Showing posts with label 1969. Show all posts
Showing posts with label 1969. Show all posts

Thursday, July 29, 2021

Led Zeppelin II

 Hiburan rawak work from home...

Led Zeppelin - II (1969)

Tergerak hati untuk mendengar cd ini setelah mendapat perkhabaran yang seorang rakan (satu dorm ketika di ITM) telah kembali ke rahmatullah kerana angkara covid durjana. Sedih betul lah semakin hari semakin banyak dapat perkhabaran tentang mereka-mereka yang kita kenali menjadi mangsa Covid 19. Semoga kita semua terpelihara dan dijauhkan.

Tujuan mendengar cd ini adalah kerana ianya mengingatkan saya kepada arwah. Beliaulah yang mengenalkan saya kepada Led Zepplein. Sebelum dari itu saya hanya mengetahui beberapa lagu Led Zeppelin yang popular tanpa pernah mendengar keseluruhan album. Di dalam locker beliau tersusun kesemua album Led Zeppelin dalam bentuk kaset. Memang peminat setia sehinggakan kami menggelarkan nama beliau sebagai "Led". 

Walaupun sebenarnya ketika itu tak berapa nak masuk. Maklumlah ketika itu (tahun 1989) zaman remaja yang sedang kemaruk dengan muzik ekstrim terutamanya thrash. Album ini adalah yang pertama saya dengar dari koleksi beliau. Tak pasti kenapa. Tetapi elemen misteri dari gambar covernya membuatkan saya tertarik hati untuk mendengarnya. Tetapi macam yang cakap tadi la. Tak masuk pun pada ketika itu. Yang rasa tertarik cuma lagu Whole Lotta Love. Itupun kerana dah pernah mendengarnya sebelum itu.

"Fast forward" 30 tahun selepas itu, saya mula mengumpul cd-cd Led Zeppelin. Mungkin seiring dengan peningkatan usia dan minda yang lebih terbuka saya mula menghargai album ini. Antara kegemaran saya sekarang adalah "The Lemon Song" dan "Thank You".

Tapi sememangnya album ini bagus. Semua lagu pun sedap...Ramble on, Living Loving Maid dan sudah semestinya Whole Lotta Love. Sound bass John Paul Jones dalam album ini sememangnya lemak berkrim untuk sound-sound era rock awal 70an. Padu betul la....



Alfatihan untuk arwah Zulkifli Bin Jamaluddin. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang -orang yang beriman. Senyuman dan budi baiknya memang tak akan di lupakan sampai bila-bila....
Selamat jalan dan terimakasih sahabat....


Friday, January 2, 2015

Help!

Yang pertama untuk 2015…50 tahun...memang dah tahap atuk nenek ni…


The Beatles - Help! (1965)

Saya tak banyak koleksi album-album dari tahun 60an. Atau mungkin memang tiada pun kecuali album-album dari The Beatles. Sejujurnya saya tidak pernah didedahkan secara "direct" kepada muzik mereka. Hanya sesekali mendengar di radio. Maklumlah saya pun hanya dilahirkan ke dunia pada awal 70an.

Ketika dunia di kejutkan dengan kematian John Lenon (semasa itu saya di sekolah rendah), barulah saya tahu apa itu The Beatles. Itu pun sekadar membaca di akhbar tetapi tetap tidak mengambil tahu perihal muzik mereka.

Mula mendengar muzik mereka hanya pada awal 90an. Itupun lebih kepada album-album dari zaman "Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band" ke atas angkara  kaset "1967–1970 (The Blue Album)". Saya lebih mengemari lagu-lagu dari zaman "hippies" mereka berbanding zaman "pop yeh yeh". Cuma baru kebelakangani ini saya mula mencuba untuk mengumpul album-album awal mereka termasuk yang ini.


Tak sangka pula Help! juga bagus. Sebelum ini kalau melihat dari senarai lagu, yang saya tahu hanyalah "Help!" dan "Yesterday". Membaca dari pelbagai ulasan, saya difahamkan Help! adalah antara titik perubahan The Beatles dari sebuah band pop remaja menjadi sebuah band yang lebih dewasa. Ada pengaruh Bob Dylan dalam mereka. Itu saya setuju terutamnaya bila mendengar lagu "You've Got to Hide Your Love Away".

Walaupun masih ada beberapa lagu berbunyi pop yeh yeh tetapi lagu-lagunya memang melodic dan lazat. Pada saya jika anda peminat brit pop, sudah semestinya album seperti Help! ini wajib untuk anda. Tidak syak lagi inilah asalnya darimana brit pop itu mendapat pengaruh.

Tahun baru saya disambut bersama-sama dengan Help!. Memang terbaik!!