Showing posts with label Pink Floyd. Show all posts
Showing posts with label Pink Floyd. Show all posts

Saturday, August 23, 2014

The Division Bell

Yang menyambut ulangtahun ke 20...


Pink Floyd - The Division Bell (1994)

Entri sebelum ni dah cerita dah pasal saya dan Pink Floyd. Macam karangan zaman budak sekolah pulak dah...hahaha...kali ini bercerita perihal salah satu dari album mereka.

Kenapa The Division Bell?..Ok...tak kisah lah kalau album ini tiada Roger Waters. Mungkin kerana album ini pernah saya dengar ketika tahun ianya diedarkan berbanding album mereka yang lain. Tetapi yang paling utamanya album ini paling murah dan mudah untuk saya miliki. Harga dalam lebih kurang RM16 dari estock_deutschland.

Cd 1st press terbitan EMI UK. Yang menariknya kat cd case bahagian depan kiri ada tulisan Pink Floyd yang ditulis dalam tulisan Braille...nampaknya kalau cd case pecah pun kena la simpan...

Untuk berlaku adil, saya mendengarnya berulang-ulang kali hampir 3 minggu secara berterusan. Perlu diakui saya sering gagal untuk menghabiskan track 1 (Cluster One). Lagu instrumental yang pada saya terlalu perlahan untuk memberikan impak lagu pertama. Letih....itulah yang saya rasakan. Skip.

Tetapi track ke 2 (What Do You Want from Me) dan ke 3 (Poles Apart) saya suka. Walaupun perlahan tetapi melodi sedap. Tetapi instrumental di track ke 4 (Marooned) membuatkan saya kembali tertidur. Penyudahnya beberapa hari yang awal saya hanya sempat menghabiskan sehingga track ke 4 sebelum tertidur atau kepala merewang ke tempat lain sehinggakan gagal untuk menumpukan perhatian.

Ini tak boleh jadi. Balik-balik dengar track no 2,3...4 terus tertidur. Pendengaran hari-hari berikutnya saya mulakan dengan track no 5 (A Great Day for Freedom) dan no 6 (Wearing the Inside Out). Boleh tahan tetapi tidak sebagus track no 2 dan 3. Melodinya agak meleweh. Tetapi bila masuk track no 7 (Take It Back) terus saya terpikat. Lagu yang sedikit mid tempo dan kurang meleweh yang mengingatkan saya kepada U2. Best lagu ni.

Track no 8 (Coming Back to Life) adalah salah satu lagi lagu yang saya suka. Bermula perlahan kemudian menjadi mid tempo dipertengahannya. Melodinya sangat catchy. Lunak betul. Ntah kenapa lagu ini tiba-tiba mengingatkan saya kepada Morten Harket (A-ha).

Track 9 (Keep Talking) sebuah lagi lagu meleweh. Track 10 (Lost for Words) agak menarik juga. Ada ala-ala country rock yang ntah mengapa buat saya teringatkan Eagles. Track terakhir (High Hopes) buat saya terus rasa letih.

Yang menariknya Pink Floyd sentiasa mempunyai gambar kaver album yang kreatif dan cantik. Gambar-gambar di dalam booklet pun lawa-lawa belaka.

Secara keseluruhannya album ini sememangnya cemerlang. Produksi tip-top. Crystal clear. Lagu sedap. Permainan muziknya pun hebat. Solo-solo gitar David Gilmour yang meruntun perasaan. Tiada masalah pun pada saya kalau tiada Roger Waters. Pink Floyd masih Pink Floyd. Sekarang saya faham kenapa ramai yang sukakan mereka. Cumanya....

Itulah...saya mempunyai masalah untuk hadam lagu yang meleweh bila didengar secara berterusan. Dengar satu dua lagu ok. Tapi bila nak kena dengar 11 lagu mendayu dan meleweh secara berterusan...saya mengaku kalah....kalaulah mereka ada lebih sedikit lagu-lagu yang mid-tempo kan ker lagi best. Mungkin oleh kerana itu saya lebih sukakan Toto berbanding Pink Floyd.

Nak buat macamana...selera manusia berlainan kan?...Tetapi secara jujur saya tertarik untuk mendengar album mereka yang lainnya pula. Sedikit minat tu dah ada. Apa-apa pun saya bagi rating 4 dari 5 bintang untuk The Division Bell. Memang diakui sangat terbaik!.



Friday, August 22, 2014

Pink Floyd - A Life in Pictures



Pink Floyd - A Life in Pictures

Buku ini di beli ketika Big Bad Wolf Sale tahun lepas. Baru ni jer berkesempatan untuk khatam. Tapi entri ini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk mengulas buku. Anggaplah gambar-gambar sekadar selingan sementara saya bernostalgia tentang Pink Floyd.


Maafkan saya. Saya adalah dari golongan yang tak berapa nak hadam dengan muzik Pink Floyd. Saya tak nafikan yang muzik mereka memang bagus. Sangat bagus dan hebat. Tetapi saya selalu gagal dengan muzik yang meleweh. Mungkin ianya bukan jiwa saya.


Dari dulu saya telah mencuba. Tetapi gagal. Saya mula dikenalkan secara bersungguh kepada Pink Floyd semasa saya menuntut di ITM sekitar tahun 1990. Rakan saya yang juga seorang die-hard extreme metal adalah peminat Pink Floyd. Malangnya beliau gagal mempengaruhi saya seperti mana senangnya saya terpengaruh dengan koleksi kaset-kaset extreme metal beliau.


Dari dulu saya sering berasa was-was dengan mereka yang mengatakan kononnya mereka peminat Pink Floyd. Kerana saya pernah terjumpa beberapa rakan yang menamakan Pink Floyd sebagai muzik kegemaran hanya kerana untuk menunjukkan yang mereka rock tapi ada "class" atau ada "high taste"...selera yang bagus dalam muzik. Padahal tak tau pun lagu Pink Floyd selain “Wish You Were Here”. Sama kes macam awal 90an dulu ada rakan-rakan yang menggunakan muzik Kenny G atau kalau melayunya Sheila Majid untuk "impress" dan mengurat awek. Kalau cakap minat Napalm Death memang takder perempuan lah yang nak dekat...iyer tak?...heheh...


Tambah pula saya selalu berpegang yang pink bukanlah warna rock. Ianya mestilah Black Sabbath ataupun sekurang-kurangnya Deep Purple. Malah Whitesnake pun ok jugak...tetapi pink tidak sama sekali....hahaha...

Tetapi saya yakin, pembaca blog ini majoritinya adalah peminat muzik. Peminat muzik paham apa muzik yang mereka minat. Saya tabik jika anda peminat Pink Floyd kerana saya tidak dapat untuk menjadi seperti anda. Maafkan saya.


*sebenarnya entri ini ditulis asalnya untuk ulasan album The Division Bell. Tetapi memandangkan intronya pun dah panjang berjela. Saya jadikannya 2 bahagian. Cerita berkenaan The Division Bell akan saya "publish"kan di entri yang seterusnya.