Saturday, October 30, 2021

Sudah Sampai Sini - Forest City

Hari tu (2hb Okt) ketika Johor beralih fasa dan mula boleh mengunjungi tempat-tempat peranginan seperti pantai contohnya, kami sekeluarga mengambil peluang untuk ke Forest City. Kesian budak-budak lama dah terperuk di dalam rumah dan hampir terlupa bentuk pantai...haha...


Laluan masuk ke Forest City memang lengang. Dah macam cerita Walking Dead. Adalah berselisih dan potong memotong dalam 2,3 buah kereta.


Tak pasti adakah bangunan tinggi-tinggi semua ini ada penghuni. Kalau dulu sebelum PKP memang meriah dengan bas-bas pelancong dari Singapura yang membawa pelancong-pelancong dan prospek pembeli rumah dari negara China. 


Pantainya pun memang lengang. Hampir tiada orang. Memang kami yang punya. Yang ada pun cuma pengawal dan pekerja berbangsa Bangladesh yang sedang membuat penyelengaraan. 


Sayup-sayup kat belakang gambar adalah jambatan link kedua ke Singapura. Semenjak sempadan tak buka, memang lengang la keadaan di sini mahupun di Tambak Johor. Kalau sesak pun cuma deretan lori yang menghantar keperluan harian ke Singapura.


Dulu tangga ini sentiasa ramai orang yang beratur untuk bergambar. Ketika kami datang nak tidur atas tangga tu pun boleh...hahah...Tapi rasanya kalau datang sekarang dah mula dah kembali sesak dengan orang ramai...




Wednesday, October 27, 2021

Stomp 442

Layanan rawak bekerja dari rumah...album yang menyambut ulangtahun ke 26 pada 24hb Oktober yang lalu...

Anthrax - Stomp 442  (1995)

Kalau sebut Anthrax zaman John Bush, satu-satunya lagu yang boleh diingati hanyalah "Only". Bila Joey Belladonna keluar dan kemudiannya Dan Spitz, rasa teruja nak dengar muzik Anthrax dah tak ada. Tetapi sebagai seorang yang kaki membeli kaset, apabila menjengah kedai kaset tetap juga dibeli kasetnya walaupun hanya sekadar untuk di letak di rak.

Jujurnya memang tak dengar pun kasetnya pada ketika itu. Mungkin adalah sekali dua putar, tetapi rasa tak masuk dengan arah tuju Anthrax pada ketika itu. 90an adalah zaman yang menyedihkan jika anda pengemar muzik metal 80an. Banyak band-band kegemaran mengubah muzik mereka menjadi groove metal, grunge dan alternative. Anthrax pun terpalit sama. Malah mereka menjemput Dimebag Darrell untuk menyolo dalam salah satu lagu mereka.

Mendengarnya sekarang dengan pemikiran yang lebih terbuka sememangnya berbeza berbanding 26 tahun yang lalu. Tak adalah nak kata sekarang suka, tetapi adalah juga satu dua lagunya yang rasa ok. Kalau dulu memang semua pun tak suka..haha...

Lagu yang menjadi track pertama, "Random Acts Of Senseless Violence" dan mungkin 2 singles dari album ini. "Fueled" dan "Nothing" serta balada "Bare" antara yang rasanya boleh masuk. Tetapi untuk menjadi album yang suka atau selalu diputar memang tak lah. 

Tetapi yang menarik dari album ini adalah gambar covernya. Ianya adalah hasil kerja tangan Storm Thorgerson. Nama yang cukup sinonim dengan gambar cover album-album Pink Floyd. Asalnya gambar ini adalah untuk album solo kedua Bruce Dickinson, "Balls To Picasso". Tetapi oleh kerana Bruce Dickinson tak mampu nak bayar, ianya menjadi kepunyaan Anthrax.

Sunday, October 24, 2021

Malaya - P. Ramlee and Saloma sing popular music of the Far East

 Antara yang baru dibeli...

P. Ramlee & Saloma - Malaya P. Ramlee and Saloma sing popular music of the Far East (Reissue / Remastered 2021)

Sebuah album lama yang dikeluarkan semula oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di UK. Asalnya diterbitkan pada tahun 1960. Ianya adalah kali pertama di terbitkan dalam format cd.

Satu yang menarik tentang cd ini adalah dari segi sound. Walaupun ianya adalah rakaman yang dah berusia lebih dari 60 tahun tetapi bunyinya sangat bersih.Mendengarnya seolah-olah ianya adalah rakaman baru bukannya rakaman dari tahun 1960. Memang sedap.

Harapnya akan ada lagi terbitan-terbitan berkualiti seperti ini. Sayangnya agak terlambat untuk membeli versi piring hitam. Ianya dah pun "sold out". Kalau tak, tentu seronok kalau ianya dihadiahkan kepada abah. Lama dah beliau mencari piring hitam P. Ramlee. Tapi tak pernah terjumpa dengan harga yang mampu milik.


Thursday, October 21, 2021

Humanity - Hour I

Lagi pendengaran rawak bekerja dari rumah... 

Scorpions - Humanity - Hour I (2007)

Antara cd yang baru dimiliki. Lama dah mencari. Ianya melengkapkan discography album studio mereka dalam koleksi. Dulu rasa-rasanya macam pernah ada kaset. Tapi bila dicari tak ada. Mungkin juga memang tak pernah ada. 

Walaupun begitu, saya pernah ada versi MP3. Bermakna saya pernah mendengar keseluruhan albumnya sebelum ini. Tapi memang dah lupa. Pendengaran kali ini adalah untuk menyegarkan kembali ingatan.

Khabarnya ini adalah konsep album tentang peperangan antara manusia dan robot. Malangnya saya gagal untuk memahami jalan ceritanya kerana cd ini tidak menyediakan lirik. Dari apa yang dibaca, ianya adalah ilham dari Desmond Child yang juga bertindak sebagai penerbit. Maka tak hairanlah hampir keseluruhan lagu-lagunya adalah ciptaan bersama Desmond Child.

Kalau anda kenal Desmond Child, pastinya anda tahu yang beliau memang hebat dalam menghasilkan lagu-lagu pop rock. Bon Jovi, Aerosmith dan Alice Cooper adalah antara yang pernah menggunakan khidmat beliau dan berjaya. Makanya memang tak peliklah kalau Humanity - Hour I memang berkonsepkan pop rock. Majoriti lagu-lagunya memang lagu-lagu yang berentak perlahan dan sederhana.

Kalau mahukan lagu-lagu yang berat memang hampir-hampir tak ada. Tapi jika mahukan lagu-lagu yang sedap dan melodic memang banyak. Ianya adalah Scorpions yang lebih moden. Jangan bimbang, ianya masih berbunyi Scorpions , cuma ada beberapa lagu yang susunan muziknya terikut-ikut dengan trend alternatif rock pada zaman tersebut. Tetapi solo-solo Mathias Jabs memang thumbs up!


Monday, October 18, 2021

Call Of The Wild

Album baru terbitan tahun 2021 

Powerwolf - Call Of The Wild (2021)

Antara band yang sebelum ini hanya sekadar dengar lagu-lagunya di youtube dan spotify. Lama dah tahu pasal mereka tetapi tak pernah tergerak hati untuk membeli. Yang pernah beli pun cuma cd Metalium Nostrum (2018). Album lagu-lagu cover dari mereka. Itupun kerana tertarik dengan cover Savatage - Edge Of Thorns dan Iron Maiden - The Evil That Men Do.

Pembelian cd ini sememangnya pengaruh rakan sebaya. Ini band kegemaran DEAF . Banyak kali dah kena rachun untuk beli dan dengar. Pujian melambung dari beliau yang siap dah pernah tengok mereka secara live membuatkan akhirnya terbeli juga.

Ini adalah album yang ke 8 dan terbaru dari mereka. Mereka adalah generasi millenium (2000an) yang meneruskan legasi band-band power metal dari Jerman. Bagi yang minat genre power metal yang ada elemen symphonic, ini sememangnya makanan anda.

Seperti yang kita tahu, untuk memainkan muzik sebegini bukanlah mudah. Memerlukan skill yang tinggi, vokal yang bagus dan lagu-lagunya yang catchy. Bolehlah dikatakan yang Powerwolf memenuhi kriteria tersebut. Memang sedaplah. Tak peliklah kenapa Deaf suka.

Senang cerita, Call Of The Wild bukanlah sesuatu yang berbeza atau unik atau yang boleh membawa genre power metal selangkah kedepan. Tetapi ianya adalah sebuah album yang boleh membuatkan pendengar "casual" seperti saya terhibur dan mugkin akan jadi peminat mereka.


Friday, October 15, 2021

Kekalkan

Layanan rawak bekerja dari rumah...

Loving Born - Kekalkan (1988)

Tak pernah beli kasetnya dulu. Apa yang boleh ingat tentang album ini adalah lagu "Tanjung Puteri". Sebagai anak Johor sememangnya lagu "Tanjung Puteri" adalah antara lagu wajib yang budak-budak rock Johor pada masa tersebut perlu tahu. Bermacam versi dimainkan terutamanya di dalam majlis-majlis kerja kahwin dan juga studio jamming. Rasanya majoriti band-band rock Johor mesti pernah memainkannya.

Tetapi yang jadi lebih menarik apabila Loving Born yang bukan berasal dari Johor yang merakamkannya. Dan mereka memainkannya dengan cemerlang. Lengok vokalisnya memang kena. Dan pada saya album Kekalkan ini sememangnya mempunyai perisa dan lengok Melayu di dalam beberapa buah lagu-lagunya. Lirik lagu "Kekalkan" yang menjadi tajuk album pun berkisarkan tentang adat melayu.

Memang tak pernah dengar pun keseluruhan albumnya sebelum ini. Selain dari "Tanjung Puteri" (yang kawan sekolah bagi pinjam dengar) dan "Terima Kasih" (yang popular di radio), lagu-lagu lainnya memang tak tahu. Rasanya kalau saya mendengarnya ketika itu (1988), mungkin ini bukanlah yang akan jadi kegemaran. Lagu-lagu perlahannya memang mendayu (ada lengok-lengok melayu lah kan). Memang tak akan kena dengan selera remaja saya pada ketika itu. Tetapi sekarang semenjak dah tua-tua ni kira bolehlah juga.

Tak ada masalah dengan lagu-lagu berat mereka. Bagus. Harapnya album ini dimainkan oleh mereka sendiri. Tetapi yang pastinya sound gitar nyaring (macam bunyi tersepit) di dalam album ini mempunyai banyak persamaan dengan beberapa album yang sezaman dengannya. Mungkin juga kerana setting atau gitar atau studio atau mungkin juga orang yang sama memainkannya. Tak pasti.


Wednesday, October 13, 2021

Gila Format - Thrash Zone

Lagi kenangan zaman remaja yang berjaya di"gila format"kan dan bersempema ulangtahun ke 32 album ini pada 10hb Oktober yang lalu...


D.R.I. - Thrash Zone (1989)

Tak ingat bila beli kaset ni. Antara kaset yang saya lupa nak catat tarikh beli. Biasanya dulu-dulu memang rajin tulis tarikh beli. Tetapi rasanya ini semua adalah hasil dari duit pinjaman dari Yayasan Pelajaran Johor. Orang bagi duit untuk kegunaan belajar tetapi kita gunakan untuk membeli kaset 😁. Tak apa lah, ianya bukan biasiswa pun. Dah lama pun dibayar balik. Tambahan pula kaset-kaset ini memang digunakan sebagai alat bantuan belajar. Lagu-lagu sebegini diputarkan sebagai latar belakang untuk menghilangkan rasa mengantuk sewaktu belajar. Walupun mungkin sebenarnya 60 hingga 70 peratus adalah membaca lirik dan menghayati lagu dan bakinya adalah belajar...hahaha...


Cd pula di beli ketika zaman mula kenal e-bay. Antara cd terawal yang di cari pada ketika itu. Versi piring hitam pula dibeli dari seorang rakan facebook yang berada di Jepun. 

Antara cover album yang agak ikonik untuk peminat muzik berat dan thrash terutamanya. Banyak kali juga gambar cover ini saya gunakan sebagai avatar saya semasa zaman internet forum. 


Banyak lagu yang sedap tetapi antara yang paling diingati sudah semestinya "Kill The Words". Selain melodinya yang catchy, liriknya adalah tentang kontroversi fatwa Ayatollah Khomeini untuk membunuh penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie


Monday, October 11, 2021

The Dark

Layanan rawak sambil bekerja dari rumah

Metal Church - The Dark (1986)

Sebenarnya baru sahaja dapat versi piring hitam. Tu yang tergerak hati nak dengar. tambah pula album ini telah menyambut ulang tahun yang ke 35 pada 6hb Oktober yang lalu.

Tak ada pun kenangan tentangnya kecuali lagu ballad "Watch The Children Pray". Itu pun mendengarnya bukan dari album ini tetapi dari satu kaset kompilasi lagu-lagu slow rock. Selalu nampak kasetnya di kedai, tetapi entah kenapa tak tergerak hati pula nak beli. Mungkin juga kerana adanya perkataan "Church". Biasalah zaman budak-budak dulu memang pantang dengar perkataan begini. Tambah pula kalau orang tua nampak ianya ada dalam koleksi. Memang nak cari nahas lah jawapnya..

Mula berminat nak dengar mereka setelah membaca satu artikel tentang gitaris mereka, John Marshall (tidak terlibat di dalam album ini) adalah gitar tech kepada Kirk Hammet dan pernah menggantikan tempat James Hetfield sebanyak 2 kali secara live ketika James Hetfield cedera di tangan. Tetapi yang betul-betul mendengar album-album mereka secara bersungguh hanyalah dalam setahun dua yang lalu. Ianya seperti baru terjumpa satu band baru yang kena dengan jiwa. 

Muzik mereka tidaklah terlalu thrash. Ketika ini pun rasanya belum wujud istilah thrash. Ianya masih dalam lingkungan heavy metal 80an. Tidak terlalu berat tetapi secukup rasa. Antara album yang saya boleh dengar lagi dan lagi berulang kali tanpa menekan button "stop" di pemain cd. (antara sebab album yang bagus tak sesuai dimainkan dengan piring hitam...leceh dan malas nak tukar side tambah-tambah pula kalau yang jenis 2 lp apatah lagi yang 3 lp...haha...)

Antara yang agak underated sehinggakan saya dulu pun tak mendengarnya. Tetapi ianya adalah sebuah album yang tak kalah kalau nak dibandingkan dengan album-album metal yang keluar pada tahun 1986...Best!


Friday, October 8, 2021

Phantom Blue

Lagi layanan rawak bekerja dari rumah...

Dah 2 entri pasal band aweks...tambah lagi satu...

Phantom Blue - Phantom Blue (1989)

Pengemar produk dari Shrapnel Records dan Roadrunner records pastinya tahu atau sekurang-kurangnya pernah terbaca nama Phantom Blue. Album ini sering di iklankan bersama-sama dengan band-band dan shredder lain dari label tersebut.

Paling tak lupa ianya diiklankan sebagai album yang diterbitkan secara bersama oleh Marty Friedman. Manalah tak teruja nak dengar. Tambah-tambah pula ini adalah band awek-awek rockers. Selain dari Vixen, memang sudah nak jumpa band-band rock wanita ni.

Sayangnya tak pernah terjumpa ianya dijual dikedai-kedai di sekitar Ulu Tiram-Johor Bahru-Segamat. Memang tak pernah dengar dan langsung terlupa tentangnya sehinggalah terjumpa cdnya di jual beberapa bulan yang lalu.

Ternyata muzik mereka lebih berat dari Vixen. Ianya adalah heavy metal berbanding hard rock dari Vixen. Suara vokalisnya memang hebat. Sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada Doro. Permainan muzik terutamanya bahagian gitarnya memang hebat. Shredder lah kan. Kalau tak..tak kan lah dapat mengikat kontrak bersama Shrapnel Records.

Kekurangan mereka berbanding Vixen (dari segi wajah memang tak kalah la...memang comel-comel belaka) adalah dari segi lagu yang menangkap atau catchy. Ada sekadar dua tiga lagu (Going Mad, Why Call It Love adalah antaranya) yang sekali dengar dah rasa sedap. Yang lainnya agak sukar dengan sekali dua pendengaran. Sebab lainnya mungkin juga kurang dari segi promosi.


Tuesday, October 5, 2021

Echoes Of The Soul

 Lagi album baru terbitan 2021...

Crypta - Echoes Of The Soul (2021)

Sedikit mukadimah. Crypta adalah sebuah band death metal yang kesemua anggota bandnya adalah wanita. Kesemua mereka kecuali Sonia Anubis (Belanda) adalah berasal dari Brazil. Ini adalah album pertama mereka.

Saya bukanlah peminat tegar genre Death Metal. Tambah-tambah pula semenjak semakin meningkat usia. Kalau beli pun biasanya hanyalah untuk album dan band yang mengembalikan nostalgia ketika zaman remaja. Pembelian cd ini sememangnya semata-mata kerana ianya adalah band terbaru dari Sonia Anubis selepas beliau meninggalkan Burning Witches. Beliau adalah salah seorang gitaris yang saya ikuti chanelnya di youtube.

Tak sangka pula ianya bagus. Muzik mereka berkonsepkan old school death metal. Yang menariknya pada saya adalah rif-rif dan solo-solo gitarnya. Kombinasi dual gitar solo dari Sonia Anubis dan Taina Bergamaschi benar-benar memikat telinga dan hati. Mereka berdua sememangnya shredder yang bukan hanya cantik pada muka. Tabik!

Echoes Of The Soul membawa saya kembali bernostalgia ke era awal 90a bersama band-band Death Metal Florida seperti Death, Obituary, Morbid Angel dan sebagainya. Pengaruhnya memang jelas kearah tersebut. Ini akan menjadikanya sebagai salah satu album pilihan saya untuk tahun 2021 bagi genre yang sebegini.


Saturday, October 2, 2021

The Witch of the North

Album baru 2021..

Burning Witches - The Witch of the North (2021)

Asalnya tak bercadang untuk beli. Maklumlah gitaris wanita kegemaran, Sonia Anubis tidak lagi bersama Burning Witches. Tetapi bila dapat tahu yang mereka merakamkan semula lagu "Hall Of The Mountain King" dari Savatage, terus rasa terpanggil untuk beli.

Tak sangka pula yang album ini adalah lebih baik dari album sebelumnya >SINI<. Ianya lebih melodic dan mudah hadam. Terperuk di studio tanpa ganguan konsert kerana covid-19 mungkin menjadi penyebab bagi mereka menghasilkan lagu-lagu yang lebih sedap. Faktor vokal Laura Guldemond juga memainkan peranan. Ini adalah penampilan kedua beliau. Ternyata mereka lebih matang dan bijak menggunakan kekuatan suara beliau untuk mempelbagaikan corak lagu-lagu mereka bukannya statik ke arah yang sama ketika bersama vokalis lama.

Ketiadaan Sonia tidak terasa. Burning Witches pengeraknya utamanya adalah Romana Kalkuhl. Beliau pun seorang gitaris yang bagus. Kemasukan Larissa Ernst sebagai pengganti Sonia melengkapkan kembali Burning Witches. Rif-rif, melodic line dan solo-solo dari mereka berdua memang sedap. 

Ianya adalah sebuah album yang grower. Makin lama dengar makin sedap. Jika anda pencinta lagu-lagu heavy metal 80an seperti Judas Priest, Manowar atau mana-mana band US power metal, ini sememangnya untuk anda. Tambah-tambah pula cover "Hall Of The Mountain King" dari mereka sememangnya menjadi. (Untuk nota, mereka menjemput Chris Caffery untuk menyolo dalam lagu ini)-

Awek lawa. Lagu Sedap. Apa lagi yang anda mahukan?...