Monday, February 28, 2022

Persona non grata

Lagi album terbitan 2021....

Exodus - Persona Non Grata (2022)

Album kedua selepas kembalinya Steve "Zetro" Souza kepangkuan Exodus. 7 tahun selepas album yang terakhir, Blood In, Blood Out (2014). Ianya tertangguh kerana komitmen Gary Holt kepada Slayer, Lee Altus kepada Heathen dan penyakit kanser kepada drummer mereka, Tom Hunting.

Tetapi ianya penantian berbaloi untuk anda pengemar Exodus khususnya dan thrash metal secara amnya. Mereka adalah orang tua yang betul-betul thrash sampai tua. Selepas 12 album pun mereka masih tak pernah menghasilkan lagu ballad. Kalau yang biasa dengar Exodus pasti tahu yang thrash mereka adalah yang jenis laju, brutal dan berada di dalam sempadan death metal. Trademark mereka sejak bertahun-tahun.

Persona Non Grata tidak berada jauh dari Blood In, Blood Out. Sangat sesuai untuk yang dahagakan lagu-lagu thrash yang laju dan berat. Kalau ada nak komplen pun mungkin akan rasa sedikit letih kerana durasi albumnya yang agak panjang untuk genre yang sebegini.


Friday, February 25, 2022

Checkered Past

Lagi album terbitan tahun 2021...

L.A. Guns - Checkered Past (2021)

Sebagai pengemar genre hard rock 80an, ini adalah album yang ditunggu-tunggu. Selepas 2 album reunion Phil Lewis dan Tracii Guns yang pada saya sangat cemerlang (The Missing Peace -2017 dan The Devil You Know - 2019). Saya sememangnya menaruh harapan yang tinggi untuk Checkered Past.

Tetapi sayangnya ianya tidak mencapai taraf 2 album tersebut. Walaupun ada lagu-lagu yang bagus tetapi secara keseluruhannya tidak konsisten. Malah bagi saya album L.A. Guns versi Steve Riley dan Kelly Nickels, Renegades (2020) adalah lebih baik. Tambahan pula sound dari album ini juga agak mendap. Memang berbeza dengan 2 album sebelumnya

Namun begitu, ianya masih sebuah album yang bagus. Mungkin saya meletakan aras yang terlalu tinggi untuk mereka atau mungkin juga terlalu bernostalgia untuk mereka sentiasa menjadi 80an. 

Tabik untuk Phil Lewis dan Tracii Guns kerana terus menerus menghasilkan muzik baru. Kalaulah mereka boleh bergabung semula dengan Steve Riley dan Kelly Nickels...tentu ianya akan jadi lebih baik.


Tuesday, February 22, 2022

Sermons of the Sinner

 Album terbitan tahun 2021 yang ada dalam simpanan...

KK's Priest - Sermons of the Sinner (2021)

Tiada yang pelik bila album ini berbunyi seperti Judas Priest. Apa lagi kelainan yang dimahukan dari seorang lagenda heavy metal yang dah berusia 70 tahun. Sepanjang hidupnya inilah muzik yang dia perjuangkan

Selepas ditendang keluar dari Judas Priest dan hampir 10 tahun menunggu peluang untuk kembali bersama tetapi tidak di layan. Ini adalah album lepas geram KK Downing kepada pengurusan Judas Priest. Sepatutnya beliau tidak perlu menunggu terlalu lama untuk "move on". 

Dengan Tim "Ripper" Owens yang pernah 2 album bersama Judas Priest di posisi vokal, ianya sememangnya sebuah album terbaik Judas Priest yang bukan dari Judas Priest. Mungkin lebih baik dari Firepower (2018)??... (saya agak bias kepada KK, maklumlah seawal dari remaja lagi saya dah membayangkan imej rambut lurus panjang beliau dan gitar V itulah imej heavy metal yang sebenar).

Secara keseluruhannya, Sermon of the Sinner adalah sebuah album heavy metal yang bagus. Bagi yang membesar dengan muzik Judas Priest, apa yang KK lakukan disini sememangnya mengimbau kenangan.  Walaupun tidak lagi bersama, tetapi beliau membuktikan yang jiwa beliau masih kuat bersama Judas Priest. Maklumlah beliau adalah individu asal yang membawa Judas Priest menjadi lagenda seperti sekarang.

Sudah semestinya ia adalah salah satu album kegemaran saya untuk tahun 2021.

Selamat kembali Mr Downing!

Friday, February 18, 2022

Blood on Blood

2022 dah masuk lebih separuh bulan Februari. Tetapi masih ada beberapa keping cd terbitan tahun lepas yang masih belum dibuat ceritanya. Bermula dari entri ini akan cuba menulis setiap satunya. Kalau tak silap adalah dalam 4 atau 5 keping…dan ini adalah yang pertama… 


Running Wild - Blood on Blood (2021)

Album ke 17 dari veteran power metal Jerman. Saya yang mula mengumpul koleksi cd mereka hanya pada beberapa tahun yang lalu, hanya mampu memiliki 6 dari keseluruhannya. Sememangnya tak terkejar.

Apa yang menarik apabila atuk-atuk seperti mereka masih aktif berkarya, kebanyakannya akan memainkan muzik yang sudah sebati dengan jenama band mereka. Tiada lagi eksperimentasi atau cubaan untuk menjadi muda. Kebanyakannya memilih untuk bernostalgia. Sesiapa yang membesar bersama muzik mereka pastinya akan terkesan. Tetapi ada juga band yang sedikit berubah (Iron Maiden contohnya). Tetapi ianya tidak berlaku kepada Blood On Blood. Apa yang anda tahu tentang jenama pirate metal mereka, itulah yang anda dapat.

Muzik sebegini adalah citarasa saya. Bila kita semakin berusia, otak semakin malas untuk memproses muzik gaya baru. Makanya muzik yang sebegini sememangnya terasa mudah untuk masuk ke kepala. Tambahan pula Blood On Blood sangat pekat perisa heavy metal 80annya. Ada lagu-lagunya yang entah mengapa mengingatkan saya kepada era awal W.A.S.P.

Tak kisahlah apa orang lain nak kata. Tetapi Blood on Blood adalah salah satu album kegemaran dari tahun 2021.


Monday, February 14, 2022

In the Beginning...

 Pilihan cd secara rambang...

Malice - In the Beginning... (1985)

Satu lagi band yang tak ramai yang tahu. Kecuali jika anda sememangnya pengemar genre heavy metal 80an.

Saya sendiri dulunya hanya sekadar tahu nama. Majalah Kerrang! dan Metal Hammer sememangnya sumber rujukan yang penting ketika zaman belum wujudnya internet.

Muzik mereka berpaksikan Judas Priest era Screaming for Vengence / Defenders of the Faith. Malah suara dan gaya nyanyian penyanyinya pun hampir sama seperti Rob Halford

Mendengarnya pada ketika pertengahan 80an, suasananya adalah lebih menarik. Ketika Judas Priest sendiri menjadi komersial dengan Turbo (1986), Mereka adalah penyambung apa yang ditinggalkan oleh Judas Priest.

Tetapi apabila mendengarnya pada waktu sekarang, "feel" atau rasanya sudah tiada. Mereka hanyalah sekadar sebuah band yang mahu menjadi Judas Priest. Muzik mereka hanya terpakai khas untuk golongan seperti saya yang selera muziknya masih tersangkut di era 80an.


Friday, February 11, 2022

Wolfsbane - Live Fast , Die Fast

 Antara yang baru berjaya dimiliki...

Wolfsbane - Live Fast , Die Fast (1989)

Pengenalan saya kepada Blaze Bayley adalah dari album ini. Bukannya Iron Maiden. Tetapi bukanlah dari segi pendengaran tetapi pembacaan.

Membaca tentangnya dari majalah Kerrang! . Mungkin sekitar tahun 1990. Gelaran "The Next Big Thing" yang diberikan oleh Kerrang! membuatkan rasa teringin betul nak dengar. Sayangnya tidak berpeluang. Rasanya album ini tak pernah masuk pun untuk pasaran di Malaysia. Yang pernah jumpa kasetnya di jual adalah album kedua, Down Fall the Good Guys (1991).

Mendapat albumnya secara fizikal baru sahaja dalam beberapa minggu yang lepas. Seperti apa yang dibaca, album ini semangnya mempunyai pengaruh Van Halen yang kuat. Baik dari segi lagu mahupun gitar solonya. Lenggok nyanyian Blaze pun agak terikut-ikut dengan gaya David Lee Roth. Tak dapat nak membayangkan kalau beliau melenggokan gaya begini ketika bersama Iron Maiden.

Ianya sebuah album yang bagus jika anda pengemar muzik hard rock atau pop metal 80an. Sayangnya mereka tidak dapat mencapai tahap "The Next Big Thing" tersebut. Mungkin kurangnya promosi di US. Pelik juga walaupun mereka bernaung di bawah syarikat Rick Rubin (Def American) dan Rick Rubin sendiri yang menerbitkannya. 


Berkemungkinan juga masa yang tidak bersesuaian. Awal 90an genre muzik seperti mereka bukan lagi di arena mainstream.  Mereka akhirnya digugurkan dari Def American selepas album kedua. Namun begitu sempat juga melahirkan album ketiga (1994) sebelum akhirnya Blaze di lamar Iron Maiden. Sayang... sebenarnya mereka pemuzik yang bagus dan Wolfsbane akhirnya terkubut. Tetapi tak boleh nak salahkan Blaze, peluang untuk menyertai band sebesar Iron Maiden sememangnya tak akan dilepaskan oleh sesiapa.


Tuesday, February 8, 2022

Overkill The Atlantic Years 1986-1994

Pembelian #hatigembirapoketmenangis 

Overkill - The Atlantic Years 1986-1994 Half-Speed Mastered 180g 6LP Box Set (2021)

Asalnya boxset ini sepatutnya dikeluarkan pada Oktober 2021. Ketika itu tak ada rasa sangat nak beli. Maklumlah yang betul-betul teringin dalam bentuk lp hanyalah 2 album (The Years Of Decay dan Horrorscope). Tetapi setelah ianya ditangguhkan beberapa kali (akhirnya di keluarkan pada 3hb Dec, 2021), dalam tempoh masa dari Oktober membawa ke Disember tersebut menyebabkan tiba-tiba sahaja jari "ter"tekan butang buy ๐Ÿ˜๐Ÿ˜๐Ÿ˜

Semakin berusia semakin banyak kenangan yang kita hampir lupa. Makanya bila ada kenangan yang boleh dibeli sememangnya agak sukar untuk ditolak. Overkill adalah salah satu kenangan dari zaman remaja. Mendengarnya mengembalikan ingatan kepada tahun-tahun penghujung 80an dan awal 90an. 

Nantilah kalau rajin akan cuba menulis setiap album dari kotak ini.


#hatigembirapoketmenangis


Friday, February 4, 2022

Fight for the Rock

 Antara siri lp reissue yang ditunggu-tunggu...

Savatage - Fight for the Rock (1986)

Album yang ke 4 dari siri keluaran semula kesemua album Savatage dalam bentuk piring hitam. 

Album yang paling kurang digemari baik oleh peminat mahupun band member sendiri. Menurut Jon Oliva, ianya sebuah album untuk memenuhi kehendak syarikat rakaman demi kelangsungan hidup mereka pada ketika itu.

Ianya terlalu pop bagi jenama Savatage. Tetapi kalau anda adalah seorang peminat genre hard rock mungkin ianya bukanlah satu masalah besar. 

Setelah 4 keping lp yang dibeli (semuanya ambil versi yang murah), saya rasakan syarikat yang menerbitkan keluaran semula ini telah melakukan kerja mereka dengan baik. Packaging cantik. Inlaynya pun berbaloi dengan harga. Tiada juga komplen dari segi sound. Memang puashati. Kalau beli versi mahal yang ada EP 10 inchi tentu lebih menarik. Tetapi dengan nilai mata wang Ringgit yang semakin merundum...memang tak mampu la...

Tak sabar menunggu untuk lp yang seterusnya... Hall of the Mountain King yang akan keluar pada 11hb Feb nanti.

#hatigembirapoketmenangis


 


Tuesday, February 1, 2022

Gila Format - Practice What You Preach

Terkini yang berjaya di"gila format"kan...

Testament - Practice What You Preach (1989)

Satu lagi kapsul masa yang berjaya di"gila format"kan. Ianya mengembalikan ingatan kepada zaman belajar di ITM. Antara kaset yang dibeli dengan menggunakan duit pinjaman belajar ๐Ÿ˜…. Ianya juga antara pendedahan awal kepada genre yang dipanggil sebagai thrash. Zaman sebelum tu semua pun kita panggil rock ataupun heavy metal.

Zaman tersebut kita tak mampu untuk banyak membeli. Apa yang ada itulah yang akan kita dengar, belek dan baca liriknya berulang-ulang kali. Sememangnya akan melekat terus dalam memori. Pembelian gila format seperti ini sememangnya semata-mata untuk membeli kenangan. Walaupun sebenarnya ia adalah suatu pembaziran semata-mata…hahaha…

Pernah tulis tentang album ini suatu masa dahulu. Ianya pengenalan saya kepada Testament. Yang membuatkan jadi minat pada Testament adalah kerana gitarisnya, Alex Skolnick. Minat betul dengan solo-solo gitar beliau. Piring hitam ini dibeli melalui penjual di instagram. Bila nampak ianya diiklankan, memang tak berfikir panjang untuk membeli. 

Versi cd pula dah tak boleh nak ingat bila dan dimana ianya dibeli. Tak pasti adakah ianya pembelian secara fizikal atau dalam talian melalui ebay. Tetapi sudah semestinya ianya adalah antara yang terawal di cari apabila mula mengumpul cd.

Versi kaset pula mungkin pada penghujung 1989 atau awal 1990. Ketika itu zaman thrash sedang melanda. Sememangnya naik rambang mata kalau berkunjung ke kedai kaset. Bermacam-macam tajuk yang ada. Biasanya pembelian rambang dibuat berdasarkan gambar cover atau nama band yang di baca di majalah atau thank list di inlay kaset band lain. 

Tak ingat pula kenapa beli Practice What You Preach. Mungkin juga kerana gambar covernya. Dan biasalah....dulunya ada sedikit rasa cuak dengannya.