Tuesday, March 29, 2022

Lean Into It

 Mengimbau kenangan remaja...

Mr. Big - Lean Into It (1991)

26 hari bulan yang lalu genap 31 tahun dah usianya.. Walaupun tak beli ketika tahun ianya dikeluarkan tetapi ianya antara kaset pinjam yang lama dalam simpanan.

Ianya akan sentiasa ada nilai sentimental yang tersendiri. Bukan kerana "To Be With You". Lagu ini sememangnya lagu yang membuatkan mereka dikenali dan sedap. Tetapi untuk saya, "Daddy, Brother, Lover, Little Boy" dan "Green-Tinted Sixties Mind" adalah penyebab utamanya.

Antara album yang masih gagal di cari dalam bentuk piring hitam. Lawa gambar covernya. Harapnya akan ada versi reissue. Tak boleh tahan tengok harga 1st press. Tapi kalau dapat beli pun tak boleh juga nak buat "gila format"... Tak pernah pun beli versi kaset....


Saturday, March 26, 2022

Eaten Back to Life

 Kenangan zaman remaja...

Cannibal Corpse - Eaten Back to Life (1990)

Mengembalikan kenangan di tahun 1990. Sesuai dengan usia remaja pada ketika itu, mendengar muzik sebegini seakan satu kepuasan.

Ianya mengembalikan kenangan saya ketika menuntut di ITM. Ketika itu saya yang berasal dari Felda terasa seperti katak di bawah tempurung apabila mula berkawan dengan rakan-rakan yang berasal dari bandar terutamanya dari Kuala Lumpur.

Muzik rock dan metal yang mereka dengar agak meluas berbanding dengan saya. Ketika itu baru tahu perkataan underground, fanzine dan juga poseur. Terasa nak menyorok pula bila koleksi kaset yang kita adalah Poison dan Bon Jovi…hahaha…

Ini adalah tahunnya yang saya mula banyak terdedah dengan muzik yang lebih extreme. Ketika itu semua pun muzik extreme dipanggil thrash. Masih tak jelas antara sempadan muzik thrash dan death metal. Masih bercampur aduk. Eaten Back to Life pun muziknya begitu. Ianya juga adalah antara kaset wajib ada bagi peminat muzik extreme pada ketika itu. Tetapi saya tak pernah membelinya. Sekadar mendengar kepunyaan kawan. 

Ketika itu saya agak kemaruk dengan Sepultura. Mereka adalah penanda aras. Lagu Shredded Human ada berbunyi Sepultura di telinga saya. Namun begitu entah mengapa Cannibal Corpse agak kurang memikat. Mungkin kerana saya agak kurang gemar dengar growl yang tak dengar bunyi butir atau mungkin juga kerana tidak pernah mendengarnya secara betul.



Wednesday, March 23, 2022

The Final Frontier

 Yang terkini dalam simpanan sejak beberapa bulan yang lalu...

Iron Maiden - The Final Frontier (2010)

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Begitulah perumpaannya dalam cuba mengumpul kesemua album studio Iron Maiden dalam bentuk vinyl. Ini adalah yang ke 14 berjaya dimiliki dari keseluruhan 17 album kesemuanya. Mula membeli dari tahun 2014. Nampaknya setelah 8 tahun pun masih gagal untuk mengumpul kesemuanya. Itu pun belum ambil kira album live dan compilation lagi...fuh!!..

Agak sukar juga untuk kumpul semua. Ada di antara albumnya yang di waktu sekarang agak susah nak dapat dengan harga yang mampu milik. Sebenarnya banyak kali juga berpeluang untuk membeli. Tetapi masalah kekangan kewangan dan membeli lp yang lain antara yang menjadi penyebab.

Kalau nak cerita pasal albumnya, ini adalah antara album mereka yang agak susah juga nak hadam. Maklumlah ada masanya memang rasa letih bila mendengar lagu-lagu yang agak panjang durasinya. Tetapi antara kenangan yang tak akan dilupa untuk sepanjang hayat adalah menyaksikan konsert tour untuk album ini di Singapura pada tahun 2011. Dengan covid dan usia mereka, mungkin ianya adalah satu-satunya pengalaman seumur hidup menyaksikan mereka di depan mata.

3 lagi yang masih diburu.... The X Factor (1995), Dance of Death (2003) dan A Matter of Life and Death (2006).



##terkini...cuma tinggal The X Factor yang belum dimiliki


Monday, March 21, 2022

Rock Believer

Album terbitan 2022 yang pertama untuk tahun ini...

Scorpions - Rock Believer (2022)

Perasaan teruja nak dengar album baru Scorpions rasanya dah lama hilang. Kali terakhir mungkin ketika Face The Heat (1993). Selepas mereka semakin berubah dah menjadi semakin mellow, saya agak kurang mendengar mereka walaupun kaset dan cd mereka tetap dibeli. Branding "Scorpions" itu mejadi penyebab untuk saya terus membeli. Maklumlah muzik rock ketika saya kanak-kanak adalah Scorpions. Besar pengaruh muzik mereka untuk saya.

Tetapi percubaan mendengar album terbaru mereka, Rock Believer di spotify menyebabkan saya kembali teruja. Muziknya benar-benar membawa saya melayang ke era 80an. Selain Iron Maiden, belum pernah lagi saya membeli sebuah album baru terus dalam bentuk piring hitam. Ini adalah yang pertama. Tetapi Iron Maiden adalah pembelian buta (janji Maiden mesti beli)...tetapi yang ini kerana saya benar-benar sukakannya.

Rasanya kalau Rock Believer diputarkan secara "back to back" bersama dengan Animal Magnetism atau Blackout mahupun Love at First Sting, memang tak akan rasa yang jarak masa antara mereka adalah hampir 40 tahun. Kalau kurang pun rasanya Matthias Jabs sepatutnya lebih aktif dengan lebih banyak menyolo.

Dengan umur mereka yang rata-ratanya dah melebihi 70 tahun, memainkan kembali muzik ketika mereka muda mungkin adalah satu tribute untuk diri mereka sendiri. Memang banyak persamaannya dan jika anda pengemar mereka di tahun 80an pastinya akan dapat menangkap persamaan tersebut.

Harapnya band-band lama yang lain juga akan mendapat inspirasi dari mereka. Letih dah nak dengar lagu panjang-panjang dari Iron Maiden...




Monday, March 14, 2022

Shake Your Soul

 Pendengaran rawak band yang kurang dikenali ramai...

Baton Rouge - Shake Your Soul (1990)

Mereka muncul ketika kegemilangan genre hard rock di penghujung. Mereka adalah antara band yang dikategorikan sebagai hair metal. Saya tidak mengangap hair metal sebagai satu genre. Kerana kalau hendak dibandingkan dari segi muzik, ianya berbeza dari satu kumpulan kepada kumpulan yang lain. Tetapi ianya adalah satu budaya fesyen atau imej yang muncul dikalangan mat rock 80an. 

Tak pernah dengar ketika ianya diterbitkan. Ketika itu lebih berminat dengan muzik yang lebih keras. Tak sangka pula ianya sangat bagus. Malah berani saya katakan ianya adalah lebih bagus dari beberapa album hard rock / melodic rock yang lebih popular pada ketika itu. Kenapa mereka tidak menjadi popular agak sukar untuk di jawap.

Bukanlah nak kata muzik mereka adalah sesuatu yang hebat sangat, inovatif atau sesuatu yang lain. Ianya adalah hard rock yang biasa. Tetapi didalam biasa tersebut ianya agak menonjol (stand out) dan segar. Mungkin hanya saya, tetapi ianya adalah satu album yang saya tak rasa bosan dan menekan butang forward.

Suatu yang patut dipuji adalah vokalisnya, Kelly Keeling. Memang bagus vokalnya. Maka tak hairanlah selepas berkuburnya Baton Rouge dia terlibat menjadi vokalis untuk John Norum, Carmine Appice, Michael Schenker Group, George Lynch dan terlibat juga dengan kerja-kerja backing vokal untuk Alice Cooper, Blue Murder, Dokken, Trans-Siberian Orchestra (sekadar menyebut beberapa nama)

Kalau anda minat straight forward hard rock atau pure melodic rock 80an yang seakan-akan Bon Jovi, Dokken, Hardline dan sebagainya, sememangnya Shake Your Soul amatlah berbaloi untuk dimiliki...



Friday, March 11, 2022

The Right to Rock

layanan ketika bekerja dari rumah...


Keel - The Right to Rock (1985)

Tak berapa ambil tahu pasal band ni. Dulu pernah juga cuba dengar. Tapi agak kurang menangkap. Terus tinggal. Bila sekali lagi di arahkan untuk berkerja dari rumah, banyak pula masa untuk mendengar muzik latarbelakang sambil kerja. Sampai tak tau nak dengar apa. Akhirnya ini percubaan untuk sekali lagi mendengar The Right To Rock...

Rasanya dari segi permainan muzik memang tiada masalah. Mereka bagus terutamanya di bahagian gitar. Cumanya terasa seperti ada campur tangan berlebihan dari Genne Simmons (penerbit) dalam arah tuju muziknya. Ada beberapa lagu yang vokalnya seakan-akan meniru Gene Simmons dan lagunya agak mirip lagu KISS. Setelah disemak sememangnya ianya adalah lagu ciptaan Gene Simmons.


Mereka lebih heavy metal bila memainkan lagu-lagu ciptaan sendiri. Terutamanya 2 lagu yang dirakamkan semula dari album pertama mereka. Speed Demon adalah satu contohnya. Seakan mendengar lagu dari Loudness.

Secara keseluruhannya agak tidak konsisten. Mungkin kerana itu mereka sekadar hanya menjadi band grade B dari era tersebut. Walaubagaimanapun lagu The Right to Rock tu sedap dan gambar covernya agak mengujakan...


Monday, March 7, 2022

Go and Live... Stay and Die

 Sesekali layan band yang obscure dan tak banyak orang tahu....

Vendetta - Go and Live... Stay and Die (1987)

Tak pernah tahu pun kewujudannya sebelum ini. Hanya membaca tentang mereka dalam artikel-artikel tentang senarai band-band thrash 80an yang kurang dikenali. Tak pernah juga mencuba youtube sebelum membeli.

Membelinya adalah semata-mata kerana gambar covernya yang sungguh 80an. Kalau dulu-dulu apabila membelek kaset di kedai, sememangnya album yamg mempunyai gambar cover sebegini akan membuatkan rasa teruja nak beli. 

Tak sangka pula muziknya bagus. Bagus...maksudnya jika anda adalah pengemar muzik thrash yang laju dan mempunyai pengaruh NWOBHM yang kuat. Banyak rif-rif yang sedap walaupun soundnya agak kasar dan mentah. Mereka juga agak teknikal dengan tempo yang berubah-ubah.

Satu lagi "hidden gems" dari Jerman yang sepatutnya boleh menjadi sebesar Sodom, Kreator ataupun Destruction. Mungkin tiada nasib untuk mereka. Maklumlah terlampau banyak sangat band-band thrash yang bagus dari Jerman.

Satu pembelian cuba jaya yang berbaloi. Patut cuba jika muzik anda adalah thrash...