Monday, June 27, 2022

Rabbit Don't Come Easy

9 tahun dulu pernah buat cerita tentang album ini. Tetapi pada ketika itu sekadar mempunyai versi kaset...

Helloween - Rabbit Don't Come Easy (2003)

Tak ingat bila cdnya dibeli. Tetapi seperti kebanyakan cd-cd lain, ianya bertahun terperuk dalam rak dan ntah bila akan dimainkan. Tetapi apabila diarahkan bekerja dari rumah (angkara covid-19), agak banyak masa juga untuk cd-cd tersebut diputarkan sebagai muzik latarbelakang sambil bekerja.

Sedikit trivia yang di "google"… album ini adalah penampilan pertama Sascha Gerstner selepas Roland Grapow keluar dari Helloween. Ianya juga penampilan pertama Mikkey Dee dengan genre sebegini setelah kali terakhirnya bersama King Diamond untuk album Conspiracy (1989).


Saya tidak mempunyai banyak kenangan dengan album ini. Semenjak "The Dark Ride (2000)", saya secara tiba-tibanya menjadi kemaruk dengan genre power metal. Tetapi menjelang tahun album ini diterbitkan, saya mula menjadi tepu atau "burn out" dengan muzik sebegini. Namun begitu kasetnya tetap dibeli tetapi hanya mendengarnya sambil lalu.


Mendengarnya semula selepas 9 tahun. Rasanya tak ada banyak yang berubah. Ianya adalah apa yang kita mahukan dari band yang bernama Helloween. 4 track awalnya sememangnya cemerlang. Tetapi grafnya agak menurun selepas dari itu. Memerlukan sedikit masa untuk lebih hadam. Tetapi yang pastinya, Andy Deris telah mengukuhkan namanya sebagai vokalis Helloween. 

Kalau 9 tahun yang lalu pertanyaannya adakah patut saya mendapatkannya dalam bentuk cd… tetapi untuk kali ini patutkah pula membelinya dalam bentuk lp?....😅 


Thursday, June 23, 2022

Gila Format - Something Wicked This Way Comes

Lagi album yang berjaya di"gila format"kan... (bersempena dengan ulangtahunnya yang ke 24 semalam)

Iced Earth - Something Wicked This Way Comes (1998)

Pertama kali tahu tentang album ini adalah dari satu iklan di majalah rock/metal berbahasa melayu yang wujud pada penghujung 90an. Tak ingat majalah apa. Mungkin majalah "Konsert". Ianya adalah cinta pandang pertama. Berkenan dengan gambar covernya dan jadi minat pula bila kali pertama mendengar muziknya. 

Something Wicked muziknya agak melodic. Ianya adalah diantara sempadan US power metal dan thrash. Lagu-lagunya berselang seli antara yang rancak dan perlahan. Yang perlahan pun bukanlah jenis betul-betul balada. Ianya ala-ala "Fade To Black" atau "Cemetary Gates". Memang yang jenis mudah hadam dan sedap. Sekali dengar pun dah jatuh minat.


Versi kaset dibeli pada penghujung 90an. Menjadi rutin hampir setiap hari mendengar kasetnya di dalam kereta sambil membaca suratkhabar di tempat parking Plaza Kotaraya JB. Sampai cepat kerana menghantar isteri makanya itulah rutin harian untuk menghabiskan masa sambil menunggu masa untuk masuk kerja. Setiap kali mendengarnya pasti akan mengembalikan kenangan ke zaman tersebut.

Versi cd di beli ketika zaman kemaruk e-bay. Tak ingat tahun bila. Ianya merupakan satu-satunya cd dari Iced Earth yang dimiliki sebelum cd Alive in Athens yang dihadiahkan oleh Deaf.


Versi lp pula adalah reissue terkini (2022). Di beli dari seorang penjual Discogs dari Greece dengan harga mampu milik (kos pos murah).

Maka bertambah lagi satu koleksi "gila format". Satu penyakit yang tak semua orang boleh paham 😅


Monday, June 20, 2022

Kin

Ok lah...yang terakhir cerita pasal album thrash 1992 yang beralih arah... 

Xentrix - Kin (1992)

Mungkin Metallica adalah punca segala-galanya. Bukan sahaja di US dan Jerman, tetapi ianya juga berjangkit ke UK. Xentrix adalah antara nama besar thrash di UK juga turut mengubah arah muzik mereka. Tetapi tiada apa yang nak dihairankan. Muzik mereka pun sememangnya berpaksikan Metallica. Sudah semestinya mereka pun akan terikut-ikut dengan idola mereka. Semua mereka (mungkin juga atas dasar tekanan dari pihak syarikat rakaman) mahu menghasilkan album komersial seperti Black Album Metallica.

Kin juga tidak saya dengar pada tahuh 1992. Selepas For Whose Advantage? (1990), saya langsung tidak mengikuti perkembangan Xentrix. Ianya seolah-olah hilang dari dalam radar band-band yang saya dengar. Tak pasti apakah kaset album ini ada dijual di Malaysia tetapi seingatnya memang tak pernah nampak pun.

Ianya memang berbeza kalau nak dibandingkan dengan 2 album awal. Sememangnya mengecewakan jika di pandang dari kacamata seorang thrasher. Tetapi setelah berulang kali dengar, saya rasakan ianya tidaklah seburuk yang disangka. Cumanya Kin lebih lembut dan lebih "radio friendly". Kebanyakan lagunya adalah mid tempo dan ada lagu ballad yang benar-benar ballad.

Mungkin saya boleh menerimanya kerana mendengarnya pada masa sekarang. Kalau di tahun 1992 mungkin pandangan saya akan berlainan…


Thursday, June 16, 2022

The Ritual

Sebuah lagi album thrash yang dah 30 tahun (1992)...

Testament - The Ritual (1992)

Sama kes seperti band-band thrash lain yang dah diceritakan sebelum ini. Testament pun terjangkit sama. Dan seperti yang lainnya, ianya juga tidak saya dengar pada tahun ianya diterbitkan atas alasan yang sama.

Tak ambil tahu tentangnya sehinggalah memiliki cdnya beberapa tahun yang lalu. Entah kenapa ianya tidak di dalam radar walaupun ketika zaman MP3. Saya agak "lost" dengan Testament bila dapat tahu yang Alex Skolnick tidak lagi bersama mereka. Satu-satunya lagu yang diketahui adalah "Return To Serenity". Itupun kerana ianya ada di dalam satu kompilasi cd lagu-lagu ballad yang saya beli.

Hanya mula mendengar semula muzik Testament apabila Alex Skolnick kembali bersama mereka. Ketika itulah album ini kali pertama di dengar. Tak sangka pula jadi minat. Sememangnya muzik mereka telah berubah. The Ritual lebih lembut. Lebih perlahan temponya. Ianya lebih melodic dan sedikit progressif. Ianya percubaan mereka untuk lebih mudah diterima di telinga pendengar biasa. Sebuah album metal komersial ala-ala Black Metallica.

Antara penyebab jadi suka adalah kerana solo dan kerja gitar Alex Skolnick. Seperti yang diketahui, beliau adalah antara gitaris terbaik atau mungkin yang paling baik diantara semua gitaris band-band thrash utama di dunia.

The Ritual juga menonjolkan kekuatan vokal Chuck Billy. Mungkin ianya boleh menjadi antara album kegemaran untuk tahun 1992 jika saya mendengarnya pada ketika itu. The Ritual bukanlah thrash yang biasa. Tetapi ianya di dalam kategori yang masih boleh diterima.  


Monday, June 13, 2022

Force of Habit

 Sambung lagi cerita pasal album dari 30 tahun yang lalu (1992)…


Exodus - Force of Habit (1992)

Entah kenapa hampir kesemua nama besar thrash bermuhasabah diri pada awal tahun-tahun 90an (haha.) Exodus juga tidak terkecuali.

Dulu selalu nampak ianya di kedai kaset. Gambar covernya yang agak unik dan lain dari yang lain seolah-olah memanggil-manggil untuk di beli. Tetapi entah kenapa setiap kalinya tetap juga tak dibeli. Mungkin juga pada ketika itu dah terdengar yang ianya bukanlah seperti muzik Exodus yang biasa. Makanya album ini juga senasib dengan album-album thrash terbitan tahun 1992 yang lain yang tidak didengar pada tahun ianya diterbitkan.

Kalau tak silap kali pertama dengar adalah selepas 2000an (era MP3). Ketika itu minda dah disetkan bagaimana muzik Exodus yang sepatutnya. Walaupun ada lagunya yang sedap tetapi mendengarnya hanyalah sambil lalu.


Mendengarnya secara betul hanyalah selepas cdnya dibeli beberapa tahun yang lalu. Nak kata minat, memang ada lagunya yang bagus terutamanya 2 track pertama, "Thorn in My Side" dan "Me Myself & I,". Tetapi agak letih juga untuk menghabiskan satu album bila ada lagu yang agak panjang dan kedengaran agak berulang-ulang.

Ianya adalah percubaan Exodus untuk menjadi trendy dan komersial. Rentak lagunya lebih perlahan. Cumanya mereka masih bertahan tanpa lagu ballad. Mungkin vokal Steve "Zetro" Souza tidak sesuai untuk lagu-lagu begitu walaupun beliau dikerah untuk lebih "menyanyi" di dalam album ini. Satu yang menarik adalah solo-solo gitar dari Gary Holt. Ianya lebih melodic walaupun rif-rif lagunya agak simple.

Exodus yang berbeza. Tambah pula dengan adanya lagu cover yang agak janggal (Bitch - Rolling Stones dan Pump It Up - Elvis Costello). Walaupun janggal, ianya menjadi...


Wednesday, June 8, 2022

Impera

 Album terkini yang berjaya dimiliki...

Ghost - Impera (2022)

Ghost sering mengingatkan saya kepada KISS. Ketika saya budak-budak dahulu, saya sering membayangkan yang muzik KISS adalah ganas dan menakutkan. Tetapi selepas mendengar muziknya, barulah saya tahu yang ianya hanya sekadar imej dan gimik. Lagu-lagunya hanyalah sekadar lagu-lagu pop rock yang biasa.

Begitulah juga dengan Ghost. Ketika kali pertama melihat imej mereka, saya membayangkan yang mereka adalah sebuah band bergenre extreme metal. Rupa-rupanya tidak. Impera mengukuhkan lagi kenyataan tersebut. Impera lebih kepada hard rock. Hanya imej, lirik dan album awal mereka sahaja yang memungkinkan mereka dikaitkan dengan metal.


Impera bagi saya adalah lebih lembut dari album-album sebelumnya. Mungkin ianya dibuat khas untuk pasaran umum yang lebih meluas. Ada lagu-lagu yang sedap dan ada juga yang kurang. Agak tidak konsisten dan sedikit letih untuk menghabiskan satu album. Mungkin ianya hanya saya. Tetapi jika anda adalah pengemar muzik hard rock, rasanya tiada masalah pun untuk menyukai album ini.

Kesimpualn saya... Prequelle > Impera


Friday, June 3, 2022

Gila Format - Angel Rat

Antara yang tak sangka akan berjaya di"gila format"kan...

Voivod - Angel Rat (1991)

Sebelum ini tak pernah ambil kisah pun pasal lp keluaran Record Store Day. Tetapi bila dapat tahu yang album ini yang akan direissue, ianya menjadi satu pengecualian.

Maklumlah kalau nak cari versi yang asal memang harganya bukan yang mampu milik. Tetapi masalahnya dengan keluaran Record Store Day, ianya tidak akan di jual secara on-line. Kalau nak beli memang kena beli di kedai. Pilihannya bila ianya tidak di bawa masuk oleh mana-mana kedai di Malaysia, samada kirim dengan rakan di luar negara atau mencarinya secara on-line sehari selepas berlangsungnya acara Record Store Day. 

Kebiasaannya para scalper pasti akan mengambil kesempatan dengan menjualnya semula dengan harga yang mahal. Tetapi saya bernasib baik. Pencarian saya di Discogs sehari selepas RSD 2022 terjumpa dengan sebuah kedai records di USA yang menjualnya dengan harga sama. Ianya copy terakhir di kedai tersebut. Mungkin itulah namanya rezeki.

Voivod bukanlah sebuah band yang muziknya mudah untuk dihadam. Tetapi bagi saya jika anda berminat untuk mencuba, mungkin album ini adalah permulaanya. Ianya bukan progressif metal yang berat. Malah ianya lebih kepada hard rock. Lebih mudah, lebih lunak dan senang hadam. Sesuai untuk latihan awal sebelum mendengar muzik mereka yang lebih kompleks, lebih psychedelic, lebih futuristic...


Versi kaset dibeli di Muzika Kotaraya Johor Bahru. Versi cd secara on-line. Rindu betul nak lepak-lepak kedai kaset macam dulu-dulu.


** yang tak bestnya versi lp ni terlalu simple. Tak ada inlay/booklet/lirik. Dalam cumanya piring…