Showing posts with label May. Show all posts
Showing posts with label May. Show all posts

Thursday, June 20, 2024

Ziet Giest

Mendengar semula...

M.A.Y - Ziet Giest (1992)

Antara album MAY yang dulunya tak pernah dengar. Hanya tahu lagu Meniti Suratan. Ini adalah zaman yang saya hampir zero dengan muzik rock melayu.

Mendengar temubual Yantzen dalam podcast “Hubungan Rambang Ad Samad” di youtube menyebabkan terpanggil untuk mendengarnya. Ini adalah satu lagi album reissue yang dibeli hanya sekadar untuk hiasan di rak. Maklumlah bila album yang tiada kenangan memang rasa nak dengar tu amat kurang.

Zeit Geist adalah album pertama Yantzen Bersama MAY. Saya baru tahu yang bahagian gitarnya dimainkan oleh Arwah Samad. Malah kesemua album MAY dizaman Yantzen khabarnya dimainkan oleh arwah.

Saya kurang pasti kenapa Abu tidak terlibat ketika seissi rakaman. Dan khabar lainnya juga mengatakan yang beliau juga tidak bermain dalam album-album MAY yang lainnya. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi kalau dengar perbezaan sound gitar di setiap album memang mungkin ianya benar.

Saya bersetuju dengan apa yang Yantzen suarakan dalam seissi wawancara tersebut yang beliau mahukan muzik MAY yang tidak jauh berubah dari zaman sebelumnya. Zaman Mus terutamanya bermula dari album Hakikat (1989), MAY mempunyai beberapa lagu yang bercirikan thrash. Dan album ini cuba untuk mengekalkannya.

Secara mudahnya boleh lah dikatakan yang album ini adalah cubaan Arwah Samad untuk memainkan riff dan sound thrash. Namun mungkin ianya bukanlah jiwa beliau, saya dapat rasakan feel Warren DeMartini / Robbin Crosby di dalam lagu "Visions of Emotion" dan Loudness di dalam lagu “Obsession"

Namun begitu rasa Rusty Blade tetap ada. Vokal Yantzen didalam lagu-lagunya “heavy” ciptaan beliau memang sudah sinonim dengan bunyi Rusty Blade. Cuma saya agak keliru dengan vocal didalam lagu "Resah". Lengok nyanyiannya betul-betul berbunyi seperti Mus. Tak macam Yantzen.

Secara keseluruhannya bagus terutamanya lagu-lagu yang berentak rancak.


Thursday, July 2, 2020

WFH - Strategi

Yang tersangkut dalam draft semasa berkerja dari rumah sejak beberapa minggu yang lalu...



MAY - Strategi (1991)

Antara album yang dulunya tak pernah tau pun kewujudannya. Album MAY yang terakhir betul-betul dengar adalah Rahsia (1990). Selepas dari itu memang tak berapa nak ambil tahu tentang rock melayu. Kalau tahu pun adalah lagu-lagu yang popular di radio dan satu dua kumpulan seperti Wings contohnya.

Ini bukanlah cd yang asli. Yang asli dah susah nak dapat. Kalau ada pun harganya agak keras. Syarikat yang mengeluarkan album ini pun dah pupus. Memang susahlah kalau nak buat versi keluaran semula. Altenatifnya adalah versi cdr pro-printed* yang macam ini.

Boleh tahan juga album ini. Ada beberapa lagu yang berbunyi thrash. "Strategi", "Alam" dan "Singa Taring Palsu" adalah antara yang berat. 3 lagu "slow" pun sedap. Tetapi ada lagu "slow"nya  yang tak macam MAY ketika album-album awal. Muziknya agak lain. Mungkin "rumours" yang mengatakan ada lagu mereka dimainkan oleh seasonist ada kebenarannya. Feelnya memang lain. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi album ini adalah terbitan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, saya lebih menyukai Rahsia. Mungkin kerana album itu didengar ketika zaman remaja berbanding ketika umur dah meningkat 4 series...hahaha....

Jujurnya pada saya lagu "Strategi" versi Yantzen dalam album Layar lebih best berbanding versi Mus. Entah kenapa sejak kebelakangan ini lebih suka pula MAY ketika bersama Yantzen.

*Maaf saya tidak menyokong cetak rompak. Ini adalah sekadar cdr dari peminat untuk peminat yang tak dapat mencari cd asli yang asal.



Tuesday, June 12, 2018

Hakikat - piring merah

yang terkini di pasaran


MAY - Hakikat (limited edition red vinyl - 2018)

Seperti yang pernah ditulis dalam entri Hakikat Gold Disc, bila keluar versi lp pasti akan terjebak juga.


Kalau Rahsia dengan piring putih, Hakikat pula dikeluarkan dalam warna merah. Tak pasti apa motif kaler-kaler ni. Nak cantik jer kot.


Seperti Rahsia, yang ini pun tak ada masalah dari segi sound. Ok jer kot...tak tau la kalau telinga jenis sensitif bunyi.


Apa-apa pun sayang juga dah hilang versi kaset. Kalau tak...boleh juga buat entri riak gila format 😀





Monday, April 2, 2018

MAY 25th Anniversary

Lama dah cari...akhirnya...


MAY  - 25th Anniversary Discography Limited Edition (2011)

6 tahun kot cari...sejak Deaf buat entri >NI < Akhirnya berjaya juga dimiliki. Bukan 2nd hand...tapi baru siap berbungkus.


Kalau nak baca dengan lebih terperinci dan nak tengok banyak gambar,boleh pergi ke blog Deaf. Kat sini tampal sikit-sikit dah lah..


Secara ringkasnya boxset ini mengadungi buku bergambar sejarah kumpulan MAY dari awal penubuhannya hinggalah ke ulangtahun ke 25 mereka. Disertakan juga sebuah cd rakaman album terbaru mereka pada ketika itu berserta sekeping dvd wawancara mereka dan 2 video clip.


Asalnya dulu memang tak pernah tau pun kewujudan boxset ni. Pernah nampak di kedai cd versi digipak. Ingatkan ianya sekadar album kompilasi koleksi terbaik mereka sempena 25 tahun. Baca blog Deaf baru tahu rupa-rupanya ia adalah sebuah album baru.


Memang berbaloi la boxset ni. 100++ mukasurat yang penuh dengan gambar warna warni. Paling seronok bila dapat tengok gambar-gambar lama tahun 80an. Nostalgia sungguh.


Rasanya merekalah satu satunya kumpulan rock yang mengeluarkan buku biography bergambar seperti ini. Patut yang lain pun buat. Khazanah muzik negara ni semua. Amy Search dulu pernah keluar cerita nak buat buku autobiography. Tapi sampai sekarang senyap. Rosli Mohalim ada. Nak kena beli juga yang tu nanti.


Satu nak pesan. Kalau terjumpa orang jual. Sila beli kerana ianya adalah satu pembelian yan berbaloi-baloi terutamanya kalau anda peminat kumpulan MAY khususnya dan peminat rock melayu amnya.


***terimakasih Portdy kerana maklumkan jualan boxset ini di FB.  🤗






Monday, March 12, 2018

Gila Format - Rahsia

Dengan keluarnya versi piring hitam putih ini, maka album MAY - Rahsia dah boleh masuk entri "Gila Format".


Versi cd gold disc tak ada. Tak larat dah nak beli dan kumpul semua.


Ini pun harganya boleh tahan keras. Tapi itulah...bak kata orang dalam dunia ini ada 2 benda yang mahal pun tetap akan ada orang yang beli. Pertamanya agama dan yang keduanya kenangan.


Dan ini sememangnya di beli semata-mata kerana kenangan dan kenangan dalam apa juga keadaan pun... contohnya album ini...baik dari segi sound dan luaran piring hitam...walau apa pun perbandingan...kenangan akan tetap menang.


Dan sesungguhnya mereka yang ada kenangan dan minat sahaja yang akan paham...

*tapi jujur cakap...dengan set up cap ayam...sound lp ini boleh tahan bagus bunyinya...




Wednesday, November 15, 2017

Hakikat

Lagi yang terkini di pasaran


MAY - Hakikat (Limited Edition Gold Disc - 2017)

Tu hari masa Rahsia keluar versi gold disc, tak rasa nak beli pun. Tak terduit nak dah nak beli semua. Tambahan pula cd reissue versi biasa tu pun soundnya dah ok dah.

Tetapi yang ini memang ada rasa nak beli. Sound lebih baik dari versi reissue biasa. Tetapi tak ada beza sangat pun dengan versi special edition. Mungkin ianya menggunakan sumber yang sama.


Gold Disc 2017 vs Reissue 2016 vs Special Edition 2003

Nak kata minat sangat pun….tak juga. Tapi banyak lagu klasik MAY dalam ni. Ini adalah antara album-album terakhir rock melayu yang di beli sebelum selera muzik saya berubah. Tetapi ianya ada kenangan tersendiri.


Kasetnya dulu dibeli masa zaman kerja kilang. Kilang membuat kuih bulan cina di Taman Johor Jaya. Waktu itu sedang menunggu result SPM. Kerja shift. Masuk pukul 2 petang. Sebelum pergi, sempat lah menyinggah kedai kaset. Beli siap dapat poster. Masuk kilang semua member, abang, kakak, makcik dan pakcik kat kilang tegur poster apa. Bukak...gulung...bukak...gulung...abis shift pukul 11 malam, poster pun lunyai....haha...


Sayangnya kaset tu dah hilang ntah kemana. Boleh sahaja kalau hendak di ganti. Bersama-sama versi gold disc ini ada juga dikeluarkan semula versi kaset. Tetapi macam yang dah dikatakan awal tadi...tak terduit dah nak beli kesemuanya....

Tapi kalaulah akan datang dikeluarkan dalam bentuk lp...hmmm...mungkin akan terjebak juga nanti...







Monday, November 13, 2017

Kombinasi Mus & Yantzen

Entri hasil dari perbualan group whatsapp...


MAY - Kombinasi & Mus Yantzen (1995)

Tak pernah ingat pun pernah beli kaset ini. Biasalah dulu dulu selalu pergi ke kedai kaset tanpa niat nak membeli tetapi waktu balik ada sahaja yang terbeli.

Pernah dengar atau tidak kasetnya pun dah tak ingat. Ini semua jenis beli dan simpan. Banyak juga rasanya yang jenis macam ni. Apa yang menarik adalah kerana kandungan lagu-lagunnya. Ianya mengandungi 5 lagu dari album Strategi. Satu satunya album MAY yang belum pernah dikeluarkan (reissue) semula.


Sejujurnya saya agak "lost" dengan album Strategi. Tak pernah dengar dan tak tau pun kewujudannya. Tahun ianya dikeluarkan adalah tahun tahun yang saya kurang mengambil tahu perihal rock melayu.


Boleh tahan juga lagu-lagunya. Setuju dengan Rafi Xyrus Zone, lagu "Singa Taring Palsu" memang ada pangaruh thrash. Teringin pula nak dengar keseluruhan albumnya. Kalau ikut catatan di inlay kaset, Ianya adalah hak milik Suwah Music Publishing Sdn Bhd. Company ni masih ujud kot. Harap harap adalah peluang untuk di reissue suatu hari nanti.


P/s...best jugak bila lagu lagu Mus di nyanyikan semula oleh Yantzen dengan susunan muzik yang baru. Tak dapat Strategi...reissue yang ini pun ok.




Monday, July 10, 2017

Juara Juara Rock




Juara - Juara Rock 1 & 2

30 tahun dah. Yang kaset tu dulunya dibeli dengan harga RM2.50. Sebagai budak sekolah yang duit belanjanya hanya 50 sen sehari manalah termampu nak beli versi yang asli. Tu pun seminggu ikat perut tak makan kat kantin.

Sekarang dah ada versi cd. Tapi sayangnya dari segi sound bukanlah yang tebaik. Mendap. Produksi cd ni rasanya dibuat secara tergesa-gesa. Tak taulah copy dari mana. Maklumlah ketika itu tengah kemaruk dengan cd-cd reissue. Biasalah label nak "cash-in" cepat.

Apa nak buat....tapi sekurang-kurangnya...tengok gambar cover ni pun dah cukup membuatkan saya kembali ke umur 16 tahun semula...those were the best day of my life....




Wednesday, July 27, 2016

Juara Juara Rock

Cukup sudah....





Kaset dan cd dah ada...Kalau ada yang nak sedekahkan piring hitamnya pun boleh jugak..haha...

btw...sayang sungguh...Scandals tiada album solo....






Saturday, March 26, 2016

lagi cd reissue...

Lagi album yang tak pernah terpikirpun akan dikeluarkan semula dalam bentuk cd.


Terimakasih kepada yang berusaha untuk menjayakannya. Abaikan segala kritikan yang kurang membina. Sound itu penting, tetapi bagi saya yang zaman remajanya membesar dengan lagu-lagu sebegini, kenangan itu lebih utama. Dapat memegangnya kembali dalam bentuk cd benar-benar dapat mengembalikan kenangan membelek kasetnya pada 29 tahun yang lalu...memang heaven!!!


Kasetnya pun masih simpan. Sayangnya "Hakikat" dah hilang ntah kemana. Tetapi yang betul-betul mengamit memorinya sebenarnya "Kembali" dan "Dilema". Zaman "Hakikat" tu dah mula sedikit demi sedikit meninggalkan rock melayu.

Apa-apa pun hajat saya untuk memiliki album-album rock melayu 80an yang saya minati dalam bentuk cd kebanyakannya telah pun tercapai. Tinggal mungkin kalau boleh, Urgent - Wajah Mistikal, Gersang - 1st album, Blackrose - 1st album dan harapnya FTG - Freedom That's Gone.

Lepas tu dah boleh tutup buku la kot...lain-lainnya kalau ada kira bonus la...




Tuesday, March 8, 2016

Layar

lagi cerita perihal album keluaran semula. Cuma kali ini ianya memang pernah ada dalam bentuk cd. Cuma dulunya tak sempat nak beli. Dah 20 21 tahun pun usianya...


MAY - Layar (1995)

Tak pasti apa cerita disebalik album ini. Kalau tak silap ketika album ini diterbitkan MAY telah pun berhijrah ke syarikat rakaman BMG. Tahun yang sama juga mereka telah mengeluarkan album Ideologi bersama BMG. Tak pasti pula album yang mana keluar dulu. Maklumlah pada ketika itu saya kurang mengambil tahu perihal rock melayu.

Seingat saya tahun 95 atau 96 adalah tahun tahun yang saya mula cuba mendengar semula rock melayu selepas meninggalkannya sekitar tahun 89 atau 90 untuk menjadi 'true'. (hahaha - fasa biasa untuk seorang remaja). Album XPDC Kita Pengyu yang menjadi pembuka jalan. Hasilnya album Layar ini adalah antara yang saya beli.


Layar mengandungi 5 lagu heavy zaman Mus yang diberikan arrangemant baru dan dinyanyikan semula oleh Yantzen. Menarik juga mendengar lagu-lagu seperti Grafiti, Penghuni Kota, Strategi, Hakikat Perjuangan dan Strategi dengan vokal dan solo gitar yang berlainan. Mus atau Yantzen, dua-dua ada keistimewaan sendiri. Dua-dua pun lejen. Dari susunan muziknya tiadalah beza sangat. Cuma soundnya sedikit berbeza.

Manakala lagu-lagu baru pula majoritinya lagu perlahan kecuali Di Mana Harga Dirimu yang mid tempo. Saya tertarik juga dengan lagu- lagu perlahannya. Arca Kehidupan ada seakan-akan Sketsa Sebuah Cinta manakala Jauh Rasanya melodinya mengingatkan saya pada lagu Ku Dalam Dilema. Manakala lagu yang menjadi tajuk album, Layar pun sedap juga.

Bagusnya kali ini mereka tidak memerlukan khidmat Saari Amri. Semua lagu ciptaan sendiri. Penerbitnya pula arwah Samad. Maka tak hairanlah kalau lagu perlahan mereka agak rock dan tiada bunyian keyboards yang meleweh.




Tuesday, January 26, 2016

Juara Juara Rock 1

Lagi cerita perihal cd keluaran semula...


Juara Juara Rock 1 (1987) - keluaran semula 2015

Sebuah lagi album yang mengamit memori. Kompilasi ini muncul dikala demam heavy metal melayu sedang meletup. Selepas Search Cinta Buatan Malaysia dan Battle of the Band,  Juara Juara Rock andalah antara album terpenting dalam sejarah rock/heavy metal melayu.  Segala kompilasi selepasnya (kecuali Clash of the bands - yang keluar hampir sama waktunya) adalah sekadar mengikut trend semasa.

Betul-betul kemaruk zaman tu. Maklumlah masa tu tak banyak mana lagu rock dan heavy metal berbahasa melayu. Pernah juga mendengarnya secara berterusan selama 4 hingga 5 jam lebih ketika mengecat rumah di kampung. Boleh bayangkanlah bagaimana barai dah kasetnya sekarang. (dah lah kasetnya kaset cetak rompak)

Ini adalah antara album yang menjadi bahan bualan di sekolah. D'Febians - Peperangan dengan Creeping Death - Metallica. Lagu-lagunya juga menjadi antara yang terawal kami bawa ke studio jamming. Lagu "Secebis Rayuan" dan "Tetap Di Sini" adalah antara lagu wajib bagi kami pada ketika itu. Zaman-zaman baru belajar pegang gitar karan, gitar bass dan set drums yang sebenar, mana la berani nak jamming lagu-lagu yang heavy. Zaman tu nak cari sound pun tak pandai. Cucuk kat amp terus jalan...


Satu-satunya lagu yang saya kurang berkenan dari kompilasi ini adalah lagu  "Kembalilah Semula" dari MAY. Bab melewehnya tu membuatkan saya sering menekan butang "Fwd"'. Tetapi lagu-lagu lainnya memang sedap-sedap belaka.

Walaupun ada typo, terimakasihlah kepada mereka yang berusaha mengeluarkannya semula dalam bentuk cd. Memang tak pernah terpikir pun. Memegangnya dalam bentuk cd membuatkan saya kembali terasa muda. Sekurang-kurangnya tertebus juga lah dosa masa dulu membeli versi cetak rompak. Bukan faktor budak sekolah tak berduit sahaja, tetapi pada ketika itu tak jumpa pun kaset original di kedai kaset di kampung saya. (Ulu Tiram). Sekitar tahun 1988 barulah senang nak dapat kaset yang asli...

Sedikit trivia...kalau ingatan saya betul, model dengan gitar bercabang di gambar cover tersebut adalah penyanyi bernama Ramziela.


untuk entri lain berkenaan album ni boleh klik di >SINI< dan >SINI<




Friday, January 8, 2016

Juara Juara Rock 2

Atas permintaan Deaf...sebenarnya kalau ikutkan nak buat ikut turutan yang pertama dulu sebelum yang ini...


Juara - Juara Rock 2 (1987) - keluaran semula 2015

Antara album yang dinanti-nantikan bila demam cd keluaran semula ini berlaku. Lepas NSR dan Universal Music/EMI, kini giliran Sony pula terjebak. Harap ianya akan berterusan...

JJR2 adalah salah satu soundtrack kehidupan awal remaja saya. Memang kesemua lagu-lagunya terpahat dalam kepala. Ianya bolehlah dikatakan sebagai zaman emas rock melayu sebelum merebaknya wabak rock leleh pada penghujung 80an ( tahun 1989 dan ke atas).


Ianya kali pertama dikeluarkan dalam bentuk cd dengan gambar cover yang asal. Tahun 2001 dulu pernah juga diterbitkan dalam bentuk cd tetapi dengan gambar yang cover lain dan lagu-lagunya dirojakkan bersama JJR1 dan JJR3 menjadi 2 volume cd.


Menariknya ianya mengekalkan rekabentuk seperti versi kaset yang asal. Sayangnya ada kesilapan typo bila nama Scandals di salah eja menjadi Scandais. Patutnya setiap syarikat rakaman melantik peminat/collectors sebagai editor sebelum dicetak supaya setiap rilisan tersebut benar-benar sempurna. Maklumlah ini semua khazanah negara. Kalau bukan kita yang nak jaga...siapa lagi? Lantik saya tanpa bayaran pun saya sanggup.


Dari segi sound pula, saya tak pasti dari mana sumbernya diambil. Adakah sama seperti cd keluaran 2001 kerana saya dapati soundnya ada sedikit tenggelam berbanding dari keluaran 2001. Tetapi secara keseluruhannya masih ok. Bukanlah satu masalah sangat.

Apa-apa pun ianya sememangnya satu rilisan yang mengamit memori. Mengembalikan kenangan ketika saya berumur 16 tahun. Masa tu memang tengah kemaruk dengan muzik rock. Pada saya semua lagu best. Banyak sangat sentimental valuenya. Zaman-zaman baru nak berjinak-jinak dengan studio jamming.



Susah juga kalau nak pilih lagu mana yang paling saya suka. Kalau yang berat mungkin Derita "The Sentinel Judas Priest Bangsa - MAY dan Roda Penghidupan - D'Febians yang jadi pilihan. Kuasa II - Scandals pun sedap juga. Bila belajar Maths yang ada bab pasal kuasa 2 memang kepala otak terngiang-ngiang lagu ni.

Kalau yang perlahan saya pilih Bayangan Hidup - MAY. Tetapi 2 lagu dari Metalian,  Segala Untukmu dan Biarkan Aku Sendiri pun sedap.


*nak baca entri lama saya boleh klik >SINI<




Friday, April 17, 2015

Ideologi

Yang menyambut ulangtahun ke 20...


MAY - Ideologi (1995)

Mungkin pertengahan tahun-tahun 90an adalah tahun untuk lagu-lagu meleweh. Kalau di barat kita dilewehkan oleh grunge tetapi di Malaysia oleh lagu-lagu rock leleh.

MAY sebuah band rock melayu yang berimej heavy metal juga tidak terkecuali. Tidak seperti kebiasaan album-album rock melayu yang track pembukaannya lagu rancak dan berat, Ideologi pula bermula dengan lagu perlahan. Potong Stim juga sebenarnya. Nasib juga lagu "Janji" bukanlah jenis tipikal meleweh bunyi keyboard "Saari Amri" atau "Eddie Hamid" sangat. Masih kedengaran bunyi gitarnya.


Secara keseluruhannya terdapat 4 lagu perlahan tetapi lagu track ke 10 "Cinta Tersia" adalah yang paling meleweh. Langsung tak minat. Dah lagu tu lagu Saari Amri la kan. Nak buat macamana. Lain-lain pun banyak mid-tempo. Kena la kot dengan imej rambut pendek smart MAY pada zaman ni.

Pada saya yang menjadi penyelamat hanyalah lagu berentak thrash yang berdurasi 9 minit lebih, "Genocide". Jarang ada lagu melayu yang panjang. Ni pun liriknya lirik mat salleh. Semenjak lagu "Pahlawan Mimpi" dalam album Rahsia (1990) saya sering mengharapkan lagu-lagu sebegitu dalam album-album MAY yang berikutnya. Dan "Genocide" tidaklah menghampakan.


Kalau tak silap ini album kedua terakhir Yantzen bersama MAY. Yang last album "Layar". Tapi itu sekadar lagu-lagu lama MAY dinyanyikan semula oleh Yantzen. Nampak dah hari tu cdnya. Tapi tak beli. Masih mengharap kalau-kalau nanti album Dilema (1988) dan Rahsia (1990) ada dikeluarkan dalam bentuk cd. Piring hitam jangan haraplah...orang yang ada-ada jer mampu beli.








Wednesday, February 4, 2015

MAY - Platinum Album Edisi Khas


Kali ni saya nak kongsi sebuah album rock melayu yang dah pun 20 tahun usianya. Tak pasti senang nak dapat lagi ke tidak. Kalau "rare" mengikut macam entri kat blog Uvianhell696 >SINI< rasanya boleh kot kalau dijual dengan harga RM500...hahaha...kaya...kaya...



MAY - Platinum Album Edisi Khas (1995)

Rasanya ini album kompilasi pertama yang diterbitkan untuk kumpulan MAY. Lagu-lagunya adalah dari 3 album awal mereka (Dilema - 1988, Hakikat - 1989 dan Rahsia - 1990). Yang menariknya pada saya pada ketika (20 tahun yang lalu), ini kali pertama lagu-lagu dari album tersebut dikeluarkan dalam bentuk cd. Sayangnya kecuali Hakikat, 2 album lainnya tidak pernah pula saya jumpa dikeluarkan semula dalam bentuk cd.


Sebenarnya sebelum cd, kompilasi Platinum Album ini telah diterbitkan dahulu dalam bentuk kaset pada tahun 1994. Yang berbezanya versi cd mempunyai tambahan 2 buah lagu. Gambar di cover depan antara kaset dan cd pun tak serupa.

versi cd
Begitu juga dengan gambar yang digunakan di dalam inlay, Cd adalah gambar-gambar semasa album Dilema manakala kaset adalah gambar album Rahsia (kalau tak silap).

versi kaset
Tulisan dalam inlay juga berbeza. Cd tiada catatan cuma lirik tetapi versi kaset mempunyai sedikit info tentang discography kumpulan MAY.

Masih berharap pemegang hakcipta untuk lagu-lagu MAY akan mengeluarkan semula album Hakikat dan Rahsia dalam bentuk cd.

err...agak-agak ada ker yang nak beli harga RM500 ni...hahaha...








Friday, February 21, 2014

Wira Cyborg

Album rock melayu yang menyambut ulangtahun ke 20


MAY - Wira Cyborg (1994)

Secara jujurnya tahun 1994 adalah antara tahun-tahun yang saya tidak mengambil tahu perihal rock melayu. Seingat saya memang tidak pernah mendengar apatah lagu memiliki album ini dulunya. Lagu-lagu dari album ini saya dengar beberapa tahun kemudiannya selepas saya memiliki cd kompilasi MAY Metal.

Namun begitu lagu slow meleweh "Suci" memang agak kerap juga di dengar di radio. Lagu-lagu seperti inilah antara yang menjadi punca mengapa saya tidak lagi mahu mengambil tahu perihal rock melayu pada ketika itu. Sedih bila band segah MAY pun berjaya di"Saari Amri"kan oleh syarikat rakaman.

Pada saya tidak menjadi masalah jika mereka mahu manyanyikan lagu-lagu ciptaan Saari Amri. Tetapi sepatutnya susunan muziknya biarlah tetap berbunyi seperti MAY bukan hampir sama sahaja dengan band-band 90an seperti Spring,Spoon,Scoin dan ntahapahapa lagi yang seangkatan dengannya. Maaf lagu "Suci" memang saya skip.



Oleh kerana ini adalah kali pertama saya mendengar keseluruhan album ini, saya cuba juga mengoogle untuk mencari ulasan dan pandangan orang lain tentangnya. Sayangnya...Ntah kenapa susah betul nak baca ulasan pasal album-album melayu di internet. Kalau album inggeris sekali google berderet boleh baca. Ni yang melayu balik-balik link MP3 sahajalah yang kita akan jumpa. Tak apa la..mungkin orang kita tidak berapa minat menulis.

Ini adalah album ke 2 Yantzen bersama MAY. Saya ingat-ingat lupa bagaimana bunyinya album Ziet Giest (yang ni saya ada kasetnya dulu). Tetapi untuk Wira Cyborg ianya memang berbeza dari zaman Mus. Bukan sahaja bab lagu slow, lagu heavynya pun agak berbeza. Mungkin ada pengaruh Rusty Blade yang cuba di bawa masuk oleh Yantzen tetapi yang pastinya lagu-lagu slow mereka kedengaran seperti lagu-lagu dari album solo Yantzen. Satu lagi yang saya perasan sound gitar Abu juga agak berbeza dari MAY yang dulu.



Paling ketara perbezaannya adalah lagu-lagu berbahasa inggeris. Sebagai orang Singapura sudah tentu Yantzen boleh menulis lirik berbahasa Inggeris dengan baik. Selain "Wira Cyborg", lagu-lagu berbahasa Inggeris seperti "Exorcism" dan "Steel Warrior" memang saya suka. Terdapat unsur-unsur speed metal dan thrash di dalamnya. Vokal Yantzen juga agak sesuai dengan lagu Inggeris. Tetapi ntah kenapa bahagian awal lagu "Exorcism" sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada lagu-lagu Loudness.

Selain "Suci", memang saya tiada komplen untuk album ini. Apatah lagi 7 dari 10 lagunya adalah lagu-lagu berentak rancak. Boleh tahan. Dan saya tertarik juga dengan lagu "Kau Ingat Kau Siapa" lagu ciptaan Arwah Samad yang mempunyai kelainan dari lagu-lagu biasa MAY.



.