Showing posts with label 2023. Show all posts
Showing posts with label 2023. Show all posts

Friday, May 3, 2024

Ashes, Organs, Blood and Crypts / Chaos Horrific

Lagi album 2023...

Autopsy - Ashes, Organs, Blood and Crypts (2023

Rasanya ini adalah yang terakhir untuk album terbitan 2023. Untuk setakat inilah…tak tahu la kot akan ada terbeli lagi…haha…

Seperti juga Cannibal Corpse, ini adalah band yang di dengar ketika di zaman remaja. Tak pernah beli pun di zaman kaset. Semuanya sekadar mendengar secara percuma dari kaset milik kawan-kawan. 

Malah pendedahan kepada Autopsy hanya terhad kepada Severed Survival (1989) dan Mental Funeral (1991). Tidak mengikuti langsung perkembangan mereka selepas dari tu. Secara jujurnya saya agak “lost” dengan album-album death metal di pertengahan 90an dan seterusnya. 

Tetapi yang pastinya muzik mereka tidak banyak berubah. Doomy old school death metal tetapi dengan sound dan produksi moden yang bersih. Ianya melebihi apa yang dijangkakan.

Nampaknya 2023 adalah tahun yang bagus untuk pengemar muzik death metal. Hampir semua nama besar yang mengeluarkan album baru menghasilkan produk yang bagus. Dan sudah semestinya Ashes, Organs, Blood & Crypts adalah salah satu darinya.



Friday, April 26, 2024

Chaos Horrific

Lagi album dari tahun lepas (2023)... 

Cannibal Corpse - Chaos Horrific (2023)

Dah nak masuk bulan 5 tapi masih tak habis lagi cerita untuk album tahun lepas (2023). Kadang-kadang tu bila ada idea untuk menulis, masa pula tidak mengizinkan dan bila ada masa pula, tak tahu pula apa yang hendak ditulis.

Kali ini bercerita pula tentang album terbaru dari Cannibal Corpse. Sebuah band yang secara jujurnya hanya saya dengar ketika zaman remaja. Namun begitu ada juga memiliki cd-cd album awal mereka. 

Pembelian cd ini adalah kerana penangan mendengar Dying Fetus - Make Them Beg for Death. Ianya membangkitkan semula semangat saya untuk berdeath metal. Tambahan pula bila ternampak nama Erik Rutan di dalam Cannibal Corpse. Bukanlah peminat besar beliau, tetapi saya suka gandingan beliau bersama Trey Azagthoth ketika di dalam Morbid Angel.

Saya bukanlah orangnya untuk memberikan pendapat tentang muzik Cannibal Corpse. Tetapi saya suka apa yang saya dengar. Tak banyak pembaharuan yang boleh dibuat dalam Death Metal kerana acuannya memang begitu. Brutal dan laju mana lagi yang boleh kita pergi?

Senang cerita ianya adalah apa yang kita harapkan dengan Cannibal Corpse. Tak lebih dan tak kurang. Erik Rutan sememangnya membantu dari segi sound, rif dan solo-solo gitar yang menarik.



Monday, April 22, 2024

Dark Parade

 Lagi album dari tahun lepas...

Cirith Ungol - Dark Parade (2023)

Semakin tua semakin aktif. Ini adalah album kedua dalam tempoh 3 tahun. Kali terakhirnya sebelum aktif kembali adalah pada tahun 1991 (Paradise Lost).

Seperti album sebelumnya (Forever Black - 2020), mereka masih mengekal muzik mereka yang asal. Lagu-lagunya memang melodic dan catchy. Dan yang paling menarik perhatian adalah kerja gitarnya. Memang sedap. Tak kenal pun siapa gitaris mereka. Tetapi salah seorangnya darinya adalah gitaris yang asal.



Dari apa yang di baca, mereka telah pun mengambil keputusan untuk bersara dari bermain live bermula dari awal tahun depan. Masing-masing pun umur dah pangkat atok-atok. Mungkin dah tak larat untuk tour. 

Cumanya harap mereka masih berdaya untuk terus menghasilkan album baru. Siapa lagi yang hendak bermain muzik heavy metal 80an sebegini kalau bukan orang-orang tua seperti mereka....


Wednesday, April 3, 2024

Road

 Lagi album 2023...

Alice Cooper - Road (2023)

Tak boleh nak ingat dah ini album keberapa beliau tanpa bantuan google. Kali terakhir saya membeli cd album beliau adalah Welcome 2 My Nightmare (2011). Itu pun pembelian jualan murah RM10 dari Popular Book Store. Cdnya pun masih berbungkus plastik. Tak pernah pun putar. Yang betul-betul dengar adalah Dragontown (2001). Beli kaset. Tapi tak berapa nak minat. 

Alice Cooper susunan muziknya berubah mengikut zaman. Sebagai seorang yang membesar di era 80an, sudah semestinya saya mengemari era glam metal beliau yang bermula dari Trash (1989), Hey Stoopid (1991) dan The Last Temptation (1994). 

Hasil membaca beberapa ulasan, saya terpengaruh untuk membeli album terbaru ini. Percubaan di spotify juga menyakinkan yang album ini berbaloi untuk dimiliki. Road bukanlah seperti 3 album yang saya sebut di atas. Tetapi pengaruhnya ada. Sesuai dengan usia beliau dan kemungkinan ini adalah album terakhir, beliau memilih gabungan dari era 70an, 80an dan 90an. 

Lagu-lagunya sedap. Alice Cooper jarang yang tak sedap. Cumanya kalaulah sound gitar Ryan Roxie, Nita Strauss dan Tommy Henriksen lebih berat ala-ala glam metal 80an...pastinya album ini lebih best. Terutamanya untuk telinga peminat yang seperti saya.



Sunday, March 31, 2024

Center Mass

Lagi album dari tahun lepas (2023)...


Bangalore Choir - Center Mass (2023)

David Reece mempunyai vokal yang bagus. Sayangnya nasib tidak pernah menyebelahi beliau. Satu album beliau bersama Accept (Eat the Heat - 1989) tidak diterima oleh peminat Accept. Manakala album sulung beliau bersama Bangalore Choirs (On Target - 1992), walaupun bagus tetapi tenggelam dek penangan grunge.

Saya tidak mengikuti perkembangan karier beliau selepas dari itu sehinggalah saya terbaca tentang album terbaru dari Bangalore Choir. Rupa-rupanya Bangalore Choir ada 2 album lain sebelum ini yang tak penah saya tahu. Kedua-duanya termasuk yang terbaru ini hanya beliau seorang anggota yang asal. Bermakna bolehlah dikatakan yang Bangalore Choir adalah projok solo David Reece. 

Tak pasti dengan 2 album tersebut. Tetapi Center Mass mungkin boleh memuaskan hati peminat On Target. Walaupun lebih "mellow" dan "mid-tempo" dan agak kurang konsisten, tetapi ianya masih mampu  mengembalikan nostalgia lama. 

Yang pelik sedikit apabila mereka menceriakan lagu "Love Hurt" menjadi sebuah lagu mid-tempo. Ianya mengingatkan saya kepada Skid Row di zaman Johnny Solinger  (Thickskin - 2003) yang merancakkan lagu "I Remember You". Mula-mula rasa janggal. Tetapi selepas 3,4 kali pendengaran rasa menarik pula...


Tuesday, March 26, 2024

Get It Right

Lagi album terbitan tahun 2023... 

Heaven's Edge - Get It Right (2023)

Heaven's Edge adalah satu lagi band hard rock yang muncul pada waktu yang salah. Sejujurnya tak pernah dengar pun album mereka pada ketika itu (1990). Mendengarnya hanya beberapa tahun kebelakangan ini. Itu pun selepas timbul rasa ingin tahu apabila albumnya sering di masukan ke dalam senarai album bagus hard rock yang terlepas pandang di era 90an.

Susah dah nak dapat cd tersebut. Tetapi ianya memang bagus jika muzik anda adalah hard rock. Maka, apabila mendapat tahu yang mereka ada membuat kemunculan semula dengan satu album baru memang tak menunggu lama untuk membeli.

Ternyata ianya satu pembelian yang berbaloi. Berbaloi bermaksud (sekali lagi) jika muzik anda adalah hard rock. Ianya melodic dan catchy dengan sound dan perisa hard rock 90an yang kuat. Ini adalah antara album yang tak sangka akan jatuh suka.

Album seperti Get It Right ini dihasilkan lebih kepada memberikan kepuasan kepada band member dan peminat hard rock seperti saya. Tidak guna untuk mereka menghasilkan selain dari apa yang menjadi identiti mereka. Zaman dah berlalu. Yang membeli dan mendengar muzik sebegini pada waktu sekarang hanyalah peminat-peminat tua. Kalau dapat seorang dua yang muda jatuh minat ianya adalah satu bonus.

Salah satu album kegemaran 2023 untuk kategori hard rock.


Tuesday, March 19, 2024

Man's A Wolf To Man

Lagi pembelian album dari 2023...

Andy Taylor - Man's A Wolf To Man (2023)

Dah ada Duran Duran baru kena pula ada yang ini.

Ini pembelian tanpa pradengar di Spotify. Bila dapat tahu yang beliau ada menghasilkan album solo memang terus tak teragak-agak untuk membeli. Zaman budak-budak dulu ketika terjebak dengan Duran Duran, John Taylor adalah band member kegemaran. Tetapi bila mula tersampuk dengan muzik rock, imej rocker Andy Taylor pula menjadi pilihan. Beliau adalah antara gitar hero terawal.

Beliau bukannya seorang metalhead. Makanya album ini bukanlah album gitar shredder. Tak ada pun solo panjang, laju dan bergulung. Ianya lebih kepada album santai nyanyian berlagu. 


Vokal beliau pun bagus. Hanya ada satu lagu yang ada bunyian Duran Duran. Yang lainnya lebih kepada pop rock bersesuaian dengan beliau sebagai seorang gitaris.

Cd ini berminggu-minggu juga jadi pilihan playlist di rumah. Lagu yang menjadi tajuk album, Man's A Wolf To Man adalah yang paling menangkap.

Dengan tahap kesihatan beliau sekarang, harapnya ini bukanlah yang terakhir dari beliau.



Saturday, March 16, 2024

Danse macabre

 Lagi pembelian album tahun 2023

Duran Duran - Danse macabre (2023)

Dah lama tak dengar Duran Duran. Kali terakhirnya adalah The Wedding Album (1993). Muzik mereka dah lama saya tinggalkan semenjak terjebak dengan heavy metal. Tetapi tidak boleh dinafikan pengaruh mereka kepada saya di zaman remaja. 3 album terawal mereka tetap saya simpan dalam bentuk cd dan lp sebagai mengingati memori zaman tersebut.

Bila terbaca yang album terbaru ini menampilkan semula Andy Taylor di posisi gitar rasa terpanggil pula untuk membeli. Malah bukan sahaja Andy, mereka turut menjemput bekas pegganti Andy, Warren Cuccurullo untuk merakamkan 2 lagu. Andy pula merakamkan 10 buah lagu. Tetapi sebagai kumpulan pop, gitar bukanlah faktor utama pun.

Itu yang lebih mudah bagi saya apabila mendengar album pop. Tak perlu fikir pasal rif dan solo. Yang penting melodi lagu dan vokal sedap. Itu yang ada pada Dense macabre. Lagu-lagunya sedap termasuk 3 lagu baru baru mereka. Yang lain-lainya adalah rakaman semula dan lagu-lagu cover (Rolling Stones, Rick James, Siouxsie and the Banshees, Talking Head, The Special dan Billie Eilish). Sesuai dengan tema Halloween untuk album ini, lagu-lagu yang menjadi pilihan mempunyai lirik seram.

Sebagai seorang yang pernah mengangap (masih lagi) Duran Duran sebagai yang terbaik di dunia, saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan album ini. Ianya sedap di dengar. Best!


Thursday, March 14, 2024

Life Is But a Dream...

Sambung lagi cerita tentang album-album dari 2023. Dah masuk pertengahan bulan Mac, masih ada banyak lagi yang belum sempat ditulis…


Avenged Sevenfold - Life Is But a Dream... (2023)

Tak pernah ambil tahu pun tentang Avenged Sevenfold sebelum ini. Tak rasa pun akan minat. Tetapi selalu la nampak budak-budak muda pakai tshirtnya. 

Cuma bila ternampak yang ianya berada di dalam list "album terbaik 2023" dari beberapa ulasan yang dibaca membuatkan rasa terpanggil pula untuk mencuba. Pra-dengar 2 track pertama dari album ini membuatkan akhirnya ia dibeli.
.


2 lagu awal tersebut memang sedap. Tak sangka pula muzik mereka agak progressif dan rojak. Sayangnya album ini tak konsisten. Ianya menjadi semakin lemah dan meleweh selepas track ke 4 atau ke 5. 

Kesimpulannya, 2 atau 3 lagu yang awal memang best. Lagu-lagu yang selepas itu agak tak kena dengan selera. Mungkin bagi orang lain ok tetapi ianya bukan untuk saya.

Ada yang kata album ini tidak sama seperti album-album mereka yang sebelumnya. Tak pasti bagaimana ianya tak sama. Tak pernah dengar pun album-album sebelumnya. Dan tak bercadang pun untuk mendengarnya.




Saturday, March 9, 2024

Foregone

Lagi album 2023...

In Flames - Foregone (2023)

Saya teragak-agak untuk membeli album ini kerana album sebelumnya I, the Mask (2019) tidak berapa kena dengan jiwa.

Tetapi banyak ulasan mengatakan album ini bagus. Dan ramai juga yang meletakkan album ini didalam senarai Top 10 album pilihan terbaik 2023 mereka. Disebabkan itu, saya rasa terpanggil untuk mencuba dan akhirnya terjebak untuk membeli.

Lain orang lain citarasanya. Tetapi bagi saya album ini lebih baik dari beberapa album sebelumnya. Ianya masih bercirikan alternative metal tetapi lagu-lagunya lebih bermelodi. Chorusnya catchy. Mungkin boleh dibandingkan dengan era Reroute to Remain (2002) hingga Come Clarity (2006). Paling hampir lah untuk ke melodic death metal.

Salah satu lagi tarikan untuk kembali mendengar In Flames adalah Chris Broderick. Dia secara rasminya menjadi ahli tetap sejak dari 2022.


Saturday, March 2, 2024

Cycles of Pain

Sambung lagi cerita tentang pembelian album-album dari 2023. Dah masuk bulan Mac 2024, masih ada banyak lagi yang belum sempat ditulis…

Angra - Cycles of Pain (2023)

Tahun 2022 terasa agak tepu dengan genre power metal. Banyak sangat yang dibeli. Maka untuk tahun 2023 memang lebih selektif. Selain dari Twilight Force, dan mungkin juga Jag Panzer yang berbau power metal, cuma ini sahaja pembelian genre power metal untuk 2023.

Kembalinya mereka selepas 5 tahun ternyata tidak mengecewakan. Bagi saya Angra masih seperti Angra selagi adanya Rafael Bittencourt. Hanya yang masih bernostalgia tentang Kiko Loureiro  dan Mendiang Andre Matos yang mungkin sedikit sukar untuk menerima. 

Saya tidak mempunyai masalah dengan vokal Fabio Lione. Saya mengemari vokal beliau semenjak Rhapsody - Dawn of Victory (2000) lagi. Dan mungkin Angra kurang variasi tanpa Kiko. Tetapi secara keseluruhannya tak terasa sangat pun.

Ini adalah antara album terbaik dari mereka. Lebih baik dari album yang sebelumnya (ØMNI - 2018). Rekomended untuk pengemar Angra khususnya dan genre power metal secara amnya.


Tuesday, February 20, 2024

Make Them Beg for Death

 Album pilihan 2023

Dying Fetus - Make Them Beg for Death (2023)

Dying Fetus bukanlah sebuah band baru. Entah mengapa sebelum ini tiada rasa teruja untuk betul-betul mendengar mereka. Tetapi gambar cover album terbaru dari mereka ini benar-benar membuatkan rasa teruja untuk mencuba. 

Gambar ala-ala filem seram grade B tahun 80an sememangnya bersesuai dengan imej Brutal Death Metal mereka. Muzik sebegini bukanlah sesuatu yang baru atau boleh menjadi penanda aras. Tetapi Dying Fetus tahu bagaimana untuk menghasilkan irama death metal yang betul dan kemas. 

Ianya laju - brutal - bagi bernafas sekejap - laju - dan laju.... Brutal Death Metal yang teknikal tetapi dalam masa yang sama ianya masih melodic dan solo-solo gitar yang menarik. Memang best!

Ianya membangkitkan semula semangat untuk saya kembali mendengar irama sebegini. Hasilnya kebelakangan ini, album-album seperti Cannibal Corpse – Chaos Horrific, Cattle Decapitation – Terrasite, Obituary – Dying Of Everything, Horrendous – Ontological Mysterium dan Crypta – Shades of Sorrow menjadi peneman didalam perjalanan pergi dan balik kerja. 

Tidak boleh dinafikan yang Make Them Beg for Death adalah salah satu album kegemaran saya untuk tahun 2023.



Sunday, February 4, 2024

Sin

 Lagi album pilihan dari 2023

Vandenberg  - Sin (2023)

Ini adalah album kedua bagi Adrian Vandenberg selepas kembali meggunakan nama Vandenberg. Album sebelum ini pernah saya tulis di >SINI<. 

Dari segi muziknya tiada yang berbeza kecuali kali ini beliau meggunakan Mats Levén (Yngwie Malmsteen, Therion) sebagai vokalis. Menariknya juga kerana Ronnie Romero sudah terlampau "overexpose" dengan bermacam-macam projek lain. 

Mats Levén mempunyai vokal blusey yang ada masanya menyerupai David Coverdale. Dengan sejarah Adrian sebagai gitaris Whistenake, maka album ini memang tidak boleh lari dari kedengaran seperti Whitesnake. Lagu yang menjadi tajuk album, "Sin" sememangnya benar-benar seperti lagu Whitesnake.

Adrian Vandenberg sekali lagi membuktikan yang beliau bukan hanya seorang gitaris yang hebat, tetapi boleh juga menghasilkan lagu-lagu yang sedap.

Tambah menarik adalah kulit albumnya. Ianya mengembalikan nostalgia kepada album-album Vandenberg di tahun 80an. Dan jangan tak percaya, ianya dilukis sendiri oleh Adrian seperti juga di album-album lama beliau. Ternyata beliau adalah seorang yang sangat berbakat.


Thursday, February 1, 2024

Blackrose

Satu lagi produk reissue cd rock tempatan... lama dah beli, baru sekarang nak buat entri...

Blackrose - Blackrose (1991) keluaran semula 2023

Merujuk kepada komen dibawah (dari entri Black Rose reissue 2016) - terimakasih Elmanemran, saya sememangnya teruja dengan cd keluaran semula 2023 ini dan telah pun membuat pra pesanan awal sejak mendapat berita tentangnya.

Versi 2006 sememangnya menghampakan. Baik dari segi kualiti sound dan packagingnya. Tetapi versi baru 2023 ini sememangnya tip top. Tiada apa yang hendak di komplen. 


atas kiri - versi 2023, atas kanan versi 2006
bawah kiri - versi cdr , bawah kanan - kaset asal 1991

Entri ini sekadar berkongsi gambar. Kalau ada yang berminat nak membeli, sememangnya rekomended!.



Monday, January 29, 2024

Babylon

 Lagi album terbitan tahun 2023...

Lynch Mob - Babylon (2023)

Bila dah beli Dokken kena juga beli yang ini. 

Rasa sedikit terkejut bila dapat tahu yang Lynch Mob ada album baharu. Maklumlah nama "Lynch Mob" berbau perkauman untuk sesetengah pihak. George Lynch sendiri pun pada tahun 2020 pernah memberi kenyataan yang beliau tidak akan menggunakan lagi nama tersebut. Tetapi nampaknya beliau dah berubah fikiran.

Tak ada dah anggota asal lain dari zaman Wicked Sensation (1990). Tetapi kita mendengar Lynch Mob sememangnya kerana kerja gitar George Lynch. Tak kisah sangat pun siapa anggota yang lain. Kita tahu yang George Lynch dah lama "move on" dari sound Dokken. Tetapi album ini soundnya bukan sahaja tidak berbunyi Dokken malah tidak juga seperti Lynch Mob yang lama. Soundnya lebih ke arah hard rock 90an (band seperti Saigon Kick contohnya).

Asalnya tidak berapa suka. Tetapi setelah beberapa kali pendengaran saya rasakan sedap juga. Solo-solo George Lynch memang hebat dan tak boleh dipertikaikan. Cumanya kali ini beliau lebih kepada "team player" berbanding "gitar hero".

Kalau nak dibandingkan dengan album baru Dokken yang lebih mudah menangkap, yang ini lebih "grower". Semakin lama dengar mungkin akan lebih jatuh suka. Tambahan pula vokalisnya, Gabriel Colon mempunyai vokal yang bagus. Maklumlah masih muda. Ada masanya beliau kedengaran seperti Axl Rose. 

Bagus! 

 

Friday, January 26, 2024

Heaven Comes Down

Sambung lagi album-album terbitan 2023...

Dokken - Heaven Comes Down (2023)

Album ke 12. Kali terakhirnya adalah pada tahun 2012 (Broken Bones). Tanpa Mick Brown yang dah bersara, anggota asal hanya tinggal Don seorang. Tetapi dah sememangnya Don adalah Dokken dan Dokken adalah Don. Tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.

Beliau sekarang lebih selesa menggunakan Jon Levin sebagai gitaris. Walaupun selalu juga George Lynch membuat kemunculan bersama di atas pentas tetapi dari segi ego mungkin lebih mudah untuk beliau berkerjasama dengan Jon Levin. Tambahan pula ini adalah album ke 4, semenjak dari Hell to Pay (2004) yang Jon Levin di posisi gitar.

Apa yang tidak saya duga, album ini benar-benar berbunyi seperti Dokken yang lama. Rasa 80an tetapi dengan sound yang terkini. Ternyata Jon Levin sememangnya pilihan yang tepat. Rif dan solo-solo gitar beliau membuatkan kita lupa tentang George Lynch. 

Sesuatu yang berbeza cuma vokal Don. Atas faktor usia, beliau tidak lagi boleh menyanyi dengan nada yang tinggi. Keseluruhan albumnya menggunakan nada yang rendah dan mendatar. Sekurang-kurangnya beliau tidak akan bermasalah untuk menyanyikan lagu-lagu dari album ini secara live.

Kesimpulannya, ia adalah album yang sedap dan mengembalikan nostalgia ke era 80an. Itupun jika keadaan vokal Don sekarang bukannya satu masalah untuk anda. 


Monday, January 15, 2024

The Sinner Rides Again

Kasi habis album-album terbitan 2023...

KK's Priest - The Sinner Rides Again (2023)

Album kedua mereka. Seperti yang pertama ianya adalah terpaling Judas Priest berbanding dari Judas Priest sendiri. Tak boleh nak salahkan KK kalau beliau masih menghasilkan lagu-lagu seperti Judas Priest. Kerana muzik sebegini adalah apa yang beliau mainkan sepanjang hidup beliau. Tak ada keperluan untuk beliau bermain muzik lain dan tiada apa lagi yang perlu dibuktikan .

Beliau tahu bagaimana untuk menghasilkan lagu heavy metal yang bagus. Mungkin lagu sebegini bukanlah penanda aras atau akan menjadi klasik. Tetapi sebagai salah seorang hero heavy metal, muzik sebegini adalah apa yang peminat seperti saya mahukan.

Ditambah dengan vokal hebat Tim Ripper Owens yang kadang kala jeritannya kedengaran seperi Rob Halford, peminat Judas Priest era Painkiller pastinya akan terhibur. 

Saya tak sabar untuk menunggu album terbaru dari Judas Priest. Tetapi dari 2 single yang telah dikeluarkan, keduanya setakat biasa-biasa sahaja. Tetapi mungkin juga 2 lagu itu adalah lagu yang paling tak bagus dari mereka...tetapi buat masa sekarang untuk pilihan yang lebih bagus, The Sinner Rides Again adalah tempatnya.


Wednesday, January 10, 2024

Belantara Showcase 2.0

Bukan nak cerita pasal showcase nya. Tak dapat hadir pun. Ada hal yang tak boleh dielakkan. Tapi nak cerita tentang cenderahati dari showcase tersebut.

Nak kata rugi tak pergi… memang la rugi…. Tak nak buat macamana…bukan rezeki…

Bila tak dapat pergi, dapat cenderahati untuk kenangan macam ini pun jadilah. Buku lirik dan lanyard sempena showcase. Tabik buat YB Amir dan team. Tak banyak atau mungkin hampir tak ada band di Malaysia yang buat buku lirik untuk show sebagai kenangan.


Beli juga sehelai tshirt. Tetapi bukannya tshirt official showcase….


Tetapi thsirt official crew… Kasi lengkap showcase 1 (20/02/2020) dan 2 (07/12/2023) 😁

Terima kasih sekali lagi untuk my bro, Amir atas cenderahati dan tandatangan setiap anggota band.
 

"Insan berakal..hormatilah memasuki naungannya"



Thursday, January 4, 2024

The Shadow Inside

Kasi habis cerita tentang abum-album terbitan 2023...

Sadus - The Shadow Inside (2023)

Ketika saya mula terjebak dengan muzik thrash, Sadus dengan album Swallowed in Black (1990) adalah antara album yang wajib pada ketika itu. Boleh dikatakan majoriti kawan-kawan yang sukakan muzik ekstrim memiliki kasetnya. 

Tetapi entah mengapa saya agak ketinggalan untuk mengikuti album-album mereka selepas dari itu. Saya hanya mendegar album A Vision of Misery (1992) sambil lalu. Dan kemudiannya Sadus seakan hilang dari radar pendengaran. Tak pasti mengapa. Mungkin keutamaan yang berbeza. 

Muzik mereka adalah lebih berat dari band-band thrash yang lain. Boleh juga kalau nak dikatakan yang mereka berada didalam sempadan Death Metal.

Percubaan mendengar The Shadow Inside di spotify menyebabkan tergerak hati untuk membeli. Saya tidak pasti dengan album-album yang sebelum ini, tetapi The Shadow Inside adalah seperti Sadus yang saya ingat pada awal tahun 90an dulu. 

Tanpa Steve Di Giorgio (band member yang paling dikenali). Sadus kini tinggal berdua. Tabik buat gitaris/vokalist Darren Travis dan drummer Jon Allen kerana masih terus bersemangat untuk menghidupkan Sadus.

Nak kata bagus sangat mungkin tidak berapa tepat. Tetapi yang penting ianya tidaklah mengecewakan. Ini adalah masalah biasa bagi mana-mana band yang dah mencapai tahap puncak mereka. Untuk menghasilkan sesuatu yang lebih atau sekurang-kurang mencapai tahap tersebut bolehlah dikatakan suatu misi yang mustahil. Ditambah pula dengan nilai nostagianya.

Tetapi mereka membuktikan yang umur hanyalah angka. Mereka masih agressif, masih teknikal. The Shadow Inside adalah antara album "comeback" thrash yang terbaik untuk tahun 2023. Semoga mereka mendapat lebih ramai pendengar baru dari generasi yang baru. 



Monday, January 1, 2024

2024

SELAMAT TAHUN BARU 2024!

Sedikit imbasan tahun 2023...

Dari segi hobi…masih sama..masih membeli muzik secara fizikal. Tetapi kebelakangan ini agak jarang membeli vinyl. Harganya yang semakin melampau membuatkan lebih selektif dalam membuat pembelian. Tambah pula majoriti album yang nak di"piring"kan telah pun berjaya dimiliki. 

Tetapi untuk cd, masih cergas membeli. Untuk tahun 2023 ini sahaja kalau tak silap ada dalam lebih 30 keping cd baru terbitan tahun 2023 yang dibeli. Itu belum masuk pembelian cd-cd terbitan lama dan terpakai. 

Iyer lah...nak buat macamaner...Ianya adalah hobi...bukannya pekerjaan yang ada tempoh untuk bersara. 😅

Dari segi kehidupan. Tahun 2023 adalah tahun bertambahnya ahli keluarga dalam group whatsapp. Macam tak percaya dah bermenantu. Jiwa masih “18 & Life”… tetapi dengan rambut yang semakin memutih, maka tak hairanlah kalau sering di sapa sebagai "pak cik" di kedai makan. Kenalah sedar diri...eheehee..eheehee...(gelak Hail Amir 80an).

Semogga 2024 kita diberikan keimanan, kesihatan, kesejahteran dan menjadi insan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Insya Allah!