Saturday, May 30, 2020

Hiburan WHF - In Your Face


Sambung lagi berhari raya sambil "work from home"....


Kingdom Come - In Your Face (1989)

Pejam celik dah 31 tahun dah album ni. Teringat kali pertama mendengarnya adalah kaset kepunyaan abang yang balik bercuti raya. Tak berapa minat sangat dengan genre blues based rock macam ini tetapi entah kenapa 2 lagu track pembukaannya memang melekat kat kepala.

Biasalah, ada lagu yang kena dengar beberapa kali baru boleh masuk dan ada pula yang sekali dengar pun dah terus hadam. "Do You Like It" dan "Who Do You Love" adalah contoh lagu yang senang hadam.

Mendengar Kingdom Come mengingatkan saya kepada Great White. Kedua-duanya dikatakan klon Led Zeppelin. Tak pelik pun. Muzik blues based rock ni memang senonim dengan Led Zeppelin. Tambah pulak suara vokalisnya, Lenny Wolf memang seakan Robert Plant.

Tetapi sebagai golongan minoriti yang kurang minat dengan Led Zeppelin, saya rasakan muzik Kingdom Come lebih sedap dari Led Zeppelin. Hahaha...Maaflah terlampau bias dengan muzik 80an.






Wednesday, May 27, 2020

Hiburan WFH - Under The Influence

Mood raya pun dah tak berapa nak ada walaupun baru masuk raya ke 4. Memang lain rasanya raya tahun ni. Sambung lagi WFH sehingga 9hb Jun. "Feel" nak dengar lagu raya lebih terasa sebelum raya...dah raya ni layan jer la lagu rock antu....


Overkill - Under The Influence (1988)

Kalau sebut Overkill, lebih minat dan banyak kenangan dengan album The Years Of Decay (1989) dan Horrorscope (1991). Under The Influence ni agak lambat dengar. Malah selepas album I Hear Black (1993) atau mungkin W.F.O (1994) baru berpeluang untuk mendengar keseluruhan albumnya. Agak sukar juga nak dapatkan kasetnya pada ketika itu.

Tetapi ianya ada kenangan lain. Dulu bila membaca majalah Gila-Gila, kartunis Cik Li selalu menyelitkan logo Overkill berserta ayat Under The Influence dalam ruangan kartun-kartunnya. Sebenarnya memang dari situlah tau Overkill dan kemudiannya membeli kaset The Years Of Decay. Dan bak kata orang Ulu Tiram, the rest is history... Overkill menjadi salah satu band thrash kegemaran sehinggalah sekarang.

Dulu cuma ada mp3. Baru berapa bulan lepas dapat beli cdnya di facebook. Nak kata best, sebenarnya album ini hanyalah sederhana. Ada lagi album mereka yang lebih best. Tetapi album ini mengandungi salah satu lagu popular mereka yang sering dipersembahkan semasa live, "Hello From The Gutter".

Kalau minat Overkill memang kena ada album ini sebagai pelengkap koleksi. Kalau setakat pendengar biasa, cuba cari album mereka yang lainnya dulu...




Saturday, May 23, 2020

Hiburan WFH - Puisi Aidilfitri

Terakhir sebelum cuti raya....


Wings - Puisi Aidilfitri (1996)

Seingatnya ada 2,3  keping cd raya dalam simpanan. Tapi memang tak letak kat rak cd. Adalah kot dah bercampur dalam beberapa kotak kasut yang dalamnya ada cd mp3, cdr dubbing dan cd pirate. Tapi bila di cari tak jumpa pula di mana.

Satu-satuya cd raya yang jumpa adalah yang ini. Layan jer la. Tak minat sangat dengan album ni sebenarnya. Dulu masa beli memang teruja. Iyerla.. susah nak jumpa band rock buat lagu raya. Satu album pulak tu. Tapi sayangnya album ni tak rock langsung. Lagu-lagunya tanpa distortion gitar.

Entah lah dulu-dulu memang taboo kot kalau buat lagu raya ada distortion gitar. Tapi Sweet Charity rilek jer buat dengan lagu "Seri  Hari Raya" tahun 1980. Tak kisahlah kalau ianya adalah lagu ciplak.

Apa-apa pun selamat hari raya semua. Tahun ni terpaksa beraya dengan cara baru. Saya masih boleh berhari raya di kampung. Tak perlu rentas negeri. Orang tua dan mertua dalam satu daerah malah rumah orang tua pun dalam satu kawasan parlimen 😁...


Tuesday, May 19, 2020

Hiburan WFH - Strange Highways

Lagi hiburan sambil kerja...


Dio - Strange Highways (1993)

Jujurnya hanya dapat bertahan ke track no 4. Letih nak menghabiskan cd ni... zzzzzzzzzzz

Ingatkan selepas 20++ tahun, semakin berusia, mungkin selera akan sedikit berbeza dan mungkin juga akan boleh terima. Nampaknya saya silap. Muzik sebegini memang selama-lamanya tak akan masuk kepala.

Untuk yang tak pernah dengar Strange Highway, ianya bukanlah seperti Holy Diver atau The Last in Line atau mana-mana album-album Dio era 80an. Strange Highway muziknya lebih perlahan. Meleweh. Tiada yang laju atau up tempo. Ianya lebih gelap, berat, low key dan doomy.

Dekad 90an adalah suatu penyiksaan bagi peminat heavy metal seperti saya. Majoriti band-band kegemaran dari era 80an telah berubah mengikut peredaran zaman. Majoriti mereka menjadi alternative metal, groove dan mungkin juga grunge. Dio juga tidak terkecuali.

Memang tak boleh tahan dengan muzik sebegini. Bosan, boring dan mengantuk. Nampaknya terpaksa cari cd yang lebih laju dan lebih melodic untuk menyegarkan mata dan minda. Simpan semula dalam rak dan tak pasti bila lagi agaknya akan di pasang semula. Mungkin tak akan sampai bila-bila. πŸ˜„

Tetapi bagi yang suka doom Black Sabbath terutama era Dehumanizer. Atau yang suka muzik meleweh alternative metal, groove atau grunge 90an mungkin ianya untuk anda.

*Cd ini disimpan semata-mata kerana ianya adalah hasil kerja Ronne James Dio dan bassist kegemaran, Jeff Pilson (Dokken).



Sunday, May 17, 2020

Hiburan WFH - Wilson Phillips

Lagi hiburan sambil kerja dari rumah..


Wilson Phillips - Wilson Phillips (1990)

Kalau sebut awal 90an antara kenangan dan muzik yang menjadi soundtrack kehidupan selain lagu rock hantu adalah Wilson Phillips. Dulu siap rakam video clips lagu-lagu mereka dari rancangan MTV Asia Chanel 5 TV Singapura. Rasanya masih ada simpan lagi tape video tersebut.

Tak kira la rock hantu ker apa. Tapi bila tengok wajah Chynna memang terus lemah lutut. Antara crush zaman remaja...πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…


Sebenarnya baru jer dapat cd ni. Beli ngam-ngam sebelum PKP. Tersangkut jugak sebulan kerana perkhidmatan pos dari Jerman terhenti pasal mereka pun kena lockdown juga angkara Covid-19 ni. Tapi bila pos di buka balik. Kira cepat juga sampainya. Pos 27hb April. Sampai 14hb May. Tuah Chynna Phillips agaknya...hahaha...

Dulu memang tak pernah ada kasetnya. Pinjam rakan sebilik punya. Banyak betul lagu sedap. Banyak lagu yang hit no 1. "Hold On", "Release Me", "You're in Love", "Impulsive", "The Dream is Still Alive"... iskh...banyak lah. Memang feeling betul bila dengar waktu lewat malam..

Mereka ni dari keluarga pemuzik hebat. Carnie dan Wendy adalah anak kepada Brian Wilson dari The Beach Boys manakala Chynna pula anak kepada John dan Michelle Phillips dari The Mamas & The Papas. Dari mana tumpahnya kuah la kan...

Tapi jujurnya hanya album ni pun yang tau. Lepas tu kembali dengar rock hantu...hahaha...Beli cd ni pun atas pengaruh rakan-rakan se"whatsapp". Bercerita perihal kenangan tahun 90an. Sedar tak sedar tak ter"klik" buy di ebay....😁😁😁




Thursday, May 14, 2020

Hiburan WFH - The Law Of Devil's Land

Dapat arahan untuk terus 'work from home' sehingga 9hb Jun. Mereput terus la duduk kat rumah lagi sebulan. Yang tak bestnya WFH ni selain line internet yang macam siput adalah tiadanya kawan untuk membawang πŸ˜€

Apa-apapun sambung lagi hiburan sambil kerja...


Loudness - The Law Of Devil's Land (1983)

Lambat dengar album ni. Loudness saya bermula dengan Thunder In The East. Kemudiannya baru album-album yang kebelakang. Malah lebih tahu Gadis Kota - Scandals (Juara Juara Rock 3) dulu dari In The Mirror. Kali pertama dengar In The Mirror rasa macam pernah dengar pula lagu tu πŸ˜…

Banyak lagu sedap. Tak kisah lah walaupun tak paham apa yang dia cakap. Yang penting melodinya memang mudah menangkap. Ini adalah zaman Loudness sebelum mereka pergi ke arena antarabangsa.

Cd ini terbitan Pony Canyon tahun 1993. Yang tak bestnya ianya tidak menggunakan cover yang asal.  Dulu pernah beli versi kaset tapi tak pasti pulak dah hilang entah kemana. Kalau tak silap versi Pony Canyon ni adalah untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Tak apalah. Janji ada. Tapi nampak gayanya memang kena juga cari cd yang menggunakan cover yang asal...😁




Monday, May 11, 2020

Hiburan WFH - Black Tiger

Tak pasti selepas 12hb dah kena masuk opis atau masih work from home... Apa-apa pun layan..


Y&T - Black Tiger (1982)

Ini mengimbau zaman awal remaja sekitar tahun 1984 atau 1985. Dulunya sekadar tahu nama selepas terbaca artikel berkenaan mereka dalam majalah hiburan berbahasa Inggeris Weekend. Young and Talented from Yesterday and Today begitulah kot tajuk artikelnya. Dah tak ingat sangat.

Tapi tak ambik tau sehinggalah sekitar tahun 1987 bila lagu mereka Forever ada dalam kaset kompilasi Kerrang yang di beli. Ketika Itu baru tahu best juga rupanya band ini.

Mereka agak underated. Dave Meniketti mengingatkan saya kepada Tom Keifer. Kedua-duanya memang berbakat. Boleh menyanyi sambil menyolo gitar dengan baik.

Banyak lagu sedap. From the Moon dan Open Fire memang kena dengar sambung menyambung baru feel. Don't wanna lose pun sedap. Forever pula antara lagu yang mempunyai intro berhantu. Tak lupa juga Winds of Change. Kat sini kot intro Misteri Mimpi Syakila terhasil...








Saturday, May 9, 2020

Hiburan WFH - Melissa

Lagi hiburan work from home...


Mercyful Fate - Melissa (1983)

Mendengar semula album ini semata-mata kerana terbaca yang ianya akan di keluarkan semula dalam bentuk piring hitam (reissue) pada 22hb Mei ini. Khabarnya akan hanya dicetak sebanyak 700 keping.

Aduhai... Dugaan berpuasa masih boleh bertahan. Tetapi Dugaan yang ini memang.......hmmmm....


Thursday, May 7, 2020

Hiburan WFH - The Wild Life

Lagi hiburan berkerja dari rumah...


Slaughter - The Wild Life (1992)

Yang ini akan sentiasa mengingatkan kenangan pada penghujung tahun 1992 atau awal 1993. Zaman baru abis belajar di IPTA dan tak pasti apa langkah seterusnya. Lepak-lepak kat rumah menganggur sambil cuba-cuba cari kerja dan sebelah malamnya bersedia dengan tape video kosong untuk merakam lagu-lagu menarik yang ke udara dalam rancangan MTV Asia di TV5 Singapura.

Salah satu lagu yang di rakam adalah Real Love. Lagu yang menampilkan Shannen Doherty sebagai modelnya. Masa tu beliau tengah top dengan cerita Beverly Hills, 90210. Tak minat pun ceritanya. Cuma minat wajah Shannen Doherty sahaja. Kah kah kah...

Asyik lah ulang-ulang video clipnya. Tapi masa tu kasetnya pun tak ada lagi. Maklumlah zaman menggangur tak kan lah nak minta duit mak pulak nak beli kaset. Mampus kena belangkung nanti...


The Wild Life ni banyak lagu sedap. Selain "Real Love", suka juga "Days Gone By", "The Wild Life", "Streets of Broken Hearts".... Yang menariknya mereka masih mengekalkan muzik glam metal yang jenis straight forward heavy rock and roll dan tidak menjadi blues based rock seperti sesetengah band glam metal yang lain pada ketika Itu (Poison dan Cindirella contohnya).

Tetapi seperti band-band yang sezaman dengan mereka, muzik yang bersangkut paut dengan glam metal 80an tidak lagi di anggap "cool" pada ketika itu. Di tambah dengan masalah dalaman mereka, Slaughter tidak lagi diendahkan dan akhirnya dilupakan di arena mainstream....



Tuesday, May 5, 2020

Hiburan WFH - Mechanix

Lagi yang dah lama tak dengar tapi berpeluang mendengar kembali bila terpaksa WFH dalam PKP...


UFO - Mechanix (1982)

Tak pernah ada kaset dan tak tahu pun pasalnya ketika tahun ianya dikeluarkan. Zaman tu masih sekolah rendah dan baru nak belajar dengar muzik. Pernah dengar nama UFO tetapi yang tahu hanyalah pasal Michael Schenker. Zaman dah kenal rock pun hanya ambil tahu tentang UFO zaman beliau.

Yang betul-betul mula dengar keseluruhan discography UFO adalah pada penghujung 90an. Zaman beli cd MP3. Masa tu baru tahu yang UFO bukanlah hanya pasal Michael Schenker semata-mata. Album-album di zaman Paul Chapman pun bagus juga. Dia pun seorang gitaris yang bagus. Tetapi tanggungjawap menggantikan Michael Schenker bukanlah sesuatu yang mudah. Peminat pun susah nak terima, Ini adalah album ketiga beliau bersama UFO dan juga salah satu dari album zaman beliau yang terbaik. Memang majoriti lagu-lagunya sedap. Melodic.


Tetapi ini juga adalah album yang menjadi punca Pete Way keluar dari UFO dan menubuhkan Fastway bersama gitaris Motorhead, Eddie Clarke. Puncanya adalah kerana ada di antara lagu-lagunya menggunakan saxophone. Saya amat bersetuju dengan Pete Way. Tak rock lah guna saxophone. Bagi Pete Way, saxophone adalah untuk muzik pop. Dan dia tak minat muzik pop.

Tapi sebenarnya layan juga dengar lagu yang menggunakan saxophone tu. Terutamanya lagu The Writer dan lagu cover  Eddie Cochran. Somethin' Else. Tapi itulah, ianya bukan UFO yang kita kenal dari zaman Michael Schenker. Album ini juga sudah menampakkan perubahan UFO dari 70s rock kepada hard rock dan AOR 80an.



Sunday, May 3, 2020

Hiburan WFH - Beyond The Unknown

Sambung lagi Work From Home sehingga 12hb....


Incubus - Beyond The Unknown (1990)

Awal 90an adalah tahun yang saya sedang kemaruk dengan Sepultura. Beneath The Remains dan Arise sentiasa menjadi penanda aras kepada muzik thrash lain yang saya dengar.

Pertama kali dengar Beyond The Unknown terus rasa tertarik. Muzik dan vokalnya tak jauh dari Sepultura. Asal pun dari Brazil. Kiranya mereka lulus. Tapi tak pernah ada kasetnya. Semuanya hanya pinjaman. Banyak sangat yang nak di dengar dan nak di beli. Memang tak termampu.

Kemudiannya tak mengikuti sangat perkembangan band adik beradik Howard ni. Sehingga lah pada penghujung 90an. Tiba - tiba muncul kembali nama Incubus. Tapi agak pelik kenapa genre muziknya berlainan. Mana hilangnya thrash mereka. Rupa-rupanya Incubus tersebut adalah band yang berlainan. Padanlah alternatif rock jadinya.

Tak pasti kenapa mereka tidak mempertahankan nama Incubus. Mungkin kerana mereka hanyalah sebuah band metal underground di bawah label kecil. Tak ada kuasa nak lawan. Atau mungkin sahaja mereka yang jenis tak kisah. Tak ambik port pun. Akhirnya terpaksa tukar nama kepada Opprobrium. Tak sedap betul nama baru ni. Nak sebut pun susah...

Tapi untuk semua mat metal, memang inilah Incubus yang sebenar.



Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk πŸ˜‚ dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE πŸ˜…). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Tuesday, April 28, 2020

Hiburan WFH - Surf Nicaragua

Lagi seisi mendengar muzik sambil berkerja dari rumah...


Sacred Reich - Surf Nicaragua EP (1988)

Lama dah cari EP ni. Sejak-sejak kali pertama tahu mengenai kewujudannya pada tahun 1990. Selalu baca ulasan yang bagus-bagus di majalah dan fanzine tetapi tak berjaya nak dengar. Faham-faham sahajalah zaman sebelum wujudnya internet. Semuanya kena cari secara fizikal. Kalau rakan-rakan pun tak ada memang tak adalah jawapnya. Bukannya ada dijual di kedai.

Ini adalah antara yang terawal di cari sejak bermulanya zaman internet dan MP3 pada penghujung 90an dalu. Tetapi secara fizikalnya baru sahaja dapat di miliki pada penghujung tahun lepas. Akhirnya selepas 30 tahun pencarian.

Ini memang klasik American thrash. Memang makanan. Tak ada apa yang tak suka berkenaannya. Lagu yang menjadi tajuk EP ini pun dah buat rasa berbaloi untuk membeli cdnya. Mungkin cover War Pigs - Black Sabbath versi mereka bukanlah yang terbaik, tetapi lagu-lagu lainnya memang buat hangguk kepala.

Sila cuba...itupun kalau anda sukakan American Thrash!...

Sunday, April 26, 2020

Hiburan WFH - Kerajaan Cinta

Lagi hiburan WFH...


Dewa 19 - Kerajaan Cinta (2007)

Dulu (pertengahan tahun-tahun 2000an) ada rakan satu pejabat yang minat gila dengan Dewa. Setiap kali ada peluang pasti dia akan pasang lagu-lagu Dewa terutamanya album Laskar Cinta di pejabat. Dah selalu sangat dengar lama-lama rasa menarik juga.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Larut". Satu hari tu di kedai cd ternampak cd ini. Tak pasti ini album apa sebenarnya. Album baru atau kompilasi. Tak mengikuti sangat Dewa ni. Tapi disebabkan adanya lagu "Larut" dan lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta rasa menarik juga. Tambah pula harganya sekadar RM24.90. Terus beli!

Rupa-rupanya ini bolehlah dikatakan juga sebagai album kompilasi. Yang menariknya ada 2 lagu baru dan beberapa lagu lama yang di rakamkan semula. Dapat pula pendant logo Dewa secara percuma. Kira berbaloi la walaupun sebenarnya hanya ulang-ulang dengar lagu "Larut" dan kadang-kadang sahaja lagu-lagu lain dari album Laskar Cinta.



Thursday, April 23, 2020

Hiburan WFH - Hey Stoopid

Lagi mengimbau kenangan silam dalam mengharungi Work From Home ketika PKP...


Alice Cooper - Hey Stoopid (1991)

Lama betul tak pasang cd ni. Rasanya inilah album Alice Cooper yang paling digemari. Mungkin lebih kepada nilai nostalgianya.

Tak pernah ada pun kasetnya. Ketika itu (tahun 1991) tengah kemaruk dengan thrash. Keutamaan membeli adalah kepada muzik yang sebegitu.

Ianya mengembalikan nostalgia ketika zaman bergelar siswa. Pinjam kaset kawan bilik sebelah. Bila telinga dah letih dengan lagu-lagu metal hantu akar kayu, lagu - lagu perlahan dalam album ini lah yang dapat mendamaikan hati.

Entah kenapa suka betul dengan lagu "Might As Well Be On Mars". Entah berapa puluh kali lagu ni berputar dalam walkman. Pasang, rewind, pasang, rewind, pasang, rewind pula guna pen kilometrico... Tandanya bateri walkman dah nak habis la tu... Haha... (yang merasa zaman tu paham la πŸ˜…)...


SELAMAT BERPUASA SEMUA



Tuesday, April 21, 2020

Hiburan WFH - Wildhoney

Lagi mengembur cd ketika terpaksa Work From Home kerana arahan PKP...


Tiamat - Wildhoney (1994)

Ada yang kata ini adalah gothic metal. Ada kata doom metal. Entah lah, banyak sangat sub genre zaman sekarang ni. Dulu-dulu semua panggil Rock atau metal ajer 😁.

Kalau ikut telinga yang tak terlatih ni, Wildhoney muziknya adalah Pink Floyd yang bermain metal. Ada progressive, ada doom, ada psychedelic. Muzik yang di awang-awangan. Boleh buat mengantuk pun iyer juga. Terutamanya untuk mereka yang seperti saya.

Sssllllllooooooowwwwwwzzzzzzzzz..... Entah lah, banyak kali dah cuba. Mungkin saya adalah antara golongan minoriti yang susah nak hadam Pink Floyd, doom dan lain-lain yang meleweh termasuk grunge.

Tetapi tidak dinafikan sususan muzik dan sound produksi album ni sedap. Bahagian-bahagian melodic dalam lagu-lagu seperti "Whatever That Hurts" dan "The Ar" memang melekat. Tapi... Itu lah...jenuh nak mengabiskan...Tetapi, jika anda pengemar Pink Floyd, mungkin anda patut cuba....



Saturday, April 18, 2020

Hiburan WFH - Slow Rock Vol. 6

Sempana PKP dan berkerja dari rumah (WFH) ni banyaklah mengembur dan mendengar semula cd-cd yang dah berpuluh tahun tak dengar... Ini adalah salah satu dari nya.


Slow Rock Vol. 6 (1994)

Antara kompilasi lagu-lagu slow rock orang puteh yang agak popular juga di awal-awal tahun 90an. Sempat juga beli  2 siri kompilasi ini dalam bentuk kaset. Tak pasti sampai volume berapa sebenarnya yang ada.

Kalau dalam bentuk cd inilah satu-satunya yang ada. Beli pun bukan pada tahun ianya dikeluarkan. Kalau tak silap dalam tahun 2010...2011... Beli di kedai kaset Music Valley Plaza Kotaraya JB sebelum kedai tersebut tutup dan Plaza Kotaraya diubahsuai menjadi Galleria@Kotaraya seperti sekarang.

Kalau perhatikan gambar (bukan yang belah kiri 😁) boleh nampak harganya cuma RM6.90. Murah betul. Kerana ianya dah diletakan dalam bahagian jualan longgok. Kalau sekarang jualan longgok pun tak akan dapat harga macam ni.

Versi kaset yang masih dalam simpanan 

Banyak lagu sedap. Selain murah, pembelian cd ini adalah kerana nak kan lagu yang tak pernah ada cdnya seperti "I love You - Saigon Kick" dan "Soul To Squeeze - Red Hot Chili Peppers".

Tapi bila dengar semula sekarang baru perasan sedap pula lagu "Big Log - Robert Plant". Mungkin faktor usia... Atau mungkin juga dulu tak pernah dengar secara betul pun pasal sentiasa skip bila sampai ke track 9 cd ini...



Wednesday, April 15, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan 3




Kalau ikutkan hari ni dah mula kembali berkerja di pejabat. Tetapi oleh kerana PKP dilanjutkan untuk fasa ketiga. Sambung lagi "work from home" lah nampaknya.

Ada 3 perkara yang rasanya kurang gemar bila bekerja dari rumah. Dia punya "workload" sama sahaja. Tetapi (1) panas (2) Line wifi yang macam siput (3) tak ada kawan nak membawang 😁


Tapi dari segi boleh bantai muzik dengan "full blast" dan tak berhenti-henti makan, macam rasa seronok pula WFH ni. Duit minyak kereta pun jimat. Isi penuh 2 minggu lepas pun langsung tak luak. (Minyak murah pun tiada gunanya 😁)...

Ni kalau bersambung ke fasa 4... memang lupa dah jalan pergi ke opis...hahaha...


Saturday, April 11, 2020

Sudah Sampai Sini - Stadium Sultan Ibrahim, JDT

Bagi peminat bolasepak tempoh menghadapi wabak Covid 19 ini memang sangat menghampakan. Tiada lagi perlawanan bolasepak baik di tv mahupun di stadium. Hujung minggu yang agak membosankan.


Khas untuk kawan-kawan peminat bola, kongsi sikit gambar-gambar ketika menghadiri perlawanan terakhir JDT di stadium baru yang ada penonton sebelum semua perlawanan di tangguhkan.


Inilah adalah ketika perlawanan JDT menentang UITM FC pada 7hb Mac yang lalu. Lama juga tak menonton secara langsung di stadium. Lama dah tak jejak Larkin. Ini pula kali pertama menjejakkan kaki ke stadium baru.


Memang saja pilih perlawanan ni. Kurang sikit orang berbanding masa hari pembukaan dan perlawanan Piala Sumbangsih. Selesa la sikit kan. Pergi pun guna google map. Tak biasa sangat kawasan Nusajaya ni. Terasa jauh. Dulu masa kat Larkin tak sampai 15 minit pun dah sampai.


Bertolak awal. Pukul 6 dah sampai. Kawasan parking pun masih kosong. Inilah untungnya pergi masa perlawanan yang bukan menjadi tumpuan. Tak macam kat Larkin kena pandai-pandai sendiri cari tempat parking. (tapi untuk yang dah biasa tahulah kat mana yang parking senang). Kat sini memang parking dalam kawasan stadium.

Cuma lecehnya masa nak balik. Jam masa nak keluar. Lebih setengah jam kot sangkut. Bayangkan kalau perlawanan tumpuan. Lagi teruk kot. Cuma ada 2 jalan keluar. Paham sahajalah jika ada beratus kereta yang nak keluar serentak. Patut kena ada banyak pilihan jalan keluar. Lebih mudah masa di Larkin. Walaupun sesak juga, tapi kita ada banyak pilihan jalan untuk keluar.

Tapi yang tak boleh dinafikan memang cantik stadiumnya. Nampak gah. Memang kagum lah walaupun baru tengok dari luar.


Kawasan depan kat air pancut tu adalah siap karnival live band bagai. Ada juga food truck jual makanan. Sempat juga la merasa makan kat situ.


Dalam stadium memang kagum. Terasa macam tengok bola kat luar negara. Lampu-lampu dia memang lawa. Kerusi pun bernombor. Tiadalah kes yang nak chop tempat duduk ataupun terpaksa duduk kat tangga. Datang lambat pun tiada hal. Memang kerusi kita dah ada.

Kerusi pun selesa. Setuju dengan pihak pengurusan tak bagi bawa masuk makanan walaupun sebotol air ke kawasan tempat duduk. Barulah bersih dan bebas dari sampah kulit kuaci. Nak minum boleh jer keluar dari kawasan tempat duduk untuk beli. Tak perlu keluar stadium pun. Dekat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Atau pun beli siap-siap sebelum masuk, tinggalkan kat kawasan tu. Itupun kalau tak ada orang cilok lah nanti..huhu...


Nak sembahyang pun senang. Tak perlulah macam Larkin siap ada yang kena keluar dari Stadium. Kat luar kawasan tempat duduk ajer pun. Dekat. Cuma sesaklah. Tak sesuai kawasan ambik air sembahyang terlalu hampir di pintu masuk. Jadi jam kat situ mana yang nak keluar dengan mana yang nak beratur ambik air sembahyang. (lupa pula nak ambik gambar surau)

Satu lagi yang best, stadium ini dibuat khas untuk bolasepak. Macam stadium bola di luar negara. Pemandangan jadi dekat. Tak ada la track lumba lari tu semua. Memang lebih rapat dengan padang. Macam kat Pasir Gudang juga la.  Tapi yang itu lagi dekat. Nak maki reff/pemain memang jelas la dorang boleh dengar...hahaha...


Last..."Belantara" di stadium. Masih tak boleh move on dengan showcase Belantara 200220....tak sabar nak tunggu dvdnya...




Saturday, April 4, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan 2

Semenjak PKP dilanjutkan lagi 14 hari, saya telah di arahkan untuk mula berkerja dari rumah sejak 2hb April yang lalu.


Hasilnya terpaksalah Man Cave di ubahsuai menjadi Mini Office. Dulu ada meja komputer, tapi dah buang. Terpaksalah guna meja hiasan orang rumah sebagai Workstation... Haha...

Hiburan random hari pertama
Walaupun Work From Home, sibuk nya sama sahaja. Tetap kena berkerja ikut waktu pejabat macam biasa. Maklumlah awal bulan sibuk dengan closing account dan bermacam-macam date line yang perlu dipatuhi. Tak ada lah masa nak rilek rilek main FB atau pun tengok drama Korea kat TV 😁

Hiburan random hari kedua 
Yang bezanya tak perlu lah keluar rumah awal pagi. Pukul 8. 15 pun masih boleh rilek sarapan pagi. Dari segi pakaian pun tak ada lah beza sangat. Kat opis pun sekarang memang pakai tshirt kolar dan jeans. Cumanya bila dah kat rumah ni lagi selesa berkain gombang dari pagi πŸ˜‚


Selain dari boleh berdentum dengan muzik, yang tak tahan godaannya bila WFH ni adalah makanan. Aduhai... Kejap kejap orang rumah ajak makan. Memang sedikit terganggu konsentrasi 😜


Ada yang cakap susah nak WFH ni. Tetapi sebenarnya ikut disiplin diri. Kalau nak mengulor tu kat opis pun boleh. Kalau ada rasa tanggungjawap, kat mana mana pun tak ada masalah. Betul tak..?



*selepas 2 hari rasa seronok pulak... Terimakasih untuk cik isteri dan anak-anak yang sentiasa memastikan perut encik suami dan ayahnya sentiasa terisi 😊

**Semoga kita kita semua dilindungi dari wabak Covid-19 ini...







Wednesday, April 1, 2020

Heavy Metal Drunkard



Ironskull - Heavy Metal Drunkard (2018)

Semanjak terbaca pasalnya dalam blog D'arsil >SINI< 2 tahun yang lalu, memang rasa nak cari cdnya. Tetapi biasalah, sebagai manusia biasa, selain makanan dan barang keperluan hidup, benda-benda duniawi yang lainnya ni kalau tak ada di depan mata, memang tak la beriya-iya sangat nak cari.

Bila dah terjumpa depan mata, harga pun munasabah (RM25), terus sambar. Konsep mereka adalah straight forward heavy metal dengan perisa 80an yang tebal. Solo solo gitar yang bergulung. Melodi yang mudah menangkap. Lirik pun pasal heavy metal. Ada juga penampilan istimewa Gezol dari band legenda Jepun, Sabbat dan Metalucifer. Ini sememangnya makanan kegemaran untuk halwa telinga.


Tak banyak band Malaysia yang berkonsep begini. Atau mungkin juga saya yang tak tahu. Yang ada cdnya dalam simpanan cuma Ironbird dan Aircraft. Tetapi muzik sebegini sebenarnya menjadi satu trend juga di luar negara sehingga ujudnya istilah New Wave of Traditional Heavy Metal (NWOTHM).

Untuk peminat heavy metal sejati, ini sememangnya Rekomended!


Saturday, March 28, 2020

US Power Metal

Sempana MCO yang bersambung lagi 14 hari ni biasalah aktiviti kembur...susun...kembur...susun cd untuk memenuhi masa lapang...Terjumpa pula artikel tentang US Power Metal ni... katanya untuk belajar tentang apa itu muzik US Power metal, sebagai permulaannya kena dengar 5 album ni.


Hmmmm....Hasil mengembur koleksi cd dalam simpanan, ada 4 dari 5 yang di cadangkan...ok lah tu,,,kira lulus dah ni... 😁


Sebenarnya genre sebegini sememangnya muzik kegemaran. Makanya tak pelik lah kalau memang ada cd-cdnya dalam simpanan. Memang sedap pun...

Hmmmm....Tak pasal-pasal pulak nak kena cari cd Helstar - Nosferatu pulak... 😁




Wednesday, March 25, 2020

Rise



Tom Keifer Band - Rise (2019)

Saya adalah peminat Tom Keifer. Dia adalah pemuzik yang lengkap. Menyanyi, mencipta lagu, menulis lirik, menerbit, bermain gitar dan boleh juga menyolo dengan baik. (Solo beliau dalam lagu Nobody's fool memang syahdu)

Sayangnya masalah 2 kali kehilangan suara menyebabkan karier beliau bersama Cinderella terbantut. Beliau adalah Cinderella. Tanpa beliau Cinderella pun berkubur.


Kini selepas beberapa siri pembedahan yang berjaya, beliau kembali. Ini adalah album solo beliau yang ketiga selepas kali pertama membuat kemunculan semula pada tahun 2013. Dah nama pun album solo, sudah semestinya agak berbeza dengan Cinderella.

Tetapi yang pastinya suara beliau dah pulih. Dah macam dulu-dulu. Boleh tonton di youtube. Harapnya selepas ini beliau tergerak hati untuk menghidupkan kembali Cinderella. Bukannya album solo ini tak bagus. Tetapi mungkin bila bersama Cinderalla beliau akan lebih hard rock dan rock n roll berbanding lagu-lagu yang agak bluesy dalam album-album solo beliau.


Saturday, March 21, 2020

The Age of Entitlement

Bosan-bosan sempana MCO...


Acid Reign - The Age of Entitlement (2019)

Sebuah lagi album "comeback". Kali terakhir Acid Reign muncul dengan album penuh adalah pada tahun 1990. Mereka adalah generasi awal thrash metal dari UK sezaman dengan Xentrix, Onslaught, Sabbat, Re-Animator, Sacrilege, Slammer dan lain-lain. Mereka bagus tetapi agak sukar untuk menandingi Bay Area Thrash mahupun Teutonic Thrash yang lebih awal dan lebih di kenali.

Anggota asal yang tinggal hanyalah Howard "H" Smith (vokal). Sebab itulah beliau lebih gemar menggunakan perkataan "reboot" untuk kemunculan semula ini. Walaupun ahli baru, tetap muzik mereka tetap kedengarn seperti Acid Reign yang lama. Pengaruh Anthrax masih jelas kedengaran.


Sesuatu yang tidak di duga adalah penampilan istimewa Suzzane Vega (walaupun sedikit di awal lagu). Lagu asal Blood Makes Noise dari Suzzane Vega ini berjaya di"Acid Reign"kan menjadi sebuah lagu punky thrash yang menarik. Ianya mengingatkan saya ke era Persistence Of Time - Anthrax. Dah cakap kan. Pengaruh Anthrax dari dulu lagi memang ada pada mereka.

Kalau tolak "sentimental value" yang ada pada album-album lama mereka, The Age of Entitlement mungkin adalah album pilihan saya dari mereka. Penulisan lagu, kualiti produksi, kemahiran pemuziknya adalah di tahap terbaik. Tak dapat dinafikan. Ini adalah antara album British Thrash yang terbaik untuk era ini.

Tak jemu dengar...




Wednesday, March 18, 2020

Perintah Berkurung

Untung lah kepada yang dapat cuti atau berkerja dari rumah sepanjang 2 minggu tempoh kawalan pergerakan ni. Bagi yang terpaksa berkerja demi kelangsungan ekonomi dan keselamatan negara, kita adalah serupa 😒


Dah siap-siap dah kononnya nak buat aktiviti menyusun cd mengikut abjad kalau-kalau dapat cuti...hahaha...Tapi apa kan daya... tanggungjawap demi mencari sesuap nasi harus diteruskan....

Untuk yang dapat duduk rumah tu...tak payah lah keluar. Duduk sahaja lah kat rumah. Janganlah menyusahkan dan membahayakan kami yang kena keluar berkerja ni. Astro pun dah bagi saluran movie purcuma. Layan sahajalah drama korea tu sampai termuntah...hahaha...


Hari pertama kawalan pergerakan. Jalan yang biasanya antara palik sesak di Johor Bahru sampaikan nak melintas pun payah. Petang ni jadi lengang... macam cerita zombie la pulak....


Seronok betul memandu balik kerja hari ni. Bukan senang nak jumpa Jalan Tebrau langsung tak jem. Kalaulah hari-hari biasa pun keadaannya macam ni...


Sambil - sambil tu jom layan lagu Perintah Berkurung dari Belantara. Lagu yang masih relevan walaupun dah 30++ tahun usianya... Hmmmm... masih tak boleh move on dari penangan 20022020...



Thursday, March 12, 2020

Belantara live @ DPAC - 20022020

Lama dah terperap. Kekekangan masa dan idea... Kalau Covid-19 kena kuarantin 2 minggu...Yang ini dah masuk 3 minggu dah...haha...

Ok la... jom mula merepek sambil layan gambar yang tak seberapa...(buat entri pasal band lain tak kisah sangat...mereka bukannya baca... tapi kalau Belantara ni...hmmmm...pressure dan segan pula jadinya πŸ˜ƒ..)


Kalau tak kerana penantian 33 tahun, tak larat dah rasanya nak memandu balik hari JB -KL semata-mata kerana nak pergi tengok konsert. Bukannya makin muda. Tapi, Belantara punya pasal...sampai rumah pukul 4 pagi pun tak ada hal...😁

Tidak seperti Megadeth atau pun Helloween, perjalanan kali ini dengan co-driver yang baru. Sahabat yang biasa jadi peneman tak dapat pergi. Kali ini ditemani oleh Dr Rizal. Antara collector cd tersohor. Peminat Aceh Search pun mesti kenal dia kan? (kah kah kah). Tapi seriously, peminat seni muzik Malaysia patut berterimakasih kepada beliau. Dia adalah individu yang paling aktif dalam mengemaskini info album-album tempatan dalam Discogs. Terimakasih Doc.


Bertolak dalam pukul 11 pagi dari JB. Singgah Sham Alam untuk temu janji makan tengahari dengan orang kuat Jo Wings, Zan Bassist. (Terimakasih untuk makan tengahari). Selepas 2,3 kali juga tersalah dan terlajak simpang walaupun menggunakan Waze dan Google Map, akhirnya sampai juga di tempat kejadian (DPAC Empire Damansara) sekitar 5 petang. Nak elak jem tapi awal sangat sampai. Masih tak ramai. Sempat la jumpa Amir dan Sofi sambil tengok merchadise yang di jual.


3 helai tshirt dari hari tersebut. Sebenarnya yang gambar logo tu dah dapat awal dari Abang Shuk. Yang cover merah tu ambil di tempat kejadian. (Masa ni tak kenal lagi yang mana satu Tuan Badlishah). Dan yang tulisan Belantara tu dapat secara percuma 😊 ..Ada lagi satu design gambar band member...yang itu tak beli.


Selain 3 design t-shirt dan topi, ada juga jual tag, lanyard, poster dan buku lirik untuk dijadikan kenangan. Disebabkan masih awal, kami meninggalkan lokasi kejadian untuk seisi mengeteh.

Terimakasih sahabat baru, Azizi untuk teman minum petang. Selalu komen dalam blog, baru kali ni berpeluang untuk bertentang mata. Handsome rupa orangnya. Dan juga untuk Laili Basir, berkenalan di meja makan hingga membawa ke bilik hotel...haha...(terimakasih bagi kami bertiga tumpang solat dan kongsi pengalaman menarik)


Datang semula ke tempat kejadian dalam pukul 8.30. Dah ramai dah. Yang menariknya tentang showcase ini, selain nak tengok hero-hero Belantara beraksi, dapat juga berjumpa dengan kawan-kawan lama. Dah macam reunion pun yer juga. 20++ tahun dah tak jumpa Nizam Belantan. 9 tahun dah selepas Iron Maiden Singapore dapat jumpa balik Hafiz (rakan dari zaman Forum Metal Terus). Jumpa juga d'Atok Akeem (orang kuat untuk cd/lp reissue) Ada juga muka-muka yang biasa tengok kat FB dan group Whatsapps.  Tapi malu lah nak tegur. Jumpa juga Uneh. Yang ini kena tegur. Siap bergambar lagi. Ketua Perusuh la kan...hahaha...


Ok cukup cerita jejak kasih. Kita nak cerita pasal Belantara. DPAC ni memang tak besar. 200 tempat duduk. Just nice untuk showcase berskala kecil. Memang rapat dengan stage. Tambah pula bila dapat seat paling depan. (Terimakasih YB Amir, minta seat belah JP, betul-betul depan JP dia bagi...ternganga tengok JP menyolo depan mata...best!).


Tiket malam pertama ni sold out. Maknanya kesemua 200 tempat duduk penuh. Kalau perhati keliling memang boleh dikatakan hampir 90 peratus adalah mereka yang nampak macam tua di luar tetapi sebenarnya masih tetap muda di dalam...hahaha... Alaa...berapa kerat la yang umurnya bawah 40an tahu atau pernah dengar lagu Belantara?... Tapi iyer juga... mungkin anak kita tahu...anak-anak saya memang tahu...tapi mereka lebih tahu Kpop dari Belantara...sedih 😞


Maaf, Tak banyak gambar. Tak ambil video juga. Malam ni niatnya memang nak simpan handphone. Belantara bukan datang tiap-tiap tahun. Datang memang semata-mata nak menikmati persembahan. Tak kisah la kalau ada yang terkucil dan tak sampai. Apa ada hal. Malam ini adalah malam meraikan kemunculan semula Belantara. Kembalinya mereka ke atas pentas selepas 30 tahun itu pun dah cukup bagus...cukup mengujakan...


Kalau tengok setlist memang tak puas la. Mana cukup 13 !!!!! Kami mahu 30!!!!... Mana lagu "Daya Tarikan"??? mana "Menari Di Dalam Hujan"? mana "Nostalgy"? mana "Pelangi dan Nafiri"?, mana "Destinasi Infiniti"? mana... mana...ikut hati memang nak taip semua lagu...😁😁😁

Tapi jujurnya kami faham. Belantara bukan pemuzik sepenuh masa dan bukan juga semakin muda 😁 6 lagu dari album Merah, 4 dari Kuning dan 3 dari Biru memang lebih dari boleh dah...alaa...dapat tengok dorang bertiga berdiri atas stage bersama-sama pun dah cukup mengujakan dah...

*sedikit penambahan dari setlist, lagu "Dewi" dimainkan sekali lagi selepas encore utuk lagu terakhir. Tapi malam kedua tak pasti pula adakah "Dewi" juga dimainkan 2 kali...


Bila dengar intro lagu Belantara berkumandang, memang rasa macam mimpi. Teringat 33 tahun dulu bagaimana kali pertama mendengarnya. Kini boleh pula tengok depan mata. Siapa sangka kan?... Dari seorang remaja berumur16 tahun hingga dah nak boleh keluar akaun 2 KWSP tahun depan ... akhirnya dapat juga tengok mereka beraksi di depan mata...😁


Tak kisah pun jika ada kekurangan. Kami menyanyi bersama-sama. Ini bukan pertandingan Juara Lagu yang mencari kesempurnaa. Ini adalah malam rock and roll. Tak kisah apa pun jawatan...apa pun latar belakang...malam ini majoriti daripada kami bersatu hati berseragam hitam untuk meraikan memori silam. Lagu-lagu yang menjadi soundtrack kehidupan kami dari zaman remaja. Terimakasih Belantara kerana 20022020 benar-benar menjadikan kami remaja semula. Tak kisah lah walaupun ianya hanya untuk satu malam.


Tiada apa yang nak di komplen sangat. Sound sistem pun sedap. Tak bingit walaupun duduk tepi.(Khabarnya di bawah kendalian Mus Satira). Tempat yang tak berapa besar dan suasana indoor memang banyak membantu. Mengingatkan saya kepada konsert Helloween. Paling best dapat dengar jelas solo-solo JP. Memang puas hati.

Stage simple tapi cantik. Back drop logo tu memang lawa. Lampu warna warni pun cantik. Kecuali ketika tragidi solo tak nampak pasal gelap pakai spek hitam (kah kah kah...Ampun Atok...err...Abang JP 😁😁😁)...


Tapi memang nampak Zaid sedikit nervous. Biasalah bukan selalu berdiri atas stage. Nasib tag line "Do you want to say something Shuk?" menjadi penyelamat....hahaha... Tapi jujurnya, Belantara masih hebat. Tak sangka vokal pun masih power. Tapi siapa sangka JP yang dah bertahun tak bermain gitar secara serius, masih dapat menghasilkan sound, rif dan solo-solo yang sebiji macam dalam album. Bayangkan lah kalau beliau berlatih hari-hari.... perghhhhhh....


Tak ada nak komplen pun pasal persembahan. Kalau ada komplen pun cuma pasal MC yang rasanya tak kena tema. Bukan salah ko dik...cumanya maybe wrong place at the wrong time.. Satu lagi bab security. Apa yang korang nak beriya-iya sangat. Ia sepatutnya sebuah showcase dan meet and greet yang santai. Semua dah tua-tua dik... kalau nak merusuh pun kang ada yang nanti kena gout 😁😁😁

Undilah saya sebagai YB!
Nasib tak pergi malam kedua... tak tergamak nak dengar YB Amir menyanyi...hahaha....

Rilek bro... Jangan merush dulu... 
The one and only Uneh. Tiada siapa yang lebih Belantara dari beliau. Patut bagi dia jadi MC.


Haaa... yang ni boleh kerek sikit. Kabarnya ada 10 helai sahaja yang di cetak. Boleh masuk frame dah tshirt ni. Sayangnya tak ada sign. Terimakasih YB Amir. Tak sia-sia kena paksa bergambar berposing ala-ala Kris Kross 29 tahun yang lalu...kah kah kah...


Ni memang gaya idola. Love u JP (orang sekampung....kena lah bodek lebih 😁😁😁). Terimakasih Belantara atas kenangan malam 20022020 yang memang susah nak move on. Terimakasih juga kepada Zul Basir, Samsul Cairel dan Umar yang melengkapkan malam tersebut. Sayangnya kalau lah Bro Benson juga dapat bersama. Teringin nak tengok twin gitar solo JP/Benson ala-ala Murray/Smith atau KK/Tipton mahupun Wilton/DeGarmo.

Tak lupa juga Bro Nen dan Shidi....harapnya masa akan datang bolehlah panggil dorang jamming sekali.

Hari tu kalaulah jarak JB ke KL tu satu setangah jam perjalanan....konpem dah sampai dah untuk malam kedua 😁


Last...bersama Bro Syuk. Anggota Belantara yang paling cool dan handsome πŸ˜‚. Malam tu bass meletup-letup....terimakasih pasal sudi bergambar dan juga menurunkan tandatangan di atas cover piring hitam walaupun security dah tak bagi dah....sayangnya siapa la yang ambil gambar ni sampai blur muka tu....kah kah kah...

Tak tahu nak tulis apa lagi dah. Maaf kalau ada yang terlupa. Semua pun best...semua pun puas hati...termasuk la croissant masa refreshment tu. Tak sangka pula ada makan-makan. Terasa macam pergi kursus la pulak...haha...

Apa-apa pun harapnya perancangan untuk keluarkan cd/dvd malam bersejarah ini akan berhasil...Pasti beli!

Puas hati walaupun sampai rumah pukul 4 pagi!