Showing posts with label 1992. Show all posts
Showing posts with label 1992. Show all posts

Thursday, June 20, 2024

Ziet Giest

Mendengar semula...

M.A.Y - Ziet Giest (1992)

Antara album MAY yang dulunya tak pernah dengar. Hanya tahu lagu Meniti Suratan. Ini adalah zaman yang saya hampir zero dengan muzik rock melayu.

Mendengar temubual Yantzen dalam podcast “Hubungan Rambang Ad Samad” di youtube menyebabkan terpanggil untuk mendengarnya. Ini adalah satu lagi album reissue yang dibeli hanya sekadar untuk hiasan di rak. Maklumlah bila album yang tiada kenangan memang rasa nak dengar tu amat kurang.

Zeit Geist adalah album pertama Yantzen Bersama MAY. Saya baru tahu yang bahagian gitarnya dimainkan oleh Arwah Samad. Malah kesemua album MAY dizaman Yantzen khabarnya dimainkan oleh arwah.

Saya kurang pasti kenapa Abu tidak terlibat ketika seissi rakaman. Dan khabar lainnya juga mengatakan yang beliau juga tidak bermain dalam album-album MAY yang lainnya. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi kalau dengar perbezaan sound gitar di setiap album memang mungkin ianya benar.

Saya bersetuju dengan apa yang Yantzen suarakan dalam seissi wawancara tersebut yang beliau mahukan muzik MAY yang tidak jauh berubah dari zaman sebelumnya. Zaman Mus terutamanya bermula dari album Hakikat (1989), MAY mempunyai beberapa lagu yang bercirikan thrash. Dan album ini cuba untuk mengekalkannya.

Secara mudahnya boleh lah dikatakan yang album ini adalah cubaan Arwah Samad untuk memainkan riff dan sound thrash. Namun mungkin ianya bukanlah jiwa beliau, saya dapat rasakan feel Warren DeMartini / Robbin Crosby di dalam lagu "Visions of Emotion" dan Loudness di dalam lagu “Obsession"

Namun begitu rasa Rusty Blade tetap ada. Vokal Yantzen didalam lagu-lagunya “heavy” ciptaan beliau memang sudah sinonim dengan bunyi Rusty Blade. Cuma saya agak keliru dengan vocal didalam lagu "Resah". Lengok nyanyiannya betul-betul berbunyi seperti Mus. Tak macam Yantzen.

Secara keseluruhannya bagus terutamanya lagu-lagu yang berentak rancak.


Saturday, June 8, 2024

Gila Format - Angel Dust

 Sempena ulangtahun ke 32 yang jatuh pada hari ini...


Faith No More - Angel Dust (1992) 

Beli kaset album ini ketika balik cuti semester dari ITMCJ. Rasanya beli di Komtar, JB. Naik bas Maju 205 Jb-Ulu Tiram. Tengah membelek kasetnya, datang abang konduktor bas ajak berborak (bas kosong tak ramai penumpang).

"Beli kaset rock rock ker? Abang pun minat rock jugak...kaset apa?" Terus buat muka blur bila tengok tajuk kaset. "Oooo.. Abang rock dulu-dulu abang tau la...yang ni tak tau".... Terus layan berbual pasal Deep Purple, Scorpions dan Rainbow...


Bila ingat peristiwa ni mungkin ianya perkara yang sama akan berlaku pada masa sekarang. Cumanya sayalah yang akan jadi seperti abang konduktor bas tersebut. Memang blur la kalau di tunjukkan band-band rock zaman sekarang...haha...

Tak ingat bila beli versi cd tapi versi piring hitam di beli pada tahun lepas. Pembelian sebegini bukanlah pasal nak dengar sangat pun. Tapi ianya hanyalah untuk membeli sebuah kenangan...



Tuesday, August 22, 2023

Diamonds – The Best of Dio

 Hasil mengembur rak...

Dio - Diamonds – The Best of Dio (1992)

Saya hanya mula membeli cd pada sekitar tahun 1995. Mengikut apa yang saya conteng di inlay, cd ini dibeli pada 28 Oct, 1995. Ini bermakna ianya adalah salah satu cd terawal yang dibeli. Malangnya saya dah tak boleh nak ingat dimana. Berkemungkinan besar ianya di Plaza Kotaraya, Johor Bahru.

Pada waktu itu penjualan cd masih terhad terutamanya jika anda tinggal di Johor Bahru (zaman peralihan kedai kaset menjadi kedai cd). Di tambah pula dengan duit yang tak berapa nak ada, makanya jika diberi pilihan sama ada untuk membeli album penuh ataupun kompilasi terbaik, saya akan memilih kompilasi terbaik.



Tambahan pula cd ini mengimbau kenangan kaset pertama Dio saya. Ianya juga adalah salah satu kaset terawal yang saya beli (1987). Yang berbezanya, kaset adalah kompilasi lagu-lagu sehingga album Dream Evil (1987) manakala cd ini pula adalah sehingga album Lock Up the Wolves (1990).

Kalau di suruh pilih, pastinya pilihan saya adalah versi kaset kerana lagu-lagunya lebih dekat di hati. Saya agak kurang terdedah dengan album Lock Up the Wolves kerana pada ketika ianya di terbitkan, saya dah mula terjebak dengan muzik metal yang lebih ekstrim.



Monday, July 24, 2023

Tangled in Reins

Yang menyambut ulang tahun ke 31 pada 10hb Julai yang lalu.

Steelheart - Tangled in Reins (1992)

Steelheart dikenali kerana lagu-lagu baladanya dan kemampuan Miljenko Matijevic menyanyikan lagu bernada tinggi dengan baik. Saya tidak pernah membeli kaset mereka. Kecenderungan dengan genre yang lain menjadi penyebabnya. Namun begitu, ada 2 lagu yang saya ingat dari album ini.

1 - "Mama Don't You Cry" - lagunya sering dimainkan di radio.

2 - "Sticky Side Up" - muzik videonya ada dimainkan di channel MTV.

Tetapi semenjak kebelakangan ini (mungin atas faktor usia), rasa tertarik pula untuk mendengar semula album-album era 90an dari band-band hard rock dan glam metal seperti mereka. Tangled in Reins adalah salah satu darinya.


Dengan imej seluar bermuda dan kemeja flanel (video clip "Sticky Side Up"), saya sangkakan yang muzik mereka juga sudah terpengaruh dengan grunge. Tetapi ternyata saya tersilap. Mereka masih dengan hard rock / glam metal seperti album pertama. Malah ada lagu-lagunya yang lebih berat dan laju (mengingatkan saya kepada Skid Row). Lagu "Loaded Mutha" dan "Steelheart" adalah contohnya. 

Sayangnya sebagus mana pun mereka. Dengan zaman yang berubah dan ditambah pula dengan kemalangan yang menimpa Miljenko Matijevic. Mereka gagal bertahan. Ini adalah album terakhir dari line-up klasik mereka. Mereka adalah contoh sebuah lagi band bergenre hard rock /glam metal yang menjadi mangsa keadaan.


Friday, December 16, 2022

Dog Eat Dog

 Antara yang terkini dalam simpanan...

Warrant - Dog Eat Dog (1992)

Dulunya tak pernah dengar pun. Membeli dan mendengar album seperti ini boleh dianggap telah melanggar undang-undang seorang "TRUE"… hahaha…

Tapi sekarang memang mencari. Agak susah juga untuk mendapatkannya terutama bagi versi piring hitam. Kalau ada pun harganya jenis pergi haji balik hari. Bila dapat tahu yang ianya akan di"reissue" memang terus rasa teruja. Sayangnya pencarian di beberapa website menjual piring hitam termasuk Amazon dan Ebay gagal. Pre-order pun tak dapat. Dasyat juga penangan album ini. 1,500 keping yang di reissue sold out dalam sekelip mata. 

copy yang ke 405 dari 1500

Ketika itu dah terbayang dah, kalau dapat pun mesti dari reseller harga yahudi. Tapi akhirnya tanpa disangka-sangka boleh pula ada di Shopee. Tempat yang langsung tak diduga. Rupa-rupanya Hard Graft Records ada bawa masuk sekeping. Memang rezeki lah namanya. 

Warrant pada ketika itu muziknya sedikit berbeza dari album sebelumnya (Cherry Pie -1990). Ianya lebih berat dengan lirik yang lebih matang. Mereka bukan lagi sekadar sebuah party band. Kali ini, Joey Allen dan Erik Turner membuktikan yang mereka sebenarnya adalah 2 gitaris hebat walaupun hak mereka dinafikan penerbit album untuk 2 album yang awal. 

Sayangnya ketika itu mana-mana band yang ada kaitan dengan glam/hair metal telah dianggap ketinggalan zaman. Orang-orang seperti saya yang dulunya tak mengambil tahu, baru sekarang tergegeh-hegeh nak dengar. Sebenarnya banyak band-band sebegini telah menghasilkan album-album yang berkualiti pada tahun 90an. Mungkin itu antara penyebab mengapa ianya laris bagai goreng pisang panas pada waktu sekarang.


Tuesday, October 25, 2022

Grave Dancers Union

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada 6hb Okt yang lalu...


Soul Asylum - Grave Dancers Union (1992)

Kali pertama mendengar album (kaset) ini secara penuh adalah sekitar tahun 1993. Sebelum itu dah pernah dengar lagu "Runaway Train" di radio. Memang sedap lagunya tetapi tak ada rasa tergerak hati nak membeli. Maklumlah zaman menganggur baru habis belajar yang tak berapa nak ada duit.

Ianya adalah kaset kepunyaan jiran merangkap rakan sepermainan sejak kecil. Entah apa mimpi beliau datang ke rumah dengan membawa kaset ini. Padahal kami sudah agak renggang semenjak sekolah menengah sehinggalah saya melanjutkan pelajaran. Tambahan pula beliau tua setahun dari saya.


Ianya adalah cinta pendengaran pertama saya terhadap Soul Asylum. Selain "Runaway Train", saya juga jadi minat dengan "Black Gold" dan beberapa lagu lainnya. Melodi lagu-lagu mereka sememangnya sedap dan lazat.

Tetapi entah mengapa saya tidak pernah ada kasetnya. Tak teringat langsung untuk membelinya. Namun begitu saya tetap mengikuti mereka dengan membeli kaset album yang selepas darinya (Let Your Dim Light Shine – 1995). Cuma dalam beberapa tahun lepas baru tergerak hati untuk memiliki versi cd.

Bagi saya kalau bercerita tentang alternative rock 90an, Soul Asylum adalah yang pertama akan ada di dalam kepala.


Thursday, October 20, 2022

Cuatro

 Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 13hb Oct yang lalu...

Flotsam and Jetsam - Cuatro (1992)

Antara album yang dulunya teringin nak dengar tetapi tak berpeluang. Ianya samada kasetnya tak di jual sini / ada jual tetapi terpaksa memilih yang lain (tak berduit) / tiada rakan yang ada untuk dipinjam. Tak ingat yang mana satu. 

Hanya mula mendengar setelah berjaya memiliki cdnya melalui satu lagi acara "panic buying" ketika berlangsungnya PKP pada 2 tahun yang lalu. 😁

Kali terakhir mendengar muzik mereka adalah dari album "Doomsday For The Deceiver (1986)". Sebuah album yang dikenali kerana Jason Newstead berbanding dari lagu-lagu album itu sendiri. Tetapi untuk album kali ini muziknya agak berbeza. Bukan kerana faktor Jason, tetapi ianya lebih kepada keadaan semasa pada ketika itu. Seperti yang sedia maklum, awal 90an majoriti band-band thrash telah berubah. "Black Album - Metallica" sering menjadi penanda aras.

Ianya masih thrash. Tetapi tiada lagi lagu yang laju. Majoritinya lebih kepada mid tempo dengan sound dan riff yang lebih bersih dan lembut. Satu kekuatan yang ada pada Flotsam and Jetsam pada saya adalah vokalis, Eric A.K. Beliau sememangnya antara vokalis terbaik, bukan sahaja untuk genre thrash tetapi untuk genre metal secara umumnya.

Sesuai untuk penggemarkan thrash yang lebih ringan. Tetapi jika anda dari thrash sekolah lama, cukuplah sekadar mendengar 2 album awal dari mereka.





Thursday, September 29, 2022

Gila Format - B-Side Ourselves

Bersempena ulang tahunnya yang ke 30 pada 22hb September yang lalu...

Skid Row - B-Side Ourselves (1992)

Antara yang tak sangka akan di"gila formatkan". Kalau tak pasal kerana piringnya disertakan sekali dalam vinyl boxset The Atlantic Years (1989 - 1996), memang tak akan beli versi lp kecuali terjumpa dengan harga yang murah. Bukan pasal tak minat. Tetapi keutamaan lebih kepada mencari album penuh berbanding EP seperti ini.

B-Side Ourselves adalah himpunan 5 lagu cover dari pelbagai genre rock yang menjadi pengaruh kepada muzik Skid Row. Pernah menulis tentangnya dulu. >SINI<

Versi kaset dibeli pada tahun ianya dikeluarkan. Manakala versi cd pula adalah seperti kebanyakan cd-cd lain yang kononnya adalah versi "upgrade" daripada koleksi kaset. Tak boleh ingat bila dan dimana ianya di beli. Tetapi tak pernah pula terpikir yang ianya pada suatu masa nanti akan menjadi modal untuk ber"gila format".

Antara kenangannya, ia menjadi penyebab untuk saya mendengar muzik Ramones. Sebelum itu sekadar membaca namanya di majalah. Lagu "Psycho Therapy" yang dinyanyikan oleh Rachel Bolan membuatkan saya membeli kaset Ramones kemudiannya.

Ianya adalah berbaloi jika anda adalah pengemar Skid Row atau pun seseorang yang gemar melengkapkan kesemua discography sesuatu band. Tetapi untuk pendengar kasual...cukuplah kot sekadar cuba dengar di youtube ataupun Spotify...



Monday, June 20, 2022

Kin

Ok lah...yang terakhir cerita pasal album thrash 1992 yang beralih arah... 

Xentrix - Kin (1992)

Mungkin Metallica adalah punca segala-galanya. Bukan sahaja di US dan Jerman, tetapi ianya juga berjangkit ke UK. Xentrix adalah antara nama besar thrash di UK juga turut mengubah arah muzik mereka. Tetapi tiada apa yang nak dihairankan. Muzik mereka pun sememangnya berpaksikan Metallica. Sudah semestinya mereka pun akan terikut-ikut dengan idola mereka. Semua mereka (mungkin juga atas dasar tekanan dari pihak syarikat rakaman) mahu menghasilkan album komersial seperti Black Album Metallica.

Kin juga tidak saya dengar pada tahuh 1992. Selepas For Whose Advantage? (1990), saya langsung tidak mengikuti perkembangan Xentrix. Ianya seolah-olah hilang dari dalam radar band-band yang saya dengar. Tak pasti apakah kaset album ini ada dijual di Malaysia tetapi seingatnya memang tak pernah nampak pun.

Ianya memang berbeza kalau nak dibandingkan dengan 2 album awal. Sememangnya mengecewakan jika di pandang dari kacamata seorang thrasher. Tetapi setelah berulang kali dengar, saya rasakan ianya tidaklah seburuk yang disangka. Cumanya Kin lebih lembut dan lebih "radio friendly". Kebanyakan lagunya adalah mid tempo dan ada lagu ballad yang benar-benar ballad.

Mungkin saya boleh menerimanya kerana mendengarnya pada masa sekarang. Kalau di tahun 1992 mungkin pandangan saya akan berlainan…


Thursday, June 16, 2022

The Ritual

Sebuah lagi album thrash yang dah 30 tahun (1992)...

Testament - The Ritual (1992)

Sama kes seperti band-band thrash lain yang dah diceritakan sebelum ini. Testament pun terjangkit sama. Dan seperti yang lainnya, ianya juga tidak saya dengar pada tahun ianya diterbitkan atas alasan yang sama.

Tak ambil tahu tentangnya sehinggalah memiliki cdnya beberapa tahun yang lalu. Entah kenapa ianya tidak di dalam radar walaupun ketika zaman MP3. Saya agak "lost" dengan Testament bila dapat tahu yang Alex Skolnick tidak lagi bersama mereka. Satu-satunya lagu yang diketahui adalah "Return To Serenity". Itupun kerana ianya ada di dalam satu kompilasi cd lagu-lagu ballad yang saya beli.

Hanya mula mendengar semula muzik Testament apabila Alex Skolnick kembali bersama mereka. Ketika itulah album ini kali pertama di dengar. Tak sangka pula jadi minat. Sememangnya muzik mereka telah berubah. The Ritual lebih lembut. Lebih perlahan temponya. Ianya lebih melodic dan sedikit progressif. Ianya percubaan mereka untuk lebih mudah diterima di telinga pendengar biasa. Sebuah album metal komersial ala-ala Black Metallica.

Antara penyebab jadi suka adalah kerana solo dan kerja gitar Alex Skolnick. Seperti yang diketahui, beliau adalah antara gitaris terbaik atau mungkin yang paling baik diantara semua gitaris band-band thrash utama di dunia.

The Ritual juga menonjolkan kekuatan vokal Chuck Billy. Mungkin ianya boleh menjadi antara album kegemaran untuk tahun 1992 jika saya mendengarnya pada ketika itu. The Ritual bukanlah thrash yang biasa. Tetapi ianya di dalam kategori yang masih boleh diterima.  


Monday, June 13, 2022

Force of Habit

 Sambung lagi cerita pasal album dari 30 tahun yang lalu (1992)…


Exodus - Force of Habit (1992)

Entah kenapa hampir kesemua nama besar thrash bermuhasabah diri pada awal tahun-tahun 90an (haha.) Exodus juga tidak terkecuali.

Dulu selalu nampak ianya di kedai kaset. Gambar covernya yang agak unik dan lain dari yang lain seolah-olah memanggil-manggil untuk di beli. Tetapi entah kenapa setiap kalinya tetap juga tak dibeli. Mungkin juga pada ketika itu dah terdengar yang ianya bukanlah seperti muzik Exodus yang biasa. Makanya album ini juga senasib dengan album-album thrash terbitan tahun 1992 yang lain yang tidak didengar pada tahun ianya diterbitkan.

Kalau tak silap kali pertama dengar adalah selepas 2000an (era MP3). Ketika itu minda dah disetkan bagaimana muzik Exodus yang sepatutnya. Walaupun ada lagunya yang sedap tetapi mendengarnya hanyalah sambil lalu.


Mendengarnya secara betul hanyalah selepas cdnya dibeli beberapa tahun yang lalu. Nak kata minat, memang ada lagunya yang bagus terutamanya 2 track pertama, "Thorn in My Side" dan "Me Myself & I,". Tetapi agak letih juga untuk menghabiskan satu album bila ada lagu yang agak panjang dan kedengaran agak berulang-ulang.

Ianya adalah percubaan Exodus untuk menjadi trendy dan komersial. Rentak lagunya lebih perlahan. Cumanya mereka masih bertahan tanpa lagu ballad. Mungkin vokal Steve "Zetro" Souza tidak sesuai untuk lagu-lagu begitu walaupun beliau dikerah untuk lebih "menyanyi" di dalam album ini. Satu yang menarik adalah solo-solo gitar dari Gary Holt. Ianya lebih melodic walaupun rif-rif lagunya agak simple.

Exodus yang berbeza. Tambah pula dengan adanya lagu cover yang agak janggal (Bitch - Rolling Stones dan Pump It Up - Elvis Costello). Walaupun janggal, ianya menjadi...


Tuesday, May 31, 2022

Not to Be Undimensional Conscious

Secara tiba-tiba rasa seronok pula untuk bercerita tentang album-album dari 30 tahun yang lalu (1992)... 

Disharmonic Orchestra - Not to Be Undimensional Conscious (1992)

Antara band yang tahu nama tetapi tak berapa nak ingat bagaimana bentuk muziknya. Zaman kemunculan awal death metal pada penghujung 80an atau awal 90an ada nampak kasetnya. Tetapi tak ingat samada pernah dengar atau tidak lagu-lagunya. Mana-mana yang tak beli kasetnya dan kurang meninggalkan kesan sememangnya akan mudah terlupa.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak juga membeli cd-cd album lama seperti ini. Mana-mana yang tahu nama atau pernah terbaca tentangnya memang menjadi keutamaan untuk dibeli. Tak ingat tentang album ini. Rasanya dulu-dulu yang pernah nampak adalah album pertama mereka, Expositionsprophylaxe ataupun mungkin juga album split mereka bersama Pungent Stench.

Seperti yang diceritakan dalam entri Tapping The Vein dan Renewal, tahun 1992 adalah tahun yang saya agak ketinggalan dalam dunia muzik extreme metal semasa. Tak pernah tau pun pasal album ini. Gambar covernya yang pelik dan tak death metal langsung itulah yang menjadi penyebab rasa tertarik untuk membeli cdnya.


Tanggapan saya terhadap muzik mereka sedikit tersasar. Saya menjangkakan yang Not to Be Undimensional Conscious adalah sebuah album yang bercirikan grindcore. Ternyata saya silap. Tak pasti dengan album awal mereka tetapi Not to Be Undimensional Conscious adalah sebuah album death metal yang mempunyai unsur-unsur experimental di dalamnya.  Asasnya adalah death metal. Tetapi muziknya sedikit rojak. Ada yang funky malah lagu The Return Of The Living Beat memasukkan unsur hip-hop dan rap. Ianya adalah sesuatu yang segar dan jarang ada pada ketika itu.

Mungkin muzik mereka boleh juga dikategorikan sebagai progressif death metal. Ianya sedikit mengingatkan saya kepada Voivod. Tetapi mereka lebih mudah hadam berbanding Voivod. Sesuai untuk mereka yang mahukan kepelbagaian dalam muzik death metal mereka.


Friday, May 27, 2022

Renewal

Bila dah bercerita tentang album Tapping The Vein dari Sodom dalam entri yang lepas, rasanya patut juga bercerita tentang album dari band seangkatan yang juga diterbitkan pada tahun yang sama.


Kreator - Renewal (1992)

Kenangan saya dengan album ini hampir sama dengan Tapping The Vein. Kedua-duanya tidak berpeluang untuk didengar pada tahun ianya dikeluarkan. Tetapi yang berbezanya, saya kurang gemar dengan Renewal pada pendengaran pertama berbanding Tapping The Vein.

Entah kenapa hampir semua nama-nama besar band thrash telah berubah arah pada tahun-tahun awal 90an. Kreator juga tidak terkecuali. Berbanding Sodom yang menjadi lebih aggresif, Kreator bereksperimen untuk menjadi lebih perlahan dengan sesetengah lagunya mempunyai pengaruh industrial. 

Saya kurang gemar dengan soundnya yang kering dan vokal Mille Petrozza yang menjerit. Sememangnya mengecewakan jika anda adalah pengemar thrash yang konservatif. Ianya menjadi punca saya meninggalkan Kreator untuk beberapa album sehinggalah saya tertarik dengan gambar cover Endorama untuk kembali mengambil tahu tentang mereka. Mungkin ianya patut diceritakan dalam entri yang lain.

Tak pernah beli kasetnya. Versi cd baru diperolehi beberapa tahun yang lalu. Tetapi ini adalah kali pertama memutarkannya khas untuk entri ini. Seiring dengan peningkatan usia, rasanya saya kini lebih terbuka. Tetapi tidaklah bermakna semua benda boleh diterima. Renewal berada di dalam kategori yang masih boleh diterima. Tetapi saya masih kurang gemar dengan produksi soundnya yang kering.


Tuesday, May 24, 2022

Tapping the Vein

 Siri ulangkaji album-album yang lama dah tak dengar...

Sodom - Tapping the Vein (1992)

Jujurnya tak beli dan tak dengar album ini pada tahun ianya diterbitkan. Tak ingat kenapa. Berkemungkinan kerana pada ketika itu saya baru tamat pengajian dan kembali tinggal di kampung tanpa duit dan kawan-kawan yang satu kepala. Makanya agak banyak juga album-album menarik di penghujung 1992 dan awal 1993 yang saya ketinggalan.

Namun begitu apabila berpeluang mendengarnya, ianya bolehlah dikatakan sebagai salah satu album Sodom yang kena dengan selera. Hanya nilai sentimental dan nostalgia menjadikan album-album sebelumnya lebih diminati. 


Di kala band-band thrash lain berevolusi menjadi seperti Metallica dan Pantera, Sodom di tahun 1992 masih mengekalkan identiti thrash mereka. Malah mereka menjadi semakin aggresif dan berat berbanding album sebelumnya. Ianya kedengaran seperti sebuah album death metal terutamanya di bahagian drums dan vokal Tom Angelripper yang lebih garau. Tetapi di dalam masa yang sama, masih ada lagu yang perlahan (One Step Over The Line) dan rock n roll (Wachturm) yang mengingatkan kita kepada Better Off Dead (1990).

Kalau ada nak komplen pun mungkin kerana durasinya yang agak panjang yang memungkinkan rasa berulang dan hilang tumpuan. Bukan thrash yang biasa kita dengar dari Sodom. Tapi bagus. 



Thursday, November 25, 2021

BBC Radio 1 Live in Concert

Layanan rawak bekerja dari rumah...tak pasti bila nak kena masuk ofis ni... 

UFO - BBC Radio 1 Live in Concert (1992 - copyright 1974/1980)

Cd hadiah dari Deaf. Di beli ketika beliau mengunjungi kota London sebelum zaman Covid yang lalu. Beliau tahu yang saya adalah pengemar UFO. Terimakasih atas ingatannya Deaf. Nak balas balik entah bila agaknya boleh sampai kota London... 😁.

Ini adalah antara cd yang patut dimiliki oleh pengemar tegar UFO. Yang menarik tentang cd ini adalah kerana ia mengandungi rakaman dari 2 era UFO yang berbeza. Era Paul Chapman pada track 1-8 (Hammersmith Odeon - 04/02/1980 dan era Michael Schenker pada track 9 - 12 (Hippodrome at Golders Green - 06/06/1974).

Walaupun begitu, Paul Chapman sebenarnya terlibat dengan kedua-dua persembahan live tersebut. Beliau adalah gitaris jemputan ketika persembahan di tahun 1974 tersebut. Beliau sememangnya pernah beberapa kali menjadi gitaris jemputan untuk persembahan live sebelum secara rasminya menggantikan Michael Schenker pada tahun 1980. 

Yang menariknya, beliau bukan sekadar di posisi rhythm gitar. Tetapi beliau juga melakukan solo. Makanya untuk track 9-11, kita boleh dengar twin gitar solo dari Michael Schenker di kiri speaker dan Paul Chapman di kanan speaker (kena dengar menggunakan ear/head phone untuk kesan yang lebih). Mendengar rakaman live sebegini membuatkan kita rasa lebih menghargai kerja gitar Paul Chapman.

Posisi lainnya tidak banyak beza. Kedua-duanya adalah Phil Mogg (vokal), Pete Way (bass) dan Andy Parker (drums). Cuma untuk rakaman tahun 1980, Paul Raymond digunakan sebagai rhythm gitar dan keyboards.


Friday, September 17, 2021

Dog Eat Dog

 Lagi pendegaran rambang sambil bekerja dari rumah...

Warrant - Dog Eat Dog (1992)

Tak ingat kenapa tak beli kasetnya pada ketika ianya dikeluarkan dulu. Tengah kemaruk dengan muzik yang lebih extreme atau mungkin juga kasetnya ini tidak pernah sampai ke bumi Malaysia. Tak pasti.

Tetapi yang pastinya baru-baru ini sahaja dapat berpeluang mendengarnya secara betul. (Panic buying musim PKP punya penangan...haha..).

Dog Eat Dog diterbitkan ketika tahun-tahun grunge adalah muzik rock yang mainstream dan hard rock seperti Warrant pula adalah genre muzik yang tidak lagi "cool" untuk anak muda pada zaman tersebut. Banyak yang menjadi mangsa dan sayangnya banyak juga album-album yang bergenre sebegini sebenarnya sangat bagus. Dog Eat Dog adalah salah satu darinya.

Album ini sebenarnya agak berbeza dengan 2 album awal mereka. Usia yang semakin matang dan pemilihan producer yang berlainan rasanya memainkan peranan. Sound mereka lebih berat dan matang. Michael Wagener sebagai penerbit sememangnya berlainan dengan Beau Hill yang biasanya lebih kearah sound bersih dan pop. Tambahan pula ini kali pertama gitaris mereka, Erik Turner dan Joey Allen di beri peluang untuk memainkan sendiri lagu-lagu mereka di studio berbanding Beau Hill yang lebih gemar memanggil pemuzik jemputan untuk rakaman 2 album awal mereka. 

Dog Eat Dog bolehlah dikatakan sebagai album balas dendam. Selepas di "cop" sebagai cheesy dengan Cherry Pie, Dog Eat Dog adalah sisi gelap Warrant. Mereka membuktikan yang mereka bukanlah sekadar glam party band. Sayangnya kegagalan album ini dipasaran menyebabkan mereka tidak dapat bertahan. Jani Lane menyanyi solo manakala Joey Allen dan Steven Sweet meninggalkan band. Walaupun mereka ada reunion beberapa tahun kemudiannya... tetapi keadaan dan masanya tidak lagi akan menjadi sama.

Kalau anda pengemar muzik hard rock seperti saya, Dog Eat Dog adalah antara yang anda patut cari dan dengar. Salah satu yang album terbaik untuk genre sebegini pada dekat 90an. Sayangnya saya sendiri pun ketinggalan keretapi...


Thursday, September 2, 2021

Gila Format - Fear Of The Dark

Pendegaran rawak sambil menunggu Senjutsu...

Iron Maiden - Fear Of The Dark (1992)

Ini adalah zaman yang saya tidak mengambil tahu tentang Iron Maiden. Ntah kenapa ketika itu saya agak tawar hati dan sedikit "lost" dengan mereka. Walaupun ada membeli kaset single "Be Quick Or Be Dead" tetapi tidak mengambil tahu langsung tentang album "Fear Of The Dark". Mungkin kerana faktor tiadanya Adrian Smith dan kebetulan pula pada ketika itu selera muzik saya lebih terarah kepada muzik yang lebih berat.

Percaya atau tidak, lagu Fear Of The Dark pertama kali saya dengar adalah di radio (tak ingat radio mana), versi live dari album A Real Live One. Tak pernah ada versi kaset sebelum ini. Memang tak pernah beli ketika tahun ianya dikeluarkan. Kalau tak silap versi kaset yang ada pada saya ini adalah di beli dari Skudal beberapa tahun yang lalu.

Versi cd pun lambat. Tak pernah ada versi 1st press. Cd yang ada ini adalah versi enhanced terbitan tahun 1998. Manakala versi piring hitam pula adalah hadiah dari Deaf. Ada diceritakan dalam entri >SINI<.

Bila mendengar semula Fear Of The Dark, rasa rindu pula dengan lagu-lagu jenis "straight forward" dan pendek-pendek begini. Rasa lebih seronok. Semenjak muzik mereka menjadi lebih progresif seperti sekarang, memang susah dah nak jumpa lagu-lagu yang yang durasinya di bawah 4 minit. Saya agak kurang gemar dengan lagu-lagu yang panjang. Cepat rasa bosan. Senjutsu pun majoritinya adalah lagu-lagu yang panjang. Haraplah ianya tidak membosankan.


Wednesday, June 2, 2021

Senikata Cinta

Layanan ketika di kuarantin 10 hari... (bahagian 4)

Dalam tempoh terkurung di rumah ini saya cuba untuk mendengar seberapa banyak album-album rock melayu yang suatu masa dahulu tak pernah di ambil tahu.

***Tetapi maaf lah saya hanya mampu mendengarnya melalui versi cdr. Tak pernah jumpa versi cd dan tak mampu pula kalau nak beli versi kaset ataupun piring hitam

Jasad Liar - Senikata Cinta (1992)

Nama ganas. Tengok senarai nama band membersnya pun dasyat -dasyat..

Acey - penyanyi (Teras)

Joe - gitar (Burnmarks)

Zanal - bass (Naja)

Emy - drum (Burnmarks)

Tetapi sayang lagu-lagunya bukanlah yang kena dengan selera saya. Bukan tak bagus, tengok pemuziknya pun (terutamanya Joe) dah tahu yang mereka adalah hebat. Lagu-lagu pun adalah ciptaan mereka sendiri. Tetapi konsep mereka lebih kepada pop rock dengan beberapa lagu yang condong ke arah hard rock kerana sound gitar Joe.

Saya menantikan lagu-lagu neo classical metal ala-ala Malmsteen kerana sejarah Joe sebagai peminat Malmsteen. Sayangnya album ini lebih tertumpu kepada lagu-lagu balada yang agak komersial. Tetapi ada juga bahagian solo-solo gitar yang menunjukkan kehebatan beliau tetapi ianya terbatas kerana konsep album yang sebegitu.

Ada juga lagu-lagunya yang mudah melekat. "Ilham Bumi" dan "Selamat Malam" adalah di antaranya. Jika anda sukakan lagu-lagu balada rock mungkin album ini sesuai untuk anda.



Thursday, May 7, 2020

Hiburan WFH - The Wild Life

Lagi hiburan berkerja dari rumah...


Slaughter - The Wild Life (1992)

Yang ini akan sentiasa mengingatkan kenangan pada penghujung tahun 1992 atau awal 1993. Zaman baru abis belajar di IPTA dan tak pasti apa langkah seterusnya. Lepak-lepak kat rumah menganggur sambil cuba-cuba cari kerja dan sebelah malamnya bersedia dengan tape video kosong untuk merakam lagu-lagu menarik yang ke udara dalam rancangan MTV Asia di TV5 Singapura.

Salah satu lagu yang di rakam adalah Real Love. Lagu yang menampilkan Shannen Doherty sebagai modelnya. Masa tu beliau tengah top dengan cerita Beverly Hills, 90210. Tak minat pun ceritanya. Cuma minat wajah Shannen Doherty sahaja. Kah kah kah...

Asyik lah ulang-ulang video clipnya. Tapi masa tu kasetnya pun tak ada lagi. Maklumlah zaman menggangur tak kan lah nak minta duit mak pulak nak beli kaset. Mampus kena belangkung nanti...


The Wild Life ni banyak lagu sedap. Selain "Real Love", suka juga "Days Gone By", "The Wild Life", "Streets of Broken Hearts".... Yang menariknya mereka masih mengekalkan muzik glam metal yang jenis straight forward heavy rock and roll dan tidak menjadi blues based rock seperti sesetengah band glam metal yang lain pada ketika Itu (Poison dan Cindirella contohnya).

Tetapi seperti band-band yang sezaman dengan mereka, muzik yang bersangkut paut dengan glam metal 80an tidak lagi di anggap "cool" pada ketika itu. Di tambah dengan masalah dalaman mereka, Slaughter tidak lagi diendahkan dan akhirnya dilupakan di arena mainstream....



Wednesday, November 21, 2018

Timur Barat - vinyl

Yang terkini di pasaran...


XPDC - Timur Barat (vinyl 2018)

Selepas Darjah Satu, kini giliran Timur Barat pula di piringhitamkan. Lama tunggu. Setahun lebih. Tak silap Darjah satu dipiringhitamkan pada bulan Februari tahun lepas. Tapi ok la, sempat kumpul duit.


Dari segi sound memang banyak kemajuan berbanding dengan Darjah Satu. d'Atok Akeem dari Otai Art Studio telah melakukan kerja yang baik. Re-remastering dari beliau memang sentiasa terbaik. Tabik!



Dari segi harga memang terus terang rasa mahal. Main lp lagu melayu ni memang dah jadi hobi yang mahal. Tapi bab berbaloi ker tidak, itu terpulang pada diri masing-masing. Tepuk dada tanya selera dan raba poket. Letih lah nak berbalah pasal harga ni.



Harapnya lepas ini giliran Brutal dan Kita Pengyu. Lama lagi pun tak apa. Memang sesak nafas la kalau tiap-tiap bulan keluar lp harga macam ni. Memang mampu tengok jer la...