Showing posts with label Richie Kotzen. Show all posts
Showing posts with label Richie Kotzen. Show all posts

Sunday, July 20, 2025

Black Light/White Noise

 Antara yang terkini di pasaran.

Smith/Kotzen - Black Light/White Noise (4 April 2025)

Album kedua dari gandingan Adrian Smith & Richie Kotzen. Secara jujurnya saya membeli cd ini semata-mata kerana Adrian Smith. Dan jujurnya juga saya sememangnya kurang berminat dengan hasil kerja Richie Kotzen tak kira samada zaman beliau solo ataupun ketika bersama Poison mahupun Mr. Big.

Beliau lebih kepada blues rock. Satu genre yang kurang kena dengan jiwa. Album ini seperti juga album pertama mereka adalah lebih Richie Kotzen berbanding Adrian Smith yang kita kenal dalam Iron Maiden. Sememangnya agak payah juga untuk hadam album sebegini walaupun ada lagu yang mempunyai solo yang bagus.

Ini adalah satu contoh cd yang dibeli sekadar untuk memenuhi rak. Entah bila nak dengar lagi tu Wallahu a'lam...


Monday, June 28, 2021

Smith / Kotzen

 Antara yang terbaru di pasaran...

Adrian Smith & Richie Kotzen - Smith / Kotzen (2021)

Tiada tour/show/konsert ketika lock down pandemic Covid 19 menyebabkan ramai pemuzik mempunyai banyak masa terluang. Adrian Smith & Richie Kotzen menggunakan masa tersebut untuk berkolaborasi bersama. Rupa-rupanya mereka telah lama berkawan walaupun genre muzik mereka agak berbeza.

Album ini diterbitkan oleh mereka secara bersama-sama. Dari segi lagu, lirik dan permainan muziknya juga adalah dari gabungan mereka berdua. Kecuali track drum adalah dari pemuzik jemputan (Nicko McBrain adalah salah seorang darinya, namun begitu 5 daripadanya dimainkan sendiri oleh Richie Kotzen). Dari segi vokal walaupun mereka berduet untuk setiap lagu, tetapi ikut pendengaran saya rasanya lebih banyak bahagian diberikan kepada Richie kerana sememangnya sedia maklum yang beliau mempunyai vokal yang lebih bagus berbanding Adrian. 

Tetapi yang menjadi perhatian untuk album sebegini sudah pastinya kerja gitar mereka berdua. Bila 2 orang gitar hero bergabung sudah semestiya solo-solo gitarnya yang lebih menjadi tumpuan. Saya dapat rasakan yang mereka berdua tidak cuba untuk membayangi antara satu sama lain. Ianya lebih kepada solo-solo gitar yang saling melengkapi. Dan ianya memang menarik.

Secara jujurnya album sebegini bukanlah selera saya. Pada saya ianya lebih kepada Richie Kotzen berbanding Adrian Smith. Lagu-lagu yang mempunyai pengaruh blues rock seperti ini sememangnya sudah sinonim dengan Ritche. Tidak ada lagu yang melekat dengan sekali pendengaran. Tetapi ianya adalah sebuah album yang menarik untuk dijadikan muzik latar belakang ketika berkerja dari rumah. Solo-solo gitarnya memang padu.