Soundz di Portobello Green Designers, London


Ianya adalah sebuah kedai lp terpakai. Adalah juga sedikit cd, kaset dan juga komik. Kedai ini lebih kepada genre Funk, Soul, Blues, Jazz dan juga hip hop. Tak banyak pop dan rock tapi untuk genre metal memang hampir tak jumpa. 


Harga memang murah. Ada yang hanya £1. Kondisi biasalah...barang terpakai. Tetapi memang tak jumpa sangat tajuk yang berkenan. Tambahan pula kebanyakannya adalah lp-lp artis lama 50an, 60an dan 70an yang memang tak kenal pun.


Paling metal pun kalau boleh nampak dalam gambar di atas adalah Judas Priest - British Steel. Tapi harganya mak aii... £40. Mungkin ianya 1st press atau ada sesuatu yang istimewa yang saya tidak tahu. Tetapi memang selalu dah perasan...kalau genre metal harganya mesti mahal.


2 - J.G. Windows di Central Arcade, Newcastle upon Tyne


Yang ini pula terletak betul-betul di tengah bandar Newcastle. Ianya berada di dalam pusat membeli belah Central Arcade. Bandar Newcastle ni memang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang unik dan cantik. Central Arcade ini pun adalah bangunan lama yang dibina pada 1906 dan J.G. Windows pula dah wujud sejak dari tahun 1908.


Ianya kedai 2 tingkat. Tingkat atas adalah alatan muzik manakala di bawah adalah cd dan lp. Berbeza dengan kedai yang no 1 tadi, yang ini menjual seratus peratus cd dan lp baru. Ianya koleksi yang lebih terkini. Menjual pelbagai genre seleksi cd/lp artis popular masa kini.

Yang menariknya ada lebih banyak pilihan untuk cd-cd rock dan metal. Untuk lp pula ada dikhaskan satu bahagian kecil untuk genre metal. Dari segi harga ianya mengikut harga pasaran semasa. Ada juga yang murah selepas diskaun. Tetapi bila otak asyik terpikir RM kali 6... akhirnya sekadar pulang dengan tangan kosong 😁


Bersambung....